Thursday, February 12, 2009

Tiada keterangan direkodkan daripada TPM - Saksi

Tiada keterangan direkodkan daripada TPM - Saksi

PETALING JAYA: Saksi kelima pendakwaan, DSP Gan Tack Guan, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa tiada keterangan direkod daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes hasutan membabitkan penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin.

Penolong Pengarah Pusat Biro Nasional/Interpol itu berkata, ini kerana siasatan polis mendapati Timbalan Perdana Menteri itu tidak terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Beliau (Najib) tidak dipanggil untuk memberi keterangan setelah segala siasatan pihak polis dijalankan dan mendapati beliau tidak terlibat dalam kes ini," katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Raja Petra, Gobind Singh Deo, membantah dengan mendakwa bagaimana Gan boleh menyata sedemikian sedangkan tiada sebarang keterangan direkodkan daripada Najib.

"Bagaimana awak boleh mengetahuinya sedangkan tiada sebarang keterangan diambil, tolong jangan main-main, keadaan kes ini terlalu teruk," kata Gobind.

Ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, Gan tetap bertegas dengan menyatakan tidak perlu untuk menyiasat atau mengambil sebarang kenyataan daripada Najib kerana tiada unsur penglibatan beliau.

Keadaan menjadi tegang selepas Gobind kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Gan ketika menjawab soalan itu.

"Saya maksudkan kes yang sedang berjalan di hadapan mahkamah ini tidak perlu siasat Najib walaupun nama beliau ada disebut dalam kandungan lampiran A (artikel Let's Send the Altantuya Murderers to Hell).

"Dalam proses penyiasatan kita perlu lihat pembabitan seseorang. Kena ambil kira semua itu. Semua saksi sememangnya penting tetapi dalam kes ini, Najib tidak terbabit langsung jadi tidak perlu ambil keterangan beliau," kata Gan.

Pada 10 Okt tahun lepas, Gan menyatakan sebagai ketua penyiasat pembunuhan Altantuya beliau bertanggungjawab membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee di sini, pada 30 April 2008, berhubung artikel itu kerana terdapat isu dibangkitkan tidak benar dan diadakan.

Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor, membantah soalan Gobind yang menurutnya cuba membawa elemen politik kerana saksi kelima itu tidak mempunyai kuasa untuk memberi jawapan terhadap soalan berkenaan.

"Saksi adalah pengadu dalam kes ini dan bukannya pegawai penyiasat jadi beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang cadangan bagi proses pendakwaan," katanya.

Pada 6 Mei 2008, Raja Petra, 59, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderers To Hell" dalam laman web www.malaysiatoday.net pada 25 April 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung Khamis ini. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/11/mstar_berita/20090211100433&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...