Thursday, February 12, 2009

Pak Lah tolak guna ISA

PUTRAJAYA: Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak akan dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata ini berikutan siasatan ke atas Ahli Parlimen Gelugor itu sedang dijalankan pihak berkuasa dan laporan siasatan itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Tidak ada rancangan untuk gunakan ISA terhadap Yang Berhormat Karpal, mungkin tak payah gunakan ISA itu.

“Siasatan dah dimulakan dan pada waktu ini siasatan masih berjalan. Bila dah selesai, laporannya akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk apa juga tindakan yang wajar diambil,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.


Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Eksekutif Muda Perkhidmatan Awam 2009 anjuran bersama Yayasan Kepimpinan Strategik Malaysia dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Perdana Menteri ditanya mengenai tindakan kerajaan ke atas Karpal yang mengeluarkan kenyataan menyaman Sultan Azlan Shah apabila baginda memperkenankan penubuhan kerajaan negeri Perak yang baru oleh Barisan Nasional (BN) menggantikan Pakatan Rakyat (PR).

Abdullah turut berkata, beliau yakin bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin akan keluar dari kediaman rasmi menteri besar negeri itu dalam masa terdekat.

“Saya percaya dia akan keluar akhirnya dan tak akan ambil masa panjang. Kerajaan negeri Perak dah ingatkan beliau berulang kali dan beliau kena tinggalkan kediaman sekali.

“Bagaimanapun, di pihak Menteri Besar sekarang (Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) ada rumah sendiri, dia ada kereta sendiri...fahamlah cara dia bercakap tu,” katanya.

Beliau berkata, bekas Menteri Besar Perak itu juga tidak akan dipaksa berbuat demikian.

“Tak payahlah paksa, dia boleh dinasihat dengan tegas,” katanya.

Mengenai persediaan BN dalam menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, Perdana Menteri berkata, BN tidak boleh menganggap ia sebagai pilihan raya kecil yang mudah untuk dimenangi. 

“Kita perlu kerja keras untuk memang, kita tak boleh anggap ini satu pilihan raya yang mudah bagi kita. Kita kena kerja kuat dan bekerjasama.

“Kita bersedia seperti yang kita biasa lakukan untuk hadapi pilihan raya dan bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan tarikh, semua orang akan laksanakan peranan masing-masing dengan yang penting kita perlu buat persediaan mulai sekarang,” katanya.

Mengenai calon bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdullah berkata, perkara itu perlu dibincang terlebih dulu.

“Saya belum bincang lagi. Saya perlu bincang dengan Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin Umno lain dan jawatankuasa pengurusan.

“Lepas itu kita tetapkan pendekatan kerana tak semestinya pendekatan setiap pilihan raya itu sama, tapi ikut situasi,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...