Thursday, February 12, 2009

Pakatan diminta letak tahanan ISA calon Bukit Selambau

Pakatan diminta letak tahanan ISA calon Bukit Selambau

K. Vasantha Kumar


PETALING JAYA: Empat pemimpin kumpulan Hindraf, yang kini berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mahu Pakatan Rakyat menimbangkan seorang lagi rakan mereka yang masih ditahan di Kamunting, untuk dipilih sebagai calon kerusi Bukit Selambau.

Empat pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah; P. Uthayakumar, 46; V. Ganabatirau, 40, dan R. Kenghadharan, 40, mengesyorkan bekas pegawai bank, K. Vasantha Kumar, 36, sebagai calon Pakatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut yang terletak di Kedah, esok.

Ia kosong ekoran keputusan ADUNnya, V. Arumugam meletakkan jawatan tiga hari lalu.

Keempat-empat mereka menulis surat kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan diserahkan kepada beliau awal pagi ini.

Surat berasingan mereka telah dipanjangkan kepada Anwar kira-kira 1.30 pagi tadi selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar juga Penasihat PKR.

Isteri Vasantha Kumar, K. Vickneswary ketika dihubungi mStar Online memberitahu, keempat-empat mereka telah menyatakan sokongan agar suaminya dipertimbangkan untuk dijadikan calon atas beberapa sebab termasuk latar belakang beliau sebagai anak tempatan.

"Kandungan surat saranan kesemua empat mereka hampir sama dan mereka meminta agar Anwar dan Pakatan menimbangkan kemungkinan memilih suami saya (Vasantha Kumar) sebagai calon.

"Suami saya dilahirkan dan dibesarkan di kawasan itu dan mengenali bahagian ini dengan dekat.

"Lagipun kawasan ini pernah ditandingi oleh calon masyarakat India dan mereka merasakan adalah wajar diberikan kepada calon masyarakat India, lebih-lebih lagi kepada Vasantha Kumar," kata beliau yang menyerahkan surat itu kepada Anwar.

Vasantha Kumar merupakan salah seorang penyelaras kumpulan tersebut.

Turut hadir sama ialah V. Raidhu iaitu anggota Majlis Perbandaran Shah Alam dan Pengerusi DAP Taman Sri Muda.

Vickneswary berkata, beliau memperoleh surat tersebut petang semalam ketika mengunjungi mereka di Kamunting.

"Anwar berkata pihaknya akan meneliti syor ini walaupun Pakatan dan PKR mungkin ada calon untuk turut dihalusi," katanya.

Semalam, MIC dan Umno - dari Barisan Nasional mengatakan bahawa pihaknya mahu meletakkan wakil mereka di kawasan tersebut.

DAP juga dikatakan sedang mencuba untuk menurunkan wakil mereka.

Turut disebut-sebut hendak diletakkan oleh Hindraf, yang telah diharamkan November lalu ialah penyelaras pusatnya, T. S. Thenintharan.

Peguam kumpulan itu, N. Surendran juga menjadi perhatian.

Pagi semalam Mahkamah Persekutuan menolak usul untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menafikan kebebasan kelima-lima tahanan tersebut.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang bersidang bersama Hakim Datuk S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan bahawa usul yang dikemukakan oleh lima pemimpin itu tidak layak untuk semakan.

Lima pemimpin Hindraf tersebut ditahan di bawah ISA pada 13 Dis, 2007 selepas terbabit dalam demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...