Sunday, November 30, 2008

PDRM minta bantuan Interpol dakwaan pengganas guna alamat Malaysia

Ahad November 30, 2008

KUALA LUMPUR: Polis akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan butiran mengenai dakwaan laporan media India bahawa sebilangan pengganas yang melakukan serangan bersenjata di Mumbai telah menggunakkan alamat di Malaysia untuk menyewa apartmen di bandar raya itu.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan dan pengesahan mengenai kesahihan dakwaan itu sebelum mengambil tindakan susulan.


"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan saluran Interpol untuk memeriksa kesahihan fakta itu. Masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana ia hanya dakwaan oleh pihak akhbar di India.


"Sebaik sahaja kita memperoleh butiran penuh mengenai perkara itu, maka kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya (jika dakwaan itu benar). Sehingga itu, kami tidak akan campur tangan dalam hal itu,"
katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.


Musa berkata, setakat ini pihak berkuasa India belum menyediakan butiran penuh mengenai dakwaan itu kepada pihak berkuasa di sini.


Mengenai kad kredit Malaysia yang ditemui di tempat serangan di Mumbai, Musa berkata: "Seperti saya nyatakan sebelum ini, kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan."


"Kami menunggu maklum balas dari polis India dan bagaimanapun kami akan memberi kerjasama penuh jika diperlukan," katanya sambil menjelaskan sebarang maklumat awal perlu disahkan kebenarannya terlebih dahulu.


Dalam kejadian serangan oleh sekumpulan militan bersenjata lengkap di 10 kawasan strategik di bandaraya Mumbai sejak Rabu lepas, sekurangkurangnya 195 orang maut dan 295 orang cedera. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130200624&sec=mstar_berita

Zaid Ibrahim mesti perjelas kehadirannya di Kongres PKR, kata Muhyiddin



Ahad November 30, 2008

KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim (gambar) mesti memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum tindakan dikenakan terhadapnya.


Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kehadiran Zaid pada kongres berkenaan bukanlah kali pertama beliau menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang dan tindakan itu membuktikan ketidaksetiaannya kepada Umno.


"Kehadirannya dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang tidak masuk akal. Ini (kehadiran Zaid) dilihat seperti memberi sokongan moral kepada pembangkang.


"Beliau mesti memberi penjelasan kenapa beliau menghadiri kongres itu. Beliau perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya,"
kata Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kepada pemberita semasa sesi bertemu Ketua Pengarang dan Ketua Biro media nasional serta tempatan di Sabah, di sini hari ini.


Menurut laman web Malaysian Insider, Zaid mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.


Zaid juga berkata kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130150520&sec=mstar_berita

Hasrat PKR tawan Sabah Sarawak angan-angan Mat Jenin


Ahad November 30, 2008

KOTA KINABALU: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Sabah dan Sarawak tahun depan sebagai "angan-angan Mat Jenin". Beliau berkata, selepas parti itu gagal membentuk kerajaan Pusat pada 16 Sept Lepas, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap PKR.


"Saya rasa cerita angan-angan Mat Jenin ini merupakan drama yang menarik. Saya nampak ada Mat Jenin dari Semenanjung yang telah gagal dengan angan-angan besar mereka membentuk kerajaan pada 16 Sept dan sekarang ini mereka cuba memasang angan-angan baru untuk memenangi hati rakyat.


"Apa yang jelas selepas mereka gagal 16 September, apa juga janji baru yang mereka buat hanya diketawakan oleh orang ramai,"
katanya kepada pemberita di kediaman Exco Penerangan Negeri Datuk Sapawi Ahmad di Kampung Ketiau, dekat sini, hari ini.


Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas hasrat PKR untuk menawan Sabah dan Sarawak tahun depan.


Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional Tahunan Kelima PKR di Kuala Lumpur, semalam, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sasaran itu akan direalisasikan dengan penambahan anggota parti seramai sejuta orang menjelang tahun depan.


Wan Azizah yakin kerjasama ikhlas antara PKR, PAS serta DAP menerusi Pakatan Rakyat mampu memberi harapan baru kepada rakyat negara ini. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130182616&sec=mstar_berita

Umno Permatang Pauh tidak pernah ketepikan Arif Shah


Ahad November 30, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Umno bahagian Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dalam urusan pentadbiran parti bahagian itu seperti yang didakwa beliau sebelum ini.


Ketua penerangan Umno bahagian, Ahmad Sahar Shuib berkata, apa yang dikatakan oleh Arif Shah seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada 29 November lalu adalah tidak benar sama sekali.


"Saya ingin nyatakan bahawa Umno Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan YB Datuk Arif Shah.


"Kita sentiasa menjemputnya untuk hadir dalam mesyuarat bahagian kerana kedudukannya sebagai ADUN yang mewakili Umno dan BN (Barisan Nasional)," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.


Ahmad Sahar berkata, Umno bahagian itu juga tidak pernah mengeluarkan surat yang melarang Arif Shah daripada melibatkan diri dengan kerja-kerja di kawasan yang bukan di bawah penguasaannya seperti yang didakwa.


Berhubung kenyataan Arif Shah yang beliau belum membuat keputusan berhubung tawaran daripada pembangkang untuk melompat parti, Ahmad Sahar berkata, sebagai ADUN yang mewakili Umno, Arif Shah tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.


"Sebagai YB yang mewakili Umno, beliau seharusnya menolak tawaran tersebut tanpa menimbulkan keraguan di kalangan ahli Umno. Ahli boleh menilai yang mana pejuang sejati (Umno) atau pun tidak," katanya.


Ahmad Sahar berkata, beliau turut tidak menolak kemungkinan isu ini timbul disebabkan Arif Shah tidak berpuas hati kerana tidak terpilih sebagai Ketua Umno bahagian setelah tewas kepada penyandang jawatan itu, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid pada pemilihan Oktober lalu.


"Datuk Arif telah bertanding merebut jawatan ketua bahagian dan tewas dengan hanya meraih 84 undi berbanding, Datuk Jalil yang mendapat 162 undi, manakala (bekas naib ketua bahagian) Datuk Pirdaus Ismail dengan 144 undi.


"Perwakilan telah menterjemahkan hasrat mereka dalam memilih kepimpinan Permatang Pauh.


"Kita berharap Datuk Arif menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan kepimpinan Umno bahagian yang telah dipilih oleh perwakilan baru-baru ini," katanya.


Ahmad Sahar berkata, dakwaan Arif Shah bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno bahagian itu adalah tidak berasas sama sekali kerana perwakilan sudah matang dalam memilih pemimpin mana yang mereka inginkan untuk menerajui parti.


"Jangan keruhkan suasana yang boleh menggugat usaha memperkukuh perpaduan di kalangan ahli serta pengundi.


"Jika ada sebarang masalah, elok diselesaikan di peringkat dalaman parti," katanya.


Hari ini, sebuah akhbar melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai pembangkang setelah mengaku mendapat tawaran untuk mellompat parti.


Menurut Arif Shah yang tewas kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu, beliau turut dijanjikan ganjaran jika bersetuju untuk menyertai pembangkang.


Arif Shah sebelum ini dilaporkan terkilan dengan tingkah laku Ketua Umno bahagian itu yang mengetepikannya dalam setiap urusan pentadbiran parti itu di peringkat bahagian.


Katanya, beliau kecewa kerana sebagai ADUN Seberang Jaya, beliau tidak dilantik sebagai ahli tambahan dalam Jawatankuasa Bahagian, selain tidak diberi tugas dan tanggungjawab yang sesuai.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130165125&sec=mstar_berita

Guan Eng tidak nafi penyertaan Arif Shah ke PKR


Ahad November 30, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Beliau bagaimanapun turut tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif ke PKR kerana kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.


"Kami dalam Pakatan Rakyat menerima sesiapa sahaja yang ingin masuk menyertai kami yang menyokong prinsip yang kami perjuangkan.


"Saya pun tidak tahu dari mana laporan ini datang,"
katanya dalam sidang media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.


Menurut Lim lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti demokratik mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada DAP, PKR mahupun PAS.


Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang menyertai Pakatan Rakyat seharusnya sedar mengenai matlamat yang diperjuangkan berdasarkan prinsip keadilan sejagat.


Ditanya sama ada wujudnya usaha daripada pihaknya untuk membawa Arif yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu menyertai Pakatan Rakyat, beliau enggan mengulas lanjut.


Mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke Pulau Pinang Jumaat lalu, Lim berkata perkara itu tidak memberi sebarang pengertian mengenai pendirian politik Zaid.


"Saya menghargai kehadiran Zaid bukan sahaja ke Kongres PKR malah ke Jamuan Makan Malam Raksaksa di Pulau Pinang.


"Ini menunjukkan beliau berkongsi wawasan yang sama dengan Pakatan Rakyat untuk wujudkan sebuah negara yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,"
katanya.


Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai Pakatan Rakyat.


Arif Shah yang merupakan satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi cawangannya untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno Permatang Pauh yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_mutakhir/20081130151033&sec=mstar_mutakhir

Serangan Mumbai berakhir selepas 60 jam, 195 maut


Ahad November 30, 2008

MUMBAI: Pasukan komando semalam berjaya menumpaskan saki baki pengganas di Hotel Taj Mahal di sini, selepas berlaku pertempuran sengit antara mereka sekaligus menamatkan drama serangan di bandaraya itu yang kini telah mencatatkan 195 kematian.


Pertempuran selama 60 jam berakhir kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan) apabila anggota komando India membunuh tiga lelaki bersenjata di hotel tersebut dan menyerang sembilan lokasi strategik lain.


"Semua operasi telah berakhir. Semua pengganas telah dibunuh," kata Ketua Polis Mumbai, Hassan Gafoor.


Pasukan komando berjaya menyelamatkan 610 orang dari dua hotel mewah dan sebuah pusat Yahudi, di sini yang ditawan militan.


Seramai 250 telah berjaya diselamatkan di Hotel Oberoi-Trident dan 60 orang dibawa keluar dari pusat Yahudi.


Setakat ini, 12 anggota militan terbunuh dalam misi menyelamat itu sementara dua anggota komando India turut terkorban dalam serbuan yang dimulakan Jumaat lalu.


Kira-kira 20 hingga 30 lelaki bersenjata memasuki hotel mewah tersebut sejak petang Rabu lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130100145&sec=mstar_berita

Jalan utama ditutup

Oleh NAZDY HARUN


KUALA TERENGGANU: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu memaksa beberapa laluan utama di dua daerah di negeri ini ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Farid Mahmud, berkata di Hulu Terengganu, Jalan Sungai Tong menghala ke Kuala Berang berhampiran Kampung Tengkawang, Kuala Ping, Kuala Jeneris dan Kampung Teris ditutup semalam.

Menurutnya, paras air setinggi dua meter di lokasi itu melimpah di jalan raya, manakala beberapa lokasi lain di daerah itu turut mengalami kejadian sama berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, di Setiu, Jalan Langkap menghala Pelong dan Kilometer 9, Jalan Pengkalan Merbau-Pelong juga ditutup selepas laluan berkenaan dinaiki air sedalam satu meter, manakala Jalan Gong Terap dan Jalan Telaga Papan dinaiki air sedalam 0.6 meter juga terpaksa ditutup.

“Sehubungan itu pengguna jalan raya yang mahu ke Kota Bharu dinasihat menggunakan jalan pantai dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhami Omar, berkata di daerah Marang, dua pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka jam 8 pagi semalam membabitkan tujuh keluarga seramai 35 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kubu, manakala 65 orang di Sekolah Kebangsaan Marang.

Menurutnya, di Hulu Terengganu, tiga pusat pemindahan sementara dibuka membabitkan 30 mangsa di Chendering Durian Kasim, lima keluarga membabitkan 20 mangsa di pusat pemindahan Surau Tok Randuk serta 100 mangsa daripada 20 keluarga di Balai Raya Kampung Kolam.

Katanya, di Besut, 173 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara manakala di Setiu, 220 mangsa banjir dipindahkan.

Beliau berkata, peruntukan sejumlah RM700,000 disalurkan kerajaan negeri dalam bentuk keperluan asas seperti selimut dan barangan keperluan harian, selain 5,000 kit bencana yang disalurkan kerajaan pusat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105256/Article/index_html

80 peratus penagih arak di bangku sekolah


SUNGAI PETANI: Cukup murah. Hanya bermodalkan RM3.50, pelajar tingkatan satu hingga belia berumur 30 tahun di daerah ini boleh mendapatkan ‘stok khayal’ segera dengan membeli dan minum sebotol arak jenama Thai Song untuk ‘melayan kepala hingga rebah’ di tebing sungai atau belakang bangunan.

Lebih mengejutkan, Urusetia Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Kedah (Urusetia) menganggarkan 80 peratus remaja yang terbabit dengan penagihan arak murah itu masih di bangku sekolah tetapi sering ponteng dan tidak berminat meneruskan pelajaran, dengan sebahagian lagi sudah berhenti sekolah.

Harga arak itu cukup murah dari RM3.50 hingga RM30 sebotol dan mudah diperoleh, terutama di premis tertentu yang dimaklumi penagih arak di bandar ini, baik di gerai makan atau restoran, kedai runcit milik bukan Islam hingga ke jualan pintu belakang rumah.

Antara arak murah popular di kalangan penagih alkohol generasi baru ini ialah Thai Song (RM3.50 sebotol) bagi 50 mililiter (ml) dan mengandungi alkohol hampir 30 peratus.


Mendedahkan perkara itu, Koordinator Urusetia, Kamaruddin Kassim, berkata pihaknya berusaha menggempur golongan penagih arak murah itu dan memantau masalah berkenaan sejak awal April lalu.

Katanya, hasil pemerhatian Urusetia mengenal pasti beberapa lokasi di bandar ini dijadikan remaja Islam sebagai tapak berpesta arak, dengan 80 peratus golongan penagih arak itu dipercayai remaja yang sepatutnya masih bersekolah.

“Kami mendapati golongan yang terjebak dengan penagihan arak itu menjadikan kawasan tersorok berdekatan bandar ini untuk kegiatan mereka.

“Lokasi itu strategik kerana terletak di belakang bangunan, perkampungan setinggan, di tepi sungai dan paling utama tersorok daripada pandangan awam,” katanya yang sedih dengan apa yang menimpa anak Melayu yang semakin hanyut itu.

Menurut Kamaruddin, antara lokasi popular golongan peminum arak itu ialah tebing sungai di Sungai Petani, kawasan semak perkampungan setinggan dan sebahagian kawasan di Kampung Pulau Hawai berdekatan pusat beli-belah di Jalan Kampung Baru.

Turut menjadi lokasi mereka bahagian belakang Bangunan Ban Bee yang jarang dilalui orang ramai, termasuk tempat meletak kenderaan beberapa pusat beli-belah di bandar ini dan bangunan atau premis ditinggalkan.

“Berdasarkan soal siasat Urusetia, kebanyakan alasan diberi remaja terbabit ialah mahu melupakan masalah keluarga,” katanya yang mendedahkan remaja terbabit sanggup tidur di mana-mana saja, walaupun di tempat busuk dan kotor, semata-mata kerana mahu berpesta arak.

Ketika menjejak penagih arak murah itu, Metro Ahad sempat merakam gambar seorang remaja yang tertidur selepas dipercayai meneguk dua botol minuman mengkhayalkan itu.

Kamaruddin berkata, berdasarkan pemerhatian Urusetia, kegiatan meminum arak itu adalah sepanjang hari membabitkan kumpulan kecil remaja, bagaimanapun kumpulan itu bertambah apabila masuk 5 petang hingga awal pagi.

“Walaupun kami sering mengadakan operasi rondaan di beberapa kawasan terbabit, ia umpama ‘patah tumbuh hilang berganti’.

“Bilangan mereka yang terjebak dalam masalah ini semakin ramai berikutan limpahan kunjungan rakan mereka yang datang dari luar daerah Kuala Muda, termasuk dari Baling, Sik, Seberang Prai Utara dan Pulau Pinang, selain disertai penagih arak dari Perlis dan Perak.

“Thai Song dipercayai menjadi hidangan utama pesta arak di kalangan remaja ini berdasarkan jumlah botol ditemui. Apabila kami membuat pemantauan dan operasi baru-baru ini, didapati hampir 100 peratus remaja minum Thai Song kerana ia mudah dibeli tanpa peraturan ketat.

“Yang pasti, sama ada arak murah atau arak jenama biasa, ia tetap mengundang masalah sosial kepada komuniti setempat,” katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya kini giat mengadakan Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial (Landas) membabitkan remaja yang insaf selain petugas beberapa institusi pengajian tinggi bagi mencegah masalah itu.

“Landas adalah kayu ukur gerak kerja yang dilakukan Urusetia dan setakat ini ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105649/Article/index_html

Premis jual arak bebas


KUALA LUMPUR: “Bagaimana hendak membendung masalah (ketagih arak) jika premis menjual arak dan bir mudah didapati dan boleh dikunjungi sesiapa saja, terutama di kawasan bandar.

“Kami sudah menyarankan pihak berkuasa supaya premis menjual arak dihadkan, masalahnya ada pihak membantah,” kata Ketua Eksekutif, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya pernah menerima aduan orang ramai mengenai penjualan arak, terutama yang beralkohol tinggi, namun ia perlu penguatkuasaan lebih telus dan tegas daripada pihak berkuasa.

“Ini masalah serius, apalagi jika membabitkan pembeli Islam. Namun, semua tindakan lanjut perlu ditangani pihak berkuasa terbabit.


“Di Terengganu, masalah penjualan arak dapat dikawal kerana tidak boleh dijual secara terbuka. Tindakan tegas diambil terhadap premis yang ingkar. Ini patut dicontohi,”
katanya ketika dihubungi baru-baru ini.


Mengulas penjualan arak murah secara haram di kedai runcit, Sha’ani berkata, pekedai terbabit sepatutnya tidak berbuat demikian kerana mereka tiada permit dan lesen menjual arak.

Katanya, NCCC boleh mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan, jika ada pengguna yang mengadu dan melaporkan salah laku pemilik kedai runcit berkenaan.

“Sebab itu kami perlukan aduan orang ramai supaya dapat menyokong saranan kami terhadap pihak berkuasa.

“Bahkan, ia juga memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan, apatah lagi jika arak itu dijual secara tidak sah, iaitu tanpa permit dan lesen,”
katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan membuat aduan ke NCCC di talian 03-78779000.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105706/Article/index_html

Tak dibenar keluar bilik


Oleh HAYATI IBRAHIM

SEPANG: “Kami langsung tidak dibenarkan keluar dari bilik atau turun ke lobi hotel kerana bimbang keselamatan pelancong dan rakyat tempatan yang menghuni hotel terbabit,” kata Pervinderjeet Kaur, 31, antara pelancong Malaysia yang terselamat daripada serangan pengganas bersenjata di Mumbai, Rabu lalu.

Pervinderjeet, kakitangan syarikat konsultan antarabangsa, menginap di Hotel Taj Presiden, kira-kira 10 minit perjalanan dari Hotel Taj Mahal yang menjadi sasaran pengganas bersenjata melepaskan tembakan secara rambang menggunakan senjata automatik AK47.

Beliau yang tiba ke bandar raya itu Rabu lalu kerana menghadiri persidangan syarikat bersama dua wakil syarikat dari pejabat di Hong Kong dan New Delhi, menyifatkan insiden itu adalah kejadian terburuk pernah dilihat sepanjang hayatnya.

“Keadaan sekitar hotel sangat teruk... anggota keselamatan di mana-mana, saya tak tahu bagaimana nak jelaskan... apa yang dilihat dalam televisyen, secara amnya itu yang berlaku di sana.


“Kami juga tidak dibenarkan keluar dari bilik masing-masing,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 0195, pada jam 7.49 pagi semalam.


Kepulangan beliau disambut suaminya, Alan Shan, 31, yang juga perunding syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Pervinderjeet berkata, beliau gembira dan lega apabila pejabat konsul memaklumkan beliau boleh kembali ke tanah air, semalam.

“Saya mendapat kerjasama baik pejabat konsul di Mumbai dan berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat mengenai pelancong Malaysia di negara berkenaan, selain menguruskan kepulangan kami dengan segera sebelum keadaan di sana lebih teruk,” katanya yang mengaku tidak serik untuk ke luar negara walaupun menghadapi pengalaman menakutkan.

Sementara itu, Alan berkata, ketika mendengar berita mengenai insiden serangan pengganas di Mumbai, beliau panik mengenangkan isteri yang baru tiba di bandar raya berkenaan atas urusan syarikat.

“Saya terus menghubungi isteri untuk mengetahui keadaannya, saya bersyukur dia selamat... kami tidak putus hubungan, malah isteri kerap menghubungi ahli keluarga lain untuk memaklumkan keadaannya,” katanya.

Insiden berdarah serangan kumpulan pengganas bersenjata Rabu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 143 terbunuh, manakala kira-kira 315 lagi cedera di sembilan tempat, termasuk dua hotel mewah dan dua hospital di bandar raya Mumbai.

Dalam serangan bersiri itu, sekurang-kurangnya 15 tebusan turut ditahan, manakala lebih 100 lagi, termasuk seorang wanita rakyat Malaysia, dikhuatiri terperangkap dalam bilik masing-masing di Hotel Taj Mahal, hotel terkenal berusia 105 tahun.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130105834/Article/index_html

Bimbang jadi ikutan

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN


KUALA LUMPUR: Barangkali ada beranggapan ia kebetulan, tetapi realitinya belum pernah industri hiburan tanah air menyaksikan terbongkar kisah sekurang-kurangnya 18 artis terbabit masalah rumah tangga dengan sebahagian besar membabitkan kes perceraian hanya dalam tempoh 11 bulan.

Lebih ‘menakjubkan’, dalam tempoh itu perceraian di kalangan golongan terbabit berlaku hampir setiap bulan.

Berdasarkan rekod, penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23, membuka tirai episod perceraian 2008 apabila bercerai dengan suaminya Datuk Sukri, 50, pada Februari lalu.

Ini diikuti penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28, dengan Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei), sehinggalah yang terakhir pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29, dengan Nur Farhana Mahamad Fauri, 26, (24 November). Noraniza Idris, 40, turut bercerai untuk kali kedua dalam tempoh berkenaan, tetapi tarikhnya tidak diketahui.


Menarik mengenai kontroversi membabitkan Bell, pelakon filem baru Antoo Fighter itu pernah membuat penafian menghantar SMS cerai kepada isterinya dan mengakui hanya mengikuti sesi kaunseling di akhbar ini, tetapi kebenaran akhirnya terungkai apabila kes SMS itu dibawa ke mahkamah sehingga sah bercerai talak satu.


Selain perceraian, beberapa artis turut terbabit pergolakan rumah tangga dengan kisah pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32, dan Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30, paling hangat diperkatakan, terutama selepas Norman ditangkap khalwat dengan pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20. Abby meminta supaya diceraikan tetapi sehingga hari ini tiada kisah terbaru daripada mereka.

Kisah penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, atau Erema yang memfailkan cerai terhadap suaminya, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43, juga mendapat perhatian kerana permohonan cerai dibuat ketika penulis lirik itu menderita penyakit saraf dan dalam keadaan tidak upaya.

Kes tuntutan cerai Erema akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya Selangor, 1 Disember ini.

Turut tersenarai dalam kontroversi pergolakan rumah tangga sepanjang tempoh 11 bulan ini ialah pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dengan isterinya Intan Shahira Mohd Shahru, 27, yang kesnya masih dalam perbicaraan dan penyanyi, Jamaluddin Elias, 48, atau Nash dengan Sosilawati Lawiya, 44, yang perbicaraan kes perceraian mereka sudah selesai tetapi masih tinggal berasingan walaupun mahkamah memutuskan mereka sah sebagai suami isteri.

Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46, pula meragui status perkahwinannya dengan ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, sehingga terpaksa mencari penyelesaian di Mahkamah. Kes ini masih dalam perbicaraan.

Terbaru, penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31, atau Radhi OAG turut terbabit dalam kemelut pergolakan rumah tangga di kalangan artis apabila isterinya, Shazlin Sharif, 30, memohon fasakh dan pengesahan perceraian. Bagaimanapun, Radhi tidak hadir buat kali ketiga 25 November lalu.

Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), ia fenomena membimbangkan, manakala Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi Pemuzik Dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) mahu campur tangan untuk membantu dengan mempertimbangkan mengadakan kursus mengenai pentingnya institusi perkahwinan dan kebahagiaan rumah tangga kepada golongan terbabit.

Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata apabila timbul masalah membabitkan artis, sekalipun mengenai pergolakan rumah tangga, ia wajar diberi perhatian serius kerana mereka (artis) ‘milik masyarakat’.

“Artis perlu sedar mereka ada peminat yang mengikuti perkembangan hidup mereka. Sebab itu mereka perlu berhati-hati dan bersikap rasional dalam apa jua tindakan yang bakal diambil.

“Segala keputusan, sama ada suka atau tidak, mereka perlu fikir panjang. Ini kerana permasalahan itu, mahu tidak mahu, terpaksa dikongsi dengan peminat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, dia khuatir perceraian di kalangan artis dianggap perkara biasa dan secara tidak langsung menjadi ikutan membuta tuli.

“Kita tidak mahu tanggapan begini terjadi, ia (perceraian) dianggap norma biasa. Orang akan kata, perceraian bukan perkara asing lagi, apatah lagi membabitkan artis,” katanya.

Tambah beliau, artis juga tiada pilihan dan perlu menjadi contoh dan teladan baik kepada peminat dan masyarakat yang memerhatikan mereka.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, pula berkata adalah wajar artis yang hendak berkahwin diberi kursus tambahan atau ceramah khas mengenai kepentingan perkahwinan.

Katanya, walaupun ada kursus dijalankan jabatan agama, perlu ada ‘pengisian’ tambahan kepada artis supaya mereka lebih memahami tanggungjawab yang perlu ditunjukkan dalam masyarakat.

“Saya akan usulkan dalam mesyuarat akan datang mengenai masalah (perceraian) ini dan mencadangkan supaya diadakan ceramah atau kursus tambahan. Kita akan meminta kerjasama jabatan agama terbabit untuk melaksanakannya.

“Bukan niat mencampuri urusan rumah tangga artis lain, tetapi sebagai orang lama dalam bidang ini, artis perlu sedar tanggungjawab mereka besar, tidak saja kepada isteri dan keluarga tetapi masyarakat,” katanya.

Mustapha berkata, artis tidak boleh mendabik dada dan mengambil sikap sambil lewa, terutama dalam kes perceraian, kerana mereka perlu fikirkan akibat perbuatan mereka.

“Saya faham, bukan senang menjadi artis. Saya melaluinya selama bergelumang dalam dunia seni, sebab itu saya nasihatkan mereka (artis) supaya berhati-hati dengan apa-apa jua tindakan dan tingkah laku.

“Mereka perlu pandang ke depan, jika tersilap langkah banyak kesan negatif. Ia bukan saja membabitkan keluarga dan diri sendiri, malah kerjaya, termasuk produksi, pengarah filem dan drama, atau penerbit lagu dan sebagainya.

“Artis tidak sama dengan orang biasa, banyak perkara perlu diambil kira dalam sesuatu keputusan, meskipun membabitkan masalah peribadi. Ada kala, saya bersimpati dengan apa yang menimpa artis, tetapi itu cabaran yang perlu mereka galas,” katanya.

Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid, turut bersetuju jika artis yang hendak melangsungkan perkahwinan atau sudah berkahwin diberi kaunseling dan pendedahan agama dengan lebih mendalam mengenai pentingnya menjaga keutuhan rumah tangga yang mereka bina.

Katanya, memandangkan lumrah menjadi artis yang tidak terlepas daripada perhatian masyarakat, cara berkenaan penting bagi memberi kesedaran kepada golongan terbabit.

“Bagi saya, dalam hal ini kekuatan agama penting. Namun saya sedar dunia artis ini lain, banyak dugaan perlu dilalui. Artis itu perlu bijak menangani masalah mereka,” katanya.

Pun begitu, kata beliau, artis perlu menyokong saranan mengadakan kursus tambahan, ceramah dan kaunseling.

“Kalau artis tidak datang ke program dirancang, itu juga menjadi masalah. Sebab itu kesedaran dalam diri artis perlu ada,” katanya.

Selain artis, masalah rumah tangga golongan selebriti di kalangan pengacara televisyen turut mendapat perhatian. Pada 26 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan pengesahan lafaz cerai pengacara rancangan 360 Darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI), Mazidul Akmal Sidik, 41, terhadap isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38.

Pada 28 November lalu pula menyaksikan Pengacara rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas yang memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes berkenaan kerana suaminya tidak hadir.



>Kes-kes



Bercerai

1. Penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23 — Datuk Sukri, 50 (Februari).

2. Penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28 — Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei).

3. Pelakon, Nor’ Ashikin Karman atau Norish Karman, 34 — Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60 (15 Julai).

4. Penyanyi, Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Siti Fairuz, 44 — Mohamad Zainuddin Kordi, 45 (14 Julai).

5. Pelakon, Nora Mohd Danish Hanif atau Nora Danish, 26 — Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 38 (12 Ogos).

6. Penyanyi Norazlina Abd Rahman atau Leina Hangat, 36 — Muhammad Jamal Delaloy Abdullah, 40 (6 Ogos).

7. Penyanyi kumpulan VE, Charma Adizalilullah Abdul Khalil atau Cham VE, 30 — Karmila Khalid, 31 (8 September).

8. Penyanyi, Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman atau Anis Suraya, 28 — Wan Kasmaizi Wan Kamaluddin, 28 (14 Oktober).

9. Pelakon, Emma Akma Yunus atau Emma Akma, 39 — Mohd Kamal Jaafar Sidek, 34 (29 Oktober).

10. Pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29 — Nur Farhana Mahamad Fauri, 26 (24 November).

11. Penyanyi, Noraniza Idris, 40 — dirahsiakan. (Tarikh tidak diketahui)




Bergolak

1. Pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32 — Pelakon, Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30.

2. Pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 28 — Intan Shahira Mohd Shahru, 27.

3. Jamaluddin Elias atau Nash, 48 — Sosilawati Lawiya, 44.

4. Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46 — Nor Radhiah Ramli, 22.

5. Penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31 atau Radhi OAG — Shazlin Sharif, 30.

6. Penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25 — Penulis lirik, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081130110335/Article/index_html

Tonik setan


Oleh FUAD HADINATA YAACOB, SHAMRAN SARAHAN dan FAUZI RAHIM MUSTAFA


KUALA LUMPUR: Harganya murah iaitu hanya RM4 sebotol, tetapi kesannya sungguh luar biasa. Ini menjadikan arak ini ‘minuman rasmi’ mat rempit dan bohsia sebelum beraksi di jalan raya dan melepaskan nafsu di ranjang.

Arak berjenama Thai Song yang diseludup dari negara jiran ini kini dijual secara berleluasa, termasuk di kedai runcit yang boleh dibeli remaja dengan bebas.

Minuman yang dianggap ‘tonik setan’ ini dianggap mampu membuatkan mereka khayal segera bagaikan steroid untuk meningkatkan keberanian melakukan aksi maut ketika menunggang motosikal.

Lebih memalukan, ada juga remaja yang terjebak dalam gejala seks bebas percaya arak itu mampu menambah daya seksual mereka.

Thai Song dikatakan lebih ‘power’ berbanding arak lain berikutan mengandungi alkohol tinggi, mencecah 30 peratus. Bagi mendapatkan kesan lebih hebat, ada mat rempit mencampurkan arak itu dengan sejenis air berkarbonat serta pil ecstasy supaya lebih ‘kick’ (cepat dan lebih khayal).

“Sejam selepas itu, mula rasa khayal dan wujud perasaan berani. Apabila lupa diri, waktu itu ada yang berlumba, tidak kurang juga ambil kesempatan melakukan seks kerana lebih bertenaga dan menyeronokkan,” kata mat rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Zan berusia 19 tahun.

Dia yang terbabit dalam aktiviti itu sejak berusia 15 tahun berkata, kesan khayal berlarutan antara tiga ke empat jam bergantung pada sebanyak mana seseorang itu meminumnya.

“Pernah kawan saya minum banyak botol, dia tidur dari jam 2 pagi hingga 5 petang keesokan. Apabila khayal, kita tak tahu apa yang kita buat, sebab itu kebanyakan mat rempit menjadikan tempat tersorok seperti bangunan lama atau hutan, malah kubur, sebagai tempat lepak untuk minum dan buat ‘projek’ (seks bebas).

“Apabila sudah pengsan, ia mengambil masa lama untuk sedar dan pulih,”
katanya ketika ditemui di Bangsar, baru-baru ini.

Menurutnya, Thai Song dipilih kerana harganya murah dan senang dibeli, selain menjanjikan rasa khayal sama seperti minuman lain.

“Selain Thai Song, ada arak jenis lain seperti ‘kapak’ dan ‘99’ agak mahal dijual antara RM8 dan RM12 sebotol. Biasanya, kami memilih Thai Song kerana kebanyakan mat rempit dan bohsia tidak berduit dan masih bersekolah, katanya yang sering berkongsi wang bersama rakan untuk membeli Thai Song.

Penganggur, Roy, 22, berkata dia mula minum Thai Song sejak dua tahun lalu kerana menganggap minuman itu lagi ‘power’ berbanding bir yang sekadar mengandungi lima hingga lapan peratus alkohol.

Katanya, bir yang mudah dibeli di mana-mana premis jualan runcit memerlukan belanja besar kerana ia perlu dibeli dalam jumlah banyak, antara empat hingga lapan tin bagi seorang dengan harga sekitar RM7 hingga RM9 setin.

“Kalau minum Thai Song, minum dua botol dah cukup boleh mabuk. Ia tidak sama macam bir yang membuat saya cepat mengantuk dan mudah hilang kawalan diri.

“Jika minum Thai Song, kepala ‘berdenyut’ dan membuatkan saya segar. Saya jadi lebih berani ketika beraksi di jalan raya, buat apa saja saya tidak takut,” katanya yang berasal dari Shah Alam.

Menurut Roy, dia dan rakan mengambil minuman berkenaan biasanya sebelum keluar merayau-rayau dengan motosikal mereka, sama ada sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Katanya, untuk tujuan itu, mereka sekadar mengambil dua hingga tiga botol minuman itu kerana jika diambil berlebihan mereka boleh lupa diri dan mabuk keterlaluan.

“Bahaya jika minum (Thai Song) dalam kuantiti banyak. Ia boleh menyebabkan saya hilang kawalan dan tidak sedar apa yang dilakukan.

“Cukup sekadar mengambil dua botol, itupun sudah ‘kick’. Bukan saja hilangkan rasa segan dan malu, malah ada kala saya dapat lakukan aksi luar biasa, seperti aksi ‘pacak’ dan memecut laju dengan lebih berani berbanding dalam keadaan normal,”
katanya.

Pekerja kilang, Adi, 21, dari Kuala Lumpur, berkata meminum arak murah itu bagaikan perkara wajib kepada dia dan rakan jika hendak berlumba dengan geng motosikal daripada kumpulan mat rempit lain.

Katanya, selain mendapat keseronokan dan mabuk selepas meminum arak itu, mereka menjadi agresif dan ia dapat menghilangkan rasa gementar sebelum memulakan perlumbaan.

“Walaupun berlumba sekadar enam hingga 10 tiang (lampu), dalam keadaan normal saya akan berasa gementar. Selepas minum (arak), semua perasaan itu hilang.

“Ketika menarik pedal minyak motosikal, saya bertukar ghairah dan bersemangat. Ia sangat menyeronokkan,”
katanya.

Menurut Adi, minum arak itu juga membuatkan dia kelihatan lebih hebat dan digeruni di kalangan mat rempit lain.

Katanya, ini kerana mat rempit yang tidak mengambil arak atau ganja dipandang rendah.

Memalukan jika turun atas jalan kalau ‘kepala kosong’. Sudah jadi ‘trend’ di kalangan kami buat begini. Tidak kira sama ada ambil Thai Song atau ganja.

“Namun, bagi saya lebih selamat ambil arak. Jika dicekup polis dan pihak berkuasa pun, kesalahan minum arak tidak seperti ambil ganja yang boleh menyebabkan kami dihantar ke pusat serenti,”
katanya.

Bagi pemuda berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Ali, dia ketagih Thai Song sejak tamat sekolah tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia sangat terseksa ketika mula mencuba minuman itu kerana rasanya pahit dan membuatkan dia mabuk sehingga pengsan.

“Arak ini memang kuat, pertama kali mencuba sukar mengawal diri. Perlu kerap minum supaya lebih biasa. Tidak seperti minum bir, mabuknya boleh dikawal kerana ‘kick’ lambat (terasa).

“Berbanding Thai Song, minum sebotol saja, kalau tidak biasa sudah boleh dapat kesannya. Paling penting, harganya murah dan tidak perlu berbelanja banyak untuk mabuk,”
katanya yang kini menetap dengan keluarga di Petaling Jaya.

Selain berseronok, Ali berkata, dia juga meminumnya untuk mendapatkan keberanian ketika melakukan kegiatan mencuri motosikal bersama rakan.

“Susah bergerak (mencuri motosikal) dengan rakan kalau kepala tidak ‘berisi’. Jika dalam keadaan mabuk, saya lebih berani dan mudah jalankan tugas,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20081130103816/Article

Pekerja kilang paling awal diberhenti kerja

PETALING JAYA – Pekerja industri elektrik dan elektronik dijangka menjadi kumpulan terawal diberhentikan kerja dalam suasana kemelesetan ekonomi dunia yang sudah pun berlaku.

Sektor itu menjadi sasaran awal berikutan kebanyakan kilang-kilang besar itu dimiliki syarikat multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam berkata, banyak syarikat AS sudah terasa bahang kemelesetan apabila permintaan terhadap produk masing-masing susut.

“Kesan pemberhentian pekerja ini akan terasa dulu di Pulau Pinang dan Johor Bahru dan kemudian Lembah Klang,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Buku Occupational Health For Health Care Professionals di sini semalam.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian, sudah ada kilang-kilang yang mengurangkan jumlah pengeluaran, masa operasi dan bilangan pekerja bagi proses pemasangan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Surat, SMS jadi pengikat cinta


SYUKUR dan Hafizah saling menyampaikan kata I Love You dengan bahasa isyarat pada majlis persandingan mereka di Ayer Molek, Melaka kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


MELAKA – Meskipun tidak mampu melafazkan kata-kata cinta, ia tidak menghalang Syukur Salim dan Hafizah Abd. Aziz untuk ke jinjang pelamin.

Pasangan bisu dan pekak itu, selamat diijab kabul di rumah Hafizah di Kampung Ayer Molek Darat, dekat sini kelmarin di hadapan lebih 500 sanak saudara dan penduduk kampung dengan bantuan jurubahasa.

Syukur, 25, lulusan diploma dari Politeknik Shah Alam kini bekerja sebagai juruelektrik manakala Hafizah, 24, yang merupakan lulusan Politeknik Johor Bahru pula bekerja sebagai tukang jahit.

“Kami mula kenal sejak berusia 17 tahun di sekolah menengah,” jelas Syukur yang dibantu jurubahasa yang juga bekas gurunya, Rosli Aliman.

Menurut Syukur, mereka sering berutus surat dan berhubung menerusi khidmat pesanan ringkat (SMS).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Bisnes songsang rancak - Khidmat tukang urut dan pelacur gay mendapat permintaan


KUALA LUMPUR – Pelacur lelaki kembali berniaga.
Demikianlah keadaannya di sepanjang deretan kedai tiga tingkat di Cheras ini yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Malah kegiatan pelacuran songsang itu pernah dibongkarkan oleh Kosmo! pada awal Januari lalu dan kini ia kembali semula menjadi lubuk untuk lelaki gay untuk memuaskan nafsu mereka.

Pelacur lelaki yang menawarkan khidmat seks itu didapati berselindung di sebalik perniagaan premis rumah urut yang kebanyakannya berada di tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan.

Wartawan Kosmo! Ahad yang menyamar sebagai pelanggan rumah urut itu mendapati khidmat pelacuran masih dijalankan malah terdapat pula beberapa pakej perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan homoseksual.

“Kita ada beberapa pakej. Urut badan biasa RM40 sebelum pukul 6 tapi kalau lepas itu, harga sudah RM50. Pakej lain pun kita ada,” kata seorang pengusaha pusat urutan refleksologi.

Apabila diminta untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai tawaran pakej yang ada, dia berkata:

“Pakej RM60 ada urutan badan sama tukang urut bogel. Pakej RM90 untuk servis body to body. Spa pun ada tapi RM25. Bayaran itu untuk hanya satu jam sahaja.”

“Kalau pakej RM40, tukang urut pakai seluar dalam dan baju-T sahaja.

“Kalau RM60, tukang urut tanpa pakaian akan urut you. Oral sex termasuk sekali,”
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Zaid, Yong hadiri kongres PKR, nafi sertai pembangkang



Sabtu November 29, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



SHAH ALAM: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee terus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan di majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.


Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan.


"Ya, saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.


Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.


Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.


"Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.


Menurut beliau, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.


Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu.


"Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.


Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.


Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/29/mstar_berita/20081129181114&sec=mstar_berita

PKR sedia 'tempur' Sarawak, Anwar terus beri harapan tubuh kerajaan



Sabtu November 29, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan langkah drastik 'menggempur' Sarawak bagi memastikan pengaruhnya dapat menembusi negeri berkenaan bemula bulan hadapan.


Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rintihan dan kemahuan rakyat di Sarawak yang sangat inginkan perubahan sentiasa didengari dan akan diberi perhatian yang serius.


"Mudah-mudahan kita dapat menjana kekuatan yang lebih dan seruan rakan di Sarawak juga kita dengar dan kita sudah putuskan mulai bulan hadapan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PKR untuk 'bertempur' di Sarawak," katanya semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.


Anwar juga melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP akan terus bekerjasama bagi memastikan perubahan besar akan berlaku di Sarawak malah terus memberi harapan untuk membentuk kerajaan.


"Kita percaya pimpinan PAS dan DAP akan sama-sama membantu kita supaya kita saksikan perubahan besar di Sarawak dan mudah-mudahan ada juga perubahan besar lainnya yang akan berlaku di negara kita," katanya sambil disambut tepukan gemuruh penyokongnya.


Kongres berkenaan dihadiri oleh kira-kira tujuh ribu penyokong parti itu yang terdiri datipada 1927 perwakilan, 1200 pemerhati dan hampir empat ribu pemerhati terbuka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata harapan seluruh rakyat masih tinggi untuk melihat perubahan dalam kepimpinan politik negara.


"Saya percaya harapan kita masih tinggi kerani kita janjikan perubahan walaupun perubahan ini masih belum capai sepenuhnya.


"Harus ingat, perubahan ini bukan untuk politik peribadi tetapi untuk tegakkan satu sistem yang bebas," katanya.


Tegas beliau walaupun perubahan kuasa masih belum berlaku pada 16 September namun semangat perjuangan yang diperjuangkan rakyat tidak akan tergugat walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai pihak.


"Saya percaya walaupun dengan sepak terajang mereka tak mungkin akan gugat semangat kejituan dan kepahlawanan rakyat jelata," katanya.


Tambah beliau lagi, sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah 'jaguh Melayu tulen' yang mempertahankan hak kaum Melayu.


"Padahal mereka sendiri yang melakukan pembohongan...merekalah pemimpin Melayu yang pecah amanah," katanya.


Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata pakatan itu tidak akan sekali-kali mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Kita janjikan suara rakyat...suara keramat. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai soal kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kuasa Raja-raja serta hak keistimewaan orang Melayu tidak akan kita pertikaikan," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/29/mstar_berita/20081129172904&sec=mstar_berita

PKR sedia kembalikan kedaulatan Raja Beperlembagaan

Sabtu November 29, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK




Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR. -foto AP

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia untuk perjuangkan dan mengembalikan kedaulatan institusi diraja berpaksikan sistem Raja Berpelembagaan.


Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata 'kontrak bersama' yang ditandatangani komponen Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu menjelaskan mengenai komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu.


"Malaha kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.


"Kita juga akan memberikan komitmen mengenai kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.


Menurut beliau pucuk pimpinan Pakatan Rakyat juga telah beberapa kali mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia.


Jelasnya perkembangan terbaru itu merupakan kejayaan besar yang menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah.


"Inilah erti sebenar 'Harapan Baru' yang kita bawa iaitu bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara berpandukan pentadbiran yang telus dan adil," katanya.


Tambah beliau lagi pakatan pembangkang itu juga sentiasa bersedia mengamalkan prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil.


Isu berkaitan dengan kekebalan Raja-raja Melayu ini mula timbul apabila media melaporkan pada Rabu lalu mengenai titah Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang mahu kekebalan raja sebagai pelindung dikembalikan.


Dalam ucapannya, Azizah juga menyatakan keyakinan untuk menggerakkan perubahan iklim politik di sabah dan Sarawak.


"Saya yakin ini adalah petanda bermulanya satu pergerakan perubahan di Sabah dan Sarawak.


"Kita juga menjanjikan persembahan menarik dalam pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan dalam tahun 2009," katanya.


Tegas beliau juga rancangan peralihan kuasa pimpinan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razakn tidak akan membawa sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama seperti badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan institusi Parlimen.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/29/mstar_berita/20081129152745&sec=mstar_berita

Muhyiddin: Tukar sistem atasi politik wang


Sabtu November 29, 2008

PETALING JAYA: Dalam usaha membanteras politik wang dalam Umno, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing, dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu.


"Saya mempunyai beberapa cadangan untuk mengatasi salah laku yang memberi pandangan negatif terhadap Umno. Satu daripadanya ialah membenarkan perwakilan mesyuarat bahagian untuk memilih pemimpin. Pada masa ini nasib pemimpin parti terletak dalam tangan 2,500 perwakilan yang dipilih ke perhimpunan agung.


"Walaupun ini memerlukan pindaaan perlembagaan Umno, saya rasa ia satu cara kita boleh menangani politik wang dalam parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh di sini.


Beliau berkata sebagai contoh, bahagian Pagoh, yang diketuainya, mempunyai 444 pemimpin peringkat akar umbi yang mengundi untuk memilih pemimpin peringkat nasional, berbanding lima menggunakan sistem yang ada sekarang.


"Dengan cara ini lebih ramai pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan terlibat dalam pemilihan pemimpin peringkat nasional. Semua bahagian boleh mengadakan mesyuarat pada hari yang sama untuk memilih pemimpin parti dan pengiraan undi boleh dibuat di peringkat bahagian dan dikumpul di ibu pejabat. Pengumuman pemenang boleh dibuat hari berikutnya.


"Idea ini boleh diperkemas. Ini hanya satu idea yang saya lontarkan. Ia adalah untuk kebaikan parti keseluruhannya. Kita perlu memperbaiki pandangan masyarakat terhadap Umno dan dengan ini, kita boleh bergerak ke hadapan,"
kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Beliau berkata walaupun idea itu tidak boleh dilaksana pada perhimpunan Agung Umno Mac depan, ia boleh diguna untuk jangka panjang sebagai usaha bagi mengatasi politik wang dalam parti.


Calon jawatan timbalan presiden Umno itu berkata kertas kerja cadangan bagi menambahbaik sistem pemilihan parti itu akan dibuat untuk diserah kepada kepimpinan tertinggi Umno tidak lama lagi.


"Saya juga akan mencadangkan kita hapuskan sistem kuota. Sistem itu memerlukan melobi dan secara langsung menyumbang kepada politik wang," katanya dan menjelaskan bahawa parti politik terbesar itu mungkin perlu menubuhkan jawatankuasa pemilihan pada masa depan jika cadangan itu dilaksana.


Sementara itu, Muhyiddin berkata Lembaga Disiplin Umno yang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang perlu menambah jumlah pegawai penyiasat bagi memastikan tidakan yang lebih cepat dan berkesan.


"Saya setuju tindakan perlu dibuat dengan cepat tetapi jumlah pegawai dalam panel penyiasat perlu ditambah. Tanpa tenaga kerja, bagaimana mereka nak siasat lebih 1,000 aduan dalam masa yang singkat.


"Tambahan pula, sisatan memerlukan masa dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Mereka perlu melengkapkan siasatan dengan teliti. Bagi memastikan siasatan yang adil dan lengkap, mereka memerlukan masa, tetapi jika kita tambah jumlah pegawai penyiasat, mereka boleh mengambil masa dan memberi tumpuan yang lebih,"
katanya.


Ditanya mengenai kenyataan setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa daripada lebih 1,000 aduan mengenai politik wang di dalam parti, 75 peratus adalah dakwaan palsu, beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan oleh Lembaga Disiplin Umno.


"Saya tidak tahu mengenai perkara itu tetapi ia terpulang kepada lembaga untuk memutuskan. Mereka perlu menyiasat dan kemudian membuat keputusan," katanya.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/29/mstar_berita/20081129173519&sec=mstar_berita

Banjir di Kelantan, Terengganu semakin buruk, tidak banyak berubah di Pahang


Sabtu November 29, 2008

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk petang ini apabila semakin ramai yang terpaksa dipindahkan manakala di Pahang keadaan tidak banyak berubah.


Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,743 orang petang ini berbanding 295 orang tengah hari tadi manakala di Kelantan 794 orang, meningkat daripada 109 orang pagi tadi, dan di Pahang 25 orang.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu berkata daripada jumlah itu, 954 mangsa di Besut, Hulu Terengganu (376), Setiu (325) dan Marang (88).


"Kita sedang membuat pemantauan di daerah-daerah lain berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.


Jurucakap itu berkata 10 pusat pemindahan telah dibuka di Besut sehingga pukul 5 petang ini manakala empat di Hulu Terengganu, lima di Setiu dan dua di Marang.


Jurucakap itu berkata paras air sungai yang melepasi paras bahaya di negeri itu sekarang ialah di Kampung La dan Jambatan Jertih di Besut, yang masing-masing mencatatkan 22.36 meter (paras bahaya 19.20 meter) dan 9.03 meter (paras bahaya 8.90 meter) serta Sungai Marang 14.26 meter (paras bahaya 14 meter).


Beliau berkata jalan-jalan yang ditutup setakat ini ialah jalan Kuala Ping ke Kuala Berang di Km28, jalan Kuala BerangSungai Tong, jalan Kuala Berang-Kampung Kepah, yang kesemuanya ditenggelami air sedalam antara 0.5 dan dua meter.


Di Kelantan pula, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata kesemua 794 mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Jeli.


"Jajahan-jajahan lain belum lagi kita terima maklumat terkini mengenai mangsa banjir dipindahkan, hanya Jeli sahaja yang berlaku perpindahan mangsa banjir," katanya, sambil menambah antara jalan yang ditutup kini adalah laluan utama Kota Baharu-Kuala Krai dan Jeli-Dabong.


Dua laluan utama menuju ke jajahan Jeli dan Kuala Krai juga ditutup berikutan air mula naik setinggi satu meter.


Tinjauan Bernama pula mendapati laluan masuk ke bandar Kuala Krai ditutup untuk kenderaan ringan berikutan air Sungai Durian melimpah ke atas jalan setinggi satu meter.


Sementara itu, Ketua Jajahan Jeli Serpudin Mohamad berkata hujan lebat yang melanda jajahan itu sejak 2 pagi tadi, menyebabkan paras air Sungai Pergau dan Sungai Ayer Lanas meningkat mendadak dan penduduk di lima kampung terpaksa berpindah ke empat pusat pemindahan.


Katanya laluan utama untuk masuk ke jajahan Jeli yang ditutup akibat dinaiki air setinggi satu meter adalah Jalan Kuala Balah-Jeli dan Jalan Gua Musang-Jeli.


Di Pahang pula, keadaan banjir di daerah Temerloh dan Cameron Highlands tidak banyak berubah apabila 25 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 29 orang pagi tadi selepas empat sekeluarga dari Kampung Kuang, Lanchang dekat Temerloh dibenarkan pulang berikutan keadaan air di kawasan rumah mereka telah surut.


Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 12 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Kuang, Lanchang manakala 13 lagi dari Lembah Bertam, Cameron Highlands ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet.


Sementara itu, dua jalan di daerah Bera iaitu Jalan Kampung Orang Asli Chuat dan Jalan Kampung Orang Asli Ibam yang ditenggelami air setinggi satu meter masih ditutup untuk kenderaan ringan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/29/mstar_berita/20081129205019&sec=mstar_berita

Rezeki tengkujuh

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my



PENDAPATAN LUMAYAN...Nik Esah membersihkan ubi badak
di gerainya di Kampung Beris Kubor Besar sebelum dijual
dengan harga RM10 hingga RM20 selonggok.


BACHOK: Setiap kali musim tengkujuh, petani dan suri rumah dianggap paling bertuah apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga kira-kira RM3,000 sebulan selepas pelbagai ubi dijual mendapat sambutan ramai.

Walaupun terpaksa menunggu 10 bulan bagi membolehkan ubi ditanam membesar, namun penantian itu berbaloi apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan ketika musim tengkujuh.

Majoriti petani di sekitar daerah itu yang sebelum ini bergantung kepada penanaman tembakau dan tembikai, menarik nafas lega apabila pelbagai ubi ditanam mereka tumbuh dan membesar tanpa sebarang serangan serangga perosak.

Antara ubi yang sentiasa menjadi pilihan ramai ketika musim hujan ialah ubi badak, ubi keling, keledek, keladi dan ubi itik yang dijual antara RM10 hingga RM20 selonggok bergantung kepada saiz dan berat.

Nik Esah Long Hassan, 48, dari Kampung Beris Kubor Besar, dekat sini, berkata musim tengkujuh dianggap rezeki baginya kerana mampu mendapat wang lebih hasil jualan ubi berkenaan.

Menurutnya, hasil jualan berkenaan membolehkan dia mampu membeli beberapa barangan keperluan lain termasuk menyediakan persiapan persekolahan empat anaknya.

“Mak cik berbangga kerana dapat membantu suami kerana sebelum ini dia asyik merungut kekurangan wang untuk membeli persiapan persekolahan anak.

“Ubi itu mulai ditanam Mac lalu di tanah seluas setengah ekar sebelum dijual, kira-kira sembilan bulan kemudian,”
katanya.

Sementara itu, Ismail Razak, 60, yang juga penanam tembakau, berkata memandangkan tanaman itu tidak boleh ditanam ketika musim tengkujuh, dia memilih menanam ubi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129093042/Article/index_html

Ghaib tanpa kesan

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


LESAP...Nora menunjukkan gambar Nur Khairunisa, semalam.


KUALA LUMPUR: “Dia kelihatan murung selepas memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seolah-olah tidak gembira dengan pencapaiannya,” kata ibu Nur Khairunisa Syahidah Shaari, 12, kanak-kanak yang menghilangkan diri secara misteri sejak dua minggu lalu dari rumahnya di Pantai Dalam.

Ibunya yang mahu dikenali sebagai Nora, 41, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.

Katanya, Nur Khairunisa tidak ceria seperti sebelumnya dipercayai kerana keputusan yang diperoleh tidak memuaskan hatinya.

“Saya tidak pasti apa yang disembunyikan dan perubahan sikapnya mula dikesan selepas keputusan UPSR diumumkan baru-baru ini,” katanya kepada Harian Metro di sini, malam tadi.

Menurut Nora, anaknya menghilangkan diri secara misteri dari rumah pada 15 November lalu dan gagal dikesan hingga sekarang.

Katanya, ketika kejadian, Nur Khairunisa didatangi seorang kawan sebelum dia terus keluar mengikut rakannya itu.

“Saya yang berada di dapur tidak sempat memanggilnya dan dia hilang begitu saja sampai sekarang.

“Sejak kehilangannya, kami sekeluarga mencarinya di serata tempat termasuk di rumah kawan dan saudara-mara namun gagal,”
katanya.

Nora berkata, sebagai ikhtiar, dia turut berjumpa beberapa pengamal perubatan tradisional untuk menjejaki anaknya namun gagal.

Katanya, sejak hari kejadian Nur Khairunisa langsung tidak menghubunginya dan dia bimbang kejadian buruk menimpa ananya itu.

Selepas puas mencarinya di merata tempat, suami Nora membuat laporan di Balai Polis Pantai berhubung kehilangan anaknya tiga hari selepas kejadian.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Nur Khairunisa diminta menghubungi talian 013-6065757 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129093151/Article/index_html

Saturday, November 29, 2008

Bomoh `moden’ rawat pesakit atas pokok


PERIKSA...Pak Su Isa memeriksa tekanan darah pesakitnya.


PADANG TERAP: “Saya bukannya bomoh atau doktor,” kata pengamal perubatan alternatif, Mehad Saud, 58, yang popular di kalangan penduduk Kampung Bonggol, Padang Sanai, dekat sini, kerana menggabungkan rawatan tradisional dengan peralatan perubatan moden.

Mehad yang lebih selesa dipanggil sebagai Pak Su Isa, turut digelar ‘bomoh moden’ kerana menggunakan alat tekanan darah, steteskop dan lampu suluh setiap kali memeriksa pesakitnya.

Malah, keunikannya bukan saja terletak pada kaedah rawatannya tetapi juga pada pusat rawatannya yang didirikan di atas sebatang pokok jati sebesar tiga pemeluk, menjadikan ia sebagai suatu tempat perubatan pertama seumpama itu di negara ini.

Menurutnya, dia mewarisi kepakaran perubatan tradisional itu secara turun temurun daripada keluarganya serta sudah menceburi bidang itu sejak 10 tahun lalu. Namun, kombinasi peralatan moden dalam kaedah rawatannya bermula kira-kira empat tahun lalu.


“Selain itu, saya mengikuti lebih 30 kursus perubatan yang diadakan sekitar Kedah bagi meningkatkan ilmu serta kemahiran sedia ada kerana setiap doktor mempunyai kepakaran masing-masing, begitu juga dengan saya yang khusus pada bahagian usus,” katanya ditemui di pusat rawatannya di Teratak Herba, di Kampung Bonggol, Padang Sanai, dekat sini, semalam.


Mehad berkata, dia bukan memberi ubat kepada kesakitan yang dihadapi tetapi sebaliknya, beliau mendakwa merawat punca penyakit berkenaan.

“Sebagai contoh, segelintir pesakit yang datang mengadu menghadapi sakit kepala disebabkan ‘angin’ yang terlalu banyak dalam badan mereka. Jika angin itu dapat dikeluarkan, maka kesakitan yang dihadapi mereka juga turut hilang,” katanya.

Katanya, setiap ubat pada rawatan penyakit usus yang dimilikinya ini dihasilkan sendiri berasaskan lebih 100 herba yang ditanam di sekeliling rumahnya.

“Antaranya jelatang gajah, keladi dua cabang, senduduk putih dan biru, ginseng, kayu penunduk, kayu panah bulan lima, api tiga lungguk, pokok galak tua, 300 katam dan pokok lipan.

Campuran beberapa jenis herba akan dapat menghasilkan beberapa jenis ubat-ubatan antaranya sembelit, lemak berlebihan, darah tinggi, jantung dan resdung,”
katanya.

Beliau berkata, dia melakukan pekerjaan ini hanyalah disebabkan niatnya untuk membantu orang ramai kerana kelebihan yang dianugerahkan Tuhan kepadanya selain menjadikan pakar perubatan Islam iaitu Ibnu Sina sebagai idolanya.

Sementara itu, salah seorang pesakitnya yang ingin dikenali sebagai Salman Hamat, 35, berkata dia yang menghidap sakit jantung mula diperkenalkan kepada Pak Su Isa oleh seorang rakan.

“Pada mulanya agak terkejut juga apabila melihat dia menggunakan peralatan moden ketika memeriksa saya. Hendak ketawa juga dibuatnya.

“Tetapi sudah terlanjur datang, saya meneruskan niat untuk mendapatkan rawatan. Dia yang mula meyakinkan saya selepas memberitahu kesakitan yang dihadapi saya,”
katanya.

Salman berkata, selepas empat bulan dirawat Pak Su Isa, dia diminta membuat pemeriksaan semula di hospital.

“Cukup mengejutkan apabila doktor mengesahkan saya sudah sihat sepenuhnya dan saya tidak putus-putus mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada Pak Su Isa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129100233/Article/index_html

Ambil pembantu rumah tempatan

IPOH: Orang ramai yang memerlukan khidmat pembantu rumah disyorkan supaya mengambil pembantu rumah profesional di kalangan penduduk tempatan yang dilatih melalui program pengurusan rumah profesional kendalian Jabatan Pembangunan Wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata langkah itu juga boleh dilakukan sebagai usaha berjimat cermat bagi berdepan dengan masalah kegawatan ekonomi yang dijangka serius tahun depan.

“Pengambilan pembantu rumah di kalangan peserta program pengurusan rumah profesional lebih menjimatkan kerana mereka tidak perlu tinggal bersama di rumah majikan dan cukup terlatih,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129100400/Article/index_html

Biar rakan perkosa adik

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my



DUNGUN: Seorang abang tergamak membiarkan adik kandung yang juga seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi mangsa rogol beberapa rakan ketika berkunjung ke rumahnya.

Perbuatan lelaki terbabit juga penagih dadah dengan hanya berdiam diri dalam kejadian pertama tiga tahun lalu, menyebabkan mangsa terus menjadi bahan pemuas nafsu rakannya.

Difahamkan semua lelaki terbabitjuga penagih dadah sering bertandang ke rumah berkenaan ketika ibu dan bapa serta adik-beradik mangsa lain tiada.

Mangsa yang mempunyai masalah lembam kini berusia 20 tahun.

Perbuatan seperti binatang semua rakan abang mangsa semakin kerap sejak tiga bulan lalu hingga menyebabkannya disahkan hamil.

Rahsia tiga tahun itu akhirnya terbongkar apabila ibu mangsa berusia 49 tahun melihat keadaan anaknya itu sering loya, muntah dan pening sejak sebulan lalu.

Mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan kesihatan kira-kira jam 8 pagi, Selasa minggu lalu.

Hasil pemeriksaan itu, doktor mengesahkan gadis itu hamil lebih dua bulan.

Terkejut dengan keadaan itu, ibunya membuat laporan di Balai Polis Dungun, jam 6.20 petang hari sama.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata mangsa dipercayai dirogol beberapa lelaki yang juga rakan abangnya ketika seorang diri di rumah selepas ibu dan bapanya masing-masing sebagai pembantu rumah dan buruh, bekerja.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dirogol lebih sekali oleh beberapa suspek, rakan abang mangsa dipercayai penagih.

“Anak ketiga daripada enam beradik itu mendakwa pernah dirogol seorang daripada suspek ketika berusia 17 tahun dan sekali lagi mengulangi perbuatan sama bersama beberapa suspek lain menyebabkan dia hamil,”
katanya.

Menurutnya, keadaan fizikal mangsa menyebabkan dia tidak mampu mengadu kepada keluarga berhubung kejadian menimpanya.

Beliau berkata, usaha menahan semua suspek sedang dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129100642/Article/index_html

Alternatif ambil gadis

SEREMBAN: Ahli keluarga seorang remaja perempuan yang masih tidak pulang ke rumah kerana mengikut teman ‘lelakinya’ iaitu seorang pengkid hampir dua bulan, bercadang mengambil tindakan drastik dan lebih tegas dalam usaha membawanya pulang ke pangkuan keluarga dan memulihkannya.

Remaja berusia 18 tahun itu yang juga anak keempat daripada enam beradik, keluar dari rumahnya di Jalan Seremban-Jelebu, Pantai, dekat sini, kira-kira jam 2 petang 3 Oktober lalu, dan berjaya dibawa pulang, tetapi tidak sampai seminggu kemudian, dia mengikut semula pengkid itu.

Sepupu remaja terbabit yang mahu dikenali sebagai Azizul, 29, berkata antara langkah yang difikirkan termasuk menggunakan air penawar supaya dia melupakan pengkid terbabit selain membawanya ke kampung untuk sementara waktu.

“Semua ahli keluarga terutama ibu dan adik beradik remaja itu sedang membincangkan perkara ini kerana bimbang keadaan dirinya yang tidak mahu pulang ke pangkuan keluarga.


“Malah, sejak dia mengikut pengkid terbabit, sikap dan tingkah lakunya banyak berubah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129100841/Article/index_html

`Kami serik melancong’


SEPANG: “Saya serik untuk melancong dalam masa terdekat kerana pengalaman amat menakutkan kami sekeluarga,” luah ahli perniagaan, Hajjar Mohd Roslin, 40-an yang terkandas di Bangkok selepas penerbangannya ditunda berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Survanabhumi.

Hajjar yang bercuti bersama tujuh ahli keluarga di Bangkok seminggu lalu menganggap pengalaman menakutkan ketika terkandas sebagai pengalaman berguna apatah lagi ketika bersama anak berusia antara 16 hingga dua tahun.

Menurutnya, ketika mendapat maklumat mengenai penutupan lapangan terbang itu, dia terus menghubungi pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka.

“Ketika itu, kami berada di hotel, tetapi sentiasa berhubung dengan MAS sebelum dimaklumkan mengenai penerbangan khas disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa U-tapao, Pattaya, untuk membawa penumpang yang terkandas pulang ke tanah air.


“Kami keluar awal pagi sebelum menaiki penerbangan kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan).

“Bersyukur sangat dapat pulang ke Malaysia, tetapi kami serik untuk melancong ke luar negara dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Bangkok kira-kira jam 10.45 malam tadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081129100945/Article/index_html

Azab cinta sejenis



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Janji dia menyayangi saya di dunia dan akhirat adalah drama semata-mata. Selepas dua bulan tinggal bersama, dia mula tunjuk belang termasuk mencuri wang dan menggadai semua barang kemas saya,” kata seorang mangsa pengkid temberang yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, 33, semalam.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu menyesali peristiwa hitam dalam kehidupannya gara-gara terpedaya pujuk rayu dan godaan kekasih kaum sejenis hingga melarikan diri meninggalkan anak dan suami pada 2005.

Dia sanggup melupakan anaknya yang ketika itu berusia tujuh tahun dan suami yang bekerja sebagai pekerja kontrak.

Mengenang semula peristiwa gelap itu, kata Anita, ia umpama mimpi buruk kerana tidak menyangka boleh terjalin hubungan intim bersama Angah yang berperwatakan lelaki di tempat kerja iaitu sebuah kilang di Tampoi.

“Angah yang berusia 40-an berpura-pura baik dan penyayang sehingga menjadi tempat saya berkongsi masalah keluarga. Hubungan kami kemudian bertambah rapat dan lebih daripada rakan biasa.

“Saya taksub dengan kata-kata Angah lalu mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu. Selama setahun menjalin hubungan bersamanya, saya sanggup membelanjakan semua duit gaji bagi memenuhi pelbagai permintaannya.

“Apabila cinta songsang kami diketahui keluarga, saya tidak berfikir panjang untuk melarikan diri apabila Angah mengajak memulakan kehidupan baru bersamanya disebabkan tiada pilihan lain untuk menyelamatkan hubungan itu,”
katanya.

Anita berkata, mereka melarikan diri ke Melaka dengan bekerja sebagai operator pengeluaran manakala tempat tinggal di asrama pekerja.

Kebahagiaan mereka tidak kekal lama kerana pengkid terbabit mula menunjukkan sikap agresif termasuk nyaris mencederakannya beberapa kali apabila hubungan percintaannya dengan seorang gadis lain terbongkar.

“Angah sanggup mencuri pelbagai barang kemas saya dan wang semata-mata untuk menampung keperluan kehidupan sosialnya.

“Perbuatannya menimbulkan tekanan hebat kerana sudahlah saya meninggalkan keluarga demi dia, dia pula bersikap lepas tangan walaupun pernah berjanji sehidup semati bersama saya.

“Saya terkilan dengan tindakannya memperbodohkan saya apabila menghilangkan diri dan meninggalkan saya berseorangan,”
katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kempas, semalam.

Anita berkata, dia bersyukur kerana keluarga sanggup menerimanya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Selama ini dia bekerja di Temerloh kerana tidak mahu pulang kerana bimbang keluarga tidak akan menerima kehadirannya.

“Perpisahan itu balasan Allah terhadap perbuatan saya dan ia memberi pengajaran.

“Hanya kunci rumah yang saya bawa bersama menjadi pengubat rindu terhadap keluarga selama tiga tahun ini,” katanya yang tidak menyangka ahli keluarga termasuk ibunya yang sanggup meminta bantuan Harian Metro pertengahan Ogos lalu.

Dia yang membaca berita itu segera menelefon ibu dan memaklumkan situasi sebenar kerana tidak mahu dia bimbangkan keselamatannya.

“Kami tidak tahan sebak kerana sudah lama tidak berbual, tetapi saya tidak dapat pulang segera ke Johor kerana perlu memberi notis berhenti kerja kepada majikan.


“Saya tidak menjangka ibu dan anak saya, Lela yang kini sudah berusia 10 tahun sanggup menjemput saya di Terminal Pengangkutan Awam Larkin apabila saya tiba di Johor kelmarin,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang tomboi yang melarikan isteri seorang pekerja kontrak sejak tiga tahun lalu hingga gagal dikesan.

Kejadian itu mengakibatkan keluarga wanita terbabit hanya mampu meratap kesedihan apabila insan kesayangan mereka menjadi mangsa pujukan tomboi itu.

Keluarga berkenaan pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita itu di Balai Polis Larkin di sini, 23 April 2005.

http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20081129090944/Article

Pandu kereta guna kaki


SHEN disaman oleh seorang anggota polis di Beijing baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------

BEIJING - Pihak polis di China terkejut dan kagum selepas mendapati seorang lelaki, Zing Shen yang kudung kedua belah tangannya memandu kereta dengan menggunakan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika disoal-siasat oleh pihak polis, Shen, 42, memberitahu bahawa dia sudah beberapa tahun memandu kenderaannya yang menggunakan transmisi automatik dengan cara tersebut.

Bagaimanapun, Shen yang kehilangan tangan dari siku ke bawah akibat satu kemalangan di tempat kerja beberapa tahun lalu terkejut selepas disaman oleh pihak polis kerana membahayakan orang awam.

Seorang jurucakap polis di Beijing berkata, lelaki itu mendakwa walaupun cacat dia adalah seorang pemandu yang selamat dan cekap seperti pemandu lain.

"Dia tidak perlu menukar gear dan mendakwa terpaksa berlatih bersungguh-sungguh untuk mempelajari teknik mengawal stereng dengan menggunakan kaki.

"Lelaki itu juga mendakwa dia kini lebih berhati-hati memandu kereta berbanding sebelum dia kehilangan kedua-dua belah tangannya. Dia berasa terkejut apabila kami menangkapnya," kata jurucakap polis.
- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...