Thursday, December 18, 2008

Bakal pengantin diwajib ujian HIV


Dec 18, 08 3:07pm

Mulai tahun depan, semua bakal pengantin di seluruh negara diwajibkan menjalani ujian saringan virus HIV, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen hari ini berkata saringan itu sebahagian daripada kursus praperkahwinan.

Menurut Bernama, langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV terutamanya kepada wanita yang kini menunjukkan trend peningkatan.

"Tahun depan, kita akan mewajibkan semua negeri untuk mewajibkan saringan HIV yang jadi sebahagian daripada kursus praperkahwinan," beliau dipetik berkata.

Sebelum ini, hanya beberapa negeri yang mewajibkan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan menjalani saringan HIV.

Negeri-negeri yang telah mewajibkan saringan HIV termasuklah Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan.

Najib turut melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan jangkitan HIV pada wanita akibat hubungan seks secara biasa.

Tahun 1997 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.02 peratus dan jumlah itu terus meningkat kepada 16.3 peratus pada tahun lepas.

Dalam sidang media yang sama, Mohd Najib berkata kadar peratusan jangkitan HIV di negara ini dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus sejak 2003.

Jumlah kes lima tahun yang direkodkan sebanyak 6,756 jangkitan HIV telah menurun kepada 3,452 kes tahun ini.

Beliau menambah, antara faktor terbesar yang menyumbang kepada penurunan jumlah kes itu termasuk Program Pengurangan Mudarat.

Program itu akan diteruskan untuk mencapai sasaran kerajaan iaitu 11 kes bagi 100,000 penduduk menjelang 2015 berbanding 12.8 kes bagi 100,000 penduduk pada masa kini.

Jumlah jangkitan HIV setakat ini sebanyak 83,527 termasuk 14,317 pesakit Aids serta 12,425 orang meninggal dunia, katanya.

Najib berkata Aids masih merupakan ancaman yang serius di negara ini, lapor agensi berita itu lagi.

"Mengikut perangkaan Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV/Aids (UNAIDS), Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara wabak tertumpu... maknanya dalam kumpulan-kumpulan tertentu, kumpulan berisiko tinggi.

"Terdapat fenomena yang boleh disabitkan dengan wabak tertumpu,"
katanya.

Katanya mesyuarat hari ini turut memberi fokus kepada kumpulan berisiko tinggi dengan Kementerian Kesihatan akan mengambil pendekatan untuk mendekati kumpulan itu dalam usaha mengurangkan Aids.

http://www1.malaysiakini.com/news/95081

Meja bulat PPSMI: Gerakan kesal tidak dijemput

Dec 18, 08 4:50pm

Gerakan - sebuah parti komponen BN - kesal kerana tidak menerima jemputan untuk menghadiri sidang meja bulat Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Selasa lalu.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Masyarakat Pengetahuan Gerakan, Dr Hsu Dar Ren berkata, laporan media menyebut kira-kira 200 wakil dari pelbagai parti politik dan NGO turut dijemput.

"Walaupun tidak menerima jemputan rasmi kepada parti Gerakan, tetapi kami rasa ganjil kerana mengikut maklum balas yang diterima dari peserta lain, ada kerusi yang diperuntukkan untuk parti kami," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, pihaknya juga mendapat tahu bahawa beberapa parti komponen BN seperti SUPP juga tidak dijemput walaupun mereka disediakan tempat duduk di sidang meja bulat itu.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas laporan mengenai syor mesyuarat meja bulat kelima anjuran kementerian pelajaran untuk membincangkan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Kami berpendapat, ini akan mewujudkan persepsi negatif kepada parti-parti terbabit. Kami ingin mendesak menteri pelajaran supaya menjalankan siasatan terperinci dan memberi kita satu jawapan berhubung perkara itu.

"Dan kita berharap perkara yang sama tidak berulang pada masa depan,"
tambahnya.

Namun begitu, katanya, Gerakan akan terus menyuarakan pendirian mereka secara terus kepada menteri pelajaran dan juga kepada awam.

Pendirian Gerakan

Mengenai PPSMI, Dr Hsu mengulangi pendirian parti itu bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah hendaklah diajar dalam bahasa ibunda.

Pada masa yang sama, tegas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pengajaran matapelajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah juga perlu dipertingkatkan.

Bagaimanapun, Dr Hsu berkata, bahasa Inggeris boleh digunakan untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah menengan dan peringkat lebih tinggi.

"Pendirian kita sentiasa konsisten sejak 2002. Kita telah menghantar memorandum mengenai pendirian kita itu pada 2002, dan sekali lagi pada 2005 kepada menteri pelajaran sekarang.

"Memandangkan isu ini amat penting sekali, maka kita akan mengemukakan sekali lagi satu lagi memorandum kita mengenai pendirian kita itu,"
katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, Gerakan - sebagai sebuah parti berorientasi rakyat - sentiasa melihat pendidikan sebagai salah satu elemen paling penting dalam pembinaan negara.

"Dan kita bersedia untuk menyertai sebarang perbincangan mengenai isu-isu pendidikan serta apa juga isu yang membabitkan kepentingan rakyat Malaysia," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95096

Pasangan penjenayah langgar, larikan kereta

SUBANG JAYA: Pasangan penjenayah. Itulah gelaran layak diberikan kepada pasangan yang melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan di SS13 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pasangan terbabit melanggar belakang sebuah Toyota Wish dipandu seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa kemudian memberhentikan keretanya untuk melihat kerosakan.

“Lelaki berusia 20-an itu turun dari kenderaan untuk melihat kerosakan kesan pelanggaran itu.

“Tiba-tiba seorang lelaki yang berada di dalam Perodua MyVi dipandu pasangannya meluru masuk ke dalam kenderaan mangsa lalu melarikannya,”
katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, wanita yang memandu Perodua MyVi itu turut memecut laju melarikan diri.

Menurutnya, mangsa gagal menghalang suspek daripada melarikan kenderaannya kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Lelaki malang itu membuat laporan polis sejurus kejadian terbabit.

“Siasatan awal polis percaya penjenayah sengaja mencipta kemalangan kecil bagi membolehkan mereka melarikan kenderaan,”
katanya.

Sumber itu berkata, berikutan itu, mangsa kerugian lebih RM100,000 selepas kenderaannya dilarikan penjenayah.

Katanya, mangsa tidak cedera dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Kami tidak menolak kemungkinan suspek pernah terbabit dalam beberapa kes sama sebelum ini,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081218094242/Article/index_html

Bomoh anak dara pencuri

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

KUANTAN: Gadis ini baru berusia 20 tahun, tetapi dia sudah menjadi pengamal perubatan tradisional sepenuh masa, termasuk menawarkan rawatan memulihkan penyakit lemah syahwat bagi lelaki.

Malangnya, gadis yang masih bujang itu dikatakan menyalahguna kepercayaan pesakit yang mendapatkan khidmatnya apabila mengambil kesempatan mencuri barang kemas dan wang mereka ketika melakukan rawatan.

Setakat ini, polis menerima aduan tiga bekas pesakit bomoh itu yang mendakwa kerugian wang dan barang kemas bernilai RM11,000 dan mengesyaki ada kaitan dengan gadis dari Beserah, di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata polis menahan reman gadis terbabit selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.


Beliau turut meminta pesakit lain yang kehilangan barangan berharga dan wang tampil membuat laporan.

Katanya, bekas pesakit terbabit menyedari wang dan barang kemas mereka lesap sejurus mendapatkan rawatan daripada gadis itu di rumahnya.

“Polis menerima laporan pada 11 November lalu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan daripada tiga individu yang mendakwa wang dan barangan berharga mereka dicuri gadis terbabit.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis membuat serbuan ke rumah gadis itu kira-kira jam 10.30 malam kelmarin (Isnin),”
katanya.

Dalam serbuan itu, polis mendapati lebih 20 pesakit lelaki dan wanita sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan daripada gadis terbabit.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa menyedari kehilangan barang kemas dan wang tunai mereka selepas pulang ke rumah masing-masing.

“Menurut aduan mangsa, gadis itu mengarahkan mereka meletakkan beg duit dan barang kemas di bawah kepala ketika berbaring dalam sebuah bilik yang dikhaskan untuk merawat pesakit.

“Mangsa mendakwa seperti dipukau ketika dibaringkan sebelum dia memulakan rawatannya dari hujung kepala hingga hujung kaki,”
katanya.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa langsung tidak menyedari bagaimana gadis itu mengambil barang kemas dan wang tunai sedangkan diletak di bawah kepala.

“Semua barang berharga dan wang tunai dikatakan ghaib beberapa saat umpama silap mata,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Haris, ibu bapa gadis terbabit ketika disoal siasat mengaku tidak tahu menahu kegiatan anak mereka mencuri wang dan barang kemas pesakit.

Polis mendapati gadis itu menyediakan bilik khas untuk menjalankan rawatan mengurut tubuh pesakit di samping memberi minum sejenis air kononnya sudah dijampi dan mampu menghilang kesakitan yang dialami mereka.

Gadis terbabit turut mengenakan bayaran terhadap pesakit dan setiap bayaran berbeza mengikut kaedah rawatan dan jenis penyakit.

Difahamkan, gadis itu menggunakan keayuan wajah untuk memikat lebih ramai pelanggan, terutama lelaki supaya datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan pelbagai jenis penyakit.

Namun, perkhidmatan memulihkan penyakit lemah syahwat dikatakan paling laris dan kebanyakan pesakit lelaki pertengahan umur.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081218094131/Article/index_html

Ibu terkilan


Oleh Mohd Amin Jalil dan Nor Azmelia Azahari


SEREMBAN: “Kami tak buang dia tapi terkilan dengan tindakannya membelakangkan kami mengenai perkahwinan dengan pelakon Rita Rudaini,” kata ibu pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Azizah Arshad, 56.

Justeru, dia yang sedih dengan tindakan Mohd Aidil mengharapkan prestasi anaknya dalam bola sepak tidak terjejas kerana sudah menjadi periuk nasinya dan keluarga.

Azizah bagaimanapun menyifatkan perkahwinan itu sebagai takdir kerana rezeki serta jodoh seseorang adalah ketentuan Tuhan.

Apapun, dia kesal dengan perbuatan mereka mengenepikan keluarga untuk mendirikan rumah tangga kerana tidak pernah berbincang atau mendapatkan pandangan, malah sanggup menjalankan pernikahan di selatan Thailand.


“Suka tak suka terpaksa terima kerana itu pilihan yang sudah dia buat walaupun dalam hati kami hanya Tuhan yang tahu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Azizah bersama suami, Abd Radzak Saleh, 59, mengadakan sidang media di rumah anak sulung mereka, Ruziana Abd Radzak, 37, di Taman Coral Height, Sikamat dekat sini.

Hadir sama anak mereka, Mohd Zafran, 34, dan adik kembar Mohd Aidil Zafuan, Mohd Zaquan Adha, 21.

Mohd Aidil melangsungkan pernikahan dengan Rita Rudaini di selatan Thailand pada 25 Februari lalu tanpa pengetahuan ahli keluarganya, termasuk Mohd Zaquan Adha yang sering bersamanya dalam skuad bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan.

Tindakan mereka menyembunyikan pernikahan itu akhirnya dapat dihidu Ruziana yang akhirnya memaksa Mohd Aidil membuka mulut bagi menjelaskan kedudukan sebenarnya.

Perkara itu disahkan Abd Radzak yang mengatakan pihaknya mengetahui pernikahan mereka pada 14 Disember lalu melalui sijil nikah yang ditunjukkan Ruziana.

Mereka sekeluarga terkejut dengan perkara terbabit serta tidak menyangka sama sekali ia boleh berlaku.

Abd Radzak yang juga bekas tentera menjelaskan ahli keluarganya tidak pernah diberitahu mengenai Mohd Aidil mahu berkahwin dengan Rita Rudaini, malah perbincangan kedua-dua keluarga pihak tidak pernah diadakan.

Selain itu, Mohd Aidil sentiasa berada di rumahnya di Sikamat kerana beraksi dalam skuad bola sepak Negeri Sembilan dan sesekali mewakili negara dalam kejohanan bola sepak antarabangsa.

“Sebelum kami mendapat tahu mengenai berita pernikahan itu, Rita Rudaini ada datang ke sini pada 13 Disember untuk mendapatkan pandangan dan tidak pernah menyebut pasal kahwin.

“Tetapi kami tidak menyangka mereka berdua ketika itu sudah bernikah,”
katanya yang kelihatan agak tertekan dan mengakui mengganggu kesihatannya.

Abd Radzak mengakui hubungan intim anaknya dengan artis terbabit pernah didedahkan dalam akhbar beberapa tahun lalu, tetapi sudah membuat penafian.

Dia kini menyerahkan kepada keluarga Rita Rudaini untuk tindakan lanjut, sama ada mengadakan majlis keramaian dan bagi keluarganya tiada sebarang perancangan pada masa ini.

“Kami sekeluarga menyerahkan kepada pihak keluarga perempuan kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan apa yang berlaku sebagai hak peribadi pemain itu.

“Saya harap mereka berdua bahagia,” katanya yang mahu tumpuan Mohd Aidil yang juga pemain pertahanan terhadap bola sepak Negeri Sembilan tidak terjejas.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20081218091457/Article

Rahsia terbongkar


Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------


SEPULUH bulan lamanya rahsia mereka tersimpan rapi. Namun, sudah adat menjadi orang terkenal, apatah lagi bergelar aktres, pemilik nama Rita Rudaini Mokhtar atau nama glamornya, Rita Rudaini tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan bahawa berita perkahwinannya bersama bintang bola sepak muda yang sedang melakar nama di arena bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Jika Rita dikenali ramai, apa kurangnya Zafuan yang merupakan pemain kebangsaan dan pemain Negeri Sembilan untuk musim akan datang.

Biarpun tidak keluar daripada mulutnya sendiri, kerana Rita memilih untuk berdiam diri dengan tidak menjawab panggilan dan SMS yang dilayangkan oleh Kosmo!, namun setidak-tidaknya sidang media yang dibuat oleh keluarga mentuanya menjadi bukti yang sah, aktres jelita ini sudah bergelar seorang isteri sejak 25 Februari tahun ini.



GARA-GARA merahsiakan perkahwinan mereka di mata umum, keluarga Aidil Zafuan akhirnya tampil membuat pengakuan sebenar kepada media.
--------------------------------------------------------------------------------


Jarak perbezaan umur sebanyak 11 tahun tidak menghalang jalinan cinta yang utuh antara Rita, 32, dan Aidil Zafuan, 21, untuk diikat oleh tali perkahwinan.

Cuma, pernikahan rahsia mereka ini berlangsung secara rahsia di Songkhla, Thailand.

Ironinya, desas-desus mengenai hubungan kedua-dua mereka bukan lagi rahsia kerana sekitar tahun lepas, foto-foto mesra pasangan yang sama cantik sama padan ini tersebar ke pengetahuan pihak media.


AIDIL ZAFUAN
--------------------------------------------------------------------------------


Namun ketika itu Rita yang sudah tujuh tahun hidup solo selepas perkahwinan pertamanya dengan penyampai berita TV3, Akbar Shaari berakhir tanpa dikurniakan cahayamata, hanya membuat pengakuan kepada media bahawa hubungannya dengan Aidil Zafuan itu lebih kepada 'teman tapi mesra'.

Bimbang dengan spekulasi tidak baik mengenai hubungan antara Rita dan Aidil Zafuan, semalam, keluarga mentua Rita akhirnya terpaksa tampil menjelaskan perkara yang sebenar berlaku kepada media menerusi suatu sidang media yang dilakukan di kediaman mereka di Coral Heights, Seremban, Negeri Sembilan.



KECEWA tapi terima. Wajah emosi keluarga Aidil Zafuan, dari kiri kembarnya Aidil Zaquan, bapanya Abdul Radzak dan ibunya Azizah pada sidang media pengesahan pernikahan Aidil Zafuan dan Rita.
--------------------------------------------------------------------------------


Pada sidang media tersebut, hampir semua ahli keluarga Aidil Zafuan hadir. Selain kembar Aidil Zafuan iaitu Aidil Zaquan, 21, yang juga pemain bola sepak skuad kebangsaan dan Negeri Sembilan musim akan datang, turut hadir ialah kedua-dua ibu bapa Zafuan, Abdul Radzak Salleh, 59, dan Azizah Arshat, 56.

Tiga adik-beradik Zafuan iaitu kakak sulungnya, Ruziehana, 37, dan abangnya Mohd. Zafuan, 34 dan Sabanor, 30, tidak ketinggalan hadir memberikan sokongan moral.



KAKAK sulung Aidil Zafuan, Ruziehana (kanan).
--------------------------------------------------------------------------------

Apa yang jelas, Abdul Radzak cukup tenang apabila membutirkan bicara untuk meleraikan segala persoalan berhubung status hubungan anaknya itu bersama Rita.

"Pakcik terima dengan reda cuma ada sikit kecewa dengan perlakuan anak pakcik (Aidil Zafuan). Apa yang sudah berlaku, sudah berlaku, jadi kami sekeluarga berdoa semoga dia bahagia .

"Biarpun kecewa dengan Aidil Zafuan yang membelakangkan keluarga tetapi kami semua tetap berdoa semoga Aidil dan Rita berbahagia dan tidak mahu karier bola sepak Aidil Zafuan jatuh."

Beritahu Abdul Radzak lagi, berita pernikahan anaknya dengan Rita dimaklumkan oleh anak perempuan sulungnya, Ruziehana pada 14 Disember.

Menurutnya, biar sebelum ini Aidil Zafuan tidak menceritakan apa-apa mengenai perkara itu, sebelum anaknya bertemu dengan Ruziehana pada 13 Disember dan menunjukkan sijil nikahnya di Thailand .

"Dia (Aidil Zafuan) meminta kak longnya (Ruziehana) memberitahu perkara itu kepada saya dan isteri, tetapi kak longnya tidak sanggup," ujarnya.

Tambahnya, semua sudah berlaku adalah dengan ketentuan Tuhan, jadi dia sekeluarga menerima segala takdir itu.

Biarpun akur bermenantukan seorang pelakon popular, Abdul Radzak ketika ditanya sama ada dia menerima menantunya, luahnya: "Tuhan yang menentukannya. Pakcik menerima anak pakcik, dia tetap anak pakcik.

"Mereka (Aidil Zafuan dan Rita) yang lakukan perkara ini dan mereka berdua yang faham. persoalan itu (terima menantu) pakcik enggan komen."

Sementara ibu Aidil Zafuan, Azizah pula dalam nada sedih memberitahu, nyata sekali tiada tanda yang menunjukkan anaknya sudah berkahwin dan dia tidak menduga sama sekali perkara itu berlaku.

Azizah melihat apa yang terjadi dan tindakan anaknya benar-benar membuatkan dirinya rasa terkilan dan rasa kehilangan.

Dia mengakui tidak kata suka (pernikahan), kerana memang orang akan kata dia berbohong. Tetapi itulah pilihan anaknya suka atau tidak dia tetap menerimanya.

"Kasih sayang bukan boleh dilakonkan atau dipermainkan. Ia datang sendiri. Mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu kepada makcik.

"Mungkin makcik boleh memberikan kasih sayang kepada Aidil, isterinya, Rita dan juga anak-anaknya,"
luahnya.

Bagi abang Aidil Zafuan, Mohd. Zafuan pula, apa yang dilakukan adiknya merupakan salah dari segi undang-undang dan ahli keliara memang tidak tahu bagaimana mereka berdua ke Thailand untuk berkahwin, siapa yang menguruskannya.

Kata Mohd. Zafuan: "Kalau kita panggil dia (Aidil Zafuan) balik tetapi terlalu banyak alasan yang diberikan."

Adik kembarnya, Zaquan Adha yang turut ada di sisi keluarga pula menjelaskan, pihak keluarga langsung tidak mengetahui pernikahan mereka di Thailand dan mahu menjelaskan bahawa seluruh keluarga melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan itu,

"Saya sendiri tidak dimaklumkan perkahwinan itu. Apa pun saya bersyukur kerana bapa dan ibua boleh menerima keputusan itu dengan tabah serta telah ditenteramkan oleh kakak dan abang," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

'Jaringan emas' Aidil


Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my



AIDIL (kiri) mencetuskan kontroversi apabila bernikah dengan Rita di Songkhla pada 25 Februari lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


PENYERANG terbaik Chelsea, Nicolas Anelka sukar untuk menembusi benteng pertahanan skuad negara yang dikemudikan oleh Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Ketika itu, kelab Liga Perdana England itu dalam rangka lawatan ke negara ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan.

Kelibat Aidil cukup tangkas pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sehingga barisan penyerang Chelsea mendapati sukar untuk menembusinya.

Namun, kekentalan pemain berusia 21 tahun itu gagal menangkis 'asakan' Rita Rudaini Mokhtar yang mudah melepasi perangkap 'offsaid' sekali gus membawa mereka ke alam pernikahan.

Ia boleh dianggap 'jaringan emas' oleh Aidil musim ini.

Menariknya, cerita pernikahannya dengan pelakon wanita berusia 32 tahun telah menjadi rahsia di antara mereka berdua sahaja.

Pernikahan mereka telah pun berlangsung 25 Februari lalu di Songkhla, Thailand.

Apa yang mengejutkan, pernikahan pasangan ini tidak diketahui oleh kedua ibu bapa Aidil, Abd. Radzak Salleh dan Azizah Arshat sehinggalah 14 Disember lalu.

Aidil yang baru pulang daripada tugasan antarabangsa bersama skuad negara pada Kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sebelum ini telah dikaitkan hubungannya dengan Rita sejak setahun yang lalu.

Malah, Rita juga sering kali dilihat hadir memberi sokongan kepada Aidil di bangku penonton dalam perlawanan-perlawanan yang disertai skuad negara di Kuala Lumpur.

Selepas tersebarnya kontroversi ini, maka sahlah Aidil boleh dianggap sebagai 'penjaring emas' dalam sukan bola sepak negara kerana mempunyai isteri di kalangan artis tempatan.

Sebelum ini ada juga beberapa pemain bola sepak yang menjadikan artis sebagai teman hidup mereka termasuk bekas pemain Kuala Lumpur, Subadron Aziz yang memilih Salwa Abd. Rahman, Shahril Arshad dengan Ani Morat dan Azman Adnan yang memilih penyanyi, Haleeda.

Begitupun, difahamkan ramai peminat hiburan dan sukan tanah air yang merestui pernikahan kedua-dua individu yang terkenal dalam bidang profesional masing-masing ini.

Aidil yang lahir pada 3 Ogos 1987 mula mendapat perhatian apabila dia dan kembarnya, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak beraksi bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2004 dan juga skuad Liga Perdana dua tahun kemudian.

Dalam karier antarabangsanya, Aidil dan kembarnya Zaquan juga merupakan pemain skuad bawah 20 negara yang beraksi di Kejohanan Piala AFF Bawah 20 pada 2004.

Dua tahun kemudian Aidil dan Zaquan diserapkan ke dalam skuad bawah 23 di bawah bimbingan jurulatih B. Sathianathan yang memenangi gelaran Pestabola Merdeka edisi ke-40 pada Ogos 2007.

Selepas skuad bawah 23 itu diserapkan ke dalam skuad kebangsaan pada tahun yang sama, karier bola sepak Aidil mula berkembang.

Dia mewakili negara dalam beberapa perlawanan antaranya Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2010 dan temasya Sukan SEA 2007 di Korat.

Selepas itu, Aidil sekali lagi mewakili skuad negara ketika muncul naib juara Pestabola Merdeka edisi ke-41 pada Oktober tahun ini.

Pencapaian terakhirnya bersama skuad negara ialah pada Piala Suzuki AFF bulan ini di Phuket yang mana menyaksikan Malaysia tersingkir awal di peringkat kumpulan.




Aktres terkenal dihukum penjara


SEOUL - Seorang aktres terkenal Korea Selatan, Ok So-Ri (gambar) yang gagal mencabar undang-undang yang mengkategorikan perzinaan sebagai jenayah dihukum penjara oleh sebuah mahkamah dekat Seoul semalam.

So-Ri yang berusia 40 tahun didapati bersalah oleh sebuah mahkamah daerah pada Oktober lalu setelah sebuah mahkamah perlembagaan menolak petisyen menentang undang-undang perzinaan.

Aktres itu mengaku menjalin hubungan sulit dengan seorang penyanyi tetapi mendakwa dia berzina kerana perkahwinannya dengan aktor Park Chul tidak lagi bahagia.

Menurutnya, undang-undang antizina yang digubal pada 1953 itu melanggar haknya sebagai individu untuk mengadakan hubungan seks.

Aktres itu dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara oleh sebuah mahkamah di bandar Goyang, dekat Seoul.

Menurut satu tinjauan yang disiarkan akhbar-akhbar tempatan, pada tahun lalu, hampir 68 peratus lelaki Korea Selatan dan 12 peratus wanita mengaku melakukan perzinaan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Pantai hawa dingin pertama dunia


Dubai akan memiliki Hotel Palazzo Versace seperti yang terdapat di Australia ini pada lewat tahun depan.
--------------------------------------------------------------------------------



LAKARAN artis ini menunjukkan Hotel Palazzo Versace di Dubai yang bakal menarik kehadiran kira-kira 800,000 pelancong dari Britain setiap tahun.
--------------------------------------------------------------------------------


DUBAI - Pantai berhawa dingin akan dibina di sebuah hotel mewah di Dubai sekali gus dianggap sebagai yang pertama di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Pembinaan pantai itu membolehkan golongan kaya yang bercuti di Dubai tidak berasa panas ketika berjalan atau berjemur dalam cuaca panas.

Dubai yang terletak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) memang terkenal dengan cuaca panas dan ledakan bangunan unik seperti hotel tertinggi di dunia.

Pantai berhawa dingin itu bakal terletak berhampiran Hotel Palazzo Versace yang baru dan dilengkapi dengan satu sistem penyedut haba.

Bagi membolehkan pengunjung-pengunjung pantai itu tidak diganggu dengan cuaca panas, paip-paip penyedut haba dibina di bawah pasir.

Beberapa peniup angin gergasi akan turut dibina dan direka bagi memastikan pengunjung-pengunjung pantai itu merasa suasana tidak terlalu panas.

Hotel Palazzo Versace itu bakal dibuka kepada orang ramai pada tahun depan atau awal 2010.

Suhu di pantai itu dikawal oleh termostat yang dihubungkan dengan komputer sekali gus menyejukkan suasana di kolam renang.

Bagaimanapun, rancangan itu mendapat kritikan daripada aktivis-aktivis alam sekitar kerana dibimbangi mampu mencetuskan kesan terhadap perubahan iklim dunia.

Seorang anggota kumpulan itu, Rachel Noble dari Tourism Concern berkata: "Dubai adalah umpama satu buih dunia di mana perkara berhubung perubahan iklim diabaikan menyebabkan orang ramai meneruskan gaya hidup yang memusnahkan alam."

Projek-projek mewah akan meningkatkan daya tarikan Dubai di kalangan selebriti dan golongan kaya di dunia.

Pembinaan projek--projek seumpama itu turut meningkatkan persaingan pelancongan di wilayah tersebut yang turut menempatkan hotel bertaraf tujuh bintang pertama dunia, Burj Al-Arab.

Bandar raya Dubai itu dijangka meningkatkan pengeluaran karbon di angkasa. Setiap individu yang tinggal di Dubai mengeluarkan karbon lebih 44 tan setahun.

Walaupun terdapat kebimbangan berhubung isu alam sekitar, pihak pengurusan Hotel Palazzo Versace memberi jaminan pantai itu mesra alam.

Presiden Hotel Palazzo Versace, Soheil Abedian berkata: "Kami akan menyedut haba panas keluar dari pasir bagi memastikan ia mempunyai suhu dingin yang secukupnya.

"Ini merupakan satu bentuk projek mewah yang orang ramai mahukan."


Satu sumber berkata: "Golongan terlalu kaya mahu kemewahan tulen. Mereka tidak mahu berjalan di pasir yang panas."

Sebuah firma British, Hyder Consulting akan memantau projek itu.

Pembinaan hotel setinggi 10 tingkat itu diharapkan akan dapat menarik kira-kira 800,000 pelancong Britain melawat Dubai pada setiap tahun.

Setakat ini, terdapat sebuah Hotel Palazzo Versace yang beroperasi di pantai Gold Coast, Australia yang berjaya menarik kehadiran golongan kaya dan terkenal. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Cinta sejati kekal


NEW YORK - Sekumpulan saintis yang mengkaji otak manusia mendapati ungkapan popular bahawa cinta sejati tidak luput ditelan masa adalah benar, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis-saintis Universiti Rutgers dari New Jersey, Amerika Syarikat (AS) yang menganalisis otak sejumlah pasangan suami isteri yang hidup bersama lebih dua dekad, mendapati perasaan saling menyayangi masih wujud sama seperti ketika mereka sedang hangat bercinta.

Kajian itu melibatkan 17 lelaki dan wanita yang mengaku cinta mereka masih membara selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.

Kumpulan penyelidik itu yang merakamkan gambar imbasan otak pasangan tersebut mendapati ia menyamai imbasan yang dirakam daripada pasangan yang jatuh cinta dalam tempoh 12 bulan.

Dalam kedua-dua imbasan itu, bahagian otak yang bertanggungjawab mengenai percintaan dan rasa bahagia manusia, iaitu di kawasan ventral tegmental didapati bersinar-sinar.

"Jika anda bertanya di seluruh dunia sama ada cinta romantis akan berkekalan, mereka mungkin akan menyatakan tidak. Namun kami berjaya membuktikan bahawa mereka silap," kata seorang penyelidik itu, Dr. Helen Fisher. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Dibicara di penjara


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan memegang kasut dan gambar Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki di Baghdad semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BAGHDAD - Seorang wartawan Iraq, Muntadar al-Zaidi yang membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dihadapkan di hadapan seorang hakim ketika berada di sebuah penjara semalam dan bukannya di mahkamah.

Abang wartawan tersebut, Dhargam berkata, dia percaya bahawa abangnya mengalami kecederaan teruk sehingga tidak berdaya untuk hadir ke mahkamah.

Keluarga wartawan itu berada di Mahkamah Jenayah Pusat bagi mendengar perbicaraan terhadap tertuduh tetapi mereka diberitahu bahawa hakim berada di penjara untuk melihatnya.

"Situasi itu menunjukkan bahawa adik saya dipukul dengan begitu teruk dan mereka bimbang penampilannya di mahkamah akan mencetuskan kemarahan orang ramai di mahkamah," tambahnya.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai Iraq dan seorang lagi abang tertuduh, menafikan bahawa wartawan itu mengalami kecederaan teruk setelah dia dijatuhkan ke lantai oleh anggota-anggota keselamatan kerana membaling kasut ke arah Bush pada satu sidang media pada Ahad lepas.

"Ini merupakan satu ciuman ucapan perpisahan untuk anda, anjing," jerit wartawan itu ketika melemparkan salah satu kasut ke arah Bush.

Tindakan itu menyebabkan dia dilabelkan sebagai hero di kalangan masyarakat Arab yang bencikan Bush kerana menceroboh Iraq pada 2003.

Muntadar kini ditahan atas kesalahan menghina pemimpin negara asing, dakwaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pelajar mati dibakar - Mayat ditemui dalam kebun getah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
berita@kosmo.com.my




BAHARUDIN dan Siti Saodah ketika membuat pengecaman mayat anaknya di Hospital Sultanah Bahiyah semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA NERANG - "Selepas separuh hari mencari mangsa, saya hanya temui jasadnya yang tidak bernyawa lagi di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star."

Demikian cerita seorang bapa, Baharudin Omar, 48, selepas anaknya, Mohd. Zubir Baharudin, 19, ditemui mati dengan kesan luka dan terbakar di beberapa anggota badan di sebuah kebun getah di sini pada pukul 6 petang kelmarin.

Menurut Baharudin yang tinggal di Kampung Pangkalan Tok Putih, anak ketiga daripada tujuh beradik itu dipercayai dibunuh memandangkan kesan terbakar di badan serta kesan pukulan di kepala mangsa.

Sebelum kejadian itu, jelasnya, pada Isnin lalu mangsa yang merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad telah keluar ke Pekan Kuala Nerang dengan membawa wang sebanyak RM5 yang diberi ibunya untuk ke kafe Internet di situ.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Perginya zuriat sulung P. Ramlee


Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, FERIDE HIKMET ATAK dan SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
hiburan@kosmo.com.my



WALAUPUN tidak sehebat bapanya, P. Ramlee, Nasir mempunyai bakat tersendiri.
--------------------------------------------------------------------------------

LAGAKNYA sederhana dan irasnya saling tak tumpah seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kerana bapanya seorang Seniman Agung Negara, nama Nasir P. Ramlee amat signifikan setiap kali kisah seniman-seniman veteran milik seni Malaya menjadi bingkisan untuk tatapan peminatnya yang setia.

Semalam, emosi rakyat Malaysia sekali lagi basah dan hari ini bau tanah merah dan kelopak kemboja di Tanah Perkuburan Danau Kota, Kuala Lumpur likat dalam sendu teman-teman, peminat dan saudara-mara yang mengiringi perjalanan abadi seorang yang boleh digelar seniman, Allahyarham Nasir P. Ramlee.

Biarpun namanya tidak segagah aura yang ditinggalkan Allahyarham bapanya, kehadiran pewaris P. Ramlee ini ada signifikannya terhadap dunia seni tempatan.

Sepanjang hayatnya juga, dia membawa maruah, nama baik dan keagungan yang pernah diraih bapanya. Menjadi anak P. Ramlee juga pernah menjadikan hidup Nasir tidak sama dengan orang lain. Setiap langkahnya dibandingkan dengan P. Ramlee.

Pernah dalam satu wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia sekitar tahun 2007, anak sulung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini ada meluahkan bahawa dia tidak boleh menjadi P. Ramlee.

Memetik kata-kata Allahyarham, 'Tuhan nak jadikan P. Ramlee seorang sahaja. Macam juga Elvis Presley. Saya tak boleh jadi seperti dia. Dulu ketika hayatnya dia nak ajar saya jadi seperti dia. Dia ajak saya ke studio shooting, saya ikut tetapi saya jadi mengantuk sebab tak minat. Minat saya pada muzik. Tetapi kalau suruh berlakon, saya boleh berlakon. Saya banyak berlakon untuk filem cereka. Nak suruh berlawak pun, boleh. Namun saya tidak menjadikan ia kerjaya.

"Memanglah, sepatutnya saya mesti jadi seseorang kalau tak macam dia, dekat-dekat dia pun jadilah. Tapi saya tak juga rasa kesal. Bagi saya, begini pun boleh."

Daripada tulisan itu, Allahyarham kelihatan seperti orang sangat merendah diri walaupun hatinya tersenyum bangga kerana P. Ramlee itu bapanya.

Namun, hari ini, esok dan untuk selama-lamanya, tiada lagi Nasir P. Ramlee. Yang tinggal adalah dua bekas isterinya, balunya Suria Bakar dan tujuh orang zuriatnya yang sekaligus menjadi cucu kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Biarpun tidak berjaya menjadi seniman sehebat bapanya, Allahyarham Nasir pernah menyelitkan namanya sebagai pelakon menerusi filem Budak Lapok (2007), Fantasi (93) dan Bujang Lapok Kembali Daa (1986). Sebelum itu, Allahyarham juga pernah berlakon di bawah arahan bapanya sendiri menerusi filem Anak Bapak (1968) serta dua filem arahan Omar Rojik, Panca Indera Harimau Berantai tahun 1970 dan Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1969).



PEMERGIAN Nasir membuatkan industri seni kehilangan orang kuat dalam mengembangkan muzik tempatan.
--------------------------------------------------------------------------------


Allahyarham sebenarnya tidak begitu meminati filem sebaliknya lebih cenderung terhadap muzik. Sebelum mula berkhidmat sebagai Penyelaras Muzik Kombo di Istana Budaya sejak 2006, bermacam kerja muzik pernah menjadi 'makanan harian' Nasir P. Ramlee.

Kariernya memuncak dengan lagu Rindu Bayangan yang dipopularkan oleh kumpulan Carefree sekitar tahun 70-an. Lagu yang liriknya ditulis oleh Omar Taib itu menjadi malar segar yang menjadi siulan sehingga kini.

Masih ingat dengan kumpulan Panca Sitara? Allahyarham kini mengikuti jejak seniman dan seniwati sezaman bapanya iaitu Allahyarham Aziz Jaafar, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Datuk Ahmad Daud ke rahmatullah. Satu-satunya kumpulan itu yang masih tinggal ialah Datuk Aziz Sattar, yang baru-baru ini terlantar sakit.

Ketika bekerja di syarikat rakaman EMI, Nasir pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi terdahulu antaranya Herman Tino, Rosmaria dan Aman Shah.

Banyak lagi karya Nasir yang masih menjadi tiada tandingan sehingga ke hari ini.

Jangan tidak tahu, atas keringat yang ditumpahkannya dalam bidang muzik ketika itu, Allahyarham pernah dijulang sebagai 'Produser of the Year' hasil daripada kejayaan pembikinan album pertama penyanyi dangdut, Herman Tino yang mencipta nama hasil bimbingannya.

Di IB, selain menjadi Pengarah Muzik Kombo, generasi baru pencinta muzik juga pernah menikmati hasil sentuhan Allahyarham yang menyumbang sentuhan sebagai Pengarah Muzik menerusi pementasan muzikal Suzana 60 yang mendapat perhatian ramai semasa dipersembahkan pada tahun 2006.

Sebagai tanda cinta dan kenangan hidupnya sebagai anak P. Ramlee, Allahyarham sendiri telah menulis sebuah buku bertajuk Bapaku P. Ramlee. Itu rakaman istimewa tanda kenangan Allahyarham pernah hidup dan membesar sebagai anak P. Ramlee.

Tanggal 17 Disember 2008 menjadi detik akhir kembara seorang anak seni bernama Mohamad Nasir Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. Ketika jasadnya kini kaku menuju perjalanan yang abadi, ada hati yang tersentuh akan kehilangan beliau.

Selain sanak-saudara terdekat, ada insan-insan seni yang pernah seperjuangan, mengenali, bersapa dan berjabat tangan dengannya. Mereka berkongsi belahan jiwa, mendefinisikan siapa Nasir P. Ramlee yang pernah hadir ke ruang mata dan seni yang sama-sama mereka cintai.



Nasir Tan Sri P. Ramlee dalam kenangan


Khamis Disember 18, 2008

Oleh ZIEMAN


KUALA LUMPUR: Anak seniman agung Tan Sri P. Ramlee, Mohamad Nasir Ramlee, yang meninggal dunia akibat komlikasi jantung, kencing manis dan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam akan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang sebelum Zohor hari ini.


Allahyarham Nasir, 55, satu-satunya waris dan anak kandung P.Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.10 petang setelah dimasukkan ke hospital itu pada pukul 3 petang.


Allahyarham merupakan anak tunggal P. Ramlee hasil perkahwinannya dengan seniwati Junaidah.


Jenazah telah dibawa ke Masjid yang berdekatan dengan rumah Allahyarham di Jalan Sempadi, Taman Ibukota, Gombak.


Antara mereka yang datang memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham ialahTun Ahmad Sarji, Datuk Aziz Sattar, S.Attan, Mariani, S.Sahlan, Datuk Mustaffa Maarof dan ramai lagi karyawan tanah air.


Nasir, yang dilahirkan di Singapura, mengadu sakit dada sejak dua hari lepas tetapi enggan mendapat rawatan hospital.


Allahyarham, yang bertugas di Istana Budaya, pernah membintangi sebuah filem bertajuk "Bujang Lapok Kembali Da..." difahamkan mengidap penyakit lelah, jantung dan kencing manis sejak sepuluh tahun yang lalu.


Nasir mewarisi banyak sifat P.Ramlee - suka bergurau dan takut ke hospital


"Nasir seperti anak saya sendiri. Saya pernah jaga dia masa dia usia 2 tahun. Kalau mak dia Junaidah hendak pergi pasar atau tengok wayang dengan P.Ramlee, saya dan Ahmad C akan menjaga Nasir," jelas Aziz Sattar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz.


Sementelah pula, keakraban yang terjalin antara bapak dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang merupakan sahabat baik Pak Aziz membuat hubungan beliau dengan Nasir seperti darah dagingnya sendiri.


"Saya tahu dia sakit tetapi dia selalu tak mahu ke hospital walaupun dipujuk. Dia akan ke klinik saja.


"Dia macam P.Ramlee juga. Takut ke hospital dan tak suka menyusahkan orang. Dia tak pernah tunjuk atau mengadu sakitnya pada orang lain.


"Lagi satu sifat bapanya yang ada pada Nasir ialah dia tidak peduli apa orang cakap sama dia. Dia tidak kisah apa orang kata. Dia buat hal dia saja,"
jelas Pak Aziz yang selalu menghabiskan masa bersama Nasir.


"Kami selalu pergi makan sama-sama dan dia akan ceritakan masalahnya pada saya. Itu antara kenangan manis saya dengan dia. Dia akan call saya suruh saya jaga kesihatan. Kali terakhir saya bersama beliau ialah pada bulan lepas di Istana Budaya.


"Kali terakhir itu secara berlawak, dia cakap dengan isteri saya.."Datin dah rampas uncle pada saya," jelas Pak Aziz.


Menurut Pak Aziz, ketika mula-mula Allahyarham menjadi pemuzik di Istana Budaya kira-kira lima tahun yang lalu, Nasir ada mengadu yang dia tidak betah bekerja lama di sana.


"Lepas 2 minggu kerja di Istana Budaya, dia mengadu pada saya gajinya kecil. Dia macam patah harap. Saya nasihatkan supaya buat kerja betul-betul dan jangan putus asa.


"Menteri Penerangan masa itu, Datuk Sheikh Fadzil yang mendapatkan kerja itu untuk Nasir. Sheikh Fadzil memang terkenal dengan sifatnya yang suka membantu seniman-seniman lama,"
kata Pak Aziz.


Kata Pak Aziz, Allahyarham juga pernah mengadu yang P.Ramlee kurang beri kasih sayang padanya.


"Dia selalu cakap mami Saloma yang lebih sayang padanya. Saya terangkan yang P.Ramlee banyak ambil anak angkat jadi dia tidak mahu bersifat pilih kasih," jelas Pak Aziz.


"Saya sungguh terkejut apabila mendengar berita pemergian Allahyarham. Tapi dia seperti sudah tahu yang dia akan pergi meninggalkan kita semua," kata Aziz.


Isteri Allahyarham, Suria Bakar, 40, menyifatkannya sebagai seorang yang kuat bergurau dan tidak suka menceritakan penyakit jantung dan buah pinggang yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu pada keluarga mahupun rakan-rakan.


Kata Suria, Allahyarham mengadu sakit di bahagian jantung pada pukul 3 pagi tadi.


Sejak seminggu yang lepas, Allahyarham juga banyak menghabiskan masa dengan dua ornag anak lelakinya seperti menghilangkan rindu.


Menurutnya lagi, sebelum Allahyarham dibawa ke hospital, beliau muntah dan ada meminta segelas air.


"Ketika dibawa air itu kepadanya, Allahyarham berkata inilah air penghabisan yang dia dapat minum. Saya ingatkan dia bergurau," kata Suria.


"Dia tak bagi saya bawanya ke hospital, katanya 'nanti kau akan menyesal'. Tapi menjelang pagi, dia nampak OK dan pergi bekerja di Istana Budaya (sebagai pengarah muzik) seperti biasa," kata Suria.


Allahyarham Mohd Nasir meninggalkan tujuh orang anak - tiga orang dengan bekas isteri pertama Mariati - Gunina (37), Gunawan (35) dan Gurnarisasca. Dua lagi anak dengan aktres Rashidah Jaafar - Natasya (23) dan Najwa (22).


Dan dua orang lagi dengan Suria iaitu - Zaidi (17) dan Zakaria (16).


"Saya terkilan hajatnya untuk membawa kami sekeluarga bercuti ke Langkawi Khamis depan tidak kesampaian. Dia memang selalu bawa kami berjalan-jalan asalkan sekeluarga gembira," kata Suria.


Bagi seniwati Mariani, hubungan yang terjalin bersama Allahyarham tidak dapat dilupakan memandangkan seniwati itu pernah menjaga dan mengasuh Allahyarham semasa kecilnya.


"Saya jaga dia selama dua tahun. Pernah suapkan dia makan dan mandikan dia. Cuma saya kesal sejak akhir-akhir ni, dia dah tak nak hubungi saya," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/18/mstar_hiburan/20081218000501&sec=mstar_hiburan

Abby dan Norman bercerai lagi dengan talak satu


Khamis Disember 18, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


Pasangan Abby Abadi-Norman Hakim akhirnya bercerai.
KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim hari ini bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.


Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32, melafazkan talak kepada Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, pada pukul 11.20 pagi ini di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Muhamad.


Semasa hendak melafazkan talak, Norman dilihat gagal mengawal perasaan, sehingga mahkamah terpaksa ditangguhkan kira-kira 10 minit untuk memberi masa kepada Norman menenangkan diri.


Ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah, Norman mengakui beliau gagal mengawal perasaan semasa mula-mula hendak melafazkan talak.


"Bukan mudah saya nak lafazkan cerai kepada dia (Abby) kerana banyak perkara yang telah dilalui bersamanya.


"Saya teringat kembali di awal perkahwinan kami sehingga mempunyai anak-anak, semua ini membuatkan saya gagal mengawal emosi.


"Namun, Alhamdulillah, setelah saya berjaya menenangkan diri, baru saya dapat lafazkan talak kepada Abby,"
kata Norman dalam nada sedih.


Biarpun sedih dengan perpisahan itu, Norman akur dengan ketentuan takdir dan Ilahi.


"Saya akur dengan ketentuan qada dan qadar. Semoga segalanya berjalan dengan baik selepas ini.


"Saya mengharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar, kehidupan dapat diteruskan seperti biasa dan anak-anak tetap dapat kasih sayang daripada bapa dia sendiri,"
ujarnya.


Ditanya mengenai bagaimana hubungannya bersama Abby selepas berakhirnya rumah tangga mereka, Norman berkata, dia selalu mengharapkan terbaik untuk bekas isterinya itu.


"Kita mengharapkan segalanya yang terbaik. Kita ambil peluang sekali dalam kehidupan ini jadi kita tak nak memutuskan silaturrahim dan kita fikirkan masa depan untuk anak-anak," katanya yang popular dalam drama bersiri Gerak Khas.


Sementara itu, Abby yang ditemui pemberita menyifatkan keputusan yang dicapai pada hari ini sebagai perkara yang terbaik untuk kedua belah pihak.


"Sebagai manusia saya maafkan dia (Norman), tapi saya tak berani janji saya boleh betul-betul baik dengan dia.


"Saya terpakSa ambil keputusan ini kerana Saya tak nampak ruang untuk kami berbaik semula selepas apa yang terjadi."



"Saya hanya berserah dan harap semua pihak termasuk peminat doakan saya dapat jaga anak saya dengan baik," kata Abby yang pernah menganggotai kumpulan Elite.


Jelas Abby selepas penceraian ini dia mahu menumpukan perhatian kepada karier seni dan anak-anaknya dan melupakan kenangan pahit yang berlaku.


"Saya nak jadi orang baru. Saya nak 'refresh' balik apa yang ada dalam diri. Saya memang kena jadi orang baru dan kuat untuk lalui semua di masa akan datang," ujarnya sayu.


Tegasnya, jika diberi peluang beliau tidak mahu semua pihak terus mensensasikan kisah rumah tangganya yang telah hancur.


"Kalau boleh saya tak nak diberi perhatian kepada cerita-cerita rumah tangga sebab saya berada dalam bidang ini untuk mencari rezeki," katanya.


Ditanya mengenai hak penjagaan anak Abby berkata anak-anak masih berada di bawah penjagaannya.


"Tak timbul soal nak rebut anak-anak sebab mereka masih dengan saya dan saya tak ada halangan untuk dia (Norman) berjumpa dengan anak-anak.


"Tentang tuntutan nafkah dan sebagainya akan dibuat dan akan diuruskan oleh peguam syarie saya, Ahmad Nazib. Saya sendiri payah nak selesaikan masalah ini kerana saya susah nak berbincang dengan Norman,"
ujar Abby yang juga ibu kepada Mohamad Danish Hakim, 5; Marissa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, 3 bulan.


Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang kedudukan sebenar hubungannya dengan pelakon baru Gerak Khas, Zul Ariffin pula, Abby berkata, hubungan mereka tidak ubah seperti 'kawan baik'.


"Bagi dia ruang. Dia macam kawan baik saya. Dia datang hari ini pun sebab nak beri sokongan moral kepada saya sama macam Shasha dan Wan Norhafiza daripada kumpulan Elite dan saya rasa ini bukan satu isu yang perlu dibesar-besarkan," katanya.


Ibu muda ini turut memberitahu, betapa beliau terkejut membaca ruangan gosip dalam sebuah akhbar baru-baru ini mengenai dirinya yang sedang kemurungan disebabkan masalah peribadinya berfoya-foya di pusat hiburan bersama teman lelaki barunya.


Tegas Abby, gambar gandingan mereka berdua yang disebarkan sebelum ini adalah perbuatan mereka yang punya niat tertentu.


"Saya tak rasa ia salah kalau kita ambil gambar dengan lelaki lain. Lagipun bukan saya sahaja semasa bergelar isteri orang ambil gambar dengan lelaki lain, tidak pula menjadi isu. Tapi bila saya kenapa ia dilihat macam pelik sangat.


"Saya rasa ia tak perlu diperbesarkan lagi. Bagi ruang kepada kami untuk mencari rezeki dalam bidang ini,"
katanya.


Tambah Abby apa yang penting dia tahu menjaga batas perhubungannya dan dia tidak pernah minum arak serta tak pernah berfoya-foya seperti yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu.


"Pada saya apa yang ditimbulkan itu keterlaluan dan saya harap hentikanlah daripada menyebar fitnah. Lagipun apa yang diperkatakan itu tidak benar," ujarnya.


Beliau pada masa yang sama berharap agar peminat di luar sana tidak salah sangka dengan apa yang berlaku kerana dia percaya ada pihak yang cuba menggeruhkan lagi keadaan.


Zul yang akan berlakon dalam Gerak Khas musim terbaru tiba perkarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi.


Turut hadir memberi sokongan moral kepada Abby adalah teman baiknya, Sasha bersama suaminya Salyo.


Hubungan Abby dengan pelakon kacak berkenaan semakin rancak diperkatakan apabila Zul turut berlakon dalam drama bersiri, Gerak Khas terbitan skop Production itu.


Zul yang ditemui di luar perkarangan mahkamah turut menafikan dia dan Abby mempunyai hubungan istimewa.


"Seperti yang diketahui umum hubungan saya dan dia (Abby) sebagai kawan. Dia banyak bantu saya dan lepas ini kami akan bekerjasama lagi," ujarnya.


Ditanya adakah dia bersedia jika digosipkan dengan Abby selepas penceraian itu berlaku, Zul berkata:


"Itu saya tak tahu lah. Itu hanya gosip. Dan apabila masuk dalam bidang ini saya terpaksa lalui semua benda ini."


Pada 5 Disember, Abby Abadi telah memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Norman Hakim yang baru-baru ini ditangkap khalwat dengan seorang pelakon baru, Memey Suhaiza.


Permohonan tersebut difailkan melalui peguam syarie, Ahmad Nazib Johari di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.


Itu merupakan kali kedua Abby memfailkan permohonan perceraian setelah cubaan kali pertama yang dilakukan sendiri tanpa peguam syarie pada 3 November lalu gagal disebabkan dokumen yang tidak lengkap.


Mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar sebutan kes tersebut untuk mengetahui sama ada Norman yang juga seorang pelakon bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan isterinya.


Jelas beliau, Abby mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan persetujuan Norman melalui kebenaran mahkamah.


Dalam permohonan itu, kata Ahmad Nazib, Abby memohon perceraian dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka suami isteri.


Abby yang baru menyambut hari jadi yang ke-31 pada 1 Disember lalu sebelum ini pernah menegaskan untuk mengakhiri perkahwinan mereka ekoran krisis yang melanda.


Norman yang juga seorang ahli perniagaan bagaimanapun berharap agar rumah tangga mereka dapat dipertahankan demi kebahagiaan tiga orang anak mereka.


Rumah tangga pasangan artis tersebut dilanda kemelut apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana dekat sini pada awal pagi 30 Oktober lalu.


Pada 3 November lalu, Abby dinasihatkan oleh pihak mahkamah supaya berbincang dengan Norman terlebih dahulu supaya dapat bercerai secara baik, setelah dia gagal memfailkan perceraian ekoran dokumen permohonan yang tidak lengkap.


Sejurus selepas itu, Abby bertindak nekad berkunjung ke lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Wangsa Maju untuk menemui Norman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.


Pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2002 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Hakim, 5, Marisa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, dua setengah bulan.


Norman dan Abby pernah bercerai talak satu pada 5 Mei 2006. Bagaimanapun, mereka rujuk semula dalam tempoh yang singkat.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/18/mstar_hiburan/20081218113436&sec=mstar_hiburan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...