Saturday, December 18, 2010

Ibu simpan ‘anak ikan’

Ibu simpan ‘anak ikan’

Oleh A’isyah Sukaimi
am@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dicekup bersama lelaki muda atau ‘anak ikan’ belaannya di sebuah rumah di Presint 9, di sini awal pagi kelmarin selepas diserbu penguat kuasa agama yang bertindak atas aduan anak wanita itu sendiri.

Serbuan dilakukan pada jam 2.50 pagi oleh sekumpulan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya hasil maklumat anak wanita itu mengenai ibunya berusia 40-an yang sering membawa balik teman lelakinya berusia 20-an dan tidur bersama sejak beberapa bulan lalu.


Sumber berkata, pasangan berkenaan sebelum ini bijak menyembunyikan perbuatan terkutuk mereka kerana rumah itu turut dihuni anak perempuan terbabit yang berusia 20 tahun serta dua anak lelaki belasan tahun.

Menurutnya, mungkin meluat dan tidak mahu bersubahat dengan sikap ibunya yang bergelumang dosa, anak perempuan itu sendiri yang membuat laporan supaya ibunya ditahan.


“Ketika serbuan wanita itu membuka pintu rumah dan membenarkan penguat kuasa masuk seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. “Dia cuba menipu penguat kuasa dengan memberitahu mendakwa teman lelakinya yang ketika itu sudah berpakaian lengkap adalah saudara terdekat yang menumpang buat sementara sebelum memperoleh pekerjaan tetap,” katanya.


Bagaimanapun, penguat kuasa Jawi yang curiga dengan penjelasan wanita terbabit menyoal anak perempuannya dan ketika itulah rahsia jijiknya terbongkar. “Anak perempuan wanita itu memberitahu sebelum serbuan dilakukan lelaki terbabit tidur di bilik ibunya dan mereka sudah melakukan perbuatan itu sejak beberapa bulan lalu. “Kata gadis itu, dia sudah berbuih mulut menasihati ibunya supaya menghentikan perbuatan terkutuk itu, tetapi tidak dipedulikan, menyebabkan dia nekad membuat laporan kepada kami,” katanya.

Sumber itu berkata, mendengarkan kata-kata anak gadisnya wanita terbabit cuba berdalih dan mendapat simpati dengan memberitahu dia bakal mengahwini teman lelakinya dan lelaki itu juga memberi kenyataan serupa dengan pengakuan mereka merancang berkahwin dalam masa terdekat.


Bagaimanapun, alasan itu gagal mengelakkan mereka ditahan dan ketika disoal siasat wanita terbabit memberitahu dia menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya selepas berkenalan melalui laman sembang di Internet.

“Wanita itu juga memberitahu sudah bercerai dengan suami, tetapi gagal menunjukkan dokumen perceraian apabila diminta penguat kuasa,” kata sumber itu.


Menurutnya, pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat Jawi Putrajaya untuk diambil keterangan lanjur sebelum dibebaskan dengan jaminan.


Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000, jika didapati bersalah.


Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Rohaizan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit dan memberitahu mereka akan didakwa di mahkamah syariah dalam tempoh terdekat.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ibusimpan__8216_anakikan__8217_/Article

Rayu kerusi roda baru

LENGGONG: Desakan kewangan selain hanya bergantung harap dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan menyebabkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) terpaksa menggunakan kerusi roda yang rosak sejak beberapa tahun lalu.

Sharifah Radziah Mat Piah, 47, yang cacat dari bahagian pinggang ke bawah hanya bergantung kepada kerusi roda itu untuk bergerak.


Wanita malang yang mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun itu dimasukkan ke Hospital Taiping ketika berusia 20 bulan kerana mengalami masalah kerongkong menyebabkan nafasnya berbau.

Justeru, doktor yang merawatnya ketika itu terpaksa mengambil air tulang belakang untuk pemeriksaan penyakit menyebabkan dia tidak dapat berjalan hingga terpaksa menggunakan kerusi roda sejak 1965.


Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan kerusi roda baru memandangkan alat bantuan itu kini sering rosak dan memerlukan kos tinggi untuk dibaiki.


Katanya, dia menerima kerusi roda itu daripada JKM lapan tahun lalu dan sudah beberapa kali rosak.

“Saya sudah memohon bantuan kepada beberapa pihak, namun hingga kini masih tiada jawapan dan ada sebahagiannya hanya berjanji,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rayukerusirodabaru/Article/index_html

Tiga juta terganggu mental

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Isu kesihatan mental adalah isu yang amat besar dihadapi negara kerana mengikut kajian 2010, tiga juta rakyat Malaysia mengalami gangguan mental,” Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malasyia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan

Beliau berkata, isu yang sering dipandang remeh oleh segelintir masyarakat itu perlu ditangani bagi meningkatkan mutu kesihatan rakyat, sekali gus membolehkan negara mencapai Wawasan 2020.


Berikutan masalah itu yang boleh mengugat negara, katanya, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI) menganjurkan Bengkel Pengurusan Tekanan Mental (Stress).

“Bengkel ini bertujuan memberi kemahiran kepada peserta mengenal pasti dan menangani tekanan pada diri dan membantu mereka yang lain untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi,” katanya pada sidang media selepas membentangkan modul bertajuk ‘Pandangan Hidup Islami Mencegah Tekanan Mental, di sini.


Menurutnya, bengkel yang dihadiri 150 orang terdiri wakil organisasi dan individu daripada pelbagai peringkat usia itu turut menerapkan aspek pencegahan gangguan mental dari perspektif Islam.


“Melalui bengkel ini, Ikim memainkan peranannya supaya masyarakat khususnya yang beragama Islam memahami apa yang dimaksudkan dengan tekanan mental dan bagaimana cara mengatasinya melalui perspektif Islam.

“Tekanan mental adalah gangguan terhasil daripada kesihatan yang terganggu dengan penghayatan dalam hidup Islam dapat mengurangkan tekanan dan mereka yang terlibat perlu mengambil langkah proaktif dengan menjaga kesihatan,” katanya.


Nik Mustapha berkata dalam usaha mengatasi gangguan mental di kalangan masyarakat, Ikim akan membangunkan modul yang dibentangkan dalam bengkel berkenaan untuk dikembangkan ke pasaran umum dan akan dibangunkan dalam bentuk pendekatan Islam sesuai dengan peranan yang dibawa Ikim.

“Sebelum ini, kita sudah menganjurkan seminar kesihatan mental yang hanya disampaikan secara teori, tetapi melalui modul yang dilahirkan pada waktu ini dapat menghasilkan gerak kerja untuk mengatasi masalah secara praktikal.


“Modul ini akan dikembangkan untuk dipasarkan ke seluruh negara sama ada untuk agensi mahupun individu yang memerlukan bagi mengurangkan gangguan mental di kalangan masyarakat dan bagaimana Islam memainkan peranan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigajutaterganggumental/Article/index_html




‘Aku cucuk Ain’

JOHOR BAHRU: “Aku dah cucuk Ain itu yang dikatakan suspek ketika menghubungi saya beberapa minit selepas kejadian. Saya pada mulanya tidak percaya, tetapi syak berlaku perkara buruk apabila melihat adik bongsu Ain meraung di tepi jalan meminta bantuan.

“Sejurus masuk ke rumah Ain, saya terhidu bau asid yang kuat selain kesan darah sebelum melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di bilik air,” kata Abdul Rahman Sabtu, 44, di sini, semalam.


Abdul Rahman ditemui di rumah Nurain Ashikin Jemedi, 17, yang parah selepas ditikam 19 kali dan disembah asid oleh penyerangnya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Redan, di sini, pagi semalam.

Menceritakan semula kejadian, Abdul Rahman berkata dia yang baru bangun daripada tidur dikejutkan dengan panggilan suspek berusia 42 tahun itu mengatakan sudah menikam Ain.


Risau dengan mangsa yang dianggap seperti adik sendiri, dia bersama jiran lain bergegas ke rumah Nurain berhampiran.


Abdul Rahman bagaimanapun terkejut dengan keadaan mangsa yang berlumuran darah manakala kulit muka dan bahagian badan lain mula luruh akibat disimbah asid.

“Dalam keadaan cemas saya melihat mata mangsa terbeliak manakala gigi bertukar menjadi hitam dipercayai akibat terkena asid.


“Kami cuba membantu, tetapi risau akan memburukkan keadaan lalu menghubungi ambulans yang tiba setengah jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa Suraidah, 27, yang ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh adik bongsunya, Nurreha, 13, lalu bergegas ke rumah adiknya.


Menurut Suraidah, ketika kejadian, ibunya Tuminah Samsuri, 54, keluar menoreh getah di kebun di belakang rumah dan kejadian disaksikan Nurreha serta seorang anak saudara mereka.


“Kami sekeluarga mengenali suspek dan tahu dia ada menaruh perasaan kepada, Ain tetapi kerana jarak umur, hasratnya itu tidak dilayan adik.


“Walaupun ditolak, dia masih menyimpan perasaan itu dan sering berkunjung ke rumah kami kerana sebelum ini rapat dengan arwah ayah yang mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010121803525120101218035251/Article/index_html

Bayi dikandung gagal diselamat

Bayi dikandung gagal diselamat

Oleh Salman Hamat dan Ahmad Othman
am@hmetro.com.my

PILU...ibu mangsa, Tuminah  (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.
PILU...ibu mangsa, Tuminah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam.

KOTA TINGGI: Seorang remaja berusia 17 tahun yang hamil kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika mangsa, Nur Ain Ashikin Jemedi berada di rumah bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13, serta anak saudara apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa masih terselamat.

Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki yang melakukan serangan itu keluar dan mengambil asid dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran sebelum dia memasuki rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung.


“Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid mengenai kepala serta badan mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan.


“Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Menurut Muhammad, suspek yang berumur 44 tahun ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu ialah cemburu dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman.


“Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa berikutan tiada kesan tikaman mengenainya,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bayidikandunggagaldiselamat/Article

Keuntungan peminjam

RAP


MENJADI satu alasan kepada ramai orang pada masa kini tidak mahu menggunakan pinjaman perbankan Islam adalah kerana Kadar Pembiayaan Dasar (BFR) didapati tidak tetap atau dalam kata lain, sering berubah.

Persoalannya, boleh atau tidak sesebuah institusi perbankan Islam itu berbuat dan menggunakan cara demikian? Ini adalah satu fakta yang sering gagal difahami orang awam yang melihatnya sebagai satu kekurangan.


Sebenarnya, apabila bank Islam menggunakan BFR yang tidak tetap, ia adalah satu kelebihan kepada pelanggan.

Ini kerana BFR digunakan untuk produk yang pelbagai disebabkan pada ketika ini, semua perbankan Islam beroperasi di bawah sistem kewangan konvensional.


Justeru, dalam hala menentukan jumlah keuntungan yang disasarkan oleh sesebuah produk, rujukan dilakukan kepada Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Pokok konvensional, tetapi dinamakan BFR kerana perbankan Islam hanya menggunakan BLR untuk semakan harga pasaran di Malaysia.


Istilah itu ditukar kepada BFR kerana institusi kewangan Islam tidak memberi pinjaman (lending) tetapi membeli pembiayaan (financing) melalui kontrak yang sah di sisi hukum Islam.

Antaranya, mereka menggunakan kontrak BBA (Bai Bithaman Ajil), selain digunakan terhadap produk AITAB (sewa beli) dan ‘Musharakah Mutanaqisah’.


Pengguna perlu memahami, jika BFR itu digunakan dalam produk di bawah kontrak BBA, ia jelas satu kelebihan kepada pelanggan kerana kontrak BBA mewajibkan bank dan pelanggan bersetuju atas satu harga yang akan dibayar secara ansuran pada masa depan.

Harga itu kemudiannya dipecahkan menjadi kadar peratusan supaya ia sesuai dengan sistem sedia ada di Malaysia.


Biasanya kadar harga jualan (untuk pembiayaan rumah) yang termeterai di dalam kontrak dikenakan oleh sebuah bank Islam akan berada pada paras lapan hingga 10 peratus (kiraan secara monthly rest).


Setelah itu, bank berkenaan akan memberi komitmen bahawa pembayaran bulanan yang perlu dilakukan oleh pelanggan akan dirujuk kepada BFR.


Jika kadar asal dipersetujui adalah 10 peratus (kadar ini biasanya kurang disedari pelanggan kerana ramai tidak membaca kontrak mereka), seterusnya pihak bank akan memaklumkan pembayaran bagi tahun pertama, kedua dan ketiga adalah BFR - 1 peratus.


Ini bermakna, jika BFR berada pada kadar 6.25 peratus, pelanggan hanya perlu membayar 6.25 peratus tolak satu peratus atau secara tepatnya, 5.25 peratus saja. Walhal kadar asal yang dipersetujui adalah 10 peratus.


Itulah yang dinamakan rebat atau diskaun bagi memastikan kadar dikenakan oleh bank Islam kekal kompetitif dengan kadar bank konvensional. Itulah yang perlu difahami pelanggan.


BFR adalah satu mekanisme yang diguna bank Islam untuk mengira diskaun yang boleh diberikan kepada pelanggan.


Dalam contoh tadi, bermakna pelanggan menerima diskaun sebanyak 4.75 peratus untuk bulan itu, jika tiba-tiba BFR turun pada bulan berikutanya, jumlah diskaun akan mengembang juga, demikian sebaliknya.


Namun, jika BFR meningkat melebihi 10 peratus, Bank Islam akan terhad kepada caj 10 peratus saja kerana itulah kadar asas (maksimum) yang dipersetujui. Bukankah itu sangat baik untuk pelanggan? Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank Islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun.


Kaedah dan penggunaan ini disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah.


Ia dinamakan produk ‘Home Financing-i variable’, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking, RHB Islamic Bank dan banyak lagi bank Islam lain.


Justeru, jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa.


Ini kerana, walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa.


Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank Islam terikat pada kadar 10 peratus saja dan ini tidak berlaku di bank konvensional.


Keistimewaan kepada pelanggan yang ingin tamatkan kontrak lebih awal Keistimewaan terhadap pembiayaan perumahan, aset atau kenderaan berdasarkan kontrak selama 30, 10 atau sembilan tahun kepada pelanggan boleh dilihat apabila resolusi Majlis Syariah Bank Negara Malaysia mewajibkan semua bank memberi diskaun kepada pelanggan yang ingin menamatkan kontrak hutang sebelum tempoh matang.


Ini bermakna pelanggan tidak perlu lagi mengeluh untuk membayar harga penuh secara maksimum mengikut tempoh matang pembiayaan, sebagaimana contoh pembiayaan perumahan yang mencecah tempoh 25 tahun.


Selain itu, orang ramai tidak boleh membandingkannya di antara satu bank dengan bank lain kerana setiap bank mempunyai kadar lebih pelbagai lagi, bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman.


Jika anda hanya meminjam 70 peratus daripada harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank Islam.


Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.


Kesimpulan jawapan kepada soalan ini, majoriti pakar syariah di dalam dan luar negara bersetuju dengan penggunaan BFR dalam sistem penentuan harga, keuntungan dan diskaun yang akan dikenakan bank Islam.


Oleh itu, kefahaman mengenai konsep ini perlu diambil perhatian oleh pelanggan, khususnya dalam membezakan keistimewaan perbankan Islam dengan bank konvensional lain.

http://www.hmetro.com.my/articles/Keuntunganpeminjam/Article

Haram nikahi cucu isteri

Dr.Salam


Lelaki baru kahwin janda, haram nikahi cucu isteri


MENURUT hukum fiqah perkahwinan antara lelaki dan perempuan menjadi haram apabila ada pertalian yang terlarang di antara mereka iaitu (1) atas sebab nasab, (2) atas sebab pertalian kahwin atau semenda dan (3) atas sebab pertalian sesusuan.

Ini dapat dilihat dalam al-Quran yang berbunyi: "Dan
janganlah kamu kahwini (wanita) yang diperisterikan bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa yang lalu. "Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita berikut): ibumu, anakmu, saudaramu (adik-beradik), saudara bapamu dan saudara ibumu, anak saudaramu yang lelaki, anak saudaramu yang perempuan, ibumu yang menyusukan kamu, saudara susuanmu, ibu isterimu, anak tiri yang dalam pemeliharaanmu daripada isteri yang kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya.

"Dan bekas isteri anakmu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, (mengahwini) isteri orang, kecuali hamba yang kamu miliki. Itulah ketetapan hukum Allah ke atasmu. Dan dihalalkan bagi kamu wanita selain daripada itu, untuk kamu kahwini dengan hartamu secara bernikah bukan berzina. "Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya sebagai suatu ketetapan. "Dan tiadalah kamu berdosa mengenai suatu yang dipersetujui bersama, sesudah ditetapkan mas kahwin itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa' ayat 22-24).

Berkenaan cucu isteri anda di atas, dia termasuk dalam wanita yang haram dinikahi kerana hubungan atau pertalian pernikahan yang terbahagi kepada empat iaitu: (1) Isteri ayah (ibu tiri) dan terus ke atas (nenek daripada ibu tiri dan seterusnya); (2) Ibu isteri (mentua perempuan), nenek isteri daripada pihak ayah atau ibu dan terus ke atas, (3) Anak perempuan isteri dengan syarat isteri itu (ibu anak perempuan) yang sudah digauli, cucu perempuan isteri, dan terus ke bawah.

Demikian pula anak perempuan daripada anak lelaki tiri sebagaimana pendapat dan (4) Isteri daripada anak lelaki kandung (menantu) dan terus ke bawah.

Oleh itu, bersentuhan dengan cucu perempuan isteri tidak membatalkan wuduk. Anda juga diharamkan daripada mengahwininya apabila sudah berkahwin dan bersetubuh dengan neneknya.

Bagaimanapun, cucu perempuan isteri itu tidak termasuk dalam kategori waris untuk harta pusaka kerana tiada hubungan nasab.

Terlupa baca Qunut ketika Subuh

Dr.Salam

MEMBACA qunut dalam solat Subuh menurut mazhab Imam Syafie termasuk dalam sunat ab'adh iaitu perkara sunat dalam solat yang mesti dilakukan.

Selain qunut, sunat ab'adh termasuk membaca tasyahhud awal, selawat atas nabi selepas tasyahhud awal, selawat atas keluarga nabi selepas tasyahhud akhir, duduk bagi membaca tasyahhud awwal dan akhir serta selawat atas nabi dan ahli keluarga selepas qunut.

Jika seseorang tertinggal atau meninggalkan satu sunat ab'adh maka dikehendaki sujud sahwi.

Sujud sahwi disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai.

Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut atau tasyahhud awal.

Dalam kes anda, apa yang sepatutnya dilakukan ialah meneruskan solat seperti biasa dan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana tertinggal qunut.

Apabila sudah sujud dengan sempurna, anda tidak dibenarkan bangun kembali untuk membaca qunut.

Ini kerana ia dikira menambah sesuatu dalam solat dan boleh membatalkan solat.

Kecuali anda ingat sebelum sujud secara sempurna (iaitu selepas meletakkan seluruh tujuh anggota), maka anda boleh kembali membaca qunut.

Bagaimanapun, jika anda terlupa atau jahil mengenai perkara terbabit, tidak batal solat berkenaan.

Beza harta sepencarian, nafkah

Dr.Salam

MEMANG terdapat perbezaan antara harta sepencarian dan nafkah. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil daripada usaha suami isteri dan termasuk pendapatan yang diperoleh daripada modal sendiri hasil kerjasama mereka.

Jika berlaku perceraian, harta yang diperoleh boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Harta berkenaan dapat dibahagikan bersama antara mereka dengan persetujuan mahkamah.

Manakala nafkah pula merujuk kepada tanggungjawab suami kepada isteri iaitu dalam masa perkahwinan isteri berhak mendapat nafkah daripada suaminya.

Ini termasuk nafkah makanan, tempat tinggal, pakaian dan perubatan.

Kadar nafkah diambil kira dengan kemampuan suami berdasarkan pendapatannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah ayat 233)

Apabila dicerai, isteri berhak mendapat nafkah untuk masa idah (Surah at-Talaq: 6).

Mutaah jatuh martabat wanita

Dr.Salam

NIKAH Mut'ah secara umumnya adalah nikah kontrak yang menetapkan tempoh perkahwinan pada masa-masa yang tertentu seperti sebulan, setahun dan sebagainya.

Apabila tamat tempoh itu, perkahwinan terbatal dengan sendiri dan sekiranya ada anak yang lahir daripada perkahwinan itu, ia tidak dinasabkan kepada bapa atau suami perempuan berkenaan.

Pernikahan sebegini hanya diamalkan dalam mazhab Syiah berdasarkan hujah tertentu yang tidak tepat dan wajar. Seluruh mazhab Sunni termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali mengharamkan perkahwinan Mut'ah kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan dalam Islam yang tidak mengehadkan waktu perkahwinan dalam tempoh tertentu.

Akad sedemikian dikira batil dalam Islam. Selain itu, ia juga dilihat sebagai menjatuhkan martabat wanita dan maslahat umum pembentukan sebuah keluarga.

Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan pernikahan Mut'ah. Sekiranya ia dipraktikkan oleh mana-mana individu, pihak berkuasa agama boleh mendakwa pasangan terbabit di Mahkamah Syariah.

Umat Islam diingatkan supaya tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan aliran fikah yang tidak selari dengan pendapat majoriti umat Islam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...