Tuesday, October 19, 2010

Guru di AS dipecat kerana bermain cinta di Facebook



CHADWIN REYNOLDS


NEW YORK - Sekurang-kurangnya tiga orang guru di sekolah tinggi awam di New York telah dipecat dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini kerana mempunyai hubungan kurang sesuai dengan pelajar menerusi laman sosial Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.

Salah seorang daripada mereka ialah bekas guru seni di sekolah tinggi Fordham di Bronx, Chadwin Reynolds, 37, yang 'berkawan' dengan ramai pelajar perempuan.

Menurut akhbar New York Post, dia pernah menulis komen-komen berbaur seks di bawah beberapa gambar di Facebook.

Menurut satu suruhanjaya siasatan khas sekolah-sekolah di New York, Reynolds juga didakwa cuba memujuk seorang remaja agar keluar bersamanya dengan cara mendapatkan nombor telefon, menghantar bunga, gula-gula dan patung beruang.

Dia bagaimanapun menegaskan bahawa kesnya ditutup setelah Jabatan Pendidikan (DOE) mendapati dakwaan-dakwaan ke atasnya adalah tidak sah.

Namun, DOE mengesahkan Reynolds dipecat kerana skandal tersebut.

Seorang bekas pekerja DOE, Laurie Hirsch pula dipecat pada Mei lalu kerana menjalin hubungan dengan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun.

Dia meletakkan gambarnya bercium dengan pelajar terbabit yang menyebabkan siasatan dilakukan.

Pelajar itu memberitahu dia telah melakukan hubungan seks sebanyak 10 kali di pangsapuri Hirsch pada tahun lalu. Rekod menunjukkan terdapat 2,700 panggilan telefon dibuat dalam tempoh enam bulan.

Seorang guru lelaki gantian di Manhattan, Stephen D'Andrilli juga didapati 'berkawan' dengan beberapa pelajar perempuan di Akademi Essex Street dan menghantar mesej-mesej yang tidak sepatutnya.

D'Andrilli pernah menghantar mesej kepada seorang pelajarnya bahawa teman lelakinya itu tidak berhak memiliki perempuan yang secantiknya.

Sementara itu, seorang guru di sekolah tinggi La Guardia dikatakan memberi markah lebih kepada pelajar yang 'berkawan' dengannya di Facebook.

Dia bagaimanapun tidak dikenakan tindakan. - Agensi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Hakim putuskan suami boleh pukul isteri

ABU DHABI - Mahkamah tertinggi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan seorang lelaki boleh memukul isteri dan anak kecilnya asalkan pukulan itu tidak meninggalkan tanda fizikal pada tubuh mereka.

Keputusan Mahkamah Agung Persekutuan tersebut menunjukkan pengaruh kuat undang-undang Islam di UAE selain tarikannya dalam kalangan komuniti antarabangsa ekoran bilangan rakyat asing jauh melebihi penduduk tempatan di negara berkenaan.

Mahkamah berkenaan membuat keputusan itu pada awal bulan ini dalam kes seorang lelaki yang memukul isteri dan anak perempuannya yang telah dewasa sehingga tubuh mereka luka dan berparut.

Ia memutuskan bahawa lelaki itu bersalah kerana mencederakan kedua-dua wanita terbabit tetapi menyatakan, undang-undang Islam membenarkannya untuk tujuan mendisiplin selagi pukulan itu tidak meninggalkan tanda atau parut.

Hakim mahkamah itu turut melarang kanak-kanak yang mencapai usia akil baligh daripada dipukul.

Keputusan itu dilaporkan semalam dalam akhbar The National. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Kadar dividen KWSP tidak terjejas


UEM memberi jaminan bahawa tahap perkhidmatan dan penyelenggaraan di lebuh raya PLUS akan diutamakan selepas transaksi pengambilalihan.


KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan bahawa kadar dividen kepada para pencarumnya tidak akan terjejas dalam masa terdekat ini.

Ia berikutan cadangan pengambilalihan kesemua perniagaan termasuk kesemua aset dan tanggungan PLUS Expressway Bhd. (PLUS) dengan nilai sebanyak RM23 bilion oleh KWSP dan UEM Group Bhd. (UEM).

Pengambilalihan itu akan dilakukan melalui sebuah entiti pelaburan bersama yang mana UEM akan memiliki kepentingan sebanyak 51 peratus dalam syarikat pengendali lebuh raya bertol kelima di dunia itu manakala bakinya dipegang oleh KWSP.

Tahun lalu hampir 12 juta pencarum KWSP menikmati kadar dividen sebanyak 5.65 peratus berbanding 4.50 peratus pada tahun 2008. Pengagihan kadar tersebut adalah berdasarkan kepada pendapatan bersih tertinggi yang pernah dicapainya iaitu RM19.63 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Shahril Ridza Ridzuan berkata, memandangkan transaksi pengambilalihan tersebut dijangka selesai dalam masa setahun maka tiada sebarang kesan dapat dilihat pada kadar dividen yang bakal diumumkan bagi tahun kewangan semasa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Wanita asing jadi buruh binaan


ZAHIRUL FAHMI (duduk di kiri) bertanya sesuatu kepada buruh binaan wanita warga asing yang ditahan bersama pendatang asing tanpa izin lain di Kangar semalam.


KANGAR – Kemunculan wanita warga asing di tapak pembinaan biasanya untuk bekerja sebagai tukang masak atau pencuci tetapi lain pula halnya dengan tiga wanita yang ditahan pihak berkuasa di tapak pembinaan Utan Aji di sini semalam.

Tiga wanita berumur 21 sehingga 35 tahun itu rupa-rupanya bekerja sebagai buruh binaan dan rahsia mereka terbongkar apabila mereka ditahan bersama 11 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dalam satu serbuan pukul 11.15 pagi.

Pengarah Imigresen Perlis, Zahirul Fahmi Zaini (gambar kecil) berkata, kesemua wanita itu berasal dari Indonesia dan dipercayai sudah setahun bekerja di tapak pembinaan itu tetapi tidak memiliki sebarang permit.

“Kerana inginkan wang, wanita ini sanggup melakukan kerja-kerja berat di tapak pembinaan seperti menampal dinding dan mengangkat bata,” katanya.

Menurut beliau, seorang daripada wanita itu mengaku telah berkahwin dan mempunyai seorang anak manakala 11 lelaki lain terdiri daripada 10 warga Myanmar dan seorang Indonesia berusia antara 20 dan 45 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Tawau berdepan gempa bumi kuat




KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi tidak menolak kemungkinan gempa bumi bersaiz sederhana menghampiri 6 pada skala Richter mungkin berlaku di Tawau, Sabah pada masa depan.

Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi, Dr. Mohd. Rohaidi Che Abas berkata, kemungkinan itu diambil kira daripada kekerapan gempa bumi yang berlaku di kawasan-kawasan sekitar Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.

"Ini kerana sejak minggu lepas hingga semalam tiga gegaran lemah telah dicatatkan di kawasan terlibat yang berukuran 2.6 hingga 3.8 pada skala Ricther.

"Meskipun kawasan terlibat merupakan kawasan berisiko dilanda gempa namun kekerapan yang berlaku menghairankan kami," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Justeru, menurut Mohd. Rohaidi, pihaknya akan memantau 24 jam sehari untuk melihat perkembangan semasa kemungkinan berlaku lagi gempa bumi di Tawau.

Menurut rekod, gempa paling kuat pernah dicatatkan di Sabah ialah di Lahad Datu pada tahun 1976 iaitu berukuran 5.8 pada skala Richter,

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pathmanabhan bukan peguam lagi





KUALA LUMPUR - Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N. Pathmanabhan (gambar) dan juga adiknya, N. Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua-dua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib tersebut digantung, sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan tersebut.

Peguam T. Rajasekaran yang mewakili responden M. Rajeanteran memberitahu pemberita, dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang pernah ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati tidak lagi boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk dalam pembelian hartanah.

Rajeanteran merupakan anak guam dua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003.

Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009.

Pada 24 November tahun lalu, dua beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula.

Di dalam notis itu, Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Gagal kuruskan pelanggan


KOMPLEKS beli-belah Mahkota Parade, Melaka ini menempatkan salun rawatan kecantikan Marie France Bodyline Sdn. Bhd.


MELAKA - Sebuah pusat rawatan kecantikan di sini diarah membayar ganti rugi dengan memberikan 23 kali rawatan kecantikan kepada seorang pelanggannya kerana gagal mendapat bentuk badan sebagaimana yang dijanjikan.

Ganti rugi tersebut termasuk 10 kali rawatan membalut, 10 kali rawatan badan menggunakan mesin dan tiga kali rawatan muka secara percuma ke atas Ong Bing Hong, 46.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Datuk A. Mutalib Mohd. Razak berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh TTPM kepada dua wakil Marie France Bodyline Sdn. Bhd. yang menawarkan pakej berkenaan.

Sementara itu, Bing Hong yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat tayar di sini berkata, pada mulanya dia dikehendaki membayar sebanyak RM11,600 untuk dua pakej rawatan menguruskan badan dengan setiap satu pakej berharga RM5,800.

"Semasa perbincangan, pusat rawatan kecantikan itu memberi jaminan bahawa berat badan yang mencecah 71 kilogram akan dapat diturunkan kepada 60 kilogram jika mengambil pakej berkenaan,'' katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya, selepas membayar RM5,800 untuk pakej pertama pada 18 Mac lalu, dia memulakan rawatan sesi pertama pada hari yang sama.

"Bagaimanapun, belum selesai rawatan pakej pertama, saya ditawarkan pula pakej ketiga dan perlu menambah RM4,130 lagi jika mahu menurunkan berat badan kepada 55 kilogram,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Bicara kes Mirza 16 Mei tahun depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 16 Mei tahun depan untuk tarikh perbicaraan kes pecah amanah wang syarikat berjumlah RM888,000 membabitkan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (Pempena), Mohammad Rosly Md Selamat pada tiga tahun lalu.

Hakim Azizah Mahamud menetapkan 23 hingga 26 Mei sambung bicara kes itu selepas p Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer memaklumkan kepada mahkamah semua dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan yang diketuai peguam bela Saseedharan Menon.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101019021411/Article/index_html

SPRM fail rayuan kes Wahid

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu, berkaitan tuduhan rasuah RM60,000. Ketua Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, ketika dihubungi di sini, semalam, mengesahkan rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini.

Katanya, belum ada tarikh ditetapkan bagi mendengar rayuan itu. Wahid, 57, dilepas dan dibebaskan dari tuduhan menerima rasuah RM60,000.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101019021430/Article/index_html

Minta kaji pertuduhan

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S Ramamurthy memohon Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria menggunakan budi bicaranya mengkaji semula kertas pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya supaya mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, kedua-dua mereka K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan bahan bukti.


Jeevan berkata, hukuman yang dijatuhkan kepada mereka tidak memadai dengan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh.


“Kami ingin memaklumkan kepada Ariffin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa kami tidak setuju dengan hukuman yang dikenakan ke atas mereka berdua.

“Walaupun mereka tidak terbabit dengan pembunuhan itu secara langsung tetapi mereka bersubahat membantu melakukan perbuatan itu seperti yang dihuraikan Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta yang sama,” katanya di sini semalam.


Menurutnya, kedua-dua mereka juga gagal memberi maklumat berkenaan pembunuhan itu kepada polis dalam tempoh yang lama sebelum kedua-dua mereka ditangkap dan disiasat.

Sementara itu, Timbalan Majlis Gabungan NGO Melayu Islam, Rahimuddin Md Harun turut mendesak hukuman ke atas kedua-dua tertuduh dikaji semula.


“Saya amat terkejut dengan hukuman yang dikenakan kepada tertuduh, sepatutnya kedua-dua yang mengaku bersalah menghapuskan bukti menerima hukuman lebih berat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101019021624/Article/index_html

Fokus AGM Umno: 1Malaysia atau Ketuanan Melayu?


Hafiz Yatim
Okt 19, 10
3:58pm



Konsep 1 Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sukar untuk 'dijual' di kalangan rakyat Malaysia, malah sebahagian besar pemerhati berpendapat ianya lebih sukar untuk ditelan oleh Umno sendiri - parti pimpinan Najib yang mempunyai seramai 3.6 juta ahli.





Kalangan Umno berpendapat bahawa 1Malaysia mencairkanraison
d'etre (sebab kewujudan) parti itu - iaitu memperjuangkan agendaMelayu - dan telah meletakkan mereka dalam keadaan yang janggal untuk bercakap sebagai pemimpin nasional dan bukan komunal.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, beberapa perwakilan secara peribadi telah menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap logo besar 1Malaysia yang dipasang di sekitar tempat perhimpunan itu atau bendera parti dalam bentuk logo 1Malaysia.

Para pemerhati kini menunggu untuk melihat sama ada para perwakilan akan mengikut isyarat ibupejabat parti dan menampilkan konsep 1Malaysia, dan bukannya retorik tradisinya - Ketuanan Melayu.

Rungutan terhadap konsep 1Malaysia agak tenang, kecuali beberapa kritikan menyengat oleh bekas perdana menteri Tun Dr
MahathirMohamad, tetapi Najib percaya bahawa konsep 1Malaysia adalah kritikal dalam perancangannya untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan
datang.





Para perwakilan juga diharapkan menyentuh pelbagai rancangan besar kerajaan, khususnya Model Baru Ekonomi (MBE), yang mahukan dasar tindakan afirmatif dihapuskan secara berperingkat.

Walaupun MBE disokong oleh unsur-unsur liberal dalam Umno kerana ini akan menggalakkan dayasaing, sejarah telah menunjukkan bahawa majoriti penyokong setia Umno tidak akan senang terhadap sebarang usaha untuk menggangu-gugatkan tindakan afirmatif itu.

Dalam jangka pendek, para perwakilan dan pemimpin parti dijangka berusaha untuk menaikkan moral ahli dan parti, menjelang pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan serentak pada 4 November.

Walaupun kedua-dua pilihan raya keci litu tidak terlalu penting, tetapi kemenangan di Galas boleh dianggap sebagai titik permulaan dalam usaha Umno untuk merampas Kelantan dari PAS, yang menguasai neger iitu sejak 1990.

Dapatkan Khairy bertahan?

Bagi perhimpunan agung Pemuda Umno pula, perwakilan dijangka membentangkan 'kad laporan' masing-masing terhadap prestasi ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.





Khairy (kanan), yang terpilih sebagai ketua Pemuda Umno Mac tahun
lalu, telah menjadi juara konsep 1Malaysia dan telah beralih jauh daripada pendekatan keras komunal seperti yang diamalkanm pemimpin terdahulu pergerakan itu.

Dalam perhimpunan agung tahun lalu, Khairy dengan tegas menggesa anak buahnya supaya "mengetepikan" mentaliti 'Ketuanan Melayu' dan
digantikan dengan idea 'kepimpinan Melayu'.

Menurutnya, ini akan membantu pergerakan itu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat lain dan membina hubungan yang kuat dengan akan parti komponen dalam BN.

Perhimpunan agung Umno bermula malam ini dengan perasmian serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga sayap akan membahaskan ucapan dasar ketua masing-masing esok.
'
Perdana Menteri Datuk Tun Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan presiden pada hari Khamis. Ini akan diikuti dengan perbahasan perwakilan yang akan berakhir pada hari Sabtu.



Beku tol: Rakyat tanggung beban 'RM64 bilion'

Joseph Sipalan
Okt 19, 10
7:25pm

Kerajaan mungkin berakhir membelanjakan RM64 bilion sebagai pampasan kepada Plus Highway Berhad, jika ia bercadang membekukan kenaikkan kadar tol sehingga konsesi syarikat itu berakhir pada 2038, kata setiausaha publisiti DAP, Tony Pua.

Mengambil kira anggaran RM5 bilion pampasan seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 Jumaat lalu, bagi memastikan kadar tol di empat lebuh raya milik Plus tidak dinaikkan, Pua berkata tindakan itu tidak masuk akal.

Sebaliknya, kata Pua ia hanya tindakan popular dan kerajaan hanya bertindak sedemikian semata-mata untuk mengembirakan pengundi.

"Tindakan ini tidak masuk akal apabila kerajaan terpaksa memberi pampasan sebanyak RM5 bilion kepada pemilik konsesi dan berkemungkinan besar setinggi RM64 bilion dalam tempoh keseluruhan konsesi itu di mana pembelian langsung Plus hanya sebanyak RM23 bilion sebagaimana yang ditawarkan UEM-KWSP,” katanya.

Tambah ahli parlimen Petaling Jaya-Utara itu lebih murah bagi kerajaan membeli terus syarikat lebuh raya itu pada harga RM4.60 sesaham seperti yang ditawarkan oleh firma usahasama UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Andaiannya, jika kadar tol dibekukan selama 14 tahun, kerajaan masih boleh mendapatkan pelaburannya dan menggunakan wang berkenaan untuk menjadikannya bebas tol ataupun mengutip bayaran minimum bagi tujuan penyelengaraan, katanya.

"Kecualilah jika kerajaan mahu melihat rakyat Malaysia menderita," kata Pua pada sidang akhbarnya di lobi parlimen.

Autonomi Sabah: Anwar jangan 'janji mulut'

Jimadie Shah Othman
Okt 19, 10
3:22pm

Janji Pakatan Rakyat hendak memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika mereka membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang hendaklah dinyatakan dalam manifesto dan bukannya sekadar "cakap mulut".

Menurut ahli
politik veteran Sabah Datuk Karim Ghani - yang keluar Umno, antaranya kerana parti itu gagal memberikan autonomi kepada negeri itu - berkata, perkara itu harus dilakukan supaya rakyat dapat membuat pilihan dalam pilihan raya.

"Jangan cakap di mulut sahaja. Masukkanlah dalam manifesto. Barulah kita dapat buat keputusan.

"Kalau lepas (tempoh mandat) lima tahun tidak buat juga, kita tukarlah balik (kerajaan)," kata Karim ketika ditanya sama ada janji itu memikatnya untuk menyertai parti gabungan dalam Pakatan.

Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah semalam mengumumkankeluar parti serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Bercakap kepada
Malaysiakini hari ini, bekas naib presiden Usno itu menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hatilebih daripada 15 tahun, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan autonomi kepada Sabah.

Pada 15 September lalu, ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu, Datuk Seri
Anwar Ibrahim bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dilaporkan berikrar mahu memberikan autonomi penuh jika mereka menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar dilaporkan berkata oleh
The Borneo Post bahawa hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh negeri itu sendiri.

Sementara itu, Karim berkata, beliau juga kecewa berhubung isu tuntutan royalti minyak Sabah daripada 5 kepada 12 peratus yang dituntutnya selama ini tidak diberikan.

Najib: Haramkan akhbar usaha sia-sia

Salhan K Ahmad
Okt 19, 10
3:49pm

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha untuk menyekat kebebasan media tidak akan membawa apa-apa hasil.

Sebaliknya, usaha perlu ditumpukan untuk memastikan suara daripada golongan yang berpandangan sederhana perlu diberi peluang yang lebih untuk menyuarakan pendapat mereka melalui media.

"(Tindakan) mengharamkan akhbar merupakan usaha yang sia-sia tapi (sebaliknya) perlu pastikan bahawa media membawa suara yang rasional.

"Suara seperti itu perlu dibawa dengan cara yang lebih nyata," katanya lagi.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna negara tidak lagi memerlukan undang-undang untuk mengawal media.

Tambahnya, media juga perlu bertanggungjawab dalam laporan mereka.

"Mereka tidak boleh menghukum dengan mudah tentang apa yang baik atau buruk tentang negara ini," katanya.

Katanya lagi, kini timbul keperluan untuk menyekat pengaruh golongan ekstremis yang kini semakin kuat dengan kemunculan media baru.

Tanpa menamakan pihak terbabit, Najib berkata sebelum ini golongan berkenaan terpisah daripada satu sama lain.

"Sekarang dengan kemajuan teknologi, mereka berjaya menemui satu sama lain dan membentuk komuniti," katanya ketika menutup satu forum antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Tambahnya, pihak yang disifatkannya sebagai "golongan sensitif" mudah untuk beralah kepada pandangan ekstrem, namun kini timbul keperluan supaya suara mereka diberi ruang yang lebih luas.

Katanya, langkah itu perlu bagi membolehkan suara daripada golongan yang berpandangan sederhana sentiasa diketengahkan.

Usul bahas Perkara 153 untuk Orang Asli ditolak lagi


Okt 19, 10 12:21pm


Usul Pakatan Rakyat bagi membahaskan pengiktirafan Orang asli sebagai bumiputera mengikut Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan ditolak oleh pejabat speaker hari ini.

NONEDalam pada itu, kawalan sekitar Parlimen juga diperketatkan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota polis bagi menghalang sekumpalan Orang Asli yang dipercayai cuba menyerahkan memorandum berkenaan.

Sekatan polis di adakan di Jalan Duta menuju ke bangunan Parlimen dan beberapa Orang Asli yang datang sewal jam 9 pagi juga tidak dibenarkan masuk, walaupun mereka mendakwa masing-masing telahpun membuat permohonan rasmi.

Menurut pegawai khas kepada Datuk Kamarul Baharin Abbas, - Muhammad Faizal Zakaria, rombongan Orang Asli itu sepatutnya dibenarkan masuk kerana ahli parlimen Telok Kemang itu sendiri yang membuat permohonan berkenaan minggu lalu.

Bagaimanapun cubaan kedua mereka pada jam 10.15 pagi berjaya setelah dijelaskan bahawa tujuan mereka ke Parlimen bukan untuk membantah ataupun menyerahkan sebarang memorandum.

Menurut naib presiden Persatuan orang Asli Semenanjung Malaysia, Simpan Suda, polis memaklumkan bahawa mereka menerima maklumat kira-kira 300 Orang Asli akan berdemonstrasi sebelum menyerahkan memorandum.


Tinggal 18 saja

“Apabila kami datang pada kali kedua, hanya tinggal 18 sahaja kerana yang lain takut. Kami bukan datang menyerahkan memorandum, kami cuma pelawat biasa. Kami ke mari bukan menimbulkan kekacauan,” katanya.


orang asli house 230205Orang Asli Semenanjung Malaysia menurut Simpan cuma mahu hak mereka dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang kita lihat, jangan dipertikai (Perkara) 153 Hak Istimewa Orang-Orang Melayu (dan Agama Islam) Perlembagaan Persekutuan."

"Tapi, kita nak memanjangkan keistimewaan Orang Asli di Semenanjung (Malaysia) saja kerana hak orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak saja yang ada," katanya.

Perkara 153 dan 160 perlembagaan tidak memberikan hak istimewa kepada Orang Asli Semenanjung sebagai Bumiputera.

Fasal (2) Perkara 160 hanya mentafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.


Tidak dipelihara

jahai orang asli 220807 woman and childrenBaginya, Hak Orang-Orang Asli nampaknya seakan tidak dipelihara.

"Seolah-olah hak kami (Orang Asli Semenanjung) tidak ada hak apa-apa dalam Perlembagaan kerana tafsiran hak kami pun tidak ada.

"Kita nak minta panjangkan sendiri untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,"
katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Kamarul berkata usul tergempar berhubung status itu ditolak dengan alasan ia pernah ditimbulkan dan dibincangkan di Dewan Rakyat.

Dalam usulnya, Kamarul menggesa pengiktirafan bumiputera diberikan kepada Orang Asli kerana Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan mereka status berkenaan.

jahai orang asli 220807 houses“Orang Asli telah lama tunggu untuk diiktiraf sebagai bumiputera... isu ini telah dipendam begitu lama,” katanya.

Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) pula berkata status Orang Asli sepatutnya dibahaskan kerana kesamaran kedudukan dan hak mereka menyebabkan kumpulan itu dipinggirkan dari arus pembangunan.

“Kami hormati pandangan speaker tetapi isu ini tidak harus dibiarkan berlarutan setelah 53 tahun merdeka. Kerajaan seharusnya menerima Orang Asli sebagai bumiputera, ini perkara yang sepatutnya dan tidak seharuis mempunyai masalah,” katanya.


VIDEO 4.15 min


http://malaysiakini.com/news/145738

DAP mahu 'kuasa rakyat' tentukan Warisan Merdeka


Hazlan Zakaria
Okt 19, 10
1:20pm



Bagi membuktikan bahawa bantahan mereka terhadap pembinaan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat itu bukan tanpa asas yang kukuh, sekumpulan ahli parlimen DAP membawa wartwan ke tapak lokasi projek berkenaan hari ini.

Bermula dari bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), kira-kira 15 wartawan dibawa melihat persekitaran yang juga membabitkan bangunan Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang bersejarah itu.





Lima ahli parlimen itu kemudiannya mengadakan sidang media mereka bagi menghuraikan mengapa projek berkenaan bakal membebankan rakyat.

Menurut MP Bukit Bintang, Ong Kui Loon, jalan-jalan yang sempit dengan kehadiran lima sekolah di kawasan itu telah memburukkan lagi masalah lalu lintas di kawasan berkenaan.

Katanya, dengan siapnya projek Warisan Merdeka, keadaan lalulintas di sini akan menjadi lebih bercelaru.

MP Segambut Lim Lip Eng pula berhujah projek itu belum diluluskan memandangkan tiada papan tanda pengumuman projek daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia pra-syarat utama sebelum sesuatu projek diumumkan.





"DBKL mesti menaikkan papan tanda dan umumkan projek. Selepas itu mesti ada tempoh bantahan bagi orang ramai menyuarakan pendapat dan komen,” kata Lim.

Katanya, ini bagi membolehkan rakyat menentukan sama ada mereka mahukan projek itu ataupun tidak serta alasan mengapa mereka berbuat demikian.

"Kami di pihak pembangkang telah membuat kenyataan berhubung pendirian kami tetapi kerajaan mendakwa kami hanya mempolitikkan isu berkenaan. Jadi sekarang kami mahu menggunakan kuasa rakyat,” kata Lim lagi.

MP Cheras Tan Kok Wai juga mempersoalkan rasional mengapa Malaysia memerlukan bangunan pencakar langit lagi.





"Tiada bandaraya yang hebat hanya dibuat dengan bangunan pencakar langit sahaja.

"Adalah lebih baik kriteria lain digunakan seperti menjamin sistem keselamatan yang baik serta membekalkan sistem pengangkutan yang cekap,”
katanya.

MP Kepong, Dr Tan Seng Giaw juga sependapat dengan rakan-rakannya dan berkata peruntukkan RM5 bilion untuk menara itu sepatutnya dibelanjakan untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara .

"Tidak dinafikan ada yang akan dapat manfaat daripada menara itu, antaranya sebagai contoh mereka yang akan ada pejabat di situ tetapi bilangan mereka terhad.





"Sebagai kontras, wang itu jika dibelanjakan untuk meningkatkan perkhidmatan penagngkutan awam akan membawa manfaat kepada lebih ramai orang,” hujah Tan.

Bagi MP Seputeh Teresa Kok pula projek Warisan Merdeka itu menimbulkan pelbagi persoalan kerana ia dirancang secara tergesa-gesa tanpa perbincangan lanjut. Katanya, contoh seperti beberapa projek di kawasan parlimennya di Seputeh.

Ahli-ahli parlimen Pakatan menganggap pembinaan itu sebagai projek 'gajah putih' dan berulangnya projek-projek mega yang membazirkan seperti dijalankan semasa zaman bekas perdana menteri, Tun Dr
Mahathir Mohammad.



Karim Ghani cuba ditarik ke 'Usno 2006'

Jimadie Shah Othman
Okt 19, 10
1:33pm

Ahli politik veteran Sabah yang mengumumkan keluar dari Umno Datuk Karim Ghani semalam, mendedahkan terdapat usaha menjemputnya menyertai sebuah kumpulan yang mahu menghidupkan semula Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di negeri itu.

"Kelmarin ada orang datang jumpa hendak lantik saya sebagai penasihat Usno," katanya merujuk kepada Usno yang cuba didaftarkan pada 2006 di bawah pimpinan presiden penajanya Perais Sherif Baba.

Semalam, Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah, mengumumkan
keluar parti berkuatkuasa serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini, Karim berkata, beliau masih belum membuat keputusan terlibat dalam mana-mana parti politik sama ada melalui Usno 2006 atau parti-parti pembangkang seperti PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Tunggulah," kata bekas naib presiden Usno itu sambil ketawa kecil ketika ditanya sama ada beliau akan menerima lantikan daripada Usno 2006.

Sejak awal 90-an, terdapat pelbagai usaha menghidupkan semula Usno, termasuk melalui Usno Plus (1994), Usno Baru (2002), Usno 2006, Parti Usno Baru (2008) dan NGO seperti Mantan Ahli Usno (2007), Pertubuhan Bekas Ahli Usno (2008 dan Kelab Usno Sabah (2008).

Ditanya mengenai perkembangan tersebut, Karim berkata wujudnya pelbagai kumpulan itu, melambangkan penolakan terhadap Umno Sabah yang 95 peratus daripadanya didakwa daripada bekas anggota Usno.

"Mereka tidak puas hati pada Umno. Walaupun tidak boleh daftar, semangat Usno tidak boleh mati. Ia adalah hati dan jantung mereka," katanya sambil menyeru semua yang terbabit bersatu.

Karim juga menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun.

Perkara itu, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan sumber negeri dan permintaan kuasa autonomi kepada Sabah "seperti yang dijanjikan" tidak diberikan, kata Karim.

Ditanya tentang percakapannya yang bernada pembangkang, Karim sambil ketawa bertanya kembali: "Kalau tidak ke arah itu, kenapa saya keluar dari Umno?"

Pada tahun 1990, Usno bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) untuk membawa Umno melebarkan sayap ke Sabah.

Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno) menjadi pengerusi pertama Umno Sabah setelah Usno dibubarkan untuk bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

Rasuah: Bekas timbalan KP Imigresen diarah bela diri

Okt 19, 10 9:49am

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56.

Mahkamah kemudian menetap 23 Nov ini untuk Yusof membela diri.

Pada 14 Okt 2008, Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 Nov 2008, Yusof yang diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said turut didakwa di Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat pertuduhan yang sama dan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melibatkan pertuduhan yang sama.

Semua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Feb lalu untuk perbicaraan.

Seramai 15 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang kes itu.

- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...