Saturday, January 17, 2009

Jais pantau


KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantau dan melarang rumah ibadat bukan Islam daripada menggunakan kalimah dan nama berkaitan Islam.

Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi, berkata ia bertujuan memelihara kesucian kalimah yang digunakan dan mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum.

“Jais sudah membuat perjumpaan dengan beberapa pemilik rumah ibadat bukan Islam berkenaan dan menjelaskan perkara yang berkaitan kepada mereka,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116090824/Article/index_html

Teksi samun


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kerugian hampir RM1,000 selepas disamun pemandu teksi dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah bank ke tempat kerjanya di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, tengah hari Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Ajis pergi ke sebuah bank di ibu kota untuk mengambil wang untuk melunaskan hutang kepada saudaranya.

Selepas mengeluarkan wang, dia menaiki sebuah teksi sebelum pemandu terbabit menyamun sebaik tiba di tempat kerjanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116090807/Article/index_html

Tinggal sebumbung lebih dua bulan


MELAKA: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana bersekedudukan sejak lebih dua bulan bersama teman wanita seusianya, memberi alasan tinggal bersama disebabkan belum mendapat rumah atau bilik sewa.

Pasangan terbabit ditahan kira-kira jam 3 pagi di sebuah bilik di tingkat atas lot rumah kedai di Taman Melaka Raya, semalam selepas intipan Jaim sejak beberapa hari lalu.

Serbuan Jaim itu juga membongkar kediaman berkenaan turut menjadi rumah sewa yang dikongsi berlainan jantina.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani, berkata lelaki terbabit memberi alasan tidak munasabah dengan menyatakan dia tiada pilihan selain terpaksa menumpang bersama teman wanitanya sebelum mendapat rumah atau bilik sewa yang sesuai.

Katanya, kedua-dua mereka, kakitangan restoran makanan segera, juga berkurung dalam satu bilik berkunci ketika rumah diserbun anggota Jaim.

“Walaupun sudah tinggal sebilik seperti sepasang suami isteri, namum mereka mendakwa tidak pernah terlanjur.

“Ketika ditahan kedua-dua mereka lengkap berpakaian, dengan lelaki berkain pelekat serta berkemeja-T, manakala wanita itu pula berbaju tidur,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092631/Article/index_html

‘Projek’ dalam tandas


Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my



TAMPIN: Sepasang kekasih muda yang cuba melampiaskan nafsu dengan melakukan hubungan seks terlarang terkandas apabila tandas yang dijadikan ‘bilik istimewa’ diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pasangan dipercayai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah, di sini, ditemui dalam keadaan amat mengaibkan apabila ‘telanjang bulat’ di tandas berkenaan.

Lebih mengejutkan pasangan itu apabila pasukan yang datang menyerbu itu turut disertai bapa saudara kepada gadis terbabit.

Sumber berkata, bapa saudara pelajar itu yang mengetahui kehadiran pasangan terbabit di situ melakukan intipan selama beberapa minit selepas mengesyaki berlaku perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, selepas mendapati terdapat kelibat pasangan remaja itu di dalam tandas maka dia kemudian bertindak menghubungi polis dan jabatan agama untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Selepas pintu dibuka, lelaki terbabit terkejut apabila mendapati remaja perempuan yang ditahan adalah anak saudaranya yang ketika itu berada dalam keadaan berbogel dan tergamam tanpa sempat melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, remaja terbabit dipercayai mengambil kesempatan menggunakan tandas awam di kawasan itu berikutan lokasinya yang agak sunyi untuk melakukan perbuatan terbabit.

Menurutnya, pelajar perempuan itu dipercayai pergi ke kawasan berkenaan dengan membonceng motosikal milik teman lelakinya yang belum dapat dipastikan sama ada menuntut di sekolah sama atau sebaliknya.

“Kedua-dua remaja berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada jabatan agama untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengambil tahu pergerakan anak jagaan mereka bagi memastikan tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Zull Aznam Haron ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092420/Article/index_html

‘Sirul hantar dia ke hotel’


Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my




SHAH ALAM: Anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri mendakwa kali terakhir dia melihat Altantuya Shaariibuu ialah ketika wanita Mongolia itu menaiki kereta yang dipandu Koperal Sirul Azhar Umar untuk dihantar pulang ke hotel penginapannya.

Azilah berkata, pada malam kejadian 19 Oktober 2006, dia mengakui berjumpa dengan ‘perempuan Cina’ di hadapan rumah penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan ada menasihati wanita itu supaya tidak membuat ‘kacau’.

“Saya nasihati dia supaya tidak menganggu Abdul Razak atau membuat kacau di hadapan rumah. Saya beritahu dia jika ada masalah, lebih baik berjumpa di pejabat. Tidak elok kacau di rumah kerana Abdul Razak ada keluarga.

“Wanita itu mendengar nasihat saya dan minta dihantar balik ke penginapannya di Hotel Malaya. Saya minta pertolongan Sirul Azhar menghantar wanita itu pulang ke hotel,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela, Datuk Hazman Ahmad.






Azilah berkata demikian ketika prosiding bela diri di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.




Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober hingga 1 pagi 20 Oktober 2006.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 31 Oktober 2007, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan kedua-dua tertuduh membunuh Altantuya, dilepas dan dibebaskan mahkamah daripada tuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Sepanjang prosiding membela diri semalam, Azilah tidak menyebut nama Altantuya sebaliknya menggunakan gelaran ‘perempuan Cina’.

Terdahulu, Azilah memberitahu mahkamah pada 17 Oktober 2006, dia yang ketika itu bertugas mengiringi Timbalan Perdana Menteri di Pekan, Pahang, diminta Deputi Superintendan (DSP) Musa Mohd Safri untuk menghubungi Abdul Razak.

“Dia (Musa) datang menemui saya dan bertanya sama ada mengenali mana-mana anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Brickfields. Saya maklumkan yang saya mengenali DSP Idris Abdul Karim yang ketika itu menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields.

“Musa maklumkan rakannya, Abdul Razak mengalami masalah diugut seseorang, oleh itu dia minta saya berjumpa Abdul Razak untuk mengetahui lebih lanjut berhubung masalah itu kerana dia sendiri tidak mengetahuinya,” katanya.

Katanya, selepas menghubungi dan bertemu Abdul Razak, dia dimaklumkan bahawa Altantuya dan seorang lelaki Cina mengugut dan meminta wang daripadanya tetapi dia tidak mahu menurutinya.

“Saya diminta mendengar satu pesanan suara yang ditinggalkan dalam telefon bimbitnya yang berbunyi ‘Saya mahu kasi pecah you punya muka’ (Saya mahu pecahkan muka awak) dalam pelat bahasa Cina dan pesanan suara seorang wanita.

“Saya cadangkan supaya dia melaporkan kepada polis tetapi Abdul Razak enggan, sebaliknya dia mahu saya menasihati lelaki dan wanita itu serta membuat rondaan di keliling rumahnya,”katanya.

Azilah juga memberitahu mahkamah pada malam itu, dia berjumpa Rohaniza sebanyak dua kali untuk berbuka puasa, mengemas barang tugasan serta menghantarnya ke Putrajaya dan tunangnya, Noor Azila Baharuddin untuk membincangkan hal perkahwinan mereka.

“Saya berbuka puasa dengan Rohaniza di Petaling Jaya dan selepas itu dia mengikuti saya pergi ke rumah Abdul Razak. Selepas itu kami kembali semula ke Bukit Aman dan Rohaniza pergi berjumpa rakannya di Petaling Jaya.

“Kira-kira jam 10.30 malam, saya berjumpa Noor Azila yang menunggu dalam kereta di tempat letak kereta berdekatan UTK kerana dia mahu saya menandatangani borang pernikahan. Kemudian kami pergi makan di Wangsa Maju dan berada di situ 45 minit sebelum pulang semula ke Bukit Aman,” katanya.

Kemudian, katanya Noor Azila pulang dan dia ke pejabat semula dan mengambil barang tugasan kerana Rohaniza sedang menunggunya dalam kereta untuk membawanya ke rumah transit UTK di Putrajaya.

Azilah memberitahu mahkamah lagi, pada malam kejadian, dia bersama Rohaniza pergi ke pejabat UTK di Bukit Aman selepas berbuka puasa kerana mahu mengemas barang untuk tugasan mengiringi Timbalan Perdana Menteri pada keesokan harinya iaitu 20 Oktober 2006.

“Ketika berkemas saya menerima panggilan Abdul Razak mengatakan wanita yang didakwa mengugut dan meminta wang itu berada di hadapan rumahnya bersama seorang lelaki India bernama Bala (P Balasubramaniam).

“Abdul Razak minta saya datang ke rumahnya dan menasihati wanita itu supaya jangan buat kecoh di hadapan rumahnya. Saya menghubungi Sirul Azhar dan dia mengatakan akan pergi sekali ke rumah itu,” katanya.

Menurutnya, dengan kereta milik Rohaniza, mereka berdua (Sirul dan Rohaniza) pergi ke kawasan kediaman Abdul Razak.

“Sampai di sana, saya hubungi Abdul Razak dan dia maklumkan wanita itu individu sama yang mengugut minta wang daripadanya. Abdul Razak minta saya nasihati wanita itu supaya tidak berbuat kecoh di situ,” katanya yang menjawab soalan peguam Datuk Hazman Ahmad.

HAZMAN: Selepas itu apa yang berlaku?

AZILAH: Saya hubungi Sirul Azhar dan dia maklumkan dalam perjalanan. Selepas beberapa minit saya nampak Sirul Azhar berjalan ke arah saya. Saya minta Rohaniza duduk di kerusi bahagian belakang kereta. Saya mahu berjalan ke arah Bala dan wanita itu tetapi dalam masa sama mereka berdua juga berjalan ke arah saya. Wanita itu terus masuk duduk di sebelah Rohaniza. Kemudian saya masuk dan duduk di bahagian pemandu dan Sirul Azhar duduk di sebelah saya.

HAZMAN: Kenapa wanita itu masuk ke dalam kereta? Dia terima arahan siapa?

AZILAH: Dia terus masuk ke dalam kereta, tiada siapa yang memberi arahan. Kami terus beredar untuk pergi ke Bukit Aman. Sampai di persimpangan, Sirul Azhar minta saya berhentikan kereta kerana dia meletakkan kereta pacuan empat rodanya berdekatan kawasan itu. Saya mengekori kereta Sirul Azhar untuk ke Bukit Aman. Dalam perjalanan, saya menasihati wanita itu supaya tidak berbuat kecoh di hadapan rumah Abdul Razak dan minta dia pergi ke pejabat Abdul Razak. Wanita itu dengar apa yang saya kata dan minta dihantar pulang ke Hotel Malaya.

Tidak lama selepas itu, Sirul Azhar memberhentikan kenderaannya berdekatan Mes Pegawai. Saya maklumkan kepada Sirul Azhar wanita itu mahu pulang ke hotel. Saya juga beritahu Rohaniza tetapi Rohaniza berkata dia perlu berjumpa rakan di Petaling Jaya. Saya maklumkan kepada Sirul saya tidak sempat menghantar wanita itu ke hotel, oleh itu saya minta dia menghantarnya. Selepas itu, wanita itu keluar dari kereta kami dan menaiki kereta Sirul Azhar dan beredar.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092128/Article/index_html

Kerja orang dalam


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Ratusan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan nilai puluhan juta ringgit yang dilaporkan sejak beberapa tahun lalu akhirnya terbongkar selepas siasatan polis mendapati ia berpunca dari kerja orang dalam yang diupah sindiket tertentu untuk melicinkan jenayah terancang itu.

Siasatan polis mendapati, orang dalam yang juga kakitangan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terbabit secara langsung dalam kebanyakan kes pemalsuan dan penipuan hak milik tanah di seluruh negara.

Kes penipuan berkenaan menyebabkan pemilik tanah terpinga-pinga apabila tanah mereka tiba-tiba jatuh ke tangan individu tidak dikenali walaupun geran tanah asal masih berada di tangan mereka.

Malah dalam beberapa kes dilaporkan sebelum ini, mangsa terkejut apabila diberitahu tanah milik mereka sudah dijual kepada ahli sindiket kepada pemaju perumahan atau pemilik tanah baru tanpa persetujuan daripada mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata pihak tertentu menggunakan kakitangan dalaman PTG bagi membolehkan mereka melakukan penipuan itu.

“Pembabitan mereka (orang dalam) dikenal pasti dengan penangkapan beberapa kakitangan PTG di Perak tahun lalu dan polis sudah mendakwa mereka di mahkamah. Kita sedang bekerjasama dengan PTG untuk mengatasi masalah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Bukit Perdana di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 145 kes pemalsuan dan penipuan hak milik tanah dilaporkan di seluruh negara tahun lalu dengan enam daripadanya sudah dibicarakan.

Katanya, modus operandi kumpulan yang melakukan penipuan itu adalah dengan memalsukan tandatangan pemilik tanah sebenar pada dokumen pindah pindah hak milik tanah.

“Selain itu mereka turut menggunakan dokumen perintah mahkamah palsu bagi membolehkan PTG memindahkan hak milik tanah.

“Ahli sindiket penipuan itu turut dikesan menyamar sebagai pemilik tanah dengan mengemukakan geran dan pengenalan diri palsu serta menggunakan surat kuasa wakil palsu dalam urusan jual beli dan pindah milik tanah,” katanya.

Menurutnya, penjenayah turut pernah dikesan menggunakan MyKad palsu untuk melakukan jenayah terbabit dengan menyamar sebagai mangsa.

“Kejayaan membongkar jenayah terancang ini adalah hasil usaha gigih polis dalam membanteras jenayah `curi tanah’ ini yang mengakibatkan nilai kerugian berpuluh juta ringgit setahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Koh berkata sebanyak 17,311 kertas siasatan dibuka tahun lalu, meningkat 26.6 peratus daripada tahun 2007 dengan kerugian dianggarkan RM845 juta.

Daripada jumlah itu, sebahagian besar daripadanya ialah kes penipuan serta pecah amanah dan polis berjaya menyelesaikan 8,673 kes sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya jumlah kes jenayah siber menunjukkan peningkatan ketara dengan 1,057 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 147 kes tahun sebelumnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092224/Article/index_html

Huni pondok usang

Oleh Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my


DAIF...Rosni bersama anaknya di pondok tempat tinggal
mereka.


JERANTUT: Akibat kesempitan hidup, seorang ibu tunggal terpaksa membesarkan 15 anak dalam penuh kedaifan di sebuah pondok buruk di Kampung Serdang, di sini.

Ibu tunggal itu, Rosni Ibrahim, 44, berkata sejak berpisah dengan suami setahun lalu, dia terpaksa mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menguruskan anak-anak dan keluarga.

Menurutnya, bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM95 sebulan memang tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

“Kini, 12 anak tinggal bersama saya manakala tiga lagi sudah bekerja. Saya pula terpaksa mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan dengan pendapatan tidak menentu.

“Selepas gagal menjelaskan sewa rumah lama, kini kami sekeluarga terpaksa tinggal di pondok ini untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui.

Katanya, sudah lapan kali mereka sekeluarga terpaksa berpindah-randah dan keadaan itu memberi tekanan kepada dirinya dan anak-anak.

“Walaupun tiada bekalan elektrik dan air selain hidup serba kekurangan, namun saya tetap berharap persekolahan anak-anak dapat diteruskan bagi menjamin masa depan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia juga menghadapi masalah kesihatan hingga turut menjejaskan urusan harian mencari rezeki menyara keluarga apabila menghidap gastrik, rabun serta tekanan darah rendah.

“Bayangkan, saya perlu membesarkan 12 anak yang masih kecil ditambah keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Saya merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu kami sekeluarga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092733/Article/index_html

Gagal peroleh harta isteri dibunuh


Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my




SHAH ALAM: Bekas eksekutif Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, yang dituduh membunuh isterinya sembilan tahun lalu, gagal mendapat harta peninggalan wanita itu selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menghalangnya mewarisi harta berkenaan.

Hakim Syarie Saarani Ismail membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad (plaintif) untuk menghalang Muhamad Suhaimi, 49, (defendan pertama) mendapat tiga bahagian daripada peninggalan harta arwah isterinya, Faizah Arshad berjumlah RM319,445.02.

Saarani berkata, keputusan itu dibuat selepas mengguna pakai pendapat mazhab Syafie yang menjadi amalan di Selangor.

Menurutnya, keputusan turut dibuat bagi menjaga kepentingan keluarga arwah Faizah yang lebih berhak terhadap harta itu.

“Mahkamah turut membenarkan satu permohonan teratur untuk pembahagian harta kepada pihak yang layak dan memerintahkan kos ditanggung Muhamad Suhaimi selepas ia ditaksirkan ketua pendaftar mahkamah,” katanya.

Saarani dalam penghakimannya berkata, keempat-empat mazhab iaitu Imam Hanafi, Imam Hanbali, Imam Syafie dan Imam Malik sepakat bahawa seseorang pembunuh dihalang mewarisi harta, tetapi berbeza berpendapat berhubung pembunuhan yang dilakukan.

Katanya, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dengan alasan tidak siuman, dia tidak dinafikan terbabit dengan pembunuhan berkenaan.

Menurutnya, mahkamah bersetuju dengan hujahan dikemukakan peguam syarie yang mewakili ibu bapa dan tiga anak mangsa bahawa alat digunakan pembunuh boleh disabitkan dengan niat membunuh.

“Dalam kes ini, laporan mengatakan defendan pertama menggunakan pisau dan konsisten dengan pendapat mazhab Imam Syafie bahawa alat yang dikategorikan sebagai alat pembunuh iaitu tajam dan boleh memotong daging atau benda keras. Jadi ini boleh dikategorikan sebagai bunuh dengan niat.

“Mahkamah bersetuju mengikut Imam Syafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang mewarisi harta peninggalan mangsa termasuk mereka tidak siuman.

“Selain itu, pendapat ini adalah untuk menjaga hubungan kekeluargaan pewaris kerana pembunuh boleh dikatakan cuba mempercepatkan pewarisan harta kepadanya,” katanya.

Selepas keputusan itu, Muhamad Suhaimi yang memakai kemeja putih dan seluar coklat terus meninggalkan mahkamah dan enggan ditemuramah wartawan manakala ibu bapa Faizah serta tiga anaknya tidak hadir pada prosiding.

Bagaimanapun, peguam syarie Musa Awang yang mewakili Muhamad Suhaimi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu anak guamnya kecewa dengan keputusan itu berikutan terpaksa menanggung kos.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu arahan daripada Muhamad Suhaimi sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Plaintif diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar, manakala peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin mewakili lima defendan iaitu ibu bapa Faizah, Arshad Shafie, 81, (defendan dua) dan Mariam Abdul Latif, 74, (defendan tiga) serta tiga anak pasangan terbabit.

Mereka ialah Muhamad Fariz, 18, (defendan empat); Muhamad Syafiq, 16, (defendan lima) dan Sarah, 13, selaku defendan enam.

Sebelum ini, Amanah Raya Berhad pada Februari tahun lalu mengemukakan permohonan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Plaintif memohon mahkamah mengeluarkan sijil perakuan harta yang baru dengan mengeluarkan Muhamad Suhaimi sebagai penerima pusaka harta arwah isterinya Faizah Arshad bernilai RM319,445.02.

Plaintif mendakwa si mati iaitu Faizah meninggal dunia pada 25 September 1995 dan sah di sisi hukum syarak dia sebagai isteri Muhamad Suhaimi, tetapi kematiannya itu disebabkan tindakan Muhamad Suhaimi membunuhnya.

Muhamad Suhaimi menikam mati Faizah, pegawai sumber manusia Petronas Carigali, dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang.

Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Okt 2007. Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116094051/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...