Wednesday, November 24, 2010

Kawan sembang 'makan' kawan

PETALING JAYA: Malang bertimpa-timpa. Niat mahu membantu rakan yang baru dikenali melalui laman sembang membawa padah kepada seorang ahli perniagaan apabila dia kerugian RM75,000 selepas diperdayakan tiga individu dipercayai anggota sindiket penipuan.

Oleh Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my Mangsa yang berusia 37 tahun pada mulanya mengenali seorang lelaki Julai lalu dalam laman sembang yang mengaku dia anggota polis dan memerlukan wang untuk menguruskan polisi insurans yang didakwa milik bapanya yang baru meninggal dunia bernilai RM1 juta.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa memasukkan wang RM30,000 ke dalam akaun lelaki terbabit yang berjanji akan membayar kembali wangnya selepas segala urusan selesai.

“Bagaimanapun, selepas wang terbabit dimasukkan mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada lelaki terbabit dan ketika dia menanti jawapan itu seorang wanita pula menghubunginya.


“Wanita itu mendakwa dia seorang pegawai daripada syarikat insurans dan memberitahu anggota polis yang dikenali mangsa sudah meninggal dunia, namun dia ada meninggalkan wasiat untuk mangsa,” katanya.


Menurutnya, wanita itu memberitahu mangsa yang dia terpaksa membayar yuran untuk memproses wasiat yang ditinggalkan lelaki terbabit.

“Wanita terbabit meminta mangsa memasukkan lagi RM30,000 ke dalam satu akaun dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang seperti diminta.


“Mangsa memasukkan wang berkenaan beberapa kali ke dalam akaun itu, bagaimanapun selepas beberapa lama menunggu tiada sebarang jawapan daripada wanita terbabit,” katanya.

Katanya, mangsa menghubungi wanita terbabit dan dimaklumkan dia baru lepas bersalin dan meminta mangsa bersabar.


“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kakitangan sebuah bank dan memberitahunya segala proses sudah siap dan cek untuknya sudah dikeluarkan.


“Bagaimanapun, wanita terbabit meminta mangsa memasukkan RM7,000 lagi kononnya untuk pembayaran yuran transaksi dan meminta dia menunggu panggilan selepas segala proses selesai,” katanya.


Arjunaidi berkata, mangsa sekali lagi mengikut arahan diberikan, namun selepas beberapa lama menunggu dia langsung tidak menerima sebarang khabar atau panggilan daripada wanita terbabit.


“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis, kelmarin selepas dia gagal menghubungi semua suspek. “Berikutan itu, dia mengalami kerugian RM75,000 keseluruhannya dan polis percaya ini sindiket yang merancang untuk menipunya,” katanya.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kawansembang_makan_kawan/Article/index_html

Anak hamil dikelar menantu

Anak hamil dikelar menantu

Oleh Salman Hamat

SEDIH...Hamzah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya menunggu jenazah Rohana di HSI, semalam.
SEDIH...Hamzah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya menunggu jenazah Rohana di HSI, semalam.

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang bapa untuk menimang cucu sulung musnah apabila anaknya yang hamil sebulan ditemui mati dengan kesan dikelar pada lehernya di sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayat hati, pembunuhan kejam Rohana Hamzah, 26, yang didakwa keluarga mangsa sebagai angkara suaminya berlaku pada tahun kelima perkahwinan pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga.

Bapa mangsa, Hamzah Mohamad, 51, berkata, dia rebah kerana hatinya hancur sejurus melihat jenazah Rohana tertiarap berlumuran darah di bilik tidur di rumah sewa pasangan berkenaan.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah itu selepas menerima panggilan daripada bapa saudara menantunya yang memaklumkan timbul masalah membabitkan pasangan berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, dia mula cemas selepas melihat polis dan orang ramai mengerumuni rumah anak perempuannya itu sebelum rebah sejurus melihat jenazah anak ketiganya itu dengan tangan terkilas ke belakang.


“Saya mula rasa ada yang tak kena apabila melihat menantu berusia 24 tahun dalam keadaan bergari dan dibawa polis,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Hamzah berkata, kali terakhir dia berjumpa Rohana ketika anaknya itu pulang bercuti seminggu iaitu sebelum Aidiladha lalu di rumahnya di Taman Sri Pulai di Skudai pada 14 November lalu.

“Kali terakhir Rohana menghubungi adiknya pula kira-kira jam 11.15 pagi pada hari kejadian. Dia bertanyakan salinan MyKad miliknya yang tertinggal di rumah kami.

“Bagaimanapun, perbualan singkat itu terhenti dan pada masa sama, adiknya mendengar bunyi bising sebelum talian terputus,” katanya.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka sekali lagi cuba menghubungi Rohana, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Kami tahu sangat sikap cemburu dan panas baran suaminya kerana pernah melihat dia memukul Rohana di depan kami.

“Malah, kami juga berat melepaskan Rohana pulang pada malam sebelum kejadian memandangkan dia baru saja dicederakan suami sebelum pulang ke rumah kami,” katanya.

Hamzah berkata, kecederaan itu menyebabkan Rohana dirawat di wad selama tiga hari selain menerima lapan jahitan dan ketika ditanya, arwah anaknya itu mengatakan ia akibat terkena kaca.

Bagaimanapun, keluarga Rohana sangsi dan percaya ia akibat kelaran menggunakan pisau, malah doktor yang merawatnya juga meragui kecederaan itu berpunca daripada kaca.

“Tapi, semuanya sudah ditakdirkan dan sekelip mata bukan saja kehilangan anak tersayang, malah cucu dalam kandungan,” katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke HSI untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Skudai.

http://www.hmetro.com.my/articles/Anakhamildikelarmenantu/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...