Thursday, September 4, 2008

‘Belalang dewa’ turun ke bumi


BEBERAPA ‘belalang dewa’ yang disimpan oleh Abdul Latif di Jeli semalam.


‘TURUN KE BUMI’. Seorang penoreh di Kampung Lakota di Jeli mendakwa menemui berpuluh-puluh ekor ‘belalang dewa’ yang merupakan antara spesies serangga yang sukar ditemui.


Menurut Abdul Latif, Awang, 45, mengikut kepercayaan orang-orang tua serangga tersebut dipercayai tinggal di awangan berkumpulan dan hanya setahun sekali turun ke bumi mencari makanan.


“Semasa pulang dari kebun getah di kaki bukit kampung ini pukul 3 petang Isnin lalu, saya melihat beratus-ratus ekor serangga seakan-akan kumbang jatuh di depan mata akibat dibawa angin,” ujarnya yang ditemui di rumahnya semalam.


Jelasnya lagi, serangga itu yang mujarab menyembuhkan kembung perut, sengal sendi dan sakit urat boleh disimpan di dalam botol berisi minyak kelapa yang akan bertukar menjadi panas seolah-olah seperti dimasak.


http://www.kosmo.com.my/

Harga minyak mungkin turun lagi

PUTRAJAYA - Harga minyak tempatan mungkin akan diturunkan lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.


Shahrir berkata, beliau mengharapkan berita gembira itu sepertimana yang diharapkan oleh rakyat sejajar dengan trend penurunan harga minyak pada masa ini.


"Saya memang seronok harga minyak di pasaran dunia turun, walaupun dijangka adanya kekangan berikutan masalah ribut Gustav dan politik di Eropah dan sebagainya.


"Tetapi nampaknya harga minyak di paras yang stabil dan terus menurun supaya sebelum menyambut Hari Raya nanti, dapat satu berita yang baik.


"Jadi kita lihat kepada harga pasaran ke hadapan, pasaran hadapan pun AS$110, jadi kemungkinan ia akan rendah daripada itu saya pun nak melihat juga bahawa kita akan dapat hadiah hari raya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Web TV Bernama di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.


Shahrir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend harga minyak dunia pada masa ini yang menurun kepada AS$109 setong semalam berbanding AS$115 setong pada dua minggu lalu.


http://www.kosmo.com.my/

USM terpilih universiti Apeks


Sep 3, 08 5:41pm

Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengenepikan tiga lagi universiti termasuk Universiti Malaya (UM).


Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangnnya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.


"Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun," katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.


Dalam tempoh itu USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020, katanya yang juga yakin USM mampu mencapai universiti bertaraf dunia.


"Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex," katanya.


Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: "Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan, sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia."


Sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.


Kertas cadangan USM bertemakan "Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow".


Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.


http://www1.malaysiakini.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...