Saturday, October 9, 2010

Pendaki rakam imej menyeramkan



Gambar menunjukkan imej menyeramkan seperti hantu (dalam bulatan) yang telah dirakamkan oleh seorang pendaki di lereng gunung Tatra, Zakopane, Poland.


ZAKOPANE, Poland - Seorang pendaki di Poland merakamkan gambar satu lembaga menyeramkan yang muncul dari dalam kabus di lereng gunung Tatra di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Lembaga seperti hantu yang dirakamkan menerusi kamera itu baru-baru ini dipercayai berpunca daripada ilusi optik yang dikenali sebagai Hantu Brocken.

Fenomena itu sering berlaku apabila matahari menyinar di belakang seseorang yang melihat ke dalam kabus di lereng gunung dengan bayangnya berada di hadapan.

Kepala lembaga itu pula kelihatan timbul dan dikelilingi beberapa lingkaran cahaya disebabkan oleh biasan.

Ilusi tersebut sering kali berlaku di lereng gunung berkabus atau pemandangan berkabus dari dalam pesawat.

Bayangan tersebut diberi nama Hantu Brocken kerana bayangan seumpama itu ditemui pada 1780 oleh seorang saintis, Johann Silberschlag di Brocken yang merupakan puncak tertinggi pergunungan Harz, di Jerman.

Pendaki-pendaki gunung sebelum ini memiliki kepercayaan karut bahawa sesiapa yang melihat Hantu Brocken akan mati pada keesokan harinya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Demi cinta sanggup jadi keldai dadah



CHARLENE dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam atas tuduhan membawa dadah.


SHAH ALAM - Cinta Internet juga membawa bencana. Demi cinta, seorang wanita warga Filipina sanggup mengikut kehendak teman lelakinya yang dikenali menerusi Internet untuk membawa dadah dalam keadaannya yang sarat mengandung hasil perhubungan mereka.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik, apabila ditangkap oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Oktober tahun lepas.

Semalam wanita itu dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Apa yang lebih menyedihkan tertuduh, Charlene Boholst Zabala, 25, terpaksa melahirkan anaknya di dalam penjara dan teman lelakinya seorang lelaki Afrika telah melarikan diri.

Charlene didakwa membawa masuk dadah jenis kokain seberat 371 gram ke Malaysia melalui pesawat dari Buenos Aires, Argentina ke KLIA ketika transit untuk ke Ho Chi Minh City, Vietnam tanpa kebenaran yang sah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Bekas guru saman kerajaan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 4 November untuk keputusan kes saman seorang guru terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Malaysia kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan memerintahkan dia dibuang kerja enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Razak Baharudin.

Pada 4 Disember tahun lalu, Abdul Razak (gambar), 51, yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah melakukan diskriminasi yang bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan apabila memerintahkan dia dibuang kerja berkuat kuasa 7 September 2004 mengikut peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993.

Dia juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan sewajarnya memerintahkan dia ditamatkan perkhidmatan menurut Peraturan 49(3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 dan seterusnya dibersarakan mengikut seksyen 10(5) Akta Pencen 1980.

Selain itu, Abdul Razak memohon dia dibayar faedah persaraan dan bayaran pencen ke atas khidmatnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Harga susu naik hanya spekulasi

KUALA LUMPUR – Laporan kenaikan harga susu termasuk produk tenusu tempatan naik dalam tempoh terdekat ekoran peningkatan harga bahan mentah barangan tenusu di pasaran dunia dianggap spekulasi semata-mata.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menegaskan, spekulasi tersebut yang hangat diperkatakan ketika ini oleh sesetengah pihak adalah tidak benar sama sekali.

Justeru beliau menasihatkan pengguna supaya tidak perlu bimbang sebab harga susu masih dikekalkan seperti biasa dan belum ada lagi sebarang kenaikan.

“Namun oleh sebab harga jualan susu bukan berada di bawah produk kawalan harga, jika berlaku kenaikan pada masa depan, kementerian tidak berkuasa mengambil sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat lebih AS$3,000 (RM9,630) satu tan metrik pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) dalam suku keempat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kenyataan Rasmi Perceraian Raja Azura

Sabtu Oktober 9, 2010


PETALING JAYA: Selepas beberapa hari melarikan diri daripada pihak media, penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, 38, (gambar) akhirnya mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada 28 September lalu.

Pengesahan itu diumumkan oleh Raja Azura sendiri dalam satu kenyataan rasmi menerusi kiriman emel, Jumaat.

Pengacara popular itu berkahwin dengan anak kepda bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof pada bulan Mac 2001.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mkia Maizurah, 4.

Berikut adalah petikan daripada kenyataan rasmi Raja Azura itu.

"Assalamualaikum wbt dan salah sejahtera.

Maafkan saya kerana sukar untuk dihubungi beberapa hari kebelakangan ini. Mungkin ini telah menyebabkan ramai menganggap saya sengaja mengelakkan diri, terutama daripada rakan-rakan media, tetapi segala tindakan saya bersebab.

Sebagai manusia, saya tentulah ada kelemahan. Saya masih sedih dan belum bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat, apatah lagi berbicara mengenai keadaan saya secara terbuka.

Berikanlah saya masa untuk mengumpul kekuatan diri dan meredakan emosi. Masalah yang saya alami adalah sangat peribadi dan saya amat berharap semua pihak dapat hormati ruang peribadi saya.

Sebagai anak seni yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya maklum akan tuntutan kerja wartawan.

Walaupun dihujani dengan panggilan telefon dan pesanan ringkas, bahkan ada yang tekad sehingga menunggu saya di pejabat, saya tidak marah mahupun kecil hati.

Saya ingin mengesahkan bahawa, kes mahkamah saya telah selesai secara damai dengan persetujuan bersama.

Perceraian antara saya dan Adzmin Tan Sri Osman adalah jalan terakhir setelah peluang berunding yang diambil. Saya akui menemui jalan buntu.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna rumah tangga yang kami bina selama sembilan tahun ini tidak boleh diselamatkan lagi, cuma tiada jalan penyelesaian lain yang ditemui buat masa ini.

Saya yakin masih ada peluang untuk memilih dan menyelamatkan rumah tangga ini, kerana ini adalah perceraian kali pertama dan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Saya masih dalam tempoh edah dan kami boleh rujuk semula. Perceraian bukanlah penamatnya.

Kami masih tidak putus asa mencari pendamaian walaupun tidak lagi bergelar suami isteri.

Saya terima hakikat bahawa perkara yang berlaku ini menjadikan saya semakin dewasa dalam alam rumaht angga.

Perpisahan tidak menjadi penghalang bagi kami untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak.

Perceraian bukan kesalahan dari segi agama ataupun undang-undang, malah dihalalkan dalam Islam serta dibenarkan undang-undang mengikut prosedur yang betul.

Perceraian ini berlaku secara aman dan tidak perlu dibesar-besarkan demi kebaikan bersama antara saya dan Adzmin.

Kami memilih keputusan ini atas dasar memulihkan kerukunan rumah tangga setelah kaedah membaiki diri dari dalam tidak berhasil. Sampai masanya kami mencuba kaedah membaiki dari luar pula.

Seperti yang tertulis dalam Al-Quran, "Tasrihun bi ihsan" yang bermaksud bercerai demi kebaikan.

Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ia mendewasakan saya dalam menempuhi perjalanan hidup menempuhi alam rumah tangga.

Peluang untuk rujuk dan kembali menjadi suami isteri masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamat. Selagi saya masih bernyawa, perjuangan saya belum selesai.

Kami tetap bersahabat baik dari dulu sampai bila-bila, tempoh edah ini memberi peluang kepada kami untuk berfikir secara rasional.

Adzmin masih mengambil berat diri saya dan mengambil tahu akan keperluan saya, seperti nafkah dan lain-lain. Kami tahu silap masing-masing dan kasih sayang kami tidak pernah luntur.

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang memahami dan banyak bersabar dengan situasi ini.

Harapan saya agar semua pihak sama-sama mendoakan kebahagiaan saya dan Adzmin meskipun kami kini berada dalam bahtera yang berbeza.

Mungkin satu hari nanti, siapa tahu, kami akan kembali berkongsi satu bahtera yang sama. Doakanlah kami.

Yang benar, Raja Azura.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/9/mstar_hiburan/20101008213640&sec=mstar_hiburan

'Saya masih sayang dia'


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
2010/10/09




BUKIT JALIL: “Dalam tempoh edah tiga bulan ini saya sedia rujuk semula dengan bekas suami (Adzmin Osman, 37,) kerana masih sayangkannya dan pintu rumah saya masih terbuka untuknya.


SUGUL...reaksi Raja Azura ketika ditemubual, semalam.
SUGUL...reaksi Raja Azura ketika ditemubual, semalam.
“Saya memfailkan perceraian dan membuat keputusan untuk bercerai kerana mahu dia berfikir kesilapan dilakukannya selepas perbincangan ketika kami sebagai suami isteri tidak ada jalan penyelesaiannya. Sekarang saya berusaha untuk memperbaiki segala kekusutan itu dari ‘luar’ rumah pula,” kata Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, atau Kak Engku.


Malah, katanya, bapanya pun mahu mereka rujuk semula dan segala-galanya kini terpulang kepada Adzmin.



“Adzmin minta ruang untuk berfikir kerana andai masih ada jodoh antara kami, kami berharap perkara (perceraian) itu tidak berlaku lagi. Namun, sekiranya ikatan kami sebagai suami isteri terpaksa juga berakhir, saya reda.



“Tiada masalah antara kami dan Adzmin pun seorang suami serta bapa yang baik. Tidak pernah dia berkasar dengan saya dan kami saling memahami. Cuma apabila ada perkara yang membabitkan hati dan perasaan, ia membuatkan saya sangat terluka serta hilang kepercayaan kepadanya,” katanya ketika ditemui di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil, di sini, semalam.



Menurut Kak Engku, ketika Adzmin melafazkan talak satu pada 28 September lalu, dia menangis kerana sedih, tetapi terpaksa juga mengambil keputusan bercerai demi kebaikan. “Ada ketika perpisahan itu menerbitkan rasa rindu dan kasih sayang semakin kuat. Mungkin bekas suami akan teringatkan masakan bekas isterinya.

“Sepanjang sembilan tahun berumah tangga, kehidupan saya hanya tertumpu kerja, suami dan anak. Meskipun banyak bekerja di luar rumah, hati saya tidak pernah terbuka kepada lelaki lain. Saya ini jenis apabila sayangkan seseorang, saya akan menyayanginya sampai bila-bila,” katanya.



Beliau berharap Adzmin akan menyedari kesilapannya dan sedia bersamanya semula. “Selepas terlerainya ikatan sebagai suami isteri, kami berjanji untuk menjadi rakan karib dan saya tidak berhasrat memisahkan anak dengan bapa mereka.

“Kami bersetuju untuk menjaga anak bersama-sama kerana tidak mahu mereka terasa kehilangan kasih sayang seorang bapa dan walaupun hari ini (semalam) sudah 10 hari kami bercerai, anak-anak masih tidak tahu dan saya minta guru di sekolah tidak bertanyakan perkara itu kepada mereka. Biar mereka menjalani rutin seharian seperti biasa,” katanya.

Kak Engku berkata, pada hari perceraian itu mereka pergi dan balik dari mahkamah bersama dan sempat pergi ke pusat beli-belah SACC di Shah Alam untuk membeli seterika. “Kami jalan berpegangan tangan dan rasa sangat bahagia. Saya tahu dia masih sayangkan saya cuma keadaan membuatkan kami terpaksa mengambil jalan untuk berpisah.

“Kepada mereka yang menjadi punca keretakan rumah tangga kami, saya maafkan dan tidak berdendam. Saya percaya Allah SWT tidak akan mungkir janji dengan pasti ada pembalasan kepada setiap perbuatan kita,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayamasihsayangdia/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...