IA bukanlah kejadian pengeboman berani mati pertama di Rusia. Serangan bom di Lapangan Terbang Domodedov, Moscow minggu lalu sehingga mengorbankan 35 orang awam dan mencederakan ramai yang lain hakikatnya adalah satu lagi siri pengeboman dalam sejarah Rusia yang tidak pernah lari dengan isu hak kebebasan dengan militan Chechen itu.
Walaupun ia didakwa dilakukan oleh kumpulan militan dari wilayah Caucasus Utara yang dikerah untuk mengebom ibu negara berkenaan, pihak berkuasa kini turut memburu tiga suspek dari Chechnya yang dipercayai menyediakan pengebom berani mati.
Rusia telah berdepan dengan ancaman kumpulan militan dengan beberapa siri serangan dan pengeboman yang berlaku sejak jatuhnya Kesatuan Soviet.
Kejatuhan Soviet membangkitkan sekelompok pemberontak Chechnya yang menyatakan bahawa mereka adalah pemerintah yang sah.
Mereka mengumumkan parlimen baru dan mengisytiharkan kemerdekaan mereka sebagai Republik Chechnya Ichkeria. Sehingga tahun 2004, kemerdekaan mereka tidak diiktiraf oleh mana-mana negara.
Pengisytiharan tersebut menyebabkan konflik bersenjata di mana kedua-dua belah-belah pihak di antara Chechnya yang merupakan sebuah wilayah di bawah Rusia. Chechnya merupakan wilayah paling ramai warga Islam di Rusia.
Dalam kejadian minggu lalu itu, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengarahkan kerajaannya menyiasat punca serangan bom di Lapangan Terbang Domodedov termasuk meneliti sama ada ia berpunca daripada kegagalan pihak keselamatan pengangkutan melakukan tugas mereka.
Beliau berkata, pejabat peguam negara dan jawatankuasa penyiasatan Rusia perlu menyiasat pihak bertanggungjawab yang membenarkan pengebom berani mati terlibat berada di kawasan lapangan terbang tanpa dikesan.
"Kita perlu lakukan segala yang mungkin supaya pihak yang mendalangi serangan dikenal pasti, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka perlu dihapuskan," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen sambil menggesa semakan kesemua rekod penerbangan.
PENINDASAN hak warga Islam di Chechnya dikatakan menjadi faktor kebangkitan pejuang-pejuang Chechen.
Perdana Menteri, Vladimir Putin pula berjanji pengebom yang menyebabkan 35 orang terkorban di lapangan terbang paling sibuk di Rusia itu akan menerima hukuman setimpal.
Kronologi pengeboman Rusia
Tahun 1999 mencatat sejarah hitam buat Rusia apabila pengeboman bersiri dekat apartmen di Buinaksk, Dagestan membunuh 61 orang. Pengeboman tiga buah apartmen lain di Moscow pula membunuh 215 orang dan sembilan yang lain tercedera pada bulan September.
Walaupun pada 2 September, komander militan Ibn Al-Khattab mengumumkan mujahidin Dagestan akan melakukan siri serangan ke beberapa tempat di Rusia, dia menegaskan tidak bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Ekoran kejadian itu, Rusia telah melancarkan Perang Chechen Kedua.
Tahun 1999 turut menyaksikan beberapa siri pengeboman lain antaranya letupan di sebuah pasar di Vlasdikavkaz membunuh 64 orang yang berlaku pada bulan Mac.
Tahun 2002 pula, kira-kira 800 penonton dan para pelakon muzikal Nord Ost dijadikan tebusan. Seramai 129 orang dibunuh selepas polis menyerbu bangunan teater di Moscow pada bulan Oktober.
Kejadian itu juga didakwa dilakukan militan Chechnya yang diketuai oleh Movsar Barayev. Mereka menahan tebusan dan mahukan tentera Rusia berundur dari Chechnya dan menamatkan Perang Chechnya Kedua.
Barayev membuat satu kenyataan kepada media dengan mengatakan mereka sanggup mati di atas tindakan mereka itu. Kenyataan yang diperoleh pihak media antaranya menyebut bahawa Rusia mengambil hak orang Chechnya dan mereka mahu menuntut semula hak itu.
"Allah telah memberikan kami hak kebebasan dan hak menentukan haluan hidup kami. Rusia telah membanjiri tanah kami dengan darah anak-anak kami.
"Penduduk dunia tidak mempedulikan orang yang tidak bersalah yang mati di Chechnya, para sheikh, wanita, kanak-kanak dan golongan yang lemah," kata Barayev.
Menurutnya lagi, mereka memilih untuk mati dengan berperang demi kemerdekaan Chechnya dengan membawa bersama ratusan nyawa manusia berdosa Rusia.
"Sekiranya kami mati, akan ada ramai lagi yang akan mengikut langkah kami yang sanggup mengorbankan nyawa mereka di jalan Allah. Para pejuang kami telah mati tetapi orang mengatakan para pejuang ini sebagai pengganas dan penjenayah.
SEBUAH masjid di Grozny bermandi limpahan cahaya bunga api sempena sambutan Maulidurrasul.
"Hakikatnya Rusia adalah penjenayah sebenar," katanya.
Sasar stesen Metro
Pada tahun 2004, stesen kereta api Metro di Moscow menyaksikan satu letupan yang membunuh 40 orang awam. Putin menuduh militan Chechen di atas kejadian itu, tetapi ketua pemberontak Chechen mengaku tidak terbabit.
Tetapi, kumpulan pengganas Chechen yang tidak dikenali mengaku bertanggungjawab ke atas letupan itu. Mereka memanggil diri mereka sebagai Gazoton Murdash dan diarahkan oleh Lom-Ali.
Menurut kenyataan itu, kumpulan tersebut melancarkan serangan sebagai simbol ulang tahun keempat pembunuhan orang awam Chechen oleh askar Rusia di Grozny dalam pembunuhan beramai-ramai.
Bulan November tahun 2009 menyaksikan satu lagi pengeboman di dalam sebuah tren ekspres yang bergerak antara stesen Moscow dan St. Petersburg membunuh 27 orang dan lebih 100 yang lain cedera.
Kejadian membabitkan stesen kereta api Moscow berlaku lagi Mac tahun lalu membabitkan pengebom berani mati wanita pada waktu puncak di stesen tren yang padat di Moscow. Kejadian itu membunuh sekurang-kurangnya 39 orang dan mencederakan ramai penumpang lain.
Pada bulan Oktober pula, seramai empat orang militan Chechen menyerbu bangunan Parlimen Chechnya. Mereka menahan tebusan, menembak mati dua orang polis dan seorang orang awam sebelum empat pejuang tersebut dibunuh oleh anggota-anggota pihak berkuasa.
Peristiwa itu memberi tamparan hebat kepada Rusia yang sebelum ini mendakwa Chechnya sudah kembali stabil selepas kejatuhan Soviet Union.
Konflik tanpa kesudahan
Penindasan agama yang dialami rakyat Chechnya, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang, eksploitasi dan kesengsaraan hidup menjadi punca serangan militan. Dan yang pasti ia tidak akan berakhir selagi kerajaan Rusia tidak bertolak ansur terhadap hak yang dituntut mereka.
PEMBUNUHAN Aslan pada tahun 2005 membangkitkan lagi kemarahan penduduk Chechnya.
Demikian pendapat pensyarah politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff.
Katanya kesengsaraan Chechen telah dipadamkan dalam laporan media-media Barat yang menggambarkan mereka sebagai pengganas semata-mata.
"Media Barat sentiasa melaporkan serangan-serangan yang dilakukan militan Chechen tetapi punca serangan itu tidak pernah dilaporkan secara telus dan tidak pernah dibincangkan.
"Oleh itu, selagi mereka tidak memperoleh keadilan yang dituntut, peperangan ini tidak akan menemui penghujungnya," katanya yang menganggap dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang tidak adil menjadi punca meletusnya peperangan agama dunia.
Menurut beliau, amalan double-standard yang diamalkan oleh kuasa dunia menyebabkan kebangkitan kumpulan militan daripada satu generasi ke satu generasi lain.
"Kerajaan Rusia mungkin telah membunuh ketua militan Chechen, tetapi ia hanya membangkitkan semangat pejuangnya yang lain. Konflik ini ini tidak akan berakhir kerana pemikiran mereka diwariskan kepada setiap generasi.
"Saya percaya serangan-serangan yang dilakukan bukanlah bertujuan untuk membunuh orang awam sewenang-wenangnya tetapi mereka mahu membuktikan bahawa mereka juga mampu bangkit demi menuntut hak mereka serta keadilan sebagai orang Islam di bumi Rusia," katanya.