Friday, August 20, 2010

Raja Azmi Ditahan Sebagai Saksi Berhubung Saman Sivil RM5.9 Juta



Published: Jumaat Ogos 20, 2010 MYT 10:15:00 AM
Updated: Jumaat Ogos 20, 2010 MYT 3:03:05 PM

KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman ditahan kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah berharga RM5.9 juta.

Hakim Datuk Lim Yee Lan mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit filem ...Dalam Botol itu kerana kegagalannya hadir pada 12 Julai lalu yang menyebabkan prosiding mahkamah terganggu sekali gus mengakibatkan kelewatan perbicaraan kes tersebut.

Sedangkan sapina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah telah diserahkan pada 9 Julai lalu, pukul 8.15 malam yang diletakkan di bonet kereta mewah Mercedez Benz B170 bernombor pendaftaran WRC 9945 selepas Raja Azmi dikatakan enggan menerimanya.

Kereta berkenaan ketika itu berada di tempat letak kereta Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini, iaitu di mana majlis perkahwinan kali kedua pemain badminton negara, Roslin Hashim, 35, bersama Norhayati Othman, 38, berlangsung.

Raja Azmi, 51, yang dibawa ke mahkamah pada pukul 9.25 pagi, Jumaat diiringi dua anggota polis. Dia bagaimanapun memaklumkan tidak tahu mengenai prosiding mahkamah kerana tidak menerima sapina.

Lim: Kamu katakan tidak menerima sapina tetapi peguam mengatakan telah menyerahkan sapina. Siapakah yang berbohong?

Raja Azmi: Saya tidak berbohong.

Lim juga memberitahu Raja Azmi bahawa perbuatannya boleh menyebabkan dia berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah.

“Kamu memandang ringan perkara ini. Kes ini bergantung kepada keterangan dan akuan bersumpah yang diikrarkan kamu. Saya akan melepaskan kamu dengan jaminan. Kamu perlu hadir pada prosiding seterusnya sehingga kes selesai,” tambah Lim.

Sementara itu, hasrat suami Raja Azmi, Jalani Mohd Sidek untuk menjamin isterinya tidak tercapai selepas peguam Su Tiang Joo memaklumkan bahawa bekas jaguh badminton negara itu telah diisytiharkan sebagai muflis.

Justeru itu, tanggungjawab sebagai penjamin digalas oleh rakan Raja Azmi iaitu Zahrin Aris.

Wang jaminan ditetapkan pada jumlah RM8,000 manakala perbicaraan akan bersambung pada 29 dan 30 November serta 13 hingga 15 Disember depan.

Sementara menunggu urusan jaminan selesai, Raja Azmi yang dilihat agak keletihan tertidur di bahu Jalani.

Turut berada di mahkamah ialah anak sulung mereka, Puteri Suraya dan suaminya Mohd Shadan Hashim yang juga pengarah filem. Mereka menunggu di mahkamah seawal jam 7.45 pagi.

Raja Azmi meninggalkan mahkamah pada pukul 10.50 pagi selepas urusan jaminan selesai.

Kes itu bermula selepas seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut.

Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April lalu. Hamzah diwakili Su Manakalan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili LBS Bina Holdings dan Joey diwakili peguam Alan Gomez. Raja Azmi dan Jalani tidak diwakili peguam.

Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang Khamis, semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini berhubung dakwaan menerima mesej ugutan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada isteri Roslin iaitu Norhayati.

Dia yang memakai baju kurung moden merah biru terpaksa bermalam di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah, di sini, sebelum dibawa ke mahkamah.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/8/20/mstar_hiburan/20100820101507&sec=mstar_hiburan

'Ini amat mengaibkan’

2010/08/20

MELAKA: “Perkara ini (berkhalwat) amat mengaibkan apatah lagi berlaku ketika Ramadan. Kamu sebagai ibu tunggal beranak empat sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada anak dan bukan membenarkan lelaki bukan mahram berada di rumah.”

Begitu kata Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Asri Tahir ketika menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,700 terhadap seorang suri rumah, Rokiah Muda, 40, yang mengaku bersalah bersekediaman dengan lelaki bukan mahram, pagi semalam.


Tertuduh ditangkap dalam tempoh 24 jam bersama pasangannya seorang warga Pakistan yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 45, di rumahnya di Kilometer 23 Jalan SS 12, Taman Seri Sutera Pengkalan, Alor Gajah, sebelum dihadapkan ke mahkamah.


Mohd Asri dalam penghakimannya juga menasihati kedua-dua tertuduh bertaubat dan tidak mengulangi kesalahan itu.


“Saya amat terkilan tangkapan berlaku ketika Ramadan iaitu bulan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w, ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga kerana kita disuruh memperbanyakkan amal ibadat dan tidak melakukan maksiat.


“Awak berdua ditangkap pada waktu siang iaitu kira-kira jam 9.15 pagi ketika orang Islam berpuasa,”
katanya.


Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah Pegawai Pendakwa Syarie, Che Zam Zam Che Man bahawa kedua-dua tertuduh tidak menghormati Ramadan.


“Tertuduh (Ahmad) sebagai warga Pakistan tidak sepatutnya melakukan perbuatan maksiat ini. Kamu tidak dihalang mencari rezeki di negara ini, tetapi jangan lakukan maksiat. Kamu boleh dihantar ke negara asal selepas ini kerana kesalahan ini.


“Saya harap kamu berdua bertaubat dan ingatlah bahawa saya tidak teragak-agak memberi hukuman lebih berat termasuk penjara jika kamu mengulangi kesalahan ini,”
katanya yang menetapkan kedua-dua tertuduh dipenjara lima bulan masing-masing jika gagal membayar denda.


Mengikut pertuduhan, Rokiah didakwa berkurung hingga mendatangkan syak dengan Ahmad di rumah di Kilometer 23 Jalan SS 12, Taman Seri Sutera, Pengkalan, Alor Gajah, jam 9.15 pagi semalam.


Dia didakwa mengikut Seksyen 53 (2), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntuk hukuman denda RM2,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Warga Pakistan itu yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 53 (1) didenda RM2,500 oleh mahkamah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Iniamatmengaibkan__8217_/Article

Pelajar perubatan mungkin ibu bayi mati

2010/08/20

PETALING JAYA: Misteri penemuan mayat bayi perempuan dibuang di tebing sungai di Kota Damansara, Ahad lalu hampir terjawab apabila polis mengesyaki ia dilakukan pelajar perempuan jurusan perubatan di sebuah kolej berhampiran lokasi mayat itu ditemui.

Malah, penemuan kain hospital yang digunakan untuk membaluti mayat bayi itu menguatkan bukti ia ada kaitan dengan kolej yang menggunakan kain jenis sama untuk tujuan pembelajaran.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis mengesyaki ibu bayi malang itu adalah pelajar kolej perubatan itu kerana menemui kain hospital bersama mayat. “Tempat mayat bayi ditemui berhampiran dengan dua kolej termasuk yang menawarkan kursus perubatan.


“Mayat bayi pula dibalut dengan kain hospital ketika ditemui sedangkan dia tidak dilahirkan di hospital berdasarkan tali pusatnya yang tidak dipotong,”
katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.


Menurut Arjunaidi, polis sudah menjalankan operasi mengesan ibu bayi itu di sekitar kawasan berkenaan namun gagal mengesannya.


“Setakat ini, polis hanya mengambil keterangan daripada pihak pengurusan kolej bagi membantu siasatan kes,” katanya.


Katanya, kemungkinan bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang. “Hasil laporan bedah siasat mengesahkan bayi malang itu meninggal dunia akibat sesak nafas kerana disimpan di dalam beg selain baru dilahirkan ketika ditemui dan berkeadaan sihat dengan berat 3.5 kilogram,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarperubatanmungkinibubayimati/Article

Tiada unsur sihir

2010/08/20

KUALA LUMPUR: “Hanya pendekatan psikologi, tiada unsur sihir mahupun jenayah,” tegas Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika mengulas tindakan seorang guru sebuah sekolah memaksa muridnya minum air jampi yang didakwa mampu menurunkan bala.

Menurutnya, semua murid yang minum air berkenaan tidak mengalami sebarang kesakitan atau muntah darah seperti didakwa guru berkenaan.


“Pendekatan itu digunakan guru terbabit kerana mahu menjejaki seorang daripada ratusan murid sekolah berkenaan yang mencuri telefon bimbit milik seorang guru wanita.


“Malah, air yang diberi kepada murid hanya air mineral dan bukan air yang disihir seperti dakwaan sebelum ini,”
katanya.


Zakaria berkata, kejadian itu terjadi pada hujung bulan lalu dan kesilapan mungkin berlaku disebabkan seorang daripada waris murid terbabit tampil membuat laporan kejadian itu, Isnin lalu.


“Jadi soal paksa murid berbuka tidak timbul...Ia hanya salah faham kerana laporan itu baru dibuat waris berkenaan.


“Dalam laporannya dibuatnya itu, waris terbabit mendakwa tidak puas hati terhadap tindakan guru yang memaksa murid meneguk air berkenaan sebelum mendakwa air itu mampu menurunkan bala kerana bimbang perkara yang dicanangkan benar-benar berlaku.


“Malah, semua murid sudah diterangkan mengenai keadaan sebenar dan mereka kembali ke sekolah seperti biasa.


“Semuanya sudah jelas dan saya menasihatkan semua pihak supaya tidak memperbesarkan perkara ini,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadaunsursihir/Article

Berbuka puasa seawal 11 pagi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/08/20

KUALA LUMPUR: Bagai tidak tahu malu dan makna dosa apabila puluhan lelaki beragama Islam dikesan berpusu-pusu berbaris dan mengerumuni beberapa kedai dan gerai di sekitar ibu kota semata-mata untuk membeli nasi bungkus seawal jam 11 pagi.

TAK MALU...kaki ponteng puasa membeli nasi bungkus di sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman (gambar atas). BERATUR...pelanggan beragama Islam beratur mengambil makanan.
TAK MALU...kaki ponteng puasa membeli nasi bungkus di sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman (gambar atas). BERATUR...pelanggan beragama Islam beratur mengambil makanan.
Kebanyakan mereka terdiri daripaa pekerja swasta, penghantar surat serta pelajar sekolah berbaris panjang di kawasan terbuka bagi membeli juadah hidangan tengah hari yang sengaja dijual kepada orang ramai oleh peniaga beragama Islam.


Perbuatan mengaibkan di bulan Ramadan itu dapat dibuktikan selepas wartawan Harian Metro menyamar pelanggan di beberapa lokasi tumpuan kaki ponteng puasa terutama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Kampung Pandan dan Keramat di sini, semalam.


Berdasarkan pemerhatian bermula jam 10 pagi, kebanyakan pelanggan yang menunggang motosikal membeli nasi bungkus terutama pada jam 11.30 pagi hingga jam 1 tengah hari.


Dalam tinjauan pertama ke sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, seramai lebih 20 pelanggan berbaris panjang untuk membeli nasi kandar berlauk tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu lalang.


Kedudukan restoran terbabit yang dilindungi hentian bas menyebabkan aktiviti membeli nasi oleh kaki ponteng puasa itu dilakukan dengan berani tanpa rasa malu.


Malah, pelanggan terbabit berbaris panjang menunggu pemilik kedai mengambil pesanan dan membungkus nasi selain minuman.


Kebanyakan mereka yang membeli nasi bungkus itu enggan membuka topi keledar bagi mengelakkan identiti mereka dikesan sebelum memecut sejurus membuat bayaran.


Lebih mengecewakan apabila pemilik dan pekerja kedai makan terbabit seolah-olah tidak hairan kehadiran pelanggan beragama Islam walaupun menyedari perniagaan makanan itu disajikan pada waktu yang boleh menimbulkan curiga.


Situasi sama turut dilihat di restoran berhampiran apabila rata-rata pelanggan di kalangan lelaki beragama Islam didapati berbaris untuk membeli nasi bungkus persis konsep ‘pandu lalu’.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Tuan Asmawi Tuan Umar yang dihubungi berkata, pihak penguat kuasa Jawi sudah memulakan operasi membanteras kaki ponteng puasa sejak awal Ramadan lalu di beberapa lokasi yang dianggap popular.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berbukapuasaseawal11pagi/Article

Bekas isteri terkejut

2010/08/20

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut ia (perceraian) berulang lagi,” kata Faizah Mohamad, bekas isteri, Roslin Hashim berhubung kes perceraian kali kedua jaguh badminton negara itu.

Faizah, 33, berkata, apabila mengetahui Roslin, 35, berkahwin dengan Norhayati Othman, 38, menerusi media pada 10 Julai lalu, dia berdoa semoga hubungan mereka berkekalan dan tidak senasib dengannya.


“Saya tidak sangka perkara sedemikian berlaku lagi, malah anggota keluarga saya juga terperanjat,” katanya yang dihubungi semalam.


Menurutnya, dia bersimpati dan dapat memahami perasaan Norhayati yang berpisah dengan suami ketika usia perkahwinan masih muda.


“Tidak ada wanita yang berkahwin dan mahu bercerai dalam masa singkat kerana selepas menjadi isteri, suami adalah masa depan wanita itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana kes perceraian itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.


Mengenai apa yang berlaku terhadapnya sebelum ini, Faizah berkata, dia sudah melupakannya dan memaafkan bekas suaminya itu.


Ditanya sama ada dia sudah bertemu jodoh, Faizah bagaimanapun enggan memberi komen.


“Hidup saya tenang dan baik sekarang,” katanya. Abang Faizah, Zulkifli Mohamad, 36, pula berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap adik dan keluarganya.


“Sejak perkahwinannya hanya bertahan selama 12 hari, ramai lelaki menjauhkan diri dari adik saya dengan pelbagai andaian negatif,” katanya. Sementara itu, Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dihubungi enggan memberi komen dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan keputusan.


“Biar semua persoalan terjawab di mahkamah,” katanya.


Perceraian Roslin dengan Faizah sebelum ini menjadi perhatian apabila hanya bertahan 12 hari apabila bernikah pada 30 Januari dan bercerai pada 11 Februari 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bekasisteriterkejut/Article

Raja Azmi tidur lokap



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hadzlihady Hassan dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/08/20

AMPANG: Hanya sehari selepas namanya terpampang di media kerana dikaitkan dengan kes perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek sekali lagi mencipta kejutan apabila ditahan polis, petang semalam.

Bagaimanapun, penahanan wanita berusia 51 tahun itu ketika hadir di Balai Polis Ampang di sini, kira-kira jam 3.30 petang tiada kaitan dengan kes rumah tangga Roslin, sebaliknya disebabkan kegagalannya menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada Julai lalu.

Sumber polis berkata, Raja Azmi yang pernah dikenakan waran tangkap berikutan kesalahannya itu ibarat menyerah diri berikutan dia ditahan ketika hadir di Balai Polis Ampang untuk membuat laporan mendakwa isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberi keterangan tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kelmarin berhubung kononnya dia berkhalwat dengan pemain badminton negara itu.

“Dia tiba di Balai Polis Ampang dengan menaiki kereta ditemani Roslin dan seorang lagi kenalannya. Malah, seorang lagi pegawai polis turut mengambil keterangan bertulis daripada Roslin berhubung laporan yang dibuat sebelum itu bersama Raja Azmi.

“Polis hanya menahan Raja Azmi sejurus selepas dia memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya,”
kata sumber itu.

Difahamkan, Raja Azmi gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes bankrap bersama suaminya.

Sumber itu berkata, disebabkan waran tangkap ke atasnya baru dikeluarkan pihak mahkamah, Raja Azmi tidak boleh dijamin dan terpaksa bermalam dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menahan penerbit filem itu kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Menurutnya, Raja Azmi ditahan atas kesalahan tidak hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Dagang pada 21 Julai lalu.

“Tahanan terhadapnya dilakukan di Balai Pandan Indah, Ampang di sini. Dia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi esok (hari ini) atas waran tangkap dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Raja Azmi mencetuskan kontroversi apabila Norhayati memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, wanita itu berdua-duaan bersama suaminya di bilik Hotel Corus, Jalan Ampang di sini.

Dalam keterangannya itu, Norhayati bersama dua adik dan ibunya menemui Roslin bersama Raja Azmi dalam bilik hotel terbabit pada jam kira-kira 8 malam 7 Ogos lalu sebelum Roslin melafazkan ‘I cerai youlah’ pada jam 8.32 malam.

Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru berkahwin dan Roslin pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini.

Bawa teman wanita lepas ibu bapa pergi kerja

2010/08/19

KULIM: Ketika umat Islam di negara ini sibuk melaksanakan ibadah puasa, masih ada pasangan yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk berkhalwat pada waktu pagi.

Dalam satu kes khalwat di sini kelmarin, seorang pelajar perempuan tingkatan lima ditahan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Islam Kulim Kedah (PADK) di rumah teman lelakinya berusia 24 tahun, kira-kira jam 8.45 pagi di Taman Lobak dekat sini.


PADK melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan selepas mendapat maklumat daripada jiran lelaki itu pada jam 8 pagi.


Difahamkan jirannya tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu membawa masuk teman wanitanya ke rumah selepas ibu bapanya keluar bekerja dan dia meminta pasangan berkenaan keluar dari rumah tetapi tidak diendahkan.


Selepas beberapa minit menunggu, jiran yang marah dengan pasangan itu bertindak melaporkan kepada PADK sambil mengepung rumah itu.


Ketua Penguat Kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, penguat kuasa memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan menemui seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah berusia 17 tahun memakai baju kadet remaja cuba bersembunyi dalam rak kasut.


Beliau berkata, remaja perempuan itu kemudiannya cuba melarikan diri dengan bersembunyi di belakang pintu bilik.


“Teman lelakinya seorang penganggur mengaku tidak mempunyai hubungan muhrim dengan remaja perempuan itu yang mengaku ponteng sekolah untuk meluangkan masa bersama pasangannya,katanya.


Azmi berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan serta dibawa ke Mahkamah Syariah Rendah Kulim.


Katanya, pelajar perempuan itu dikenakan ikat jamin RM800 manakala teman lelakinya ditahan reman di penjara Alor Setar kerana gagal membayar denda sehingga sebutan perbicaraan pada 24 Ogos ini.


“Bagaimanapun, pelajar perempuan itu tidak dilepaskan selepas diikat jamin kerana dijamin seorang lelaki, dipercayai abang angkatnya dan bukan warisnya.

“Kami terpaksa menahan remaja perempuan itu di balai polis kelmarin sehingga ibu bapanya datang menjemputnya semalam,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bawatemanwanitalepasibubapapergikerja/Article

Suami cekup isteri khalwat

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/08/19

MELAKA: Ketika umat Islam lain menunaikan ibadat puasa, seorang wanita bagaikan tidak mempedulikan kesucian Ramadan apabila dicekup suaminya sendiri kerana disyaki berkhalwat dengan lelaki lebih muda, semalam.

Wanita berusia 33 tahun itu dicekup suaminya di rumah mereka di pinggir bandar ini ketika bersama kekasih gelapnya yang juga seorang duda berusia 21 tahun.


Rahsia pasangan itu terbongkar apabila lelaki berusia lewat 30-an itu pulang ke rumahnya kira-kira jam 7 pagi dan sebaik masuk, dia terdengar isterinya sedang berbual dengan seorang lelaki.


Curiga dengan kehadiran orang asing yang berkurung bersama isterinya, lelaki terbabit menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bagi membuat pemeriksaan kira-kira jam 8 pagi.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agamanya, Rahimin Bani berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasanya ke lokasi berkenaan dan apabila tiba, lelaki terbabit sudah menunggu di luar rumah.


Katanya, pihaknya terus masuk ke dalam rumah berkenaan dan pintu bilik itu dibuka lelaki terbabit.


“Pemeriksaan menemui seorang wanita dan lelaki sedang tidur bersama di atas satu katil dan wanita terbabit turut terkejut apabila melihat suaminya turut ada bersama.


“Ketika ditahan, wanita berkenaan hanya memakai baju-T singkat serta berseluar pendek, manakala lelaki terbabit hanya berseluar.


“Selepas disoal siasat dan mereka mengakui tidak mempunyai sebarang hubungan mahram, pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,”
katanya.


Rahimin berkata, siasatan dilakukan mendapati pasangan itu keluar bersiar-siar sehingga awal pagi dan wanita berkenaan mengajak lelaki terbabit pulang ke rumahnya kerana sudah lewat untuk menghantarnya pulang.


Katanya, lelaki itu tiba di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi sebelum mereka tidur.

“Bagaimanapun, pasangan berkenaan menyatakan mereka tidak tidur sebilik, sebaliknya ketika ditahan pasangan berkenaan dicekup tidur sekatil.


“Pasangan itu baru saja berkenalan tiga bulan lalu dan wanita itu pula mendakwa pada masa ini dia dan suaminya ada krisis rumah tangga.


“Lelaki terbabit bekerja sebagai peniaga, manakala ibu kepada tiga anak itu bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini,” katanya.


Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram, sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamicekupisterikhalwat/Article

Paksa berbuka

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
2010/08/19

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah rendah di ibu kota kecoh apabila seorang ustaz yang juga guru disiplin memaksa satu kelas terdiri daripada lebih 20 murid tahun empat untuk meminum air jampi yang didakwanya mampu menurunkan bala kepada mereka yang meneguk air berkenaan, kelmarin.

Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan separuh murid terpaksa berbuka puasa, sebaliknya mereka takut selain enggan pergi ke sekolah, semalam. Difahamkan, tindakan ustaz berusia lewat 30-an itu bertujuan menjejaki ‘toyol’ dipercayai di kalangan muridnya yang mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolah berkenaan.


Malah, ustaz terbabit individu bertanggungjawab menyediakan air jampi itu kerana dia mendakwa dirinya mempunyai kebolehan luar biasa.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, ustaz terbabit mendakwa setiap murid yang bersubahat dan enggan menyerahkan semula telefon bimbit berkenaan akan jatuh sakit selain muntah darah.


Menurut sumber, bagaimanapun tindakannya itu mengundang padah apabila beberapa waris yang tidak berpuas hati menyerang pengurusan sekolah berkenaan sebelum tampil ke balai polis untuk membuat laporan.


“Semuanya bermula apabila seorang guru wanita berusia pertengahan 20-an mendakwa kehilangan telefon bimbit dan yakin dia tertinggal telefon itu di dalam kelas berkenaan.


“Namun, guru berkenaan gagal menemui semula telefon itu selepas melakukan pemeriksaan dalam kelas itu.


“Dia (guru wanita) melaporkan kejadian itu kepada ustaz terbabit,”
katanya.


Sumber berkata, ustaz terbabit masuk ke dalam kelas berkenaan sebelum meminta murid bertanggungjawab menyerahkan telefon bimbit itu.


“Disebabkan semua murid berkenaan mendiamkan diri, dia mendakwa akan menyediakan air jampi yang mampu menurunkan bala.


“Selepas melakukan jampi ke dalam beberapa botol air, dia memaksa semua murid kelas itu meneguk air berkenaan.

“Biarpun selepas minum air itu, tiada seorang murid mengaku mencuri telefon bimbit berkenaan. “Berang dengan kejadian itu, ustaz terbabit mendakwa Tuhan tidak akan menurunkan bala kepada seorang individu saja, sebaliknya jika berlaku bencana ia akan menimpa semua orang.


“Mereka semua bagaimanapun dibenarkan pulang sebaik tamat waktu persekolahan,” katanya.


Sumber berkata, kerana bimbang mengenai bencana yang bakal menimpa mereka, sebilangan murid menceritakan kejadian itu kepada waris masing-masing.


“Beberapa waris tampil ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan, namun mereka tidak berpuas hati dengan keterangan diberikan.

“Mereka (waris) membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Difahamkan, telefon bimbit guru berkenaan belum ditemui dan sehingga kini, tiada murid jatuh sakit atau memuntahkan darah.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Paksaberbuka/Article

Wan Tonggek akhirnya tumpas

2010/08/19

AMPANG: Sindiket curi motosikal yang digelar geng Wan Tonggek yang bermaharajalela menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu ditumpaskan dalam serbuan di Kampung Ampang Indah, Sabtu dan Ahad lalu.

BUKTI...Abdul Jalil (kiri) menunjukkan motosikal curi yang dirampas daripada geng Wan Tonggek.
BUKTI...Abdul Jalil (kiri) menunjukkan motosikal curi yang dirampas daripada geng Wan Tonggek.
Serbuan itu menahan 11 anggota kumpulan itu termasuk pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan serta membawa penemuan 10 motosikal pelbagai jenis.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata hasil maklumat awam, polis menahan dua lelaki tempatan yang menunggang motosikal curi kira-kira jam 4 petang, Sabtu lalu dan susulan itu, pihaknya menahan sembilan saki-baki anggota kumpulan itu termasuk sepasang suami isteri dan seorang warga asing di Ampang, keesokan harinya.


“Penahanan 10 lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 24 tahun itu membawa penemuan 10 motosikal pelbagai jenis, tiga rangka dan beberapa komponen yang dileraikan.


“Siasatan mendapati kumpulan terbabit bergiat aktif dalam kegiatan curi motosikal sejak awal tahun lalu dan dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,”
katanya ketika sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, dengan tertumpasnya sindiket terbabit polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes curi motosikal di Ampang sejak awal tahun lalu.


“Tiga ahli kumpulan itu mempunyai peranan masing-masing sebagai tukang curi dan jual, manakala anggota lain meleraikan motosikal itu sebelum dijual pada harga murah.


“Semua mereka yang ditahan bekerja sebagai mekanik, posmen dan selebihnya penganggur. Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,”
katanya.


Dalam perkembangan lain, Abdul Jalil berkata, tiga lelaki termasuk seorang ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang ditahan kerana terbabit pergaduhan ‘ala kongsi gelap’ di Kampung Kuala Ampang, Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WanTonggekakhirnyatumpas/Article

Pasangan ditahan tanam janin



ANGGOTA polis memeriksa barang bukti yang ditemui ditanam di sebuah rumah di Kampung Bagan Dalam, Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Polis menahan satu pasangan remaja yang disyaki menanam janin bayi berusia lima bulan di halaman sebuah rumah di Kampung Bagan Dalam di sini semalam.

Pasangan berusia antara 17 dan 20-an itu ditahan pukul 2.50 petang selepas polis menerima maklumat dari penduduk sebaik terjumpa janin yang ditanam pasangan tersebut.

Difahamkan, pasangan tersebut telah bersekedudukan sejak beberapa bulan lalu di rumah yang turut didiami ibu remaja perempuan itu dan neneknya.

Kedatangan sepasukan polis ke kampung tersebut telah menyebabkan penduduk di situ menjadi gempar dan masing-masing menunggu sehingga polis selesai menggali bagi mencari janin tersebut bagi mengetahui apa yang berlaku.

Menurut sumber, polis yang memulakan operasi menggali kemudian menemui satu bungkusan plastik berisi sehelai kain batik yang mempunyai beberapa kesan tompokan darah dipercayai mengandungi janin berusia lima bulan tertanam kira-kira 0.5 meter.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Masih hidup ketika dibuang

2010/08/19

PETALING JAYA: Laporan bedah siasat berhubung kes penemuan mayat bayi di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara, mendapati bayi berkenaan masih lagi hidup ketika dilahirkan dan mati dipercayai akibat lemas ketika dimasukkan ke dalam beg pakaian sebelum ia dibuang.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, melalui laporan yang diterima daripada pihak hospital, bayi perempuan yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan di hospital atau klinik.


Setakat ini, masih belum ada saksi yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan. “Bayi malang itu dipercayai mati akibat lemas kerana diletakkan dalam beg pakaian sebelum dibuang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Masihhidupketikadibuang/Article

Bayi bogel depan pagar

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/08/19

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan yang mahu keluar ke kedai terkejut apabila menemui bayi lelaki dengan keadaan masih bertali pusat yang ditinggalkan tanpa seurat benang di depan pagar rumahnya di Kampung Hulu Takir, Seberang Takir di sini, kira-kira jam 10.15 malam kelmarin.

Nur Hafiana Marzuki, 19, berkata, selepas menemui bayi berkenaan, dia segera memberitahu bapanya, Lans Koperal Marzuki Hamid, 44, yang bertugas di Unit Hal Ehwal Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mengenai penemuan itu.


Menurutnya, dia tidak menyangka objek dilihatnya ketika hendak keluar rumah adalah bayi lelaki yang cukup sifat dan normal.


“Saya terkejut kerana tidak mendengar tangisan bayi dan segera mengambil selimut bagi mengelak bayi itu kesejukan selepas ditinggalkan berbogel atas rumput,” katanya.


Bapanya, Marzuki berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar ke sebuah pasar raya di bandar bersama isteri dan dua anaknya dan Nur Hafiana tidak mengikut mereka kerana kurang sihat.


“Sebaik menerima panggilan, saya segera pulang ke rumah dan setibanya di sana, terus membawa bayi itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.


“Selepas memastikan keadaan bayi itu selamat, saya bergegas pula ke Balai Polis Gong Badak untuk membuat laporan kira-kira jam 11.30 malam,”
katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata pemeriksaan dan rawatan awal doktor mendapati bayi seberat 3.03 kilogram itu sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta disahkan doktor baru dilahirkan tidak sampai 24 jam berdasarkan keadaan bayi dan masih bertali pusat.


“Bertindak atas maklumat, polis segera menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


“Pasukan forensik juga sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui sehelai sapu tangan merah jambu yang ditinggalkan berhampiran tempat bayi itu ditemui,”
katanya.


Beliau berkata, polis turut melawat bidan berhampiran kawasan terbabit dan mendapati tiada wanita melahirkan anak dan siasatan di klinik berhampiran juga menunjukkan tiada wanita menerima rawatan bersalin.

“Kami akan teruskan siasatan dengan meluaskannya ke kawasan berlainan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayibogeldepanpagar/Article

Mayat ditemui celah plastik



Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
2010/08/19

MELAKA: Polis menahan reman seorang pesakit wanita dan pasangannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan mayat seorang bayi lelaki berusia kira-kira lima bulan di kawasan Hospital Melaka (HM), awal pagi kelmarin.

KEJAM...mayat bayi ditemui dalam longgokan sampah di kawasan hospital.
KEJAM...mayat bayi ditemui dalam longgokan sampah di kawasan hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata gadis berusia 20-an ditahan di wad hospital, manakala teman lelakinya juga berusia 20-an ditangkap di Batu Berendam, di sini.

Menurutnya, sebelum itu, seorang Pegawai Perubatan hospital berkenaan membuat laporan berhubung seorang pesakitnya yang juga pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sedang dirawat di wad kecemasan didapati mempunyai tanda-tanda baru melahirkan anak.

Katanya, susulan laporan itu, pihaknya melakukan siasatan dari segenap aspek ke atas pesakit itu dan dia mengakui melahirkan bayi di dalam tandas di HM dan kemudian membuangnya di dalam tong sampah di wad kecemasan hospital itu.

“Siasatan juga menunjukkan bayi yang dipercayai dibuang itu sudah diambil tanpa disedari pihak bertanggungjawab menguruskan sampah. Kami percaya sampah itu kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah besar juga di kawasan hospital.

“Berikutan itu, kami melakukan pemeriksaan rapi dengan bantuan anggota forensik beberapa jam di sebuah tong sampah besar berkenaan, namun sehingga petang semalam (kelmarin) belum menjumpai mayat bayi itu,” katanya.

Difahamkan, anggota forensik sekali lagi melakukan pemeriksaan menyeluruh di sebuah lagi tong sampah di situ sebelum berjaya menemui mayat bayi kira-kira jam 1.50 tengah hari dalam keadaan amat menyayatkan hati di celah puluhan plastik sampah.

Mayat bayi terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HM untuk bedah siasat.

Sementara itu, Mohd Adnan berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat sebelum memberikan ulasan lanjut berhubung identiti mayat bayi terbabit termasuk sama ada meninggal dunia ketika dilahirkan atau sebaliknya.

Katanya, kedua-dua pasangan berkenaan kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit.



Parah dilibas suami



Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
2010/08/19

JOHOR BAHRU: Gara-gara meminta suami memulangkan motosikal pemberian majikan dan menyuruhnya membaiki motosikal milik sendiri, seorang wanita parah dilibas lelaki berkenaan dengan sebatang kayu beluti.

RETAK...mangsa menunjukkan kesan pukulan dengan kayu beluti di belakang badan menyebabkan tulangnya retak.
RETAK...mangsa menunjukkan kesan pukulan dengan kayu beluti di belakang badan menyebabkan tulangnya retak.
Berikutan pukulan kuat itu, mangsa terus rebah sambil menggelupur kesakitan sebelum dikejarkan ke hospital berikutan retak tulang belakang.

Difahamkan, sebelum kejadian si isteri menegur sikap suaminya yang membiarkan motosikal miliknya selepas rosak, selain mengungkit masalah kewangan keluarga dihadapi.

Nyata teguran berkenaan membangkitkan kemarahan suami sehingga lelaki berkenaan mengambil kayu penyendal tingkap di dapur, sebelum meluru dan terus melibas isterinya dengan kayu.

Menceritakan kejadian dialaminya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berkata dia bersyukur kerana libasan kayu berkenaan tidak mengenai kepalanya berikutan sempat bangun dari kerusi yang diduduki.

“Ini bukan kejadian pertama saya dibelasah suami tapi ia sudah menjadi habuan rutin setiap kali menjelang Aidilfitri. Namun, mengenangkan kehidupan dua anak yang masih kecil, saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis,” katanya sebak.

Menurut wanita berkenaan, kejadian itu turut disaksikan bapa mentuanya yang sudah uzur manakala anak-anak pula tiada di rumah kerana keluar bermain.

“Saya tak sangka teguran berhubung motosikal itu menyebabkan suami sanggup memukul saya seteruk ini, sedangkan niat sebenar hanya untuk berbincang secara baik.

“Saya menyuruh suami memulangkan motosikal pemberian majikannya kerana berasakan ia tidak perlu kerana kami sudah mempunyai motosikal dan kereta sendiri,” katanya yang meminta identitinya dirahsiakan.

Menurut wanita itu, dia bimbang kebajikan anak-anaknya terabai berikutan suami tidak mempunyai pendapatan lain kecuali gaji sebanyak RM400 hasil bekerja di ladang sawit.

“Saya sudah berhenti berniaga dan kami anak beranak bergantung hidup pada pemberian suami sebanyak RM200 setiap bulan. Wang itu digunakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Zahaliman Jamin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukul membabitkan sepasang suami isteri di Batu 35 1/2, Kampung Kelapa, di sini.

“Kejadian berlaku Isnin lalu dan mangsa seorang wanita berumur 40 tahun mendapat kecederaan teruk di bahagian tulang belakang akibat dipukul suaminya yang berusia 48 tahun menggunakan kayu beluti.

“Berikutan kecederaan itu, wanita berkenaan dikejarkan ke Hospital Pontian sebelum dipindahkan ke HSA untuk rawatan lanjut,”
katanya.

Zahaliman berkata, suspek berjaya ditahan bersama barang kes di rumahnya dan dikenakan perintah reman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata,” katanya.

Raja Azmi Dicekup Polis Selepas Buat Laporan Di Balai Polis Ampang

Khamis Ogos 19, 2010

KUALA LUMPUR: Tujuannya ke balai polis ialah untuk membuat laporan polis terhadap akhbar yang menyiarkan berita mengenai penglibatannya dalam kes perceraian pemain badminton negara Roslin Hashim, namun penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman dicekup polis kerana gagal hadir ke perbicaraan kes sivil.

Raja Azmi, 51, ditahan kira-kira pukul 4.50 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas beliau membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata Raja Azmi datang ke balai tersebut kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani seorang rakan sebelum polis bertindak menahan beliau setelah mendapati namanya di dalam senarai dikehendaki.

"Pihak polis telah beberapa kali mencari beliau di rumahnya di Hulu Kelang berhubung kegagalan beliau menghadiri kes perbicaraannya, malahan hari ini duakali iaitu kira-kira pukul 1 petang dan 2 petang, namun tetap tidak berhasilmenemuinya.

"Ketika kami tiba di rumahnya tadi, kami percaya beliau berada di rumah namun tiada sesiapa membuka pintu, justeru apabila beliau hadir ke balai selepas membuat laporan polis, kami terpaksa bertindak menahannya," kata Abdul Jalil kepada pemberita di pejabatnya di sini Khamis.

Beliau berkata Raja Azmi kini ditahan di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah dan esok akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi.

Pada 21 Julai lalu, Raja Azmi yang merupakan isteri kepada bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek tidak menghadirkan diri di mahkamah yang samadipercayai berhubung kes sivilnya melibatkan muflis pada 1991.

Muka depan beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Raja Azmi merupakan punca Roslin bercerai dengan isterinya, Norhayati Othman yang baru dikahwininya pada 9 Julai lepas. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/19/mstar_berita/20100819214958&sec=mstar_berita

Polis tangkap Raja Azmi


Gambar menunjukkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang tempat Raja Azmi membuat laporan polis semalam.


KUALA LUMPUR – Kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 51, tiada tanda akan berkesudahan apabila semalam penerbit filem itu ditahan ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dekat sini untuk membuat satu laporan polis.

Belum pun reda kisah dia dikaitkan sebagai punca perceraian bintang badminton, Muhammad Roslin Hashim dan Nurhayati Othman, Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang selepas dia membuat laporan polis berhubung satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang didakwa mempunyai unsur ugutan.

Penerbit filem itu ditahan selepas dia didapati mempunyai waran tangkap dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak hadir perbicaraan pada 21 Julai lalu bagi satu kes pertikaian komersial.

Dalam kes tersebut Raja Azmi didakwa terlibat dalam satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.

Sehingga pada pukul 12 malam tadi, Raja Azmi tidak dibenarkan diikat jamin kerana dia akan terus dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) hari ini.

Suaminya, Jalani Sidek cuba mengikat jaminnya tetapi gagal. Akibatnya Raja Azmi kena berbuka puasa di dalam lokap.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan penahanan Raja Azmi oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya.

“Wanita itu ditahan berkaitan satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 21 Julai lalu ekoran keingkaran penerbit filem itu untuk hadir satu perbicaraan,” kata beliau.

Sebelum ditahan, menurut beliau, Raja Azmi datang ke IPD Ampang untuk membuat laporan berhubung dakwaan dia menerima satu mesej SMS yang didakwanya ada unsur ugutan daripada seseorang yang tidak dikenali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Kecoh di bilik hotel



Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/08/19

HULU KLANG: “Roslin pergi ke hotel itu untuk bersama Raja Azmi (Raja Sulaiman), malah bilik hotel itu juga didaftar atas nama wanita itu,” kata Norhayati Othman, 38, isteri jaguh badminton negara, Roslin Hashim ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.

Dia yang juga Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad berhubung punca kejadian lafaz berbunyi ‘I cerai youlah’ yang didakwa dilakukan Roslin dalam bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang di sini, pada 7 Ogos lalu.

Dalam keterangannya, Norhayati mendakwa Roslin, 35, melafazkan cerai dalam keadaan sedar, siuman, tenang dan mengambil kira-kira lima hingga tujuh saat untuk menjawab soalan selepas ditanya apa keputusannya ketika itu selepas berlaku perdebatan antara mereka berdua dan bekas pemain kebangsaan Jailani Sidek serta isterinya, penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman.

“Kami (Norhayati bersama dua adik dan ibunya) pergi ke tingkat lima dan menunggu Jailani untuk bersama-sama ke tingkat tiga. Namun, Jailani seolah-olah melengahkan kami untuk ke bilik itu kerana dia sudah menelefon Roslin dan mengarahkan dia keluar dari bilik berkenaan.

“Dia mungkin bimbang Raja Azmi serta Roslin ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akibat berdua-duaan. Roslin dikatakan sudah keluar dari bilik itu. Saya minta Jailani hubungi Roslin dan meminta dia tunggu saja dalam bilik itu. Mereka mengaku berada bersama dalam bilik itu dan pada jam 8.32 malam, berlaku lafaz cerai,” katanya.

Norhayati yang diwakili peguam syarie Zulkarnain Lukman memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai pada Isnin lalu dan diterima pada sebelah petang oleh Roslin yang diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.

Terdahulu dalam prosiding yang bermula pada sebelah petang, Roslin memaklumkan mahkamah dia tidak mempunyai bantahan terhadap penyata tuntutan yang dikemukakan isterinya.

Pasangan itu bernikah pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Ampang.

ZULKARNAIN: Pada 7 Ogos 2010, kamu berada di mana?

NORHAYATI: Saya berada di dalam bilik 533 Hotel Corus, Jalan Ampang.

ZULKARNAIN: Siapa lagi ada bersama kamu ketika itu?

NORHAYATI: Dua adik saya, Arif Rafhan dan Arif Fauzan.

ZULKARNAIN: Siapa lagi?

NORHAYATI: Jailani Sidek dan Raja Azmi Raja Sulaiman serta defendan (Roslin)

ZULKARNAIN: Apa berlaku sebelum lafaz?

NORHAYATI: Kami tidak bertengkar, cuma berdebat.

ZULKARNAIN: Pada masa itu kamu dengar lafaz cerai itu?

NORHAYATI: Ya, defendan lafaz ‘I cerai youlah (saya ceraikan kamu)’.

ZULKARNAIN: Bagaimana keadaan defendan ketika itu?

NORHAYATI: Dia dalam keadaan sedar, siuman, tenang, duduk di kerusi

ZULKARNAIN: Apa soalan kamu?

NORHAYATI: Saya mahukan jawapan. Ketika itu saya bertanya dalam bahasa Inggeris ‘I want your decision now’ (Saya mahukan jawapan awak sekarang). Selepas itu dia lafazkan.

ZULKARNAIN: Pada masa itu kamu mengandung?

NORHAYATI: Saya suci dan tidak mengandung.

ZULKARNAIN: Ada lakukan hubungan kelamin sepanjang perkahwinan?

NORHAYATI: Ada.

Sementara itu, Roslin ketika menjawab soalan Roslizam berkata, ketika dia melafazkan talak terhadap isteri, keadaan di dalam bilik itu tegang dan dia tertekan serta marah sehingga mengeluarkan lafaz itu.

“Ketika itu saya pergi ke bilik hotel itu, tetapi saya tidak bersama Raja Azmi di dalam bilik. Memang benar dia (Raja Azmi) daftar masuk, tetapi saya pergi dengan keizinan Jailani. Dalam lima hingga 10 minit Jailani menghubungi saya dan bertanya sama ada saya di hotel, saya katakan ya. Jailani meminta saya pulang kerana dia mahu bertemu isterinya di hotel itu.

“Kemudian saya dengar pihak keluarga isteri datang ke hotel untuk menangkap saya kerana bersekedudukan dengan Raja Azmi. Saya marah kerana sepatutnya dia (Norhayati) berbincang dengan saya dan jika dia syak saya mempunyai hubungan dengan Raja Azmi, dia sepatutnya bertanya dengan saya dan bukan menghubungi Jawi dan media untuk tangkap saya,” katanya.

Roslin mendakwa hubungan dia dengan Raja Azmi rapat seperti keluarga sejak 12 tahun lalu macam seperti hubungan seorang kakak atau ibu dan begitu juga Jailani.

“Ketika Norhayati sampai di hotel saya berada di luar dan kembali semula dalam 20 hingga 30 minit selepas itu ke bilik. Saya lihat Norhayati, Raja Azmi dan Jailani berdebat mengenai sesuatu yang mereka tidak puas hati.

“Dia (Norhayati) tanya saya ke mana, saya kata di luar, saya tidak ada di situ. Selepas itu Norhayati paksa saya jelaskan. Saya rasa aib dan maruah saya tercemar,” kata Roslin.

Sementara itu ketika menjawab soalan balas daripada Zulkarnain, Roslin mengakui biarpun berasa dipaksa, tetapi Norhayati tidak menggunakan senjata sehingga boleh menyebabkan nyawanya terancam.

ZULKARNAIN: Tadi kamu kata tidak ada siapa paksa kamu ceraikan kemudian kamu kata Norhayati paksa, bagaimana?

ROSLIN: Memang diikutkan paksa. Dia (Norhayati) tanya macam-macam dan banyak kata-kata yang keluar. Malah, ibu dia juga meminta saya menceraikan dia. Keadaan tertekan dan tegang, terus saya lafazkan.

ZULKARNAIN: Kamu beritahu tadi pergi ke hotel dengan Raja Azmi, adakah satu kereta dengannya?

ROSLIN: Ya.

ZULKARNAIN: Kamu bersama dengan Raja Azmi dari jam berapa?

ROSLIN: Tidak pasti mungkin dari jam 7 malam.

ZULKARNAIN: Setuju saya cadangkan kamu bersama Raja Azmi dari jam 3 petang, makan durian dan ada aktiviti menunggang kuda di Kemensah (Hulu Klang)?

ROSLIN: Sampai ke situ?

ZULKARNAIN: Jawapan kamu?

ROSLIN: Ya.

Pada peringkat itu, Roslizam bangun membantah soalan itu dan hakim meminta soalan ditumpukan kepada kejadian cerai.

ZULKARNAIN: Selepas Raja Azmi daftar masuk kamu berada di mana?

ROSLIN: Di luar kawasan hotel kerana saya ada urusan sedikit.

ZULKARNAIN: Selepas itu bila kamu mahu balik atau kamu mahu bermalam di hotel?

ROSLIN: Masa itu (sekitar jam 8) saya mahu balik.

Mahkamah menetapkan 1 September ini untuk pihak plaintif mengemukakan hujah dan pada 22 September depan untuk pihak defendan.

Sebelum ini, Roslin pernah menggemparkan negara apabila perkahwinan pertama bersama Faizah Mohamad, 32, hanya bertahan 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari tahun lalu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...