Thursday, May 28, 2009

'Tunggu 2 Jun ini'

Oleh Muhd Izawan Baharin



KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu memberi sebarang komen, tunggu 2 Jun ini,” kata penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy berhubung kontroversi rumah tangganya yang didedahkan isterinya sejak Ahad lalu.

Perkara berkenaan dimaklumkan ‘Ustaz Rock’ itu kepada pihak Astro Oasis semalam, selepas dia mengambil sikap mendiamkan diri sejak isterinya, Maizawati Zainal, 33, mendedahkan keretakan rumah tangga mereka yang didakwa berpunca daripada orang ketiga.

Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, berkata sejak kontroversi itu timbul pihaknya tidak tahu di mana Akhil, 40, berada kerana penyanyi yang menampilkan imej berbeza berbanding penyanyi kontemporari itu hanya mendiamkan diri.

“Tapi dia ada hubungi pihak kami tadi (semalam) memberitahu dia tidak akan memberi komen sehingga kes rumah tangga mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Ipoh pada 2 Jun ini,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak dapat memberi sebarang komen kerana kes itu kini membabitkan mahkamah.

“Kami bersikap profesional, tambahan pula masalah ini hanya membabitkan soal peribadi dia (Akhil).

“Kami faham dan hormati kehendaknya, jadi biarkan perkara ini diselesaikan di mahkamah nanti,”
katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Maizawati mengibaratkan dirinya sebagai bom jangka berhubung gosip suaminya dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu berirama padang pasir, Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Dia mengaku tidak mampu lagi menahan sabar sehingga sanggup meluahkan ‘pemberontakannya’ melalui media dengan kemunculan pertama Ahad lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090528083320/Article/index_html

Wanita mangsa ragut patah gigi

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita patah dua batang giginya setelah menjadi mangsa ragut ketika sedang berjalan di Gong Badak di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, Mazlina Nawang, 45, yang bekerja di kedai

dobi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu turut mengalami lebam di mulut dan bahagian mata kanannya.

Menurut anaknya, Nur Aqidah Nasffati, 23, beliau mendapat tahu kejadian

yang menimpa ibunya itu setelah dihubungi oleh seorang lelaki menggunakan

telefon ibunya.

"Lelaki itu berkata ibu saya diragut, bagaimanapun peragut gagal melarikan

beg tangan ibu yang mengandungi wang tunai lebih kurang RM600 serta telefon

bimbit,"
katanya.

Mazlina dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani

pemeriksaan kerana dipercayai turut mengalami gegaran otak.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Deputi Supertintendan Harry Chung Chiu Mok mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20090528181919/Article

Dirantai 2 bulan

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee


SUBANG JAYA: Mereka hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air diteguk daripada air paip tandas ketika dikurung dalam lokap buatan sendiri antara 17 hari hingga dua bulan akibat gagal melunaskan hutang along.

Dengan bilik sebesar tiga meter persegi, kaki, tangan dan leher ketiga-tiga mangsa along itu turut dirantai bagaikan binatang.

Begitulah nasib tiga lelaki terbabit yang terpaksa menjalani hukuman dalam lokap buatan sendiri yang dibina di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Perindustrian Bukit Serdang di sini, selepas gagal melunaskan pinjaman berkenaan.

Malah, ketika ditahan dalam lokap umpama Penjara Guantanamo di Cuba itu, semua ‘banduan’ terbabit diseksa dengan kaki, tangan dan leher dirantai pada sebatang tiang dalam dua lokap berkeluasan tiga meter persegi setiap satu.

Bagaimanapun, seksaan yang dijalani tiga lelaki terbabit berakhir semalam apabila diselamatkan sepasukan polis.

Wartawan dan jurugambar yang diberi kebenaran memasuki tempat tahanan mangsa along itu terhidu bau busuk teramat sangat berikutan lokap itu dibina tanpa saluran udara dan keadaan lembap serta berlumut.

Sebaik ternampak media merakam gambar mereka, dua lelaki dalam satu lokap menutup muka masing-masing.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Lim kelihatan sebak apabila mengetahui dia berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

Berdasarkan panjang rantai itu, mereka hanya boleh bergerak hingga ke tandas saja.

Ketika ditemui, ketiga-tiga mereka dalam keadaan lemah dengan kesan lebam seluruh badan akibat dipukul dan dirotan apabila membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan rumah kedai itu. 

Lim, 49, yang tidak keberatan untuk ditemubual wartawan, menyatakan dia ditahan di situ sejak dua bulan lalu, manakala dua lagi peminjam masing-masing lebih sebulan dan 17 hari.

Katanya, dia meminjam RM1,500 daripada along sebulan sebelum ditahan dan setakat ini melangsaikan RM500.

“Namun, awal April lalu, kumpulan along datang ke rumah saya untuk menuntut baki hutang, tetapi saya tiada wang dan meminta mereka berjumpa waktu petang di sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor.

“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan tidak mampu membayar hutang menyebabkan konco along menculik dan menahan saya dalam lokap ini.

“Sepanjang ditahan, saya dirantai pada kaki, tangan dan leher serta dipukul setiap hari. Tindakan itu dibuat bagi menyeksa saya dan dengan cara itu, saya akan melunaskan hutang mereka,”
katanya yang menangis akibat tidak tahan diseksa.

Dia berkata, setiap seorang hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air minuman diambil daripada air paip tandas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata bertindak atas laporan kehilangan seorang daripada mangsa berkenaan, polis berjaya menahan dua ahli sindiket along di hadapan bank di Desa Jaya Kepong, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 29 dan 33 tahun itu kemudian menunjukkan tempat ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis menemui bilik kecil di bahagian belakang premis berkenaan yang diubah suai menjadi dua lokap berasingan.

“Bagaimanapun, polis gagal membuka pintu besi terbabit dan terpaksa meminta bantuan bomba kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong besi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Selepas pintu besi itu dibuka, polis menemui ketiga-tiga mangsa dalam keadaan lemah dengan masing-masing dirantai dalam dua lokap berkenaan.

Menurut Abdul Rahim, siasatan awal mendapati mangsa pernah dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor.


“Kami percaya suspek mengambil kesempatan menggunakan kekerasan melampau walaupun hutang mangsa difahamkan antara RM1,500 dan RM4,000.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana membuat kurungan secara salah dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,”
katanya. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berada di tempat kejadian.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan mengambil masa kira-kira dua jam untuk membuka pintu besi lokap terbabit dengan menggunakan mesin pemotong besi.

Mangsa pertama diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas pihak bomba memotong rantai besi di tangan, kaki dan lehernya manakala dua lagi mangsa keluar kira-kira 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090528075920/Article

Kes pertama H1N1 di Singapura


SEORANG kakitangan perubatan mengambil suhu badan seorang 
wanita di Hospital Tan Tock Seng, Singapura semalam.


SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura semalam mengesahkan kes influenza A H1N1 pertama di republik itu yang membabitkan seorang pelajar wanita yang tiba dari New York.

Menurut kementerian itu, identiti pelajar universiti berumur 22 tahun itu tidak didedahkan tetapi dia kini dirawat di sebuah pusat perubatan penyakit berjangkit dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pelajar berkenaan berada di New York dari 14 hingga 24 Mei lalu untuk satu lawatan belajar sebelum dia tiba di Singapura dengan menggunakan sebuah penerbangan Singapore Airlines kelmarin.

Pelajar berkenaan mengalami batuk tetapi melepasi imbasan suhu badan di lapangan terbang kerana dia masih belum demam namun pelajar itu berjumpa doktor sebelum dihantar ke hospital.

Menurut Menteri Kesihatan, Khaw Boon Wan, seorang pelajar lain dan seorang profesor yang turut menyertai lawatan sama kini dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Keluarga wanita itu dan seorang pembantu rumah pesakit juga dikuarantin, kata Boon Wan.

"Beberapa doktor memberitahu pelajar itu tidak mempunyai masalah perubatan menyebabkan saya berpendapat dia akan pulih seperti pesakit lain," kata Boon Wan.

Berdasarkan laporan, virus A H1N1 sehingga kini menyebabkan 92 kematian manakala lebih 13,000 orang jatuh sakit sejak ia pertama kali dilaporkan pada pertengahan April lalu di Mexico, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Bayi patah tulang selangka - Ibu bapa mahu saman hospital cuai sambut kelahiran bayi


SANY menunjukkan X-ray tulang selangka anaknya yang patah manakala Zaidah mendukung Siti Balqis di Taman Indah Pauh, Arau semalam.


ARAU - Seorang ibu muda, Zaidah Azura Rahmat, 25, tidak menyangka kesukaran ketika melahirkan bayi dalam keadaan mengiring dan menahan kesakitan selama 10 jam memberi kesanburuk kepada anaknya.

Bayi perempuannya, Siti Balqis Sany seberat 4 kilogram yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 6.18 pagi 23 April lalu didapati patah tulang selangka pada bahu kiri.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah Pauh di sini semalam, Zaidah mendakwa, doktor dan pihak hospital yang menyambut kelahiran anaknya bersikap lepas tangan malah meletakkan kesalahan itu kepada dirinya.

"Saya terkilan. Ketika bersalin, saya menahan kesakitan yang amat pedih. Ia proses sukar sehinggakan terpaksa dibantu oleh tujuh petugas hospital termasuk dua doktor.

"Malah, saya diminta berada dalam kedudukan mengiring sepanjang proses kelahiran," katanya.

Menurutnya, doktor mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada Balqis dan dia dimasukkan ke wad kanak-kanak kerana bahunya disyaki terseliuh semasa dilahirkan.

Zaidah berkata, bayinya dibenarkan keluar wad lima hari kemudian dan doktor memberitahu bahawa anaknya hanya cedera terseliuh, bukan patah tulang.

Namun katanya, setelah dibawa pulang, bayinya kerap meragam dan menangis malah tangan kirinya tidak aktif berbanding tangan kanan.

"Saya membawa anak ke klinik swasta dan terkejut apabila doktor mengesahkan dia patah tulang selangka pada bahu kiri berdasarkan hasil ujian X-ray," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Azab di penjara ah long


PREMIS di tingkat bawah inilah yang dijadikan bilik kurungan oleh ah long.


SUBANG JAYA - Tiga lelaki hanya mampu mengalirkan air mata dan meluahkan kesyukuran sebaik mereka diselamatkan dari kurungan di sebuah bilik sebesar bilik tandas di Jalan PBS 14/2, Serdang Raya di sini semalam.

Mereka yang berusia 29 hingga 45 tahun itu dikatakan mula dikurung di situ sejak awal April lalu dan diseksa bagaikan 'tawanan perang' oleh sindiket ah long.

Menambahkan lagi penderaan, ah long terbabit hanya memberi sebuku roti kepada setiap mangsa dalam tempoh dua minggu sekali.

Kesemua mangsa juga hanya diberi minum air paip.

Selain itu, mangsa-mangsa yang berasal dari Kajang, Gombak dan Segamat, Johor itu turut dirotan sekiranya mereka membuat bising ketika berada dalam kurungan tersebut.

Sebaik diselamatkan, mangsa-mangsa itu terpaksa dipapah keluar selepas mereka tidak mampu berjalan sendiri akibat sakit seluruh badan kerana dipukul.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa-mangsa diselamatkan selepas polis menahan dua lelaki dipercayai ah long pada pukul 11 pagi di hadapan sebuah bank di Desa Jaya, Kepong semalam.

"Selepas soal siasat terhadap kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun, kita telah menyerbu tingkat bawah sebuah rumah kedai di Serdang Raya," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.


DUA lelaki yang dikurung ah long dalam sebuah bilik kurungan di Serdang Raya semalam.


Menurut beliau, dalam serbuan pada pukul 2.30 petang, badan ketiga-tiga mangsa itu diikat dengan rantai dan ditempatkan di dalam dua buah bilik kecil bersaiz tandas.

Satu bilik tersebut di kurung seorang mangsa manakala satu bilik lagi ada dua mangsa dikurung sekali.

Katanya, rumah kedai tersebut telah diubah suai dengan menempatkan dua bilik kurungan berukuran 1.2 X 1.2 meter dan 1.2 X 1.8 meter dan setiap bilik itu dipisahkan oleh dinding konkrit.

Rahim memberitahu, ketiga-tiga mangsa itu akan melakukan kegiatan rutin seperti makan, minum, tidur dan membuang air besar di dalam bilik kecil tersebut sehingga hutang tertunggak mereka telah dijelaskan oleh ahli keluarga masing-masing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Ketua Geng Bakhtiar mati ditembak


MAYAT ketua Geng Bakhtiar diusung anggota polis selepas ditembak mati dalam kejadian di Subang Bestari, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Tindakan pantas polis bertindak ke atas satu laporan kes curi kenderaan mewah Nissan Skyline berjaya menumpaskan Geng Bakhtiar apabila ketuanya mati ditembak dalam kejadian di Subang Bestari di sini semalam.

Kejadian pada pukul 2.10 pagi itu bermula apabila sepasukan anggota polis terserempak dengan kereta yang dinaiki suspek ketika melakukan rondaan sebaik menerima maklumat.

Suspek yang enggan menyerah telah melepaskan tembakan menyebabkan polis bertindak membalas hingga suspek berusia 39 tahun tersebut menemui ajalnya.

Difahamkan, suspek baru sebulan aktif dalam kegiatan jenayah dan terkenal di kalangan penjenayah di Damansara.

Suspek yang juga mempunyai beberapa rakan yang menjadi anggota kumpulannya merupakan penjenayah tegar dan memiliki tujuh rekod jenayah termasuk samun, memiliki senjata api serta pernah dipenjarakan di Simpang Renggam, Johor.

Jurucakap polis memberitahu, 50 minit sebelum kejadian, suspek dan dua lagi rakannya telah melarikan kereta Nissan Skyline bersama pemiliknya yang berusia 31 tahun.

Mangsa ketika itu sedang menunggu rakannya membeli barang di sebuah kedai serbaneka di Damansara Perdana.

"Ketika menunggu di situ, dua daripada tiga suspek bersenjatakan sepucuk pistol telah mengetuk cermin kereta mangsa mengarahkannya supaya membuka pintu.

"Mangsa yang cemas telah mengikut arahan tersebut sebelum kedua-dua suspek merampas keretanya dan mengarahkannya beralih ke tempat duduk belakang,'' katanya semalam.


Masih banyak makanan guna asid borik



KERATAN Kosmo! 24 Februari 2006.


GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan langkah Kementerian Kesihatan yang tidak mengambil perhatian serius terhadap gesaannya sejak 25 tahun ini berhubung larangan penggunaan asid borik dalam makanan.

Ketika ini, kajian persatuan itu mendapati, penggunaan bahan terlarang yang menjadi agen penyebab kanser dan merosakkan anggota dalaman badan itu semakin meluas dalam bahan makanan yang diminati ramai.

Melalui ujian terbaru CAP, pelbagai jenis makanan seperti bak chang (ladu Cina), mi kuning, kuew teow dan kuih nyonya didapati mempunyai kandungan asid borik yang tinggi.

Pengerusi CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, pihaknya telah membuat aduan rasmi terhadap Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu sejak 1984 tetapi sehingga kini tiada langkah drastik yang diambil.

"Satu sampel bak chang mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning pula antara 6.51 hingga 296 bps dan kuih nyonya antara 0.78 hingga 13.5 bps.

"Ia memudaratkan tubuh jika diambil secara rutin dan kebanyakannya terkandung dalam makanan yang kerap dimakan seperti mi dan kuih-muih," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Asid borik adalah toksik yang boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Dugaan seorang bakal pengantin menyambut 5,000 tetamu menjelang 6 Jun




SETIU - Pada waktu gadis lain yang akan melangsungkan perkahwinan sibuk membuat persiapan diri untuk majlis bersejarah mereka, lain pula kisahnya seorang bakal pengantin di sini terpaksa mengeluarkan belanja menambak jalan berlopak sepanjang 300 meter menghala ke rumahnya.

Lebih mengharukan, Noraini Ibrahim, 27, terpaksa menebalkan muka meminta pendahuluan RM3,000 daripada wang hantaran berjumlah RM5,000 daripada bakal suaminya untuk membiayai kos menambak jalan ke rumah keluarganya di Kampung Fikri, di sini.

Dia kini mengejar masa kerana kerja menambak jalan itu perlu siap sebelum majlis perkahwinan berlangsung pada 6 Jun ini.

Pengorbanan itu terpaksa dilakukan selepas dia mendakwa sudah banyak aduan dibuat kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak beberapa tahun lalu untuk membaiki jalan itu tetapi ia umpama 'masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.'

Akhirnya, anak kelima daripada sembilan beradik itu nekad berusaha sendiri membaiki jalan itu kerana tidak mahu menyusahkan kira-kira 5,000 jemputan majlis perkahwinannya.

"Saya anak perempuan bongsu, jadi emak mahu lihat saya berkahwin di rumah ini.

"Sebelum ini majlis perkahwinan dua kakak saya terpaksa dibuat di rumah emak saudara disebabkan masalah yang sama,'' katanya yang juga seorang ahli Puteri UMNO ketika ditemui semalam.


CUACA panas tidak menghalang Noraini bersama ibunya meratakan batu di jalan hadapan rumah mereka di Kampung Fikri, Setiu semalam.


Noraini bakal melangsungkan perkahwinan dengan rakan sekerjanya di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor, Nusiruddin Mike Abdullah, 27.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Siswi saman UiTM selepas dicabul

Jimadie Shah Othman | May 27, 09 12:43pm
kemaskini 2.50pm Seorang pelajar wanita mengambil tindakan undang-undang terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas dakwaan cuai susulan insiden mencabul kehormatan yang dialaminya tahun lalu.

Pelajar itu, 21, didakwa mengalami trauma yang serius sehingga menangguhkan pembelajaran selepas didatangi seorang lelaki di bilik mandi asrama di kampus itu menjelang subuh, 28 November lalu.

Dalam percubaan rogol itu, lelaki terbabit didakwa menyentuh bahagian sulit pelajar berkenaan, yang tidak didedahkan identitinya.

pas khalid samad pc on uitm student molested case 270509 01Pelajar kampus induk di Shah Alam itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan bergelut dan menjerit sekuat hati. 

Identiti suspek, yang berselur pendek dan bercoli hitam ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi, tidak dapat dicam.
 
Siswi itu membuat aduan polis pada hari kejadian di balai polis Seksyen 6, Shah Alam.

Tindakan saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam melalui Hanipa Maidin, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, yang bertindak sebagai peguam pelajar berkenaan.

Dalam saman itu, UiTM sebagai defendan didakwa cuai menangani masalah keselamatan di universiti itu.

Hanipa berkata, jumlah ganti rugi yang dipohon tidak ditetapkan, sebaliknya pelajar itu menyerahkan kepada mahkamah bagi menentukannya.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menerima aduan ibu siswi berkenaan hadir bersama peguam itu dalam sidang media di Shah Alam pagi ini. 

Siswi dan keluarganya bagaimanapun tidak hadir.

Menyifatkan tindakan siswi berkenaan sebagai jalan terakhir, Hanipa tetap berharap perkara itu boleh diselesaikan secara baik.

"Kita bawa ke mahkamah bukan untuk wang, tetapi kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi," katanya.

Katanya, pihaknya memohon penjelasan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM pada penghujung Januari lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Kita ingat hendak selesaikan secara baik, tetapi UiTM tidak memberikan sebarang respons," katanya.

Sementara itu, Khalid pula mempersoalkan sikap universiti berkenaan kerana "bertindak seolah-olah tidak bersalah" sedangkan menjadi tanggungjawabnya menjaga keselamatan pelajar.

"Bila perempuan itu menjerit pun masih tak ada orang keluar. Dan saya boleh katakan, hendak masuk (ke dalam universiti) pun mudah, hendak keluar pun mudah. 

"(Mangsa) terpekik, terlolong macam itu pun tak ada apa-apa. Maksudnya, apa jenis keselamatan yang disediakan oleh universiti untuk menjaga pelajar?" katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/105196

Ekonomi merosot bawah -6 peratus

May 27, 09 5:35pm
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun pertama Malaysia menguncup lagi 6.2 peratus selepas pertumbuhan perlahan 0.1 peratus suku terakhir tahun lepas.

Penguncupan itu lebih rendah daripada yang diramalkan sebelumnya, antara -4.5 peratus dan -5.0 peratus.

Gabenor Bank Negara berkata penguncupan itu akibat kemerosotan ketara dalam permintaan luar negeri susulan kemelesetan meruncing dalam negara-negara maju, lapor Bernama.

"Permintaan eksport terus lemah dan keadaan masih mencabar. Walaupun wujud tanda-tanda awal peningkatan, suku kedua dijangka sama dengan suku pertama (2009)," Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilapor berkata ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara hari ini.

"Malaysia dijangka menyaksikan perubahan ketara dalam suku ketiga tahun ini dan pertumbuhan positif pada tahap yang lebih tinggi pada suku keempat, yang akan berterusan pada tahun depan.

"Peningkatan akan berlaku, namun ia juga bergantung kepada persekitaran domestik dan luar negara. 

"Jika langkah yang diambil oleh ekonomi lain tidak menunjukkan perubahan, maka suku kedua akan lebih teruk."


Mengulas lanjut mengenai penguncupan suku pertama, Dr Zeti berkata ia disumbangkan oleh ambilan iventori yang besar, terutama dalam sektor pekilangan dan komoditi.

Pelaburan tetap merosot disebabkan sentimen peniagaan yang lemah.

Perbelanjaan awam bagaimanapun memberikan sedikit sokongan kepada pertumbuhan.

Dari segi penawaran, kesemua sektor mengalami pengucupan, kecuali sektor pembinaan, lapor agensi berita itu lagi.

Sektor perkilangan merosot dengan ketara sebanyak 17.6 peratus (suku keempat tahun lalu: -8.8 peratus), didorong oleh pengucupan 23.1 peratus dalam industri berorientasikan eksport. 

Industri elektrik dan elektronik merosot sebanyak 41.4 peratus.

Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang mendatar dengan kemerosotan kecil 0.1 peratus (suku keempat tahun lalu: +5.7 peratus) terjejas terutamanya oleh subsektor yang berkait rapat dengan sektor perkilangan.


Sektor pertanian merekodkan penguncupan sebanyak 4.3 peratus (suku keempat tahun lepas: +0.5 peratus) disebabkan pengeluaran minyak sawit dan getah yang lebih rendah.

Kemerosotan dalam sektor perlombongan sebanyak 5.2 peratus (suku keempat 2008: -5.7 peratus) disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dan pengeluaran gas asli.


Sementara itu, sektor pembinaan pulih untuk mencatat pertumbuhan yang positif sebanyak 0.6 peratus (suku keempat tahun lalu: -1.6 peratus) berpunca daripada peningkatan dalam pembinaan segmen ruang pejabat dan segmen bernilai tinggi dalam subsektor kediaman.

Kadar inflasi menyederhana kepada 3.7 peratus pada suku pertama (suku keempat 2008: 5.9 peratus) disebabkan inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman tanpa alkohol dan pengangkutan.

Inflasi terus menjadi sederhana kepada 3.0 peratus pada April.

Dr Zeti berkata penyederhanaan selanjutnya dijangkakan dalam dua suku berikut dengan kadar inflasi di bawah 2.0 peratus bagi tahun ini.

Sementara itu, agensi berita nasional itu turut melaporkan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, yang bertaraf menteri tetapi bukan anggota kabinet, berkuatkuasa Isnin ini.

Perdana menteri berkata majlis itu akan melapor terus kepada beliau, termasuk menasihati kerajaan dalam membentuk satu model baru ekonomi negara yang berteraskan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.

"Ia selaras dengan strategi untuk melonjakkan status ekonomi negara
yang berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dan seterusnya ke arah status negara maju pada tahun 2020 nanti,"
kata Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini.

Anggota-angota lain majlis itu yang terdiri daripada pakar ekonomi dari dalam dan luar negara akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

http://www1.malaysiakini.com/news/105247

PM: K'jaan larang Chin Peng balik


Muda Mohd Noor | May 27, 09 5:06pm
Kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali semula negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap waris mereka yang terkorban semasa darurat dahulu.

Perdana menteri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.

Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.

chin peng and communist malayaChin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.

Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, saranan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut membantah ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee yang dilaporkan berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan.

Manakala Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata walaupun kerajaan kini mengamalkan sikap terbuka dan bertimbang rasa serta dasar yang agak liberal, namun cadangan sebegitu hendaklah diteliti serta dikaji implikasi yang bakal timbul.

Timbalan Presiden Majlis Muafakat Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun pula berkata Pewaris menolak dengan lantang permintaan tersebut kerana ia seolah-olah melupakan peristiwa pahit yang pernah dilakar ketika penentangan komunis di negara ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/105242

Dakwa isteri tidak cantik satu kesalahan

Rabu Mei 27, 2009

KOTA KINABALU: Seorang suami yang memberitahu isterinya tidak lagi cantik kerana mahu memalukan si isteri boleh dikategorikan sebagai kesalahan keganasan emosi jika pindaan dibuat terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Perancangan untuk meminda akta tersebut kini sedang dirangka dengan memasukkan fasal berhubung keganasan emosi terhadap wanita.

Ketika ini, golongan itu hanya dilindungi daripada penderaan fizikal di bawah akta tersebut, kata Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Katanya, tujuan cadangan pindaan itu adalah bagi memastikan keselamatan wanita dari segi fizikal dan emosi.

Dr Noorul berkata, keganasan emosi adalah satu bentuk penderaan yang memberi kesan mendalam terhadap wanita yang boleh merendahkan harga diri, maruah serta keyakinan diri.

"Ia boleh menjadi kes apabila seorang suami memberitahu isterinya yang dia hodoh atau memalukannya sehingga membawa kepada tekanan emosi," katanya pada penghujung seminar tentang bagaimana untuk mengawal keganasan terhadap wanita di Wisma Wanita, di sini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam proses membawa cadangan pindaan itu ke Parlimen.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd Dun hari ini menutup seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah itu.

Azizah dalam ucapannya berkata, wujud keperluan undang-undang untuk melindungi wanita daripada keganasan emosi.

Beliau berkata, terdapat 99 kes keganasan terhadap wanita di Sabah pada suku tahun pertama 2009 berbanding 220 kes pada tempoh yang sama tahun lalu yang dilaporkan kepada pihak polis.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/27/mstar_berita/20090527193434&sec=mstar_berita

Waheeda: Akhil minta saya bersabar

Rabu Mei 27, 2009

Waheeda lebih selesa untuk tidak mengeluarkan sebarang komen lagi tentang kontroversi ini

PETALING JAYA: "Saya rasa setakat ini saya masih boleh bersabar. Ini hal mereka suami isteri, jadi selesaikanlah sendiri," luah Waheeda berhubung kontroversi yang melanda dirinya ketika ini.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Menurut Waheeda yang dihubungi hari ini, dia hanya mampu berserah kepada Allah agar perkara ini akan berakhir jua.

"Saya tak ada apa untuk cakapkan lagi. Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya redha saja.

"Malah, Akhil sendiri ada menghubungi saya ketika hal ini mula tercetus dan minta saya banyak-banyak bersabar. Dia beritahu saya 'ini bukan urusan kamu Wawa, ini urusan aku. Biar aku yang selesaikan'.

"Alhamdulillah, saya tetap kuat teruskan kehidupan seperti biasa. Keluarga dan kawan-kawan sentiasa tidak putus memberikan sokongan.

"Tapi seperti yang saya pernah katakan, setiap orang ada tahap kesabarannya. Jadi, biarlah dia (Maiza) nak cakap apapun sekarang ini.

"Cuma, saya juga ada hati dan perasaan. Jangan sampai saya terpaksa buka mulut lagi," kata Waheeda yang menambah, dia sendiri tidak tahu di mana Akhil berada ketika ini.

Ditanya sama ada dia sebenarnya tidak terlepas berasa tertekan gara-gara kontroversi itu, dalam nada perlahan, Waheeda menjawab:

"Saya serah kepada Allah. Hanya itu yang terbaik boleh saya katakan."

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/27/mstar_hiburan/20090527153807&sec=mstar_hiburan

Maiza titipkan nasihat untuk Akhil dan Waheeda

Rabu Mei 27, 2009

Maizawati pandai mengawal gelodak dalam perasaannya. -foto mStar.

JIKA diselam wajah Maizawati Zainal, 33, isteri kepada penyanyi Ustaz Akhil Hayy, 40, ia seolah-olah menyembunyikan perasaan sedihnya disebalik ketenangan yang dipamerkannya.

Baginya, semua tindakannya adalah betul belaka lantas merasakan tidak perlulah dia menunjukkan apa-apa reaksi.

Ditanya pula kepada siapa tempat dia meluahkan perasaan dan mengadu sekarang, wanita yang mesra dengan panggilan Maiza ini enggan menjawabnya kerana dirasakan soalan itu berbaur peribadi.

Namun, mujurlah empat orang anak Maiza bersama Akhil beserta dua orang anaknya dengan hasil perkahwinan pertama dahulu memberikan sokongan yang padu kepadanya apabila dia memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada awal bulan lalu.

Kes itu akan dibicarakan pada 2 Jun ini, pukul 9 pagi.

“Setelah mereka mengetahui tentang permohonan cerai ini, mereka lebih matang dan boleh menerima keputusan saya kerana itu merupakan salah satu perkara terbaik buat mereka.

“Jadi, tiada apa-apa masalah kerana dalam hidup ini semuanya termasuk ajal dan maut berada di tangan Allah. Mungkin ini ketentuanNya dan jodoh saya hanya sampai di sini.

“Kadangkala kita tak sangka hal ini akan berlaku. Jadi, kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka.

Maiza mengaku yang dia masih dapat menerima Waheeda dan Akhil sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Dengan sesiapa sahaja boleh berlaku tak kira orang itu raja ke atau sultan, perkara ini kita tidak boleh elakkan. Mungkin selepas ini Allah telah tetapkan ada yang terbaik untuk kita,” luah Maiza sejurus selepas ditemubual dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, semalam.

Ditanya tentang reaksi ibu dan keluarga mertuanya, Maiza menyifatkan mereka sangat profesional.

“Kami tidak mengaitkan dan menuding jari antara kedua-dua belah pihak.

“Mereka juga tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga keluarga saya sehingga sekarang,” kata Maiza yang enggan memberikan komen lanjut melibatkan keluarga mertuanya.

Maiza juga mendapat maklumbalas yang baik daripada jiran tetangga yang berkata: “Semua orang menyokong saya..”

Menurut Maiza, dia merupakan seorang surirumah yang mendirikan rumahtangga dengan Akhil sejak 13 tahun lalu.

Selepas menjalani kehidupan secara solo selepas ini, Maiza berkata dia mungkin akan kembali bekerja untuk menyara kehidupannya selepas ini.

“Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan bekerja,”

“Sekarang, saya tinggal bersama mak dan anak-anak di Ipoh,” ujarnya.

Nasihat buat Waheeda dan Akhil

Dalam kenyataan sebelum ini, Maiza ada memberitahu yang suaminya pernah meminta izin untuk berkahwin buat kali kedua dan wanita yang dimaksudkan adalah penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya, Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Ditanya tidakkah Maiza hendak memberikan apa-apa nasihat buat Waheeda dan Ustaz Akhil, dia berkata:

“Pertama sekali, saya nak nasihatkan jika dia benar-benar menjadi seorang isteri, jadilah seorang isteri yang solehah dan jagalah hati semua orang.

“Janganlah kita ungkit perkara-perkara yang telah berlaku dan menuding jari antara satu sama lain.

“Saya doakan semoga mereka berbahagia.

“Bagi ustaz pula, semoga apa yang dilakukannya adalah yang terbaik dan saya harap dia tidak akan mengabaikan anak-anak.

“Perpisahan itu tidak bermakna bermusuhan dan itu adalah untuk kebaikan semua pihak. Lebih baik kita berpisah secara baik dan bukannya dengan bermusuh-musuhan. Itu yang saya hendak sebenarnya.”

Tambah Maiza, “Janganlah kita anggap perpisahan itu sebagai sesuatu yang memeritkan dan bermusuhan. Saya bukannya orang yang seperti itu.

“Bagi saya, perpisahan itu untuk mencari kebaikan. Saya harap pihak sana tidak rasa marah tentang apa yang saya luahkan.

“Saya tiada niat langsung untuk memburukkan mereka,” ujarnya beberapa kali.

Maiza juga mengaku yang dia masih dapat menerima pasangan ini sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Saya tiada masalah..,” ujarnya ringkas.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/27/mstar_hiburan/20090526192449&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...