Oleh Roslen Fadzil dan Norhayati Nordin
am@hmetro.com.my
2010/10/08
KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menganggap perceraian yang berlaku dalam hidupnya suratan takdir walaupun situasi itu sangat berat untuk ditempuhi.
SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka. Sambil menyifatkan jodoh antara dia dan bekas suami, Adzmin Osman, 37, hanya sekadar ‘di sini’ (sembilan tahun), Raja Azura atau Kak Engku tetap pasrah malah bertawakal agar Tuhan memberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.
“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu komen langsung mengenai perkara ini. Saya sedar kebenaran itu kadangkala sangat pahit untuk ditelan, tapi saya tetap pasrah menerima dugaan terhebat dalam hidup saya ketika ini.
“Cuma saya mohon, buat masa ini, berilah ruang privasi kepada saya untuk bertugas seperti biasa, menenangkan fikiran dan berdampingan dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi.
Raja Azura atau Kak Engku (KE) bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata, dia mungkin membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar agar situasi tidak menjadi keruh selain menghindari spekulasi.
Semalam, Harian Metro memaparkan laporan eksklusif perceraian Raja Azura dan Adzmin selepas rumah tangga yang dibina sejak 10 Mac 2001, gagal diselamatkan lagi.
Sebelum ini, sumber mengesahkan, Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada 28 September lalu dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan terbabit.
Pada 6 Ogos lalu, pengacara program Ewah-Ewah itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.
Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah berkenaan tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti dihebohkan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan krisis rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.
Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said, ketika dihubungi semalam berkata, dia tiada hak memberi komen lanjut mengenai masalah rumah tangga membabitkan kakitangannya itu. Kata Rostam, ia masalah peribadi dan biarlah Raja Azura sendiri menjawabnya.
“Saya tidak mahu komen. Setakat ini, Raja Azura datang kerja seperti biasa dan mampu menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio dengan baik. Selagi dia tidak membuka mulut memaklumkan kisah peribadinya, selagi itu saya takkan memberi apa-apa komen.
“Saya harap semua orang memahami perasaan Raja Azura. Saya menghormatinya sebagai penyampai yang sangat komited, rajin dan berdisplin,” katanya. Sementara itu, rakan baik Raja Azura yang juga pengacara popular, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar berkata, biarpun persahabatan mereka erat, Raja Azura tidak pernah memberitahu secara mendalam mengenai masalah rumah tangganya apa lagi soal perceraian.
“Kalau bercerita pun, yang biasa-biasa saja, bukan secara keseluruhan sebab adat setiap pasangan berkahwin, mesti ada salah faham. Tapi, saya tak sangka mereka sampai bercerai-berai. Semua ini ketentuan Tuhan. Hari ini, dugaan untuk Raja Azura, esok lusa belum tentu siapa pula. Justeru, sebagai manusia saya sentiasa berdoa yang terbaik untuk diri, keluarga dan sahabat.
“Saya harap sekalipun sudah berpisah, Raja Azura dan Adzmin teruslah berbaik demi anak-anak. Mengenali Raja Azura, saya yakin dia seorang yang sangat tabah,” katanya.
Ditanya apakah dia tidak gusar jika Raja Azura tidak dapat hadir pada saat-saat akhir untuk mengacarakan majlis persandingan Datuk Wan Mohamad Sani Salleh dan pasangan, Fatimah Dalilah Omar di Ri-Yaz Heritage & Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu, Ahad ini, Sharifah Shahirah yakin Raja Azura pasti mengotakan janji.
“Kami sudah tempah tiket pesawat dan insya-Allah semua akan baik,” katanya.
Apabila tersiarnya berita perceraian itu semalam, beberapa wakil media terus memburu Raja Azura di Pusat Penyiaran Asia (ABC), Bukit Jalil sebaik saja dia selesai dari tugasan pagi di konti Sinar FM.
Namun, usaha mereka untuk mendapatkan komen dan pengesahan gagal kerana dia berjaya mengelakkan diri, dipercayai terlalu bersedih sekalipun tetap ceria tatkala ke udara di radio.