Friday, March 5, 2010

Subsidi petrol berperingkat batal


ISMAIL SABRI bertemu dengan pengguna di stesen minyak Petronas di Presint 16, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kerajaan semalam mengesahkan tidak akan meneruskan cadangan mengadakan sistem subsidi minyak berperingkat yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei depan dan tiada kenaikan harga bahan api itu buat masa sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

"Keputusan ini bermakna sistem petrol bersubsidi negara kekal seperti biasa dan rakyat asing di negara ini masih boleh membeli petrol dengan harga subsidi.

"Saya juga ingin nyatakan tidak ada kenaikan harga petrol setakat ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penggunaan MyKad sebagai mekanisme kepada sistem dua harga petrol untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara mulai 1 Mei depan.

Hutang kahwin faktor rumah tangga retak

2010/03/02

KUALA LUMPUR: Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumah tangga dikesan menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pihaknya mendapati memang ada kes cerai yang terbawa-bawa dengan masalah untuk membayar hutang terbabit.


Menurutnya, disebabkan hutang itu, ada pasangan mengungkit di kemudian hari dan secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.


“Kegagalan membayar hutang terbabit bukanlah faktor besar, cuma sampingan saja. Berdasarkan kes, kami dapati faktor utama perceraian di pihak suami ialah tidak bertanggungjawab, suami curang, berfoya-foya, mendera isteri dan panas baran.


“Di pihak isteri pula faktor ialah isteri ingkar perintah suami, kemudian isteri lari keluar rumah, tak bertanggungjawab iaitu tidak menjalankan tugas sebagai isteri dengan sempurna, termasuklah tidak patuh,”
katanya.


Statistik nikah, cerai dan rujuk direkodkan Jais bagi tempoh sehingga Julai tahun lalu, menunjukkan 2,247 kes perceraian di Selangor, tidak termasuk kawasan Hulu Langat, manakala rujuk dengan 356 kes dan perkahwinan sebanyak 7,280 pasangan.

Bagi 2008, sebanyak 16,021 pasangan direkodkan melangsungkan perkahwinan manakala perceraian 4,069 kes, dengan rujuk 628 kes, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 14,747 perkahwinan, 3,685 kes cerai dan 521 kes rujuk.


Mohd Hidayat berkata, pihaknya menyedari dengan angka kes perceraian yang masih kurang memuaskan dan untuk itu pelbagai usaha dilakukan, termasuk memperkenalkan program keluarga sakinah.


Katanya, program keluarga sakinah membabitkan lima modul dilancarkan Februari lalu dijangka dapat mengurangkan kadar perceraian sekali gus memperkasakan institusi perkahwinan pasangan Islam. “Modul program terbabit digarap dengan sempurna, menyentuh pelbagai aspek seperti akidah, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, kesan gejala sosial seperti akibat daripada perzinaan dan maqasid (kepentingan) syariah,” katanya.


“Pelaksanaannya bukan saja tertumpu di ibu pejabat Jais, tetapi turut diperluaskan ke semua pejabat agama daerah dan tidak hanya terbatas di masjid, malah boleh disampaikan di pelbagai institusi,” katanya.


Beliau berkata, Jais juga sentiasa mengalu-alukan kunjungan pasangan Islam yang menghadapi kemusykilan dan masalah di alam rumah tangga.


“Kami di seluruh negeri mempunyai unit khidmat nasihat bersedia menerima kehadiran mana-mana pasangan untuk mendapatkan kaunseling dan nasihat, supaya dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hutangkahwinfaktorrumahtanggaretak/Article/index_html

Institusi agama tercabar

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/03/04

MUAR: “Penghinaan bagi umat Islam,” tegas penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz mengulas kisah seorang ibu tunggal yang menerima bantuan pihak gereja bagi membiayai yuran pengajian anaknya di sebuah universiti tempatan di ibu negara, baru-baru ini.

Hassan berkata, isu itu juga tamparan hebat kepada institusi agama termasuk Baitulmal dan pusat zakat negeri kerana terlepas pandang nasib ibu malang terbabit.


“Hadis Rasulullah ada mengatakan sebagai umat Islam kita wajib menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim termasuk menjaga kebajikan mereka dari segi pakaian, tempat tinggal serta keselamatan.


“Kalau kita tidak membantu, mereka yang teraniaya sebegini kebiasaannya boleh jadi kufur atau keluar Islam pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Hassan juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi ibu tunggal di luar sana yang menerima nasib seperti wanita yang dikenali sebagai Hanum itu.


Harian Metro semalam melaporkan, seorang ibu tunggal menerima sumbangan sebuah gereja sebanyak RM2,000 bagi menaja pengajian anaknya di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur.

Sumbangan itu diterima Hanum selepas permohonannya di kebanyakan pertubuhan Islam dan wakil rakyat setempat sering mengecewakan, malah pernah dihalau ketika berulang kali cuba memohon bantuan.


Walaupun menerima cek daripada gereja, ibu malang terbabit tidak menggunakan cek itu sebaliknya menyerahkannya kepada seorang individu bergelar ustaz yang ditemui di sebuah masjid di Batu Pahat.


Menurut Hassan, ibu tunggal terbabit boleh menggunakan sumbangan gereja berkenaan kerana ia lebih kepada bantuan dari segi tanggungjawab sosial pertubuhan agama kepada masyarakat setempat.


“Selaku individu beragama Islam kita boleh menggunakan apa jenis sumbangan mahupun bantuan pertubuhan agama lain.


“Lagipun mereka (pihak gereja) tidak meletakkan sebarang syarat kepada Hanum. Cuma dikhuatiri akidah umat Islam akan mudah terpesong berikutan hak itu sering dinafikan pihak dan individu seagama dengannya,”
katanya.


Justeru, Hassan menegaskan supaya pertubuhan agama Islam termasuk Baitulmal dan pusat zakat segera membantu ibu tunggal berkenaan kerana isu sebegini seharusnya tidak berlaku, malah perkara yang berlaku satu penghinaan kepada umat Islam negara ini.


Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Tinggi Kluang, Ismail Yon ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah menghulurkan bantuan RM2,784 kepada Hanum.


“Pihak kami terkejut dengan kisah ibu tunggal berkenaan lalu kami segera menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk menampung yuran pendaftaran anaknya itu akhir tahun lalu,” katanya.


Ismail berkata, selepas Harian Metro menyiarkan kisah ibu terbabit dia menerima banyak panggilan telefon termasuk daripada individu kenamaan dan orang perseorangan yang mahu menghulurkan bantuan.


“Saya mahu pihak yang berwajib ambil tindakan segera kerana selaku umat Islam kami tak rela agama dicabar dan bangsa merempat di bumi sendiri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Institusiagamatercabar/Article/index_html

Pukau sentuh tangan

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
2010/03/04

KUALA LUMPUR: Bermodalkan sentuhan tangan, dua wanita berketurunan Arab dikesan menipu seorang jurujual sebuah kedai emas menggunakan taktik sebagai pelanggan yang kononnya mahu melihat barang kemas sebelum memukau mangsa dan melarikan barangan berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua suspek menggunakan taktik menghampiri mangsa, menyentuh tangan dan menyebabkan mangsa seolah-olah khayal dan kelu serta tak dapat berbuat apa-apa kerana seperti dipukau. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin lalu di kedai emas di kompleks beli-belah di sini, dua wanita asing itu berpura-pura mahu membeli barang kemas dipamerkan. “Seorang daripada mereka meminta jurujual mengeluarkan seutas rantai untuk dilihat,” katanya.


Sumber berkenaan berkata, ketika dia mengeluarkan rantai emas ketiga daripada dulang pameran seperti diminta wanita terbabit, tiba-tiba tangannya disentuh suspek.


“Sebaik tangannya disentuh, jurujual terbabit mendakwa dirinya seperti dipukau,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukausentuhtangan/Article/index_html

Gereja beri RM2,000

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/03/03

KLUANG: Dia wanita Islam yang layak digelar ibu tunggal malang apabila begitu memerlukan wang untuk belanja anak ke universiti, namun permohonan pada wakil rakyat dan banyak lagi badan kebajikan termasuk pertubuhan Islam sering mengecewakan, sebaliknya sebuah gereja menghulurkan bantuan RM2,000.

Selepas ditinggalkan suaminya 16 tahun lalu, ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Hanum, 40, terpaksa melakukan dua pekerjaan semata-mata ingin melihat anak tunggalnya berjaya dalam pelajaran.


Gaji RM900 sebulan tidak pernah digunakan sepenuhnya untuk diri sendiri, malah disalurkan untuk kegunaan si anak yang baru setahun melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan di ibu negara.


Masalah bermula apabila kejayaan anak gadisnya yang berusia 19 tahun itu dipandang remeh sesetengah pihak termasuk institusi agama daerah, badan zakat negeri dan wakil rakyat yang pernah ditemuinya.


Menurut Hanum, anaknya itu sudah dua kali menolak tawaran melanjutkan pelajaran di dua universiti tempatan berikutan masalah kewangan dialami. “Selepas dua kali menyerah kalah terhadap tuntutan kewangan berkenaan, kali ini saya nekad mencari sumber kewangan.


“Saya berjumpa banyak pihak untuk meminta bantuan kewangan anak yang mahu melanjutkan pelajaran, tapi semua memberikan alasan tiada peruntukan serta saya tidak layak untuk memohon tanpa sebab munasabah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehinggalah pada satu ketika dia didatangi seorang lelaki berusia lewat 30-an di sebuah hentian bas di daerah Batu Pahat yang menawarkan pertolongan daripada sebuah gereja sekitar kawasan berkenaan.


“Lelaki itu lihat saya menangis di hentian bas lalu bertanyakan masalah selepas mendengar rintihan saya dia terus membawa ke gereja berjumpa dengan seorang paderi yang boleh membantu,” katanya.


“Saya terus mengikut saja lelaki terbabit ke sebuah gereja lalu diperkenalkan dengan seorang paderi,” katanya.


Katanya, belum sempat dia menceritakan masalah yang dialaminya itu paderi terbabit terus mengeluarkan sekeping cek sumbangan bernilai RM2,000 untuk menaja pengajian anaknya.


Malah, cek itu diberikan paderi itu kepada Hanum yang beragama Islam tanpa sebarang syarat.


“Saya terus ambil cek itu dan beredar dari gereja itu. Terharu sangat kerana institusi agama dan wakil rakyat saudara seagama tidak boleh membantu saya. Malah, saya pernah dihalau beberapa kali ketika mengajukan masalah ini kepada pihak berkenaan,” katanya sambil mengalirkan air mata.


Hanum yang bekerja sebagai tukang sapu dan pengawal keselamatan di Parit Raja, di sini, tidak menggunakan cek sumbangan berkenaan, tetapi menyerahkannya kepada seorang individu yang bergelar ustaz.


Terkejut melihat perkara itu, lelaki berkenaan terus membawanya ke sebuah sekolah bagi mendapatkan sumber kewangan yang diperlukannya.


Hasil inisiatif sekolah di Kluang itu satu program derma kilat dilancarkan bagi membantu ibu malang terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GerejaberiRM2_000/Article/index_html

Jual organ budak

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/03

PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN), mendedahkan wujud kegiatan menjual organ membabitkan rakyat Malaysia ke luar negara dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Berikutan itu, KDN mengawasi kegiatan penjualan dan penyeludupan organ manusia dengan meletakkan kesalahan terbabit mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.


Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata menerusi akta terbabit, dalang terbabit dalam kegiatan penyeludupan organ boleh dikenakan hukuman lebih berat.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai tahap kegiatan itu menyatakan kegiatan terbabit memang berlaku di negara ini dengan mangsa dipaksa melakukan pemindahan organ dalaman.


“Kami sukar mengesan perbuatan penyeludupan organ ini. Ada mereka dibawa masuk sebagai pelancong dengan dokumen perjalanan sah, secara tiba-tiba dipaksa menjalani pembedahan pemindahan organ kumpulan sindiket.


“Bagaimanapun, KDN tidak memandang ringan kes terbabit dan tetap mengawasinya dengan meletakkan kesalahan terbabit mengikut akta baru kerana hukumannya lebih berat.

“Mangsa mungkin tidak sedar sewaktu pemindahan organ selepas diperdayakan kumpulan sindiket,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Antipemerdagangan Orang peringkat Kebangsaan di Taman Kastam 3, di sini, semalam.


Majlis anjuran bersama kerajaan Perlis, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.


Hadir sama Timbalan Yang Dipertua NCWO, Faridah Khalid.


Abdul Rahim berkata, dalam tempoh dua tahun iaitu hingga 7 Februari lalu, seramai 186 orang didakwa mengikut akta terbabit yang mula dikuatkuasakan pada 2008 lalu.


Katanya, dalam tempoh terbabit, pihak berkuasa menyelamat 231 manusia daripada menjadi mangsa rangkaian sindiket pemerdagangan orang yang sebahagian besarnya membabitkan wanita, seramai 156 orang manakala 17 kanak-kanak.


“Sebahagian besar daripada 156 wanita selamatkan itu dipaksa menjadi pelacur dan mereka ditahan dalam operasi pihak berkuasa,” katanya.


Sementara itu, Md Isa pula menafikan sempadan darat Perlis-Thailand, terutama di Padang Besar menjadi laluan utama penyeludupan manusia ke negara ini.


“Tuduhan terbabit tidak berasas kerana pihak berkuasa di sempadan Padang Besar serta di Wang Kelian sentiasa meningkatkan kawalan bagi membendung kegiatan penyeludupan manusia,” katanya.


Beliau turut memuji langkah NCWO menganjurkan kempen anti pemerdagangan orang kepada orang ramai, termasuk pemimpin masyarakat bagi menyedarkan mereka supaya tidak terperangkap dengan kegiatan penyeludupan manusia.


“Kami harus menghargai usaha keras NCWO yang bertungkus lumus menganjurkan program ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat pentingnya pemahaman mengenai isu pemerdagangan orang ini. Beliau difahamkan dua wanita di Perlis sudah menjadi mangsa selepas diperalatkan untuk menyeludup dadah sehingga terpaksa merengkok dalam penjara di Australia dan Pakistan baru-baru ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualorganbudak/Article/index_html

Soalan budak perangkap wanita

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmtro.com.my
2010/03/03

KUALA LUMPUR: Soalan kuiz dikemukakan seorang kanak-kanak perempuan berhubung nama penuh ibunya berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa culik yang didalangi seorang wanita misteri.

HAMPIR DICULIK...Pang bersama ibunya, Moh menceritakan saat cemas ketika cuba diculik kepada Chong, semalam.
HAMPIR DICULIK...Pang bersama ibunya, Moh menceritakan saat cemas ketika cuba diculik kepada Chong, semalam.
Difahamkan suspek wanita terbabit sebelum itu berpura-pura mendekati mangsa sebelum memberitahu dia kenalan ibunya dan diamanahkan mengambil mangsa pulang dari sekolah.

Bagaimanapun, kegagalan wanita itu menjawab soalan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu menyebabkan niat jahatnya terbongkar sebelum mangsa sempat melarikan diri.

Ibu mangsa, Moh Swee Koon, 53, berkata kejadian berlaku apabila anak perempuannya, Pang Soo Sin, 9, sedang menunggu bas sekolah untuk pulang ke rumah, kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu.


Menurutnya, anak perempuannya itu yang pintar dalam akademik menunggu bas dalam kawasan sekolah sebelum tiba-tiba dihampiri seorang wanita tidak dikenali.

“Wanita berusia 30-an berkenaan menyapa anak saya sebelum memberitahu kononnya diarah oleh saya untuk mengambilnya pulang dari sekolah.

“Wanita tidak dikenali itu yang memakai baju-T coklat dan seluar jeans biru memberitahu ingin membawa pulang anak perempuan saya ke rumah seperti diamanahkan saya,”
katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana anaknya itu tidak terus mengikut arahan wanita terbabit sebaliknya mula berasa curiga terhadap identiti wanita yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.

“Justeru, anak saya cuba bertanya nama penuh saya kepadanya. Soalan itu menyebabkan penjenayah wanita terbabit tergamam dan tidak dapat memberikan jawapan,” katanya.


Menurutnya, anak saya kemudian cuba memperdaya suspek wanita terbabit dengan memberi alasan kononnya mahu menghubungi saya menggunakan telefon awam dalam kawasan sekolah.

“Pada masa sama, Pang sempat meminta suspek 50 sen dengan alasan mahu menghubungi saya. Difahamkan suspek memberikan anak saya 50 sen sebelum dia terus berdiri menunggu di luar sekolah terbabit.

“Namun, anak saya sebaliknya mengambil kesempatan itu melarikan diri sebelum naik ke dalam bas sekolah yang tiba tidak berapa lama kemudian.


“Cubaan culik itu diceritakan kepada saya ketika dia pulang dari kelas tambahan pada malam kejadian. Berikutan itu saya membuat laporan cubaan culik itu kepada guru besar sekolah terbabit,” katanya.


Dia yang bekerja sebagai penjaga di pusat penjagaan orang tua turut membuat laporan di Balai Polis H S Lee, Dang Wangi di sini, sejurus selepas bertemu pihak sekolah.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, pihaknya bimbang dengan kejadian cubaan culik murid sekolah rendah terbabit berikutan ia berlaku dalam kawasan sekolah yang diberi kawalan keselamatan.

Menurutnya, insiden itu harus diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan sekolah berikutan ia dibimbangi boleh mengulangi beberapa siri kes culik pelajar oleh individu tidak dikenali di kawasan sekolah.

“Berdasarkan maklumat dari beberapa ibu bapa murid, ada yang mendakwa pernah melihat seorang wanita misteri yang kerap merayau dengan menaiki Proton Wira.

“Kejadian seumpama ini seharusnya dijadikan pengajaran supaya pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa berwaspada terhadap keselamatan anak-anak sama ada di tempat awam, sekolah atau rumah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Soalanbudakperangkapwanita/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...