Monday, July 5, 2010

Janda hidap penyakit ganjil

BARWELL - Seorang wanita di Britain, Donna Glover (gambar) menghidap penyakit ganjil iaitu ketagih untuk berasmara, lapor sebuah akhbar semalam.

Akibat penyakit yang dikenali sebagai Sindrom Kleine-Levine (KLS), Donna yang merupakan janda beranak satu berusia 40 tahun itu terdesak untuk melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki termasuk orang asing.

"Apabila saya diserang penyakit itu, saya mahu berasmara tanpa mengira masa dan tempat," kata Donna.

Wanita itu yang berasal dari sini, England, menghidap KLS sejak berusia belasan tahun tetapi penyakit tersebut yang menyerang seorang daripada setiap enam juta manusia berjaya dikesan oleh seorang doktor hanya pada tahun lalu.

"Saya juga pernah berasmara di mana-mana sahaja termasuk rumah, hotel dan di dalam kereta," jelasnya.

Kini, dia yang telah mengetahui cara mengenai simptom-simptom KLS akan membuang bateri telefon, mengelak daripada melayari Internet dan berkurung di rumah apabila merasai penyakit itu akan menyerangnya.

Simptom paling dominan penyakit itu adalah pesakit akan tidur dalam tempoh yang panjang iaitu sehingga 18 jam sehari selain mengalami perubahan tingkah laku termasuk peningkatan nafsu seks mendadak.

Penyakit tersebut yang dipercayai berpunca daripada ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak turut menyebabkan pesakitnya mempunyai nafsu makan yang kuat. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Iran perkenalkan robot boleh berjalan



ROBOT Soorena-2 dipamerkan pada satu majlis di Teheran kelmarin.


TEHERAN - Iran telah memajukan teknologi robot terbaru yang boleh berjalan seperti manusia yang akan digunakan bagi menjalankan tugas-tugas sensitif, lapor sebuah akhbar semalam.

Robot yang dinamakan Soorena-2 sempena nama pahlawan purba Parsi itu telah diperkenalkan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad kelmarin.

Ia setinggi 1.45 meter dan seberat 45 kilogram.

"Berjalan perlahan seperti manusia dengan pergerakan biasa kaki dan tangan merupakan antara ciri-cirinya. Robot seperti itu direka dan dimajukan untuk melakukan tugas-tugas sensitif dan sukar bagi pihak seorang individu atau sebagai pembantu," lapor akhbar berkenaan.

Iran telah melakukan beberapa projek saintifik dalam tempoh beberapa tahun ini seperti klon, kajian mengenai sel asas dan teknologi satelit. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Gempar ikan berwajah manusia


GAMBAR (dalam bulatan) menunjukkan seekor ikan kap milik Brenda O'Sullivan yang memiliki wajah seperti manusia.


DAGENHAM - Seekor ikan peliharaan di Britain menggemparkan pemiliknya kerana memiliki wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan kap itu dibela seorang lelaki, Brendan O'Sullivan di sebuah kolam di rumahnya di sini. Lelaki berusia 44 tahun itu membeli ikan tersebut lima bulan lalu tetapi dia mula mengetahui ia memiliki tanda seperti mulut, hidung dan mata manusia baru-baru ini.

"Hanya pada minggu lalu ketika saya berjemur di belakang rumah saya, saya memerhati ke dalam kolam dan melihat ikan tersebut berenang ke arah saya," kata Brendan.

"Saya kemudian terkejut. Ia memiliki tanda seperti dua mata, hidung dan mulut. Pada mulanya, saya ingat saya mengalami halusinasi," tambahnya.

Ekoran keunikan itu, ikan kap milik lelaki berkenaan kini dianggarkan berharga £40,000 (RM196,067). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Anak lembu berkepala dua


GAMBAR menunjukkan anak lembu berkepala dua di sebuah kampung dekat Iskandariah di Mesir kelmarin.


KAHERAH - Seorang bekas petani di utara Mesir, Sobhy el-Ganzoury menyatakan seekor lembu miliknya melahirkan anak lembu berkepala dua yang disifatkannya sebagai keajaiban Tuhan di sebuah kampung di Iskandariah.

Sobhy menyatakan kelmarin anak lembu ganjil itu mengambil masa dua jam untuk dilahirkan dan dia terpaksa membantu proses kelahiran dengan menarik haiwan tersebut keluar.

Menurutnya, proses kelahiran yang sukar itu menyebabkan kaki anak lembu tersebut lemah.

Dia berkata, seorang doktor haiwan memaklumkan kepadanya bahawa anak lembu yang lahir pada minggu lepas itu kini stabil dan dijangka dapat terus hidup.

Katanya, dia mahu memelihara haiwan itu sebagai peringatan bahawa Tuhan mampu melakukan apa sahaja.

Anak lembu berkenaan tidak dapat berdiri kerana kepalanya yang berat dan kakinya masih lemah.

Haiwan itu minum susu ibunya yang diberi dengan menggunakan botol susu bayi. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Suami tangkap isteri curang


DUA anggota JAIP menahan seorang wanita yang didapati berdua-duaan dengan pasangannya di Kuantan semalam.


KUANTAN - Hati suami mana yang tidak remuk apabila melihat isteri yang dikahwini sejak lima tahun lalu didakwa melakukan perbuatan sumbang dengan lelaki lain hingga memaksanya memasang perangkap dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kelmarin.

Ternyata, perangkap yang dipasang lelaki dikenali sebagai Muhammad, 30-an mengena apabila mendapati isterinya itu sedang bercumbu mesra dengan lelaki seusia dengannya pada pukul 3 petang di dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah restoran di Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini.

Wanita berusia 33 tahun yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu mula berubah sikap sejak sebulan lalu hingga mendorong suaminya melakukan intipan selepas tidak tahan dengan cakap-cakap orang mengenai kecurangan yang dilakukan isterinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Mati semasa menderma darah

Mati semasa menderma darah




GEORGE TOWN - Setiap kali berlangsung kempen menderma darah di tempatnya, Ho Chuan Poh, 55, (gambar) merupakan antara orang pertama tampil untuk sama-sama menderma darah.

Bagaimanapun, hasrat tukang paip itu untuk menderma darah buat kali ke-45 semalam tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat berlaku komplikasi secara tiba-tiba semasa proses derma darah sedang dilakukan terhadapnya.

Kejadian pada pukul 11.30 pagi itu berlaku pada majlis kempen derma darah anjuran Persatuan Hui Yin Seh di Air Itam dekat sini.

Chuan Poh yang pengsan secara tiba-tiba diberikan bantuan kecemasan oleh doktor dan petugas Unit Bank Darah Hospital Pulau Pinang (HPP) sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke HPP.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wang simpanan lebur

Oleh Asmah Rusman

2010/07/05

KUALA LUMPUR: Gara-gara terpikat dengan pujukan manis seorang wanita menerusi seminar perniagaan, seorang warga emas berputih mata apabila hilang semua wang simpanannya berjumlah kira-kira RM190,000.

Khalijah Ashaari, 59, berkata selepas dua tahun gagal mendapat pulangan dan sebagai usaha menjejak wanita dikenali sebagai Nazirah, 37, dia bertindak membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, dua minggu lalu.

Katanya, dia melabur berikutan Nazirah memberitahu skim itu berupaya membantu dia mengejar cita-cita menjadi jutawan kerana menjanjikan pulangan 10 hingga 15 peratus setiap bulan.

Menurutnya, cara pelaburan dilakukan dengan membuat pembayaran mengikut jumlah pulangan yang diinginkan pelabur dengan jumlah minimum RM10,000. “Saya seperti dipukau apabila mudah mempercayai kata-kata Nazirah yang bertugas sebagai pengurus pemasaran di syarikat pelaburan di Bukit Bintang itu.


“Wanita memujuk saya menyertai skim itu dengan alasan memudahkan seseorang mencapai impian termasuk melangsaikan hutang, membantu keluarga, menambah simpanan selain bagi menjalani kehidupan lebih mewah,” katanya. Khalijah berkata, dia menuruti setiap arahan wanita itu termasuk membayar pendahuluan RM100,000 untuk mendapatkan keahlian skim pelaburan berkenaan.


Kemudian, dia menerima satu salinan perjanjian dan borang keahlian yang dikatakan mengandungi maklumat lengkap mengenai peraturan pelaburan berkenaan dalam Bahasa Inggeris.

Katanya, dia terus menyerahkan sejumlah wang melalui dua cek berasingan masing-masing bernilai RM14,000 dan RM76,000 selepas sering didesak wanita itu melalui panggilan telefon.

“Saya langsung tidak mengesyaki dia ingin menipu kerana ahli yang hadir ke seminar yang diadakan di sebuah hotel terkenal terdiri ahli perniagaan dan taukeh emas yang datang dari seluruh pelusuk negara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wangsimpananlebur/Article

6 beranak menumpang rumah saudara

2010/07/05

MASJID TANAH : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitu nasib sebuah keluarga apabila terpaksa menagih kasih dengan menumpang berteduh di rumah adiknya di Kampung Ayer Limau, dekat sini, akibat masalah kemiskinan sejak 10 tahun lalu.

Bekas pemandu lori, Abdul Rahman Salleh, 48, bersama isteri, Taj Bharouk Jasi Alam, 47, dan empat anak mereka sebelum ini menetap di sebuah rumah di kawasan ini, namun disebabkan masalah kewangan terpaksa menumpang di rumah adiknya.


Kehidupan keluarga itu bertambah getir apabila Abdul Rahman dikesan menghidap penyakit jantung dan pernah mengalami strok kira-kira 10 tahun lalu ketika bekerja hingga dinasihatkan berhenti oleh majikan.


Abdul Rahman berkata, sejak tiada pekerjaan, dia berdepan kesukaran menanggung isteri dan empat anak, Nurfarahin, 17; Mohd Rifhan, 14; Nurfarah Izzati, 13, dan Nurfarah Aisah, 6, hingga terpaksa menumpang di rumah adiknya akibat tidak mampu membayar sewa rumah.


Menurutnya, keadaan lebih buruk apabila terpaksa mencari wang sebanyak RM75,000 untuk menanggung kos rawatan penyakitnya dan disebabkan tiada pilihan terpaksa mengeluarkan wang simpanan pekerja berjumlah RM25,000.


Bagaimanapun, katanya, dia masih bernasib baik apabila bekas majikan turut bersimpati menghulurkan sumbangan RM40,000 untuk kos rawatannya. “Begini kehidupan saya seharian, hanya mampu membuat kerja ringan di rumah. Itu pun tidak boleh lama kerana mudah diserang strok ketika bekerja dan kerap bermalam di Hospital Melaka selama beberapa hari.


“Lebih menyedihkan, isteri turut menghidap sakit tulang belakang sejak empat tahun lalu hingga terpaksa berulang alik ke Hospital Alor Gajah menerima rawatan sekali gus menyukarkannya bekerja,” katanya.


“Anak sulung pula cacat kerana lahir tidak cukup bulan dan begitu aktif hingga memerlukan perhatian khusus, namun tidak mampu bergerak sempurna dan kini hanya bergantung dengan kerusi roda,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Abdul Rahman berkata, bagi menampung kehidupan keluarganya, isterinya meneruskan tugasan membersih dua surau di sekitar kampung itu atas bantuan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) walaupun upah tidak seberapa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/6beranakmenumpangrumahsaudara/Article

Mihun jijik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/07/05

KUALA LUMPUR: Hanya pemidang plastik memisahkan tempat memproses mihun dengan kandang babi ketika serbuan dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas sebuah kilang di Seberang Prai, Pulau Pinang, minggu lalu.

Kilang jijik itu terbongkar selepas penguat kuasa terhidu bau najis babi ketika melakukan pemeriksaan mengejut mengenai penggunaan logo halal ke atas operasi kilang terbabit, kira-kira jam 11 pagi. Sumber berkata, pegawai Jakim, Jabatan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang ( JAIPP) dan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) memeriksa kilang itu berdasarkan kesangsian terhadap maklumat makanan yang mempamerkan sijil halal Jakim pada bungkusan makanan.


“Ketika serbuan dilakukan, lebih 20 pekerja kebanyakannya warga tempatan memproses mihun menggunakan mesin khas. “Tetapi, pegawai Jakim gagal menemui bungkusan plastik yang ada logo halal Jakim seperti dilaporkan. Pemilik kilang seolah-olah tahu kehadiran penguat kuasa dan berkemungkinan menyembunyikan plastik bungkusan itu,” katanya.


Katanya, berdasarkan maklumat, pemilik kilang mengedarkan mi dan kue tiaw yang dihasilkan syarikat lain, namun hanya menggunakan logo halal bertulisan jawi tanpa menggunakan logo Jakim.

Pekerja kilang yang kebanyakannya Melayu ditemui enggan membuka mulut bagaikan merahsiakan sesuatu. Malah, semua mihun siap diproses sebaliknya dimasukkan ke dalam bungkusan plastik tanpa logo dan label seberat 5 kilogram setiap satu. “Namun, pegawai agama mula sangsi sejurus terhidu bau busuk sebelum menyelak plastik penghadang di tepi premis dan mendapati beratus babi diternak di ruang bersebelahan kilang makanan terbabit,” katanya.

Menurutnya, tindakan pihak pengilang makanan terbabit yang beroperasi bersebelahan ladang babi amat dikesalkan berikutan ia dibimbangi membawa ancaman penyakit selain bau busuk yang menusuk dari najis haiwan berkenaan. “Apa menghairankan semua pekerja Melayu terbabit seolah-olah ‘kebal’ dan tidak kisah dengan situasi terbabit, apatah lagi sanggup berdepan dengan bau busuk terbabit hampir saban hari,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah ketika dihubungi berkata, kilang terbabit pernah disiasat beberapa kali pihak berkuasa berikutan isu kebersihan. Bagaimanapun, katanya, tindakan tidak boleh diambil Jakim berikutan pemilik kilang tidak menyalah guna logo halal Jakim sebaliknya hanya menggunakan perkataan jawi ‘halal’ pada bungkusan.

“Namun, saya percaya mihun keluaran kilang itu tidak hanya dibeli pengguna bukan Islam berikutan ia turut dijual menggunakan pelbagai jenis peket dan jenama berlainan yang tertera ‘halal’. “Tindakan ini jelas sesuatu yang boleh mengelirukan pengguna dan menyangka mihun terbabit selamat dan halal dijamah. Apa yang pasti pemiliknya dinasihatkan berpindah lokasi, selain mendapatkan sijil halal sah daripada Jakim, namun tidak dipatuhi,” katanya.


Menurutnya, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika membeli makanan basah, terutama dalam bungkusan dan hanya memilih makanan mempunyai logo halal Jakim yang sah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mihunjijik/Article

Isteri pun pasang dua




Oleh Mohd Fauzi Abdullah

2010/07/05

KUANTAN: Malang bagi seorang suami beristeri dua apabila isteri keduanya membuat ‘onar’ dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain setiap kali dia berada di rumah isteri pertama untuk menjalankan tanggungjawab berpoligami.

KHALWAT...isteri orang dan kekasihnya yang dicekup di rumah tumpangan di Transit Point, Kuantan, semalam.

Tidak cukup memadu kasih di rumah sendiri pada tengah malam selepas dua anak mereka tidur, wanita yang boleh dianggap ‘madu durjana’ itu sanggup menyewa bilik di rumah tumpangan untuk bertemu kekasih hatinya pada sebelah siang.

Namun, kecurangan isteri berusia 30-an, bekerja sebagai pakar kecantikan itu terbongkar selepas dicekup Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam satu serbuan di sebuah rumah tumpangan di Transit Point di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, wanita terbabit ditahan bersama pasangannya dipercayai berusia 30-an, bekerja sebagai pencuci kereta di bandar ini kerana disyaki berkhalwat.

Ketika ditahan, suami wanita terbabit kebetulan berada di tempat kejadian dan sama sekali tidak menyangka isteri keduanya dicekup Jaip dalam serbuan itu.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 45, berkata, dia dapat menghidu kecurangan isteri keduanya selepas hubungan mereka dingin kira-kira sebulan lalu.

Katanya, dia yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan mak andam yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu atas dasar cinta tidak menyangka dikhianati dengan cara demikian.

“Hancur luluh hati saya mengenangkan kecurangannya sedangkan selama ini saya yang banyak menaikkan perniagaannya sehingga berjaya. Saya begitu kecewa dengan apa dilakukannya,” katanya.

Mohamad berkata, dia menerima maklumat isteri keduanya itu sering membawa kekasih gelap ke rumah mereka ketika dia berada di rumah isteri pertama.

“Semua perbuatan isteri terbongkar selepas dia ditahan Jaip petang semalam (kelmarin).

“Baru kini saya tahu mengapa hubungan kami selama ini begitu dingin sehinggakan dia seolah membenci saya setiap kali tiba giliran saya pulang ke rumah untuk menunaikan tanggungjawab kepadanya,”
katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya itu.

Menurutnya, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menghukum perbuatan isterinya.

“Apa yang tinggal kini hanya kenangan bersamanya selama lebih 10 tahun mengenali sebelum kami mengambil keputusan bernikah lima tahun lalu.
“Hati saya hancur dan sudah tawar untuk menerimanya selepas mengetahui kecurangannya. Saya rasa dikhianati,”
katanya sebak.

Harian Metro difahamkan pasangan itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaip bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987), pasangan disyaki berkhalwat boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Budak perempuan diculik ditemui

2010/07/05

SABAK BERNAM: Kegelisahan seorang ibu selepas anak perempuannya berusia setahun lebih diculik bekas teman lelakinya empat hari lalu, berakhir apabila polis menemui mangsa yang dilarikan hingga ke Kuantan, Pahang, awal pagi semalam.

Polis juga berjaya menahan suspek berusia 55 tahun itu yang ketika kejadian turut berada di situ.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushair Mohamad, berkata kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, dengan kerjasama pegawai dan anggota daripada cawangan Penyelidik/Perancang (D8) Bukit Aman dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Noor Mushair berkata, penculikan kira-kira jam 4.30 petang Khamis lalu, apabila suspek dipercayai ke rumah ibu mangsa di Taman Desa Indah, Sungai Besar, dekat sini, dan membawa keluar kanak-kanak itu dengan alasan membeli makanan untuknya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...