Thursday, July 28, 2011

Utusan belum perlu bayar tunggakan bonus lagi

Utusan belum perlu bayar tunggakan bonus lagi
Jul 28, 11 12:22pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Utusan Melayu (M) Bhd bagi mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan yang mengarahkan syarikat akhbar milik Umno itu membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya bagi 2009.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di kamarnya pagi ini.

"Mahkamah menetapkan 14 September bagi mendengar permohonan semakan kehakiman,” katanya.

Utusan Melayu diwakili oleh peguam S Rutheran.

Pada 24 Mei Mahkamah Perusahaan memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya.

Presiden mahkamah itu Susila Sithamparam berkata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang membawa kes itu ke mahkamah telah membuktikan bahawa Utusan Melayu mencatat keuntungan pada tahun berkenaan.

Kata beliau dalam penyata beraudit 2009 yang terkandung dalam laporan Tahunan 2009nya, Utusan Melayu mengisytiharkan bahawa ia mencatat keuntungan kumpulan berjumlah RM5.121.

"Responden (Utusan Melayu) tidak boleh menolak hakikat bahawa ia adalah sebuah syarikat pemegangan dan mempunyai anak syarikat. Mahkamah berpendapat perkataan "keuntungan" atau "profit" dalam Perkara 44 Perjanjian Bersama membawa maksud keuntungan yang diraihnya sebagai sebuah syarikat pemegangan pada 2009.

"Kesatuan itu telah membuktikan responden (Utusan Melayu) mencatat keuntungan pada 2009," katanya.

Susila memerintahkan Utusan Melayu mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama dengan serta-merta.

NUJ membawa kes itu ke mahkamah pada 23 Mac tahun lalu apabila Utusan Melayu tidak membayar bonus dua bulan gaji kepada petugasnya untuk 2009 dengan alasan sehingga 31 Dis 2009, penerbit akhbar Utusan Malaysia itu mengalami kerugian RM26,169,490 sebagai syarikat individu.

NUJ memohon mahkamah memerintahkan syarikat itu supaya mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama bertarikh 5 Sept 2006 yang ditandatangani antara NUJ and Utusan Melayu (M) Bhd.


http://malaysiakini.com/news/171286

Dr Uthman diundang bincang Wahabi, terorisme

Dr Uthman diundang bincang Wahabi, terorisme
Jimadie Shah Othman
Jul 28, 11
9:16am

Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya hari ini mengeluarkan undangan rasmi berdialog kepada penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

NONEMenurut mufti negeri Dr Juanda Jaya (kiri), undangan rasmi bertulis dihantar kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan anggota jawatankuasanya semalam.

"Kita harap majlis itu dapat diadakan pada bulan puasa ini supaya kurang sedikit unsur syaitannya," katanya.

Dalam Islam, Ramadan adalah bulan yang berkat kerana menurut hadis Nabi, syaitan dirantai sepanjang bulan itu.

"Jika tuduhan itu tidak benar, ia dianggap memecahbelahkan orang ramai, mengikut perangai syaitan dan mengancam negara," katanya.

Malaysiakinidifahamkan, dalam taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

NONEDikatakan juga taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.

Bagaimanapun, semalam, Dr Juanda mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar" dalam majlis di mana Dr Uthman terlibat sebagai seorang pembentang kepada mufti dan wakil majlis agama Islam negeri yang hadir.

Libatkan haji ke Mekah

Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Juanda berkata, Dr Uthman boleh memilih tarikh di mana beliau mempunyai kelapangan untuk membentangkan semula idea-ideanya kepada anggota jawatankuasa fatwa negeri dan ahli akademik yang akan dijemput.

ti religio-corruption workshop 231105 muhammad 'uthman el-muhammady"Majlis ini juga terbuka kepada orang awam dan pihak media supaya setiap pihak dapat menilainya," kata Dr Juanda yang juga felo pelawat di Universiti Oxford.

Menurut Dr Juanda, Dr Uthman perlu membuat penjelasan itu kerana implikasi dakwaan dalam taklimat itu melibatkan amalan penting umat Islam seperti mengerjakan umrah dan haji umat Islam di Mekah - wilayah yang ditadbir Arab Saudi.

"Menjelang Ramadan juga, ramai imam daripada Mekah dijemput mengimami solat Tarawikh di negara ini, kita bimbang amalan mereka tidak sah pula nanti," katanya.

Arab Saudi merupakan negara yang paling dikaitkan dengan fahaman Wahabisme, terutamanya oleh golongan Orientalis. Di Malaysia pula, Perlis satu-satunya negeri yang dikaitkan dengan amalan itu walaupun pemimpin dan ulamanya sering menafikannya.

azlanUsaha Malaysiakini mendapat komen Dr Uthman dan MKN setakat ini belum berhasil.

Dr Uthman merupakan tokoh maal hijrah kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang ijazah doktor persuratan kehormat (D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu terkenal kerana kajiannya dalam bidang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


http://malaysiakini.com/news/171263

Ulama muda Umno: Ini kerja 'ustaz simpanan'

Jimadie Shah Othman
Jul 28, 11
11:34am

Walaupun dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan terorisme, Ulama muda Umno berkata mereka tidak menyalahkan pihak kerajaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menganjurkan majlis itu.

Sebaliknya, tindakan itu disyaki diusahakan oleh beberapa 'ustaz-ustaz simpanan' yang didakwa berlegar di sekeliling MKN - badan bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri itu.

NONE"Mereka ini cuma mengambil kesempatan atas beberapa perbezaan pendapat dalam perkara furuk untuk memecah belahkan umat Islam," dakwa pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) Fathul Bari Mat Jahya (kanan).

Beliau bagaimanapun enggan menyebut secara khusus pihak yang didakwanya sebagai 'ustaz-ustaz simpanan' itu.

Malaysiakini difahamkan, dalam taklimat tertutup MKN di Putrajaya Isnin lalu, 40 ulama muda Umno antara pihak yang disebut bersama bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bagaimanapun, semalam, bekas mufti Perlis Dr Juanda Jaya semalam mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar".

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Fathul mengambil pendekatan sama dengan pihak lain yang dituduh dan mahu menyelesaikan kekusutan itu melalui pendekatan dialog.

"Kita sedia berdialog dengan siapa pun mereka supaya tidak timbul lagi kekeliruan," katanya yang lebih selesa majlis itu diadakan secara tertutup.

Graduan Universiti Madinah yang menyertai Umno setahun lalu itu juga berkata partinya tidak harus dipersalahkan kerana Umno tiada kena mengeja dengan penganjuran taklimat itu.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan semalam berkata beliau bersimpati dengan 40 ulama muda Umno yang terus dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan keganasan walaupun didakwa sudah berhempas pulas mempertahankan kerajaan.

Dakwanya, usaha itu tidak langsung dihargai dan kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata-rata.


http://malaysiakini.com/news/171281

Mahkamah Rayuan sahkan pembebasan KP Felcra

Jul 28, 11 5:05pm

Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Felcra, Datuk Mustapa Juman, daripada tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM40 juta.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan bahawa tiada sebab bagi panel itu untuk campur tangan dengan fakta dapatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan mengenai pembabitan Mustapa dalam pemindahan wang.

Oleh itu, Hakim Sulaiman yang bersidang berhubung rayuan itu dengan Hakim-Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohamed Apandi Ali menolak rayuan akhir yang dibawa pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Mustapa.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, bagi pihak pendakwaan dan peguam bela V Rajadevan dan Mohd Fozi Md Zain yang mewakili Mustapa.

Rajadevan memberitahu pemberita bahawa mahkamah sudah memutuskan bahawa tidak berlaku pecah amanah kerana arahan memindahkan wang bukan datang daripada responden (Mustapa).

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Mustapa, 64, kelihatan menangis dan memeluk peguamnya.

Pada 3 Disember, 1999, Mustapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang Felcra berjumlah RM40 juta di Pejabat FELCRA, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 6, 7 dan 9 Mei, 1997.

Pada 15 Mei, 2009, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 Mac 2006 yang melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171331

Umno masih harap dapat kerjasama dengan PAS

Umno masih harap dapat kerjasama dengan PAS
Jul 28, 11 10:52am

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata parti itu masih berharap PAS dapat bekerjasama dengan Umno bagi menyatu padukan umat Islam dan Melayu di negara ini terutamanya dengan ketibaan bulan Ramadan pada minggu hadapan.

NONE"Walaupun tangan yang dihulurkan oleh Umno tidak disambut sebelum ini tetapi Umno tidak pernah menutup pintu rundingan kepada PAS apatah lagi sempena bulan Ramadan," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Perdana Menjana Umatan Wahidah anjuran Umno Bahagian Kota Raja di Shah Aalam malam tadi.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata kesanggupan Umno untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah kerana Umno berada dalam keadaan terdesak tetapi untuk masa hadapan umat Islam terutamanya dalam soal sosio-ekonomi.

"Lagipun, sejak PAS menukar haluan perjuangannya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan, akan memudahkan lagi kerjasama kedua-dua parti memandangkan Umno telah lama mengamalkan konsep negara berkebajikan ini," katanya.

Ahmad berkata penduduk bukan Melayu tidak perlu bimbang jika orang Melayu dalam Umno dan PAS bersatu kerana orang Melayu akan kurang berpolitik dan lebih menumpukan perhatian untuk membangunkan tahap sosio ekonomi mereka.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171271

Nik Aziz nafi sokong biometrik SPR

Jul 27, 11 5:48pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan bahawa beliau menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk identiti pengenalan pengundi dalam pilihan raya umum.

NONE"Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat.

"Lebih baik (guna) dakwat kekal yang kita (pembangkang) minta (dulu) itu, supaya tidak ragu, selagi biometrik ini meragukan maka tak usah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kota Baharu hari ini.

Semalam sebuah akhbar menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik" dan memetik kenyataan Menteri Besar Kelantan itu selepas merasmikan pelan hala tuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di Kota Baharu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak sistem biometrik itu kerana berpendapat sistem itu terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

Ditanya sama ada di Kelantan terdapat pertindihan dalam senarai daftar pemilih, Nik Abdul Aziz berkata PAS pusat sedang membuat semakan senarai daftar pemilih di seluruh negara dan dijangka siap dua minggu lagi.

--Bernama


http://malaysiakini.com/news/171223

Katakan Tidak Pada Wahabi

(Artikel ini telah ditulis dua tahun yang lepas dan dicadangkan untuk pembacaan)

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti.

Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!.

Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh.

Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi?. Dia diam.

Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!.

Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.

Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir).

Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85),bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi’i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi.

Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi’i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya..perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut : Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!!

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi’i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-:“Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali).

Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai”(Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut : Dar al-Fikr).

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH.

Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi’i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi’i, terutamanya dalam fiqh muamalat.

Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi’i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi’i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua).

Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah.

Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya.

Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan.

Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya.

Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabahsepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”.(rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau.

Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din.

Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali.

Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal tahun 2004: “Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat.

Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri.

Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja.

Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan:“Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :D ar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya:

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339)

-Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah).

Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya.

Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !!

Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri.

Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’.

Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.

——————————————————————————–
Artikel ini asalnya diterbitkan oleh Majalah i, Karangkraf.


http://drmaza.com/home/?p=796

Isu Wahabi: Kusut pada metodologi, bukan pada hati

Shamsul Muda
Jul 28, 11
9:34am

Isu 'fahaman Wahabi mempunyai perkaitan dengan terorisme dan mengancam keselamatan negara', tercetus hasil peranan beberapa agamawan tertentu. Peranan yang mereka mainkan menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, akhirnya menerima fahaman Wahabi boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Inilah susur galur kemunculan isu ini.

Ringkasnya, ia muncul bukan disebabkan percaturan politik untuk kepentingan pihak tertentu. Ia juga tidak membabitkan mana-mana parti politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Salah seorang individu yang dilabel sebagai pengikut Wahabi, yang juga seorang ahli sebuah parti politik, turut menafikan penglibatan partinya itu dalam isu ini.

Hakikat ini perlu dimaklumi bagi sesiapa juga yang berusaha menangani isu ini atau cuba memahaminya.

Isu utama berhubung perkara ini ialah punca fahaman Wahabi didakwa berpotensi mendorong pengikutnya berfikiran radikal, dan seterusnya menjurus mereka ke arah terorisme. Punca ini perlu dikenal pasti kerana jika tidak, perbuatan melabel orang lain sebagai Wahabi, akan terus berlaku.

Puncanya bukan disebabkan kemahuan sesetengah pihak mencantas individu tertentu dari terus menganggotai parti politik tertentu. Ini kerana, tidak semua individu yang dilabel sebagai Wahabi, adalah ahli parti politik terbabit.

Mencantas

Malahan, ramai dari kalangan yang dilabel Wahabi, dilabel sedemikian sebelum mereka menganggotai parti politik lagi. Lebih dari itu, individu yang menjadi rakyat sebuah negara di utara tanah air, turut dilabel sebagai Wahabi.

Soal mencatas disebabkan perkiraan politik, jelasnya tidak timbul.

Ia bukan juga disebabkan niat jahat agamawan-agamawan 'tertentu' tadi untuk mengenakan fahaman Wahabi dan pengikutnya. Ini adalah berdasarkan pengamatan penulis terhadap tulisan-tulisan dan aktiviti agamawan-agamawan 'tertentu' tadi. Di samping persahabatan penulis dengan agamawan yang lantang 'berjihad' menentang Wahabi.

Punca isu ini-secara asasnya-ialah kepincangan metodologi yang digunakan agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam mengamati fahaman Wahabi.

Metododolgi yang pincang ini, menemukan mereka dengan satu rumusan yang tersasar, iaitu 'fahaman Wahabi boleh membawa pengamal dan pengikutnya ke arah pemikiran radikal, dan kemudian ke arah terorisme'.

Metodologi yang mereka gunakan ialah menjadikan 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi berhubung beberapa perkara', sebagai hujjah untuk mendakwa fahaman itu berpotensi membentuk pemikiran radikal, dan seterusnya terorisme.

Sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi itu ialah tindakan mereka menghukumkan beberapa pengamalan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, sebagai bid'ah, sesat dan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad.

Bid'ah

Sebagai contoh, amalan menyambut Maulud Nabi dan peristiwa Israk Mi'raj. Aliran Wahabi menghukumkannya sebagai bid'ah. Bid'ah pula adalah sesuatu yang sesat. Manakala setiap yang sesat, tempatnya di neraka.

Demikian juga amalan kenduri arwah dan tahlil. Juga dipandang bid'ah oleh aliran Wahabi.

Lebih daripada itu, mereka memutuskan, amalan bertawassul dengan orang yang telah mati, adalah perbuatan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad.

Masalah timbul apabila kesemua contoh pengamalan tadi (kecuali kenduri arwah) difatwakan harus oleh majoriti ulama sejak dahulu hingga sekarang. Ekoran itu, ia diamalkan oleh majoriti umat Islam, khususnya di Malaysia sejak zaman berzaman.

Satu lagi isu besar berkaitan Wahabi ialah penolakan mereka terhadap mazhab majoriti umat Islam, termasuk Malaysia dalam bidang akidah, iaitu mazhab Asya'irah. Sesetengah agamawan 'tertentu' tadi mendakwa, fahaman Wahabi menghukumkan mazhab Asya'irah ini sebagai sesat.

Pada titik ini, para agamawan 'tertentu' tadi akan membuat kesimpulan dan rumusan mereka sendiri. Rumusan mereka ialah 'fahaman Wahabi berpotensi membentuk pemikiran radikal dan seterusnya terorisme di kalangan pengikutnya'.

Asas kepada rumusan ini ialah pandangan aliran Wahabi-dalam konteks Malaysia- terhadap majoriti umat Islam di Malaysia. Iaitu mereka sesat, mengamalkan bid'ah dan kafir disebabkan mereka melakukan sambutan maulud Nabi, berpegang kepada akidah berasaskan mazhab Asya'irah dan bertawassul dengan orang yang telah mati.

Bertindak ganas

Sesuatu fahaman yang melihat umat Islam yang lain sebagai sesat, ahli bid'ah dan kafir, akan terdorong untuk bertindak ganas terhadap mereka yang dipandang sedemikian. Ia juga boleh mendorong pengikut fahaman sebegini, melakukan kekerasan dan keganasan bagi mencegah dan menghapuskan kesesatan, kekufuran dan bid'ah yang berlaku.

Demikianlah rumusan yang disimpulkan agamawan-agamawan 'tertentu' itu tadi.

'Sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' inilah yang dimaksudkan sesetengah agamawan 'tertentu' tadi, sebagai bukti-bukti yang menunjukkan fahaman Wahabi boleh membawa kepada pemikiran radikal dan terorisme.

Pada titik ini, tercetus satu persoalan asas dan utama berhubung isu ini. Apakah pewartaan beberapa amalan yang dilakukan majoriti umat Islam sebagai bid'ah, sesat atau syirik oleh fahaman Wahabi, boleh mendorong mereka bertindak ganas?

Jika jawapannya 'ya', maka kita akan berhadapan dengan masalah besar. Sebab dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW sendiri, banyak pengisytiharan berkenaan status banyak perkara sebagai sesat, kafir, jahiliyyah dan lain-lain.

Seperti contoh, al-Quran menyifatkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah selaku pencipta mereka, sebagai lebih sesat daripada binatang ternakan. Mereka juga disifatkan memiliki akidah yang najis. Manakala pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum Allah pula disifatkan sama ada zalim, fasik atau kafir.

Begitu juga dengan hadis-hadis Nabi. Ia melaknat peminum arak dan semua pihak yang terbabit dalam industri arak. Demikian juga pemberi dan penerima rasuah. Juga dilaknat oleh hadis Nabi. Hadis Nabi juga menghukumkan seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja, menjadi murtad seperti pandangan mazhab Hambali.

Zalim, fasik, sesat?

Apakah boleh disimpulkan bahawa al-Quran dan Sunnah mengandungi pemikiran yang boleh membawa kepada terorisme, disebabkan ketegasannya memutuskan perkara-perkara ini sebagai zalim, fasik, sesat, kafir atau laknat?

Tentu sekali tidak. Ini kerana al-Quran dan Sunnah juga, dalam masa yang sama, menjelaskan pendekatan yang wajib digunakan dalam menyebarkan ajarannya.

Ringkasnya, sikap keras dan tidak bertolak ansur aliran Wahabi seperti yang dinyatakan, tidak boleh dijadikan hujjah bahawa fahaman itu boleh membawa pengikutnya kepada terorisme.
Ini kepincangan pertama metodologi agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam menangani isu fahaman Wahabi ini.

Kepincangan kedua ialah mereka tidak melihat secara keseluruhan fahaman Wahabi. Mereka hanya melihat 'sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi berhubung beberapa perkara' yang dinyatakan, kemudian terus membuat rumusan bahawa aliran ini boleh membawa pengikutnya kepada pemikiran radikal dan terorisme.

Malangnya, mereka 'terlupa' untuk turut melihat pendekatan yang dipegang oleh fahaman Wahabi dalam menyebarkan fahaman mereka. Meskipun fahaman ini bersikap tegas secara berlebihan dan tidak bertolak ansur dalam soal-soal yang dinyatakan, namun pendekatan mereka tidak sedemikian.

Sesiapa juga-termasuk agamawan-agamawan 'tertentu' tadi-mengetahui bahawa fahaman Wahabi ialah satu “manhaj (metod) yang memfokuskan kepada aspek tasfiah dan tarbiah”.

Definisi tentang fahaman Wahabi ini bersumberkan kenyataan Syaikh Albani, tokoh Salafi besar di zaman moden, yang memfokuskan gerak kerja beliau kepada aspek tasfiah dan tarbiah.

Pembersihan akidah

Tasfiah bermaksud pembersihan. Yang dimaksudkan di sini ialah pembersihan akidah dari segala khurafat dan ibadat dari segala bid'ah. Manakala 'tarbiah' bermaksud pendidikan. Iaitu mendidik umat Islam dengan didikan al-Quran dan Sunnah.

Bertitik tolak dari sini, fahaman Wahabi menolak pendekatan jihad atau pendekatan politik dalam menyebarkan fahaman mereka tentang Islam. Syaikh Albani secara terang-terangan menggesa umat Islam menjauhi politik.

Sebab itulah, dalam persekitaran fahaman Wahabi, masyhur kata-kata yang berbunyi “sebahagian daripada politik itu, ialah meninggalkan politik”.

Penolakan mereka terhadap pendekatan politik juga disebabkan oleh konsep ketaatan kepada pemerintah yang agak berlebihan yang menjadi pegangan mereka. Mereka menyeru masyarakat mentaati pemerintah biarpun “pemerintah menyebat belakang mereka dan mengambil harta mereka”, selama mana pemerintah itu mengizinkan rakyat mendirikan solat.

Pemikiran dan sikap aliran Wahabi secara umum, boleh dilihat melalui slogan mereka yang berbunyi “La Nukran Wala Hajran Wala Khuruj” (Tiada pengingkaran, pemulauan dan pemberontakan).

Rentetan daripada konsep ketaatan yang berlebihan ini juga, mereka mengharamkan penubuhan parti-parti politik dalam Negara Islam. Demikian juga demonstrasi membantah atau menuntut sesuatu dari pihak pemerintah. Ia juga haram.

Menurut fahaman Wahabi, satu-satunya aktiviti politik yang boleh dipraktikkan oleh rakyat ialah menasihati pemimpin. Itupun secara tertutup dengan cara menarik tangan pemimpin ke tempat tertutup untuk memberi nasihat.

Inilah pemikiran aliran Wahabi berhubung pendekatan dakwah.

Andainya para agamawan 'tertentu' tadi mengambil kira pendekatan aliran Wahabi yang lunak ini, tentu rumusan dan kesimpulan mereka tentang aliran ini tidak seperti yang ada sekarang.

Jadi pengganas

Justeru, adalah sesuatu yang tidak terlintas di fikiran bahawa aliran ini boleh dilabel sebagai berpotensi menjadikan pengikutnya pengganas. Dalam masa sama, ia suatu yang agak melucukan.

Tepat sekali catatan dalam satu portal, bahawa gerombolan ulama muda yang berpegang kepada semua pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan tadi, langsung tidak berpotensi dan berbakat untuk menjadi pengganas!

Malangnya, agamawan-agamawan 'tertentu' tadi tidak mengambil kira pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan ini dalam menentukan sikap mereka terhadap aliran ini. Yang mereka lihat dan jadikan asas ialah 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' berhubung persoalan-persoalan yang dinyatakan sebelum ini, mengakibatkan rumusan mereka tentang Wahabi tersasar.

Ironinya, metodologi yang pincang akan menatijahkan rumusan dan dapatan yang 'tempang'.

Saya menyeru agar semua pihak berlaku adil terhadap kawan dan lawan, sesuai dengan semangat al-Quran yang menegah kita bersikap tidak adil disebabkan kebencian kita terhadap sesuatu pihak.

Adalah sesuatu yang sangat malang bagi umat Islam di Malaysia, jika kerana metodologi yang tempang ini, menyebabkan banyak pihak dilabel sebagai berpotensi menjadi pengganas.

Lebih malang lagi, jika disebabkan metodologi yang tempang ini, beberapa orang saudara seagama dari Tanah Arab dan Bumi Afrika, telah diusir keluar kerana menganut fahaman Wahabi yang dihukumkan sebagai boleh membawa kepada keganasan berdasarkan metodologi yang tempang tadi.

Kepada semua pihak, ikutilah metodologi yang betul dan bertaqwalah kepada Allah dalam membuat sesuatu keputusan.

Penulis adalah lepasan kuliah Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Mu'tah, Jordan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


http://malaysiakini.com/news/171265

Langgar peraturan SPRM: Laporan - 24 Ogos

Langgar peraturan SPRM: Laporan - 24 Ogos
Jul 28, 11 10:01am

Laporan mengenai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melanggar peraturan ketika menguruskan kes membabitkan pembantu politik Teoh Beng Hock akan dibentangkan di Mesyuarat Khas Jawatankuasa Aduan pada 24 Ogos depan.

SPRM dalam kenyataan media berkata laporan tersebut dikehendaki disiapkan dalam tempoh sebulan oleh pegawai-pegawai daripada Pasukan Siasatan Khas.

Menurut kenyataan tersebut pasukan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaffar telah mengadakan mesyuarat pertama pada 25 Julai lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian Teoh, memutuskan bahawa Teoh membunuh diri akibat mengalami rasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/171266

Kes 'Umno kafir': NSTP-Lim selesai 'luar mahkamah'

Kes 'Umno kafir': NSTP-Lim selesai 'luar mahkamah'
Hafiz Yatim
Jul 27, 11
12:12pm

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan New Straits Times Press (M) Bhd berhubung saman fitnahnya yang mendakwa akhbar itu salah memetiknya ketika pilihan raya kecil Galas yang lalu.

Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui tidak dinyatakan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam Lim, Sangeet Kaur setelah perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

NONE"Pihak-pihak berkenaan diminta hadir semula pada 17 Ogos bagi merakamkan kenyataan dan syarat-syarat yang dipersetujui,” kata hakim.

"Berikutan kenyataan yang dirakamkan itu nanti, saman berkenaan akan ditarik balik.”

NSTP diwakili oleh peguam Liew Teck Huat.

Lim pada November tahun lalu menfailkan saman fitnah terhadap NSTP kerana mendakwa ia menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyiarkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Menurutnya, artikel itu antara lain melaporkan bahawa beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir.

Katanya artikel itu membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim berkata penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

[Baca berita penuh]



http://malaysiakini.com/news/171170

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...