Friday, February 4, 2011

Hosni dikeji rakyat sendiri




APABILA disebut tentang Mesir, salah satu tamadun paling lama di dunia, umum mungkin akan mengenang monumen-monumen popular seperti piramid Giza dan Sphinx, universiti Islam paling lama dan terkenal, Universiti Al-Azhar, bandar bersejarah Memphis dan banyak lagi.

Mesir juga selama ini mempunyai nama baik sebagai sebuah negara yang aman dan stabil daripada semua aspek, termasuk politik. Tetapi siapa sangka, negara contoh seperti Mesir itu sebenarnya menyembunyikan imej sebenar apabila isi huninya tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara itu.

Ia kini mempunyai wajah yang berbeza. Imej Mesir sekarang bukan sahaja dicela dengan demonstrasi jalanan dan darurat, malah telah mengakibatkan pelbagai jenis perhubungan telekomunikasi tersekat serta pelbagai sumber mendedahkan bahawa ibu negara Mesir, Kaherah berada dalam keadaan membahayakan.

Kesemua hiruk-pikuk yang wujud ini bukanlah terhadap sesuatu organisasi, parti politik atau tanda protes terhadap sesuatu negara. Ia sebenanrnya merupakan serangan secara langsung oleh penduduk-penduduk Mesir yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden mereka, Hosni Mubarak.

Memegang tonggak kepimpinan nombor satu negara itu sejak 30 tahun yang lalu adalah satu tempoh yang sangat lama. Hosni, 82, terlalu kukuh atau berdegil dengan mengekalkan kuasa yang dipegang sejak tahun 1981 berikutan pembunuhan presiden sebelum itu, Anwar Sadat.

Anwar Sadat yang mati dibunuh dalam satu acara perbarisan tentera memperingati Israel Arab, telah diganti oleh Hosni yang ketika itu berkhidmat dalam Tentera Udara Mesir dan Naib Presiden pada tahun 1975 di bawah Anwar.


LEBIH 300,000 rakyat Mesir keluar dari rumah untuk mengadakan antara demonstrasi terbesar dalam sejarah negara itu.


Produk tentera udara

Hosni dilahirkan pada 4 Mei 1928 di Kafr-El-Meselha selepas tamat sekolah tinggi dan menyertai Akademi Militer Mesir, di mana beliau menerima Darjah Sarjana Muda dalam Sains Ketenteraan pada 1949.

Pada tahun berikutnya, Hosni menyertai Akademi Tentera Udara Mesir dan akhirnya mendapat Sarjana Muda Sains Penerbangan dan di tugaskan dalam skuadron pengebom.

Selepas itu, Hosni diterima masuk ke sekolah latihan juruterbang Kean, Moscow dan sebaik menyempurnakan latihannya itu, Hosni menjadi pegawai Tentera Udara Mesir dan diberi mandat berkhidmat sebagai juruterbang dan naik pangkat menjadi panglima markas. Kerjaya tentera udara beliau sampai kemuncaknya pada 1972 apabila menjadi Komander Tentera Udara.

Beliau kemudian mengahwini wanita kacukan berdarah Barat, Suzanne dan mempunyai dua orang anak lelaki, Alaa dan Gamal Hosni Mubarak. Media melaporkan Alaa dan Gamal dipercayai sejak sekian lama dipersiapkan sebagai pengganti Hosni kelak.

Hosni mempunyai personaliti tersendiri apabila sering diibaratkan sebagai pemimpin Arab yang berkawan rapat dengan kuasa besar Barat, Washington selama berdekad-dekad tahun.

Ekoran keakraban itu, beliau juga pernah beberapa kali menjadi sasaran pembunuhan kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Namun, selepas 30 tahun memegang tampuk kuasa Mesir, 25 Januari lalu menjadi tarikh keramat rakyat Mesir bangun menentang Hosni.

Bermula dengan puluhan ribu, demonstrasi di seluruh negara dengan pusat utamanya terletak di Dataran Tahriri bertukar ngeri apabila limpahan penunjuk perasaan melonjakkan sehingga angka lebih 300,000.

Ia dikatakan bakal bertambah satu juta orang sebagaimana yang diumumkan sejak awal. Yang pasti, demonstrasi itu kini bertukar rusuhan berdarah apabila pertembungan berlaku antara penyokong Hosni dan anti-Hosni.

Pada hari kelapan dilaporkan seramai 300 nyawa terkorban manakala 3,000 lain tercedera.

“Perubahan kuasa akan dilakukan secara aman.” Demikian kenyataan Hosni merujuk kepada hari-hari awal demonstrasi yang sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.


HOSNI tetap berdegil untuk meneruskan karier politiknya sehingga pilihan raya pada bulan September 2011, walaupun diminta meninggalkan jawatan itu segera oleh rakyat dan sekutunya sendiri, Amerika Syarikat.


Berita-berita melaporkan ketegangan yang berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah telah berkembang ke beberapa tempat di luar Kaherah dan ia semakin membahayakan orang awam termasuk lebih 14,000 warga Malaysia yang berada di sana.

Walaupun sebelum ini Hosni yang pernah dirujuk sebagai firaun moden Mesir, berjaya menyelamatkan diri daripada enam percubaan bunuh, namun, kebangkitan rakyat mungkin akan menjatuhkannya.

Kebangkitan rakyat bukan sekadar melampaui sejarah silam terhadap ketidakpuasan yang ditunjukkan terhadap Hosni selama ini malah, menyebabkan dua sekutu kuatnya juga membuat langkah menjauhkan diri daripadanya.

Pada 31 Januari, tenteranya mengumumkan tidak akan mencederakan peserta demonstrasi aman dan pada 1 Februari, Presiden Amerika, Barrack Obama menghantar maklumat melalui dutanya meminta Hosni supaya tidak menunggu pilihan raya.

Bagaimanapun Hosni tetap nekad dengan keputusannya untuk menamatkan penggal pemerintahan sehingga September ini.

“Saya akan berkhidmat ke arah bulan-bulan terakhir ini untuk membolehkan peralihan kuasa secara aman (dapat diadakan).

“Ini tanah air saya... saya tinggal di sini, saya berjuang bagi negara ini dan saya mempertahankan negara ini, kedaulatan dan kepentingan negara ini.

“Di bumi ini, saya akan mati. Sejarah akan menilai saya dan kita semua,” ungkap Hosni.

Rapat dengan Israel

Hosni, presiden paling lama di Mesir sejak sistem beraja digulingkan pada tahun 1950-an.

Dia juga satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan kedamaian dengan Israel dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dilihat pernah bertindak menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan parti pembangkang serta mengatur pilihan raya.

Di sebalik ketidakhirauan orang awam, kemarahan terhadap pemimpin ini terus berkembang selari dengan keadaan ekonomi yang semakin lumpuh.

Penunjuk perasaan menggunakan kemudahan Internet secara optimum untuk menjalan dan merancang demonstrasi. Mereka juga mendapat motivasi daripada pergerakan yang dilakukan di Tunisia, yang dilakukan sebulan sebelum berjaya mengguling tampuk pemerintahan 23 tahun pemerintah autokratik, Zine El-Abidine Ben Ali.


SALAH guna kuasa, korupsi dan penindasan hak asasi menjadikan orang awam Mesir bangkit secara besar-besaran.


Bangga dengan revolusi Mesir

Dalam pada itu Kosmo! yang sempat menemu bual wartawan akhbar Al-Ahram Weekly, Rasha Sadek melalui laman sesawang sosial diberitahu, keadaan penduduk di sana masih dalam stabil dan mereka baru memperoleh sambungan rangkaian Internet.

“Beberapa hari yang lalu banyak pertubuhan politik dan awam yang memberikan pelbagai berita untuk kami terus aktif melapor keadaan huru-hara, rompakan, gangsterisme dan kecurian yang menjadi isu sebenar bagi orang awam di rumah. Kami membentuk satu jawatankuasa awam untuk melindungi rumah, aset dan harta benda.

“Ia satu pengalaman yang baik. Saya bangga dengannya, Saya berpendapat apa yang berlaku di Mesir sebagai satu revolusi yang paling pantas dan berjaya untuk dinikmati. Ia mengambil masa 29 hari bagi Tunisia tetapi, hanya seminggu untuk kami bersatu dan berdemonstrasi secara besar-besaran.”

“Media memberikan fokus terhadap apa yang berlaku. Bebas dan adil. Tetapi ia tidak akan berakhir. Apabila berlaku pembentukan kuasa, kita akan menghadapi lebih banyak peraturan,” jelas Rasha ketika dihubungi Kosmo! menerusi laman Facebook yang baru dibuka semula pada Rabu, lalu.

Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Pengajian Strategik, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rashila Ramli, yang dihubungi Kosmo! berkata, secara umumnya pemerintahan yang mengambil tempoh masa yang lama, semestinya memberikan satu persepsi yang tidak menyenangkan rakyat.

“Ini kerana, pemerintahan yang lama akan ada elemen-elemen kekurangan praktis demokrasi. Mengikut penyelidikan, penggal sesuatu pemerintahan adalah selama enam tahun atau lapan tahun bagi dua penggal. Ada sebab mengapa ia dihadkan sebegitu. Ini kerana lebih lama seseorang memerintah, unsur pemerintahan yang tidak baik boleh wujud dan kepekaan kepada kehendak rakyat mungkin pudar,” ulas beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Dibelasah penduduk


BESUT- Hasrat dua lelaki dipercayai cuba mencuri kabel telefon di Kampung Lampu dekat Kuala Besut di sini, kelmarin tidak kesampaian apabila aktiviti jahat mereka dilihat orang ramai dan akhirnya mereka berjaya ditangkap sebelum dibelasah.

Dua suspek berusia 20-an dikatakan dari Gunung, Bachok, Kelantan sebelum itu melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak apabila kegiatan mereka yang dilakukan kira-kira jam 7 malam itu dilihat orang ramai yang lalu lalang di jalan utama menghubungkan Kuala Besut–Seberang Jertih itu.

Dikatakan, salah seorang suspek memanjat pokok berhampiran kabel untuk memotong kabel dengan pemotong manakala rakannya menunggu di bawah.

Sebaik menyedari orang ramai mengetahui kegiatan mereka, suspek lari menyembunyikan diri tetapi berjaya ditemui penduduk kampung dua jam kemudian.

Orang pertama yang berjaya menemui suspek sedang bersembunyi yang hanya mahu dikenal sebagai Zani, 24, berkata, selepas terserempak dengan orang ramai yang kemudiannya memaklumkan kepada polis, suspek dilihat berlari ke arah semak kira-kira 150 meter dari Pasar Borong Kuala Besut di sini.

Menurutnya, dua lelaki itu terpaksa berjalan kaki dipercayai selepas rakan mereka yang menunggang motosikal telah lari meninggalkan mereka apabila menyedari kehadiran penduduk dan polis.

“Saya bersama isteri menaiki sebuah motosikal mencari di kawasan belukar berkenaan di tepi anak sungai kerana mengesyaki suspek bersembunyi di situ setelah ada saksi yang melihat mereka berlari ke arah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zani berkata, beberapa minit selepas menggeledah semak tersebut, lampu suluhnya tersuluh kepala suspek yang sedang bersembunyi dengan keadaan berbaring di dalam semak.

Menurutnya, dia kemudian bertindak menyuluh ke arah lain sambil berkata dengan suara yang kuat bahawa suspek tidak ada di situ sebagai muslihat supaya suspek menyangka mereka belum dilihat.

“Saya berbisik kepada isteri yang berada berhampiran motosikal agar dia pergi memberitahu penduduk kampung mengenai penemuan suspek yang sedang bersembunyi di situ,” katanya.

Katanya, sepantas kilat kemudian ratusan penduduk kampung menyerbu semak itu dan melepaskan geram mereka dengan membelasah salah seorang daripada suspek sebelum menemui seorang lagi rakannya yang bersembunyi satu meter dari situ dan menerima nasib sama.

“Penduduk tidak dapat mengawal perasaan mereka memandangkan di kawasan itu terlalu kerap kabel telefon dicuri dan kejadian kecurian kabel selama ini amat menyusahkan orang ramai.

“Kehadiran polis di tempat kejadian berjaya menyekat kemarahan orang ramai dan suspek kemudian di bawa ke Balai Polis Kuala Besut,” katanya.

Katanya, salah seorang daripada dua suspek itu merayu agar orang ramai tidak memukulnya dengan alasan kononnya pada hari itu kali pertama dia terlibat melakukan jenayah itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan keja-dian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8711982.asp

Selangor bantu mangsa banjir


MERCHANG - Nasib 24 mangsa banjir di kawasan Merchang yang didakwa tercicir daripada menerima bantuan Kerajaan Negeri terbela apabila Kerajaan Selangor dan Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) tampil memberi sumbangan.

Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan tabung Pantas kepada mangsa banjir di sini berkata, bantuan itu adalah satu perkongsian Kerajaan Selangor untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Ia bukannya untuk memancing undi kerana jika kita berhajat ke arah itu, kita akan membuat perkara lain. Kita memilih tempat bagi mencari mereka yang tidak mendapat bantuan sewajarnya sebagai satu perkongsian daripada Kerajaan Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai pentadbiran Selangor, Rodziah berkata, walaupun PR baru sahaja memerintah negeri itu, rakyat Selangor telah menikmati kemudahan air percuma yang tidak pernah terdetik di hati pemimpin UMNO Selangor sebelum ini untuk melaksanakannya demi rakyat.

“Terengganu lebih baik berbanding Selangor, Selangor hanya ada pasir dan tanah tetapi apa yang dapat kita buat adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 50 penduduk di sekitar Parlimen Kuala Nerus juga turut menerima bantuan sama. Tabung itu seterusnya akan ke Kelantan dan Johor sebelum berakhir di Pahang.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712238.asp

“Saya tidak pernah dera mereka”


KUALA TERENGGANU – Penderaan didakwa empat beradik di daerah Setiu dilakukan bapa mereka sendiri yang mendapat liputan meluas akhbar harian mendorong bapa kepada kanak-kanak malang itu tampil membuat pengakuan kepada Sinar Harian setelah dibebaskan pihak berkuasa tanpa sebarang jaminan.

Bapanya yang dikenal sebagai Pak Nik berkata, dia cukup kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya menuduh mendera keempat-empat anaknya.

“Saya terkejut apabila tiba di balai polis Setiu, ditangkap atas tuduhan mendera anak saya, kerana semua itu adalah tidak benar seperti apa yang dilaporkan oleh anak saya, Tengku Khatijah, 14.

“Saya tidak pernah mendera mereka kerana dalam soal mendidik anak, tiada istilah dera tetapi hanya untuk kebaikan mereka pada masa akan datang supaya menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat,” katanya sambil berlinangan air mata mengenangkan nasib yang menimpanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa dibenarkan merotan atau memukul anak mereka bagi tujuan mendidik, tiada ibu bapa yang sanggup merotan atau memukul anak-anak sehingga sampai ke tahap mendera.

“Budak-budak bukan dia tahu apa pun, orang cakap kena pukul, dera, dia iyakan saja sedangkan pukul untuk mendidik itu adalah berbeza maksudnya malah saya yakin, semua ibu bapa faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khatijah mengenai cucuh api rokok, Ayah Nik berkata, luka akibat api rokok seperti yang didakwa anaknya itu benar, tetapi ketika kejadian itu berlaku dalam keadaan tidak sengaja.

“Pada hari itu, ada kawan saya datang rumah dan sedang leka berbual sambil menghisap rokok, secara tidak sengaja api rokok terkena tangannya kerana ketika itu dia berada di belakang saya.

“Saya tidak membawa dia ke klinik kerana tidak mempunyai duit untuk mendapatkan rawatan malah hanya membiarkan lukanya sembuh sendiri tetapi ada juga menggunakan ubat tradisional,” katanya.


Pernah bagi anak kepada keluarga angkat


Akibat kemiskinan, Pak Nik pernah menyerahkan empat anaknya kepada keluarga angkat tetapi tidak bertahan lama kerana keluarga angkat tidak tahan dengan kerenah mereka.

“Pernah beberapa kali keluarga angkat mengambil anak saya untuk dijaga kerana saya hidup miskin, tetapi hanya bertahan dua minggu kerana kenakalan anak-anak yang menyebabkan keluarga itu tidak sanggup menjaga mereka,” katanya.

Orang kampung pernah menuduh saya tidak pandai mendidik anak tetapi pada hakikatnya pelbagai cara dilakukan untuk memastikan mereka menjadi seorang anak yang baik.

“Hanya keluarga angkat yang pernah menjaga mereka sahaja memahami keadaan saya yang terpaksa menahan sabar menghadapi kerenah mereka berempat,” katanya.


Miskin punca anak melarikan diri


Dia merasakan masalah kemiskinan adalah punca berlakunya pergolakan itu sehingga menyebabkan anaknya lari dari rumah dan menuduh dia mendera mereka.

“Saya tinggal di pondok usang yang tidak berdinding dan hanya melakukan kerja menanam pokok buah-buahan seperti pisang, betik dan sebagainya untuk menyara keluarga.

“Bantuan daripada mana-mana pihak tidak pernah dapat sedangkan ada beberapa jabatan pernah datang untuk mengambil gambar keadaan rumah saya tetapi tiada sebarang tindakan susulan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di kafe Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu semalam.

Pengakuan itu dibuat apabila tersebarnya kisah empat beradik Tengku Khatijah, 14, Tengku Siti Noras’syakirren, 10, Tengku Mohd Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy’adah, 8 yang mendakwa didera bapanya di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712183.asp

Pelajar Malaysia Diacu Pistol Ke Kepala Ketika Rusuhan Di Mesir

Jumaat Februari 4, 2011

SEPANG: Bagi seorang pelajar tahun pertama jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, pengalaman diacukan pistol ke kepala ketika berada di Mesir bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.

Siti Nabilah Mohd Azaman, 20, berkata kejadian menakutkan itu berlaku ketika beliau dan empat rakan keluar ke kedai berhampiran untuk menambah nilai prabayar telefon bimbitnya bagi menghubungi keluarga di tanah air.

"Sedang berjalan kaki menuju ke kedai, kami terkejut apabila seorang warga tempatan yang tidak dikenali mengacukan pistol ke kepala kami, dan menyuruh kami pulang ke rumah.

"Tanpa melengahkan masa kami yang ketakutan terus berlari pulang," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, Jumaat.

Ibunya, Zamilah Nawi berkata beliau yang telah dua hari tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatan anak gadisnya itu bersyukur Siti Nabilah selamat pulang ke tanah air.

Muhammad Amiri Ab Ghani, 36, berkata beliau dan 150 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah terpaksa membuat demonstrasi membantah tindakan syarikat penerbangan EgyptAir yang sering membatalkan penerbangan pada saat-saat terakhir.

Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu berkata beliau tiba di Mesir pada 26 Jan untuk mengunjungi Pameran Buku Antarabangsa di sana bagi membeli buku-buku keperluan kolej.

"Kami terkandas di lapangan terbang selama dua hari akibat penerbangan dibatalkan tetapi selepas berdemonstrasi, barulah EgyptAir memasukkan kami secara berasingan dalam beberapa penerbangan ke Jeddah," katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Mohd Faiz Abbas, 22, berkata beliau pada mulanya tidak menyedari rusuhan di negara itu serius pada hari pertama insiden meletus.

Katanya beliau dan rakan-rakan hanya menyedari keadaan adalah buruk apabila keluar dari rumah pada hari kedua rusuhan dan melihat beberapa trak polis dan balai polis terbakar.

"Alhamdulillah pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu dalam menjaga keselamatan kami sepanjang tempoh rusuhan," katanya menuntut dengan pembiayaan Mara.

Ahli perniagaan, Shakeela Khanam, 42, yang turut terkandas di Mesir selama tiga hari berkata beliau bersimpati melihat rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di sana akibat pembatalan penerbangan.

"Mereka terpaksa tidur di atas lantai, kadang-kadang tidak beralas, ada yang tidak mempunyai wang lagi setelah membeli tiket, dan banyak lagi situasi di sana jadi kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengeluarkan mereka dari sana," katanya.

Difahamkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia pelbagai golongan termasuk pelajar tiba di KLIA hari ini atas perbelanjaan sendiri melalui pelbagai penerbangan termasuk EgyptAir, Etihad Airways, Gulf Air dan Saudi Arabian Airlines.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/2/4/mstar_berita/20110204171649&sec=mstar_berita

Ular albino berkepala dua



ULAR albino berkepala dua milik Tom Beser.


STOCKHOLM - Seekor ular albino berkepala dua menjadi tumpuan dalam satu pertunjukan haiwan di Bazel, Switzerland baru-baru ini.

Pemilik haiwan itu, Tom Beser berkata, ular peliharaannya itu merupakan yang pertama di dunia memiliki dua kepala tetapi berwarna putih.

Menurutnya, ularnya itu yang diberi nama Mince bernilai lebih daripada AS$64,115 (RM195,037).

Dia berkata, sebelum ini terdapat seorang pengumpul haiwan yang mahu menjual seekor ular berkepala dua yang bukan albino pada harga tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Pisau tertusuk di bawah mata



GAMBAR X-ray menunjukkan sebilah
pisau yang tertusuk di bawah mata Ren Hanzhi.


BEIJING - Seorang budak lelaki di China, Ren Hanzhi bernasib baik apabila beberapa doktor berjaya menarik keluar pisau yang tertusuk di bawah matanya dalam satu pembedahan, lapor sebuah akhbar semalam.

Pisau itu tertusuk di bawah mata Hanzhi semasa dia mengupas sebiji buah epal di Zhumadian, tengah China di wilayah Henan, China baru-baru ini.

Selepas ditusuk, darah mengalir menyebabkan dia dihantar ke sebuah hospital sebelum dipindahkan ke sebuah lagi hospital.

Ketua doktor bedah, Peng Liwei kemudian berjaya menarik semula pisau sepanjang 20 sentimeter itu.

Budak berusia 13 tahun itu kini dilaporkan sedang menjalani pemulihan selepas dia dibedah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Hemisfera Utara diliputi salji


BEBERAPA buah kereta diliputi salji di Chicago kelmarin.


WASHINGTON - Imej yang disiarkan Persatuan Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menunjukkan Hemisfera Utara termasuk Amerika Utara diliputi salji sejak 29 Januari lalu, lapor akhbarDaily Mail semalam.

Dalam imej itu, salji menyelubungi sejumlah besar kawasan dari pantai barat Kanada hingga ke timur China.

Imej itu disiarkan ketika bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore mempertahankan dakwaan bahawa salji tebal yang melanda AS disebabkan oleh pemanasan global.

Al-Gore dalam blognya, Al's Journal pada Selasa lalu menyatakan bahawa pemanasan global bukan sahaja penyebab kemarau tetapi juga ia boleh mencetuskan ribut salji.

Sementara itu, salji masih melanda di 30 buah negeri di AS kelmarin dengan ketebalan salji kurang 60 sentimeter di kawasan pertengahan barat AS.

Puluhan juta orang terpaksa berkurung di dalam rumah manakala di Chicago, salji setebal 51 sentimeter mencipta rekod sebagai yang ketiga paling tebal dalam sejarah.

Di Taman Central New York, kawasan-kawasan lorong kecil umpama gelanggang luncur akibat cuaca terlalu sejuk. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Enam maut dalam rusuhan di Kaherah


SEORANG penunjuk perasaan anti-Presiden Hosni Mubarak yang berdarah diheret di Tahrir Square, Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Enam orang maut dan hampir 1,000 lagi cedera dalam rusuhan di antara kumpulan penentang dan penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Tahrir Square, Kaherah semalam.

Hari berdarah itu berlaku pada perhimpunan penyokong penentang Hosni yang memasuki hari kesepuluh semalam bagi menuntut peletakan jawatannya.

Sejumlah besar penunjuk perasaan mahu Hosni yang telah memerintah selama 30 tahun meletakkan jawatan kerana kegagalannya mentadbir dengan cekap sehingga mengakibatkan kadar pengangguran tinggi dan ekonomi tidak berkembang selain masalah korupsi dan kebebasan bersuara.

Bunyi mesingan kedengaran lebih sejam di Tahrir Suqare manakala kebakaran berlaku di beberapa buah bangunan dekat kawasan tersebut.

"Apa yang berlaku akan menjadikan kami lebih berazam untuk menyingkirkan Presiden," kata sebuah pergerakan penunjuk perasaan itu yang dikenali sebagai Kefaya.

Dalam kejadian semalam, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang sedang bertempur.

Menurut seorang doktor, Mohammed Ismail, empat daripada enam orang yang terbunuh itu terkena tembakan di kepala.

Menurut seorang lagi kakitangan perubatan, Dr. Amr Bahaa, sejumlah besar penunjuk perasaan datang ke klinik sementara di Abdulmenem Riad Square dekat dengan Tharir Square untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan.

Beliau berkata, kebanyakan penunjuk perasaan yang cedera terkena tembakan.

Lelaki-lelaki bersenjata itu muncul selepas para penyokong Presiden Mesir menyerbu Kaherah kelmarin sekali gus mencetuskan pertempuran dengan kumpulan penentang Presiden.

Kedua-dua belah pihak menggunakan batu dan bom petrol semasa melakukan serangan yang bermula pada malam kelmarin sehingga awal pagi semalam.

Seorang budak berusia 11 tahun yang cedera, dalam pertempuran tersebut, Mohammed Ghozlan diminta jangan menangis oleh bapanya, Khaled.

"Jangan menangis, jangan menangis, kamu adalah hero," kata Khaled kepada anaknya itu.

Para penunjuk perasaan telah membuat sekatan di jalan raya menuju ke Tahrir Square dengan menggunakan besi dan sampah.

Menurut seorang koresponden agensi berita AFP, seorang daripada setiap 10 orang mengalami kecederaan pada penglihatan.

Sejumlah sukarelawan mengedarkan makanan dan pakaian kepada sejumlah penunjuk perasaan.

Sepanjang pertempuran itu, anggota-anggota tentera tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan kedua-dua kumpulan tersebut.

Tunjuk perasaan bagi menuntut peletakan jawatan Hosni itu dibuat selepas rakyat di negara itu mendapat ilham daripada kebangkitan penduduk di Tunisia yang berhimpun bagi mendesak Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan pada bulan lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

White House cabar Hosni



HOSNI MUBARAK


WASHINGTON - White House yang merupakan pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mencabar Presiden Mesir supaya menunjukkan sifatnya yang sebenarnya dengan melakukan perubahan ke arah demokrasi dalam tempoh yang singkat.

Jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, peralihan kuasa yang dimaksudkan itu perlu bermula dari sekarang.

Bagaimanapun, AS tidak meminta secara langsung supaya Hosni Mubarak berundur.

"Jika keganasan itu dimulakan oleh pemerintah, ia sepatutnya dihentikan dengan segera," katanya yang merupakan setiausaha akhbar White House.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menghubungi Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman kelmarin untuk meminta siasatan dilakukan berhubung kejadian tersebut.

Beliau menganggap keganasan itu sebagai satu perkembangan yang mengejutkan selepas beberapa hari tunjuk perasaan berlangsung dalam situasi aman.

Jabatan Negara AS turut meminta semua rakyatnya yang mahu meninggalkan Mesir supaya pergi ke lapangan terbang negara tersebut dengan segera. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

PM Mesir minta maaf


BEBERAPA buah kereta kebal diletakkan di depan kumpulan anti-Presiden Hosni Mubarak di Tahrir Square, Kaherah semalam.


KAHERAH - Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq meminta maaf ekoran serangan yang dilakukan oleh para penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak ke atas kumpulan penentang Hosni di Tahrir Square semalam.

Para penunjuk perasaan anti-Hosni mendakwa sekumpulan samseng dan anggota polis berpakaian awam diupah oleh pemerintah Mesir untuk bertempur dengan kumpulan penentang Presiden Mesir.

Dalam pertempuran itu, kayu, batu dan bom petrol digunakan untuk mematahkan kemaraan kumpulan penunjuk perasaan penentang Hosni.

Menyentuh insiden itu, Ahmed Shafiq berkata, serangan itu merupakan satu kesilapan besar dan beliau berjanji akan melakukan siasatan bagi membolehkan setiap orang mengetahui siapa yang menjadi dalangnya.

Dalam pertempuran yang bermula malam kelmarin dan awal pagi semalam, sejumlah besar penyokong dan penentang Hosni bergaduh dalam peristiwa yang dianggap paling berdarah dalam sejarah tunjuk perasaan di Tahrir Square.

Tunjuk perasaan itu bermula sepuluh hari lalu oleh penyokong antipemerintahan yang mendesak Hosni meletakkan jawatan selepas memerintah selama 30 tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Peserta himpunan disembur, ditangkap

Rusly Yasmin

KUALA LUMPUR, 4 Feb: Satu memorandum hari ini diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat melalui satu himpunan membantah sokongan negara itu terhadap pemerintahan Hosni Mubarak yang ditolak rakyat

Penyerahan memorandum tersebut disertai wakil-wakil parti politik dari Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan NGO.

Mereka termasuk Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin, Presiden PSM Dr. Nasir Hashim dan Penyelaras PSM, S. Aruchelvan dan lain-lain.

Dianggarkan hampir 10 ribu menyertai himpunan kali ini selepas kali pertama himpunan sama dibuat Isnin lalu di hadapan Kedutaan Mesir bagi mengutuk kekejaman kerajaan negara itu dibawah Presidenya, Hosni Mubarak.

Beberapa wakil pemimpin yang hadir turut menyampaikan ucapan ringkas, dan kesemuanya antara lain turut mengingatkan kerajaan Malaysia agar mengambil iktibar dari apa yang ditunjukkan rakyat Tunisia dan Mesir.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Saleh antaranya berkata himpunan hari ini adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan mana-mana kerajaan terhadap rakyatnya.

"Kita benci kepada mana-mana kerajaan yang melakukan kezaliman... Kita mahu kerajaan merealisasikan kehendak rakyat skiranya tak ingin jadi seperti kerajaan Tunisia dan Mesir,"katanya.

Mohamad Sabu pula dalam ucapannya turut memberi amaran bahawa rakyat Malaysia juga akan bangkit jika dizalimi sedemikian rupa.

Selain mereka, turut serta menyokong memorandum bantahan itu Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Citizens International, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Himpunan itu bagaimanapun dicemari dengan insiden tangkapan dan semburan watercanon oleh pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan FRU.

Beberapa petugas Unit Amal PAS dan orang ramai ditangkap di hadapan Masjid Tabung Haji ketika pihak polis cuba menyuraikan himpunan tersebut selepas selesai menyerahkan memorandum.

Polis didakwa menggunakan kekerasan dengan memukul, menyepak dan memaki peserta himpunan dan difahamkan tujuh ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Terdahulu, lebih 7000 rakyat berarak dari Masjid As-Syakirin KLCC ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Himpunan memulakan diketuai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor.

Biarpun pihak polis menghalang laluan menuju ke bangunan kedutaan tersebut, peserta himpunan bagaimanapun berjaya melepasinya.

Himpunan yang menggabungkan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini dinamakan Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir.

Mereka membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat iaitu menggesa ejen negara itu berundur dari Mesir, tidak campur tangan dalam urusan rakyat Mesir memilih pemimpin mereka serta mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak agar meletakkan jawatan.

Kesemua mereka berarak selepas selesai solat Jumaat sebentar tadi di Masjid As-Syakirin KLCC.

Sekurang-kurangnya 50 NGO turut sama dalam himpunan tersebut.

























http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30697:peserta-himpunan-disembur-ditangkap&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Ribuan berdemonstrasi kecam Mubarak, 8 ditangkap

Ribuan berdemonstrasi kecam Mubarak, 8 ditangkap
Feb 4, 11 3:59pm

Lapan orang dikatakan ditangkap selepas ribuan orang berkumpul hari ini di Kuala Lumpur, memprotes tindakan ganas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi pro-demokrasi di Mesir.

Wajuk-wakil kumpulan tersebut meminta peguam datang ke balai polis Dang Wangi, untuk membantu pembebasan mereka.anti mubarak protest klcc mosque 040211 crowdshot

Laporan tidak jelas, tetapi Malaysiakini difahamkan Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Shakireen Masjid di taman KLCC dan masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, para jemaah berarak membawa kain rentang yang mengecam Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Dengan memanggilnya "Yasqut Mubarak" (Mubarak turun!) Dan "Yahya al-Sha`ab! "(hidup rakyat!), kedua-dua kumpulan tersebut berarak menuju ke Jalan Tun Razak.

Mereka menuju ke arah Kedutaan Amerika beberapa ratus meter dari masjid Tabung Haji di mana mereka berusaha untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai kedutaan tersebut.

Menurut satu laporan, ketua polis Dang Wangi, ACP Mohd Zulkarnian Abdul Rahman berkata, kelapan-lapan mereka ditahan selepas gagal bersurai apabila diarahkan berbuat demikian.

Ada yang ditahan di dalam kompleks Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tiga orang ditahan sewaktu mereka berarak dari Masjid Syakireen menuju ke kedutaan Amerika

Antara mereka yang berarak ke kedutaan Amerika ialah exco Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor, yang menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika yang menyokong kerajaan Mubarak.

Pemimpin lainnya termasuk ahli parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub; ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu dan ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/155226

US planning post-Mubarak govt as 'D-Day' arrives

Agencies

NEW YORK, Feb 4: As the 'Day of Departure' called by protesters as the deadline for president Hosni Mubarak to resign arrives today, there have been reports that Mubarak's strongest ally Washington is working to put together a new government to ensure US influence remained even after Mubarak was gone.

The New York Times reported on Thursday that president Barrack Obama's administration has offered the proposal for the 82-year-old Mubarak to step down in order to pave the way for formation of a transitional government headed by Mubarak's hurriedly appoined vice president Omar Suleiman, with the support of the Egyptian army.

The report claimed the transitional government will have the backing of Egypt's armed forces chief of staff Sami Enan and Defense Minister Mohamed Hussein Tantawi. The Egyptian army is the main recipient of Washington's aid to the North African country, as part of US efforts to contain Egypt from any future plans against neighbouring Israeli regime.

If the report is true, the latest development comes as the US Senate approved a non-binding measure urging Mubarak to immediately set up a caretaker government.

According to the report, the proposal echoes same calls on Mubarak and urges him to invite members from a variety of opposition groups, including the banned Muslim Brotherhood who Mubarak accused of sparking the protests, to commence a process of constitutional reform in an effort to lay the groundwork for holding a free and fair election in September.

Meanwhile, the Egyptian vice president said on Thursday that the government has started dialog with the opposition parties and representatives of protesters, a claim denied by the opposition.

Today millions of Egyptian protesters are gearing up for the “Day of Departure” for Mubarak, with plans for major rallies after the Muslim Friday prayers. Millions of others outside Egypt, including in Kuala Lumpur, are also expected to hold rallies at Egyptian embassies worldwide expressing support for the protesters in Tahris square and other cities in Egypt.

Washington has given Cairo an average of $2 billion annually since 1979, making Egypt the second largest recipient of US aid after Israel. The Obama administration has asked the Congress to approve similar sums for the 2011 fiscal year.

'Not Egyptian culture'

Meanwhile, Mubarak's vice-president Suleiman said the anti-government protesters were not "part of the Egyptian culture", saying "we all respect Mubarak as father and leader".

Suleiman said the violence in Cairo could have been the result of a "conspiracy".

"We will look into [the violence], into the fact it was a conspiracy," he said.

At least 13 people have been killed in clashes in Tahrir (Liberation) Square, central Cairo, as violence continues between a small group of pro-government groups comprised of mainly plainclothes policemen, and pro-democracy protesters.

Suleiman called on the protesters to end their 10-day demonstration, saying the government had now met their demands for reform, adding that the call for Mubarak to step down would be a "call for chaos".

"End your sit-in. Your demands have been answered," said Omar Suleiman.

He said constitutional change would take at least 70 days, and that a parliament was needed in order to look at it.

"The January 25 movement wanted to dissolve the parliament but we can't do that if we are going to amend the constitution," he said.

"We have to look into the future of Egypt, who will run this country, who will lead Egypt in the next six years, who will represent the country?"

But a pro-democracy activist dismissed Suleiman's speech, saying it was all a "ridiculous lie".

"From the beginning we were saying we want the whole regime to be out," she told Al Jazeera.

"There are thugs and bullies preventing us from getting medical and food supplies. It's outrageous. We are not interested in anything they say unless it is that they are leaving now.

"Especially after the brutality ... we cannot accept this. This is a crime of war."

http://en.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2211:us-planning-post-mubarak-govt-as-d-day-looms&catid=36:headline&Itemid=70

PAS cabar Najib kutuk Hosni Mubarak

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Feb: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian terhadap Presiden Mesir Hosni Mubarak dan kerajaannya yang kini sedang berdepan penolakan rakyat di negara teluk itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini Najib dilihat mengambil sikap berkecuali biarpun keangkuhan Hosni Mubarak berundur telah membangkitkan penentangan rakyat negara itu sehingga negara lain termasuk Malaysia terpaksa bersusah membawa pulang rakyat masing-masing.

"Kita menuntut Najib menyatakan sikap yang jelas sama ada mahu mempertahankan Hosni Mubarak dan kerajaannya atau sebaliknya.

"Kita kecewa sehingga kini Najib tidak berani memberi tekanan kepada Hosni Mubarak," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, Perdana Menteri sepatutnya malu apabila Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2009, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi dengan begitu tegas menggesa Hosni Mubarak berundur dengan segera.

"Orang yang kita bagi anugerah pun boleh buat macam tu sedangkan dia tidak ada apa-apa kepentingan politik pun, malu la kita," ujarnya lagi.

Sebelum ini, al-Qaradawi yang juga Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, turut meminta Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau pergi secara paksaan.

Katanya, presiden Mesir itu perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali.

"Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak," katanya.


"Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, PAS dan seluruh rakyat negara ini ujar Mahfuz sedang menanti pendirian Najib dalam isu ini.

"Rakyat sedang menunggu Najib untuk mengutuk Mubarak yang enggan tunduk kepada tuntutan rakyat sendiri," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30696:pas-cabar-najib-kutuk-hosni-mubarak&catid=1:utama&Itemid=50

Sokong rakyat Mesir jika benar dahulukan rakyat

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap mendahulukan rakyat, beliau hendaklah menyatakan sokongan kepada kebangkitan rakyat Mesir menuntut presiden mereka berundur, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan cakap sahaja mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi bersikap buta dan pekak kepada aspirasi dan tuntutan rakyat seperti yang dicerminkan oleh rakyat Mesir yang bangkit beramai-ramai itu.

"Jangan hanya sedap pada slogan sahaja, sedangkan apa yang berlaku ialah rakyatlah yang terlebih dahulu menanggung kesusahan," katanya.

Mahfuz juga melihat apa yang berlaku di Mesir itu berpunca dari sikap Presiden Hosni Mubarak yang menjadi boneka Israel dan Yahudi Zionis.

"Sebab itulah kita bimbang negara ini juga akhirnya akan menjadi boneka dan porak peranda seperti Mesir dengan sikap kerajaan Najib yang begitu mesra Zionis termasuk melantik firma Zionis seperti Apco Worldwide untuk menjadi rakannya dalam melaksanakan pemerintahan negara ini.

"Itu belum lagi diambilkira hubungan dagang dengan Israel yang seolah-olah dirahsiakan sehinggalah perkara itu menjadi isu baru-baru ini," katanya.

Mahfuz percaya, kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) akhirnya akan menghadapi nasib yang sama di tangan rakyat negara ini kerana kegelisahan sebahagian besar rakyat negara ini hakikatnya sama dengan kegelisahan rakyat Mesir.

"Sama seperti apa yang berlaku di Mesir, rakyat Malaysia juga mahukan demokrasi yang sebenarnya serta keadilan dan pembebasan dalam kehidupan ekonomi mereka bahkan rakyat Malaysia juga berhadapan dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sama seperti Leila Trabelsi iaitu isteri Zine el Abidine Ben Ali, bekas presiden Tunisia yang dihalau oleh kebangkitan rakyat negara itu baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga sedang berhadapan dengan tekanan kenaikan harga barang yang berterusan termasuk kenaikan harga minyak sehingga kadar penerimaan terhadap Najib jatuh merudum dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia juga berhadapan dengan pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dan kerajaan pula memberatkan lagi bebanan rakyat termasuk generasi akan datang dengan hutang negara ekoran perlaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikritik oleh orang-orang Umno sendiri sebagai tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Dari sudut demokrasi dan hak asasi pula pula, kata Mahfuz, Human Rights Watch (HRW) sendiri menyifatkan kerajaan Najib hanya bercakap kosong sahaja dalam soal hak asasi manusia.

"Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib juga sedang berusaha untuk menyekat kebebasan termasuk melalui cadangan untuk mengadakan kawalan siber," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan kerajaan Najib semakin kasar menyekat suara rakyat.

Mengulas perkembangan di Mesir, Mahfuz meminta Mubarak berundur kerana kedegilannya untuk terus berkuasa mendatangkan masalah kepada masyarakat dunia.

"Harga minyak dilaporkan akan naik berikutan perkembangan di Mesir dan para pelajar di seluruh dunia pula terkandas di negara itu," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30689:-sokong-rakyat-mesir-jika-benar-dahulukan-rakyat&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...