Saturday, June 19, 2010

Isu cagaran wanita Indonesia


TIMOTHY BIRD (kanan) bersama isteri, Ni Nengah Suartini dan anak lelaki William Timothy di kediaman mereka di Jimbaran, Bali selepas mereka berkahwin dua tahun lalu.


KINI bukan bunyi lunak loceng perkahwinan yang bergema di seluruh Indonesia, sebaliknya bunyi penggera keselamatan. Perlambangan itu merujuk kepada cadangan bayaran wang jaminan keselamatan setinggi AS$55,000 (RM180,593) daripada lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia.

Sesetengah bakal pengantin wanita pula mengugut mahu lari ke luar negara dan mengahwini pasangan mereka di sana sekiranya rancangan itu diluluskan kerajaan. Cadangan yang menimbulkan kontroversi itu adalah sebahagian daripada pembaharuan undang-undang perkahwinan yang mahu diperluaskan oleh golongan konservatif.

Pada masa yang sama, lelaki asing mula mempertikaikan sebab mereka menjadi sasaran, walhal berita mengenai golongan itu dieksploitasi wanita mata duitan yang banyak dilaporkan di negara Asia Tenggara ini.

Cadangan itu menuntut lelaki asing yang mahu mengahwini wanita beragama Islam Indonesia agar meletakkan wang cagaran sebanyak 500 juta rupiah (RM178,063). Namun, ia tidak melibatkan wanita penganut agama lain seperti Kristian, Buddha atau Hindu.

Harta sepencarian

Sekiranya berlaku perceraian, isteri akan mendapat wang tersebut namun jika rumah tangga bertahan sekurang-kurangnya selama sedekad, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Menurut dokumen usul tersebut, peruntukan itu bertujuan melindungi hak wanita dan anak jika suami mengabaikan mereka, gagal memberi nafkah, meninggalkan Indonesia secara rahsia, bercerai atau melakukan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, pasangan yang hangat dilamun cinta menentang keras cadangan itu. "Sangat mengarut. Kerajaan mahu menjual saya," keluh Roslina, 36, seorang pengurus acara yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya dari Jerman, Christopher September ini.

"Bakal suami saya sanggup membayarnya, namun itu bukan isunya. Kami akan berkahwin di luar negara jika usul ini menjadi undang-undang," ujarnya.

Seorang model berusia 24 tahun yang enggan dikenali pula menyatakan dia dan pasangannya yang berasal dari Jerman dilayan secara tidak adil.

"Nampaknya kerajaan tidak menghormati kaum wanita Indonesia. Adakah perkara gila ini hanya menghukum lelaki asing? Kenapa tidak menghukum lelaki tempatan yang berkahwin tiga atau empat walaupun tidak mampu?" tegasnya.

Teman lelakinya yang berusia 39 tahun yang enggan dikenali juga menyifatkan cadangan kerajaan itu seolah-olah rakyat adalah milik mereka yang dijual di pasar menjual daging.

"Mungkin selepas ini kita akan melihat katalog perempuan yang akan dipasarkan. Mungkin saya boleh membuka pejabat di luar negara dan mula memasarkan wanita Indonesia," katanya secara sinis.

Seorang gadis bernama Masyita yang bersetuju dengan keluhan mengenai usul itu memberitahu, jika jatuh hati dengan wanita Indonesia, jangan risau kerana ia cuma 500 juta rupiah, tetapi betapa murahnya harga diri kami.

Pegawai kementerian tersebut, Nasaruddin Umar memberitahu, cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama akan dibentangkan ke Parlimen untuk diluluskan pada penghujung tahun ini.

"Wang jaminan tersebut diwujudkan untuk menghalang warga asing melakukan perkahwinan palsu semata-mata bagi menubuhkan perniagaan atau membeli hartanah atas nama isteri, selain memastikan wanita mendapat jaminan kewangan sekiranya diceraikan.




Menyokong usul

"Apabila wanita itu dianggap tidak lagi berguna, mereka biasanya ditinggalkan begitu saja," katanya tanpa meletakkan sebarang angka atau kajian untuk menyokong kenyataannya.

Tambahnya, perkahwinan adalah suci dan murni, ia tidak boleh dicemari dengan nafsu dan keinginan peribadi. Tujuan mereka hanya mahu melindungi wanita negara tersebut.

Golongan ulama, kumpulan hak wanita dan penggubal undang-undang turut menyatakan pandangan.

Kebanyakan ulama di negara majoriti beragama Islam itu menyokong usul itu manakala pengkritik menyifatkan ia akan menggalakkan orang hidup bergelumang dosa dengan hubungan luar nikah dan meningkatkan risiko kepada wanita.

"Saya bersetuju dengan usul ini, banyak kes lelaki asing berkahwin dengan wanita tempatan kemudian ditinggalkan dengan anak-anak begitu saja," kata Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

Namun seorang peguam, Iskan Qolba Lubis mempunyai pandangan berbeza.

"Orang mahu berkahwin kerana dilamun cinta jadi kenapa kita menyukarkan keadaan? Ia adalah satu diskriminasi. Kita tidak akan berasa gembira jika negara lain melakukan perkara yang sama kepada kita," ulasnya.

Nia Schumacher dari Melati Worldwide iaitu kumpulan yang melobi idea perkahwinan campur menyifatkan usul itu hanya akan membawa kepada isu baru iaitu kahwin lari.

"Mereka mungkin tidak akan mendaftar perkahwinan atau tidak mahu berkahwin dan kemudian bersekedudukan. Inikah yang dimahukan kerajaan?" tambahnya.

Beberapa aktivis wanita turut merasakan usul itu meletakkan wanita sebagai komoditi dan diskriminasi bagi lelaki luar negara.

"Kami sangat menentang usul ini. Ia merendahkan maruah wanita dan tidak semua lelaki warga asing mempunyai wang yang banyak.

"Jika asas usul itu untuk melindungi wanita, ia perlu diaplikasikan kepada lelaki tempatan juga. Banyak kes lelaki tempatan mempunyai ramai isteri dan meninggalkan mereka sehelai sepinggang," tegas Pengerusi Bersama Pertubuhan Perkahwinan Multinasional Wanita Indonesia (Srikandi), Emmylia Hannig.

Roslina turut menyifatkan usul itu sebagai menghancurkan kasih sayang kerana lelaki asing terpaksa memungkiri janji mereka.

"Kawan saya kehilangan calon suami. Dia dan teman lelaki Perancisnya telah empat tahun bersama dan merancang untuk berkahwin. Namun berita terbaru yang saya dengar, mereka terpaksa menangguhkan hasrat itu.

"Teman lelakinya berasa bimbang untuk berkahwin kerana merasakan adalah tidak adil jika dia perlu membayar wang itu," katanya kesal. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Siswazah Jepun berputih mata


RAMAI generasi muda Jepun kini sanggup bertukar-tukar pekerjaan picisan hanya kerana kecewa pada syarikat besar yang tidak menerima mereka. - Gambar hiasan


PELAJAR kolej dari Jepun, Hiroki yang baru sahaja menamatkan pengajian bulan lalu dan tidak sabar untuk memulakan kehidupan dengan bekerja sepenuh masa.

Walau bagaimanapun, tidak satu pun permohonan kerja daripada 40 buah syarikat teknologi maklumat (IT) dan media, memberikannya khabar gembira.

Jadi, Hiroki telah mengambil keputusan untuk mengikuti trend pelajar lain iaitu terus tinggal di universiti sambil mencari peluang yang lain.

Golongan pelajar seperti Hiroki ini seboleh-boleh tidak mahu dikategorikan sebagai Generasi Buntu. Ia adalah label masyarakat umum yang merujuk kepada hidup anak muda yang tidak stabil ataupun mereka yang bekerja separuh masa dengan gaji rendah.

"Sekiranya anda tidak ada pekerjaan maka kehidupan itu tidak selamat," beritahu Hiroki, 23, yang keberatan memberikan nama penuhnya. Dia merujuk kepada belia yang melompat dari satu kerja separuh masa ke satu kerja separuh masa yang lain selepas menamatkan pengajian.

Sementara itu, Jepun telah mengalami kekurangan peluang pekerjaan sehingga golongan muda di negara itu terpaksa menerima pekerjaan separuh masa yang begitu tidak selamat.

Pekerjaan kontrak terpaksa diterima apabila mereka yang berkelulusan tinggi tidak menerima tawaran kerja tetap sekitar tahun 1994 hingga 2004.

Jepun sudah pun mempunyai Generasi Buntu yang lebih awal, iaitu kumpulan lulusan universiti yang tidak mendapat kerja tetap atau bergaji memuaskan ketika negara itu menghadapi tempoh getir sepanjang tahun 1994 hingga 2004.

Para pemimpin negara itu bimbang terhadap iklim ekonomi yang merudum kali ini bakal menambah beban pembaziran sumber tenaga manusia. Lebih malang, Jepun disifatkan sebagai negara yang memiliki populasi yang semakin tua dan mengecil.

Sementara pakar ekonomi cuba berkongsi masalah itu, ramai juga yang mengkritik tindakan Perdana Menteri, Yukio Hatoyama dalam mengatasi krisis tersebut.

"Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengembalikan jaminan dan keselamatan masa depan pekerja tetap, memudahkan urusan pertukaran kerja, memperbaiki sistem pencen, dan merapatkan jurang perbezaan antara pekerja.

"Sekiranya anda melakukan langkah yang bertentangan, ia hanya akan mengurangkan semangat pekerja," jelas Ketua Ekonomi Macquarie Securities (Japan) Limited, Richard Jerram.

Walaupun ekonomi merudum dan dilihat sebagai lambat untuk melonjak semula, kadar pengangguran di Jepun adalah pada catatan 4.9 peratus, dan statistik itu dicemburui banyak negara lain.

Walaupun trend pengambilan kerja di Jepun berkurangan dengan drastik, sebanyak 90 peratus lepasan universiti masih berjaya mendapatkan pekerjaan.

Peluang kehidupan

Banyak syarikat yang mengambil pekerja secara besar-besaran setiap April tetapi tawarannya dibuat setahun sebelum pengambilan. Maka, jika pelajar itu tidak lulus pengajian tepat pada tempoh kritikal itu, peluang akan lenyap begitu sahaja.

"Ramai yang terpaksa memilih pekerjaan separuh masa. Ia satu-satunya peluang seumur hidup," jelas Naib Presiden Universiti Tokyo Aoyama Gakuin Shin Hasegawa.

Sistem tersebut dipraktikkan ketika pertumbuhan ekonomi Jepun sangat ketara selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu penyerapan sumber tenaga sepanjang hayat diguna pakai dalam banyak syarikat dengan para pekerjanya diberi latihan dan gaji yang meningkat setiap tahun.


TARAF hidup yang tinggi di Negara Matahari Terbit memberi tekanan kepada golongan yang mempunyai pendapatan tidak tetap. - Gambar hiasan


Apabila sistem pengambilan kerja sepanjang hayat tidak lagi relevan ketika ekonomi Jepun melalui tahap yang tidak memberangsangkan, ciri lain masih serupa.

Masalah hanya dihadapi oleh para lulusan baru dan bukan pekerja biasa yang tidak dapat diserap dalam kuota pengambilan kerja baru. Golongan ini membentuk sepertiga daripada tenaga kerja Jepun.

"Bagi menjaga bayaran gaji yang tinggi kepada pekerja berpengalaman, mereka perlu mengorbankan peluang para siswazah baru. Ini semua polisi syarikat sedia ada," terang pakar ekonomi International Christian University (ICU) di Tokyo, Naohiro Yashiro.

Pihak pemerintah cuba menangani masalah itu dengan menawarkan kaunseling kerjaya, latihan pekerjaan dan meminta syarikat menambah lebih banyak pekerja sepenuh masa.

"Sekiranya pelajar tidak ditawarkan pekerjaan sebelum mereka tamat pengajian, mereka selalunya akan bekerja sendiri terlebih dahulu atau menerima sahaja apa jua kerja dengan gaji rendah.

"Kami mahu berusaha membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik," beritahu salah seorang pekerja di pejabat Kerajaan Tokyo Metropolitan, Masayo Murayama, yang turut memberi kaunseling kepada graduan universiti.

Kabinet Hatoyama telah meluluskan undang-undang bagi melarang firma-firma pekerjaan menghantar pekerja sementara jangka pendek untuk syarikat-syarikat. Undang-undang itu berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun.

Pasaran buruh

Langkah kerajaan parti demokratik yang berkuasa pada tahun lalu itu mengambil langkah tersebut bagi melindungi golongan pekerja, berbanding Parti Liberal Demokratik yang disifatkan lebuih menyebelahi pihak syarikat dan bisnes.

Pakar kaunseling berkata, latihan kerjaya mungkin membantu sebahagian para pelajar meluaskan carian pekerjaan agar tidak terikat dengan pilihan kerjaya tertentu.

Namun, para pengkritik menyifatkan bahawa halangan pengambilan pekerja sementara hanya akan memburukkan keadaan kerana syarikat-syarikat itu akan meninggalkan Jepun dan membuka firma mereka di negara yang menawarkan tenaga buruh yang lebih murah dan fleksibel.

"Pasaran buruh perlu lebih fleksibel dengan menerima pekerja termasuk pekerja sementara," ujar Yashiro yang sedang cuba mengubah sistem pengambilan kerja yang hanya memihak kepada pekerja senior. Dia juga memperjuangkan hak gaji yang sama rata mengikut produktiviti.

Perubahan itu walau bagaimanapun, amat sukar untuk dijayakan Parti Demokratik sepenuhnya. Parti yang menekankan kepentingan kesatuan sekerja itu akan terus bereksperimen dengan pelbagai langkah untuk memastikan isu tersebut dalam perhatian mereka.

Namun, ia menguji kemampuan Hatoyama untuk membuat keputusan dan mencipta polisi yang tepat.

"Susah untuk kerajaan melaksanakan penyelarasan pasaran buruh. Mereka memegang amanah dan wang pekerja yang banyak," terang Jerram.

Pada masa yang sama, pelajar seperti Hiroki yang jenuh menunggu jawapan penerimaan daripada 10 permohonan baru, berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu.

"Tahun ini, syarikat yang mengambil pekerja semakin berkurangan. Saya tidak tahu apa peluang saya," keluh Hiroki.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Awas jika anda dihubungi Siti

Oleh Zulfa Mohamad

2010/06/19

SEBERANG JAYA: Seorang wanita menggunakan helah dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen bernama ‘Siti’ bagi mendapatkan wang secara mudah mengakibatkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Kaedah digunakan wanita itu ialah menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum memberitahu konon rakan mangsa ditahan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang.


Bagi meyakinkan mangsa, wanita berusia 40-an itu mereka-reka cerita konon rakan mangsa melakukan kesalahan membawa sejumlah wang tanpa mengisytiharkan nilai sebenar serta kesalahan lain.


Apabila mangsa mula percaya kata-katanya, wanita itu meminta wang antara RM3,000 dan RM5,000 konon bagi membebaskan rakannya yang ditahan. Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abdul Qadir Siddiq Ahmad, berkata wanita itu dipercayai menjalankan kegiatannya sejak Februari lalu dengan panggilan terbaru dua hari lalu.


Katanya, sehingga kini, 30 panggilan diterima berhubung tindakan licik wanita terbabit yang meminta sejumlah wang daripada mangsa.


“Kami menafikan ‘Siti’ yang membuat panggilan meminta sejumlah wang adalah pegawai imigresen. Siasatan mendapati tindakan ‘Siti’ cubaan menipu dan laporan sudah dibuat kepada pengurusan tertinggi imigresen,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata, ada mangsa yang sudah membuat bayaran kepada wanita terbabit kerana percaya dengan cerita rekaan konon rakan mereka ditahan Imigresen di LTABL.


“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan kerana siasatan sedang dijalankan. Kami minta mangsa yang sudah menjelaskan bayaran kepada wanita terbabit supaya membuat laporan polis,” katanya.


Sementara itu, seramai 28 pekerja restoran tom yam warga Thailand ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas dan Lengkuk Tenggiri, Seberang Jaya, kelmarin.


Daripada jumlah itu, 22 pekerja lelaki manakala selebihnya wanita berusia antara 20-an hingga 30-an bekerja sebagai tukang masak dan pelayan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AwasjikaandadihubungiSiti/Article

Ubat bahaya

2010/06/19

KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan berwaspada dengan produk tradisional ‘Amberine capsule’ yang dipercayai mengandungi metformin dan sibutramine berbahaya.

Produk keluaran Sne Marketing Sdn Bhd, dibatalkan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan pengesanan bahan beracun terbabit.


Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Eisah A Rahman berkata, metformin sejenis bahan yang mengurangkan paras gula dalam darah dan menurunkan fungsi buah pinggang, manakala sibutramin memberi kesan sampingan jika disalah guna.


“Sibutramin juga boleh beri tekanan darah tinggi serta kesan kardiovaskular lain dan sangat bahaya untuk tubuh manusia, walaupun ia boleh digunakan mengikut nasihat doktor, selepas dikaji produk ini disahkan dicampur dengan bahan yang palsu,” katanya dalam kenyataan media semalam.


Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap peniaga degil yang masih jual produk itu.

Remaja dua kali hamil anak luar nikah

2010/06/19

KUALA TERENGGANU: Keterlanjuran dengan kekasih sehingga mengandungkan anak luar nikah menyebabkan seorang remaja nekad menggugurkan kandungannya berusia dua minggu di dalam tandas rumahnya walaupun tahu perbuatannya itu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Semuanya itu berlaku, selepas dia hilang arah apabila mendapati dirinya hamil sebelum mengambil jalan pintas mengamalkan memakan sulur sirih secara diam-diam selepas memperoleh ilmu tradisional itu daripada seorang bidan kampung.


Remaja terbabit hanya mahu dikenali sebagai Ida, 19, yang kini insaf dengan perbuatannya itu berkata akibat termakan pujuk rayu kekasihnya seorang lelaki berusia 40-an dia menuruti segala kehendaknya termasuk melakukan hubungan seks di dalam kereta dan ladang kelapa sawit.


Malangnya, selepas tubuhnya diratah teman lelaki yang sudah beristeri itu, dia dibiarkan bersendirian apabila lelaki terbabit enggan bertanggungjawab.


“Dari sehari ke sehari hubungan kami menjadi semakin rapat dan saya tidak menyangka dia sanggup mengambil kesempatan di atas kesulitan dihadapi apabila mengajak saya melakukan hubungan seks,” katanya.


Menurutnya, sejak perawannya diragut, dia menjadi ketagih apabila sering melakukan perbuatan terkutuk terbabit dengan kerelaan kerana terlalu menyayangi kekasihnya itu yang berperwatakan baik selain menjanjikan hubungan mereka akan ke jinjang pelamin.


Katanya, terlalu asyik dengan janji terbabit, dia tidak menyedari hubungan seks itu mendatangkan masalah kepada dirinya apabila mendapati kitaran haid terganggu dan baru dia menyedari dirinya mengandung hasil hubungan terlarang itu.


“Selepas mendapat jalan daripada sepupu yang turut melakukan pengguguran berikutan tidak bersedia menimang cahaya mata, saya nekad memakan sulur sireh yang diminta daripadanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya.


Katanya, kejadian itu berlaku Januari lalu dan selepas berpantang dia mula aktif melakukan hubungan seks dengan kekasihnya sehingga mengandung buat kali kedua pada Mac lalu, bagaimanapun teknik serupa dilakukan bagi menutup pekung perlakuannya itu daripada diketahui keluarga.


“Saya sedar perlakuan itu bertentangan ajaran Islam dan berharap wanita di luar sana terutama remaja tidak terpengaruh pujukan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajaduakalihamilanakluarnikah/Article

Pegawai papa kedana kejar cinta GRO lebih tua

2010/06/19

KUALA LUMPUR: Akibat penangan cinta seorang pelayan pelanggan (GRO), seorang pegawai syarikat swasta bukan saja sanggup meninggalkan anak isteri tanpa nafkah, malah tergamak menggadaikan semua barang milik keluarganya semata-mata mahu menggembirakan hati wanita yang berusia 11 tahun lebih tua daripadanya.

Lelaki berusia 35 tahun terbabit kini hidup papa kedana dan menjadi ‘pak sanggup’ GRO yang sudah bergelar isterinya selepas dipercayai berkahwin di selatan Thailand.


Bekas isteri lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, 37, berkata disebabkan menderita dengan sikap suaminya hampir setahun, dia terpaksa meminta diceraikan dan mereka berpisah pada 11 Mac lalu.


“Saya tidak tahu sama ada bekas suami saya terkena buatan GRO terbabit kerana perangainya berubah sejak mereka berkenalan di sebuah pusat karaoke dua tahun lalu.


“Saya mengaku kesilapan saya kerana terlalu percayakan dia sebelum ini. Setiap kali dia keluar rumah dengan alasan bermain golf atau bersama rakan, saya tidak kisah tanpa menyedari dia menjalinkan hubungan sulit,”
katanya yang ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, hubungan sulit bekas suaminya itu terbongkar selepas adik iparnya mendedahkan semua aktiviti lelaki terbabit kerana tidak tahan dengan sikap abangnya.


“Saya terkejut apabila dimaklumkan suami saya sudah menjadi kaki arak dan sanggup menipu saya untuk mendapatkan wang semata-mata mahu melangsaikan hutang kekasihnya.


“Sejak berkenalan dengan wanita berusia 46 tahun itu, suami saya sanggup buat apa saja demi memenuhi tuntutan GRO terbabit sampai set golf, telefon bimbit, perakam video, wang simpanan anak dan gaji saya dicuri serta dijual demi kekasihnya,”
katanya.


Sofia berkata, disebabkan GRO terbabit, dirinya yang ketika itu sarat mengandung anak keempat tidak dipedulikan.


“Selepas melahirkan anak bongsu kami, dia hanya menjenguk beberapa kali saja terutama apabila mahu meminta wang kononnya untuk menjalankan perniagaan. Saya percaya pada kata-katanya sehingga semua wang di bank habis dikeluarkan.


“Sekarang selepas berpisah, saya lega kerana terlepas daripada penyeksaan emosi. Anak kami yang bongsu turut tidak mengenali siapa bapanya,”
katanya yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga dua tahun hasil perkongsian hidup selama 12 tahun dengan bekas suami.

Menurutnya, dia pernah dua kali terserempak dengan GRO terbabit, tetapi ketika berdepan wanita itu, dia diejek tidak tahu menjaga suami sehingga terlepas ke tangan orang lain.

Sementara itu, adik ipar Sofia yang hanya mahu dikenali sebagai Amar, 27, berkata dia terpaksa mendedahkan sikap abangnya selepas melihat terlalu banyak perubahan sehingga tergamak mengherdik ibu bapa mereka yang menegur perbuatan menjalin hubungan dengan GRO.


“Saya terpaksa memberitahu perkara itu selepas saya dipaksa menjadi orang tengah untuk meminta wang daripada kakak ipar demi melayan GRO terbabit.


“Sebelum berkenalan dengan wanita itu dia menghormati ibu bapa dan suami yang bertanggungjawab. Saya berharap dia dapat berubah kerana kehidupannya sekarang sudah tidak terurus umpama merempat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PegawaipapakedanakejarcintaGROlebihtua/Article

Dicabul kerana angau duda

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

2010/06/19

KUANTAN: Niat asal seorang nenek mahu membantu cucunya seorang janda anak satu berusia 21 tahun berubat selepas dipercayai terkena buatan orang bertukar sejarah hitam apabila wanita muda itu menjadi mangsa cabul bomoh ‘sial’ dikenali sebagai Pak Long dalam kejadian di Felda Sungai Panching Utara di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, mangsa kerap jatuh sakit akibat terlalu merindui bekas suaminya selepas mereka bercerai.


Disebabkan keadaan mangsa yang lemah menyebabkan neneknya percaya dia terkena buatan orang sebelum berusaha mendapatkan bantuan seorang bomoh tradisional yang terkenal dengan panggilan Pak Long di kalangan penduduk setempat untuk berubat.


Pak Long yang tiba di rumah nenek berkenaan kira-kira jam 7.30 malam pada hari kejadian dimaklumkan lebih lanjut wanita itu mengenai penyakit dideritai cucunya yang asyik teringatkan bekas suaminya.


Mendengar penjelasan itu, bomoh berusia 50-an terbabit lantas mengatakan janda beranak satu berkenaan terkena buatan orang dan perlu diubati segera.


Bomoh terbabit meminta cucu wanita itu masuk ke bilik mandi untuk menjalankan upacara mandi bunga dan bermula episod malang janda muda berkenaan apabila tubuhnya diraba.


Pegawai Turus di Jabatan Urusetia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata selepas masuk ke bilik mandi, mangsa diminta menanggalkan pakaian dan hanya berkemban untuk menjalankan rawatan.


“Ketika memandikannya, bomoh terbabit meraba bahagian sulit wanita berkenaan menyebabkan dia berang sebelum memarahi suspek,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, namun bomoh terbabit memaklumkan kepada mangsa dia perlu berbuat demikian kerana itu cara perubatannya bagi membuang segala ‘benda buruk’ yang ada pada tubuh badan wanita berkenaan.


“Mangsa yang enggan percaya terus memarahi suspek sebelum dia melarikan diri meninggalkan wanita itu keseorangan di dalam bilik air,” katanya.


Noor Asyikin berkata, tidak berpuas hati dengan kejadian menimpanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan keesokannya kira-kira jam 9 malam.

Berikutan laporan mangsa, polis menahan suspek malam kelmarin ketika berada di rumahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


“Suspek kini direman di lokap IPD Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dicabulkeranaangaududa/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...