Friday, January 22, 2010

Antara Tudung Dan Cawat Besi

Artikel lama, dicadangkan untuk bacaan.

Minggu lepas ketika di Prague, Republik Czech saya mengambil peluang berjalan-jalan di kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas.

Walaupun usia bandar ini sudah sepuluh abad, namun bangunan-bangunan bersejarahnya masih dipelihara. Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini.

Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga.

Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini. Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang.

Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.

Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekularis, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah.

Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.

Dalam Islam, agama mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.

Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk mengergaji dari celah kelengkang orang yang di hukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya.

- Gergaji Siksaan

Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi s.a.w pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu. Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi s.a.w.:

“Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”.

Antara yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas. Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut.


- Cawat Besi

Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus.

Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah. Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat.

Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka. Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga.

Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain?

Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala. Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaannya. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung.

Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.

Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini.

Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.

* Gambar selanjutnya sila klik di sini.

http://drmaza.com/home/?p=746

Kemanisan Dalam Ujian

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.

Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)

“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).

Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.


- Gambar Hiasan

Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.

Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.

Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.

Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)

“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).

Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.

Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.

Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.

Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.

Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.

Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kitabertadarruatau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.


- Gambar Hiasan

Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.

Firman Allah: (maksudnya)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:

“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)”(Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaandia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.:Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir(”Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

http://drmaza.com/home/?p=967

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...