Saturday, April 2, 2011

Harta melalaikan insan

RAP

MENGUMPUL dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu sifat biasa manusia.

Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.

Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehidupannya.

Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk mencari kehidupan lebih berkualiti, namun dalam proses pencarian itu, ramai juga yang terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah seiring dengan perbuatan mereka.


Harta yang dicari itu bukan lagi untuk membina kehidupan lebih baik dan berkualiti, sebaliknya untuk ditunjukkan secara bermegah-megah dengannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur. (At-Takathur, 1-2)

Kelalaian itu hingga membawa manusia mencari harta walau dengan apa cara sekalipun, sehingga ramai yang tanpa merasa bersalah atau tanpa mengendahkan perasaan orang lain, mengambil hak yang bukan miliknya yang sah dan diiktiraf oleh hukum Islam.

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengasihi saudara kita sama seperti kita mengasihi diri kita.

Ini kita boleh lihat kepada situasi buruk yang berlaku kepada diri serta keluarga sendiri yang pastinya tidak disukai dan tidak diingini.

Jadi, perlu kita ketahui, apa yang kita bencikan itu pastinya turut tidak diingini oleh orang lain dan amatlah tidak wajar jika mereka diperlakukan sedemikian.

Ada beberapa soalan yang saya terima antaranya berbunyi:

1. “Ustaz bolehkah kita ubah jumlah kos tuntutan kerana kita layak tetapi kita tidak menggunakannya, justeru kita buat resit sendiri.

2. “Sebagai kakitangan syarikat, apa pandangan ustaz jika kita ambil serba sedikit kemudahan syarikat untuk faedah kita seperti fotostat, telefon dan sebagainya, boleh tak ustaz?

Saya kira, soalan ini diketahui jawapannya oleh diri mereka sendiri, namun oleh kerana nafsu terhadap harta itu tadi, mindanya juga cuba mencari jalan untuk 'mengharuskan' perbuatan berkenaan.

Paling mudah sebenarnya, kita perlu letakkan diri kita dalam situasi ini, iaitu sebagai majikan dan bukan pekerja.

Sebagai majikan, adakah kita suka melihat kakitangan kita melakukan perkara sedemikian terhadap harta syarikat? Sudah tentulah jawapannya tidak.

Oleh itu, sebagai pekerja patut atau tidak kita melakukan perkara sedemikian iaitu dengan mengenepikan antara yang hak dan yang batil? Adakah harta berkenaan tergolong dalam hak kita atau sebaliknya dalam kategori harta yang batil (bukan hak).

Begitu juga dalam banyak hadis nabi yang kerap mengajar kita untuk meletakkan diri dalam situasi seseorang yang ingin kita jadikan mangsanya.

Syeikh Rashid Ridha menegaskan bahawa: “Penghormatan harta yang dimiliki oleh orang lain itu sebenarnya adalah penghormatan kepada harta sendiri. (Tafsir Al-Manar, 2/195)

Justeru, jelas di sini, masyarakat yang mempunyai kepimpinan yang berjaya serta bertamadun adalah masyarakat yang mampu membentuk penghuninya supaya sentiasa seiring antara satu sama lain. Saling bantu membantu tanpa ada yang menindas serta mengambil harta orang lain secara salah.

Malah, apabila adanya kesedaran ini, secara tidak langsung ia mampu mengurangkan rasuah, rompakan serta kecurian dan riba.

Tetapi, selagi kepimpinan hanya meletakkan sasaran kemajuan yang ditakrifkan sebagai kekayaan harta dan material sebagai ‘standard’ atau kayu ukur kejayaan dengan mengabaikan tugas utama untuk memulih dan membersihkan jiwa dan hati rakyat, selagi itulah pertambahan manusia rakus akan sentiasa seiringan dengan pembangunan material.

Tatkala itu pembangunan material itu akan naik bersama sekumpulan manusia rakus yang memonopoli dan mengambil keuntungan dari pembangunan itu tanpa dapat dikongsi oleh masyarakat.

Apabila ini berlaku, pastinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin papa kedana.

Disebabkan itu juga Allah SWT berfirman: “...supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.” (Al-Hasyr, 7)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda, bahawasanya: “Tiadalah seorang hamba yang diberikan oleh Allah tanggungjawab kepimpinan, lalu dia tidak menasihati rakyatnya, kecuali tiadalah akan diperolehi bau syurga (sekalipun). (Riwayat Al-Bukhari)

Jelas di sini, apabila hukum dalam pentadbiran kuasa, ekonomi, perniagaan dan kontrak pertukaran hak pemilikan ini tidak diberikan perhatian wajar, maka akan menjalar gejala negatif dikalangan masyarakat dan meningkatkan lagi pelbagai masalah yang lain.


> BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN


http://www.hmetro.com.my/articles/Hartamelalaikaninsan/Article

Ratusan ribu tuntut Presiden Yemen letak jawatan


SEBAHAGIAN penunjuk perasaan menuntut Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan di Sanna semalam.


SANAA - Beratus-ratus ribu rakyat negara Yemen keluar beramai-ramai di sini bagi mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan.

Para penunjuk perasaan itu berhimpun di setiap jalan utama di bandar ini dan mereka berterusan mendesak Ali yang telah memerintah selama 32 tahun supaya berundur.

Mereka turut menyalahkan sistem pemerintahannya yang mencetuskan kemarahan rakyat terhadap pemerintahannya.

Pihak pembangkang berharap seramai satu juta orang akan berhimpun untuk mendesak peletakan jawatan Ali. Ali sebelum ini enggan meletakkan jawatan kecuali ditewaskan dalam pilihan raya.

Pergolakan di Yemen berlaku ekoran kejayaan penunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir yang mengakibatkan kedua-dua presiden di negara tersebut meletakkan jawatan.

Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir pada bulan Februari lepas selepas Zine El Abidine Ben Ali berundur pada Januari lalu ekoran tunjuk perasaan rakyat. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

50 pekerja nuklear sanggup mati


GAMBAR yang disiarkan pada 24 April lalu menunjukkan kemusnahan loji nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi.


TOKYO - Ibu salah seorang pekerja loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat menyatakan anaknya dan pekerja lain menjangkakan mereka akan meninggal dunia akibat terkena radiasi tinggi, lapor sebuah akhbar semalam.

Anaknya itu merupakan antara 50 pekerja loji jana kuasa nuklear tersebut yang terdedah pada kadar radioaktif yang tinggi semasa melakukan kerja-kerja untuk menyejukkan reaktor selepas rosak akibat gegaran kuat hempa bumi pada 11 Mac lalu.

Gegaran kuat itu berlaku akibat gempa bumi yang berlaku di timur laut Jepun dekat dengan loji nuklear tersebut yang mencetuskan ombak tsunami.

Menurut ibu tersebut, semua pekerja yang berhempas-pulas menyelamatkan loji tersebut daripada menyebarkan radiasi menjangkakan mereka akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ibu itu yang bercakap menerusi jurubahasa melalui telefon berkata kepada stesen televisyen Fox News: "Anak lelaki saya dan rakan-rakannya telah membincangkan dengan panjang lebar dan mereka komited untuk mati jika ia perlu untuk menyelamatkan negara.

"Dia (anak lelakinya) telah menerima sepenuh hati bahawa mereka kemungkinan akan mati akibat sakit disebabkan radiasi dalam tempoh jangka pendek atau kanser dalam tempoh jangka panjang."

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam berkata, kebocoran radiasi daripada loji Fukushima Daiichi tidak membawa kesan terhadap kesihatan awam kecuali rakyat mematuhi nasihat kerajaan pada setiap masa.

"Jepun membuat keputusan bertindak di kawasan (pemindahan sekitar loji) berdasarkan nasihat dan cadangan pakar. Di Jepun, kita meminta penduduk supaya mematuhi peraturan kerana ia akan menjamin keselamatan dan kesihatan mereka," katanya. Negara itu juga buat kali telah menemui tahap radiasi melebihi paras selamat dalam daging-daging lembu berhampiran kawasan larangan loji nuklear.

Kementerian Kesihatan Jepun menjelaskan bahawa 510 becquerels sesium radioaktif dikesan dalam daging lembu dari Tenei, wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji nuklear tersebut, menurut agensi berita Kyodo.

Dalam kejadian gempa bumi dan tsunami itu, lebih 28,000 orang didapati terbunuh dan hilang. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Kelibat raksasa di Pelabuhan Sydney


GAMBAR yang disiarkan akhbar The West Australian semalam menunjukkan kepala raksasa (dalam bulatan) di Pelabuhan Sydney, Australia.


SYDNEY - Sejumlah penduduk di sini berada dalam ketakutan selepas seekor raksasa dirakamkan di dalam kawasan perairan dekat sebuah jambatan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut seorang pegawai polis, Harvey Edison, talian telefon di kebanyakan balai polis tempatan sesak dengan panggilan orang ramai yang memberitahu kewujudan makhluk ganjil itu kelmarin.

Menurutnya, laporan awal mengenai raksasa itu datang daripada orang ramai yang menaiki kapal pesiaran, feri dan bot di Pelabuhan Sydney.

Edison berkata, semua rakaman video dan gambar yang menyiarkan kelibat raksasa itu kini dikaji oleh sekumpulan pakar bagi menentukan sama ada ia benar atau palsu.

Menurut satu kenyataan rasmi, sekumpulan pasukan yang melibatkan ahli biologi terkenal dan penyelam akan tiba di Sydney untuk menyiasat raksasa itu.

Polis di negeri New South Wales turut membatalkan semua perkhidmatan feri dan pelayaran kapal pesiaran buat sementara waktu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak belayar atau menaiki bot mewah di pelabuhan ini.

Raksasa itu mempunyai leher yang panjang seperti kelibat raksasa di Loch Ness di Scotland. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Imej Bumi rakaman AS, Rusia berbeza



GAMBAR Bumi rakaman satelit Elektro-L milik Rusia.


LONDON - Imej Bumi yang dirakamkan satelit Rusia, Elektro-L kelihatan berbeza dengan gambar Bumi yang dirakamkan menerusi satelit Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman gambar Bumi menerusi satelit Rusia itu dianggap lebih tepat berbanding dengan rakaman misi NASA di angkasa lepas.

Menurut seorang ahli astronomi, Dr. Robert Simmon dari Balai Cerap Bumi NASA di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, Maryland, imej yang dirakamkan satelit Rusia itu merupakan kombinasi penglihatan dan jarak gelombang hampir inframerah.

Keadaan itu menyebabkan Bumi kelihatan berbeza dengan rakaman NASA yang menggunakan pelbagai gelombang inframerah dan ditukar menjadi imej tiga dimensi (3-D). - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Misbun rujuk semula


KEMBALI BERSATU... Misbun (kiri) akan kembali membimbing jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.


SELEPAS tiga bulan bermain teka- teki, jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tidak jadi ‘bercerai’ dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas bersetuju menarik balik peletakan jawatan yang dibuatnya pada 31 Disember lalu.

Dengan hanya menitip sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh empat hari lalu, segala-galanya berakhir apabila Majlis BAM yang bermesyuarat lebih dua jam semalam menerima semula Misbun dengan tangan terbuka.

“Datuk Misbun Sidek telah menarik balik surat peletakan jawatannya dan BAM bersetuju menawarkan kontrak baru kepada beliau selepas ini,” kata Nadzmi selepas berakhir mesyuarat majlis.

Ketika mengulas lanjut kontrak baru itu, Nadzmi berkata, butir-butir terperinci mengenainya masih belum diputuskan dan beliau enggan mendedahkan sama ada ia lebih baik daripada kontrak sebelum ini termasuk tempoh kontrak untuk mengikat Misbun.

“Kita belum bincang lagi tentang kontrak baru itu tetapi apa pun butirannya, saya rasa Misbun akan menerimanya kerana dia bukan seorang yang cerewet sangat.

“Apa yang penting sekarang, Misbun telah bersetuju untuk sambung semula kontrak dengan BAM. Yang lain itu, kita boleh bincang kemudian,” tegasnya.

Mengenai kedudukan Misbun sebagai jurulatih Datuk Lee Chong Wei, Nadzmi menegaskan, tidak semestinya jurulatih perseorangan negara itu akan kembali pada tugas lamanya.

Sebaliknya kata beliau, ia bergantung kepada Chong Wei untuk menentukannya kerana ketika ini tanpa Misbun, pemain No. 1 dunia itu tetap menunjukkan prestasi yang membanggakan.

“Semuanya boleh berlaku kerana yang menentukannya ialah pemain itu sendiri. Misbun dan semua jurulatih BAM hanya bertindak sebagai penyokong dari belakang,” tegasnya.

Sewaktu ketiadaan Misbun, Tey Seu Bock mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu dan bersama Rashid Sidek, mereka berjaya membantu Chong Wei muncul juara Seluruh England.

Ketika ini, tiga jurulatih perseorangan diperuntukkan BAM untuk melatih enam pemain elit negara.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

Sheila Rusly menang kes saman


RESTORAN Nasi Dagang House di Taman Melati, Gombak yang menjadi pertikaian di antara Sheila dan Azlina.


KUALA LUMPUR – Setelah lima tahun naik turun Mahkamah Tinggi di sini, pelakon dan produser Sheila Rusly lega apabila kes saman terhadap bekas rakan kongsinya, Datuk Azlina Che Abdullah akhirnya berpihak kepadanya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hamidah Md. Deril dalam penghakimannya kelmarin membenarkan permohonan Sheila selaku plaintif supaya perjanjian perkongsian lisan berhubung restoran Nasi Dagang House dibatalkan.

Mahkamah juga memerintahkan Azlina yang dinamakan sebagai defendan mengemukakan kepada juruaudit segala rekod dan akaun perniagaan Nasi Dagang House (NDH) untuk tempoh 11 Julai 2005 hingga 30 September 2005.

Ia bertujuan menaksirkan untung rugi NDH dengan purata agihan untung 57 peratus kepada plaintif dan 43 peratus kepada defendan berasaskan purata modal yang dikeluarkan kedua-dua pihak iaitu RM55,000 oleh Sheila dan RM23,800 oleh Azlina.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Risau 'dibogelkan' dalam Facebook


MANGSA (kiri) menunjukkan gambar lelaki yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada Michael Chong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Fakulti Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menerima ugutan daripada seorang penggodam internet yang mahu menyebarkan gambar lucah menerusi teknik pertindihan (superimpose) dirinya.

Pelajar tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 20, menerima ugutan itu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Rao dan mendakwa bekerja sebagai pereka laman web.

Devi memberitahu, dia menerima ugutan tersebut selepas mengesahkan permintaan lelaki berkenaan untuk menjadi rakan di laman sosial Facebook pada 24 Mac lepas.

Dia mendakwa, selepas itu lelaki berkenaan bertindak mengambil gambarnya yang ada di dalam album di laman sosial itu serta mencuri alamat akaun miliknya.

“Lelaki berkenaan juga menukar kata laluan akaun alamat laman carian Yahoo! milik saya hingga membolehkan dia mengakses dan menukar maklumat peribadi saya sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pengaduan Awam MCA di sini semalam.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Malek tidak henti menangis



MALEK NOOR menerima rawatan sakit jantung di Hospital Pantai Ipoh sejak kelmarin.


IPOH - Suasana sedih menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam apabila bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar tengah hari semalam.

Mr. Asia sebanyak enam kali itu amat terharu apabila mendapati beliau dikelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor untuk melawat beliau sejak malam kelmarin.

Menurut adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, abang ketiganya itu mula sedar pada pukul 12.15 tengah hari selepas diberi ubat penenang bagi rawatan jantung yang dijalaninya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Shiney Ahuja Dihukum Penjara Kerana Rogol Pembantu Rumah

Jumaat April 1, 2011

Shiney Ahuja dikerumuni wartawan berhubung kes rogol pembantu rumah.

MUMBAI: Sebuah mahkamah di India pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun ke atas pelakon Bollywood, Shiney Ahuja,37, selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada Jun 2009.

Selain rogol, pelakon itu turut didakwa mengugut dan mengurung pembantu rumahnya itu.

Hakim PM Chouhan mendapati pelakon itu bersalah selepas mendengar keterangan daripada pihak polis, tidak hanya merujuk kepada pengakuan mangsa sahaja sebagai bukti, lapor agensi media Press Trust, Rabu.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah di Bollywood itu bagaimanapun membantah hukuman tersebut dan akan merayu di Mahkamah Tinggi Mumbai, menurut peguamnya, Srikant Shivade kepada wartawan.

Mahkamah melakukan persidangan secara tertutup dan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Ahuja yang membintangi beberapa filem Bollywood termasuklah Hazaaron Khwaishein Aisi (A Thousand Desire), Gangster dan Life In Metro.

September tahun lalu, seorang pembantu rumah berusia 20 tahun telah mengadu dirogol dan minta ia dilaporkan kepada polis melalui seorang wanita yang membawanya bekerja dengan bintang filem tersebut.

Akibat laporan itu, Ahuja telah direman untuk siasatan sehingga dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Selepas keluar dari penjara, dia sempat membintantgi filem terbarunya.

Ahuja merupakan pelakon terbaru di India yang ditahan sejak beberapa tahun lalu selepas Sunjay Dutt yang didapati bersalah kerana membeli senjata melalui satu sindiket pengeboman berani mati pada tahun 2007.

Sebelum itu pada tahun 1993, pelakon Salman Khan juga didapati bersalah kerana memburu haiwan yang dilindungi di India. - AFP


http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_hiburan/20110331180921&sec=mstar_hiburan

ADUN Lenggeng Bersalah Terima Rasuah

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim (tengah) dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan mengorek pasir dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Seremban, Jumaat.

Published: Jumaat April 1, 2011 MYT 6:12:00 PM
Updated: Jumaat April 1, 2011 MYT 6:17:49 PM

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan mengorek pasir dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, turut mendenda Mustafa sebanyak RM20,000 mengikut kesalahan tersebut.

Mahkamah mendapati Mustafa, 51, yang merupakan penggal pertama dipilih sebagai wakil rakyat melakukan kesalahan berkenaan pada 3 Mac lalu.

Bagaimanapun peguamnya merayu supaya hukuman itu ditangguhkan. Hakim Amran membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000.


http://www.mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_mahkamah/20110401181058&sec=mstar_mahkamah

Dua Muka Dikesan Pada Kamera Tersembunyi - Abdul Khalid

Jumaat April 1, 2011

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis mendedahkan bahawa dua wajah dikesan dalam rakaman kamera tersembunyi yang diletakkan di pejabatnya Ogos lalu.

Beliau berkata rakaman yang diperiksa oleh seorang penyiasat persendirian dan staf kerajaan negeri menunjukkan dua orang itu sedang menukar bateri kamera.

"Ketika memeriksa rakaman dengan lebih teliti, perakam suara yang dibina dalam kamera itu mendedahkan nama lelaki yang disebut 'Fais'," katanya kepada wartawan selepas menghadiri sidang dewan negeri di sini, Khamis.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata beliau masih perlu melihat rakaman itu tetapi mahu memberikan penyiasat itu masa yang secukupnya untuk menyiapkan siasatan.

Beliau berkata laporan polis tidak akan dibuat ketika ini oleh kerana kerajaan negeri ingin menyiasat insiden itu terlebih dulu.

Pada Ogos 2010, Menteri Besar mendedahkan bahawa sebuah kamera ditemui tersembunyi di pejabatnya yang merakam aktivitinya.

Beliau berkata beliau mengesan kamera Fuji itu pada belebas di balik tirai di pejabatnya bila baterinya lemah dan beliau mendengar suatu bunyi.

Mengulas isu lain, Abdul Khalid menolak dakwaan pembangkang bahawa pendapatan negeri mengalami defisit.

Beliau berkata Selangor telah mencapai lebihan RM124.2 juta tahun lalu berbanding RM65.9 juta pada tahun 2009.

Abdul Khalid, yang juga Adun Ijok, berkata jabatan kewangan negeri Selangor melaporkan bahawa akaun pendapatan diumumkan pada akhir tahun sebaliknya menunjukkan bahawa Selangor mengutip RM732.2 juta tahun lalu berbanding RM608.1 juta pada 2009, meningkat sebanyak 24.3 peratus.

Adun Sungai Burong Syamsuddin Mohd Lias membidas kerajaan negeri kerana penurunan 26.3 peratus kutipan hasil kepada RM1.3 bilion tahun lalu dari RM1.764 bilion pada 2009. -BERNAMA


http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_jenayah/20110401120234&sec=mstar_jenayah

RON 97 Naik 20 Sen Tengah Malam Ini (Jumaat)

Published: Jumaat April 1, 2011 MYT 7:24:00 PM
Updated: Jumaat April 1, 2011 MYT 8:24:55 PM

PETALING JAYA: Harga petrol RON 97 sekali lagi dinaikkan dan kali ini sebanyak 20 sen - menjadikan harganya RM2.70 seliter selepas tengah malam Jumaat.

Harga RON97 sekarang ialah RM2.50 seliter.

Kali terakhir ia dinaikkan ialah pada 4 Januari lalu iaitu sebanyak 10 sen. Sebelum itu ia telah pun mengalami kenaikan iaitu sebanyak 15 sen pada 1 Disember tahun lalu -menjadikan harganya mencecah paras RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari.

Bagaimanapun, harga minyak petrol RON 95 kekal pada paras RM1.90 seliter.

RON97 kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan diapungkan mengikut harga pasaran. Walaupun ia tidak lagi di bawah kawalan kerajaan, namun kerajaan masih memberi subsidi antara 17 sen hingga 18 sen seliter.

Semalam (Khamis) dalam pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan media, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Katanya, tahun lalu sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk petrol dan diesel sahaja mencecah RM7.61 bilion.

Untuk tahun ini katanya, jumlah itu dianggarkan mencecah RM10 bilion dan mungkin akan naik kepada RM14 bilion seandainya kerajaan pertahankan harga RON95 pada paras sekarang untuk tempoh sepanjang tahun.


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_berita/20110401192147&sec=mstar_berita

BAM sedia cari sifu baru

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

MESYUARAT Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini pada dasarnya mesyuarat biasa yang membabitkan pembentangan laporan oleh pengerusi setiap jawatankuasa serta akan memutuskan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung Mei ini.

Namun, mesyuarat kali ini lebih hangat kerana bakal membincangkan masa depan prospek emas Olimpik pertama negara, Datuk Lee Chong Wei selepas jurulatihnya Datuk Misbun Sidek yang meletak jawatan 31 Disember tahun lalu tidak memberi sebarang respon kepada badan induk badminton negara yang mengambil langkah diplomasi memujuk jurulatih itu kembali.


Bendahari Kehormat BAM, Datuk Lim Teong Kiat berkata, soal keperluan jurulatih buat Chong Wei menjadi topik penting dan Ahli Majlis tidak mahu lagi membiarkan isu Misbun berpanjangan.

“Kami akan dengar dulu pandangan dari sudut kejurulatihan, apakah perlu terus mengharapkan Misbun atau tidak. Pendapat Chong Wei yang disalurkan melalui jawatankuasa kejurulatihan dan latihan juga penting kerana dirinya tahu apa yang diperlukan ketika ini,” kata Teong Kiat.


“Setakat ini saya lihat, dia bersama Rashid Sidek dan Tey Seu Bock cukup serasi dan lebih berbisa. Melihatkan persembahan Chong Wei, saya rasa dia hanya perlu jurulatih sebagai perunding dalam latihan dan kejohanan. Dia sudah ada segalanya dan tahu perlu dilakukan.


“Chong Wei juga lebih mengetahui apa diperlukannya jika berasakan pergerakannya perlahan dia boleh terus mendapatkan bantuan Institut Sukan Negara (ISN), jika perlukan aspek teknikal latihan dia boleh minta pada Rashid dan Seu Bock.” Begitupun, Teong Kiat tidak menolak kemungkinan ada permintaan mencari jurulatih baru buat Chong Wei dan Wong Mew Choo yang kehilangan jurulatih, Wong Tat Meng kerana berhijrah ke Indonesia.

“Kami bersedia mencari jurulatih jika itu diperlukan. Memang kantung persatuan tidak besar ketika ini tapi itu tanggungjawab kami. Jika perlukan jurulatih kami cari jurulatih, jika perlukan wang untuk tujuan itu kami akan cari. Kami akan cuba minta bantuan Majlis Sukan Negara (MSN), jika mereka tidak dapat bantu kami akan dapatkan penaja,” kata bendahari itu.


Sementara itu, Naib Presiden BAM, David Wee Toh Kiong mengesahkan persatuan itu belum menerima reaksi daripada Misbun hingga semalam.

“Hari ini kami belum menerima surat daripada Misbun. Sudah banyak persatuan lakukan, menanti hingga tiga bulan dan memujuk.


“Presiden (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh) banyak bersabar, pergi berjumpanya (Misbun). Tapi apa yang beliau dapat hingga hari ini? “Saya rasa Ahli Majlis akan membuat keputusan muktamad esok (hari ini),” kata David Wee.


Semua pihak bagaikan bersetuju isu ini sudah berlarutan terlalu lama terutamanya selepas campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu BAM memberi masa kepada Misbun menemui kegagalan.


http://www.hmetro.com.my/articles/BAMsediacarisifubaru/Article

Malek Noor rebah

Malek Noor rebah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.
MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.

IPOH: Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, yang ‘tumbang’ akibat serangan jantung malam kelmarin, dipercayai ada kaitan dengan buah durian kampung yang dimakan bersama rombongan rakan atlet lain.

Difahamkan, Malek sempat menjamah jamuan buah durian selepas makan tengah hari dan melawat ladang rock melon milik koperasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Tanjung Tualang di sini sebelum menyertai perlawanan bola sepak bersama pasukan pilihan Menteri Besar Perak, malam kelmarin.


Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar berkata, Malek sebelum itu dilihat ceria dan bersemangat untuk menyertai perlawanan berkenaan yang berlangsung jam 8.40 malam kelmarin.

Menurutnya, Malek masuk ke padang untuk melakukan sesi pemanas badan dan berjalan menuju ke arah tiang gol stadium untuk memulakan perlawanan.


“Namun, lima minit selepas wisel perlawanan ditiupkan, Malek dilihat seolah-olah rebah namun sempat bergayut pada jaring di pintu gol berkenaan.


“Ketika itulah pengurus keahlian Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir, segera meluru masuk ke dalam padang bersama doktor pakar yang disediakan pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, Malek hanya memberitahu pening lalu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Hospital Pantai, Ipoh.


“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana Malek sempat berseloroh petang kelmarin, menasihati saya supaya jangan terlalu kuat bekerja kerana bimbang diserang penyakit jantung,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang ditemui berkata, Malek mulanya menyangka dia hanya diserang angin dalam tubuh dan tidak mahu dihantar ke hospital.


“Ketika dirawat di hospital, Malek berulang kali memberitahu serangan mendadak dialami berpunca dari panas dan angin dalam badan. Namun, selepas doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit jantung, Malek terus tergamam dan terkejut.


“Saya percaya dia sendiri tidak tahu dia ada penyakit itu, namun saya bersyukur kerana doktor kedua-dua hospital cepat memberi bantuan kecemasan kepadanya,” katanya selepas melawat Malek di wad ICU, Hospital Pantai, di sini.


Menurutnya, Malek baru saja pulang dari mengerjakan umrah 19 Mac lalu dan banyak menghabiskan masa bersama anak angkatnya, Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmod, setahun tujuh bulan.


Sementara itu, tinjauan mendapati Malek yang juga Pengarah Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd dilihat masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.


Pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Ipoh, Doktor Chan Chong Guan yang ditemui berkata, keadaan Malek akan dipantau rapi sepanjang tempoh 48 jam bagi memastikan dia kembali stabil.


Menurutnya, penyakit jantung dialami Malek akibat saluran darah koronari tersumbat tapi belum di tahap serius dan tidak memerlukan pembedahan segera.


“Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana diberikan bantuan kecemasan dan segera dibawa ke hospital. Ketika kejadian denyutan jantungnya terlalu perlahan dan hanya peralatan di hospital dapat menyelamatkan nyawanya.


“Pemeriksaan perubatan dilakukan mendapati tahap kolesterolnya tidak terlalu tinggi dan dia dijangka keluar dari wad ICU selewat-lewatnya esok sebelum dipindahkan ke wad biasa,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/MalekNoorrebah/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...