RAWANG: Demi cinta, seorang gadis sanggup meninggalkan bangku sekolah bagi mengikut teman lelakinya sejak lebih sebulan lalu.
Pelajar terbabit, Noor Ameelia Shatierra Shamsudin, 15, dikatakan melarikan diri selepas dipujuk seorang pemuda yang dikenali sebagai ‘Botak’ dan pernah menjadi pembantu kedai di kedai makan milik ibu mangsa.
Ibu remaja terbabit, Junaidah @ Junidah Mohd. Yatim, 35, berkata, anaknya hilang dari rumah mereka di Jalan Telipot, Bukit Sentosa, di sini, pada awal pagi, 23 Mei lalu dipercayai mengikut teman lelakinya, Ahmad Shamsul Ahmad Alias atau Sham, 22.
Menurutnya, pada malam sebelum kehilangannya itu, Ameelia atau panggilan mesranya Amy, sempat meluangkan masa bersama keluarga sambil menonton konsert Akedemi Fantasia (AF8) di rumah.
“Keesokan harinya, Amy hilang dari rumah tanpa diketahui apa puncanya.
“Namun segalanya terjawab apabila pekerja kedai makan saya yang dikenali sebagai Sham atau Botak turut hilang dan dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Amy,” katanya semalam.
Menurutnya, anak sulungnya itu, mula berkenalan dengan Sham sejak empat bulan lalu selepas Sham diambil bekerja dan menumpang tidur di kedainya berikutan tidak mempunyai tempat tinggal.
“Saya sendiri yang mempelawa Sham bekerja dan tinggal di kedai makan kerana simpati selepas mengetahui pemuda itu baru diberhentikan kerja selain tidak diendahkan ahli keluarga.
“Selama empat bulan bekerja dengan saya, dia menunjukkan sikap berbudi bahasa dan cukup hormat terhadap orang tua sehingga saya turut dipanggilnya dengan gelaran ‘mummy’,” katanya.
Malah kebaikan Sham menyebabkan dia dan suami serta empat anaknya termasuk Amy menganggap Sham sebagai ahli keluarga.
“Namun saya tidak sangka Amy akan melarikan diri mengikut Sham kerana dia sendiri mengaku dia tidak cintakan Sham kerana menganggap pemuda itu tidak lebih sebagai abang angkat.
“Bagaimanapun, sifat Sham dan anaknya itu mula menampakkan perubahan ketara terutama Amy yang menjadi panas baran dan seolah-olah sengaja menjauhkan diri daripada keluarga,” katanya.
Menurutnya, dia bertambah bimbang dengan keselamatan Amy selepas berjumpa dengan nenek Sham di rumahnya di Batu 13, Puchong baru-baru ini apabila dimaklumkan oleh orang tua itu bahawa cucunya mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk waran tangkap.
Malah, melalui rakan-rakan kawan Sham, dia mendapat tahu pemuda itu pernah terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan dikenakan perintah sekatan.
“Saya merayu orang ramai yang mengetahui di mana Amy dilarikan supaya menghubungi saya di talian 017-6456754 atau bapa saudaranya, Abd. Razak Ahmad di talian 012-9039181,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IkutBotak/Article