Sunday, May 24, 2009

Sah babi punca H1N1

WASHINGTON 23 Mei – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AmerikaSyarikat (AS) mendapati virus baru influenza A (H1N1) yang menyebabkanwabak selesema babi telah tersebar tanpa dikesan sejak beberapa tahunlepas, sebahagian besarnya berpunca daripada babi.

Ketua Bahagian Influenza di pusat tersebut, Dr. Nancy Cox berkata,berdasarkan satu kajian yang dijalankan pihaknya, babi adalah puncajelas yang membawa kepada pandemik tersebut.

‘‘Keputusan kajian itu menunjukkan keperluan global untukmenjalankan pengawasan yang lebih bersistematik berkenaan virustersebut pada babi,’’ katanya kepada pemberita melalui telefon.

Laporan oleh Cox bersama sekumpulan penyelidik antarabangsa dalamjurnal sains itu menyebut virus berkenaan ‘mungkin telah tersebar tanpadikesan di kalangan kawanan babi di suatu kawasan di dunia ini’.

Kumpulan penyelidik itu turut mengesahkan campuran gen manusia, babi dan burung dalam virus terbabit yang telah menjangkiti lebih 11,000 orang di 42 buah negara, serta membunuh 86 orang

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini hampir mengumumkan status pandemik penuh terhadap virus tersebut.

Penyelidik berkata, campuran gen itu sama seperti campuran pelik lain yang menjangkiti babi, namun ia memang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Mereka turut menyusun secara jujukan kod genetik 70 sampel berasingan virus terbabit yang diperoleh dari AS dan Mexico.

‘‘Kami boleh mengenal pasti dari mana setiap gen itu berasal,’’ kata Cox.

Virus baru itu merupakan satu campuran yang terhasil daripada campuran-campuran lain termasuklah sejenis virus yang ditemui pada 1998 yang mengandungi elemen manusia, burung dan babi.

Ia turut mengandungi sedikit selesema Eurasian termasuk satu segmen yang mempunyai kaitan dengan sampel yang diperoleh daripada seorang pesakit di Hong Kong yang dijangkiti selesema babi pada 1999.

Bagaimanapun, penyelidik berkata, kemunculan campuran baru virus itu masih menjadi satu misteri.

Nikah main-main

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Perkahwinan bagi mereka ibarat mainan. Selepas terlanjur dan hamil anak luar nikah, mereka berkahwin tanpa mengikut prosedur sebelum masing-masing kemudian membawa haluan sendiri.

Selepas anak dilahirkan, mereka gagal mendaftar kelahiran itu berikutan tidak cukup dokumen, lantas masing-masing terus membawa diri, sekali gus meletakkan masa depan anak dalam keadaan terumbang-ambing.

Itulah gaya hidup ‘cincai’ segelintir umat Islam masa kini menerusi pengakuan seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Syawal, 38, dan ibu muda bernama Shila, 24, kepada Metro Ahad.

Kedua-duanya kini menyesal kerana berkahwin dan memilih cara hidup seperti itu bersama pasangan masing-masing sejak lebih setahun lalu.

Syawal berkata, perkahwinannya benar-benar seperti perkahwinan ‘main-main’.

“Kami berkenalan, terlanjur atas dasar suka sama suka dan teman wanita saya hamil. Dia mahukan anak itu dan sebagai mencukupkan syarat, kami berkahwin ala ‘koboi’ dengan dinikahkan ayahnya tanpa sebarang pendaftaran.

“Jika ikutkan kehendaknya, kami tak berkahwin pun tak apa, asalkan dia dapat melahirkan anak yang dikandung,” katanya.

Menurut Syawal, selepas berkahwin mereka hanya berjumpa sebulan sekali, malah kadangkala tidak bertemu sehingga tiga bulan.

“Perkahwinan kami bukan atas dasar cinta dan saya menjadi suami umpama ‘suami pak turut’, justeru masing-masing buat hal sendiri.

Isteri tidak kisah, walaupun semakin lama semakin sarat mengandung. Saya boleh datang berjumpanya ikut suka,”
katanya.

Syawal berkata, apabila tiba waktu isterinya melahirkan anak hasil persetubuhan haram mereka,
baru dia benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Saya hantar dia ke hospital dan menyediakan perbelanjaan. Kerana sikap sambil lewa, apatah lagi menganggap perkahwinan seperti ‘main-main’ dan sedar bukan mudah untuk mendaftarkan anak tanpa perkahwinan yang mempunyai sijil, kami tidak mendaftarkan anak kami.

“Dalam tempoh beberapa minggu, ibarat permintaan sudah tertunai, kami membawa haluan masing-masing. Dia tidak cari saya, saya pula tidak cari dia.


“Perasaan seronok hidup seperti orang bujang membuatkan saya langsung tidak memikirkan mengenai masa depan isteri dan anak,” katanya.

Menurut Syawal, masalah kewangan juga menjadi faktor dia tidak dapat memberi komitmen kepada isterinya.

“Kalau tak ada wang, saya rela tidak bertemu mereka. Wang untuk menyara diri sendiri tak cukup, bagaimana nak menyara anak bini?katanya.

Syawal berkata, sudah hampir dua tahun dia tidak bertemu isteri dan anaknya.

“Entah bagaimana agaknya keadaan mereka. Namun, apa boleh buat, kami sudah memilih jalan sendiri.

“Namun, saya sedar anak daripada darah daging saya itu akan berdepan masalah pada masa depan. Insya-Allah selepas ini saya akan mencari mereka semula supaya anak saya mempunyai pengenalan diri,”
katanya.

Shila pula berkata, keterlanjuran bersama teman lelaki sehingga dia hamil anak luar nikah menyebabkan keluarganya memaksa dia berkahwin.

“Saya sebenarnya tidak kisah jika tidak berkahwin asalkan anaknya dapat dilahirkan, tapi selepas dipaksa keluarga, saya terpaksa mengikut saja.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana status perkahwinan saya. Pernikahan saya dilangsungkan dalam suasana ringkas.

“Abang saya menjadi wali dan setahu saya, imam yang menikahkan saya tidak bertauliah serta berasal dari Indonesia,”
katanya.

Menurut Shila, selepas berkahwin, suaminya berjanji hendak menjalankan tanggung jawab sebagai suami dan mahu menjaga anak, tetapi tidak sampai enam bulan, masing-masing tiada persefahaman, apatah lagi dalam keadaan suami bergaji kecil.

“Enam bulan berkahwin, suami mula berubah. Duit tidak pernah cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga kerana pendapatannya hanya sekitar RM900. Lebih teruk lagi, suami kuat minum arak.

“Saya pula sering dipukul apabila menegur tabiat buruknya,”
katanya.

Shila berkata, dalam keadaan sedemikian mereka bersetuju memilih jalan hidup masing-masing.

Kami sudah berkahwin tetapi tidak seperti suami isteri. Pada mulanya suami jarang pulang ke rumah, tetapi lama kelamaan, tanpa bercerai kami terputus hubungan selepas dia terus menghilangkan diri.

“Saya lebih senang dengan keadaan seperti itu kerana tidak mahu terikat lagi dengan suami. Yang penting saya ada anak dan mahu menjalani hidup sendiri,”
katanya.

Menurut Shila, dia tenang dengan kehidupannya, tetapi kini mula bimbang dengan masa depan anaknya kerana anaknya belum ada sijil lahir walaupun usianya mencecah setahun.

“Selepas melahirkan anak, saya dan suami tidak mendaftarkan anak kami. Selain takut malu, kami bersikap sambil lewa.

“Kesudahannya, sehingga kini anak saya tiada sijil lahir. Namun, kini saya sedar dokumen itu penting untuk masa depan anak saya dan saya akan berusaha membuatnya, walaupun takut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090524080612/Article

Organ Millie dibelit rambut



MILLIE gemar menggigit rambutnya sejak berumur tiga tahun.


BAGI kebanyakan budak perempuan, perbuatan mengunyah rambut adalah satu tabiat buruk yang tidak berbahaya.

Tetapi bagi seorang kanak-kanak di Britain, Millie Wallis yang berumur lima tahun, perbuatan itu hampir membunuhnya.

Akibat menelan terlalu banyak rambut, terhasil satu struktur yang berbentuk tali yang menyebabkan organ dalamannya terlilit dengan rambut. Ia dikenal pasti sebagai Sindrom Rapunzel.

"Doktor memberitahu kami dia terdedah kepada bahaya besar dan boleh mengundang kematian jika dibiarkan berlarutan," ujar ibu Millie, Wallis.

Wallis juga mengatakan anaknya itu memang gemar bermain dan menggigit rambut sendiri sejak berumur tiga tahun lagi namun tidak pernah menyangka dia akan menelannya sebanyak itu.

Pada Ogos tahun lalu, Millie mengadu sakit perut. Empat lawatan dan berada semalaman di hospital juga masih gagal untuk mengenal pasti punca masalah Millie. Selera makan dan berat badannya pula semakin menurun.

Pada bulan Januari, dia telah dibawa ke Hospital Alder Hey di Liverpool di mana satu imbasan dalaman dilakukan.

Hasilnya, mereka menemui satu objek di dalam perutnya.

Wallis dan suaminya, Stephen, 40, yang bekerja seorang tukang kayu menyangka ia sejenis tumor.

"Namun apabila doktor menjalankan pembedahan ke atas Millie, mereka mendapati ia adalah objek besar yang dililit rambut sehingga memberi kesan terhadap saluran penghadamannya," kata Wallis.

Doktor memberitahu pembedahan akan mengambil masa lebih kurang satu jam tetapi disebabkan helaian rambut tersangkut di sekeliling organ-organ Millie, mereka terpaksa melakukannya dalam tempoh enam jam.

Jika rambut itu mencederakan usus dan menyebabkan ia berlubang, Millie mungkin akan meninggal dunia.

"Ia perlukan kerja yang teliti. Dan mereka terpaksa membedah sistem penghadamannya supaya makanan boleh melalui kawasan usus yang rosak.

"Syukur kini Millie telah menjalani proses pemulihan yang baik. Malah dia telah berjanji untuk tidak menelan rambutnya lagi," kata Wallis.

Sindrom Rapunzel dinamakan bersempena cerita Brothers, kisah seorang gadis berambut panjang yang dikurung di sebuah menara sehingga diselamatkan oleh seorang putera kacak dengan menggunakan rambut gadis itu yang panjang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Sudah tiada jodoh

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
MESRA... Akhil sering digosipkan dengan Waheeda.
MESRA... Akhil sering digosipkan dengan Waheeda.

KUALA LUMP UR: “Saya rasa jodoh kami sudah tiada. Ini ketentuan Allah SWT dan ia untuk kebaikan kami bersama,” kata isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung desas-desus perpisahan mereka yang kini menjadi perbualan hangat.

Menurut Maizawati, desas-desus mengatakan mereka bakal berpisah adalah benar dan dia turut mengesahkan kes berkaitan perceraian mereka akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Katanya, keputusan berpisah bukan dibuat atas dasar mereka bermusuhan, tetapi ia jalan terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku.

“Saya tidak salahkan dia. Saya reda kerana saya anggap apa yang berlaku sebagai mainan dunia semata-mata. Cinta kita cinta kepada Allah. Setiap perkara yang berlaku ada qada’ dan qadarnya,” katanya.

Maizawati berkata, keputusan untuk tampil di media bukan dirancang, sebaliknya ia ketentuan Allah.

“Tiba masanya saya tampil memberi penjelasan supaya masyarakat memahami apa yang berlaku.

“Tiada langsung niat untuk memburukkan sesiapa. Mungkin ada hikmahnya selepas ini,”
katanya yang muncul di dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada jam 8 hingga 10 pagi hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana dia berdepan situasi kontroversi demi kontroversi membabitkan suaminya dengan penyanyi Waheeda, Maizawati berkata, dia sentiasa berfikiran positif.

“Saya terima penjelasan dia. Saya fikir semuanya positif,” katanya.

Menurut Maizawati, dia juga percaya suaminya tidak berkahwin dengan Waheeda.

“Apa yang dia beritahu (tidak berkahwin dengan Waheeda) adalah benar. Saya harap masyarakat tidak lagi memandang serong kepadanya,” katanya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai desas-desus Akhil, 40, menjalin hubungan dengan Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31, malah ada juga cakap-cakap mengatakan mereka sudah berkahwin.

Bagaimanapun, Akhil menafikannya dan memberitahu hubungannya sebagai Waheeda cuma sebagai rakan sekerja apabila penyanyi itu dijemput menjayakan program Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Sebelum ini, mereka pernah dipertemukan dalam program Hijrah Remaja yang pernah disiarkan Astro.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Mutakhir/20090524081543/Article

Skandal berdarah

Suzanne Tamim yang bermata hijau dan meraih kemasyhuran dalam sebuah program mirip American Idol, dibunuh kekasih gelapnya, jutawan terkenal Mesir, Hisham Talaat.




Berita tentang penangkapan seorang usahawan Mesir yang berpengaruh telah menggemparkan bumi Arab. Lelaki yang sudah berkahwin itu menghadapi hukuman gantung sampai mati Khamis lalu kerana disabitkan dengan pertuduhan mengupah seseorang untuk membunuh kekasih rahsianya.

Seorang bekas ejen keselamatan kerajaan telah dibayar sejumlah AS$2 juta untuk mengelar leher Suzanne Tamim, seorang penyanyi pop terkenal yang dilahirkan sebuah program pencarian bakat negara itu.

Jutawan Hisham Talaat Moustafa, 50, tidak menyangka rancangan itu akan memerangkap dirinya. Tanpa menunjukkan sebarang perasaan ketika hukuman dijatuhkan, Hisham nyata telah mendedahkan kisah gelap dunia seks, kuasa, wang dan pembunuhan.

Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan bahawa dia akan terlepas daripada hukuman tersebut. Tanggapan mengenai orang kaya dan berpengaruh yang sering bebas daripada jaringan undang-undang itu menyingkap kisah Gamal, iaitu anak Presiden Hosni Mubarak yang pernah bebas daripada tuduhan membunuh.

Ketika perbicaraan terhadap Hisham dan orang yang diupahnya, Mohsen el-Sukkary berlangsung, kekecohan tidak dapat dielakkan. Kaum keluarga dan para wartawan sering bergelut dengan pihak polis. Kakak Hisham telah pengsan sementara dua anak perempuannya tidak henti menangis.

Nama Suzanne Tamim meniti di bibir peminatnya sejak dia muncul dalam program nyanyian mirip American Idol. Menggoda khalayak Timur Tengah dengan lenggok tari, rambut ikal dan suara lunak, lagu dendangannya yang paling diingati adalah mengenai sepasang kekasih yang hiba kerana perlu berpisah.


HISHAM TALAAT MOUSTAFA berpengaruh dalam politik Mesir.


Begitulah jua kehidupan peribadinya. Dia berpisah dengan suami yang juga pengurusnya dan kemudian dihujani siri dakwaan undang-undang. Suzanne kembali ke Mesir untuk memencilkan diri. Kemudian, pada musim panas tahun 2004 menemukan Suzanne dengan Hisham di sebuah resort di Laut Merah.

Dalam perbicaraan di mahkamah, Mohsen mendedahkan bahawa Hisham sering bersama Suzanne. Wanita itu tinggal di dalam sebuah bilik suit hotel yang dibayar Hisham serta sering dibawa dengan pesawat jet peribadi milik usahawan tersebut.

Apartmen mewah di Dubai

Hisham mengaku mencintai Suzanne dan berhajat untuk memperisterikannya pada tahun 2006 namun mendapat tentangan ibunya. Tentangan itu memaksa mereka berpisah.

Suzanne sekali lagi membawa diri. Kali ini ke London dan mula menjalinkan hubungan dengan seorang petinju. Peguam teman lelakinya itu memberitahu bahawa Suzanne masih terancam dengan api cemburu Hisham. Penyanyi itu kemudiannya mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Dubai.


MOHSEN yang menjadi pembunuh upahan.


Hisham meminta bantuan Mohsen, yang ketika itu bertugas di Hotel Four Season miliknya di Kaherah, untuk melaksanakan dendamnya. Tiket penerbangan dan visa disediakan untuk Mohsen menjejak Suzanne di London, Dubai, dan seterusnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berdasarkan transkrip pengakuan Mohsen kepada pihak berkuasa, dia menerangkan bahawa Hisham pernah memintanya mencampakkan Suzanne keluar dari balkoni hotel di Dubai, selepas Mohsen gagal menjalankan tugas membunuh Suzanne di London.

Pegawai penyiasat Dubai memberitahu, Mohsen telah mengekori Suzanne pada pagi 28 Julai 2008 hingga ke apartmen penyanyi itu di kompleks mewah Dubai Marina. Dari lobi, Mohsen menyamar sebagai wakil syarikat pengurusan apartmen dan menghubungi Suzanne melalui intercom video. Suzanne mempercayainya.

Sejurus berjaya memasuki apartmen, Mohsen melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Suzanne dengan pisau. Pihak polis menemui mayat Suzanne berlumuran darah, dengan banyak kesan tikaman termasuk kelaran sepanjang lapan inci di lehernya.

“Semua itu berlaku dalam masa 12 minit saja. Mohsen yang menukar pakaian dan membuang senjatanya walau bagaimanapun dijejaki melalui bukti DNA Suzanne dan rakaman wajahnya di kamera litar tertutup,” ujar Mejar Jeneral Khamis Al Mazeina daripada pasukan polis Dubai.

Lantaran siasatan yang teliti, Mohsen berjaya ditangkap pada 6 Ogos di Mesir, sebelum siasatan menghala kepada Hisham. Sementara itu, gambar ngeri pembunuhan Suzanne sudah terpampang di muka depan akhbar-akhbar di seluruh Arab.

Kerajaan Mesir menolak ekstradisi Hisham ke UAE dan mendesak perbicaraan hanya boleh dijalankan di negara tersebut. Orang ramai melihat keadaan itu sebagai membuka jalan kepada tokoh hartanah terkenal itu terlepas daripada hukuman.

Pisau sudah diasah – Hisham

Namun, dalam pada perincian perbicaraan semakin menghangatkan dada akhbar, hakim telah mengeluarkan perintah untuk menahan dan menutup kebanyakan daripada 27 sesi perbicaraan daripada pengetahuan umum. Itu telah menyemarakkan lagi spekulasi yang menyamakan kes Hisham dengan Gamal Mubarak.

Namun, perbicaraan ini masih menunggu dan memerlukan pertimbangan akhir oleh Mufti Besar Mesir. Pihak defendan boleh merayu dalam tempoh 60 hari selepas mufti memberikan kata putus pada 25 Jun nanti.

“Pisau sudah diasah untuk memotong dagingku,” Hisham menitipkan kepada media tentang perasaan dan pengalamannya dari dalam penjara. “Namun pembohongan ini tidak dapat mengalihkan piramid yang telah aku bina dalam ekonomi Mesir.”

Selepas kematian Suzanne, sebuah klip video lagu dendangannya disiarkan di televisyen. Berjudul Nawyahalou, klip itu menunjukkan Suzanne sedang menyiapkan hidangan sambil menghayun-hayunkan pisau. Pada masa yang sama, seorang lelaki sedang memerhatikannya dari jendela sebuah bangunan lain.

Suzanne menyanyi: “Aku tak akan mendiamkan diri dan akan terus diingatinya, dalam fantasinya dan dalam mimpinya. Aku akan sentiasa bersamanya dan tidak akan membiarkan matanya lena. Aku akan sentiasa membuatkan hatinya bergelora.”

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Samun mangsa guna mantera Jawa kuno


MOHD. Sabirin menunjukkan jeriji tingkap rumahnya yang dipecahkan sebagai laluan masuk perompak dalam kejadian awal pagi kelmarin.


BERA – Sekumpulan empat perompak warga Indonesia yang ditumpaskan polis kelmarin dipercayai menggunakan jampi serapah untuk memukau sebelum merompak sebuah keluarga di Felda Bukit Puchung, Kemayan di sini.

Sebahagian daripada mantera dipercayai dalam bahasa Jawa kuno pada sekeping kertas itu berbunyi: “Bis ingat mas lisung batu gune siti bkt ke, Bis manti, ingat raja muter gagak putik batu momot.”


GAMBAR pada salinan kertas mantera jawa kuno yang dikatakan dibaca sebelum menyamun keluarga Mohd. Sabirin awal pagi kelmarin.


Kertas jampi itu dijumpai mangsa, Mohd. Sabirin Sipon, 58, dalam dompetnya yang dipulangkan oleh polis selepas ia dilarikan perompak terbabit.

Akhbar semalam melaporkan seorang daripada anggota kumpulan tersebut ditembak mati beberapa jam selepas mereka melarikan wang tunai berjumlah RM16,750 dan barang kemas bernilai RM6,000 serta beberapa barangan lain milik mangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Isteri Rexy Mainaky diseret peragut


HENNY (kanan) bersama Rexy dan dua anak mereka pada satu majlis di Putrajaya dua tahun lalu.


KUALA LUMPUR – Peragut terus mengganas dan tidak pernah mengenal mangsanya. Kali ini membabitkan isteri kepada Ketua Jurulatih Beregu Badminton Malaysia, Rexy Ronald Mainaky yang menjadi mangsa dua peragut bermotosikal dalam kejadian di Ampang City di sini malam kelmarin.

Akibat kejadian itu, mangsa, Henny Mainaky, 40, mengalami kecederaan di tangan selepas terseret ketika diragut.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, Rexy, 41, dan Henny dikatakan sedang menuju ke kenderaan mereka selepas keluar dari sebuah restoran di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Hashim berkata, kedua-dua mangsa kemudian didatangi oleh dua lelaki bermotosikal yang bertindak meragut beg tangan Henny.

“Kejadian itu menyebabkan isteri Rexy terseret dan mengalami kecederaan di tangan kiri.

“Rakan Rexy yang berada di dalam kenderaan dan menyaksikan kejadian itu segera mengejar kedua-dua suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Aril, Akim gamatkan resepsi Adlin-Emelda

Ahad Mei 24, 2009

DIVA...kehadiran Aril menghangatkan lagi suasana resepsi perkahwinan juri AF7-nya, Adlin dan Emelda.

KEMERIAHAN majlis resepsi pengantin baru, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila Abdul Hamid turut digamatkan oleh kehadiran dua alumni Akademi Fantasia 7, Aril dan Akim.

Mereka berdua yang baru pulang dari Indonesia terus diterbangkan ke majlis itu demi menyempurnakan permintaan Adlin sejak mereka dalam akademi lagi.

Aril mendendangkan lagu Nakal, Kasih Tak Sampai dan Larut secara duet dengan Akim. Sementara itu, Akim mengalunkan lagu barunya, Bengang, Bencinta dan I'm Yours.

FOKUS... Akim mencuri tumpuan ramai sambil menyanyikan lagu I'm Yours.

Selain itu, mempelai termasuk 800 orang tetamu yang hadir turut dihiburkan oleh penyanyi dan pelakon Musly Ramli dan penyanyi Adibah Noor yang diundang khas dari Kuala Lumpur.

Kelihatan aura ala-ala Sultan Melaka terserlah dalam diri Adlin ditambah dengan Emelda di sebelah yang nampak penuh keaslian dan kemelayuan.

Emelda berbaju kurung lengkap berlian Swarowski dan renda Perancis ditambah dengan cucuk sanggul rekaan Emelda sendiri.

Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu turut diserikan dengan kehadiran para selebriti seperti Chef Wan, Afdlin Shauki, Raja Azmi Raja Sulaiman, Que Haidar, Linda Jasmine, Julie Dahlan, pengarah Saw Teong Hin, koreografer Pat Ibrahim dan pengarah Mamat Khalid.

Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet SUK Perak, Ipoh itu tidak lengkap jika tidak dihadiri oleh tetamu kenamaan seperti seisi keluarga Raja Izzudin Iskandar Shah yang merupakan kerabat diraja Perak.

Pengantin dan tetamu dijamu dengan makanan nasi minyak dan lauk ayam tandoori istimewa dari Pakeeza Catering.

Setibanya pengantin selang 45 minit selepas itu, mereka terus diarak ke pelamin berkonsepkan songket pucuk rebung yang dihiasi dengan bunga ros dari China dan Belanda dengan rona warna-warna klasik purbakala rekaan Nas Great Idea.

Ketibaan mereka disambut dengan alunan marhaban dengan iringan paluan kompang, gambus dan alat-alat tradisional Melayu lain.

Abang ipar Emelda, pengacara AC Mizal bertindak selaku pengerusi majlis bagi memudahkan upacara seperti merenjis, makan beradab, persembahan artis jemputan dan memotong pulut kuning. Kesemuanya berjalan dengan lancar.

AC Mizal juga sempat menyanyi bersama Akim dan Aril menerusi lagu Larut.

Ibu Adlin, Ruminah Sidek (kiri) merenjis kepada pengantin baru, Adlin dan Emelda semasa upacara bersanding.

Selepas bersanding dan merenjis, mempelai dibawa ke meja makan utama bertemakan adab-adab raja Melayu. Adlin dan Emelda diraikan ibarat raja dan permaisuri sehari. Meja itu turut dihiaskan oleh Nas Great Idea (Nas).

Selain majlis malam tadi, Nas juga membuat hantaran untuk pengantin lelaki dengan nama Agung Mulyajaya manakala hantaran daripada pihak perempuan diberi nama Biru Manjalara.

Difahamkan, mempelai membelanjakan kira-kira RM75,000 untuk semua rekaan dari Nas.

Mengenai persalinan pengantin, mereka mengenakan busana berkonsepkan tradisional `back to basic' dari segi warnanya iaitu putih dan fabrik songket.

BELAIAN KASIH SAYANG SUAMI...Adlin menyuapkan makanan kepada isteri tercintanya, Emelda.

Sebelum pulang pada pukul 11 malam, para tetamu turut dihadiahkan dengan bongkah berisi wajik.

Selepas majlis ini, mempelai akan diraikan oleh pihak lelaki di Meru, Klang pada 21 Jun depan dengan berkonsepkan Jawa manakala di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur pada 11 Jun dengan tema Inggeris moden.

Lebih banyak foto mengenai resepsi tersebut boleh dilihat di galeri foto mStar.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/24/mstar_hiburan/20090524011737&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...