Monday, December 29, 2008

Polis beri permit lancar kempen anti-ISA malam ini


Jimadie Shah Othman Dec 29, 08 11:43am

Majlis pelancaran kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang gagal disempurnakan bulan lalu, akan dilancarkan semula malam ini.

Kali ini, pihak penganjurnya telah mendapatkan permit polis untuk mengadakan majlis pelancaran tersebut di Stadium Bandar Baru Bangi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis memberi permit tersebut dengan syarat perhimpunan itu diadakan di dalam stadium tersebut.

Kamaruzaman yang juga penyelaras lokasi untuk program itu berkata, pada mulanya, permohonan penganjur mengadakan program berkenaan tidak diluluskan.

Namun, tambah beliau, setelah rayuan dibuat, polis memberikan kebenaran minggu lalu.

Wakil keluarga tahanan berucap

Pelancaran itu akan dilakukan bersama oleh ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat pada jam 9 malam ini.

Wakil keluarga tahanan ISA, Norlaila Othman dan wakil mahasiswa adalah antara pemimpin lain yang dijadual turut berucap di majlis tersebut.

Kamaruzaman berkata, stadium tersebut boleh memuatkan 15,000 penonton, termasuk di bahagian padang.

Beliau menambah, perhimpunan itu pada mulanya dijadualkan di Stadium Selayang tetapi ditukar ke Stadium Bandar Baru Bangi ekoran kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan di Stadium berkenaan.

Seramai 250 Unit Amal PAS daripada Wilayah Persekutuan dan Selangor dikerahkan malam ini bagi mengawal keadaan dan lalu-lintas, katanya.

Syed Ibrahim di Mekah

Sebelum ini, majlis pelancaran kempen itu hendak diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada malam 23 November lalu.

Bagaimanapun, pihak polis telah bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun di situ kerana ia tidak mendapat permit polis.

Polis turut menahan sembilan orang termasuk Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Kempen tersebut adalah anjuran bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh tidak dapat menghadai majlis malam ini kerana masih berada di tanah suci.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Mac tahun depan.


http://www1.malaysiakini.com/news/95540

Lantikan Anwar ketuai Sabah, Sarawak bukan perlekeh pemimpin PKR negeri



Isnin Disember 29, 2008

KOTA KINABALU: Pelantikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai parti itu di Sabah dan Sarawak tidak bertujuan memperlekehkan kepimpinan sedia ada di kedua-dua negeri tersebut, kata Setiausaha PKR Sabah, Ahmad Thamrin Mohd Jaini.


Ahmad Thamrin berkata, keputusan supaya Anwar menggantikan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PKR Sabah dan Sarawak sebenarnya bertujuan memperkukuhkan parti itu.


"Kita perlu melihat keputusan itu secara positif dan tidak patut mempersoalkannya," katanya.


Bagaimanapun katanya, kedudukan Anwar dalam mengetuai PKR di kedua-dua negeri itu adalah untuk sementara waktu sahaja.


Awal minggu ini, Jeffrey telah menyifatkan tindakan menggantikan beliau dengan Anwar bagi mengetuai PKR di Sabah seperti memberi gambaran yang orang Sabah tidak berkemampuan mengetuai parti di negeri itu.


Thamrin berkata, keputusan yang dibuat kepimpinan PKR pusat bukan didorong oleh sebarang agenda peribadi.


Beliau menafikan yang PKR Sabah kini menerima tentangan berikutan pelantikan Jeffrey sebagai salah seorang daripada timbalan pengerusi di negeri itu. Dua lagi adalah Pengerusi PKR Sabah, Ansari Abdullah dan penyandang jawatan itu sebelum ini, Christina Liew.


Umum mengetahui memang wujud persaingan dalam merebut jawatan antara Jeffrey dan Ansari.


Kata Thamrin, jika wujud perpecahan dengan pelantikan jawatan-jawatan itu, keputusan supaya Anwar mengetuai PKR Sabah adalah demi kepentingan menyatukan parti.


Minggu lalu, PKR mengumumkan rombakan penyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri iaitu Anwar mengetuai Sabah dan Sarawak.


Pengerusi Perhubungan Negeri yang lain terdiri daripada Datuk Fauzi Abd Rahman di Pahang, Pulau Pinang (Datuk Zahrain Mohamed Hashim), Negeri Sembilan (Datuk Kamarul Baharin Abbas), Selangor dan Wilayah Persekutuan (Tan Sri Datuk Abd Khalid Ibrahim), Kedah (Ahmad Kassim), Kelantan (Ab Aziz Ab Kadir), Perlis (Johari Shafie), Melaka (Khalid Jaafar), Johor (Dr. Zaliha Mustaffa), Perak (Osman Abdul Rahman) dan Terengganu (Wan Rahim Wan Hamzah).


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/29/mstar_berita/20081229094916&sec=mstar_berita

Rayu henti perang mulut


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali mahu pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR), gabungan pembangkang terdiri daripada Pas, DAP dan PKR, yang terbabit dalam perang mulut supaya berhenti daripada menimbulkan perbezaan di antara mereka melalui media.

“Saya ingin menggesa dan merayu pelbagai pihak dalam Pakatan supaya berhenti daripada membawa perbezaan dan konflik mereka melalui media terutama yang dikawal oleh BN (Barisan Nasional) .

“Ini termasuk bukan saja MB Selangor (Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim) dan Anggota Parlimen Kapar (S Manikavasagam) tetapi juga Speaker Selangor (wakil DAP Teng Chang Khim) dan Anggota Parlimen Klang (wakil DAP Charles Santiago),”
katanya dalam di sini, semalam.

Perbezaan mereka ditimbulkan Jumaat lalu selepas Manikavasagam mengumumkan beliau akan keluar daripada Pakatan Rakyat atas alasan tidak bersetuju dengan Khalid dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu.

Semalam, Khalid membalas dengan berkata, Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan jika beliau mahu berbuat demikian dan beliau tidak berminat untuk berjumpa anggota Parlimen itu atau untuk memintanya menimbang semula keputusannya.

Bagaimanapun, Santiago bingung selepas Teng menuduhnya sudah dibeli oleh BN dan bersikap seperti pembangkang.

“Mereka sepatutnya duduk bersama dan berbincang untuk menyelesaikan konflik secara dalaman. Terdapat banyak saluran dan prosedur untuk berbuat demikian,” katanya.

Katanya, dengan ketiadaan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berada di luar negara sehingga 6 Januari, beliau akan mengadakan mesyuarat biro politik Rabu ini. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229094513/Article/index_html

3 pelajar peras di pusat beli-belah

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud


SUBANG JAYA: Tiga pelajar sekolah mendalangi kegiatan memeras ugut di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, kelmarin.

Remaja berusia 15 tahun itu menjadikan mereka seusia sebagai sasaran kegiatan jahat berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, empat pelajar kerugian sejumlah wang dan empat telefon bimbit selepas didatangi kumpulan pelajar nakal terbabit.

Seorang daripada ahli kumpulan itu bagaimanapun, diberkas polis tidak lama selepas mangsa membuat laporan.

Sumber berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dan tiga rakannya berada di pusat beli-belah sebelum didatangi tiga lelaki sebaya mereka.

“Kumpulan suspek memberitahu mereka tidak berpuas hati dengan mangsa dan mengajak menyelesaikan masalah itu di luar pusat beli-belah.

“Mangsa yang tidak mengesyaki niat sebenar kumpulan lelaki itu mengikut mereka ke satu lorong,”
katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di lorong sunyi, suspek memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan barang berharga.

Menurutnya, kumpulan lelaki itu berang selepas mangsa enggan menyerahkan barangan yang diminta lalu mengugut menggunakan kayu.

“Pelajar sekolah itu tiada pilihan dan terpaksa menyerahkan empat telefon bimbit dan sejumlah wang.

“Mereka terus melarikan diri dan mangsa kemudian membuat laporan polis,”
katanya.

Sumber itu berkata, sepasukan polis yang menerima laporan daripada mangsa melakukan siasatan dan memberkas seorang suspek di sekitar tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Katanya, dua lagi suspek dapat memboloskan diri dan mereka kini dikesan bagi membantu siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenai kejadian itu dan seorang remaja berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui sama ada mereka pernah terbabit dalam kejadian sama sebelum ini,”
katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229094810/Article/index_html

`Tidak berbaloi’


Oleh Shamran Sarahan

KUALA LUMPUR: “Mahal dan tidak berbaloi.” Itu reaksi kaki wayang mengenai cadangan menaikkan harga tiket daripada RM10 kepada RM20 filem Hollywood di pawagam yang disuarakan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), baru-baru ini.

Pengarah filem tempatan mengemukakan cadangan melalui PFM kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) supaya menaikkan harga tiket filem Hollywood bagi membantu membangun dan meningkatkan jualan tiket filem tempatan.

PFM turut membangkitkan kemasukan filem Hollywood dihadkan di negara ini, sebagaimana yang dipraktikkan di negara luar seperti China yang hanya menerima 20 filem Hollywood setahun.

Kakitangan kerajaan, Ahmad Fauzan Masri, 28, tidak bersetuju cadangan itu dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal kerana membebankan peminat filem Hollywood.

“Saya menonton filem Hollywood dua hingga tiga kali sebulan. Jika harga tiket RM20 bermakna saya perlu mengeluarkan RM60, bagaimana jika saya pergi bersama pasangan atau keluarga?

“Harga tiket RM20 dicadangkan terlalu mahal. Pengarah filem tempatan tidak perlu bimbang jika filem kita bermutu orang ramai tetap menonton walaupun ada saingan daripada filem Hollywood,”
katanya.

Pegawai pemasaran, Muhamad Nurhazuan, 21, membantah kenaikan harga tiket bagi filem Hollywood tetapi bersetuju jika kemasukan filem luar dihadkan.

Penuntut kolej, Zurina Zulkifli, 19, berkata ada baiknya harga tiket dikekalkan kerana kenaikan yang dicadangkan itu belum tentu memberi kesan kepada kaki wayang.

“Tiket RM20 mahal tetapi belum tentu menghalang kaki wayang ke pawagam menonton filem Hollywood. Bagi saya filem tempatan perlu meningkatkan mutu menarik penonton,” katanya.

Pelajar, Farhan Wan Abd Aziz, 19, berkata kenaikan harga tiket akan menyebabkan orang ramai beralih kepada cakera padat video (VCD) dan digital (DVD) cetak rompak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229095114/Article/index_html

Ganja moden

Oleh Ridzuan Ahmad



KHAYAL..seorang penagih menghisap daun ketum bercampur
tembakau.


ALOR STAR: Segelintir penagih dadah di negeri ini mendakwa mampu menghilangkan ketagihan menggunakan campuran daun ketum dengan tembakau yang digelar ‘ganja moden’ sejak beberapa bulan lalu.

Ini berikutan lambakan daun ketum di pasaran pada harga serendah RM30 sekilogram memudahkan mereka mendapat bekalan dan mendorong penagih beralih kepada penggunaan daun itu dengan kaedah sama seperti menghisap ganja.

Difahamkan, formula baru itu tercetus selepas kesukaran mendapat bekalan ganja selain harganya terlalu tinggi menyebabkan penagih mencari alternatif menggantikan bahan larangan itu.

Campuran daun ketum dengan tembakau itu memberi kesan hampir sama dengan ganja.

Seorang penagih dadah yang mahu dikenali sebagai Jalil, 34, berkata dia mula mencuba ganja moden itu selepas diberi rakannya.

“Mulanya saya tidak percaya, tetapi selepas mencuba baru menyedari ia mampu menghilangkan ketagihan.

“Lagi banyak kuantiti daun ketum itu dicampurkan, lebih hebat kesannya. Malah, ia mampu membuatkan saya terus meninggalkan ganja dan beralih kepada ganja moden ini.

“Harga ganja yang mahal selain bekalan sukar diperoleh menyebabkan saya kini meninggalkan ganja dan menggunakan ganja moden kerana lebih menjimatkan,”
katanya.

Menurutnya, dia kini mampu menghasilkan ganja moden hasil tunjuk ajar rakan kerana proses penyediaannya hampir sama dengan ganja iaitu daun dicincang halus sebelum dijemur untuk tempoh tertentu.

Katanya, daun ketum dimasukkan dalam bungkusan atau dipek mengikut saiz tertentu bagi mengelak dimasuki angin sebelum diadun dengan tembakau peket dan digulung bersama daun rokok untuk digunakan.

Kesan pengambilan ganja moden tidak setanding ganja jika diambil dalam kuantiti sedikit, tetapi jika diambil dalam kuantiti banyak, kesannya mampu menandingi ganja.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharum Othman, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan.

Menurutnya, individu yang terbabit dalam kegiatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 sekiranya didapati memiliki daun ketum atau air daun berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229095804/Article/index_html

Mati didera bapa tiri

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin



TUNGGU...ahli keluarga mangsa menunggu jenazah di rumah
mayat HSA, semalam.


JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati di atas katil di sebuah pangsapuri di Tampoi di sini, kelmarin, dipercayai didera dengan teruk menggunakan rotan oleh bapa tirinya.

Mayat Siwakorn Sukuntham, warga Thailand beragama Islam ditemui di bilik belakang pangsapuri berkenaan oleh sepasukan anggota polis.

Polis bergegas ke rumah keluarga mangsa di Blok A, Pangsapuri Pulai View, Taman Kobena, Tampoi, selepas mendapat maklumat orang awam kira-kira jam 3.20 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak, berkata pemeriksaan awal ke atas jenazah mangsa mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi kesan kecederaan termasuk tangan, kaki dan belakang badan dipercayai akibat didera.

“Dia dipercayai dirotan berikutan terdapat banyak kesan selirat di belakang badan selain luka pada kepala.

“Mangsa dipercayai didera bapa tirinya sejak Rabu lalu dengan kali terakhir kira-kira jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) sebelum mati kira-kira sejam kemudian,”
katanya di sini, semalam.

Susulan itu, kata Mohd Akhir, polis menahan bapa tiri mangsa, seorang warga Singapura berusia 31 tahun dan ibu mangsa berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama ibu kandung dan adik perempuannya berusia enam bulan.

“Bapa tiri mangsa sudah diberhentikan kerja dari sebuah kilang di Singapura sejak sebulan lalu.

“Pasangan terbabit kini direman sehingga 3 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mendera hingga mati,”
katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati keluarga mangsa menunggu bedah siasat untuk menuntut jenazah.

Suasana tegang apabila seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga bapa tiri mangsa mempersoalkan kehadiran wartawan dan jurugambar.

Dia tidak membenarkan gambar mereka dirakam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229100158/Article/index_html

RM60,000 lebur penangan Datuk Malik

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga bulan berkenalan, wang simpanan RM60,000 milik seorang wanita lebur apabila dia mendakwa menyerahkan wang berkenaan akibat dipukau kepada seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Datuk Malik.

Mangsa berusia 51 tahun itu dikatakan hanya menuruti permintaan Datuk berusia 70-an berkenaan seolah-olah dia terkena ilmu hitam apabila dengan mudah mengeluarkan wang setiap kali dirayu lelaki itu.

Difahamkan, dalam tempoh tiga bulan itu, mangsa yang berasal dari Sungai Sekamat, Kajang di sini dalam keadaan antara sedar dan tidak dipercayai mengeluarkan wang 17 kali menggunakan buku akaun di bank berlainan.

Menurut mangsa yang enggan dikenali, dia mengenali Datuk itu melalui jirannya selepas diberitahu lelaki terbabit sedang mencari pekerja untuk kilang roti miliknya.

“Dulu saya bekerja sebagai operator kilang dan sudah berhenti kerja baru-baru ini. Saya gembira apabila diberitahu jiran ada seorang lelaki digelar Datuk Malik mahu mencari pekerja,

“Kami berjumpa dan Datuk itu bersetuju mengambil saya sebelum membawa saya pergi ke kilang rotinya pada akhir April lalu,”
katanya, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081229100518/Article/index_html

Air jampi Metal Indonesia


Oleh Salman Hamat


KUALA LUMPUR: Jika Mat Rempit gemar mengambil arak murah untuk membuatkan mereka berani melakukan lagak ngeri di jalan raya, kumpulan Metal Indonesia di sini pula meneguk sejenis air jampi sebelum bertarung dengan kumpulan samseng lain.

Air jampi itu dipercayai menjadikan mereka tidak gentar ketika berhadapan lawan walaupun bilangan musuh lebih ramai.

Kumpulan ganas terbabit yang sering melepak di sekitar pusat tumpuan pelancong di ibu kota terutama pada hujung minggu didakwa pantang dicemuh terutama kumpulan pendatang asing lain.

Mereka juga tidak teragak-agak bergaduh menggunakan senjata tajam.

Menurut sumber, individu yang meneguk air jampi itu bukan saja menjadi lebih berani, malah seperti dirasuk lalu sanggup membelasah lawan tanpa belas kasihan hingga cedera parah dan membawa maut.

Katanya, melalui maklumat daripada kenalan yang menganggotai kumpulan metal berkenaan, air jampi berkenaan turut dicampur sejenis minyak untuk menambahkan kuasanya.

“Saya sendiri pernah melihat air berkenaan dan ketika dihidu baunya seakan-akan ‘minyak atar’ tapi amat kuat hinggakan boleh membuat mereka yang tidak pernah menghidunya menjadi pening.

“Setiap kali sebelum bertempur, kumpulan Metal Indonesia itu berkumpul berhampiran sebuah pasar raya di ibu kota yang sememangnya terkenal sebagai kawasan mereka berjumpa setiap hujung minggu atau cuti am,”
katanya.

Kumpulan sama dipercayai terbabit dalam kekecohan di Taman Tasik Titiwangsa di sini jam 2.15 petang semalam.

Mereka mulanya berkumpul di hadapan pasar raya berkenaan seawal jam 8 pagi sebelum bertolak ke taman terbabit.

“Selain meneguk air jampi itu, mereka memasang pelekat khas warna putih di bahu dipercayai mengelak daripada terpukul sesama sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, polis bertindak segera dengan menahan lapan lelaki daripada kumpulan metal Indonesia itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku 500 meter dari pentas utama satu majlis yang turut dihadiri ribuan warga Indonesia di taman terbabit.

“Ketika kejadian orang ramai sedang asyik melihat persembahan di pentas utama. Tiba-tiba sekumpulan 15 lelaki menyerang satu kumpulan warga Indonesia menggunakan batang besi sebagai senjata.

“Akibat pergaduhan itu, tiga daripada mereka cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Kami belum dapat mengenal pasti motif pergaduhan. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh,”
katanya.

Dengan bantuan polis, majlis berkenaan selesai dalam keadaan aman.

http://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20081229092314/Article

Israel denggan terima gencatan senjata

WASHINGTON – Israel tidak menerima sepenuhnya satu gencatan senjata dengan Hamas, kata Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak kelmarin.

Beliau menyatakan demikian dalam satu temu ramah televisyen di Amerika Syarikat (AS) sekali gus menolak desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) supaya satu gencatan senjata dimeterai.

“Bagi kami, jika diminta untuk melakukan gencatan senjata dengan Hamas adalah seperti mempunyai satu gencatan senjata bersama Al-Qaeda.

“Ia merupakan sesuatu yang tidak dapat kami terima,
” kata Barak kepada stesen televisyen Fox News dari Tel Aviv, Israel. – Reutdu_

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Ulama Arab arah bunuh rakyat Israel

RIYADH – Seorang ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Awad al-Qarni mengeluarkan fatwa semalam supaya serangan ke atas rakyat Israel dilakukan di mana-mana lokasi di dunia bagi membalas dendam berhubung serangan rejim Zionis di Gaza.

“Semua kepentingan (Israel) dan apa jua yang berkaitan dengan Israel di mana-mana lokasi adalah dibenarkan untuk menjadi sasaran (serangan) orang Muslim.

“Mereka (rakyat Israel) sepatutnya menjadi sasaran. Darah mereka sepatutnya ditumpahkan seperti mana darah saudara-saudara kita di Palestin ditumpahkan,” katanya. “Mereka (rakyat Israel) perlu berasa kesakitan seperti saudara-saudara kita,” jelasnya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Gaddafi dakwa dunia Arab pengecut

TRIPOLI – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menuduh rakan sejawatannya dari dunia Arab memberi tindak balas pengecut berhubung satu siri serangan Israel di Gaza.

Menurutnya, beliau akan memulaukan satu sidang kemuncak Arab berhubung krisis di Gaza yang akan bersidang lewat minggu ini.

“Berapakah kali anda memanggil satu sidang kemuncak berhubung Palestin?” kata Gaddafi.

“Berapakah banyak tindakan yang sudah berhasil. Bagi saya, saya letih mendengar rekod lalu itu,” katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya malam kelmarin.

“Tindakan pengecut merupakan reaksi orang yang mudah kalah itu adalah memalukan,” jelasnya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

290 penduduk Palestin maut serangan Israel


SEORANG banduan meminta pertolongan selepas sebahagian tubuhnya ditimbus dengan serpihan runtuhan sebuah bangunan penjara di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

GAZA - Tentera Israel memusnahkan kompleks keselamatan utama Hamas di Gaza dalam satu serangan udara semalam selepas menyerangnya buat kali pertama kelmarin.


ASAP menjulang tinggi dari sebuah bangunan selepas tentera Israel melancarkan serangan udara di sebuah kem pelarian Rafah, Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Dalam kedua-dua serangan itu, sebanyak 290 penduduk Palestin maut di mana rejim Zionis menyatakan ia bertindak setelah berlakunya serangan roket hampir setiap hari dari Gaza.

Jumlah kematian itu dianggap sebagai antara yang terburuk dalam pencerobohan Israel ke atas Palestin sejak 60 tahun lalu.

Menurut Perkhidmatan Kecemasan Palestin, pejuang-pejuang Palestin turut melancarkan 80 serangan roket ke wilayah Israel.


SEORANG lelaki memangku seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
--------------------------------------------------------------------------------

Salah satu roket itu mengenai lokasi dekat Ashdod, sebuah pelabuhan yang terletak 30 kilometer dari Gaza tetapi tidak menyebabkan kematian.

Sejumlah kereta kebal ditempatkan di pinggir Genting Gaza dijangka bakal memasuki kawasan penduduk Palestin yang didiami oleh 1.5 juta orang.

Menurut seorang pegawai kerajaan, Kabinet Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert meluluskan arahan untuk memanggil 6,500 anggota simpanan.

"Israel akan meneruskan (kempen serangan) sehingga kami mendapati tahap keselamatan baru di bahagian selatan apabila penduduk tidak lagi tinggal dalam keganasan dan ketakutan akibat serangan roket," kata seorang jurucakap Olmert, Mark Regev.


SEBUAH keluarga bergegas meninggalkan lokasi serangan udara tentera Israel di kem pelarian Rafah, Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Sementara itu, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum mendesak kumpulan-kumpulan pejuang Palestin untuk menggunakan semua cara termasuk operasi mati syahid iaitu penggunaan kaedah pengebom berani mati di Israel bagi tujuan melindungi penduduk Palestin. -Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Prejudis gadis lanjut usia


Semakin ramai wanita yang belum berkahwin di Mesir berkomunikasi melalui rangkaian sosial Facebook di Internet.



YOMNA MOKHTAR menggunakan rangkaian sosial Facebook untuk berhubung dengan wanita yang lambat berkahwin sepertinya.
--------------------------------------------------------------------------------


KECEWA dengan tekanan yang berpanjangan daripada masyarakat yang menitikberatkan soal perkahwinan ataupun kehidupan berkeluarga dan mempunyai zuriat, seorang wanita muda Mesir cuba menyelamatkan negaranya daripada terus memandang serong terhadap gadis berusia yang masih bujang.

Mengambil kesempatan daripada kemajuan teknologi komunikasi terutamanya Internet, dia berharap dapat mengubah prejudis yang dihadapi oleh anak dara lanjut usia.

Pada masa yang sama tindakan itu diharapkan dapat memberi sinar baru terhadap kesusahan yang dihadapi oleh kaum wanita dalam masyarakat yang menganggap lelaki sebagai ketua keluarga.

Sejak enam bulan lalu, Yomna Mokhtar mewujudkan sebuah kumpulan khas untuk saling memberi sokongan dan menyuarakan nasib wanita sepertinya.

Kumpulan itu menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook sebagai platform untuk membolehkan mereka saling berhubungan dan mengumpulkan lebih ramai ahli.

Sehingga kini kumpulan tersebut telah mempunyai lebih 550 ahli yang berusia 27 tahun ke atas.

"Masyarakat memberi pandangan yang amat negatif terhadap golongan yang belum berkahwin. Perkara ini memberi tekanan hebat dan timbul rasa terpinggir di kalangan mereka," jelas Yomna.

Berada di sebuah negara yang konservatif berhubung agama, soal perkahwinan menjadi keutamaan di kalangan penganut Islam dan Kristian.

Kebiasaannya, persatuan-persatuan Islam menganjurkan perkahwinan secara besar-besaran untuk mereka yang dianggap tidak berkemampuan terutama dari segi sumber kewangan bagi menampung upacara perkahwinan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengelakkan seseorang mempunyai hubungan sulit termasuklah homoseksual.

Walaupun mereka bekerja seperti orang ramai atau belajar, wanita tidak berkahwin di Mesir dilihat masih tidak sempurna disebabkan persepsi itu.

Umur yang sesuai bagi seseorang wanita berkahwin bergantung kepada kelas sosial dan pendidikan mereka. Wanita yang terdiri daripada golongan kaya mahupun berpendidikan universiti selalunya diberi sedikit kelonggaran tetapi apabila umur mencecah 30-an mereka mula dipandang hina.

"Sejak kecil lagi wanita diajar tujuan utama mereka dalam kehidupan adalah berkahwin dan mempunyai anak.

"Walaupun orang mula berkata, pandangan negatif yang diberikan terhadap gadis yang lambat berkahwin adalah tidak adil, namun ia tetap diteruskan,"
jelas Yomna.

Menurut ahli sosiologi, Madiha el-Safty, peranan seorang wanita Mesir secara rasminya merupakan sebagai isteri dan ibu sahaja.

"Setiap orang akan membenci wanita yang belum berkahwin dalam keluarga masing-masing. Orang ramai akan bertanya apakah ada sesuatu yang tidak kena terhadap wanita tersebut," terang Madiha.

"Apa yang berlaku adalah luar biasa," beritahu Rabab Ibrahim, 33.



PERKAHWINAN adalah satu perkara yang ditekankan dalam negara yang konservatif terhadap agama.
--------------------------------------------------------------------------------


Tambah Rabab, masyarakat Mesir percaya perkahwinan sentiasa membawa kebahagiaan walaupun hakikatnya boleh juga membawa kekecewaan.

"Masyarakat menolak untuk memahami bahawa ramai pasangan yang sudah berkahwin tidak menemui kebahagiaan.

"Saya selalunya menahan kesabaran bila berhadapan dengan tekanan semasa meluahkan pendapat saya terhadap perkahwinan. Saya amat yakin dengan prinsip, sama ada saya mempunyai suami yang baik dalam perkahwinan ataupun saya sanggup membujang untuk selamanya. Itu pilihan saya.

"Masalahnya masyarakat tidak memahaminya. Keadaan dan pemikiran wanita hari ini sudah berubah,"
katanya.

Seorang daripada ahli kumpulan ini, Mohammed Abdel Ati, 25, berkata, apa yang berlaku sekarang adalah pelik. Seseorang harus tampil untuk memberi pandangan mengenainya.

"Hampir semua kawan saya berkahwin dengan remaja dan kanak-kanak. Dan isteri-isteri mereka akan bertanya kepada saya adakah mereka perlu mencari seseorang untuk saya?" jelasnya.

Kumpulan rangkaian laman web Facebook mempunyai perancangan untuk menganjurkan sesi yang akan diketuai oleh pakar psikologi bagi mendengar luahan golongan wanita lanjut usia itu.

"Kami tidak menentang perkahwinan. Kami mahu rumah tangga yang bahagia dan asas yang kukuh.

"Sesetengahnya berkahwin terlalu awal untuk mengelak orang ramai menganggap mereka seperti orang gaji keluarga.

"Saya percaya untuk mengubah sikap adalah amat susah. Tetapi itu tidak menghalang kami untuk mencuba dengan perlahan-lahan," tambah Yomna.

Berhadapan dengan tekanan masyarakat tanpa belas kasihan, seorang ahli perubatan yang belum berkahwin, Ghada Abdel Al, 29, menerbitkan buku bertajuk I Want to be Married.

"Ramai wanita muda yang mempunyai impian untuk belajar dan bekerja. Saya mencabar mereka untuk berkata impian utama mereka bukanlah untuk dikahwini," akuinya dengan berani.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

'Kami masih belum lupa'


Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my

Serangan tentera Jepun itu berlaku hampir tujuh dekad lalu. Namun kepada sebahagian warga emas yang tinggal di pantai Kuala Pak Amat, Perang Dunia Kedua seolah-olah baru saja terjadi.


--------------------------------------------------------------------------------

KIRA-KIRA 67 tahun lalu, pantai Kuala Pak Amat dekat Pengkalan Chepa, Kota Bharu merakam detik penting. Ia menjadi lokasi pertama serangan tentera Jepun di Tanah Melayu melalui perairan Kelantan yang menyaksikan bermulanya Perang Pasifik.

Mejar Jeneral Hiroshi Takumi, yang mengetuai bala tentera seramai 5,200 orang (dikenali sebagai Detasmen Takumi), dengan armada tiga kapal pendarat dan tujuh kapal perang, memilih kawasan pantai itu sebagai lokasi pendaratan.

Hari ini, pantai Kuala Pak Amat hanya tinggal nama. Ini kerana tanahnya sejauh kira-kira lima kilometer dari pantai 'punah' ditelan air Laut China Selatan. Malah, gigi pantai di sini hanyalah saki-baki kampung itu yang pernah menjadi penempatan kira-kira 60 buah keluarga.

Walaupun peristiwa perang telah lama bersemadi dalam lipatan sejarah, tetapi bagi generasi lama kampung ini dan Kampung Pulau Panjang yang terletak di sebelahnya, ia seperti baru semalam berlaku.

"Beberapa jam sebelum serangan, saya duduk di madrasah kampung bersama rakan-rakan sambil melihat tentera-tentera Punjab berkubu di sana sebelum terdengar bunyi letupan kira-kira pukul 12 malam 7 Disember 1941," cerita Omar Senik, 81.

Katanya, beberapa bulan sebelum perang meletus, sekitar pantai di situ menjadi kawasan larangan apabila tentera British dah Punjab mula membina kubu-kubu pertahanan konkrit dan kubu guni pasir serta dipasang pagar berduri. Malah, kawalan keselamatan diperketatkan.

Menceritakan suasana sebelum perang, Omar yang ketika itu berusia 14 tahun berkata, penduduk kampung yang rata-ratanya nelayan dan petani tidak begitu mengendahkan soal tersebut.

Menurut beliau, oleh kerana kerap berada di situ, kehadirannya cukup disenangi tentera Punjab. Beliau menjadi budak suruhan mereka dan belajar bahasa Punjabi.



DERAMAN MOHAMED menunjukkan lokasi pendaratan tentera Jepun di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, Kelantan.
--------------------------------------------------------------------------------

"Saya kerap masuk ke kawasan kubu tentera Punjab sambil tengok mereka berkawal. Pada satu peringkat saya sudah boleh menyanyikan dikir barat dalam bahasa mereka," ujarnya tertawa mengingati kisah tersebut.

Katanya, beberapa jam sebelum serangan meletus, seorang pegawai tentera British memanggilnya ke kubu dan meminta beliau menghiburkan mereka sambil dijamu makanan.

"Selesai menyanyi pegawai itu keluar. Tiga anggota tentera Punjab yang saya kenali berpesan agar saya meninggalkan kawasan itu ke bandar Kota Bharu kerana katanya perang akan meletus tidak lama lagi.

"Saya hanya menganggukkan kepala sebelum pulang semula ke madrasah. Itulah kali terakhir saya melihat mereka.

"Letupan pertama kedengaran kira-kira pukul 12 malam, saya tersentak apabila melihat percikan api bertali-arus dari arah kubu tentera Punjab ke tengah laut, diikuti letupan-letupan kecil.

"Saya dan rakan-rakan yang ketakutan keluar menyembunyikan diri di bawah madrasah, memang saya tak boleh lupa peperangan itu,"
jelasnya.

Omar berkata, beliau masih ingat beberapa bot tentera Jepun mendarat di pantai kampung itu yang terletak hanya 100 meter dari rumahnya. Tetapi ramai di antara mereka mati ditembak mesingan tentera British.

"Tentera Jepun yang mendarat tidak mengapa-apakan penduduk kampung, sebaliknya mengarahkan kami bersembunyi dan memberitahu kedatangan mereka untuk menghalau tentera British," ujarnya yang petah bercerita.

Pengalaman melihat mayat tentera Jepun dan Punjabi bergelimpangan masih segar dalam ingatan seorang lagi penduduk kampung, Nawi Mohamad, 80, yang ketika itu berusia 13 tahun.

"Sejak berkubu di tepi laut, tentera British sering buat latihan, jadi bila dengar letupan malam itu kami penduduk kampung ingat mereka sedang berlatih. Kami tak pernah terfikir pun nak berlaku perang.

"Tapi bila tembakan dan letupan tak henti-henti serta selepas ditinjau di pinggir pantai, barulah kami tahu tentera Jepun sudah mendarat di pantai Kuala Pak Amat.

"Semua penduduk bersembunyi di bawah rumah bimbang kena peluru sesat, tapi Alhamdulilah tiada siapa pun cedera hingga hari siang.


"Dalam kekalutan pertempuran, tiga tentera Jepun yang mendarat mati di bergelimpangan di hadapan rumah saya, dan sehingga hari ini saya masih terbayang wajah mereka.

"Suasana perang memang menakutkan kerana peluru datang macam hujan, kapal terbang British tak henti-henti bom kapal Jepun di laut dan tidak beberapa jam kemudian nampak api menjulang dari pengkalan tentera udara British di Pengkalan Chepa yang terbakar," ujarnya.

Baru-baru ini, kedua-dua mereka bersama empat lagi rakan seusia, Kadir Ismail, Mohamad Senik, Yaakob Awang Teh dan Deraman Mohamad hadir pada majlis memperingati Perang Dunia Kedua yang diadakan di kampung itu 10 Disember lalu.

Menariknya, majlis anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan (MTPN) itu turut dihadiri pesara guru, Toru Ogawa, 60, bersama keluarganya dari Osaka, Jepun yang turut sama mengingati detik bersejarah itu.

"Saya cukup teruja mendengar kisah mereka, seperti yang diceritakan datuk dan bapa saya.

"Malangnya, generasi muda Jepun hari ini tidak lagi mengambil berat tentang sejarah peperangan tersebut yang seolah-olah cuba dilupakan daripada sejarah,"
ujar Ogawa.

Bagi penduduk Kampung Pulau Panjang, Yaakob Awang Teh pula yang ketika itu berusia 18 tahun, beliau dapat mengingati dengan jelas suasana kehidupan di kampung semasa pendudukan tentera Jepun.

"Ada yang baik dan ada yang garang, tapi kebanyakan yang datang mendarat di sini merupakan anggota tempur sebelum diambil alih pasukan kejuruteraan dan unit-unit tugas biasa tentera.

"Perang juga memberi rezeki kepada remaja kampung masa itu apabila kami diambil bekerja membaiki pangkalan udara di Pengkalan Chepa, dan kerja saya ialah meratakan landasan kapal terbang menggunakan batu kerikil.

"Pernah sesekali saya disepak tentera Jepun kerana kerja main-main, tapi rata-rata kami yang bekerja sebagai buruh dilayan baik,"
ceritanya.

Omar yang kemudian mencelah menjelaskan, penduduk kampung ketika itu terutama remaja sepertinya tertunggu-tunggu kedatangan tentera Jepun kerana diberitahu negara Asia Timur itu menjanjikan pelbagai kemewahan.



CHALET Tiram Beach Resort yang tidak lagi beroperasi selepas dihakis ombak besar di pantai Kuala Pak Amat.
--------------------------------------------------------------------------------

Katanya, kehidupan di bawah penjajahan British yang menghalang pendidikan di kalangan penduduk luar bandar menyebabkan mereka terpinggir dan hanya bersekolah pondok, melainkan golongan bangsawan dan orang berada.

"Saya memang nak bersekolah, tapi orang putih tak benarkan buka sekolah di kampung. Namun, khabar angin beritahu jika Jepun datang mereka nak buka sekolah dan itu menyebabkan saya tidak sabar-sabar.

"Selain itu, ramai yang cerita harga beras akan murah bila Jepun perintah selain harga barang-barang lain seperti kain baju lebih rendah, tapi sebenarnya cuma setahun sahaja kami hidup senang sebelum keadaan berubah,
" katanya.

Menariknya, beliau suka bergaul dengan tentera Jepun sehingga kini fasih berbahasa Jepun selain mengingati beberapa baris lagu yang kerap dinyanyikan ketika itu.

"Dulu kawasan di sini dipenuhi paya dan hutan nipah, jadi saya kerap disuruh bawa tentera-tentera Jepun berperahu meninjau-ninjau kawasan sekitarnya.

"Masa itu zaman budak-budak mana fikir takut, tapi seronok bergaul dan mereka (tentera Jepun) sesekali bagi habuan seperti makanan atau duit," jelasnya.

Katanya lagi, kehidupan di kampung yang serba sederhana menyebabkan mereka tidak begitu merasai kesempitan hidup semasa perang, dan keadaan di bawah pemerintahan Jepun tidak banyak bezanya dengan British.

"Jepun atau British sama saja, tapi penjajah British pula melayan kita (orang kampung) macam kambing, mungkin sebab generasi masa itu tidak berpendidikan lalu sering ditindas.

"Walaupun Jepun paksa kita ke sekolah, tapi setidak-tidaknya ada juga peluang belajar.

"Sebab itu saya kerap ingatkan anak cucu saya agar bersyukur kerana keadaan negara kita hari ini jauh berbeza setelah merdeka. Kita kekalkan usaha pemimpin terdahulu," tegasnya yang masih berharap agar keadaan pantai Kuala Pak Amat dipelihara.



TENTERA-TENTERA Jepun berbasikal dalam gerakan mereka untuk menakluki Tanah Melayu pada bulan Disember 1941.
--------------------------------------------------------------------------------

Bagaimanapun, harapan Omar dan rakan-rakannya yang kini meniti usia senja mungkin hanya tinggal impian.

Setelah lima dekad negara mencapai kemerdekaan, tetapi nasib pantai itu terus terbiar sepi. Kawasan yang menyimpan sejarah negara semasa Perang Dunia Kedua itu hanya menunggu masa sebelum lenyap sepenuhnya ditelan ombak seperti kubu-kubu pertahanan British yang telah bersemadi di dasar lautnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Tomboi mengamuk tagih cinta

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my



CHOY YOKE ditemani suaminya (kanan) ketika sidang akhbar
di pejabat MCA Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Angkara cinta seorang tomboi, seorang suri rumah terpaksa hidup dalam tekanan setelah menerima ugutan yang mendesak agar hubungan mereka dijalin semula walaupun telah beberapa tahun tidak bertemu.

Chong Choy Yoke, 33, berkawan rapat dengan suspek yang dikenali dengan panggilan Ong sejak beliau bersekolah di Pulau Pinang sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.

Beliau yang kini telah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang baru dilahirkan sering menerima ugutan daripada rakan tomboinya itu yang mahu dia kembali kepadanya.

Menurutnya, Ong juga bertindak dengan menuntut agar Choy berpisah dengan suaminya Phuah Chuan Lian, 36.

Beliau ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, dekat Jalan Ampang di sini memberitahu, wanita tomboi terbabit telah mencarinya meskipun sudah tidak bertemu sejak bertahun lamanya.

"Saya sudah berkahwin sejak tiga tahun lalu dan mempunyai seorang anak tetapi gangguan yang diterima daripada Ong membuatkan saya dan keluarga berasa tidak selesa.

"Ong sering mengganggu suami saya di tempat kerja, menghantar surat setiap hari, menelefon sepanjang masa serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan,"
katanya.

Beliau mendakwa, tindakan Ong itu adalah agar dia berasa tertekan dan akan bertindak meninggalkan suaminya dengan harapan dia dapat kembali kepadanya seperti dahulu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...