Friday, April 23, 2010

Minda: Hindari penyakit dengan bersedekah

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

2010/04/23

IBNU al-Qayyim berkata bahawa sesungguhnya Allah s.w.t menghindarkan seseorang daripada bermacam-macam bala dengan sebab bersedekah.

Kata Ibnu al-Qayyim lagi: “Perkara semacam ini sudah diketahui oleh ramai orang, sama ada orang awam atau pun orang alim. Semua manusia yang ada di bumi ini mengakui kebenarannya kerana mereka sudah pernah mencuba cara berkenaan.”

Selama ini mungkin kita mengetahui ada penyakit boleh sembuh dengan sedekah. Bunyinya macam aneh, tetapi dengan izin Allah semua boleh berlaku. Tidak ada yang mustahil atas dunia ini. Tiap penyakit ada ubatnya. Manusia berubat dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyembuhkan penyakitnya. Satu kaedah berubat itu ialah dengan sedekah.


Sedekah sesungguhnya memiliki rahsia yang mengagumkan dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Apa yang jelas, di samping mendapat pahala dengan sebab bersedekah Allah menyelamatkan diri kita (orang yang bersedekah) daripada musibah atau kejadian yang mengerikan.


Sebagai bukti kita boleh catatkan semula kisah yang disampaikan Ustaz Sayid Juail. Kisah ini diambil dari buku Al-Tadawi bi al-Shadaqah tulisan Hasan bin Ahmad Hasan Humam yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh Ummi Hakimah.


“Seorang ayah tiba-tiba mengalami sakit luar biasa. Dia tidak tahu punca sakit itu. Melihat keadaan ayah yang amat sakit itu anak lelakinya segera membawa ke hospital dan dimasukkan ke bilik kecemasan.

“Tidak lama kemudian doktor datang memeriksa. Hasilnya, doktor mengatakan bahawa ayah budak lelaki itu menderita penyakit batu ginjal di saluran kencingnya. Jalan terbaik ialah pembedahan.


“Mendengar keputusan doktor, si ayah dan anak lelaki menerimanya dengan pasrah. Tapi sebelum dilakukan pembedahan, mereka mohon penangguhan beberapa hari untuk menyiapkan biaya pembedahan.


“Hari berikutnya anak lelakinya kembali melakukan tugasnya di sebuah syarikat. Kebetulan hari itu dia dapat gaji. Hatinya sangat senang dan bahagia. Ketika dalam perjalanan pulang dari pejabatnya, dia melihat seorang lelaki tua miskin sedang mengumpulkan barang bekas dengan keadaan sangat penat dan letih.


“Melihat orang tua itu, si anak lelaki itu pun berfikir: andai kata dia seperti lelaki tua itu, tentu sangatlah penat dan letih. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memberikan seluruh gajinya itu kepada orang tua itu dengan niat semoga Allah akan menyembuhkan penyakit yang dideritai ayahnya.


“Sesampai saja di rumah, dia mendapati wajah ayahnya cukup ceria dan bahagia. Ayahnya berkata: ‘Wahai anakku, Alhamdulillah, tidak berapa lama sebelum kau tiba, ayah merasa sangat sakit di bahagian perut. Kemudian ayah segera menuju ke tandas untuk membuang air besar. Tidak ayah sangka, akhirnya batu ginjal keluar dengan sendirinya. Dan sekarang ayah merasa sangat nyaman dan selesa saat ini.’

“Mendengar perkataan si ayah, anak lelakinya itu menitiskan air mata kerana terharu dan rasa syukur kepada Allah.”

Maka benar Allah dalam sabda Nabi-Nya yang bermaksud: “Ubatilah sakit kamu dengan cara bersedekah, peliharalah harta kamu dengan cara berzakat dan hindarilah bala dengan cara berdoa.”

Sebenarnya segala aturan kehidupan semua makhluk di dunia ini ditetapkan Allah. Justeru, setiap orang yang beriman sudah sepatutnya untuk tetap melakukan dan berusaha dengan berpegang teguh kepada Allah.

Dan satu perantara yang boleh menjadi sebab bagi kesembuhan dengan izin Allah ialah istighfar dan bersedekah.


Mengenai pasangan yang tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga, Abu Hanifah meriwayatkan di dalam Musnadnya dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa seorang lelaki pernah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: “Ya Rasulullah! Sudah lama saya menikah, tapi belum dianugerahi seorang anak pun.”

Nabi SAW pun menjawab dengan sabdanya: “Di mana (keadaan) engkau dengan banyak istighfar dan banyak bersedekah? Kerana dua hal ini boleh menganugerahi buah hati (anak).”

Manusia hanya sekadar berusaha, tapi yang menentukan berjaya atau tidak ialah Allah. Sesungguhnya satu daripada kewajipan akidah seorang Muslim ialah terus berusaha dan berserah diri kepada Allah serta selalu berbaik sangka kepada-Nya.

Yakinlah, Allah tidak akan pernah menciptakan satu penyakit yang tidak ada ubatnya.


Dalam surah al-Syura ayat 49-50, Allah berfirman yang maksudnya: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya: Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nyadan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak lelaki dan perempuan - dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Bersedekahlah mengikut kemampuan masing-masing. Tidak akan jatuh miskin kita kerana bersedekah, sebaliknya kita memperoleh pahala dan ganjaran yang baik dan Allah. Tapi kalau kita bakhil, tunggulah bala dan musibah dari Allah.


Abu Hatim al-Sibiti dalam kitabnya Raudah al-Uqala wa Nuzhah al-Fudhala mencatat begini: “Sifat bakhil adalah pokok yang ada di neraka yang dahan berserta cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke neraka.

“Demikian pula kemurahan hati adalah pokok yang ada di dalam syurga yang dahan dan cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke dalam syurga, kerana syurga adalah rumah bagi para pemurah.”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Hindaripenyakitdenganbersedekah/Article/index_html

Kes taklik senator 13 Mei

2010/04/23

SHAH ALAM: Mahkamah Syariah di sini, semalam, menetapkan 13 Mei ini, untuk sebutan semula kes permohonan cerai secara taklik yang difailkan Senator Datin Paduka Norhayati Onn terhadap suaminya.

Hakim Syarie Drs Atras Mohamad Zin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan suami Norhayati, Mohd Suffian Abdul Aziz (defendan) memfailkan pembelaan berhubung permohonan berkenaan.


Selain itu, Atras menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula bagi permohonan nusyuz (derhaka) yang difailkan Mohd Suffian, 52, terhadap isterinya pada 18 Februari 2008.


Terdahulu, peguam syarie Rubiah Jaffar yang mewakili Norhayati, 47, (plaintif) memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memfailkan permohonan cerai secara taklik pada 19 April lalu sebelum diserahkan kepada defendan pada keesokan harinya.


Menurutnya, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi memberi peluang defendan menjawab pembelaan permohonan itu.


Sementara itu, peguam Muhammad Buruk yang mewakili Mohd Suffian memberitahu mahkamah, dia baru dilantik mengendalikan kes anak guamnya semalam.


Berdasarkan permohonan itu, Norhayati mendakwa suaminya melanggar taklik yang ditandatangani pada 23 Mac 2006 di hadapan dua ahli keluarganya. Perjanjian taklik menyatakan Norhayati akan jatuh talak satu jika Mohd Suffian melanggar empat syarat, termasuk gagal memberi nafkah secukupnya kepada plaintif dan anaknya. Taklik juga berlaku jikaMohd Suffian menyebarkan fitnah dalam apa-apa bentuk, dokumen, gambar dan kata-kata yang boleh mengaibkan serta memalukan atau menjatuhkan maruah Norhayati.


Selain itu, ia akan berlaku sekiranya Mohd Suffian melakukan tindakan yang mendatangkan kesakitan atau memudaratkan dan menjalin hubungan dengan perempuan bukan muhrim melampaui batas syarak.


Pasangan itu berkahwin pada 1983 dan dikurniakan tiga anak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kestakliksenator13Mei/Article

Dua anak halau ibu

Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/04/23

KLANG: Keluarga tunggang terbalik. Itu gambaran boleh diberikan terhadap sebuah keluarga apabila suami bersama dua anak lelakinya sanggup bersekongkol menghalau ibu kandung dari rumah, semata-mata kerana membela perempuan simpanan bapa mereka.

Tidak cukup kata-kata kesat dan cacian, mangsa turut mendakwa dipijak, ditendang di kepala, perut dan kemaluan oleh suami berusia lewat 40-an bersama perempuan simpanan terbabit ketika mahu mempertahankan rumah tangganya daripada musnah.


Difahamkan, mangsa yang enggan meninggalkan rumahnya, dibelasah lebih empat jam dengan disaksikan kedua-dua anaknya di hadapan rumah mereka di sini.


Namun, harapannya untuk mendapat pembelaan daripada kedua-dua anak kandung berusia 14 dan 12 tahun turut lenyap apabila mereka menyebelahi bapa dan perempuan simpanan lelaki terbabit, membuatkan ibu berkenaan terpaksa mengalah sebelum meninggalkan rumah sehelai sepinggang.


Difahamkan, perempuan simpanan berusia awal 30-an itu mempengaruhi kedua-dua anak mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dengan melaburkan wang ringgit dan kekayaan dimilikinya selain pasangan kekasih terbabit dikatakan ‘menyihir’ kedua-dua remaja berkenaan supaya membenci ibu mereka.


Semuanya bermula apabila mangsa yang mahu dikenali sebagai Puspa, 47, mendakwa mengetahui suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai perempuan simpanan sehingga mengabaikan kebajikannya dan anak-anaknya.


Menurutnya, setiap kali dia mempersoalkan perubahan sikap suaminya selepas memiliki perempuan terbabit, dia akan dibelasah.


“Bukan sekali atau dua, saya diperlakukan sedemikian lebih setahun. Saya hanya mampu berdoa supaya suami berubah.


“Disebabkan itu juga, saya mendiamkan diri bagi mengelak suami berang,”
katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, semalam.

Puspa berkata, awal bulan lalu dia mendapatkan nombor telefon perempuan terbabit dalam telefon bimbit suaminya dan menghubungi wanita itu.


“Kami bertengkar lebih 30 minit. Mana tidaknya, perempuan itu mendakwa akan menghalau saya keluar dari rumah saya.


“Malah, dia juga memberitahu akan menjadikan rumah saya sebagai ‘banglo’ barunya,”
katanya.


Tindakannya menghubungi perempuan itu mengundang padah apabila wanita terbabit melaporkannya kepada suami mangsa.

Berikutan itu, suami mangsa berang lalu membelasah Puspa.


Puspa berkata, pada awal bulan ini kira-kira jam 10 pagi, wanita terbabit datang ke rumah sebelum menghalaunya keluar.


“Ketika itu saya cuba mempertahankan rumah tangga sebelum suami masuk campur. Suami bukan saja menampar, malah turut memijak kepala, menendang kemaluan dan perut saya.


“Biarpun diperlakukan sedemikian lebih empat jam, saya masih cuba mempertahankan rumah tangga, namun mengalah selepas kedua-dua anak turut mengarahkan saya keluar “Saya tak tahu apa yang terjadi kepada mereka,”
katanya.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Klang.


Sehingga kini, mangsa sudah membuat lebih 10 laporan polis membabitkan perbuatan keji suaminya selain beberapa kes ugutan dilakukan lelaki terbabit.


Difahamkan, Puspa juga sudah membuat banyak aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai dakwaan suaminya bersekedudukan dengan perempuan terbabit, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.


Puspa berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap suaminya dan perempuan simpanan itu supaya kejadian sama tidak berulang.


“Saya juga berharap kedua-dua anak sedar mengenai perbuatan mereka,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaanakhalauibu/Article

Beg bawa maut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hadzlihady Hassan
am@hmetro.com.my
2010/04/23

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut dalam keadaan tragis apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah bas yang dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nurul Huda Rosalan, 16, terjatuh dan diseret ketika turun dari bas selepas beg sekolah yang digalasnya tersangkut pada pemegang pintu automatik kenderaan berkenaan.


Pemandu bas terbabit tidak menyedari apa yang berlaku apabila memecut bas berkenaan dengan menyangka mangsa sudah turun dari tangga bas.


Difahamkan, ketika itu mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan pulang menaiki bas berkenaan.


Namun, sejurus sampai di hentian bas berhampiran Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, mangsa turun berseorangan dan ketika itu dia tidak menyedari beg digalasnya tersangkut di pintu automatik bas.


Dia diseret bas terbabit sebelum kejadian itu dilihat seorang awam yang kemudian meminta pemandu bas terbabit memberhentikan kenderaan itu.


Ketika itu, mangsa masih bernyawa namun kecederaannya terlalu parah dengan kakinya yang bengkok terlipat dan menghadap muka.


Mangsa dihantar orang awam ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Bapa mangsa, Rosalan Abdul, 49, berkata dia hanya mengetahui berhubung kemalangan ngeri yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan isterinya, Nor Azwa Mohd Nor, 43, yang menangis teresak-esak kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Saya ketika itu tidur akibat keletihan kerana bertugas pada waktu malam terperanjat sebelum bergegas menuju hospital bagi memastikan keadaan anak saya.


“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan terbabit,”
katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKL. Menurutnya, dia sedih dan terkejut, namun menganggap apa yang berlaku sebagai suratan takdir.


“Rakan anak saya mendakwa Nurul Huda sebelum ini berubah sikap dan banyak mendiamkan diri sejak beberapa hari lalu. “Malah, dia tidak pernah menaiki bas untuk pergi atau pulang ke rumah dari sekolah sebelum ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas RapidKL.


Sementara itu, mayat mangsa yang juga anak ketiga dari empat beradik terbabit masih ditempatkan di Bilik Mayat HKL untuk menjalani bedah siasat sebelum dijangka dituntut ahli keluarganya hari ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Begbawamaut/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...