Friday, August 27, 2010

'Syukur dapat bersekolah'

Oleh Togi Marzuki

2010/08/27

PONTIAN: “Alhamdulillah, syukur kami empat beradik dapat bersekolah lagi. Selama ini kami hanya membuang masa dengan bermain selain membersihkan kawasan luar dan dalam rumah untuk mengisi masa lapang.

“Namun, di dalam hati, kami tetap gelisah mengenangkan masa depan yang tidak menentu kerana gagal meneruskan persekolahan,” kata Norasyikin Mohd Nasir, 12, di sini, semalam.


Norasyikin dan tiga adiknya, Siti Azlin Natasha, 10, Muhammad Shamsul Fikri, 9, dan Muhammad Shazrin Hairi, 7, tinggal bersama nenek, Siti Zaleha Suib, 60, dan bapa mereka, Md Nasir Saleh, 43, di Kampung Parit Sulaiman Laut, Kayu Ara Pasong di sini.


Keempat-empat beradik itu gagal meneruskan persekolahan kerana kemiskinan dan masalah keluarga. “Kegagalan meneruskan persekolahan menyebabkan hati saya sentiasa resah apatah lagi apabila terkenang pesanan guru ilmu sangat penting dalam kehidupan untuk mengubah nasib diri.


“Namun, semangat untuk belajar tersemat kukuh di hati kami empat beradik. Setiap pagi, kami hanya mampu menjenguk rakan lain ke sekolah,”
katanya.

Kata-kata semangat mereka terbukti apabila ditanya berkaitan cita-cita Norasyikin serta Muhammad Shamsul mahu menjadi polis, Siti Azlin sebagai peguam, manakala Muhammad Shazrin mahu bergelar anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.


Md Nasir mengatakan kegagalan untuk meneruskan persekolahan keempat-empat anaknya itu disebabkan kekangan kewangan.


“Saya bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan pendapatan itu hanya cukup menampung keperluan dapur.


“Saya berterima kasih atas kesudian pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian untuk meninjau keadaan sebenar kehidupan kami sekeluarga selain bantuan keperluan dapur dan wang tunai diberikan,”
katanya yang berpisah dengan isteri sejak lapan bulan lalu.


Bagi Siti Zaleha pula, sikap prihatin ditunjukkan pegawai PPD memberi semangat kepada cucunya meneruskan persekolahan dan ia cukup menggembirakan.


“Cucu saya bercita-cita tinggi selain mahu mengubah nasib keluarga. Mereka memang mahu belajar dan syukur kerana ramai yang sanggup membantu.

“Saya doakan cucu berjaya dalam pelajaran dan kepada semua yang membantu, hanya Tuhan saja yang mampu membalasnya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Unit Sektor Pembangunan Kemanusiaan PPD Pontian, Hamid Selamat berkata, berdasarkan rekod pengurusan sekolah, empat beradik berkenaan tidak hadir ke sekolah melebihi 60 hari.


“Murid ini dikategorikan miskin dan perlu diberi bantuan emosi dan kewangan. Mereka mempunyai potensi dalam pelajaran selain semangat tinggi untuk berjaya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syukurdapatbersekolah/Article

8 tahun huni pondok buruk

Oleh Safuri Kamarudin

2010/08/27

BALING: Lima beranak terpaksa berteduh di pondok buruk sejak lapan tahun lalu dan sering berpindah tempat tidur apabila hujan lebat kerana tempat tinggal mereka diperbuat daripada kayu hutan di Kampung Paya Besar Ulu, Kuala Ketil.

Pasangan Othman Zainol, 35, dan isteri, Nurazila Che Sa, 31, serta tiga anak tinggal di sebuah pondok usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih, malah keluarga itu terpaksa menggunakan air perigi untuk mandi, memasak dan membasuh pakaian setiap hari walaupun tahap kebersihannya meragukan.


Malah, keluarga itu menggunakan lampu minyak tanah dan lilin pada waktu malam dan menyukarkan seorang daripada anak mereka mengulang kaji pelajaran.


Nurazila berkata, mereka dikurniakan tiga anak, Mohd Amirul Amri, 9, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Besar, manakala Mohd Faiz Farhan, 6, dan Mohd Adam Naim, 16 bulan.


Menurutnya, suaminya tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana mereka hidup kemiskinan apatah lagi pendapatan suaminya sebagai pemandu van kilang tidak seberapa.


“Saya pernah memohon mendapatkan bantuan, tetapi hingga kini tiada perhatian dan tindakan untuk membantu sedangkan ramai yang datang menjenguk.


“Saya sedih kerana kami masih terpinggir sedangkan kerajaan melaburkan peruntukan banyak untuk membasmi kemiskinan,”
katanya yang ditemui, kelmarin.


Katanya, suaminya juga mengambil upah menoreh jika tidak keluar bekerja bagi menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang masih bersekolah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8tahunhunipondokburuk/Article

Felda kena bayar RM11j

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/08/27

PUTRAJAYA: Seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan, lega apabila Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam, mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada peneroka terbabit berkaitan isu gred buah kelapa sawit yang dibawa ke mahkamah lebih 10 tahun lalu.

Pada prosiding semalam, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif yang mengetuai panel tiga hakim mahkamah itu turut membuat keputusan menolak permohonan agensi itu yang mencabar keputusan mahkamah sama yang dianggotai panel lain sebelum ini, mengetepikan rayuan berkenaan pada 19 Januari lalu.


Felda sebelum ini, membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka terbabit.


Panel hakim, termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak boleh membenarkan permohonan berkenaan kerana tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya. Alauddin berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengkaji keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebelum ini.


“Justeru, rayuan itu ditolak,” katanya. Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos perundangan RM20,000.


Dewan dan ruang legar mahkamah sesak dengan kehadiran lebih 100 peneroka Felda berkenaan bersama ahli keluarga masing-masing bagi mendengar keputusan yang diumumkan Mahkamah Persekutuan yang akhirnya memihak kepada mereka. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi berkenaan tidak hadir di mahkamah ketika saman didengar.


Mahkamah kemudian membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi mereka.


Jumlah itu meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul dan berdasarkan jumlah itu, setiap peneroka dijangka menerima sehingga M30,000 sebagai ganti rugi.


Kumpulan peneroka terbabit menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu memberikan nilai rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 menyebabkan mereka mengalami kerugian.


Dalam saman itu, mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3, Ibrahim Ismail (sudah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FeldakenabayarRM11j/Article

Kaki judi cabut lari

Oleh Gaddafi Musli

2010/08/27

SUBANG JAYA: Amat memalukan melihat gelagat kaki judi beragama islam bertempiaran lari sebaik melihat kelibat penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di beberapa premis perjudian di sini, kelmarin.

Malah, ada antara mereka yang sanggup mengasari penguatkuasa ketika bergelut hendak melepaskan diri daripada ditahan sehingga menyebabkan mereka terpaksa digari.


Semua 15 lelaki berusia 25 hingga 40 tahun berkenaan ditahan ketika cuba membeli nombor ekor tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa Jais dan MPSJ yang menjalankan operasi bersepadu sempena Ramadan.


Kebanyakan mereka yang ditahan berpura-pura memberi kerjasama sebelum cuba melepaskan diri secara agresif termasuk merempuh anggota penguatkuasa sehingga menyebabkan mereka terjatuh.


Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata seramai 30 anggota penguat kuasa MPSJ serta 10 pegawai Jais membuat pemeriksaan di tiga kawasan premis judi nombor di sekitar Subang Jaya bermula kira-kira jam 5.30 petang.


Katanya, meskipun pada Ramadan, MPSJ tetap menjalankan operasi bersepadu dengan Jais bagi membendung kegiatan maksiat terutama membabitkan masyarakat beragama Islam di sekitar Subang Jaya.


“Serbuan dibuat hasil maklumat orang awam mengenai kaki judi beragama Islam yang gemar mengunjungi kedai nombor selepas waktu kerja meskipun pada Ramadan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kakijudicabutlari/Article

Isteri sering dipukul suami cuba bunuh diri

2010/08/27

AMPANG: Tidak tahan kerana selalu dipukul suami, seorang wanita mengambil jalan mudah menghilangkan penderitaannya itu dengan meneguk ubat batuk secara berlebihan sebagai cubaan untuk membunuh diri.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu bernasib baik apabila dia sempat dibawa ke hospital sebelum dirawat di wad selama dua hari.


Dalam kejadian Khamis lalu di Bukit Indah, mangsa dikatakan tidak tahan kerana sering dipukul suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori sejak penghujung tahun lalu sehinggalah kejadian terbaru pertengahan Ogos lalu.


Menurut sumber, mangsa meneguk beberapa botol ubat batuk sebelum hilang kawalan kerana kesan ubat yang menyebabkan mengantuk.


Difahamkan, wanita itu menjadi mangsa belasan selepas mengetahui suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.


“Sejak menjalin hubungan dengan wanita lain, suaminya mula mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.


Menurutnya, selepas dibenarkan pulang ke rumah, mangsa mendapati pintu rumah dimangga dengan kunci baru oleh suaminya menyebabkan mangsa tidak dapat masuk.


“Mangsa kemudian pulang ke rumah ibu tidak jauh dari rumahnya,” katanya.


Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit kerana terlalu kecewa dengan sikap suami yang kerap memukulnya selain mahu lelaki terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan yang dibuat wanita terbabit.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteriseringdipukulsuamicubabunuhdiri/Article

Kesan pengawet mayat

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

2010/08/27

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperluaskan penyelidikannya dalam bidang Bioteknologi dengan menghasilkan alat ‘Biosenser Elektrod Enzim’ yang bertindak bagi mengesan penggunaan formaldehid iaitu bahan awet mayat yang terdapat pada ikan dan makanan laut.

Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof Madya Dr Fatimah Abu Bakar berkata, penggunaan bahan kimia terlarang yang digunakan secara berleluasa oleh hampir keseluruhan pasar raya di Malaysia untuk menyegarkan makanan laut mengundang kesan negatif terutama pada aspek kesihatan.


Menurutnya, perkara itu menjadi lebih serius apabila tiada keseragaman aspek kajian dan pengawasan kerana memerlukan kepakaran bagi mengesan penggunaan formaldehid dalam makanan laut.


Beliau berkata, menurut The National Occupational Safety and Health (NIOSH), formaldehid adalah karsinogen yang bertindak sebagai mutegan yang mampu menyerang dan memusnahkan bahan genetik yang terdapat pada sel badan manusia selain menyumbang kepada risiko barah paru-paru dan otak.


Katanya, teknologi biosenser yang dihasilkan UPM adalah alat bagi mengesan bahan kimia pada makanan laut dengan penggunaan mudah iaitu dengan meletakkan sampel yang dicurigai mengandungi bahan formaldehid ke dalam alat biosenser dan hanya 10 minit nilai keputusan akan diperoleh.


Katanya, kebiasaannya makanan laut yang bebas daripada kandungan formaldehid akan menghasilkan nilai bacaan tiga ke bawah dan bacaan pada nilai lima ke atas adalah nilai yang tidak dibenarkan dan bakal mendatangkan bahaya.


“Alat pengesan ini nyata mempunyai pelbagai kelebihan di mana penggunaan yang mudah dan pantas, tepat, sensitif iaitu dapat mengesan nilai 0.1 hingga 20 di mana tidak terdapat pada mana-mana alat pengesan lain,” katanya ketika Sidang Media Alat Bagi Mengesan Bahan Awet Pada Makanan Laut, di UPM, di sini, semalam.


Tambah beliau, UPM mensasarkan penggunaan alat ini dikalangan agensi pengawasan dan pemantauan, pemborong dan peruncit ikan selain Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk memiliki alat biosenser.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesanpengawetmayat/Article

Joe Radzwill-Aida sah bercerai


Rumah tangga yang dibina hampir 10 tahun oleh pasangan Joe Radzwill dan Aida Radzwill terlerai jua apabila Joe melafazkan cerai talak satu terhadap dramatis itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.


Joe, 40, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Yusri Kasim dengan lafaz: "Saya Ismail Ahmad @ Mohd. Radzwill menceraikan isteri saya, Khalidah Adibah Ahmad dengan talak satu."

Mohd. Yusri kemudian membenarkan cerai tersebut dan memerintahkan mereka mendaftarkan penceraian di pejabat agama di sini.

Sebelum itu, peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Joe memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik dengan kebenaran mahkamah mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1993.

"Saya difahamkan satu dokumen pindaan difailkan sendiri oleh plaintif (Aida) terhadap permohonan sebelum ini yang telah dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu tuntutan cerai fasakh.

"Kedua-dua pihak juga telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan permohonan plaintif untuk menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah," jelas Roslizam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Aida cerai talak satu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

2010/08/27

PETALING JAYA: “Perceraian secara baik ini adalah jalan terbaik bagi kedua-dua pihak,” kata dramatis popular Aida Rahim, 52, yang ditemui di luar mahkamah selepas sah bercerai secara baik dengan suaminya penyanyi Joe Radzwil, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas lapan tahun berkahwin.

Joe (defendan) melafazkan `Aku ceraikan isteriku dengan talak satu’ yang juga talak raj’ie tepat pada jam 10.05 pagi dengan kebenaran mahkamah di depan Hakim Syarie Ghazali Ahmad selepas kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.

Joe memandang ke arah tingkap dan bekas isterinya selepas melafazkan cerai itu manakala Aida (plaintif) yang hadir ke mahkamah berbaju kurung hitam dan berselendang tenang ketika mendengar lafaz itu.

Dalam prosiding semalam, terdahulu Joe melalui peguam syarie Roslizam Rahim memberitahu mahkamah kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan proses perceraian mereka secara baik.

Menurutnya, plaintif memohon mahkamah meminda kes perceraian mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sebelum itu kepada permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 enakmen sama. Ghazali Ahmad memutuskan menerima pindaan itu selepas berpuashati dengan hujahan dan keterangan kedua-dua pihak. Roslizam memaklumkan, plaintif turut bersetuju menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah terhadap bekas suaminya.


Hakim membenarkan permohonan itu dan mengarahkan sijil nikah pasangan itu dibatalkan dan perceraian perlu direkodkan di Jabatan Agama Islam Daerah Petaling. Joe yang ditemui di luar mahkamah memberitahu pemberita, keputusan itu dibuat selepas menjalani ibadah umrah di Makkah.


“Saya baru dua hari pulang dari sana. Di sana saya membuat istikarah dan alhamdulillah, saya mendapat petunjuk membuat keputusan ini,” katanya.


Dia turut mengakui berasa lebih tenang selepas membuat keputusan itu.


Apabila ditanya berhubung persetujuan plaintif menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah itu dia berkata ia bertujuan mengelakkan timbul rasa tidak senang hati antara mereka selepas ini.


Aida yang berada di sebelah Joe menyatakan keputusan ini dibuat sebelum bekas suaminya itu membuat umrah. “Di sana dia mendapat petunjuk yang memperkukuhkan lagi keputusan hasil perbincangan sebelum ini dan kami akan terus bersahabat,” katanya. Kedua-dua mereka bersalaman sebelum meninggalkan mahkamah.

Pada 27 April lalu Aida memfailkan fasakh terhadap bekas suaminya itu selepas mendakwa Joe gagal memberi nafkah lebih daripada tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.


Bagaimanapun, pada 22 Jun lalu, Joe memfailkan penyataan pembelaan dan tuntutan balas serta perintah kembali taat terhadap fasakh difailkan Aida. Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad dan Joe atau Ismail Ahmad@ Mohd Radzwil bernikah di Yala, selatan Thailand pada 6 November 2002.


Pada 3 September 2009 pasangan itu mengesahkan pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.


Pasangan itu tidak dikurniakan anak. Bagaimanapun masing-masing mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan terdahulu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidaceraitalaksatu/Article

Terkilan sikap abang ipar

2010/08/27

KUALA KRAI: “Saya terkilan mengapa abang ipar perlu babitkan masalahnya dengan ayah. Kalau dia ingin berubah, tidak perlu timbulkan kekeliruan sehingga mengaibkan dirinya,” kata Nor Aini Kassim, 21, ibu saudara sembilan beradik yang ditinggalkan ibu bapa mereka sejak setahun lalu.

Pelajar Diploma Prasekolah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan, itu berkata dia terkilan dengan sikap abang iparnya kerana seolah-olah menuduh bapanya, Kassim Mat Diah, 55, punca dia meninggalkan anak-anak.


“Hanya kami sekeluarga mengetahui perkara sebenar dan persoalannya mengapa perlu membabitkan ayah dalam masalahnya, sedangkan ayah yang memikul tanggungjawab membesarkan sembilan anak mereka.


“Di saat ayah bersedia memaafkannya, dia pula cuba mengaitkan ayah dalam masalahnya. Saya percaya, besar di lubuk hati ayah ingin melihat dia berubah dan menjaga anak-anaknya dengan sempurna,”
katanya ketika ditemui di Kampung Tengah di sini, semalam.


Jiwa keibuan Nor Aini tiba-tiba tersentap mengenangkan wajah bapanya yang semakin dimamah usia dan sanggup berkorban masa serta tenaga dalam membesarkan cucunya supaya mendapat kasih sayang sempurna. Malah, air matanya turut bercucuran ketika membaca kenyataan dikeluarkan abang iparnya, Mahadi Che Mansor, 31, kepada media hingga mengakibatkan nalurinya tersentuh apabila isu itu didakwa berpunca daripada bapanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terkilansikapabangipar/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...