Friday, April 3, 2009

Ahli perniagaan `diculik’ 2 lelaki

AMPANG: Seorang ahli perniagaan dan rakannya mengalami detik hitam selepas ‘diculik’ dua lelaki bersama kereta mewah BMW X5 miliknya berhampiran sebuah restoran di pusat beli-belah Ampang Point di sini awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang baru selesai minum dalam perjalanan pulang apabila ditahan dua lelaki berusia 30-an yang mengaku anggota polis.

“Suspek mendakwa ingin memeriksa kenderaan mangsa yang bernilai setengah juta ringgit itu kononnya ada sedikit keraguan.

“Mangsa yang percaya kedua-dua suspek anggota polis, turun daripada kenderaan untuk menunjukkan beberapa dokumen yang mengesahkan kenderaan itu adalah miliknya.

“Namun, belum sempat mangsa menunjukkan bukti kedua-dua suspek mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa mengikut arahannya,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek menggunakan parang panjang menakutkan mangsa selain mengugut akan mencederakan mereka jika melawan.

Menurut Abd Jalil, mangsa dan rakannya itu dibawa menaiki kenderaan itu sejauh kira-kira 60 kilometer sebelum ditinggalkan di Lebuhraya Shapadu, menghala Pelabuhan Klang.

Mangsa meminta pertolongan orang awam dan dibawa ke Balai Polis Klang untuk membuat laporan sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Abd Jalil menafikan kedua-dua suspek adalah individu sama yang melakukan samun kereta mewah sebelum ini di Taman Dagang, Ahad lalu.

“Kami sedang menyiapkan lakaran gambar suspek untuk mengesan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bayi dalam plastik hitam

SEREMBAN: Macam binatang. Itu perumpamaan layak diberikan terhadap manusia durjana yang sanggup meninggalkan seorang bayi perempuan berbalut plastik hitam depan sebuah rumah di Taman Senangin, Senawang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bayi dipercayai berusia kira-kira sebulan itu ditemui seorang wanita yang keluar untuk membuang sampah depan rumahnya sebelum mendapati sesuatu mencurigakan dalam plastik hitam.

Wanita terbabit yang membuat pemeriksaan terkejut dengan penemuan bayi malang itu membawanya masuk ke dalam rumah sebelum merujuk kepada pihak polis.

Harian Metro difahamkan bayi yang tidak diketahui bangsanya itu tidak menangis ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, untuk tindakan lanjut.

“Polis akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk tindakan lanjut terhadap bayi berkenaan,” katanya.

Rayu bebas rakan

KANGAR: Seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah dan kini masih ditahan di penjara Karachi, Pakistan, merayu pihak berkuasa membantu membebaskannya selepas dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan bersabit kesalahan dadah di sana.

Banduan berbangsa India dari Kuala Lumpur berusia 32 tahun itu seorang janda dan mempunyai empat anak masih kecil. Dia ditahan sejak setahun lalu.

Rakannya, Siti Aishah Hamid, 43, berkata janda terbabit dikenali dengan panggilan Rani perlu dibantu kerana dia sudah dibuang keluarga sendiri sehingga usaha kedutaan Malaysia di Pakistan untuk membantunya juga terbantut.

“Rani dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan, termasuk denda Rs150,000 (RM7,500) atas tuduhan cuba menyeludup dadah.

“Jika gagal membayar denda, Rani boleh dikenakan tambahan hukuman penjara enam bulan.

“Empat rakyat Malaysia itu menerima nasib sama seperti saya dan kami semua terpedaya dengan helah sindiket pengedaran dadah. Namun, saya sedih dengan nasib Rani yang dipulau keluarga sendiri,” katanya.

Siswi bimbang aksi seksi tersebar

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar sebuah universiti tempatan kini hidup dalam ketakutan gara-gara kecuaiannya memasang kamera web di komputer riba menyebabkan rakan sembangnya sempat merakamkan aksi seksinya, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ana, 19, mendakwa hanya mengetahui aksinya dirakamkan apabila rakan sembangnya itu tiba-tiba menghantar semula salinan rakaman itu kepadanya.

Terkejut melihat dirinya dirakam, Ana meminta lelaki itu melupuskan rakaman itu, namun tidak diendahkan sebaliknya dia diugut.

“Ketika itu saya memakai baju tidur dan melayari komputer sambil meniarap dan tidak menyangka lelaki itu merakamkan bahagian dada saya yang terdedah,” katanya.

Bimbang gambarnya disebarkan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, Ahad lalu.

Dedah tabiat buruk bapa

Oleh Shahrul Nizam Mohamad



KUANTAN: Akibat tidak dapat menahan perasaan jijik selepas mengetahui bapanya menyimpan 85 keping cakera padat video (VCD) lucah, seorang remaja perempuan nekad membuat aduan polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, remaja berusia 15 tahun yang masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini, terkejut apabila mengetahui tabiat buruk bapanya menyimpan VCD lucah dalam kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai mengambil kesempatan menonton ketika ibu remaja itu tiada di rumah.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang menerima aduan remaja terbabit mengepung rumah pengawal keselamatan itu sebelum menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui 85 keping VCD lucah pelbagai tajuk yang disembunyikan di tempat duduk belakang kereta suspek.

Lelaki terbabit juga gagal memberi penjelasan ketika ditanya mengenai penemuan VCD lucah berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti dalang sebenar yang terbabit kegiatan pengedaran VCD lucah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090402093324/Article/index_html

Culik ala Nurin


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim 

SUBANG: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, pada 20 Ogos 2008, hampir berulang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Nurul Nazeha Mohd Zahir yang dalam perjalanan ke sekolah ditarik seorang seorang daripada tiga lelaki memasuki van sebelum dilarikan ke lokasi tidak dikenal pasti.

Mangsa yang diugut akan dibunuh bagaimanapun bernasib baik apabila penjenayah terbabit tiba-tiba ‘hilang minat’ sebelum mencampakkannya ke dalam longkang sedalam lebih satu meter kira-kira jam 11 malam berhampiran Plaza Tol Subang di sini. 

Biarpun terselamat, Nurul yang diculik hampir 10 jam bengkak di kepala selain trauma akibat tindakan kejam penjenayah yang dipercayai cuba menculiknya dengan niat tertentu.

Dia ditemui dua orang awam menjelang tengah malam sebelum dibawa Balai Polis Subang.

Apabila ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Subang di sini, pagi semalam, Nurul dapat mengingati setiap kejadian yang menimpanya ketika ditanya wartawan Harian Metro.

Mangsa yang mesra dengan panggilan ‘kakak’ memberitahu, dia berbasikal bersendirian ke sekolah menggunakan jalan pintas berhampiran rumahnya sebelum dihampiri van putih dari belakang.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang di sini, itu mendakwa seorang lelaki tiba-tiba keluar dari van lalu menariknya masuk ke dalam van.

“Basikal yang saya tunggang dicampakkan ke tepi jalan, manakala mulut saya ditutup dengan tangan kasar lelaki terbabit,” katanya.

Nurul menjelaskan, dia tidak dapat mengecam muka individu terbabit berikutan ketiga-tiga mereka memakai topeng hitam dan sering memberikan amaran supaya mendiamkan diri.

“Lelaki terbabit kerap berkata: ‘kau diam, kalau tidak aku hentak kepala kau, aku bunuh kau’ menyebabkan saya ketakutan dan tidak berani bersuara atau memandang wajah mereka.

“Saya hanya dibawa sekitar Subang dari tengah hari hingga lewat malam. Ketika itu, saya amat letih kerana langsung tidak diberi makan atau minum,”
katanya.

Nurul yang berwajah mirip Nurin Jazlin, berkata penjenayah turut mengetuk kepalanya dengan tangan apabila dia cuba membuka mulut.

“Saya amat takut dan hanya teringatkan ayah dan ibu. Saya tidak tahu kenapa mereka melarikan saya.

“Selepas hari semakin malam, van berkenaan tiba-tiba berhenti di tepi jalan sebelum seora
ng daripada lelaki itu mengangkat saya keluar dan mencampakkan saya ke dalam longkang,” katanya.

Menurutnya, keadaan longkang yang agak dalam menyebabkan dia tersembam sebelum tidak sedarkan diri. 

“Saya hanya sedar selepas didukung ke pejabat Plaza Tol Subang oleh dua orang awam sebelum dihantar ke Balai Polis Subang,” katanya sambil didakap ibunya, Norzalina Abu, 35. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes berkenaan dari pelbagai sudut dan tidak mahu sebarang spekulasi ditimbulkan.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090402090055/Article

Siti Aishah kesal - Tak pernah membaca surat khabar


HAMID MAHASA tidak dapat menahan sebak ketika memeluk anaknya, Siti Aishah 
di rumah mereka di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, Perlis semalam.


KANGAR - Suri rumah yang dibebaskan dari penjara Karachi, Pakistan baru-baru ini, Siti Aishah Hamid, 44, menyalahkan dirinya yang tidak mengikuti perkembangan semasa melalui media sehingga menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

"Saya sungguh menyesal kerana sepanjang hidup, saya tidak pernah ambil kisah untuk membaca surat khabar atau menonton televisyen sehinggalah terjerat dengan satu peraduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Jadi apabila memenangi hadiah melancong ke luar negara, saya sangat teruja dan di situlah bermulanya mimpi ngeri dalam hidup saya," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat dekat sini semalam.

Siti Aishah, seorang warga kurang upaya terpaksa merengkok di penjara Karachi, Pakistan selepas pihak negara itu menemui bungkusan heroin seberat 950 gram yang tersorok pada sisi sebuah mekap miliknya pada 24 April tahun lalu.

Selepas 11 bulan hidup sebagai banduan, mahkamah negara itu membebaskannya baru-baru ini setelah mendapati dia tidak bersalah dan dia selamat dibawa pulang ke tanah air Isnin lalu.

"Saya tak sangka kotak hadiah yang diberi oleh ejen sebelum pulang rupa-rupanya dadah untuk diseludup keluar Pakistan.

"Saya harap kejadian yang menimpa saya dijadikan iktibar oleh orang lain," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Guru berpolitik dengan bersyarat - Hishammuddin


HISHAMMUDDIN menanam pokok peringatan semasa lawatan ke RECSAM di Pulau Pinang semalam


PULAU PINANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan cadangan bagi membenarkan guru kumpulan A berpolitik asalkan tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran melahirkan kebimbangan sekiranya guru tidak diberi ruang dalam politik ia akan menjejaskan hala tuju parti untuk mendekati rakyat.

"Cadangan saya itu bersyarat, semangat guru juga penting dalam politik, lihat sahaja kewujudan UMNO, ia bermula dengan semangat guru-guru.

"Mereka inilah yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat. Saya bimbang jika semangat dan komitmen ini tidak diberi ruang dalam parti, hala tuju parti dalam usaha mendekati rakyat akan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bahawa cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan golongan pendidik.

Hishammuddin sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM). Beliau yang juga Presiden ke-43 Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) akan melepaskan jawatan itu kepada Menteri Pendidikan Thailand Ahad ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Budak lima tahun dicabul di tadika


Kanak-kanak terbabit bersama ibunya selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Sudah tiga minggu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ini tidak mahu ke sekolahnya di sebuah tadika di Klang seperti takutkan sesuatu.

Kelakuannya yang pelik itu mula disedari oleh ibunya yang hanya ingin dikenali sebagai Maria walaupun telah beberapa kali dipujuk.

Namun setelah didesak, kanak-kanak itu akhirnya memberitahu, dia takut untuk ke sekolah kerana mendakwa telah dicabul sebanyak dua kali oleh seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu tadika tersebut.

Lebih mengejutkan, menurut kanak-kanak itu lagi, dua lagi rakannya turut menjadi mangsa pembantu tersebut apabila mereka sering dibawa masuk ke sebuah bilik dan wanita tersebut dikatakan telah memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mereka.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada 26 April lalu itu turut dilaporkan ke Balai Polis Kapar bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Klang untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dan telah ditahan di hospital terbabit.

Namun, disebabkan bimbang dengan keadaan kanak-kanak tersebut, kedua-dua ibu bapanya enggan membenarkan pihak hospital menahannya menyebabkan mereka terpaksa kembali berjumpa dengan pegawai polis yang menyiasat kes terbabit.

Apa yang mengejutkan, mereka mendakwa telah diminta untuk membatalkan laporan setelah enggan meneruskan pemeriksaan kesihatan di hospital.

Bagaimanapun, peguam keluarga tersebut menasihati agar mereka membuat laporan semula dan akhirnya pembantu tersebut ditahan reman selama enam hari.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Kuatkan imun tubuh

Penawar homeopati diperoleh dari alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada tumbuhan dan haiwan dan kini diperoleh dari sumber sinaran atau pancaran.




SEORANG gadis berusia 27 tahun didapati menghidap penyakit tulang belakang sejak terjatuh ketika diragut di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Selepas dua tahun insiden itu, gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Siti tidak lagi selincah dahulu.

Kini, pergerakan Siti yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam agak terbatas. Dia sukar membengkokkan badan ketika solat atau melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan yang banyak.


KEELI CAMBOURNE (kanan) mengusap minyak homeopati pada lengan seorang kanak-kanak di Kuala Lumpur.


Kesakitan yang Siti alami membuatkan ibu bapanya membawa dia ke salah sebuah hospital pakar. Menurut doktor, Siti mengalami sakit sendi rusuk (spondilosis servikal) berkaitan tulang belakang dan perlu melakukan pembedahan.

Oleh kerana Siti takut melakukan pembedahan, dia meminta ibu bapanya membawanya berubat secara alternatif sahaja. Akhirnya, ibu bapa Siti mencuba kaedah homeopati selepas diperkenalkan oleh rakannya yang pulih daripada penyakit migrain.


KESAKITAN tulang belakang dikatakan boleh dirawat dengan menggunakan rawatan homeopati.


Selepas beberapa kali Siti mempraktikkan rawatan homeopati, kesakitan tulang belakang yang dialaminya beransur-ansur pulih. Kini, dia boleh melakukan pergerakan tanpa berasa sakit.

Apa yang anda faham mengenai homeopati?

Menurut Pengasas Cherub Rubs dan juga pengamal homeopati, Keeli Cambourne, penawar homeopati dihasilkan daripada bahan-bahan semula jadi tanpa menyebabkan kerosakan kepada persekitaran.

"Penawar homeopati diperoleh dari alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada tumbuhan dan haiwan dan kini diperoleh dari sumber sinaran atau pancaran.


ADA pesakit mendakwa kesakitan tulang belakang yang dialaminya berkurangan selepas menerima rawatan alternatif homeopati. – Gambar hiasan





"Selain sebagai rawatan, teknik homeopati juga bertindak sebagai perubatan pencegahan.

"Kaedah rawatannya ialah menguatkan imun tubuh untuk melawan penyakit sekali gus berusaha menyembuhkan penyakit sehingga ke akar umbi," katanya yang telah mengamalkan perubatan homeopati selama 15 tahun.

Wanita kelahiran Australia itu berkata, semakin banyak negara di dunia kini mengamalkan perubatan homeopati, selain menerima rawatan perubatan yang biasa.

Beberapa penyakit tertentu dikatakan boleh dirawat menggunakan kaedah ini.

Kenapa Cambourne memilih perubatan homeopati? Beliau memberitahu, perubatan homeopati mampu merawat pesakit secara keseluruhan.

"Ia bukan sahaja merawat dari segi fizikal, malah dari segi spiritual dan emosi seseorang pesakit," ujarnya.

Tambah ibu kepada tiga orang anak itu, ia bukanlah suatu keanehan jika dua pesakit yang mempunyai sakit yang sama tetapi diberi dua penawar yang berbeza.

"Inilah yang membezakan antara rawatan homeopati dengan rawatan lain yang menyediakan ubat untuk membunuh kuman penyakit berkenaan.

"Dengan kata lain, homeopati lebih kepada rawatan holistik iaitu memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakitnya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Cherub Rubs (produk penjagaan bayi dengan menggunakan penawar homeopati) di Restoran Delicious, One Utama, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, perubatan homeopati turut pernah diamalkan oleh beberapa orang kenamaan dan selebriti seperti Puteri Diana, Tina Turner, Mahatma Gandhi, Dizzy Gillespie, Tony Blair, Elizabeth Talyor, Bismarck, Barbara Cartland, Mark Twin, Susan Hampshire dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kesan susu pada memori

Tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental kanak-kanak.




KEBANYAKAN ibu bapa merasakan anak mereka hanya memerlukan susu ketika bayi. Mereka akan berhenti memberikan susu apabila kanak-kanak ini mula memasuki alam persekolahan.

Tambahan pula, kanak-kanak mula tidak berminat terhadap susu disebabkan terpikat pada kepelbagaian minuman manis berkordial di pasaran.

Susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.

Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga.

Semua nutrien ini penting untuk satu atau lebih jenis fungsi. Kandungan kalsium yang terdapat di dalam susu turut menjadikannya istimewa.

Bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental kanak-kanak.

Dalam usaha mengesahkan kesan pengambilan susu kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, Dutch Lady Milk Industries (M) Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) kini menjalin kerjasama.

Satu ujian klinikal bagi menentukan keberkesanan meminum susu ke atas perkembangan mental kanak-kanak di negara ini akan dilakukan.

Menurut Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UPM, Dr. Mohd. Nasir Mohd. Taib, tujuan ujian tersebut dijalankan adalah untuk melihat bagaimana susu memberi kesan kepada pembentukan memori kanak-kanak, tindak balas dan daya konsentrasi mereka.

"Kajian ini akan berjalan selama enam hingga lapan bulan mulai bulan depan melibatkan 30 kanak-kanak berumur lima tahun di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di syarikat Dutch Lady Milk Industries, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Jelasnya, projek penyelidikan klinikal nutrisi yang dianggarkan bernilai setengah juta ringgit tersebut akan menguji 30 kanak-kanak dengan pengambilan empat dos susu berbeza sebelum prestasi mental mereka dinilai.

Penilaian akan dibuat bagi seorang kanak-kanak berumur lima tahun dalam mendefinisikan nombor dan gambar, memori lisan, memori ruang, waktu reaksi dan kebolehan memfokus dan menumpukan perhatian.

Ia adalah satu peristiwa penting yang membantu dalam menentukan pembangunan minda seseorang kanak-kanak.

Hasil kajian itu kelak akan dijadikan satu sumber asas maklumat saintifik tempatan yang dapat menunjukkan kesan dan perbezaan perkembangan mental berbanding di negara lain, hasil pengambilan nutrien susu.

Penilaian dibuat melalui siri ujian komputer yang dibangunkan oleh Cognitive Drug Research, sebuah institut penyelidikan antarabangsa di United Kingdom.


DUTCH Lady Malaysia dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia menjalin kerjasama dalam satu projek penyelidikan berkaitan susu.


Dalam pada itu, Pengarah Urusan Dutch Lady, Hans Laarakker pula berkata, kerjasama dengan UPM itu diharap dapat mencapai komitmen kepakaran nutrisi Dutch Lady Malaysia selepas lebih 50 tahun bertapak di Malaysia.

Selain mementingkan kebersihan produk tenusu di pasaran, kajian nutrisi produk tersebut dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan kanak-kanak dibekalkan dengan sumber nutrien yang cukup dan lengkap sepanjang tempoh pembesaran mental dan fizikal mereka.

Dengan itu, katanya, pengguna akan mendapat kepastian maklumat yang disampaikan bukan atas dasar dakwaan kosong tetapi hasil daripada fakta penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm

10 perkara wanita benci

Kebanyakan lelaki tidak sedar bahawa ada perbuatan mereka dibenci oleh kaum wanita.




KEBANYAKAN lelaki selalu menyalahkan wanita apabila wanita kerap merajuk dan marah tanpa mengetahui apakah puncanya. Kerap kali apabila timbulnya masalah sikap wanita yang dikatakan mengada-ngada, itu menjadi punca pertengkaran.

Namun, lelaki tidak sedar ada perbuatan mereka yang dibenci oleh kaum wanita. Justeru, apa kata lelaki meneliti beberapa perbuatan-perbuatan yang sering dilakukan tanpa kesedaran mereka.

1. Panas baran

Pantang silap sikit, pasti pelbagai kata-kata kesat dihamburkan. Tidak cukup dengan kata-kata kesat, kadangkala tangan lelaki panas baran ini juga pantas menampar atau mencekik leher kekasih bagi menunjukkan mereka ini kuat dan berkuasa.

Perbuatan lelaki sebegini akan membuatkan wanita benci dan fobia. Bagi sesetengah wanita yang terlalu menyayangi pasangan, mereka terpaksa berendam air mata dan membiarkan hidup menderita. Lama kelamaan wanita ini akan hidup dalam keadaan tertekan dan boleh menyebabkan kemurungan.

2. Mengongkong

Segala gerak-geri kekasih dikawal. Hendak keluar berhibur dengan teman-teman pun tidak boleh. Sampaikan dari segi berpakaian pun perlu mengikut segala yang diinginkan mereka. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka disoal siasat oleh kekasih mereka. Mulalah dituduh psiko dan queen control.

3. Ego

Ini adalah perbuatan yang paling ketara bagi kaum lelaki. Apabila berlaku pergaduhan, wanita selalu dipersalahkan. Kadangkala, marahnya sudah hilang tetapi ego punya pasal sanggup mendiamkan diri tidak menelefon kekasih semata-mata ingin dipujuk. Ada sesetengah lelaki pula, kerana terlalu ego sanggup menunggu wanita mengajak keluar dahulu daripada mereka sendiri mengajaknya. Tidak salah mempamerkan ego, tetapi biarlah kena pada tempatnya.

4. Suka 'cuci mata'

Kebanyakan lelaki sukar untuk mengawal mata mereka (mata keranjang). Walaupun sudah dikurniakan teman wanita yang cantik, tetapi masih lagi ingin memandang wanita lain. Pandang sekali sudahlah. Ini tidak. Kadangkala, sampai terpusing kepala lelaki mata keranjang ini memandang wanita lain.

5. Main kayu tiga

Ini adalah perkara yang paling dibenci oleh setiap wanita. Pantang digoda dengan wanita lain, terus hanyut. Ada juga lelaki yang pantang melihat perempuan cantik, pasti dijadikan senarai 'teman tapi mesra'. Ada juga yang sanggup keluar dengan wanita lain walaupun sudah mempunyai kekasih.

6. Tidak sensitif perasaan wanita

Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian kepada kekasihnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perasaan wanita. Tetapi jika bersangkut paut mengenai diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan, mereka begitu memahami dan mengambil berat.

Sebenarnya, wanita bukanlah terlalu sensitif atau terlalu manja. Cukuplah sekadar teman lelaki menjaga hati mereka dahulu sebelum menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi jika wanita itu bakal menjadi isterinya kelak.

7. Pentingkan kawan-kawan

Sanggup membatalkan temu janji semata-mata ingin menonton bola sepak atau diajak melepak oleh kawan-kawan lelaki. Sesetengah lelaki selalu mementingkan kawan-kawan dalam segala hal.

Kalau ada apa-apa masalah di tempat kerja atau apa urusan sekalipun, mereka yang mementingkan kawan-kawan sanggup mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan kekasih. Wanita akan lebih menyayangi pasangannya jika mereka lebih dihargai.

8. Tidak tahu menghargai

Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Seboleh-bolehnya, lelaki mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap menghargai mereka. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap menghargai teman wanita terhadap apa yang cuba dilakukannya untuk anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya, ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

9. Meninggikan suara

Tahulah mereka dikurniakan suara yang 'macho' tetapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

10. Penipu

Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tidak munasabah. Ada lelaki sanggup mungkir janji dan memberi pelbagai alasan seperti mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan, padahal sebenarnya mereka enggan mengotakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini, lama kelamaan akan membuatkan wanita menjauhi anda.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm

Cerita pengawal peribadi Razak

Selama 44 tahun berkhidmat untuk keluarga Tun Razak membuatkan Datuk Idris Shaari menjadi figura terbaik yang mengenali Perdana Menteri Keenam, Najib Tun Razak yang ditatangnya sejak kecil.





LELAKI ini memikul amanah yang cukup berat. Namun, tugas itu dilaksanakan dengan baik sejak 44 tahun lalu. Jarang sekali beliau mengeluh, malah segala keperluan keluarga itu cuba disempurnakan semampu mungkin.

Datuk Idris Shaari Mat Aris, 67, kini sudah boleh tersenyum puas. Puas dan bertuah kerana beliau diberi peluang memberi khidmat kepada keluarga yang memberikan negara ini dua orang Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Segala-galanya bermula pada tarikh 1 Mei 1965. Idris yang berusia 22 tahun ketika itu mula ditugaskan sebagai pengawal peribadi kepada Tun Razak sehinggalah negarawan itu meninggal dunia.

Apabila Tun Razak sudah tiada, Idris yang berusia 49 tahun ketika itu diminta bersara daripada pasukan polis demi menjadi pengawal peribadi Tun Rahah, selain bertanggungjawab menjaga segala urusan keluarga tersebut.

Sewaktu Idris mula berkhidmat, Najib baru berusia 12 tahun.

"Semasa kecil, Najib tidak nakal atau buas. Dia hanya berkawan dengan adik-beradiknya, terutama Datuk Ahmad Johari. Dia pergi sekolah dan balik sekolah, itu sahaja.

"Kegemarannya ialah bermain bola sepak. Dia seronok main ramai-ramai, orang tua macam saya cuma jadi penjaga gol," katanya diselangi dengan ketawa.

Najib juga tidak cerewet apabila menyentuh bab makanan. Makanan kegemaran Najib ialah apa yang dihidangkan di atas meja. Tiada makanan kesukaannya yang khusus. Maklumlah, zaman itu masih belum ada Kentucky Fried Chicken (KFC) atau McDonald's.


CARA berpolitik Najib bagi Idris sama seperti Tun Razak.


Satu perkara yang cukup disenangi Idris adalah hubungan lima orang adik-beradik itu yang cukup baik hingga ke hari ini.

"Mereka sangat menghormati ibundanya. Hubungan adik-beradik pula macam kawan-kawan rapat. Lagi pun, sejak Tun Razak meninggal meninggal dunia, Tun Rahah akan mengadakan perjumpaan makan bersama seminggu sekali pada setiap hari Rabu malam Khamis. Cuma Najib yang agak sibuk sedikit dan mungkin jarang dapat bersama.

"Namun begitu, jika sesekali ada kelapangan, Najib akan telefon dan dia datang untuk makan bersama," cerita Idris.

Mengulas mengenai cara berpolitik Najib, Idris berpendapat ia agak sama dengan Tun Razak. Cuma gaya percakapan sedikit berbeza kerana gaya Najib lebih bagus.

"Setelah menjadi Ahli Parlimen Pekan pada 1976, sejak itu saya diarah Tun Rahah untuk menjaga Najib. Sebagai wakil rakyat, kami adakalanya bermalam di sebuah rumah yang ditinggalkan oleh Tun Razak di Pekan yang sekarang sudah dijadikan klinik.

"Dia ini penakut sikit. Bila datang sesekali tidur di situ, Najib akan minta untuk tidur dalam bilik yang sama," katanya.


WAJAH Najib ketika berusia setahun.


Memandangkan Najib sentiasa bertutur dalam bahasa Inggeris selepas balik dari England, penguasaan bahasa Melayu beliau kurang bagus pada waktu itu. Kelemahan tersebut semakin jelas apabila Najib memberikan ucapan.

"Ketika Najib sampaikan ucapan dalam bahasa Melayu, saya lari masuk ke dalam kereta. Apabila ditanya oleh pemandu, saya kata: Tak boleh dengarlah. Cara penyampaian dan pelatnya lain macam sahaja.

"Tetapi, saya kagum dengan Najib kerana mulai hari itu, dia mula belajar bercakap dengan baik dalam bahasa Melayu," kata Idris yang lebih biasa dipanggil dengan nama Deris.

Lelaki yang segak berpakaian batik berwarna hijau itu nyata kecewa apabila mendengar cerita-cerita buruk tentang Najib. Tegas Idris, semua itu memang fitnah.


DARI kiri berdiri: Nazim, Najib, Idris dan Nizam. Duduk kiri: Ahmad Johari dan Nazir.


Ada sekali beliau bertanya Najib mengenai satu fitnah. Najib hanya jawab sekali: "Deris, awak fikirlah. Kalau hendak buat jahat, bukannya rosak nama saya, tetapi rosak nama bapa dan keluarga. Saya tidak sanggup. Ini semua fitnah."

"Lepas itu saya tidak pernah tanya lagi," jelas Idris panjang lebar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_08.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...