Sunday, March 8, 2009

Gigolo Switzerland dibicarakan Isnin

Gigolo Switzerland dibicarakan Isnin



SGARBI


BERLIN - "Saya hidup dengan wang yang diberikan wanita," begitulah kenyataan seorang lelaki yang digelar gigolo Switzerland, Helg Sgarbi ketika dia memberikan kenyataan kepada polis pada 2001.

Namun, apabila dia cuba memperdayakan waris syarikat permotoran BMW, Susanne Klatten, 46, yang mempunyai aset lebih AS$13 bilion (RM48 bilion), gigolo tersebut terlalu tamak yang menyebabkannya ditangkap polis.

Sgarbi akan dibicarakan di Munich, Isnin depan atas tuduhan memeras ugut waris wanita paling kaya di Jerman itu dengan meminta beberapa juta euro.

Jika disabitkan kesalahan, Sgarbi yang bersuara lunak boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Berdasarkan pendakwaan, dia pertama kali berjumpa Klatten di sebuah resort di Lanserhof, Austria pada Julai 2007.

Klatten membuat laporan polis selepas gigolo tersebut meminta wanita itu meninggalkan suami dan meletakkan wang 290 juta euro (RM1.3 bilion) dalam satu dana amanah. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Penduduk tinggal di khemah


BEBERAPA buah khemah didirikan di sebuah kawasan lapang di Sacramento.



SEORANG wanita memasak di luar khemah.


SACRAMENTO - Khemah-khemah setinggan tumbuh seperti cendawan selepas hujan di sini berikutan krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) yang bertambah buruk, lapor sebuah akhbar semalam.

Khemah-khemah itu menjadi tempat tinggal penduduk di bandar Sacramento, California yang hidup melarat akibat hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar ansuran rumah.

Pihak berkuasa tempatan berkata, sekurang-kurangnya 50 pendatang baru mendirikan khemah setiap minggu dan kawasan itu menjadi tempat tinggal lebih 1,200 orang.

"Sukar untuk menerima kenyataan pada zaman moden ini rakyat terpaksa tinggal di khemah seperti yang berlaku ketika Era Kemelesetan Ekonomi pada 1930-an," kata seorang aktivis AS, Joan Burke.

Bagaimanapun, bagi golongan tersebut, mendirikan khemah dengan menggunakan baki wang simpanan yang ada merupakan satu-satunya pilihan buat mereka selepas semua tempat perlindungan untuk penduduk jalanan di California penuh.

Keadaan tempat itu adalah tanpa bekalan air dan elektrik menyebabkan ramai penduduk terpaksa berjalan kaki hampir lima kilometer setiap hari untuk membeli air minuman di stesen petrol dan kedai runcit berdekatan.

"Kami mempunyai seorang anak lelaki berumur 35 tahun dan dia tidak pernah menghubungi kami. Kami menelefonnya sebulan sekali untuk menyatakan kami sihat dan baik. Kami tidak mahu membuatkan dia bimbang," kata sepasang suami isteri yang menetap di khemah tersebut.

Pada bulan lepas, Gabenor California, Arnold Schwarzenegger telah meluluskan beberapa langkah bantuan tetapi tidak banyak yang kerajaan dapat lakukan berikutan lebih 80,000 orang hilang pekerjaan di negeri itu setiap bulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Kadar penggangguran tertinggi di Amerika Syarikat


BEBERAPA orang mengunjungi pameran kerjaya di New York kelmarin.


WASHINGTON - Kemelesetan ekonomi menyebabkan 651,000 orang diberhentikan kerja di Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu iaitu yang terburuk sejak 1983 lalu, menurut satu perangkaan kerajaan semalam.

Menurut perangkaan itu, kadar pengangguran itu meningkat kepada 8.1 peratus.

Statistik oleh Jabatan Buruh AS itu menyatakan bahawa Februari merupakan bulan terburuk bagi pasaran buruh negara itu sejak 1983.

Walaupun jumlah pembuangan kerja itu sudah diramalkan sebelum ini, perangkaan tersebut mendedahkan tentang keadaan ekonomi AS yang nazak ketika banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja untuk menghadapi krisis ekonomi.

Jabatan Buruh turut menyemak semula anggaran pemberhentian kerja dua bulan sebelumnya iaitu 655,000 orang pada Januari lalu berbanding 598,000 dan 681,000 orang pada Disember iaitu kenaikan daripada 577,000 orang.

Beberapa pegawai berkata, data itu turut menunjukkan bahawa jumlah pemberhentian kerja pada Disember merupakan yang terburuk pernah direkodkan sejak Oktober 1949.

Menurut mereka, sejumlah 4.4 juta pekerjaan melayang sejak kemelesetan ekonomi mula melanda AS pada Disember 2007 dengan 2.6 juta orang hilang pekerjaan sepanjang empat bulan lalu.

Sektor pembuatan memberhentikan 278,000 orang pada bulan lepas manakala bidang perkhidmatan hilang 375,000 pekerja pada tempoh sama.

Bagaimanapun, terdapat beberapa sektor mencatat pertambahan kakitangan dalam skala kecil termasuk bidang pendidikan dan kerajaan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Amaran risiko tanah runtuh di 9 lokasi

KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi di kawasan tanah tinggi di negara ini dikenal pasti mengalami hakisan yang merupakan tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya risiko tanah runtuh sekiranya tiada pemantauan.

Antara kawasan tersebut ialah Cameron Highlands (Pahang), Bukit Fraser (Pahang), Genting Highlands (Pahang) dan Bukit Bendera (Pulau Pinang).

Pengarah Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, kawasan tanah tinggi tersebut berisiko untuk berlaku tanah runtuh dan ia memerlukan perhatian yang serius.

"Ia akan berlaku mengikut bulan dan mengikut data hujan kerana tahap hujan boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, IRCDIP kini turut menumpukan perhatian kepada kawasan dataran tinggi Gerik-Jeli serta laluan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), jalan-jalan persekutuan serta jalan-jalan negeri.



Syarul-Shahirah Raja Bahrin selamat diijabkabul

Syarul-Shahirah Raja Bahrin selamat diijabkabul

[SEMASA] KUALA TERENGGANU: Anak kedua arkitek terkenal, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Raja Shahirah Aishah, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, vokalis kumpulan Love Me Butch, Syarul Reza Abdul Aziz, 30, di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini malam tadi.

Raja Shahirah Aishah dan Syarul Reza Abdul Aziz merakamkan gambar selepas selamat dinikahkan. -foto The Star oleh M.AZHAR ARIF

Majlis akad nikah pasangan tersebut diadakan tepat pukul 9.30 malam tadi dengan dihadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri daripada sahabat handai dan saudara mara dari kedua-dua belah pengantin.

Pasangan ini menyulam cinta hampir lima tahun sebelum disatukan.

Majlis dimulakan dengan Jurunikah Negeri M Rozi Bidin membacakan khutbah nikah sebelum dituruti dengan majlis akad nikah yang dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan Raja Kamarul Bahrin.

Syarul ketika menyarungkan cincin ke jari manis Shahirah.

Sebelum memulakan majlis akad nikah tersebut Raja Kamarul Bahrin kelihatan memeluk dan mencium anak perempuan tunggalnya itu hasil perkongsian hidup dengan warga Australia Jacqueline Pascarl-Gillespie.

Syarul Reza yang memakai baju Melayu serta samping songket serba putih sah menjadi suami Raja Shahirah selepas tiga kali lafaz.

Majlis bersanding kedua-dua pengantin dijadualkan berlangsung di Ariani Resort Merang petang nanti.

Pengantin lelaki berasal dari Seksyen 8 Bandar Puncak Alam Selangor manakala pengantin perempuan dari Jalan Sultan Mahmud di sini.

Bercerita tentang perkenalan awal mereka, pasangan yang bercinta hampir lima tahun ini diperkenalkan oleh seorang rakan sebelum mereka bersama-sama menubuhkan kumpulan muzik Lab Rat dan menyertai sebuah pertandingan yang mana mereka berjaya mewakili negara untuk 'The Global Battle of the Bands Challenge 2008' yang berlangsung di London akhir tahun lalu.

Selain Syarul dan Shahirah, kumpulan itu turut dianggotai oleh dua orang adik-beradik Syarul iaitu Syaril Zizi Abdul Aziz, 30 dan Syaiful Nazri Abdul Aziz, 25, serta seorang lagi ahli kumpulannya, Azwan “Kecik” Hadi, 29.


Nostalgia 'Penantian' yang ditinggalkan Zubir Ali!


Nostalgia 'Penantian' yang ditinggalkan Zubir Ali!

[SEMASA] JIKA lagu puisi 'Penantian' diputarkan lagi di saat ini, tentu saja mereka yang terbuai dengan alunan sepi bait-bait indah lirik lagu ini akan diulit perasaan rindu, sebak dan sayu kerana komposer, penyanyi dan penulis lirik ini, Allahyarham Zubir Ali sudah tiada lagi di kalangan kita.

Allahyarham, 58, yang merupakan bekas vokalis kumpulan 'Harmoni' menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi semalami, di Hospital Pakar Damansara selepas menjalani pembedahan jantung.

Arwah yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas Asar hari ini.

PERJALANAN SENI ZUBIR ALI

Begitu banyak kenangan yang ditinggalkan dalam lagu puisi 'Penantian' dan 'Doa' Allahyarham Zubir Ali.

Komposer, penyajak dan penyanyi bernama Zubir Ali ini begitu sinonim dan serasi dengan gaya penyampaian dan nada puitis sehingga ke akhir hayat.

Belum ada lagi yang dapat meniru mahupun menandingi kemasyuran yang dimilikki insan unik yang terkenal dengan lagu puisinya 'Penantian', 'Doa' dan 'Balada Seorang Pencari.'

Genre puisi tidak dapat dipisahkan dengan komposer hebat ini dan berjaya mengukir namanya dengan elemen nostalgia muzik puisi ala Zubir Ali.

Puisi bagi arwah, ada nadanya sendiri. Yang membuat sesuatu lagu puisi itu indah dan sedap didengar, kata Allahyarham, ialah "apabila penterjemahannya dilakukan dengan berseni sekali."

Waktu pertama kali Allahyarham memperkenalkan lagu puisi, 'Penantian' oleh kumpulan Harmoni pada awal 1980-an, ramai yang menganggap lagu itu membawa unsur kecewa cinta tetapi ternyata ia sarat dengan unsur ketuhanan yang mendalam.

Kekeliruan itu membawa hikmah apabila lagu 'Penantian' mendapat sambutan hebat hingga ke hari ini. Banyak lagu-lagu genre puisi inspirasi Zubir melekat di hati masyarakat kerana sentuhan lembut dan segarnya.

BAHASA PUISI HANYA SIMBOL

Bagi Zubir, seni itu akal, seni itu bebas, seni itu fitrah dan seni itu tidak berbentuk kerana "seni adalah pengucapan yang tidak dipaksakan dan bahasa itu hanyalah satu permainan simbol yang berbagai bagi menyatakan yang tersirat di dalam akal."

Apa yang dilakukan semasa hayatnya dalam semua lagu puisi yang dihasilkan tidak lebih dari "mengangkat lirik puisi dan memberi kekayaan pada pemikiran masyarakat. Saya hanyalah alat untuk menyampaikan pemikiran yang berbeza."

"Manusia yang berusaha meningkatkan kualiti kemanusiaannya sebelum mati. Kualiti kemanusiaan itu boleh dilihat pada peningkatan sadar nafsu, sadar akal, sadar hati dan sadar ruh, tulis Allahyarham dalam blognya http://zubirali.com.

Malam Demimu Palestin yang dipentaskan pada akhir Januari tahun ini, di Istana Budaya merupakan kemunculan terakhir Zubir di khalayak ramai.

NOSTALGIA 'HARMONI' MENGGAMIT MEMORI SILAM

Kenangan indah bersama kumpulan 'Harmoni'.

Kenangan yang ditinggalkan Zubir terlalu banyak untuk dikenang. Salah satu legasinya ialah nostalgia kumpulan 'Harmoni' yang ditubuhkan pada 1980-an.

Kumpulan empat anggota termasuk Zubir dan Azie (isteri penyanyi/pemuzik Syed Sobrie) ini pernah memasukki Bakat TV dan menjadi 'benchmark' kehebatan penyanyi-penyanyi tahun 80an.

Begitupun disebabkan komitmen dan kesibukan masing-masing membuatkan kumpulan ini dibubarkan seketika.

Dua tahun lalu, kumpulan baru yang mengambil semangat "Harmoni' lama ditubuhkan dan digelar 'Trio Harmoni.' Ianya dianggotai ahli baru - Shafa selain mengekalkan anggota asalnya, Joei dan Allahyarham Zubir.

Mungkin, lagu yang paling sarat dengan memori indah tentu sekali 'Penantian' yang dihasilkan pada tahun 1981, 'Doa' dan 'Nyanyian Ombak' (1983).

Kemerduan dan kesyahduan suara lembut Zubir dengan 'backup' vokal kumpulan 'Harmoni' serta irama lagu yang dicipta mendayu-dayu dialunkan dengan begitu asyik sekali.

SUARA HATI ZUBIR MENENTANG PEPERANGAN

Komposer dan penyanyi yang cukup kreatif ini sudah lama menghasilkan puisi-puisi yang menginsafkan tentang penderitaan mangsa peperangan seperti mangsa Palestin.

Malah sejak 1980-an lagi, Allahyarham sudah menghasilkan lagu untuk peperangan dan Palestin dan antara yang popular ialah Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden (2000) yang kerap disampaikan pada persembahan membabitkan forum atau festival yang disertai delegasi antarabangsa.

Sebanyak 40 lagu pernah dirakamkan Allahyarham dan tujuh daripadanya popular dan mendapat tempat di kalangan pendengar muzik.


Kedua-dua lagu ini menyatakan lirik yang sesuai dengan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan tentera yang tidak berperikemanusiaan. Lagu berjudul Tuan Presiden adalah kritikan terhadap kepimpinan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Lagu 'Balada Seorang Gadis Kecil' pernah memenangi anugerah Lagu Terbaik Pesta Lagu Malaysia pada tahun itu.

Sebanyak 40 lagu pernah dirakamkan Allahyarham dan tujuh daripadanya popular dan mendapat tempat di kalangan pendengar muzik.

MARTABATKAN ISU KEMASYARAKATAN DALAM LAGU

Zubir pernah menyimpan hasrat untuk menghasilkan album mini tapi sayang sekali, ketika masih dalam perancangan dan penelitian menyusun lagu-lagu yang hendak di hasilkan itu, maksudnya tidak kesampaian.

Semangatnya memperjuang dan memartabatkan isu sejagat dan kemasyarakatan sungguh kental dalam dirinya.

Walaupun kurang publisiti, pensyarah sambilan dalam bidang Pengajian Asas Penulisan Puisi di Universiti Malaya dan mantan Timbalan Pengarah Kebudayaan, Pembangunan, Perkhidmatan dan Kegiatan, Pusat Kebudayaan, UM ini tetap berusaha dalam diam untuk berusaha ke arah itu.

Pada tahun 2006, Zubir telah merakamkan sebuah album solo 'Zubir Ali 06' setelah 23 tahun menyepi tanpa sebarang album. 'Zubir Ali 06' diterbitkan bersama oleh Julfekar, Life Records, Millennium Art dan Moza Publisher.

Album nostalgia itu turut menghimpunkan 12 lagu termasuk dua bonus track Doa dan Balada Anak Desa yang dipetik daripada album terdahulu Zubir bersama kumpulan Harmoni yang popular pada tahun-tahun 1980-an.

MEMORI BERSAMA GENG 'RAP

Bagi orang-orang lama, mungkin akan ingat lagi kepada geng RAP yang popular zaman awal hingga pertengahan 90'an seperti Sheila Majid, Zainal Abidin, Amir Yussof, Azman Warren, Afdlin Shauki dan Zubir Ali.

Kesemua penyanyi ini di bawah naungan dan bimbingan Roslan Aziz yang bijak mencorakkan projek muzik yang bernafas 'baru' dan segar serta berkualiti. Antara hasil yang membanggakan ialah penghasilan CD solo Sheila, Zainal dan Konsert Ikhlas di Stadium Merdeka.

Disebabkan genre muzik Zubir yang puitis, beliau dianggap sesetengah pihak 'the odd man out' dalam geng RAP ini. Bukan sahaja Allahyarham artis yang paling veteran dalam kumpulan ini tetapi pengkhususannya dalam genre muzik puitis.

Tapi di situlah terletaknya keistimewaan Zubir yang membuatnya sebagai aset dalam lingkungan keluarga RAP.

Kali terakhir beliau muncul dalam rakaman album ialah dalam tahun 1996 di bawah naungan Roslan Aziz Productions. Ketika itu, album kompilasi 'RAP '96' ada menampilkan sebuah lagu karya dan nyanyian Zubir, 'Siapakah Memberi Khabar' dengan susunan muzik menarik oleh Mac Chew dan diproduksikan Roslan Aziz.

Sebelum itu, dalam tahun 1991, album kompilasi RAP yang paling popular, 'Ikhlas Tapi Jauh' juga menampilkan lagu menarik nyanyian Zubir 'Harga Diri'.

Kini semua ini hanya tinggal kenangan. Perjalanan hidup insan seni bernama Zubir Ali terhenti pada tanggal hari Jumaat, 6 Mac, 2009.

Bersama alunan bait-bait indah yang ditinggalkan, kita akan selalu rindu mendengar alunan lagu puisi Allahyarham.

Seribu kenangan akan bersemadi dalam lagu-lagu Zubir dan sebagai peminat kita akan tetap digamit rindu setiap kali lagu-lagu 'Penantian, 'Doa' dan 'Erti Pengorbanan' diputarkan.

AL-FATIHAH

Wanita! Pastikan perjuanganmu?


Wanita! Pastikan perjuanganmu?

Jangkaan saya agak meleset bahawa artikel poligami minggu lepas akan dibantah ramai wanita. Alhamdulillah, sebaliknya, ramai wanita yang menghantar email menyokong.

Mereka cuma keliru dengan beberapa alasan yang dikemukakan oleh sesetengah ekstremis feminis yang membelasah itu poligami dalam Islam. Saya ingin jelaskan, alhamdulillah sesiapa yang mengikuti tulisan dan pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia.

Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukam-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram.

Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita.

Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar email dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam.

Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada ‘orang agama’ yang pencen. Sesiapa yang memerhati, akan dapat melihatnya. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman.

Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.

Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fekah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil.

Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap.

Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi s.a.w peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis-hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan yang tidak wajar. Wanita diberi peluang untuk merongkaikan rumahtangga jika mereka rasa ia amat sengsara.

Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata: "Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: "Ya". Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia" (Riwayat al-Bukhari).

Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya.

Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”. Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi s.a.w kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda: “Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu”. Kata Barirah: “Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”.

Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus ‘hamba sahaya’ sedangkan dia sudah mendapat taraf ‘merdeka’. Walaupun Nabi s.a.w sendiri yang bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan agar Barirah menerimanya kembali sebagai suami, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi s.a.w, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi s.a.w telah tunjukkan buat kaum wanita.

Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi s.a.w bukan seperti ‘pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan “baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu”.

Padahal mereka yang malas membuka kes baru. Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi s.a.w; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: “Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir enam puluh juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Belum dikira di Palestin, Bosnia, Iraq, Selatan Thai dan lain-lain. Dan dunia terus berperang.

Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah dan ramai pula yang terlibat dengan dadah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian.

Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung ‘naluri kewanitaannya? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?.

Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlakua adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).

Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan ‘Sati’.

Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan.

Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.

Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/3/2/mstar_kolum_minda_mufti/20090302192913&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar


Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.

Abdullah mengeluarkan kenyataan di ibu negara beberapa jam selepas Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat membantah dasar tersebut.

GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi manakala beratus-ratus penyokongnya merempuh sekatan polis berhampiran Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara tetapi berjaya disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata.

Dipetik Bernama, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanantekanan dan tindakantindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Dragon Fire Hammer" di sini hari ini.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pelajaran buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.

"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.

Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003, telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya.

Isu tersebut bertambah hangat apabila ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.


Himpunan bantah dasar bahasa Inggeris tukar ganas, 5 ditahan


Samad Said, Hassan serah memorandum, perarakan surai selepas sejam

TINDAKAN POLIS... Pihak berkuasa keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang menyertai perarakan menuju Istana Negara petang tadi.
SURAI... Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.
BANTAH... Penyokong-penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan di ibu negara bagi membantah dasar bahasa Inggeris untuk mengajar subjek Sains dan Matematik di ibu negara hari ini.
BANTAH... SEBAHAGIAN daripada mereka yang menyertai Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.

[DIKEMAS KINI, 8 MALAM] PETALING JAYA: Perhimpunan 100,000 Rakyat petang ini - dianjurkan bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), bertukar ganas dengan lebih 5,000 penyokongnya merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara.

Bagaimanapun perarakan itu berjaya disuraikan sebelum mereka tiba di kawasan Istana Negara.

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima orang ditangkap iaitu empat orang di Istana Negara dan seorang di Masjid Negara di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan Seksyen 341/353 Kanun Keseksaan.

"Polis Kuala Lumpur akan meneruskan siasatan ini dan akan memanggil beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan dan perarakan tersebut," kata polis dalam kenyataan itu.

Insiden itu juga menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara pada sebelah petang.

Pihak polis telah memulakan sekatan di 16 lokasi di sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis bermula di Masjid Negara, yang jauhnya kira-kira satu kilometer pada pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.

Bagaimanapun mereka ditahan di laluan pertemuan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang sebelum ini hanya membenarkan tujuh wakil GMP ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pun begitu, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke kawasan Istana Negara.

Hassan dan A. Samad memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian.

Memorandum pihaknya diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.


KOMEN KETUA POLIS NEGARA

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pada awalnya kumpulan tersebut yang diketuai Datuk Hassan Ahamd, A. Samad dan Dr. Shaharil MD Zain telah bersetuju bahawa mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan ataupun demonstrasi.

"Mereka telah bersetuju akan menghantar wakil ke Istana Negara selepas sembahyang Zohor tetapi apabila parti-parti politik seperti PAS dan PKR terlibat bersama, ia berubah menjadi perarakan haram.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang mengingkari amaran polis," katanya.


BERITA TERDAHULU

Sekatan polis kawal perhimpunan bantah PPSMI di KL

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang sejak awal pagi ini bagi mengawal keadaan menjelang Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), di ibu negara petang ini.

Perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Masjid Negara dan disusuli dengan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan besar-besaran ini dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Beberapa laluan utama ke ibu negara terlibat dalam sekatan kali ini.

Bagaimanapun tinjauan mStar Online pagi ini mendapati belum ada kesesakan teruk di ibu negara.

Sekumpulan peserta sudah mula berhimpun di kawasan Masjid Negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, sebanyak 16 sekatan diadakan di ibu negara bagi mengawal keadaan.

Setakat pagi ini, kata beliau, keadaan adalah terkawal.

"Oleh kerana Masjid Negara merupakan tempat beribadat, penyokong perhimpunan dibenarkan berkumpul tetapi tidak dibenarkan mengadakan perarakan (ke Istana Negara)," katanya.

Jelas beliau, permit tidak dibenarkan untuk berhimpun dan mengadakan perarakan.


BERITA TERDAHULU

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pihaknya telah mendapatkan permit daripada pihak polis kelmarin bagi mengadakan perhimpunan tersebut.

"Pihak polis hanya membenarkan tujuh orang daripada ahli jawantkuasa GMP untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

"Saya sendiri akan mengetuai rombongan ini dengan menaiki kereta," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir gabungan itu di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini.

Selain Hassan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr Shahrir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Timbalan Pegerusi GMP, Dr Shahril Mohd Zain dan Setiausaha GMP, Hasni Abas akan diiringi polis ke istana pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun Hassan berkata, polis tidak membenarkan sebarang usaha untuk melakukan perarakan ke Istana Negara.

Jelasnya, pihak polis tidak membenarkan sebarang perarakan bagi menjaga keselamatan kerana perhimpunan esok dijangka melibatkan puluhan ribu orang.

"Kami telah memberitahu polis ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi, ini juga bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak. Kami hanya mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sejak dari awal lagi kami telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dan kami juga tidak akan membenarkan sesiapa mengeksploitasinya," katanya.

Beliau menyifatkan penyertaan ahli-ahli daripada parti politik tertentu yang menyertai perhimpunan itu sebagai hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Kami tidak dapat melarang mereka untuk membantah PPSMI," ujarnya.

Menurut Hassan, pihaknya akan cuba berunding dengan polis sekali lagi bagi membenarkan lebih ramai penyokong bersama-sama ke Istana bagi tujuan tersebut.

"Kalau tidak boleh, apa boleh buat... polis bukannya keras sangat. Mereka masih boleh diajak berunding," katanya.

Ditanya apakah kandungan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahmad berkata, terdapat dua perkara yang dikemukakan, pertama meminta PPSMI kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing dan kedua meminta pihak kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Sebanyak 135 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut serta dalam perhimpunan itu termasuklah Yayasan Tamil Kebangsaan dan Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong).

"Kami juga akan mendapat bantuan keselamatan daripada unit amal PAS semasa perhimpunan dijalankan," katanya.


Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor


Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal terhadap golongan Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan bangsanya sendiri dan Raja-raja Melayu walaupun perkara itu termaktub dalam perlembagaan.

Baginda menyifatkan kumpulan orang Melayu ini sebagai biadab, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu sedangkan mereka telah diasuh dari zaman nenek moyang atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat.

"Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati (tetapi) di mana orang Melayu sekarang?

"Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri," titah baginda ketika merasmikan upacara pembinaan semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dekat sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu di Selangor yang telah berpecah belah disebabkan oleh berlainan fahaman politik.

Titah baginda, walaupun bangsa Melayu tidak mungkin akan hilang dari dunia, tetapi tidak ada gunanya sekiranya orang Melayu yang tinggal itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

"Beta sudah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain.

"Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menyeru rakyat Selangor supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku dan bertanya kepada diri sendiri sama ada mahu keamanan dan kesejahteraan hidup yang dirasai kini berterusan, atau bertelagah sesama sendiri sehingga memusnahkan negeri sendiri.

Baginda menyeru orang Melayu supaya bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Menyentuh mengenai pengurusan masjid, Sultan Sharafuddin bertitah, pihak pengurusan perlu memandang serius dan lebih prihatin sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya ditimbulkan dalam suasana damai masjid.

Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz yang terletak di Jalan Templer pada mulanya adalah sebuah surau kayu dua tingkat pada tahun 1956, dan lapan tahun kemudian ia dibina semula sebagai sebuah masjid batu berbentuk payung separuh tertutup.

Berikutan dengan jumlah anak qariah yang semakin meningkat, masjid itu sekali lagi diubah suai bagi pada 1980an, dan pada 2005 kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk membina semula masjid itu.

Bangunan masjid itu kini meliputi kawasan lantai seluas 7,374 meter persegi dengan ruang solat yang mampu menampung 4,000 jemaah selain kemudahan tambahan termasuk dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah dan kelas pengajian. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/3/7/mstar_berita/20090306171754&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...