Thursday, January 29, 2009

Jet Israel bedil terowong


SEORANG anggota Hamas memeriksa sebuah terowong yang musnah akibat serangan tentera Israel dekat sempadan Gaza-Mesir semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BAITUL MAGDIS – Jet-jet tentera Israel mengebom terowong di sempadan Gaza-Mesir awal pagi semalam selepas satu letupan bom menyebabkan seorang askar rejim Zionis maut.

Tentera Israel berikrar akan melakukan serangan balas berikutan kematian askar Yahudi itu.

Kawasan di sempadan itu kembali menjadi bedilan jet-jet Israel sepuluh hari selepas gencatan senjata tidak formal berlaku antara Hamas dengan rejim Zionis.

Serangan itu turut berlaku beberapa jam sebelum utusan khas Timur Tengah yang baru dilantik Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Israel.

Askar Yahudi itu terbunuh pada Selasa lalu di sempadan Israel dengan Genting Gaza akibat letupan bom kawalan jauh yang ditanam dalam pasir.

Tiga lagi askar Yahudi yang melakukan rondaan turut cedera dalam kejadian tersebut.

Tentera Israel melancarkan tindak balas dengan segera berikutan kejadian itu.


Beberapa kereta kebal dan jentolak milik tentera Israel dikerah ke utara Gaza dan satu serangan udara dilancarkan.

Menurut satu kenyatan tentera Israel, seorang pejuang Hamas cedera dalam serangan itu.

Pergerakan Hamas menyatakan serangan udara Israel itu menyebabkan seorang anggota cedera ketika dia sedang menunggang motosikal di bandar Khan Younis.

Kejadian di sempadan itu merupakan yang terburuk sejak kedua-dua pihak mengisytiharkan gencatan senjata pada 18 Januari lalu. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Wan Nor Azlin kecewa Mohd. Yazli tidak hadir perbicaraan


PETALING JAYA Dramatis terkenal, Wan Nor Azlin kecewa dan sedih apabila suaminya sekali lagi gagal menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam berhubung permohonan nafkah sara diri dan anak-anak mereka selepas empat bulan ditinggalkan tanpa sebarang berita.

Ketika ditemui selepas prosiding kes itu, Wan Nor Azlin, 40, atau nama sebenarnya Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain mendakwa, suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38, cuba memanjangkan perkara itu sedangkan apa yang dimahukan hanyalah nafkah daripada seorang suami.

"Lebih-lebih lagi saya ini seorang artis. Jadi saya tidak mahu hal ini menjadi panjang dan menjadi sesuatu yang kontroversi. Suami sebagai seorang peguam sudah tentu tahu tentang undang-undang," katanya lagi dalam nada kesal.

Pelakon yang membintangi drama 'Anak Betong' itu juga kesal dengan sikap mertuanya yang hanya mengambil sikap berdiam diri dan tidak menasihati anak mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Pengalaman pelik di Endau-Rompin


Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – “Sedang saya berjalan di tengah-tengah dua kumpulan, tiba-tiba mereka hilang dan lebih menghairankan kumpulan yang berada di belakang, air terjun serta laluan trek juga hilang.

“Selama dua hari saya menyerahkan nasib kepada Tuhan dengan bersembahyang dan minum air sungai kerana di situ ada banyak bunyi binatang yang menakutkan selain terserempak dengan harimau kumbang bermata merah.’’


Begitulah cerita Mohd. Suffian Jamil, 29, mengenai pengalamannya tersesat di Taman Negara Endau-Rompin selama dua hari kelmarin semasa dalam perjalanan pulang selepas memancing ikan kelah.

Menurut Mohd. Suffian, dia mula sesat pada pukul 7 malam ketika dia bersama kumpulannya berhenti rehat di satu tempat yang hanya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke pintu masuk taman negara itu.

“Kemudian salah seorang penunjuk jalan mengizinkan sesiapa yang hendak pulang pergi ke kereta masing-masing kerana beranggapan kami tidak mungkin sesat,’’ katanya yang masih trauma ketika ditemui di Selayang dekat sini semalam.

Mohd. Suffian yang dilaporkan hilang kelmarin ketika melakukan aktiviti perkhemahan bersama-sama rakannya di Taman Negara Endau Rompin sebenarnya telah pulang ke rumahnya di Rawang.

Rakan-rakannya yang menyedari mengenai kehilangannya pada pukul 10.30 pagi telah membuat laporan polis hingga menyebabkan satu operasi mencari dilancarkan.



KERATAN Kosmo! 27 Januari.

--------------------------------------------------------------------------------


Mohd. Suffian dan 28 rakan lain termasuk empat penunjuk arah pergi ke taman negara itu kerana di situ terdapat Sungai Kemapan yang terkenal sebagai lubuk ikan kelah dan sangat popular di kalangan kaki pancing.

Menurutnya, sebaik sahaja berjalan pulang selama lima minit selepas memancing, dia mendapati kumpulan yang berada di depannya hilang tiba-tiba. Begitu juga kumpulan di belakangnya.

Dia bertambah pelik apabila mendapati air terjun yang terletak 20 meter di belakangnya juga hilang bersama laluan trek di situ.

“Puas saya berjalan keliling dari pukul tujuh malam sehingga pukul 1 pagi tetapi saya masih juga di situ. Teriakan meminta bantuan tidak mendapat jawapan dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk duduk sahaja di situ,’’ katanya.

Ujar Mohd. Suffian, sepanjang berada di hutan itu, dia mendengar pelbagai bunyi pelik dan ngauman binatang buas dan kerana takut, dia hanya menutup matanya dengan topi.

Sebaik terjaga pukul 6.30 pagi, dia mendapati dirinya berada di tepi sebatang sungai dan ketika itu segala cerita mengenai misteri hutan berlegar-legar di kepalanya.

Setelah itu, dia cuba mencari semula tempat dia dan rakannya terpisah tetapi tidak berjaya. Dia kemudian mendaki sebuah bukit hingga ke puncak dan berjumpa dengan satu laluan trek dan air terjun kecil.

“Ketika sedang berjalan di laluan itu, saya terserempak dengan seekor harimau kumbang hitam sebesar anak lembu dengan matanya berwarna merah tetapi haiwan itu tidak mengganggu saya dan berlalu begitu sahaja.

“Selepas puas berjalan, saya akhirnya berjumpa tiga lelaki yang sedang memancing dan bertanya kepada mereka di manakah pintu masuk Taman Negara Endau-Rompin dan mereka kata di situlah tempatnya.

“Saya terus pergi ke kawasan letak kereta dan memandu kereta Proton Wira ke pekan Rompin untuk makan nasi ayam kerana tidak tahan lapar,’’
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

‘Air mata darah pun tak guna’

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – “Saya benar-benar merindui kedua-dua orang tua sehingga ada ketikanya sering termimpi-mimpi. Saya juga tidak henti berdoa kepada Allah memohon supaya ditemukan saya semula dengan mereka. Ampunkanlah saya.”

Demikian pengakuan Nur Jumiah Saad, 17, remaja yang meninggalkan keluarganya semata-mata mahu mengikut seorang lelaki warga Indonesia ke Medan. Lelaki itu, Suranto Ngadio, 30-an, kini menjadi suaminya.


--------------------------------------------------------------------------------

Dia yang dihubungi Kosmo! semalam di Pangkalan Brandan, Medan ternyata menyesal dengan perbuatannya lebih setahun lalu itu. Nur Jumiah meninggalkan ibu bapanya iaitu Saad Ahmad, 61, serta Esah Shaari, 56, ekoran cinta yang sangat mendalam kepada Suranto.

“Setiap kali selepas sembahyang saya akan berdoa dan setiap kali itulah juga saya pasti menangis kesal.

“Saya sudah habis air mata, menangis air mata darah sekalipun tak guna kerana masa tak akan dapat berpatah balik,”
katanya yang tidak dapat menahan perasaan sebelum menangis tersesak-esak.


--------------------------------------------------------------------------------

Bercerita kisah dua tahun lalu, Nur Jumiah berkata, dia mula mengenali Suranto apabila suaminya itu sering datang ke gerai kakaknya yang terletak berhampiran dengan rumah ibu bapanya di Jalan Empangan Muda, Belantik, Sik, Kedah.

Katanya, ketika itu dia bekerja sambilan di kedai makan kakaknya sebelum timbul bibit-bibit percintaan terhadap Suranto yang kerap datang ke kedai itu.

Suranto kemudian ambil keputusan untuk membawa saya pulang ke kampungnya di sini (Medan, Indonesia) pada bulan Oktober 2007,” katanya yang kini pekat berbahasa Indonesia.

Bagaimanapun, keadaan tidak seindah yang diharapkan. Kehidupan Nur Jumiah ternyata amat susah kerana Suranto tidak mempunyai pekerjaan tetap ditambah dengan kelahiran anak mereka, Disti yang kini berusia setahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Bagram: Satu lagi masalah Obama


Penjara Tentera Udara Bagram
29 Jan 2009 12:06AM

WASHINGTON: Sudah beberapa bulan berlaku perdebatan mengenai nasib 245 tahanan di penjara tentera Amerika Syarikat di Guantanamo Bay, Cuba.

Namun, masalah yang sama berat kini dihadapi pentadbiran Presiden Barack Obama berhubung 600 tahanan di penjara tentera di pangkalan udara Amerika di Bagram, Afghanistan.

Para pegawai tentera yang tahu mengenai penjara Bagram dan Guantanamo Bay menyifatkan penjara di Afghanistan itu lebih teruk keadaannya.

Para tahanan tidak diberi banyak pilihan. Mereka tidak boleh mencabar penahanan dan tidak mendapat bantuan guaman.

Ramai yang masih ditahan di kandang besar, tanpa banyak peluang beriadah.

Pentadbiran Bush tidak pernah membenarkan pemberita atau aktivis hak asasi melawat penjara tersebut.

Obama kini mesti membuat keputusan sama ada hendak terus menahan para tahanan itu, kebanyakan mereka gerila Taleban, di penjara Bagram.

Di bawah undang-undang peperangan, mereka ditahan tanpa bicara dan tanpa had masa.

Obama mesti memutuskan sama ada hendak meneruskan pembinaan kompleks penjara baru bernilai AS$60 juta di Bagram.

Ini kerana di samping memberikan kemudahan yang lebih baik bagi para tahanan, kompleks itu memberi isyarat peri perlunya komitmen jangka panjang terhadap misi penahanan oleh Amerika.

Menyusuli tindakan Obama mengarahkan penjara Guantanamo Bay ditutup dalam tempoh setahun, para aktivis hak asasi berkata tidak lama lagi pentadbiran Obama akan berdepan dengan masalah para tahanan di Bagram.

'Apa yang hendak dilakukan Obama dengan para tahanan di Afghanistan merupakan satu soalan terbuka?' kata Tina M. Foster, pengarah eksekutif International Justice Network, sebuah badan hak asasi di New York.

Yang jelas, semua tahanan di Bagram ditangkap di medan perang. Para peguam pemerintah berkata mereka merupakan ancaman keselamatan jika dibebaskan. -- AP.


http://www.klpos.com/news/2009/01/29/2.html

Siasatan politik wang: Ahli UMNO dakwa didera pegawai SPRM




28 Jan 2009 10:43PM

SEORANG ahli UMNO membuat laporan polis mengatakan bahawa beliau dikasari semasa dalam tahanan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Pahang pada 23 Januari lalu.

Halimi Kamarulzamman, 46, mendakwa kejadian tersebut berlaku di dalam lokap tahanan Tingkat 10, Wisma Persekutuan di pejabat SPRM Kuantan, Pahang.

Dalam laporan polisnya, Hamidi berkata beliau telah menyerah diri pada pagi 23 Januari berhubung siasatan rasuah melibatkan pemilihan UMNO di negeri tersebut.

Menurut laporan polis yang tersebar melalui email itu, Halimi, seorang kontraktor, mendakwa beliau dipukul oleh tiga pegawai SPRM semasa proses soal-siasat.

Selain dipukul, mangsa juga mendakwa dibogelkan dan di minta berguling-guling di atas lantai.

"Bakul sampah yang kotor telah diletakkan di atas kepala saya, dan saya dipaksa untuk menyanyikan lagu Negaraku berkali-kali, lagu UMNO berkali-kali dan disuruh menyebut Rukun Negara berulang kali. Semasa saya dipaksa berbuat demikian bakul sampah di atas kepala saya diketuk berkali-kali," katanya dalam laporan polis yang dibuat pada 28 Januari.

Menurut Halimi, pada 24 Januari, sewaktu di bawa untuk tahanan reman, beliau sudah memaklumkan kepada Majistret di Ibu Pejabat Polis Kuantan dan dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam selepas dibebaskan.

Katanya lagi, beliau dipaksa untuk mengaku bahawa seorang pemimpin UMNO, Datuk Norza Zakaria terlibat dengan politik wang.

Jelasnya lagi, biarpun didera dan disiksa, beliau tetap memberitahu perkara yang sebenar dan menafikan pembabitan Datuk Norza Zakaria dengan politik wang.

"Sepanjang masa saya dipukul dan didera, mereka telah memadamkan kamera CCTV yang berada di dalam bilik tahanan itu dengan menggunakan plaster," kata beliau.

Di akhir laporan polisnya, Halimi mendakwa, jenayah yang dilakukan oleh pegawai SPRM tersebut kepada beliau adalah mirip peristiwa yang sering berlaku di Abu Gharib (penjara di Iraq).

"Saya amat terkejut dan takut bahawa perkara ini juga berlaku di bawah SPRM yang baru ditubuhkan ini," katanya.

Parlimen akhir Disember lalu memberikan kuasa yang lebih besar kepada SPRM untuk membenteras rasuah di negara ini. Dulunya SPRM di kenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).



Salinan laporan polis di dalam



Laporan polis muka satu



Laporan polis muka dua


http://www.klpos.com/news/2009/01/28/7.html

Lompat: Datuk Ahmad Fakeh Adam 'next'?


Adun Lintang ini dijangka akan buat keputusan beberapa hari lagi
28 Jan 2009 1:11PM




ADA kejutan lagi dalam beberapa hari ini? Desas-desus begitu kencang bertiup mengatakan ada lagi YB dari Umno akan lompat ikut jejak Adun Bota beberapa hari lepas yang tekad melompat ke PKR. YB Lintang, Datuk Ahmad Fakeh Adam yang juga Adun dari Umno disebut-sebut akan meninggalkan parti Melayu terbesar yang mempunyai ahli Melayu teramai di dunia itu.

"Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak.

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi,"
katanya kepada portal berita paling popular, Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi "saya tahu itu gula-gula sahaja."

"(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

"Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian,"
katanya.

Ada lagi Adun lain yang tak puas hati

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut, lapor portal itu lagi.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut tidak berpuas hati.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti baru kelam-kabut, baru kami ini penting,"
katanya.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut. / Malaysiakini, KLpos

http://www.klpos.com/news/2009/01/28/6.html

Berkompromi elak pertandingan bukan mustahil - Hishamuddin


Rabu Januari 28, 2009

KUALA LUMPUR: Cadangan Umno Bahagian Besut agar calon bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden Umno berkompromi bagi mengelak pertandingan adalah tidak mustahil dilakukan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau berkata perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana sememangnya menjadi amalan dan cara Umno untuk mengambil kira pelbagai pertimbangan dalam menentukan kepimpinan bukan sahaja dalam Umno atau Barisan Nasional (BN) tetapi secara keseluruhannya.


"Apa yang boleh dibincangkan, kita boleh bincang dan apa yang perlu diagihagihkan tugas selepas Mac kita boleh agihkan sekarang.


"Saya yakin terdapat banyak tugas dan tuntutan yang perlu dipikul oleh kita secara bersama dan perkara itu perlu dilakukan demi masa depan,"
katanya dalam kenyataan hari ini.


Hishammuddin kini berada di Mekah bagi menunaikan umrah.


Katanya, di peringkat bahagian telah melalui proses pencalonan dan perkara itu telah berlangsung dalam suasana kekeluargaan.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Umno Bahagian Besut semalam supaya calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang akan bertanding pada pemilihan parti Mac ini berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.


Mengenai cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail agar Umno menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang, Hishammuddin berkata cadangan itu tidak sesuai dan tidak munasabah untuk dilaksanakan.


"Saya cukup menghormati beliau selaku tokoh yang berpengalaman, namun dengan penuh rasa rendah diri saya berpendapat cadangan itu tidak sesuai. Jika perkara seumpama itu berlaku, ia menggambarkan seolah-olah kita sedang berhadapan dengan tekanan yang berat.


"Anggota parti mewarisi sayap itu daripada generasi sebelumnya. Pelbagai peranan telah dimainkan secara berkesan selama ini oleh sayap parti dan kita melihat perkembangan struktur organisasi berlaku dengan baik,"
katanya.


Katanya Tengku Ahmad Rithaudeen mungkin mempunyai pandangan dan hujah tersendiri berhubung hal ini, bagaimanapun untuk menangani isu-isu tertentu sememangnya tiada jalan singkat. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_berita/20090128222333&sec=mstar_berita

Calon timb presiden enggan kompromi


Muda Mohd Noor Jan 28, 09 6:19pm

Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan tetap bertanding jawatan timbalan presiden Umno, Mac ini walaupun ada cadangan supaya jawatan tersebut dikompromi di antara tiga calonnya.

"Sebagai calon yang telah dipilih oleh ahli untuk bertanding, tidak ada sebab untuk saya berkompromi atau menarik diri.

"Saya ucapkan tahniah kalau ada yang memberi cadangan untuk berkompromi tetapi saya tidak akan tarik diri. Kalau ada calon lain yang menarik diri, alhamdulillah,"
kata ketua menteri Melaka.

Beliau diminta mengulas cadangan Umno bahagian Besut yang menyarankan calon-calon jawatan tersebut dan naib presiden Umno supaya berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Ketua bahagian tersebut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangannya akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat - dijadual diadakan minggu ini.

Sebaliknya Mohd Ali berkata, semua calon termasuk beliau ada kelebihan masing-masing dan terpulang kepada ahli untuk menentukan kelebihan mereka.

“Kalau ikut rekod, saya telah berkhidmat dengan parti sejak 1968 di semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hingga pusat," katanya lagi.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, cadangan bekas menteri besar Terengganu itu tidak bermakna ia mewakili pandangan majoriti.

Tambahnya, dalam Umno, sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan untuk memantapkan parti.

"Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjurus kepada satu cadangan (Idris) sahaja kerana ada pelbagai aspek yang perlu diberikan perhatian," katanya.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan seorang lagi calon jawatan nombor dua, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

http://www1.malaysiakini.com/news/97210

Dipecat selepas muncul di kempen Anwar


Jan 28, 09 4:45pm


Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta jabatan tersebut September lalu tidak lama selepas berucap dalam satu kempen politik ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja".

Tindakan itu dipercayai dengan sebab Ramlang dianggap telah "mencemarkan nama perkhidmatan awam" setelah naik pentas politik dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Ramlang dihadapkan dengan empat pertuduhan - tiga daripadanya kerana berucap di tiga tempat berasingan di kawasan parlimen tersebut pada hari berkenaan.

Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, pertuduhan keempat - mengadakan sidang media pada tengah hari 25 Ogos - bagaimanapun tidak benar.

Ramlang mengadakan sidang media bersama Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali (foto atas) dan beberapa pemimpin pembangkang sejurus selepas tengah malam hari yang sama di pusat khidmat parti itu di Penanti.

Peguam itu menambah, tanpa memberikan sebarang alasan jelas, surat Jakim itu menyatakan "keterangan-keterangan sedia ada telah mencukupi" untuk memecat Ramlang.


Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat pegawai Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto, kanan) di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat (foto bawah, kanan) - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menurut Wan Mohamad lagi, yang bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas.

Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti menurut Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.


http://www1.malaysiakini.com/news/97206

Usaha cantas orang Shahidan

Muda Mohd Noor Jan 28, 09 3:56pm

Usaha menghapuskan pengaruh bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa sedang dijalankan oleh pemimpin Umno tertentu di Perlis dengan menafikan jawatan dan kontrak.

Ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Jusoh mendakwa, gerakan mencantas penyokong Shahidan didalangi oleh bekas setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau menambah, menteri besar sekarang Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

Katanya, penyokong Shahidan kini diketepikan daripada memegang jawatan, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan tidak mendapat projek kerajaan negeri.

"Orang Shahidan yang kalah dalam pertandingan jawatan parti (tahun lepas) telah diketepikan sama sekali.

"Berikutan itu, kini suara-suara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Umno Perlis semakin kuat kedengaran," katanya.

Shahidan, yang masih memegang ketua perhubungan Umno Perlis, terpaksa melepaskan jawatan menteri besar kepada Mohd Isa susulan campur tangan istana.

Hashim juga berkata, pihaknya kecewa kerana Umno belum mengambil sebarang tindakan ke atas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengingkari arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika krisis pelantikan menteri besar Perlis, Mac tahun lalu.

Katanya, Abdullah mengarahkan semua Adun Perlis menyokong pelantikan Shahidan, seperti dipersetujui presiden Umno itu, sebagai menteri besar.

Sebaliknya, wakil-wakil rakyat itu menyokong Mohd Isa untuk jawatan tersebut.

"Selepas lapan bulan Umno tidak mengambil tindakan ke atas Adun-adun berkenaan yang terang-terang melanggar arahan perdana menteri dan presiden Umno," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/97189

Umno Perak yakin dua ADUN tidak lompat parti

Rabu Januari 28, 2009

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK




DATUK Hamdi Abu Bakar (kiri) dan Datuk Ahamad Pakeh Adam (kanan) diyakini akan terus kekal bersama Umno dan BN.

PETALING JAYA: Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meluahkan kekecewaan terhadap Umno tidak akan lompat parti bagi menyertai pembangkang.


Beliau yang sudah berbincang dengan kedua-dua pemimpin itu yakin bahawa mereka akan terus kekal bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti yang diikrarkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan pada Isnin lalu.


"Saya yakin mereka akan terus kekal bersama kita (Umno)...mereka tak akan lompat parti.


"Mereka juga hadir dalam pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan mereka juga berikrar akan taat setia untuk kekal dalam BN,"
katanya kepada mStar Online.


Akhbar hari ini melaporkan ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar melahirkan kekecewaan terhadap Umno dan memikirkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika parti itu masih tidak berubah.


Ahamad dan Hamdi yang masing-masing merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan Beruas bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam pemilihan parti peringkat bahagian Oktober lalu.


Isu lompat parti di Perak mula timbul apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar daripada BN bagi menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR) pada Ahad lalu.


Bagaimanapun Ramly berkata tindakan kedua-dua ADUN berkenaan yang menyuarakan perasaan mereka itu tidak bermaksud untuk meninggalkan parti.


"Mereka hanya suarakan perasaan mereka...itu tak salah," katanya.


Malah jelas Ramly kedua-dua pemimpin berkenaan juga sebenarnya terkejut dengan tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang.


"Kalau ditanya pada mereka berdua, mereka juga terkejut dengan tindakan Datuk Nasaruddin kerana mereka tidak menjangkakan sampai begitu sekali.


"Mereka sebenarnya tak sangka datuk Nasaruddin sampai tahap lompat parti,"
katanya.


Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mengadakan rundingan dengan Nasaruddin bagi memujuk beliau kembali menyertai Umno dan BN, Ramly berkata pihaknya masih belum dapat membuat sebarang rumusan.


"Kita masih berusaha dan akan terus usaha...kita tak dapat nak rumus apa-apa lagi," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_mutakhir/20090128214141&sec=mstar_mutakhir

Politik wang: Umno disaran mansuh semua sayap parti


Rabu Januari 28, 2009

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



KUALA LUMPUR: Umno disaran supaya memansuhkan semua sayap partinya bagi memastikan gejala rasuah politik dapat dihapuskan dengan lebih berkesan.


Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata langkah penstrukturan semula parti itu penting kerana pengurangan sayap parti akan mengurangkan proses pemilihan bagi membendung gejala politik wang.


"Lagi banyak pemilihan, lagi banyak berlakunya masalah politik wang.


"Saya fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi main (guna) duit.


"Saya juga memikirkan barangkali Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbangkan kerana di England rasanya tidak ada pertubuhan wanita baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di sini hari ini.


Beliau turut mengakui gejala politik wang turut berlaku dalam pemilihan peringkat Puteri dan Putera Umno namun hingga kini masih belum ada pihak yang tampil membuat aduan secara rasmi.


"Saya dengar-dengar Putera, Puteri pun dah pandai main (guna) duit," katanya.


Jelas beliau ahli Puteri dan Putera Umno yang terdiri daripada golongan muda seharusnya memberikan tumpuan terhadap pelajaran dan bukannya bergiat aktif dalam bidang politik.


Ditanya pandangan beliau mengenai objektif penubuhan kedua-dua sayap parti itu adalah bagi memberi pendedahan awal terhadap politik, beliau berpendapat pendedahan tersebut masih terlalu awal.


"Mereka sepatutnya pentingkan pelajaran dahulu, mereka masih belasan tahun dan awal 20an.


"Kalau nak bagi pendedahan pun janganlah terlalu awal kerana sekarang ini bukan masanya lagi mereka aktif berpolitik," katanya.


Tambah beliau lagi kepimpinan hari ini memerlukan golongan muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang.


"Kita bergantung kepada orang muda untuk membawa negara kita pada tahap yang tinggi dan bertanding dengan negara lain," katanya.


Tengku Ahmad Rithauddeen turut mencadangkan agar sistem kuota yang diamalkan untuk tujuan pemilihan dalam parti dimansuhkan kerana ia dilihat menyumbang kepada gejala politik wang.


Mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR), beliau kecewa dengan tindakan itu.


"Saya sebenarnya kecil hati dengan tindakan seperti itu terutamanya bila ada masalah.


"Kita boleh selesaikan masalah yang timbul dari dalam parti," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_berita/20090128172202&sec=mstar_berita

Ketua Puteri antara dua digantung keahlian

Rabu Januari 28, 2009

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Ketua Puteri cawangan antara dua yang digantung keahlian Umno selepas didapati bersalah melanggar tata etika parti, antara lain terlibat dalam politik wang dan aduan palsu.


Mereka ialah Ketua Puteri Umno cawangan dalam Bahagian Batu, Nor Aisah Rajab yang didapati bersalah kerana membuat aduan palsu digantung selama enam tahun atau dua penggal pemilihan


Sementara itu seorang lagi ialah ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian Taiping, Muzamir Ismail digantung selama setahun kerana menyebarkan maklumat berunsur fitnah yang diterbitkan melalui blog.


Dalam pada itu tiga lagi diberi amaran termasuk Setiusaha Bahagian Bukit Bintang, Mohd. Zailan Mokhtar yang terlibat dengan politik wang, Ketua Pemuda Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said kerana menghalang pihak-pihak tertentu menjalankan tanggungjawab serta memfitnah dan seorang lagi ahli biasa dalam Bahagian Langkawi, Shaidan Hashim kerana menjadi ejen dan pelobi bagi calon-calon tertentu.


Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata hukuman tersebut berkuat kuasa mulai 23 Januari lalu.


"Ahli-ahli mesti tahu bahawa pemilihan Umno bukan hanya memberi kepentingan kepada parti malah untuk kepentingan negara.


"Oleh itu saya menyeru supaya semua ahli agar jangan buat (melanggar tata etika parti) lagi, kerana kalau ada kesalahan kita terpaksa hukum untuk beri kesedaran,"
katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di sini hari ini.


Tambah beliau lagi sebanyak 14 kes disiasat sepanjang bulan Disember namun sembilan daripadanya yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk politik wang, fitnah, menjadi ejen dan pelobi didapati tidak bersalah.


Mereka ialah Ketua Umno Bahagian Langkawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad; Ketua Umno Bahagian Kluang, Md. Jais Sarday; ADUN Sungai Rapat, Hamidah Othman; Kasa Hamzah (Langkawi); Shahberi Abdul Halim (Langkawi); Noorazamuddin Ahmad (Permatang Pauh); Mohd. Rodzi Abdul Rahman (Permatang Pauh); Norman Mohamad Nor (Rasah) dan Mazlan Ahmad (Kluang).


Tengku Ahmad Rithauddeen berkata 224 daripada 974 aduan telah disiasat oleh panel penyiasatan Lembaga Disiplin Umno sejak awal tahun lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_berita/20090128130746&sec=mstar_berita

Perbicaraan kes rasuah bekas Naib Ketua Umno Seremban bermula



Rabu Januari 28, 2009

SEREMBAN: Perbicaraan rasuah politik wang membabitkan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang di Mahkamah Sesyen di sini bermula hari ini.


Mohd Nor yang memakai kot kelabu dan bertali leher tiba di mahkamah pada kira-kira 9 pagi dengan diiringi kira-kira 50 penyokongnya.


Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Fazlin Hamdan memaklumkan kepada Hakim Zamri Bakar, pihaknya akan memanggil 10 saksi dalam kes itu.


Saksi pertama, Ahmad Mazni Noh dari SPRM cawangan Negeri Sembilan memberitahu mahkamah pengadu dalam kes itu ialah Ketua Umno Cawangan Taman Zaiton Indah, Sikamat, Rezwat Shahril Zainal Ariffin yang mendakwa menerima sejumlah RM700 daripada Mohd Nor.


Katanya Rezwat Shahril mendakwa suapan itu sebagai dorongan untuk mencalonkan Mohd Nor Awang bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban pada mesyuarat cawangan itu pada 3 Ogos tahun lepas.


Mohd Nor dituduh memberi suapan RM200 kepada Rezwat Shahril di tempat letak kereta Restoran Negeri, Taman Catleya, Senawang pada 12.20 tengah hari, 1 Ogos 2008.


Dia juga dituduh memberi RM500 kepada Rezwat Shahril di tempat meletak kereta pusat membeli-belah Centrepoint pada 4.30 petang, keesokan harinya.


Mohd Nor didakwa mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali nilai suapan, jika sabit kesalahan.


Ahmad Mazni memberitahu mahkamah wang suapan yang didakwa diberikan kepada Rezwat Shahril telah disita oleh SPRM.


Perbicaraan disambung esok. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_berita/20090128221751&sec=mstar_berita

Lebih 10,000 rakyat Malaysia hilang kerja sejak 1 Jan

Rabu Januari 28, 2009

KUALA LUMPUR:Lebih 10,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan sejak 1 Jan tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan hari ini.


Bercakap kepada Bernama, beliau berkata lebih banyak pekerja dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh terdekat apabila semakin banyak syarikat, terutama yang bergiat dalam sektor pembuatan, menghadapi masalah untuk terus beroperasi.


Sejajar dengan itu, beliau merayu kepada kerajaan supaya menyalurkan dengan segera peruntukan melalui pakej rangsangan ekonomi kedua bagi membolehkan syarikat mengetahui dengan jelas kedudukan masing-masing.


Bulan lepas, kerajaan menyalurkan pakej rangsangan ekonomi melibatkan RM7 bilion dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menyalurkan pakej kedua tidak lama lagi.


Shamsuddin berkata kemelesetan ekonomi kali ini lebih teruk berbanding yang berlaku pada 1997 kerana ia bersifat lebih menyeluruh dan melibatkan sebahagian besar dunia. Katanya kemelesetan ekonomi yang berlaku kali ini juga lebih kritikal kerana hampir 600,000 pencari kerja baru di negara ini membanjiri pasaran kerja setiap tahun.


Beliau berkata mereka terdiri daripada lepasan universiti, pemegang diploma, pekerja mahir dan kumpulan yang baru meninggalkan bangku sekolah.


Katanya keadaan menjadi bertambah buruk apabila mereka terpaksa bersaing dengan kehadiran antara 1.5 juta dan dua juta pendatang asing tanpa izin yang turut mencari pekerjaan di negara ini.


Beliau berkata MEF percaya keadaan ekonomi sedia ada akan mengambil masa satu hingga dua tahun untuk kembali pulih.


"Pada masa ini, kerajaan perlu membantu perniagaan dan rakyat Malaysia yang menganggur dalam menghadapi keadaan yang amat getir," katanya. Sejajar dengan itu, beliau mengesyorkan agar kerajaan mengambil langkah berikut sebagai tindakan jangka panjang bagi memulihkan keadaan:


- Menghantar pulang semua pendatang asing tanpa izin ke negara asal - Menggantikan pekerja asing dengan rakyat Malaysia secara berperingkat - Membekukan pengambilan pekerja asing - Memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia untuk diambil bekerja.


Shamsudin berharap kerajaan akan bersikap tegas dan berani dalam melaksanakan langkah itu bagi menghadapi realiti ekonomi semasa. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_berita/20090128195924&sec=mstar_berita

Azlin pilih waran tangkap atas suami, mahkamah tidak benarkan


Rabu Januari 28, 2009

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



Wan Nor Azlin ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bersama peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan selepas sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap suami, Mohd. Yazli Yaacob. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


PETALING JAYA:Hanya ada dua pilihan - samada meneruskan perbicaraan ataupun mengeluarkan waran tangkap? Aktres Wan Nor Azlin, 41, memilih supaya waran tangkap terhadap suaminya dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.


Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk tidak membenarkan Azlin berbuat demikian disebabkan kegagalan mengecam alamat suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 39 berada sekarang.


Ketika sebutan kedua kes tersebut berjalan hari ini, Ghazali turut bersoal jawab dengan Azlin sehingga akhirnya mereka menemui kata sepakat untuk meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah Azlin dan anak-anak terhadap suaminya pada 8 April depan, pukul 2 petang.


Azlin akur dengan keputusan tersebut walaupun pada mulanya beliau nekad mahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Azlin: Saya yakin dia (Yazli) bersama PPIM. Jadi, mahkamah boleh sampaikan waran itu melalui Dr. Zaidi.


Hakim: Nak alamatkan ke mana? Waran tangkap perlu kepada dia sebab nak tangkap dia.


Azlin: Tetapi dia tak nak hadir.


Hakim: Lagi cepat jika bicara melalui sebelah pihak tetapi peluang tetap diberikan kepada dia. Bila-bila masa dia boleh hadir. Terpulang kepada dia nak hadir atau tidak, mahkamah akan putuskan sebelah pihak.


Dalam pada itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Azlin, iklan yang memerintahkan Yazli menghadiri perbicaraan tersebut pada hari ini telah dikeluarkan pada 21 Januari lalu di mana iklan ditampal di papan notis dalam mahkamah dan dipaparkan di dalam ruangan iklan akhbar Utusan Malaysia.


Namun, Yazli masih gagal menampakkan diri untuk muncul di dalam perbicaraan ini.


"Kita perlu sentiasa mengikuti kes ini dan menunggu tindakan selanjutnya. Di akhir kes ini nanti, mahkamah akan mencapai kata putus di mana jika Yazli masih enggan menghadirkan diri, dia akan dimasukkan ke dalam penjara dan dia juga perlu melunaskan nafkah mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah," jelas Fakhrul dengan panjang lebar mengenai perbicaraan kes tersebut.


Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya beliau ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.


Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.


Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.


Difahamkan, Azlin menuntut lebih daripada puluhan ribu kepada Yazli. Namun, Azlin bagaimanapun bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.


Sehingga kini Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu. Pertama kal Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.


Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.


Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.


Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/28/mstar_hiburan/20090128181123&sec=mstar_hiburan

Kecewa belum dapat pembelaan


RINDU...Norsahlawati menatap gambar anaknya.


PUTRAJAYA: “Saya tak faham kenapa sampai sekarang dia tak dikenakan sebarang tindakan undang-undang, sedangkan laporan polis dah dibuat setahun lalu,” luah Rozilah Hashnan, 49, ibu kepada mangsa dera ibu mentua, Norsahlawati Yunus, 22.

Kisah Norsahlawati yang menjadi mangsa dera ibu mentuanya dalam tempoh dua tahun berkahwin dengan suaminya, seorang pegawai kerajaan, didedahkan akhbar ini awal tahun lalu.

Rozilah dari Kampung Padang Ampang, Kuala Kangsar, berkata, hingga kini, anaknya itu masih trauma akibat penderitaan yang ditanggung itu.

“Dia yang menjadi mangsa tak dapat pembelaan sewajarnya, sedangkan dia sudah berusaha mengikut saluran undang-undang,” katanya ketika dihubungi di Kuala Kangsar, semalam.

Norsahlawati yang dilayan seperti hamba di rumah ibu mentuanya di Kulim, Kedah, berjaya diselamatkan keluarganya pada 31 Disember 2007 tetapi anaknya, Muhammad Iman Zafir, yang ketika itu berusia setahun, gagal dibawa bersama.

Sepanjang tempoh tinggal bersama ibu mentuanya itu, Norsahlawati didera mental dan fizikal apabila sering kali dicaci maki dan dipukul dengan pelbagai objek.

Selepas berjaya dibebaskan keluarganya, Norsahlawatii turun naik mahkamah demi memastikan mendapat hak penjagaan anaknya.

Rozilah berkata, sebelum ini, polis memberi jaminan kes itu akan diselesaikan secepat mungkin berikutan semua bukti mengenai kes penderaan itu termasuk laporan hospital sudah diserahkan kepada mereka.

“Tetapi, selepas setahun kami tak dapat sebarang perkembangan kes ini.

“Takkan dia boleh terlepas macam tu saja?“
katanya.

Menurutnya lagi, kes hak penjagaan anaknya juga gagal diselesaikan hingga kini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085006/Article/index_html

Kes disiasat SPRM tak gugur


KUALA LUMPUR: Ahli Umno yang terbabit dengan politik wang kini bukan saja berdepan dengan hukuman yang bakal dikenakan Lembaga Disiplin parti itu, malah tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Walaupun kami tidak merujuk sebarang kes yang kami kendalikan kepada SPRM, tapi kami bekerja seiring dengan mereka. Mungkin, mereka juga menyiasat kes yang sama. Kami tak tahu,” kata anggota Lembaga Disiplin Umno dan penasihat undang-undang parti itu Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Apabila SPRM membayangkan lebih banyak ahli Umno akan diheret ke mahkamah, lembaga disiplin parti itu tidak pula menampakkan tanda pihaknya akan memperlahankan tempo siasatan.

Kata Mohd Hafarizam, lembaga itu akan menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa dan sedang menyiasat lebih 100 kes rasuah politik.

Beliau berkata, ada anggota parti memfailkan laporan sama kepada lembaga itu serta SPRM dan setiap pihak menyiasatnya secara berasingan.

“Kami tidak gugurkan sesuatu kes hanya kerana ia turut disiasat SPRM, begitu juga sebaliknya. Saya ingin tegaskan andai kata orang berkenaan didapati tidak bersalah oleh mahkamah, belum tentu dia boleh melepaskan diri daripada kami.

“Ini kerana kami menjalankan siasatan berlandaskan etika parti berkaitan penyalahgunaan kuasa, manakala SPRM menjalankan siasatan berasaskan unsur jenayah (kesalahan berkenaan),” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan bergantung kepada laporan yang diterima kerana pihaknya tidak boleh menjalankan penyiasatan tanpa aduan rasmi.

Mohd Hafarizam berkata, SPRM ada memohon bantuan lembaga itu berhubung beberapa kes.

“Apabila mereka datang kepada kami, selalunya mereka meminta bukti seperti wang yang digunakan dalam kes terbabit dan kami beri kerjasama penuh kepada mereka,” katanya.

Mohd Hafarizam menolak andaian bahawa kerjasama seperti itu sesuatu yang negatif memandangkan mereka yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah berdepan dengan kemungkinan dikenakan hukuman penjara dan didenda, manakala mereka yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, mungkin hanya dipecat atau hilang hak sebagai anggota parti.

“Jangan bandingkan kami dengan SPRM kerana kami adalah dua badan berbeza.

Lembaga Disiplin adalah sebuah badan dalam parti politik dan walaupun kami mempunyai tujuan sama iaitu untuk membasmi rasuah, kami mengamalkan prosedur dan undang-undang berbeza. Kami tidak boleh heret orang ke muka pengadilan seperti SPRM.

“Kami laksanakan tugas kami mengikut apa yang ditetapkan kepada kami, berdasarkan peraturan yang dipersetujui anggota Umno,” katanya.

Mohd Hafarizam menolak tanggapan bahawa kerjasama antara lembaga itu dan SPRM adalah helah bagi lembaga itu untuk lepas tangan daripada mengendalikan kes membabitkan ‘ikan besar’ dalam parti berkenaan.

“Kami bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan dengan tidak memandang saiz ikan. Kalau kami dapati sesuatu aduan itu mempunyai asas, kami akan siasat,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, ada juga kes yang mempunyai asas kukuh tetapi tidak boleh diteruskan siasatan kerana tidak cukup dokumen.

“Apabila menerima aduan, kami melihatnya satu demi satu dan menelitinya tanpa mengira sama ada ia terletak di bawah tanggungjawab kami atau tidak.

“Selepas itu, kami menelitinya lagi untuk melihat sama ada ia berasas dan jika berasas, kami lihat sama ia mempunyai bukti yang mencukupi,” katanya.

“Kalau tidak cukup, kami akan hantar surat bagi meminta si pengadu mengemukakan dokumen dan bukti yang diperlukan. Malangnya, kebanyakan surat seperti ini tidak dibalas dan oleh itu kami tidak boleh meneruskan kes berkenaan kerana kekurangan bukti,” katanya.

Barangkali, kini tiba masa bagi anggota Umno memilih kaedah yang mengenakan hukuman lebih berat. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085025/Article/index_html

Harga ayam naik lagi


NAIK HARGA...Kamarul menunjukkan ayam yang dijual
RM6.50 sekilogram.


KUALA LUMPUR: Permintaan yang tinggi sempena sambutan Tahun Baru Cina adalah punca harga ayam siap diproses naik sehingga RM1.50 kepada RM6.50 sekilogram berbanding RM5.50 dua minggu lalu.

Selain itu, peniaga turut menjadikan alasan kurangnya bekalan daripada pembekal menyebabkan harga ayam bersih terpaksa dijual sekitar harga berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit, mendapati hampir keseluruhan peniaga ayam kawasan itu menjual barangan berkenaan sekitar RM6.50 sehingga RM7.00 sejak seminggu lalu.

Seorang peniaga, Saiful Zahdi Shamsuddin, 25, mendakwa tindakan pembekal yang menaikkan harga membuatkan harga ayam terpaksa dijual agak mahal.

“Kalau mereka (pembekal) letak harga tinggi kami terpaksa ikut bagi mengelak kerugian, tapi yang peliknya selepas seminggu perayaan harga ayam itu akan turun semula kepada harga asal,” kataya.

Seorang lagi peniaga, Kamarul Mohd Nor, 24, berkata pembekal sering menjadikan alasan kekurangan bekalan sebagai sebab menaikkan harga sesuatu barangan itu.

“Kalau bekalan mereka banyak harga ayam mungkin boleh jatuh murah, tapi sebaliknya berlaku bila bekalan barangan berkenaan semakin berkurangan.

“Kadang-kadang harga yang mereka jual pada peniaga tidak munasabah sehingga membebankan kami dan cuba bayangkan berapa pula harga yang kami terpaksa jual kepada pengguna,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085108/Article/index_html

Kawal populasi aedes


KUALA LUMPUR: Seorang pakar vektor Pusat Perubatan Universiti Malaya mencadangkan langkah mengawal populasi nyamuk aedes, pencetus demam denggi dan chikungunya, secara berterusan dan sistematik di tempat yang disyaki menjadi sarang pembiakan nyamuk itu.

“Antara kaedah pengawalan populasi nyamuk ialah dengan menggunakan perangkap lampu mengandungi gas karbon dioksida,” kata Dr Wan Yusoff Wan Sulaiman.

Beliau berkata, pengawalan itu untuk mengawasi peningkatan bilangan nyamuk dalam kawasan tertentu, menentukan spesies nyamuk dan mengukur keberkesanan langkah kawalan vektor di sesuatu kawasan.

Dr Wan berkata, sudah tiba masanya satu jabatan diwujudkan untuk menjalankan aktiviti pengawalan itu memandangkan situasi kes demam denggi dan chikungunya di negara ini semakin membimbangkan dari tahun ke tahun.

“Kawalan populasi vektor di negara maju seperti Amerika terbukti berkesan mengawal penyebaran penyakit yang berkaitan dengan vektor tersebut,” katanya.

Dr Wan Yusoff berpendapat kaedah pengasapan yang dilakukan sekarang untuk membunuh dan mengawal populasi nyamuk berkemungkinan besar tidak berkesan.

Beliau berkata, pengasapan tidak semestinya tepat pada sasaran dan ditumpukan pada punca yang salah.

“Kita hanya jangka nyamuk ada di situ tapi sebenarnya kita tak pasti. Adakah kita ‘menembak’ pada tempat yang betul?” katanya.

Beliau berkata, asap yang mengandungi bahan pestisid tertentu hanya efektif dalam keluasan radius 200 meter.

“Dalam keluasan itu, nyamuk dengan mudah sudah berpindah ke tempat lain,” katanya.

Selain itu Dr Wan Yusoff juga menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya pengawasan terhadap pembiakan nyamuk aedes di tempat awam seperti di tandas awam, tapak pembinaan, projek pembangunan terbengkalai dan taman atau padang rekreasi.

“Apa saja yang boleh menakung air boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, seperti mangkuk tandas di tandas awam. Ada sesiapa periksa ada tak telur aedes di situ?” katanya.

Beliau berkata, mangkuk tandas yang menakung air boleh menjadi satu habitat pembiakan nyamuk aedes kerana telur nyamuk aedes mempunyai kelebihan melekat dengan kuat pada dinding perumahnya seperti baldi dan pasu bunga.

“Dan kita pun sedia maklum keadaan tandas awam di Malaysia kebanyakannya tak bersih,” katanya.

Selain itu katanya, telur nyamuk aedes juga berupaya hidup tanpa air atau kering dalam jangka masa panjang dan apabila terkena air ia akan aktif semula dan menetas.

“Ini punca bagaimana spesies nyamuk dari benua tertentu boleh berpindah atau dibawa ke tempat lain seperti nyamuk aedes aegypti dari Afrika dibawa ke Asia dan nyamuk aedes albopictus dari Asia dibawa ke Amerika dan tempat-tempat lain,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085129/Article/index_html

Tak hulur kebulur


Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


KUALA SELANGOR: “Siapa yang cepat hulur (komisen), cepatlah kelulusannya. Siapa yang tak hulur kebulur jawabnya tak dapat (permohonan tidak diluluskan),” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar mendedahkan ada pegawai di agensi kementeriannya yang menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan pinjaman.

Mendedahkan perkara itu, Noh berkata, pegawai itu didakwa meminta habuan tertentu sebagai balasan untuk mempercepat atau meluluskan pinjaman dan kegagalan berbuat demikian, permohonan itu tidak diluluskan.

“Walaupun perkara ini belum sahih kerana tiada pengadu tampil memberi bukti dan keterangan, tetapi dakwaan ini mungkin benar kerana pengadu atau pemohon enggan memberi kerjasama.

“Ini hanya tuduhan tetapi mungkin juga ada kebenaran. Jadi pengadu kenalah beri bukti supaya tindakan dapat diambil. Jika takut membuat aduan, pengadu boleh memberi nama pegawai atau pejabat mana yang terbabit atau mengadu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh melindungi pengadu,”
katanya, di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Tanjung Karang di sini, semalam.

Noh meminta pemohon bermasalah mengadu terus kepada kementeriannya menerusi kaedah bersemuka yang diwujudkan selepas beliau dilantik menteri penuh di kementerian itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi amaran tidak teragak-agak menggantung permit syarikat bas ekspres yang melanggar peraturan dengan menaikkan tambang bas sesuka hati sempena cuti Tahun Baru Cina.

“Ada syarikat bas di Hentian Putra dilaporkan menaikkan tambang bas beberapa kali ganda untuk perjalanan dari ibu kota ke pantai timur.

“Saya sudah arahkan pegawai menyiasat dakwaan ini. Jika benar, mana-mana syarikat terbabit akan digantung permit,”
katanya.

Ditanya mengenai nasib pekerja yang diberhentikan majikan berikutan kegawatan ekonomi sekarang, Noh berkata kementeriannya menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada pekerja yang diberhentikan kerana kegawatan ekonomi.

“Kita syorkan mereka datang secara berkumpulan supaya mudah untuk beri kursus percuma mengikut kehendak mereka yang disesuaikan dengan kehendak pasaran kerja,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085251/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...