Friday, May 28, 2010

Iktiraf Pekerja Asing Penting Dalam Sektor Perladangan

Jumaat Mei 28, 2010

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia (MAPA) menggesa kerajaan mengiktaf pengambilan pekerja asing sebagai satu keperluan di sektor perladangan memandangkan ramai pekerja tempatan mengelak dari bekerja dalam industri berkenaan.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan dalam satu kenyataan hari ini berkata menaikkan levi tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri berkenaan oleh kerana pekerja asing menjadi penokok tambah kepada pekerja tempatan di ladang-ladang.

"Mengambil pekerja asing memberi kelebihan ekonomi kepada negara dan memberi sumbangan besar terhadap pembangunan dan pertumbuhan ladang," katanya.

Beliau berkata seorang pekerja asing yang memetik kelapa sawit menyumbang kira-kira RM195,700 setahun.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MAPA Mohamad Audong berkata Malaysia adalah pengeluar kos tertinggi berbanding dengan pengeluar tanaman ladang lain di rantau ini kerana kos buruh terus meningkat.

"Ketika ini, kos purata pengeluaran adalah antara RM1,000 dan RM1,500 setan metrik minyak sawit," katanya.

Oleh itu, Mohamad berkata dengan peningkatan bayaran levi dan bon sekuriti, kos pengeluaran akan terus naik dan ini tidak boleh dikenakan pada pengguna oleh kerana ladang adalah pihak yang terpaksa menanggung harga yang ditetapkan. Beliau berkata beban yang bertambah sama ada menerusi perundangan, levi, bon sekuriti atau gaji minimum wajib akan menghakis lagi daya saing perusahaan ladang dalam persekitaran global.

Pelaburan oleh syarikat tempatan termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Ladang-ladang Felda, Sime Darby, Tabung Haji, Felcra, Risda dan Perbadanan Negeri memerlukan perlindungan bagi menentukan industri berkenaan terus berkembang dan menjana pendapatan eksport.

"Sektor ladang juga menyumbang pendapatan eksport bersih RM60 bilion pada 2008 dan RM58 bilion pada 2009 yang merupakan salah satu tunggak penting ekonomi Malaysia," ujar Mohamad. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/5/28/mstar_berita/20100528094607&sec=mstar_berita

Bomoh cilik dirawat di hospital

Bomoh cilik dirawat di hospital


GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar DetikSurabaya semalam menunjukkan Ponari makan ubat yang diberikan oleh ibunya di rumah mereka di Jombang, Jawa Timur.


SURABAYA - Seorang budak 11 tahun yang mendapat liputan meluas kerana menjadi bomoh cilik dan mampu menyembuhkan penyakit dengan batu sakti jatuh sakit dan terpaksa dirawat di sebuah hospital, lapor sebuah akhbar semalam.

Bomoh itu yang terkenal dengan panggilan Ponari dihantar oleh bapanya, Kamsin ke hospital setelah suhu badannya amat panas.

Namun, dia dari Desa Balongsari, Megaluh, Jombang, Jawa Timur dibenarkan pulang selepas sehari dirawat di hospital itu.

"Kami sudah cuba memberi air minuman yang dicelupi batu bertuah itu tetapi suhu badannya terus naik dan akhirnya kami membawa Ponari ke hospital," kata Kamsin kepada wartawan.

Penjelasan keluarga itu menafikan kehebatan Ponari yang pernah menarik perhatian ramai apabila dikunjungi puluhan ribu pesakit yang percaya dia mampu menyembuhkan penyakit dengan menggunakan seketul batu ajaib. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Bala guna Internet cari duit

Bala guna Internet cari duit


TAJULZAIRI yang didapati bersalah menggunakan aplikasi lucah melalui Internet didenda oleh Mahkamah Sesyen Klang semalam.


KLANG - Seorang kerani bank yang merupakan individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah melalui Internet bagi tujuan komersial didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Tajulzairi Tajuddin, 31, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Off Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang pada pukul 5 petang, 10 Jun tahun lepas.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Tajulzairi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SKMM, Badius Zaman Ahmad bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam berikutan kes itu telah menyumbang kepada statistik kesalahan jenayah seksual.

Beliau berkata, Tajulzairi yang merupakan individu pertama didakwa mengikut akta itu telah mengaut keuntungan secara haram dengan menyalahgunakan Internet untuk membekalkan perisian lucah bagi tujuan komersial atau dijual.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Tangisan ibu tunggal

Oleh Nazdy Harun

2010/05/28

KUALA TERENGGANU: “Walaupun anak bongsu saya lumpuh sejak 17 tahun lalu akibat deman panas ketika berusia 40 hari, sehingga kini permohonan mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan masih kabur kerana tiada jawapan.

“Saya merayu pihak berkenaan tampil membantu saya yang hidup dalam kesempitan,” kata Meriam Ngah, 49, dari Kampung Tanjung Paya, dekat sini.


Dia yang juga ibu tunggal berkata, selepas berpisah dengan suami tujuh tahun lalu, dia terpaksa menyara lima daripada enam anaknya dengan pendapatan RM400 sebulan.


Katanya, daripada jumlah itu, dia terpaksa membeli kelengkapan buat anaknya, Mohd Fakhruddin Razali, 17, yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).


Katanya, dia kini bekerja sebagai tukang cuci dan menyewa rumah di kampung pada kadar RM180 sebulan.


Meriam berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan makanan bijirin untuk anaknya itu memandangkan dia tidak mampu bergerak.


“Pernah kami sekeluarga hanya menjamah nasi bersama kicap dan telur bagi mengalas perut berikutan tiada wang membeli keperluan dapur. Ini membuatkan saya menangis memikirkan nasib yang menimpa diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Selain itu, katanya, anaknya Nor Najmiah Razali, 23, yang kini menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) turut memerlukan bantuan kewangan untuk kos pembelajaran.


Menurutnya, dia juga mengalami penyakit lelah sejak 25 tahun lalu dan sering menerima rawatan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).


Katanya, beberapa permohonan mendapatkan bantuan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak beberapa tahun lalu dan kali terakhir pada 26 Januari lalu, namun masih tiada maklum balas.


Malah, permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) empat tahun lalu juga tidak dilayan.

Anak merajuk tak pulang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

2010/05/28

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur anak gadisnya yang tidak memakai tudung ketika keluar ke rumah rakannya, seorang ibu kini hanya mampu meratap pilu apabila anaknya itu melarikan diri dari rumah.

Anak gadisnya, Ardini Syakirah Rizal, 16, dipercayai melarikan diri sejak Rabu lalu bersama dua lelaki tidak dikenali. Ibunya, Nora Ramli, 44, berkata, kehilangan anaknya itu berpunca daripada tegurannya yang tidak memakai tudung untuk ke rumah rakan Isnin lalu sebaik dimaklumkan kembar anaknya itu.


Dia yang bekerja sebagai guru terkejut dengan tindakan itu terus menghubungi dan menegur perbuatan anaknya yang dianggap salah.


“Anak saya itu mengaku tidak memakai tudung lalu saya menyuruhnya segera pulang ke rumah.


“Saya menegurnya dengan baik dan langsung tidak memukul atau naik tangan. Selepas dimarahi, anak saya terus masuk ke biliknya dan merajuk,”
katanya.


Difahamkan, anak gadisnya itu tidak mahu bercakap dengannya dan banyak mendiamkan diri sepanjang malam itu.


Bagaimanapun, keesokan harinya, Ardini kembali menegurnya dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang negatif.


“Melihat keceriaan Ardini, saya lega kerana menyangka dia menerima teguran saya secara baik. Kami berborak dan makan malam bersama-sama seperti biasa.


“Kelmarin, kira-kira jam 2.30 petang, saya menerima SMS daripada Ardini yang memberitahu dia mahu ke rumah rakannya mengulangkaji pelajaran dan memaklumkan yang dia memakai tudung,”
katanya ketika ditemui, semalam. Nora yang ditemani suaminya, Rizal Azemi,52, berkata, sebaik menerima SMS itu, dia membalasnya sebagai merestui niat anaknya dan menasihatinya supaya sentiasa ingat Tuhan dan menjaga hati ibu.


Malangnya, sehingga jam 7.30 malam, anaknya itu tidak pulang ke rumah dan mula tidak sedap hati menyebabkan dia beberapa kali menghubungi Ardini, tetapi gagal.


“Kerisauan saya bertambah apabila dia mematikan talian telefon bimbitnya. Saya menghubungi rakan baiknya, Norina, bertanyakan Ardini, tetapi amat mengejutkan apabila mendapat tahu dia tidak ke rumah rakannya itu.

“Saya menghubungi rakan-rakannya yang lain dan jawapan sama diberi. Kerana bimbang keselamatannya, saya menghubungi suami yang berada di Kelantan atas urusan kerja memaklumkan yang Ardini tidak pulang ke rumah,” katanya.


Orang ramai yang mengetahui di mana Ardini berada boleh menghubungi talian 013-3330162 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakmerajuktakpulang/Article

Halau pasangan maksiat penipu

Oleh Zaitie Satibi

2010/05/28

KUANTAN: Tindakan sepasang remaja menipu status hubungan dengan mendakwa baru berkahwin untuk tinggal bersekedudukan dan menyewa sebuah rumah di Jalan Wong Ah Jang, sejak 10 bulan lalu sehingga melahirkan seorang bayi, menyebabkan mereka dihalau pemilik kediaman berkenaan yang berang selepas mengetahui kisah sebenar.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, pemilik rumah sewa berkenaan bertindak demikian selepas menyedari tertipu dengan lagak baik pasangan remaja terbabit yang kononnya mendakwa baru bernikah dan ingin memulakan hidup baru dengan berdikari.


Menurutnya, pemilik rumah sewa itu yang menyangkakan mereka pasangan suami isteri sah kemudian membenarkan mereka menyewa bilik di tingkat bawah rumahnya.


“Bagaimanapun rahsia yang disimpan rapi pasangan terbabit terbongkar dan diketahui pemilik rumah sewa berkenaan selepas remaja perempuan berusia 17 tahun itu melahirkan anak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) pada 20 Mei lalu.


“Ini menyebabkan pemilik rumah sewa itu berang kerana sudah tertipu sebelum memberi kata dua kepada remaja terbabit untuk meninggalkan rumah sewanya kerana tidak mahu kediaman itu menjadi sarang maksiat,”
katanya, semalam.


Ahmad Raffli berkata, sepasukan penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kemudian membuat pemeriksaan ke rumah sewa itu dua hari selepas remaja perempuan itu melahirkan anak.


“Bagaimanapun, kedatangan kami lebih kepada pendekatan membantu pasangan terbabit yang terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah daripada dihalau keluar oleh tuan rumah,” katanya.


Beliau berkata, pasangan terbabit diberi kaunseling agama, selain diminta bertanggungjawab terhadap kebajikan bayi yang dilahirkan, sekali gus mengelak kes buang bayi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Halaupasanganmaksiatpenipu/Article

Remaja hilang tinggal bersama kekasih

2010/05/28

MELAKA: Selepas menghilangkan diri hampir enam bulan, seorang remaja perempuan dikesan tinggal bersama kekasihnya di sebuah rumah di Pokok Mangga di sini, kelmarin.

Penemuan remaja berusia 18 tahun yang menghilangkan diri sehari sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November lalu, sepatutnya menjadi berita gembira bagi ibu bapanya.


Bagaimanapun, pertemuan itu tidak membawa makna atau gembira kerana remaja terbabit enggan mengikut keluarganya pulang dengan alasan mahu tinggal dengan kekasihnya yang berusia 20-an itu.


Malah, kerana tidak mahu ibu bapanya mengganggu serta mencarinya lagi, dia tergamak membuat laporan polis pada malam itu dengan menyatakan tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya kerana sudah dewasa.


Tindakan biadap remaja terbabit bagaikan tersilap langkah apabila dia pula ditahan polis selepas pemeriksaan pada rekod laporan menunjukkan dia pernah menghilangkan diri dan remaja berkenaan terus diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan dilakukan terhadap remaja berkenaan turut mendapati dia hamil anak tidak sah taraf hasil perhubungan dengan kekasihnya itu.


Katanya, remaja berkenaan turut mengakui dia tinggal sebilik dengan lelaki bukan beragama Islam itu sejak dia menghilangkan diri.


“Remaja perempuan itu kini sudah hamil lima bulan dan mengakui hamil disebabkan terlanjur bersama kekasihnya itu,” katanya, di sini, semalam.

Tarik balik subsidi

2010/05/28

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan kerajaan menarik balik sepenuhnya subsidi terhadap bahan bakar, biasiswa, tol dan gula sebagai langkah efektif untuk mengurangkan pembiayaan subsidi.

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar), berkata subsidi bahan bakar perlu ditarik balik sepenuhnya (kecuali untuk kumpulan sasaran kecil) bagi menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM23 billion.

Menurutnya, apabila subsidi bahan bakar ditarik balik, harga bahan bakar menjadi tinggi dan secara tidak langsung pihak industri akan mencari jalan untuk mengurangkan kos tenaga, manakala pengguna pula berfikir sebelum menggunakan kenderaan persendirian.

Cadang naik tol

2010/05/28

KUALA LUMPUR: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mencadangkan kenaikan kadar tol untuk setiap perjanjian konsesi bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hutang negara.

“Ini akan memberi penjimatan RM3.75 bilion kepada kerajaan dalam lima tahun akan datang.


“Bagaimanapun, ini hanya akan terpakai bagi lebuh raya bertol yang mempunyai laluan alternatif,”
kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala pada Hari Terbuka Subsidi Pemandu bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai potongan subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.


Menurutnya, jika tol dihapuskan, jumlah cukai pendapatan akan meningkat bagi tempoh 20 tahun akan datang.


Di bawah cadangan itu, semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa subsidi yang membawa kepada kenaikan tol antara 10 hingga 67 peratus bagi 2010. Sebagai sebahagian daripada pelan mitigasi dalam cadangan itu, Idris berkata, pengguna yang banyak menggunakan tol perlu diberikan diskaun 20 peratus bagi isian semula akan datang untuk lebih daripada 80 transaksi sebulan. Malaysia antara negara paling bersubsidi di dunia, katanya, sambil menambah, negara ini menikmati lebih banyak subsidi berbanding Filipina, India, China dan Somalia.


Pasukan Petugas Khas Kerajaan, Pemandu, dengan Idris Jala sebagai ketua pegawai eksekutifnya ingin mendapatkan maklum balas mengenai bagaimana untuk memperbaharui subsidi supaya ia akan diberikan kepada kumpulan pendapatan yang betul. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cadangnaiktol/Article

Fail mutaah RM600,000

Oleh Murni Wan Omar

2010/05/28

KUALA LUMPUR: Kecewa dengan tindakan bekas suami yang menceraikan tanpa sebab hanya selepas dua bulan usia perkahwinan mereka sedangkan ketika itu dia tertekan akibat mengalami keguguran, seorang wanita memfailkan permohonan tuntutan mutaah RM600,000.

Rubina Mohd Amin, 30, (plaintif) dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam berkata, dia bernikah dengan Muhammad Surinder Singh Pritam Singh, 48, (defendan) pada 1 Januari 2009 dan diceraikan pada 1 Mac 2009.


“Saya disahkan mengandung pada penghujung Januari, bagaimanapun mengalami keguguran. Selepas membuat proses mencuci rahim, saya dibawa pulang ke rumah ibu oleh bekas suami. Ketika di rumah itu, dia (Muhammad Surinder melihat iklan di televisyen berhubung slot rancangan televisyen. “Slot itu bakal menyiarkan majlis pernikahan kami pada keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang ke rumah pada malam itu, dia (Muhammad) mengatakan jika ia disiarkan di televisyen, dia menceraikan saya. Saya amat tertekan,” katanya ketika menjawab soalan peguam syarie Mohd Ridhwan Husin.


Rubina berkata, keesokan harinya, selepas menonton rancangan itu pada jam 2.40 petang, Muhammad Surinder masuk ke dalam bilik tidur mereka (Rubina ketika itu sedang tidur) dan membaling semua barang termasuk menumbuk almari dan pintu.


“Dia tidak berpuas hati majlis akad nikah itu disiarkan di televisyen. Ketika itu dia juga mengatakan tidak mahu lagi menjadi Muslim dan mahu kembali semula kepada agama asalnya. Dia juga meludah dan hampir memukul saya. Dia juga ada melafazkan ‘saya ceraikan awak’.


“Plaintif juga ada membaling kad perakuan Islamnya kepada saya. Ketika itu ibu, kakak serta abang datang mengambil saya. Sehingga hari ini, tiada perbincangan dibuat dan dia tidak pernah berdepan dengan saya atau keluarga saya,”
katanya.


Menurut Rubina, Muhammad Surinder memeluk Islam pada 14 November 2008 atas kerelaan sendiri dan tiada paksaan darinya.


“Sebelum berkahwin saya bekerja sebagai pramugari dengan pendapatan RM5,000 sebulan bagaimanapun saya berhenti apabila bekas suami memujuk. Dia seorang cemburu dan berjanji memberi elaun RM4,000 sebulan.


“Bagaimanapun, dia tidak memberi elaun itu. Kos perkahwinan kami dalam anggaran RM100,000 membabitkan majlis nikah, majlis minum petang, majlis di hotel, hantaran, barang kemas dan sebagainya ditanggung saya dan keluarga,”
katanya.


Ketika itu katanya, Muhammad Surinder berjanji memulangkan semula wang digunakan untuk majlis perkahwinan itu atas alasan mengalami masalah kewangan.


Muhammad Surinder diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan bagaimanapun tidak hadir berikutan mempunyai kes di mahkamah lain dan diwakili Nur Fitriah Zakaria.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif bersambung 22 Julai depan

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FailmutaahRM600_000/Article

Kereta guru mandi cat

Oleh Ibrahim Isa

2010/05/28

JOHOR BAHRU: Komen provokasi mengutuk dan mengecam guru di laman sosial facebook membabitkan belasan pelajar sebuah sekolah menengah berhampiran Taman Damai Jaya di sini, membawa tindakan biadab seorang pelajar menyimbah cat kereta guru terbabit pada waktu persekolahan, tengah hari kelmarin.

Komen di kalangan pelajar dipercayai bermula kira-kira dua minggu lalu selepas pengurusan sekolah mengenakan tindakan disiplin terhadap kira-kira 100 pelajar dengan pemantauan briged komuniti membabitkan enam anggota polis.


Sejak itu, pelajar sekolah terbabit termasuk yang tidak dikenakan tindakan disiplin memberikan pelbagai komen provokasi di Facebook termasuk menyerang peribadi guru disiplin sekolah berkenaan.


Guru berkenaan, Hariri Yusof, 43, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, dia sibuk mengadakan perbincangan bersama guru lain berhubung sambutan Hari Guru yang akan diadakan di sebuah sekolah lain, semalam.


Katanya, apabila keluar dari bilik mesyuarat, dia didatangi dua anaknya yang juga pelajar di sekolah sama memaklumkan Proton Waja miliknya disimbah cat.


“Saya bergegas ke tempat meletak kereta di pekarangan sekolah dan terkejut apabila cermin hadapan kereta disimbah cat coklat.


“Apabila diteliti, saya percaya cat berkenaan dicampur bahan kimia lain serta habuk pensel, selain melihat bahagian bawah pengelap cermin dirosakkan.


“Melihat kejadian itu saya memberitahu pengurusan sekolah sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini bagi membuat laporan polis,”
katanya.


Menurutnya, dia membersihkan kereta di sebuah pusat cuci kenderaan bagi menghilangkan kesan cat itu.


Katanya, semalam ketika pengumuman, dia memaklumkan pelajar kejadian berkenaan dan berharap sesiapa yang tahu mengenainya tampil bagi membantu siasatan polis.


“Saya membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Sebelum ini, sebagai guru disiplin saya banyak memberikan amaran, namun kejadian ini dianggap serius dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.


“Walaupun ia dianggap satu ugutan, saya tetap komited dengan tugas sebagai guru dan akan meneruskan tanggungjawab,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat kenderaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretagurumandicat/Article

'Tolong ceraikan saya'

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Apendy Issahak

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Saya tak cemburu buta atau ambil peduli dia mahu buat hubungan dengan sesiapa pun. Tolong ceraikan saya dengan cara baik supaya saya boleh pulang ke Uzbekistan bersama anak dan memulakan hidup baru,” kata Sayyora Mahmudova, 29, isteri kepada rakan seorang penyampai berita yang didakwa menyerang wanita itu di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Sayyora, 29, menafikan dia menyerang wanita berusia 34 tahun itu sebaliknya kejadian pergaduhan berkenaan berlaku disebabkan berlaku tolak menolak antara ibunya dengan penyampai berita berkenaan.


“Saya bersama ibu dan empat anak berada di gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah itu dan terserempak dengan dia serta anaknya di situ.


“Ibu saya mahu berjumpa dengan dia untuk berbincang cara baik selepas mengetahui dia mempunyai hubungan dengan suami saya walaupun saya mahu kami semua beredar kerana keadaan menjadi tidak selesa.


“Dia yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan ibu saya bagaimanapun bertindak keterlaluan apabila mengherdik dengan kata-kata kasar sebelum berlaku tolak menolak,” katanya ditemani peguam, Mohammad Hifdzi Hamzah, ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, tidak tahan melihat ibunya diperlakukan sedemikian, dia cuba meleraikan keadaan, tetapi situasi semakin kelam-kabut dengan jeritan dan pergaduhan mula berlaku.


“Keadaan ketika itu cukup kelam-kabut. Sambil mendukung anak, saya cuba mempertahankan diri dan ibu. Mujur kakitangan di situ menenangkan keadaan dengan membawa penyampai berita itu ke tempat lain, tetapi saya dengar dia sempat menghubungi suami saya.


“Apabila suami tiba, kami mula bertengkar dan pergaduhan berlaku sehingga tidak terkawal. Tangan saya dikilas dan mungkin ketika cuba melepaskan diri saya menghentak kepalanya dengan telefon bimbit sehingga berdarah. Keadaan tenang kembali apabila pengawal keselamatan dan orang ramai mula campur tangan membantu,”
katanya.


Sayyora mendakwa sepanjang tujuh tahun berkahwin dengan ahli perniagaan itu, mereka tidak bahagia kerana sikap ‘playboy’ suaminya.


“Dia kerap ‘hilang’ dari rumah selama beberapa bulan tanpa memberitahu apa-apa. Bila dia di rumah, beberapa rakannya membawa masuk wanita ke rumah kami.


“Isteri mana yang mampu bertahan melihat suami bersikap sedemikian, saya dan anak ditinggalkan sesuka hati sedangkan dia tahu saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan dan sehingga bila saya mahu bergantung bantuan daripada sanak-saudara dari Uzbekistan. Saya tidak pernah menyerang atau memukul mana-mana wanita atau kakitangannya. Dia boleh tuduh apa saja tetapi lepaskan saya,”
katanya.

Menurut Sayyora, hubungannya dengan penyampai berita itu sebelum ini cukup akrab umpama adik dengan kakak, tetapi secara tiba-tiba renggang selepas wanita itu berkenalan dengan suaminya.


“Disebabkan suami saya kerap hilang, saya mengupah penyiasat persendirian untuk mengesannya dan dimaklumkan dia kerap berada dengan penyampai berita itu. Saya tidak mempunyai bukti kukuh untuk menuduh mereka mempunyai hubungan sulit, tetapi saya hendak tahu apa sebenarnya kesalahan saya sehingga dia menyeksa saya dan anak sebegini,” katanya.


Sementara itu, Mohammad Hifzi berkata, ibu wanita Uzbekistan itu kini ditempatkan di depot tahanan imigresen di Lenggeng kerana visa lawatannya tamat tempoh dan pihaknya sedang memohon bantuan Wisma Putra menerusi Kedutaan Uzbekistan untuk mendapat kebenaran menghantar wanita berusia 53 tahun itu bersama cucunya pulang ke negara asal.


“Bagi Sayyora pula, kami turut meminta bantuan dan jasa baik pihak berkuasa agar dapat meneliti kes yang dihadapinya kerana dia sekarang berasa tidak selamat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolongceraikansaya/Article

Penyampai berita masih isteri orang

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Apabila terbaca mengenai pembaca berita diserang isteri dan ibu mentua teman lelakinya dalam akhbar semalam, saya pasti itu isteri saya yang sudah lebih dua tahun meninggalkan saya,” kata Marikh Azahari Ramli, 35.

Marikh mendakwa, pembaca berita yang diserang dalam kejadian Sabtu lalu itu bukan seorang ibu tunggal seperti dilaporkan akhbar, sebaliknya dia masih isterinya yang sah hingga hari ini. Dia dan pembaca berita terbabit bernikah pada 19 April 2008.


Dia mendakwa, isterinya itu meninggalkan rumah tanpa izinnya selepas tiga bulan bernikah pada 22 Julai 2008 kerana masalah kewangan yang dihadapinya ketika itu.


Selepas beberapa bulan gagal membawa pulang isterinya yang ketika itu mengandung, Marikh membuat laporan polis berhubung kes berkenaan pada 10 Oktober 2008 dan sehingga sekarang pembaca berita itu belum pulang ke rumah.


Marikh berkata, dalam tempoh dua tahun lebih itu, dia langsung tidak diberitahu isteri mengenai kelahiran anak mereka dan tidak pernah berjumpa dengan anaknya itu yang kini sudah berusia setahun lebih.


Katanya, dia sekarang sedang mengambil tindakan undang-undang berhubung masalah yang dihadapi. “Saya baru dapat tahu isteri saya membuat tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dan sebutan kes dijadualkan awal bulan depan,” katanya.


“Manakala saya pula menfailkan tuntutan isteri nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya dan sebutannya akan diadakan pada bulan depan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyampaiberitamasihisteriorang/Article

Pelajar ditahan

Oleh Abdullah Wahab

2010/05/28

SHAH ALAM: Seorang pelajar sekolah ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang bayi yang ditemui tertimbus berhampiran landasan kereta api, Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan sekitar daerah ini kira-kira jam 9 pagi semalam dan polis yakin dengan penahanan pelajar terbabit boleh membantu menyelesaikan kes itu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya kini mengesan pasangan remaja terbabit dan meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu berhubung balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


“Turut dicari dua lagi individu yang dipercayai terbabit kejadian sehingga bayi yang tidak cukup bulan itu mati dan ditanam di kawasan itu.


“Remaja terbabit tidak mengalami sebarang masalah komplikasi dan kami akan mendapatkan reman esok (hari ini) bagi membantu siasatan,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Noor Azam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.


“Hasil bedah siasat ke atas mayat bayi berkenaan mendapati ia dilahirkan tidak cukup bulan dan punca kematian masih disiasat,” katanya.


Remaja itu kini ditahan dilokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam.


Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan mayat bayi lelaki cukup sifat ditemui ditanam berhampiran landasan kereta api, Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini. Mayat bayi itu dipercayai dilahirkan kurang 24 jam, ditemui kira-kira jam 9.15 malam oleh seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang curiga selepas terlihat longgokan tanah merah yang masih baru berbentuk kubur, kira-kira satu meter dari landasan berkenaan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan individu tidak bermoral itu terbongkar walaupun mayat ditanam di kawasan terpencil daripada pandangan umum. Hasil bedah siasat mayat mendapati bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dan baru berusia antara enam hingga tujuh bulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarditahan/Article

'Kami hanya teman biasa'

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Muhammad Apendy Issahak

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Dia hanya kawan biasa, tiada apa-apa hubungan antara kami tapi disebabkan cemburu buta isterinya, saya dimalukan di khalayak ramai,” kata penyampai berita sebuah stesen televisyen menjelaskan dakwaan dia menjalin cinta dengan suami kepada seorang wanita Uzbekistan sehingga diserang di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.
BUKTI...gambar kereta penyampai berita yang dicalar.
Penyampai berita berusia 34 tahun yang enggan namanya disiarkan itu mendakwa, bukan dia seorang saja yang menjadi mangsa serangan isteri lelaki terbabit, malah beberapa wanita lain termasuk kakitangan suaminya turut diperlakukan sedemikian sejak pasangan itu berkahwin.

“Asalkan seseorang wanita itu berkawan atau sekadar bekerja di syarikat suaminya, mereka pasti menjadi sasaran serangan sama ada maki hamun atau dipukul. Suaminya juga diserang sehingga cedera.

“Saya tak tahu apa masalah sebenarnya kerana dia terus serang saya tanpa bertanya atau berbincang terlebih dulu,”
dakwanya yang ditemui di sini, semalam.

Menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, penyampai berita itu berkata, pada 21 Mei lalu dia mendapati keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta di kawasan perumahannya dicalar dan ditulis perkataan maki hamun selain cermin sisi dipecahkan.

“Saya dapati kereta saya dirosakkan kira-kira jam 6.30 pagi ketika mahu menghantar anak lelaki yang berusia sembilan tahun ke sekolah. Berdasarkan pemeriksaan di pondok pengawal, saya dapati wanita Uzbekistan itu datang ke situ kira-kira jam 5 pagi.

“Beberapa hari sebelum ini saya ada menerima beberapa SMS memaki hamun selain berbaur ugutan tapi tidak menghiraukannya, tapi saya ada membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kerana kereta dicalar dan menganggap kejadian itu berakhir di situ saja,” katanya.

Ibu dua anak itu, bagaimana tidak menyangka diserang wanita terbabit bersama ibunya ketika menemani anaknya di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah keesokannya.

“Kira-kira jam 5 petang, saya bersama pembantu rumah menemani anak di gimnasium berkenaan sebelum dimaki hamun wanita Uzbekistan itu bersama ibunya.

“Saya hanya mendiamkan diri kerana tak mahu melayan mereka sebelum tiba-tiba dipukul. Rambut saya ditarik, belakang badan dipukul dan muka saya berdarah mungkin dicakar wanita itu.

“Saya tak mampu melawan dan hanya menjerit minta tolong tapi mungkin orang ramai terkejut, mereka hanya tergamam menyaksikan kejadian itu sebelum seorang kakitangan di situ menarik mereka berdua daripada terus memukul saya,”
katanya.

Sementara itu, suami wanita Uzbekistan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ayish, 36, berkata dia kini dalam proses perceraian dengan isterinya kerana tidak tahan dengan sikap cemburu buta wanita terbabit.

Ego Mat Lombok

Oleh Amir Abd Hamid

2010/05/28

KUALA LUMPUR: “Kami tak bersedia menghapuskan adat melarikan gadis sebelum dikahwini walaupun ia dianggap jahat kerana ia diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sejak dulu,” kata seorang pemuda Lombok, Indonesia, Novian Arif, 40.

Bagaimanapun, dia yang ditemui baru-baru ini di pulau berkenaan ketika misi menyelamat gadis Iban berusia 15 tahun dari Sarawak, Steffanie Liana anak Langka yang memasuki Indonesia secara haram, mengakui adat berkenaan hanya diguna sesama mereka untuk gadis berusia lebih 18 tahun.

Menurutnya, jika seseorang lelaki dari daerah berlainan didapati melarikan gadis bawah umur, pemuda terbabit akan dikenakan hukum adat.

Mengejutkan apabila Novian memberitahu hukum adat paling keras yang boleh dikenakan terhadap lelaki melakukan kesalahan itu ialah hukuman mati.

“Memang diakui kami melarikan gadis untuk dijadikan pasangan hidup sama ada dia suka atau tidak. Contohnya dengan berpura-pura bermaksud baik kononnya mahu menghantar seseorang gadis pulang ke rumah, tapi gadis itu akan dilarikan ke rumah keluarga atau saudara lelaki itu.

“Kemudian, gadis itu akan ‘disimpan’ untuk tempoh tertentu, biasanya seminggu hingga dua minggu sementara keluarga pihak lelaki melakukan perundingan mahar dengan keluarga pihak perempuan. Pihak lelaki yang mempunyai kuasa dalam sebarang keputusan.

Adat ini simbol kehebatan lelaki suku Sasak. Tetapi, hukum bunuh untuk kes larikan gadis bawah umur kini tidak lagi diguna pakai sejak awal 1970-an selepas pemerintah mula campur tangan,” kata Novian yang berasal dari Desa Taman, Mataram, Lombok.

Katanya, perjanjian adat melarikan gadis juga kini mempunyai pilihan. Contohnya ketika ini setiap kali pemuda Lombok ingin berkahwin mereka akan bertanyakan kepada ibu gadis yang diidamkan sama ada mahu menggunakan kaedah lari atau lamar.

Menurutnya, jika ibu gadis terbabit mahukan cara lamar, lelaki terbabit akan menghantar keluarga untuk melamar, tetapi jika sebaliknya, gadis berkenaan akan dilarikan terlebih dulu.

Ditanya mengenai trend membawa lari gadis Malaysia ke Lombok yang makin kerap dilaporkan akhir-akhir ini, Novian mendakwa kebanyakan kes itu dilakukan pemuda Lombok yang berasal dari desa terpencil.

“Pemuda Lombok yang bekerja di Malaysia kebanyakannya berasal dari pedalaman yang masih kuat memegang hukum adat asal.

“Malah, biasanya mereka tak pernah sampai pun di bandar Mataram. Terus saja ke Malaysia sebaik selesai direkrut ejen (pekerja asing), sebab itu mungkin perkara ini (larikan gadis Malaysia) terjadi. Mereka terkejut dengan (suasana) tempat lain yang berbeza dengan tempat sendiri.

“Cara merekrut pekerja senang saja. Seseorang pemuda perlu mengangkat guni seberat kira-kira 100 kilogram naik ke bukit dalam jarak tertentu dan jika terjatuh, mereka tak layak. Jika tak jatuh dia akan layak tidak kira apa latar belakang sekali pun,”
katanya.

Statistik dikeluarkan organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) mendapati kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok, manakala Pergerakan Puteri Umno memperoleh maklumat menunjukkan lebih 500 wanita dilarikan ke Lombok.

Berikutan kes berkenaan, Pergerakan Puteri Umno pernah mengeluarkan kenyataan pada 20 Mac lalu supaya membekukan pengambilan pekerja asing yang berasal dari Lombok.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...