Saturday, July 18, 2009

Dihina pengurup wang Singapura kerana RM10

JOHOR BARU: Seorang kerani di sebuah firma guaman hanya mampu menahan malu dan terpinga-pinga sendirian apabila dihalau pengurup wang ketika cuba menukar wang kertas RM10 dengan dolar Singapura, berdekatan terminal bas di Rochor Road, negara itu, Isnin lalu.

Lebih mengecewakan, pengurup wang berkenaan bersikap kurang ajar apabila menghambur kata-kata ‘lu angkat lu punya wang, berambus’, kepada mangsa tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Kerani terbabit, Mohd Fauzi Azhan, 23, berkata dia kesal dengan layanan pengurup wang berkenaan selain menyifatkan ia sebagai penghinaan besar terhadap dirinya dan mata wang negara ini.

“Saya ke Singapura dengan menaiki bas pada Sabtu lalu untuk menziarah saudara yang sakit sebelum mengambil keputusan pulang pada Isnin.

“Bagaimanapun, ketika hendak menukar wang kertas RM10 di kaunter pengurup wang, saya dihalau tanpa sebarang sebab dan terkilan dengan sikap kurang ajar pengurup wang itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Fauzi berkata, dia bukan saja terkandas di negara berkenaan malah tidak dapat pulang ke Johor Bahru untuk bekerja.

“Tambang bas di negara itu memerlukan dolar Singapura...andai saya sendiri gagal menyediakan mata wang mereka, bagaimana hendak meneruskan perjalanan?

“Saya kemudian terpaksa menebalkan muka menghubungi beberapa rakan dan saudara yang tinggal di Singapura untuk meminjam wang dan pulang ke rumah di Taman Megah Ria di sini.

“Sampai ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, saya terus membuat laporan polis berhubung kejadian. Selain itu, saya membuat semakan dengan pegawai Bank Negara untuk mengesahkan bahawa wang RM10 berkenaan adalah sah serta boleh digunakan,”
katanya.

Mohd Fauzi berkata, biarpun segala pengesahan berhubung isu berkenaan sudah diperoleh, dia masih tertanya-tanya sebab sebenar dihalau pengurup wang terbabit.

“Saya sangat kesal...pengurup wang itu bukan saja menolak mata wang negara ini tanpa sebarang sebab malah bertindak luar batasan dengan kata-kata kasar,” katanya.

Penyanyi khayal ganja dicekup

Oleh Mohd Amin Jalil
am@metro.com.my


SEREMBAN: Seorang bekas peserta Akademi Fantasia 5 (AF5) yang sedang khayal menghisap ganja bersama tiga rakannya ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah yang menyerbu sebuah rumah di Kampung Sentosa Paroi dekat sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi, peserta AF5 terbabit dan tiga rakannya berusia 23 dan 24 tahun sedang menghisap ganja di rumah seorang daripada mereka.

Selain peserta rancangan TV realiti itu yang terkeluar pada peringkat awal, seorang lagi yang ditahan adalah pelajar sebuah universiti di Bangi, Selangor.

Difahamkan, rumah berkenaan sering dijadikan ‘port’ kumpulan terbabit melepaskan gian.

Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid, berkata rumah itu diserbu selepas pihaknya menerima maklumat awam.

Menurutnya, lapan anggota AADK negeri terbabit dalam operasi itu dan ketika ditahan, empat lelaki berkenaan sedang menghisap ganja di rumah terbabit.

“Hasil ujian air kencing mendapati keempat-empat mereka positif dadah,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menemui beberapa peralatan dan bekas digunakan kumpulan lelaki terbabit untuk menghisap ganja.

Abdul Rahman berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan itu sudah merancang membuat pesta dadah di rumah berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“AADK tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang menyalahgunakan dadah, sama ada golongan terkenal atau orang biasa kerana usaha kami memastikan negeri dan negara bebas daripada gejala tidak sihat itu,” katanya.

Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(3) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan jika laporan hospital mengesahkan positif dadah serta atas perintah mahkamah, mereka perlu menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen).

“Buat sementara, kami berusaha mendapatkan perintah tahanan reman terhadap mereka atau dibebaskan dengan jaminan AADK,” katanya.





Namun, jika tidak, mereka akan dibebaskan sementara dengan jaminan AADK," katanya.

Restoran berahi

Oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya ingat restoran berahi sebegini hanya terdapat di luar negara, tak sangka di negara sendiri pun ada.

“Mungkin ini cara restoran terbabit mahu menarik pelanggan, tapi pada saya ia tidak sesuai dengan budaya kita,” kata seorang pelanggan sebuah restoran makanan laut di sini yang menyediakan pelayan hanya bercoli dan berseluar dalam.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 30-an, mendakwa terkejut ketika berkunjung ke restoran terbabit bersama pegawai atasannya.

Yang pasti, pelayan wanita seksi terbabit dijadikan umpan kepada pelanggan lelaki berpoket tebal untuk menjamu selera sambil ‘bermanja’ dengan pelayan.

Kebanyakan pelayan dipercayai warga China itu boleh disentuh atau diusik asalkan menyelitkan tip ketika mereka datang ke meja pelanggan.

Lebih mengejutkan, makanan turut dihidangkan di atas tubuh pelayan terbabit yang berbaring beramai-ramai di atas meja sebelum pelanggan memilih juadah digemari.

“Semua pelayan amat terlatih dan tidak segan silu membiarkan tubuh mereka ‘diterokai’ tangan gatal pelanggan.

“Malah, ada pelanggan yang bercumbu dengan pelayan seksi terbabit tanpa segan silu setiap kali mereka datang ke meja untuk menghidangkan makanan,”
katanya.


Berkonsepkan ‘syurga makanan dunia’, restoran terbabit hanya menyediakan khidmat wanita seksi terbabit pada hujung minggu tertentu.

Bagaimanapun, mereka sedia menyediakan khidmat sama jika ada pihak berminat mengadakannya pada hari lain.

Difahamkan, restoran itu hanya dibuka kepada ahli berdaftar dan orang awam dilarang memasukinya kecuali dibawa ahli kelab.

Golongan berkenaan sanggup membayar antara RM500 hingga RM5,000 bagi menempah meja termasuk imbuhan kepada pelayan semata-mata mahukan layanan luar biasa.

Pada hari khidmat itu disediakan, setiap meja akan dicaj dua kali ganda daripada harga asal, tetapi perlu ditempah terlebih dulu, manakala tip kepada pelayan seksi terpulang kepada pelanggan.

Disebabkan sambutan hangat selain bimbang diketahui umum, restoran itu hanya menyediakan khidmat berkenaan di tingkat atas bangunan dua tingkat yang turut mempunyai kolam renang.

Kawasan restoran dikawal lebih lima pengawal bagi memastikan tiada kunjungan individu tidak diundang, terutama pihak berkuasa.

Difahamkan, pengawal akan mengetuk kon ke atas tar dua kali jika ada tetamu tidak diundang memasuki kawasan berkenaan.

“Siapa pun pasti berahi sebaik melihat pelayan cantik dan seksi berusia 20-an terbabit. Ada yang akan berlari-lari dalam keadaan separuh bogel di kawasan kolam renang.

“Ada yang melayan tetamu, namun paling istimewa terdapat berapa pelayan berbaring di atas meja dan makanan dihidangkan di atas tubuh mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Berdasarkan maklumat diberikan, wartawan Harian Metro (HM) berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

Risikan bermula sejak sebulan lalu apabila HM menerima e-mel mengandungi beberapa gambar panas pelayan restoran terbabit melayani pelanggan.

Bagi memastikan kesahihan e-mel berkenaan, dua wartawan HM berjaya memasuki restoran itu selepas beberapa kali mencuba.

Berdasarkan maklumat dikumpul, restoran terbabit didapati bersedia menganjurkan ‘parti liar’ berkenaan jika ada pihak berminat.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid ketika dihubungi berkata, biarpun makan adalah satu ibadah, orang ramai tidak boleh mencampuradukkan perkara yang diharamkan dalam Islam.

“Yang haram tetap haram. Kita tidak boleh beribadah sambil melakukan dosa. Malah, menjadi satu kesalahan sekiranya kita menjadikan perempuan yang bukan muhrim sebagai pencetus nafsu ketika menikmati juadah.

“Seperti hadis Nabi Muhammad s.a.w, maka celakalah mereka yang memakan makanan yang haram,”
katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...