saipuladli@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Walaupun perceraian amat dibenci dalam Islam, ia dianggap pintu kecemasan atau alternatif terbaik bagi pasangan suami isteri yang hidup dalam rumah tangga pincang berikutan si suami hanya bernafsu kepada kaum sejenis atau homoseksual.
Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Hussain Habil berkata, homoseksual ada kaitan dengan gangguan psikologi seksual dan boleh dirawat tetapi kebiasaannya ia mengambil masa untuk merawat dan membolehkan lelaki terbabit hidup seperti lelaki normal.
“Berdasarkan pengalaman saya berdepan masalah homoseksual ini, hanya sedikit yang berjaya dirawat manakala ramai tidak berjaya terutama mereka yang sudah di peringkat serius.
“Homoseksual bermakna sudah ada pasangan dan agak sukar mengatasi masalah itu kerana keinginan seks terlalu menjurus kepada pasangan lelaki atau kaum sejenisnya dan langsung tidak berselera terhadap isteri.
“Akhirnya, mereka terpaksa berbincang untuk mencari jalan penyelesaian, antaranya berpisah sementara untuk tempoh tertentu bagi membolehkan pasangan pulih dan jika gagal, akan bercerai manakala sebahagian lagi memilih untuk terus bercerai secara baik,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar ini, Sabtu lalu, mengenai seorang ahli perniagaan wanita berusia 35 tahun yang mendakwa masih perawan walaupun bernikah sejak 2003 kerana suaminya hanya bernafsu dengan kaum sejenis.
Wanita dikenali sebagai Citra itu mengakui kini lega selepas menderita batin dan emosi dan memaklumkan segala urusan perceraiannya sudah selesai di pejabat agama sebuah daerah di Selangor, baru-baru ini.
Citra mendakwa, tembelang suaminya pecah selepas dia memasang alat perakam di dalam kereta, selain penemuan gambar, maklumat dalam diari serta pendedahan rakan karib lelaki terbabit mengenai perlakuan songsang suaminya.
Dr Hussain berkata, pada peringkat awal, pakar psikiatri dan kaunseling akan membantu suami homoseksual dengan memberi kaunseling tetapi ada yang gagal selepas menjalani rawatan menyebabkan pasangan itu terpaksa bercerai kerana sudah tidak sehaluan.
“Gangguan homoseksual kebiasaannya mengambil masa untuk dirawat dan ada kes rawatan diberikan tidak mampu mengatasi masalah itu.
“Kalau tidak boleh dirawat, kena ambil langkah ‘pintu kecemasan’ iaitu bercerai. Walaupun bercerai amat dibenci dalam Islam, tetapi ia terpaksa diambil untuk mengelakkan pelbagai masalah lain terutama tekanan emosi serta derita batin terhadap pasangan wanita kerana pasangannya (suami) tiada keinginan terhadap diri wanita terbabit,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berceraijalanterbaik/Article/index_html