Thursday, April 22, 2010

Tangisan isteri

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/04/22

SUBANG JAYA: Selepas bersara sebagai anggota tentera, kerjanya hampir setiap hari bermain mesin judi ‘jackpot’.

Kemuncaknya, tahi judi berusia 48 tahun itu menghabiskan sebahagian wang pendahuluan pembelian rumah sebanyak RM30,000 dalam tempoh hanya seminggu untuk melampiaskan gian.


Akibat perlakuannya melampau, isterinya berusia 40-an yang tidak tahan, bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa supaya memberkas suaminya itu dan mendesak menyerbu premis judi siber haram dikunjungi suaminya.


Mendedahkan barah sosial yang semakin melanda masyarakat itu, Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali, berkata dia dikunjungi isteri askar pencen itu di pejabatnya pada minggu lalu.


“Wanita yang mempunyai empat cahaya mata itu datang ke pejabat saya mengadu hobi buruk suaminya. Dia menangis teresak-esak kerana mendakwa suaminya tidak mempedulikan lagi keluarga gara-gara gian bermain mesin judi.


“Lebih teruk suri rumah sepenuh masa itu mendakwa suaminya mengeluarkan sebahagian wang sagu hati persaraan tentera sebanyak RM30,000 sebelum bertindak gila ‘menyerahkan’ kepada tauke judi.


“Wanita itu merayu supaya tempat suaminya berjudi diserbu. Malah, dia juga meminta suaminya turut diberkas jika itu boleh membawa kembali suami ke pangkal jalan,” katanya.


Bertindak di atas maklumat berkenaan serta risikan, Mohd Zulkarnain berkata, sepasukan 30 anggota penguat kuasa MPSJ termasuk pegawai menyerbu 12 premis yang menjalankan mesin judi siber dan ‘jackpot’ di sekitar Puchong, semalam.


Menurutnya, dalam operasi besar-besaran membanteras premis perjudian siber bermula kira-kira 12 tengah hari sebelum berakhir tiga jam kemudian itu sebanyak 279 mesin judi dirampas.

Katanya, operasi yang turut dipantau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu gagal menahan tauke judi serta dalang yang menjalankan kegiatan haram itu kerana dipercayai maklumat berkenaan ‘bocor’ serta diketahui tonto.


“Semua premis yang diserbu itu dikunci dari dalam. Apabila kami memecahkan pintu premis, kami dapati tiada sesiapa berada di dalamnya termasuk pelanggan atau pekerja premis judi haram itu.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 dan sabit kesalahan boleh dikompaun sebanyak RM1,000. Premis yang disita pula tidak dibenarkan beroperasi untuk tempoh tertentu,”
katanya.


“Sebenarnya untuk tahun ini MPSJ sudah kerap menjalankan serbuan seumpamanya mengikut pelan induk penguatkuasaan membanteras judi dan 2,500 mesin judi dirampas,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada segelintir pihak memperlekehkan usaha itu, pihaknya akan terus melakukan operasi membanteras kegiatan judi siber haram.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangisanisteri/Article

Dokumen dari Rasulullah

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
2010/04/22

PUTRAJAYA: Gara-gara mengaku mendapat pembantu seramai 550 trilion daripada Rasulullah (s.a.w) selain mendakwa tanah perkuburan Islam di Presint 20, Putrajaya dijaga roh arwah penyanyi kumpulan Rabbani, Asri, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.

Abdul Rajab Ahmad, 50, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 6(B) serta tiga pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 6(B) dan Seksyen 11(1), Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Hakim Nassir Abdul Aziz menetapkan 10 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan untuk kesalahan mengikut Seksyen 4(1) serta 30 Jun 2010 untuk kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) dan 6 Julai 2010 bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(A) dan 6(B).


Tertuduh yang berbaju kemeja hijau hadir di mahkamah semalam, ditahan di sebuah apartmen di Presint 17, jam 1.30 pagi, 10 Februari lalu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) akta berkenaan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau tidak melebihi enam kali sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu, manakala Seksyen 6(B) pula boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali Mengikut Seksyen 11(1), jika sabit kesalahan Abdul Rajab boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 6(A), Seksyen 6(B) dan Seksyen 11(1) akta terbabit.


Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Hafiz Idris.


Dalam pertuduhan dibacakan, Abdul Rajab mendakwa Allah menurunkan kepadanya 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad memberikannya 550 trilion pembantu, namun hanya mengambil 20 trilion saja.


Dia juga mendakwa Nabi Muhammad memberi tempoh kepadanya menyiapkan dokumen ajaran yang dikurniakan baginda untuk dihantar ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DokumendariRasulullah/Article

Kes Perbicaraan Cerai Aleeza-Mohd Fauzi Ditangguhkan

Rabu April 21, 2010

PETALING JAYA: Kes perbicaraan penceraian pelakon dan model terkenal, Aleeza Kassim dan suaminya, Mohd Fauzi Che Rus yang sepatutnya diadakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Kes itu sepatutnya didengar di depan hakim syarie, Ghazali Ahmad.

Menurut pegawai mahkamah, Mohd Fauzi telah mengemukakan surat permohonan penangguhan kes perbicaraan itu kepada minggu lalu.

Bagaimanapun, pegawai terbabit berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh lagi.

Katanya, Mohd Fauzi memberikan sebab penangguhan kes itu adalah ekoran Aleeza berada di luar negara sekarang.

Kedua-dua Mohd Fauzi, 45, dan Aleeza, 39, tidak hadir ke mahkamah. Mereka dikatakan tidak diwakili peguam bela.

Aleeza yang kini sedang popular menerusi drama Kasih Tercipta difahamkan telah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya pada Februari lalu di rumah mereka di Hyatt Saujana, Subang Jaya.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/4/21/mstar_mahkamah/20100421170723&sec=mstar_mahkamah

Remaja Mangsa Rogol Tidak Sedar Ada Pensil Dalam Kemaluannya

Rabu April 21, 2010

GOMBAK: Doktor yang memeriksa dan merawat seorang remaja perempuan yatim piatu berusia 14 tahun yang menjadi mangsa rogol rakan sekelasnya minggu lalu terkejut apabila mendapati bukan sahaja dia telah sebulan mengandung tetapi turut menemui sebatang pensil di dalam kemaluan mangsa.

Doktor mengesyaki sesuatu apabila budak perempuan tersebut mengadu terasa sakit setiap kali dia membuang air kecil.

Malah budak perempuan itu tidak menyedari pun yang di dalam kemaluannya terdapat sebatang pencil berukuran 4cm panjang sehinggalah para doktor mengeluarkannya dalam pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Selayang Hospital.

Mangsa membuat laporan polis Isnin lalu dengan mendakwa rakan sekelasnya telah merogolnya pada waktu rehat sekolah. Mereka bersekolah di Rawang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Rosly Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, ini bukanlah kali pertama pelajar perempuan itu dirogol.

Malah katanya, budak perempuan itu telah beberapa kali dikasari secara seksual tetapi menyembunyikan kejadian itu daripada pengetahuan sesiapa.

“Kami percaya, perbuatan itu dilakukan bukan oleh seorang suspek tetapi lebih dari itu,” katanya.

Polis, katanya lagi kini masih menyoal siasat mangsa dan berharap akan memperolehi lebih banyak maklumat bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, rakan sekolah mangsa yang disyaki merogolnya di sekolah berkenaan telahpun ditahan di kawasan sekolah beberapa jam selepas mangsa membuat aduan.

Supt Rosly menambah, polis turut menahan enam lagi suspek yang dipercayai bersubahat untuk membantu siasatan.

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/4/21/mstar_jenayah/20100421223248&sec=mstar_jenayah

Lakonan anak diculik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/21

KUALA LUMPUR: Hanya kerana percaya dengan lakonan seolah-olah anak lelakinya diseksa separuh mati oleh kumpulan samseng, menyebabkan seorang ibu malang akhirnya menjadi mangsa penipuan ugutan palsu dengan membayar wang tebusan RM12,500 bagi menyelamatkan anak kesayangannya.

Siasatan polis percaya, kumpulan penjenayah licik yang kerap melakukan penipuan melalui telefon sengaja berlakon untuk membuat mangsa panik sebelum diugut membayar wang tebusan secepat mungkin bagi memastikan nyawa mereka selamat.


Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, mangsa yang berusia 54 tahun berkenaan sebelum ini menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang mendakwa mengenali anaknya, pagi semalam.


Menurutnya, lelaki tidak dikenali itu mendakwa anak mangsa diculik dan dilarikan kumpulan samseng berkenaan berikutan kegagalannya membayar hutang selepas menjadi penjamin.


“Dakwaan lelaki terbabit bagaimanapun tidak dipercayai oleh wanita itu. Namun mangsa mula terpedaya selepas sengaja diperdengarkan bunyi lelaki menjerit dan meraung seolah-olah sedang dipukul teruk.


“Suspek sengaja menakut-nakutkan mangsa kononnya anaknya berada di dalam genggaman mereka sedang diseksa separuh mati kerana bertanggungjawab terhadap hutang berkenaan,” katanya. Menurutnya, suspek kemudian mengugut wanita terbabit supaya menyediakan wang tunai RM60,000 sekiranya mahu anaknya dibebaskan.


“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak menyimpan wang sebanyak itu sebelum meminta suspek menurunkan jumlah tuntutan wang diminta. Akhirnya suspek bersetuju dengan hanya meminta mangsa membayar RM12,500 melalui akuan bank diberikan.


“Difahamkan, mangsa yang tidak memiliki wang kemudian menghubungi saudara terdekat untuk meminjam wang sebelum ke bank untuk memasukkan wang diminta,” katanya.


Menurutnya, wanita terbabit yang selesai memasukkan wang ke dalam akaun bank seperti diarahkan bagaimanapun terkejut apabila mendapati anaknya ada di rumahnya di Jalan Ipoh, sebaik dia pulang dari bank.

“Lebih mengejutkannya apabila anak lelakinya itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan menafikan dia diculik. Ketika itulah, mangsa baru menyedari dia ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sentul,” katanya.


Menurutnya, orang ramai yang menerima panggilan telefon dan ugutan seumpama itu tidak seharusnya cepat panik dan perlu menghubungi polis bagi meminta bantuan.


“Kes seumpama ini sudah kerap kali dilaporkan berlaku dan sindiket penculikan palsu ini sebalik licik dan bijak menipu mangsa,” katanya.


Kes terbaru itu hampir mengulangi kejadian sama apabila seorang wanita yang juga penolong pengurus hampir diperdaya apabila menerima panggilan telefon yang mendakwa anaknya diculik.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hau Choo kiat, 49, turut terkejut apabila mendengar bunyi laungan dan tangisan pilu seorang kanak-kanak yang seolah-olah dipukul teruk.


Suspek dikatakan mengugut mangsa supaya membayar wang tebusan RM50,000 dalam tempoh masa dua jam jika tidak mahu anaknya itu dibunuh. Bagaimanapun wanita terbabit mula mengesyaki ia penipuan berikutan anaknya berada di Australia.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lakonananakdiculik/Article

Pelajar dinoda sembilan lelaki

2010/04/21

MACHANG: Seorang pelajar tingkatan tiga mendakwa dirogol sembilan lelaki dalam kejadian berasingan termasuk di kawasan kebun getah di sini, petang Sabtu lalu.

Mangsa berusia 15 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, awal pagi Ahad lalu.


Sebelum kejadian, mangsa mendakwa meminta bantuan seorang rakan lelakinya untuk menghantarnya ke rumah rakan lain kira-kira jam 5 petang.


Difahamkan, selepas itu, mangsa dibawa ke suatu tempat oleh lelaki dikenalinya itu sebelum dirogol sekumpulan lelaki lain di beberapa kawasan berasingan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajardinodasembilanlelaki/Article

Mereka hanya tahu mencemuh

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/04/21


MASJID TANAH : “Saya sedih apabila orang kampung mendakwa kami sekeluarga makan duit haram dengan menerima bantuan daripada pertubuhan kebajikan bukan Islam, sedangkan jabatan kebajikan kerajaan tak datang menjenguk mahupun menghulurkan bantuan,” kata seorang suri rumah, Siti Hawa Hamid, 43, yang menyewa di sebuah rumah lama di Jalan Ghaffar Baba, dekat sini.

Dia mendakwa menjadi mangsa herdikan penduduk kampung apabila mengetahui keluarganya menerima bantuan daripada badan kebajikan Truchi Malacca (Buddhist).


“Bila orang kampung tahu, mereka marahkan saya dan mempersoal mengapa sanggup terima bantuan daripada badan kebajikan bukan Islam yang disifatkan sebagai haram.


“Saya bertanya, jika benar mengapa orang kampung mahupun pihak tertentu tidak datang menolong saya,”
katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, malam semalam.


Menceritakan kejadian itu, Siti Hawa berkata, dia menerima bantuan daripada pertubuhan itu selepas melahirkan anak bongsunya di Hospital Melaka, dua tahun lalu.


“Sebaik keluar dari hospital, badan kebajikan Truchi Malacca datang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan untuk bulan pertama sejak Julai 2008 dan seterusnya RM250 sebulan, namun kini selepas jumlah itu dipotong kepada hanya RM200 sebulan.


“Oleh kerana kos sara hidup tinggi, saya dan suami serta lima anak bersyukur menerima bantuan ini demi meneruskan kehidupan seharian walaupun mendapat tentangan masyarakat setempat,” katanya.


Sementara itu, suami Siti Hawa, Roslan Othman, 42, berkata berikutan masalah itu, isterinya menghadapi tekanan perasaan teruk dan kini mendapat rawatan susulan di Jabatan Psikiatri, Hospital Melaka setiap bulan.


“Selepas mendengar berita itu fikiran isteri saya bertambah buntu kerana tidak mampu berulang alik ke hospital. Ketika itu saya pula tidak mampu bekerja kerana patah tangan kiri selepas terbabit kemalangan jalan raya.

“Saya pernah maklumkan keadaan keluarga saya ini kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tempat kami tinggal. Saya difahamkan, mereka sedia maklum dengan keadaan saya sehinggalah isteri saya melahirkan anak tak cukup bulan ketika itu beratnya hanya 1.1 kilogram saja.


“Namun, mereka tidak pernah datang ke rumahnya walaupun sekali dan saya rasa amat terkilan kerana seolah-olah dipinggirkan,”
katanya.


Beliau kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Ghaffar Baba, dekat sini, berharap ada sinar harapan dalam kehidupan keluarganya di sini.


Sementara itu, Pengerusi JKKK Masjid Tanah, Ishak Husin berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan bantuan kebajikan daripada keluarga terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekahanyatahumencemuh/Article

Lelaki dicekup jual barangan masjid, surau

2010/04/21

PORT DICKSON: Kegiatan tidak bertanggungjawab seorang pemuda yang bergiat aktif mencuri barangan di beberapa surau dan masjid di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu berakhir, apabila dia dicekup polis di Taman Orkid di sini, Khamis minggu lalu.

Difahamkan, suspek berusia 21 tahun dari Johor itu turut menjadikan tempat ibadat berkenaan sebagai ‘rumah sementara’ kerana mengalami masalah dengan keluarganya.


Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar ketika sedang berurusan untuk menjual hasil barangan curi di sebuah kedai barangan elektrik di kawasan itu dan diberkas polis.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan K Baljeet Singh berkata, hasil penahanan suspek, polis menemui beberapa barangan curi antaranya empat alat pembesar suara, sebuah pemain cakera padat digital (DVD) dan sebuah motosikal Yamaha Lagenda yang keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000.


“Siasatan mendapati suspek turut memalsukan MyKad dengan menampal kad pengenalan yang dicurinya beralamat di Nilai, Negeri Sembilan.


“Selain kes curi di surau dan masjid di daerah ini, suspek turut didapati terbabit beberapa kes curi di tiga kawasan lain iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Tanjung Kling, Melaka dan Muar, Johor, sejak beberapa bulan lalu,”
katanya pada sidang media di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakidicekupjualbaranganmasjid_surau/Article

Perkosa rakan dalam kelas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/21

RAWANG: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang tidak dapat mengawal nafsu serakahnya sanggup menyerang dan memperkosa rakan sekelasnya dalam bilik darjah.

Difahamkan pelajar terbabit mengambil kesempatan memperkosa mangsa yang juga penghuni sebuah rumah kebajikan ketika semua rakan sekelasnya keluar ke kantin ketika waktu rehat.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian jam 3.35 petang, Selasa minggu lalu, mangsa berada bersendirian dalam kelas bersama suspek yang dipercayai menunggu peluang untuk memperkosa mangsa.


Menurutnya, suspek tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum memperkosa dan meninggalkannya dalam kelas.


Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan dan malu enggan menceritakan apa yang berlaku kepada guru dan rakannya.


“Mangsa yang tinggal di rumah kebajikan pulang dari sekolah sebelum menceritakan kisah hitam dialami kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan,” katanya.


Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu hanya dibuat mangsa enam hari selepas kejadian dengan ditemani kakitangan rumah kebajikan berkenaan di Balai Polis Rawang.


“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum ke sekolah mangsa kira-kira jam 2 petang, kelmarin.


“Polis menahan pelajar lelaki terbabit yang berada dalam kelas. Pelajar terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Gombak untuk siasatan lanjut,”
katanya.

Menurutnya, mangsa turut dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan dia diperkosa.


“Kes terbabit kini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah memperkosa,’ katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkosarakandalamkelas/Article

Teroka tubuh wanita hamil

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/04/21

KUALA LUMPUR: Dia sering dilihat berlegar-legar di sekitar wad menempatkan wanita mengandung sebelum memperkenalkan diri sebagai ‘doktor’ kepada bakal ibu di situ yang menjadi sasaran kerja jijiknya.

Difahamkan, lelaki berusia lewat 30-an itu kemudian mula ‘menggoreng’ bakal mangsa dengan mendakwa kononnya dia mampu menolong mengurangkan kesakitan ketika bersalin sebelum memberi sedikit penerangan kepada wanita hamil terbabit mengenai kebolehannya itu.


Sebaik meyakinkan mangsa, lelaki terbabit meminta keizinan untuk membaca ‘jampi serapah’ sebelum mengarahkan mereka menanggalkan pakaian.


Alasannya, dia mahu menyapukan air jampi ke seluruh tubuh mangsa yang didakwanya sangat mujarab sehingga mampu menghilangkan kesakitan ketika proses bersalin.


Itu taktik digunakan lelaki gila seks terbabit yang dikesan ‘memburu’ wanita hamil sebelum mencabul mereka semata-mata mahu memuaskan nafsu peliknya.


Dalam kejadian terbaru di sebuah hospital di ibu negara, kira-kira jam 5 petang kelmarin, lelaki terbabit menggunakan kaedah sama untuk memerangkap mangsa yang berusia awal 30-an.


Difahamkan, lelaki terbabit bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan menggunakan waktu melawat untuk melakukan kerja terkutuknya itu selain menjadikan ibu mengandung yang berseorangan di katil sebagai sasaran.


Menurut sumber, sejurus mendekati mangsa, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai doktor.


“Jika mangsa mempersoalkan pakaian dipakainya, lelaki terbabit dengan bersahaja mengatakan dia melakukan kerja amal itu ketika waktu rehat kerana terlalu sibuk ketika bertugas,” katanya.

Lelaki itu cuba meyakinkan mangsa dengan melakukan penerangan bercorak saintifik dan tradisional.


Sumber itu berkata, jika mangsa tidak mempunyai pengetahuan mengenai ‘pembohongan licik’ lelaki terbabit, mereka pasti masuk perangkap dukun palsu itu.


“Sesiapa pun pasti terpengaruh sebaik mendengar penerangannya yang mendakwa mampu menghilangkan kesakitan wanita ketika bersalin,” katanya.


Sumber itu berkata, sebaik memerangkap mangsa, dia akan berpura-pura membaca jampi serapah sebelum mengarahkan wanita berkenaan menanggalkan pakaian.

“Dia memberitahu perbuatan itu bertujuan memudahkannya menyapu air jampi kononnya amat hebat sehingga mampu menghilangkan kesakitan,” katanya.


Selepas puas meneroka tubuh mangsa, bomoh celup itu meninggalkan wanita terbabit sambil mendakwa dia perlu memberikan pertolongan kepada pesakit lain.


Bagaimanapun, dalam kejadian terbaru itu, keengganan mangsa memenuhi kemahuannya untuk menanggalkan pakaian menyebabkan dia terpinga-pinga.


Usahanya untuk memerangkap mangsa tidak berhasil apabila pengawal keselamatan ‘menghalaunya’ kerana waktu lawatan sudah berakhir.


Berikutan itu, rahsia identiti suspek terbongkar sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini.


Difahamkan, lelaki itu diberkas di kawasan hospital berkenaan kira-kira jam 7 malam kelmarin, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan penahanan suspek, namun enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terokatubuhwanitahamil/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...