Thursday, June 16, 2011

Lagi kes peneroka akan saman Felda

Aidila Razak
Jun 14, 11
4:33pm

Satu lagi kumpulan peneroka Felda dijangka akan mengemukakan saman ke atas lembaga pembangunan tanah berkenaan berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit.

Saman yang akan difailkan pada Jumaat ini melibatkan kerugian didakwa mencecah RM1,000 setandan yang ditanggung oleh 700 peneroka berkenaan, kata seorang anggota Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Rebin Birham.

NONEBeliau mendakwa, ujian makmal menunjukkan buah sawit berkenaan mempunyai kadar perahan minyak setinggi 26 peratus, namun Felda menetapkan bahawa kadar perahan bagi buah berkenaan adalah sebanyak 17 peratus.

Beberapa ratus orang peneroka lagi turut dijangka akan turut serta dalam tindakan saman itu, kata Rebin lagi ketika ditemui di satu bengkel anjuran Sekretariat Task Force Felda Selangor hari ini.

Saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh itu merupakan susulan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu yang memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

Kumpulan peneroka Temerloh ini akan diwakili peguam R Sivarasa yang sebelum ini mewakili peneroka di Serting dan Gugusan Raja Alias dalam saman berjumlah RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan.

Selain itu, Felda juga berdepan dengan tindakan saman daripada sekumpulan 32 orang peneroka di Jempol yang menuntut hak mereka bagi melantik kontraktor untuk menebang pohon getah.

Sementara itu, pengerusi biro berkenaan, Suhaimi Said pula berkata, lebih banyak lagi saman yang akan dikemukakan oleh golongan peneroka ke atas Felda.

Seramai 300 orang lagi peneroka di Felda Keratong telah sedia untuk mengemukakan saman, manakala kumpulan peneroka di Johor dan Perak sedang bersiap sedia bagi mengambil langkah sama, kata aktivis hak asasi itu.

Tambahnya, peneroka berkenaan terpaksa mengambil langkah saman memandangkan rundingan yang dijalankan dengan Felda tidak membuahkan hasil.

"Saudara Mazlan Aliman dah berapa kali tulis surat untuk berunding. Tapi bila berjumpa, (pegawai Felda) kata 'kamu ini tak pandai bersyukur.' Kalau dia kata tak bersyukur nak runding apa? Jadi kita terpaksa saman," katanya lagi dalam bengkel berkenaan.


http://malaysiakini.com/news/166900

Umno: Ini bukan BERSIH, tapi kotor

Umno: Ini bukan BERSIH, tapi kotor
Norain Saleh & Norsyafinas Ahmad Sukri
Jun 14, 11
4:24pm


Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai ini adalah “himpunan kotor, bukan bersih," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

NONESambil menyindir perhimpunan itu, Ahmad berkata, BERSIH akan menjadi "titik hitam" yang menjejaskan prestasi baik kerajaan dalam "364 hari lagi".

"(Ia) susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi," katanya.

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara bagi membaikpulih sistem pilihan raya.

Tuntutan itu bagi membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minima 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor.

NONEBercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Ahmad menyifatkan perhimpunan itu sebagai ancaman kepada ekonomi negara, khususnya terhadap industri perlancongan dan pelaburan asing.

"Ia (BERSIH) bukan ancaman pada UMNO saja, ia ancaman pada negara. Kita lihat perhimpunan dulu (pada 2007), enam bulan baru pelancong kembali pada tahap sebelumnya," kata Ahmad Maslan.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, belum pernah ada demonstrasi anjuran pembangkang berlangsung dengan tenang setakat ini.

"Tidak pernah lagi berlaku perkara itu. Pengalaman kita tidak pernah ada demonstrasi yang aman.

"Ada seorang saja yang 'histeria', habislah," katanya ketika ditanya tentang dakwaan Pemuda PAS yang menjangkakan perhimpunan itu akan aman sekiranya polis memberikan kerjasama.

Pembangkang jadi dalang

Ahmad juga berkata, BERSIH bukan mewakili kehendak NGO, sebaliknya didalangi pemimpin Pakatan, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tahu yang dibelakang-belakang ini semua (BERSIH 2.0) adalah pembangkang. Ini adalah alat pembangkang.

"(Ini) agenda kotor," katanya sambil menunjukkan gambar pemimpin PKR, DAP dan PAS dalam majlis kempen BERSIH.

NONEAhmad sebelum itu mengadakan perbincangan dengan NGO Melayu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang menentang penganjuran perhimpunan tersebut.

Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.

"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi (pun boleh) sediakan peguam-peguam untuk saman," katanya.

Turut hadir penasihat Pekida Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan Datuk Hamzah Daud dan Presiden Datuk Roslan Dahaman.


http://malaysiakini.com/news/166898

Selangor garis tiga pelan untuk peneroka Felda

Selangor garis tiga pelan untuk peneroka Felda
Salhan K Ahmad
Jun 14, 11
3:53pm

Kerajaan Selangor bakal menumpukan tiga rancangan utama bagi golongan peneroka Felda di negeri itu dalam usahanya untuk meraih sokongan masyarakat berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Tiga rancangan berkenaan – pemberian hak milik tanah kepada peneroka, pembinaan rumah mampu milik dan juga penamatan status tanah berkelompok – dikemukakan hari ini kepada Sekretariat Task Force Felda Selangor.

NONEUsaha berkenaan dijangka akan dapat dilakukan melalui dua peruntukan bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang dapat memberi lebih kuasa kepada kerajaan negeri dalam soal pentadbiran tanah berkenaan.

Salah satu daripada ruang undang-undang berkenaan ialah bidang kuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan geran mengikut Seksyen 10 akta berkenaan, kata pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said.

Satu lagi ruang berkenaan ialah peruntukan bawah Seksyen 44 yang membolehkan kerajaan negeri menamatkan rancangan berkelompok dan mengambil semula ladang di bawah kuasa Felda, kata Suhaimi lagi.

"Macam mana hendak keluarkan (daripada penempatan berkelompok)? Senjata yang digunakan ialah (Akta Penempatan Berkelompok) dan kontrak yang berat sebelah. Walau kawasan sudah diberi hak milik, mesti dijual kepada pembeli yang ditetapkan Felda."

Geran tanah

"Kalau hendak keluarkan mereka (dari penempatan berkelompok), mesti kaji bawah kuasa 44 untuk tamatkan," katanya lagi ketika membentang kertas kerjanya dalam majlis perbincangan berhubung isu berkenaan.

NONEKatanya lagi, kerajaan negeri juga harus mengambil peluang untuk mengumumkan pakej bagi membina rumah mampu milik, khususnya bagi golongan muda yang dilahirkan di kawasan Felda berkenaan.

Beliau memberi contoh, kawasan seluas lebih 30 ekar di kawasan Felda Suharto yang sesuai untuk dijadikan tapak bagi perumahan berkenaan.

Tambahnya, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah bersetuju supaya satu cadangan dikemukakan bagi membolehkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Hak bantah

Bagi proses mendapatkan geran pula, Suhaimi berkata kerajaan negeri hanya perlu memberitahu Felda bahawa peneroka itu akan diberikan geran tanah.

NONE"Felda ada hak bantah, tapi (kerajaan negeri) ada hak keluarkan geran," katanya lagi.

Seorang lagi ahli panel dalam perbincangan itu, Mazlan Aliman pula berkata, usaha yang dilakukan bagi golongan peneroka berkenaan sepatutnya ditawarkan dalam pakej seperti manisfesto Buku Jingga Pakatan Rakyat.

"Ini akan jadi isu utama yang kita akan jadikan peluru pilihan raya. Felda bukan lagi talian hayat BN, (malah) kubu mereka inilah yang akan runtuhkan BN," kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan itu lagi dalam majlis perbincangan sama.

Majlis perbincangan di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor itu turut dihadiri menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim, anggota exco dan juga sekitar 60 orang ahli majlis serta peneroka.

Sekretariat yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.


http://malaysiakini.com/news/166894

Saksi: Khir tak beli tanah pada harga pasaran

Saksi: Khir tak beli tanah pada harga pasaran
Hazlan Zakaria
Jun 14, 11
3:11pm

Penolong pentaksir hartanah Noor Faizah Zainuddin dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam Lot 8 berkata mantan menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membeli Lot 8 dan 10 di Seksyen 17, Shah Alam, pada harga di bawah paras harga pasaran.

Katanya Lot 8 yang juga mempunyai sebuah rumah yang ditaksirkan bernilai RM3.9 juta tetapi dijual kepada Khir pada harga RM2.9 juta.

NONEManakala Lot 10 yang kosong itu ditaksirkan berharga RM918,000 tetapi dijual pada RM600,000, dalam urusniaga berkenaan.

Noor Faizah, 48, bertugas di pejabat penaksir di Shah Alam bertanggungjawab bagi menentukan nilaikedua-dua plot tanah itu pada urusniaga yang dijalankan pada 2007 itu.

Katanya, beliau pernah bertanya kepada pemilik tanah berkenaan - Pengarah Ditamas Datuk Shamsuddin Hayroni - mengapa harga jualan sebegitu rendah ketika melawat hartanah itu.

"(Dia) bagitahu saya dia ada masalah dan (terpaksa) jual tanah di bawah nilai harga pasaran,” katanya ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya Dusuki Mokhtar.

NONESemalam, Shamsuddin pada keterangannya berkata beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menjual tanah itu kepada Khir.

Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/166885

Mat Sabu: PAS tak akan kerjasama dengan Umno

Jun 14, 11 12:51pm

PAS tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan UMNO walaupun atas nama perpaduan Melayu kerana serik dengan permainan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.

NONE"Kita tidak mahu kejadian 1969 berulang kerana bertanding atas tiket Barisan Nasional dan mereka berjaya, kita ditendang keluar menjelang pilihan raya umum selepas itu.

"Pemimpin UMNO sekarang cuba berbaik dengan PAS...bila dihulur tangan, ku tampar tangan mereka," katanya semasa menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar malam tadi.

Mohamad turut melancarkan kempen perhimpunan BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil BERSIH 2.0) peringkat negeri Kedah.

Mengenai BERSIH 2.0 beliau berkata PAS akan menggerakkan seramai mungkin ahlinya menyertai perhimpunan itu bersama penganjur dan badan bukan kerajaan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

"Saya mahukan perhimpunan ini bersih...kita tidak akan menimbulkan kekacauan atau menyebabkan kerosakan harta benda awam," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166859

Saksi: Tiada pilihan jual RM3.5 juta pada Khir

Saksi: Tiada pilihan jual RM3.5 juta pada Khir
Jun 13, 11 8:45pm

Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni berkata beliau tidak mempunyai pilihan selain menjual dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo pada harga RM3.5 juta kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada 2007.

NONEKatanya beliau berbuat demikian kerana khuatir projek perumahannya
di Selangor akan tergugat dengan mengambil kira kedudukannya sebagai seorang ahli perniagaan dan Dr Mohamad Khir sebagai menteri besar ketika itu.

"Perbincangan pernah berlaku antara saya dan Dr Khir pada 2004 dan dia (Dr Khir) mahu penjualan pada harga RM3.5 juta. Saya sebenarnya tidak bersetuju kepada harga itu kerana terlalu rendah dan saya nyatakan sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM5.5 juta.

"Waktu saya beli hartanah ialah RM5 juta, tambahsuai RM1.5 juta, jadi harganya semua RM6.5 juta. Saya beri diskaun sedikit sebab itu saya letak RM5.5 juta tetapi tidak dipersetujui Dr Khir dan katanya hanya mampu RM3.5 juta sahaja," katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Shamsuddin menyambung keterangannya pada hari keempat kes perbicaraan Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Semasa diminta memberikan penjelasan lanjut mengapa beliau bersetuju untuk menjual pada harga yang rendah, Shamsuddin menjawab setelah pihaknya berbincang dengan orang rumahnya (isteri), beliau memberitahu isterinya ada projek di Selangor dan seorang Menteri Besar mahu membeli rumahnya dengan kadar harga 3.5 juta.

"Saya setuju kerana khuatir kedudukan saya sebagai seorang ahli perniagaan di Selangor dan khuatir projek saya di Selangor tergugat," katanya.

Beliau juga memberitahu hartanah tersebut yang dibelinya di bawah Ditamas Sdn Bhd telah dijual dan dipindahmilik kepada Dr Mohamad Khir dan isteri, Zahrah pada 2007.

Shamsuddin berkata Dr Mohamad Khir menjelaskan RM500,000 pada 28 Mei 2007 sebagai wang pendahuluan kepadanya untuk rumah itu dalam bentuk cek dan seterusnya baki RM3 juta melalui cek pada 16 Ogos 2007 kepada peguamnya, Doris Getrude Mayappen.

Katanya, beliau terpaksa membeli dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di Shah Alam pada 23 Disember 2004 daripada Ketua Eksekutif Syarikat Pemodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin dengan harga RM6.5 juta pada Disember 2004 setelah disuruh Dr Mohamad Khir berbuat demikian.

"Asalnya, Khir memang berminat dengan hartanah tersebut dan meminta Datuk Sumadi Ismail (kawan bapa Saiful Aznir yang memperkenalkan Khir kepada Saiful Aznir) untuk membelinya tetapi apabila beliau (Sumadi) kata ada komitmen lain, Khir suruh Shamsuddin beli rumah itu. Tambahan pula, waktu itu Khir adalah MB..apa dia suruh saya buat," katanya.

NONETerdahulu, pereka landskap Nasir Ismail mempertahankan
kenyataannya di mahkamah bahawa beliau dibayar lebih RM6 juta oleh Dr Mohamad Khir untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah mewahnya di Shah Alam.

Beliau menjawab demikian setelah disoal peguam Bela A. Athimulan yang mendakwa beliau tidak menyimpan sebarang dokumen berhubung penyerahan duit itu.

Nasir bagaimanapun mengaku tidak menyimpan sebarang dokumen seperti resit menyebabkan dia tidak dapat mengingati dengan jelas semasa ditanya oleh Athimulan berhubung pembayaran cek-cek bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

Katanya beliau juga tidak dapat mengingati tarikh sebenar setiap kali Dr Mohamad Khir menyerahkan wang kepadanya melainkan ia diberikan secara tunai.

Athimulan turut membekalkan perjanjian bernilai RM1.5 juta yang ditandatangani oleh Nasir dan Dr Mohamad Khir pada Mei 2007, yang didakwanya kontrak sebenar antara mereka berdua dan kerja-kerja pengubahsuaian hanya berlaku pada tahun berkenaan.

Nasir bagaimanapun mempertahankan keterangannya sebelum ini dan menegaskan kerja-kerja pengubahsuaian rumah mewah Dr Mohamad Khir di Shah Alam bermula pada 2006 dan lebih RM6 juta dibayar kepadanya.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohtaruddin Baki bersambung esok dengan pihak pembelaan dijadual mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan Shamsuddin kepada pihak pendakwaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166810

Ambiga tak gentar ugutan Ibrahim Ali

Ambiga tak gentar ugutan Ibrahim Ali
Hafiz Yatim
Jun 13, 11
5:53pm

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan tidak gentar dengan pertembungan kumpulan pendesak Melayu PERKASA yang akan “lawan habis-habisan' bagi menghalang perhimpunan aman 9 Julai ini.

dap abolish isa forum 230908 ambiga sreenevasanKetika dihubungi petang tadi, Ambiga berkata beliau menghormati pandangan presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang berikrar akan menghalang perhimpunan berkenaan.

"(Jika mereka teruskan) akan ada pertembungan. Jika berlaku, ini demi kebaikan," kata Ibrahim pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ambiga berkata perhimpunan BERSIH diadakan secara bertanggungjawab, aman dengan matlamat murni agar pilihan raya bebas dan adil diadakan di negara ini.

"Ramai rakyat Malaysia yang berkongsi pendapat ini, mereka menyokong penuh usaha kami. Saya tidak akan bergaduh dengan PERKASA yang membantah perhimpunan ini kerana ia adalah selaras dengan proses demokrasi dan kebebasan berpersatuan,” katanya.

bersih rally 271207 02"Perhimpunan BERSIH akan diteruskan tanpa mengambil kira apa kata sesetengah pihak ataupun laporan polis yang dibuat. Kami tidak akan berganjak dengan ugutan,” kata bekas pengerusi Majlis Peguam itu.

Katanya yang penting BERSIH 2.0 mahu perhimpunan aman dan pada masa yang sama berharap tanggapan pihak berkuasa, khususnya polis mengenai perhimpunan seumpama itu akan juga berubah.

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, berkata kumpulannya itu akan berarak menentang penunjuk perasaan BERSIH 2.0 bagi membuktikan bahawa tidak semua rakyat Malaysia setuju bahawa pilihan raya di negara ini adalah “kotor”.

NONEBeliau yang juga pernah dilucutkan gelaran “Datuk” oleh Sultan Kelantan mendakwa tindakannya itu adalah demi menjamin kepentingan demokrasi.

Beberapa laporan polis juga dibuat bagi membantah perhimpunan itu.



http://malaysiakini.com/news/166787

Maybank jangka cadang ambil alih akhir bulan

Jun 13, 11 5:32pm

Pengambialihan RHB Capital Bhd oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) mestilah boleh menambah pendapatan, kata Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Maybank menjangka untuk membuat cadangan pengambilalihan itu sebelum akhir bulan ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) Maybank di ibunegara hari ini

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Megat Zaharuddin berkata bagi Maybank, pengambilalihan itu akan membantu merangsang prestasi kumpulan itu selanjutnya untuk bersaing di peringkat global dan bertindak balas kepada pasaran dengan lebih cepat.

"Yang membuat kami tertarik kepada RHB ialah jika kami berjaya, ia akan memberikan kami skala, menjadikan kami lebih besar, dan melalui saiz, kami boleh melakukan beberapa perkara lagi," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang pembiayaan bagi pengambilalihan itu, Abdul Wahid berkata cadangan asas ialah penggabungan kedua-dua entiti itu, dan akan melibatkan pertukaran saham.

Beliau berkata Maybank sedang berbincang dengan semua pemegang saham besar, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang memiliki 44.7 peratus kepentingan dalam RHB, dan dengan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB), yang memegang 25 peratus.

"Bagi pihak kami, kami sebenarnya mahukan cadangan penggabungan sepenuhnya, untuk menyatukan kedua-dua entiti ini," jelasnya.

Mengenai sama ada rancangan ADCB untuk menjual 25 peratus kepentingannya dalam RHB Cap kepada dana pelaburan Aabar Abu Dhabi, akan menjejaskan perbincangan itu, Abdul Wahid berkata kumpulan itu perlu menunggu perincian selanjutnya mengenai perkara ini.

Beliau menegaskan Maybank akan hanya meneruskan transaksi ini sekiranya ia mewujudkan nilai bagi pemegang sahamnya dan menyumbang kepada pendapatan.

Pada EGM hari ini, pemegang saham Maybank meluluskan pewujudan skim saham pekerja (ESS) sebanyak hingga 10 peratus modal saham terbitan dan berbayar kumpulan itu.

ESS yang dicadangkan itu bertujuan menyemak semula keseluruhan struktur gaji pekerja Maybank sebagai sebahagian daripada strategi ganjaran keseluruhannya untuk memberikan gaji, faedah dan peluang pembangunan kerjaya yang sesuai.

Anggaran kos bagi mewujudkan ESS itu ialah RM1.15 juta.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/166784

Protes: 20 pemandu teksi, bas, peniaga enggan pindah

Jun 13, 11 3:34pm

Kira-kira 20 pemandu teksi, bas dan pengusaha kedai makan di Stesen Bas Ekspress Bukit Lagi, di Kangar, mengadakan bantahan terhadap Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang mendesak agar mereka berpindah ke stesen bas sementara di Kuala Perlis, bulan depan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bukit Lagi, Rosman Ishak, 59, berkata, pihaknya enggan berpindah ke stesen bas sementara itu kerana MPK tidak turun padang dan berbincang dengan mereka terlebih dahulu berhubung perpindahan ke stesen bas sementara itu.

"Pihak MPK harus memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk berpindah malah sebarang surat rasmi juga tidak diberi kepada kami berhubung perpindahan tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mungkin berdepan dengan masalah "gulung tikar" jika berpindah ke stesen bas sementara itu kerana terdapat pengusaha teksi lain di kawasan tersebut.

"Kami sudah 20 tahun beroperasi di stesen bas ini dan sepatutnya pihak MPK harus berbincang dengan kami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berpindah ke stesen bas sementara itu lagi pun berita perpindahan ini kami hanya tahu melalui akhbar sahaja pada Mei lalu," katanya mendakwa mempunyai 60 anggota persatuan itu.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan MPK untuk memindahkan mereka ke stesen bas baru di Seriab, dekat Kangar pada masa terdekat ini tetapi tidak setuju berpindah ke stesen bas sementara di Kuala Perlis.

Sementara itu, pemandu bas Transnasional, Mazlan Mahmud, 53, berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan MPK memindahkan mereka ke stesen bas sementara itu kerana stesen bas berkenaan kecil dan sukar untuk bas keluar masuk ke stesen bas itu untuk menurunkan penumpang.

"Kemudahan di stesen bas di Kuala Perlis itu juga tidak mencukupi terutama kemudahan kaunter-kaunter tiket berbanding di stesen bas yang sedia ada," katanya.

Katanya, kesesakkan akan berlaku jika terlalu banyak bas keluar masuk ke stesen bas itu terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, pendapatan mereka juga mungkin akan terjejas jika MPK tetap memindahkan mereka ke stesen bas sementara itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/166761

BERSIH 2.0: PERKASA lawan habis-habisan

BERSIH 2.0: PERKASA lawan habis-habisan
Joseph Sipalan
Jun 13, 11
2:19pm

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA memberi amaran bahawa mereka akan menganjurkan protes bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan aman yang didakwa mereka sebagai “mengacau”.

azlanKetuanya, Datuk Ibrahim Ali berkata PERKASA akan “lawan habis-habisan' bagi menghalang perhimpunan itu jika penganjurnya berkeras untuk turun ke jalanan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

"(Jika mereka teruskan) akan ada pertembungan. Jika berlaku, ini demi kebaikan," kata Ibrahim pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, berkata kumpulannya itu akan berarak menentang penunjuk perasaan BERSIH 2.0 bagi membuktikan bahawa tidak semua rakyat Malaysia setuju bahawa pilihan raya di negara ini adalah “kotor”.

Beliau yang juga pernah dilucutkan gelaran “Datuk” oleh Sultan Kelantan mendakwa tindakannya itu adalah demi menjamin kepentingan demokrasi.

protes klcc price hike 260108 bersih guy arrested"Saya tak boleh bayangkan, bila ramai yang berhimpun, mereka akan baling batu, bakar kereta... PERKASA akan turun ke jalannan dan halang mereka (perhimpunan BERSIH),” katanya.

BERSIH 2.0 yang diketuai oleh beberapa pemimpin NGO dijadual mengadakan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Tujuannya ialah untuk menyerahkan satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan dalam memulakan reformasi sistem pilihan raya negara.

  • Petisyen itu akan mengusulkan tujuh permintaan:
  • Petisyen itu akan mengusulkan tujuh permintaan:
  • Pendaftaran pengundi secara automatik ketika berusia 21
  • Reformasi bagi sistem undi pos untuk para pengundi luar bandar
  • Penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan bagi mengelakkan undi berulang-kali
  • Capaian media aliran utama untuk parti pembangkang
  • Tempoh kempen minimum 21 hari
  • Kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya
  • Menghapuskan rasuah pilihan raya
VIDEO | 8 min

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/166744

Nasir: Khir mohon tiada catatan bayaran RM6 juta

Nasir: Khir mohon tiada catatan bayaran RM6 juta
Hazlan Zakaria
Jun 13, 11
1:58pm

Pereka lanskap Nasir Ismail bertegas di mahkamah hari ini bahawa beliau dibayar lebih RM6 juta oleh bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah mewahnya di Shah Alam.

NONEBeliau mempertahankan kenyataannya ketika disoal oleh peguam bela M Athimulan, yang mempertikaikan dakwaan Nasir ketika prosiding hari keempat berhubung kes dakwaan rasuah oleh Khir.

Athimulan (kanan) berkata oleh kerana tiada rekod pembayaran yang didakwa diterima dari Khir yang dibuat sejak 2006 dan tiada dokumen bagi mencatatkan perkembangan kerja serta bayaran yang dibuat, maka Nasir tentunya berbohong.

Katanya semua yang didakwa Nasir adalah imaginasi pereka itu.

Athimulan juga membekalkan perjanjian bernilai RM1.5 juta yang ditandatangani oleh Nasir dan Khir pada Mei 2007, yang didakwanya kontrak sebenar antara mereka berdua dan kerja-kerja pengubah-suaian hanya berlaku pada tahun berkenaan.

Nasir bagaimanapun tidak berganjak dengan keterangannya sebelum ini. Tegasnya, kerja-kerja pengubah-suaian rumah mewah Khir di Shah Alam bermula pada 2006 dan lebih RM6 juta dibayar kepadanya.

Katanya lagi, tiada catatan dibuat adalah kerana atas permintaan Khir.

NONENasir memberi keterangan pada perbicaraan kes Dr Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/166737

Nazri: Senarai penerima biasiswa JPA tak didedah

Nazri: Senarai penerima biasiswa JPA tak didedah
S Pathmawathy
Jun 13, 11
1:19pm

Kerajaan pimpinan BN tidak akan mendedahkan senarai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam meskipun terdapat pelbagai desakan supaya pemberian itu dilakukan secara lebih telus.

NONEMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mengulangi perkara ini pasa sesi soalan Dewan Rakyat, pagi ini.

Perkara itu ditimbulkan oleh Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) kerana ramai pelajar yang merungut gagal mendapatkan biasiswa JPA di sebalik memperolehi keputusan cemerlang.

Soalan yang sama diajukan oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang ingin tahu bagaimana kerajaan mendakwa pihaknya telus apabila tidak ada sesiapa yang mengetahui mengenai kelayakan penerima biasiswa berkenaan.

"Adalah juga menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka peroleh kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut," kata Nazri.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan telah memperuntukkan 1,500 biasiswa untuk pengajian peringkat ijazah di luar negara, 2,500 untuk program ijazah tempatan dan swasta dan 8,000 lagi kursus diploma yang boleh diteruskan ke peringkat ijazah.

Kekeliruan

"Terdapat juga kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyangka bahawa JPA turut menawarkan tempat atau kursus pengajian di samping penajaan.

"Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat atau kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

NONENazri juga menolak dakwaan berlakunya salah guna kuasa yang ditimbulkan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung pengagihan biasiswa.

“Tiada alasan konkrit salah guna kuasa dalam pemberian biasiswa. Hakikatnya ia dilaksanakan secara telus dan teratur seperti yang diarahkan oleh kabinet pada keputusan yang dibuat pada 14 Januari 2009.”

Nazri menjelaskan bahawa antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

"Ramai juga pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara kerana ia mengikut keperluan guna tenaga sektor awam dan negara.

"JPA akan sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang bagi menangani isu pemberian biasiswa ini yang bangkit setiap tahun," katanya.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/166728

Betulkah PAS tolak negara Islam?

Betulkah PAS tolak negara Islam?
Pak Sako
Jun 13, 11
12:17pm

Perwakilan PAS telah memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang baru untuk penggal 2011-2013. Majoriti pasukan ini terdiri daripada golongan profesional (jurutera, doktor dan sebagainya). Mereka merupakan ahli-ahli PAS yang bukan berkelulusan agama atau berpangkatkan ulama.

NONEEkoran ini, sesetengah pihak mendakwa bahawa parti PAS sudah menggadaikan agama Islam. Mereka kononnya kecewa bahawa PAS telah mengkhianati cita-cita parti untuk membentuk sebuah negara Islam kerana PAS mengenengahkan konsep 'negara berkebajikan'.

Paling ketara melemparkan kritikan ini tanpa sebarang bukti ialah Datuk Ibrahim Ali, presiden PERKASA dan Tun Dr Mahathir Mohamad, maskot persatuan tersebut.

Seperti kedua-dua pemimpin tersebut, rakyat Malaysia pun mungkin keliru tentang kedudukan PAS berhubung cita-cita melaksanakan negara Islam.

Rencana ini bertujuan menjawab soalan “sama ada PAS sudah benar-benar menyeleweng dari dasar Islam dan matlamat negara Islam, atau sebaliknya”.

A. Adakah perlembagaan PAS menolak Islam dan cita-cita menubuhkan negara Islam?

PAS tidak boleh lari daripada asas dan matlamat parti seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Oleh itu kita perlu meninjau dan memahami sedikit kandungan perlembagaan PAS.

NONE“Dasar”, “tujuan-tujuan” dan “usaha-usaha” PAS adalah tersenarai seperti di dalam Fasal-fasal 3 hingga 6 perlembagaannya. Fasal-fasal inilah yang merangkumi asas dan matlamat PAS. Jika diteliti, ketiga-tiga perkara ini tidak berubah; semuanya tetap sama seperti dahulu.

Misalnya, dasar PAS masih tercatat sebagai 'Islam'. Tidak pun dipinda kepada 'Kebajikan' ataupun 'Melayu'. Dua tujuan parti PAS masih ialah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang menurut nilai-nilai hidup Islam, serta mempertahankan kesucian Islam.

Usaha-usaha parti pula menghuraikan langkah-langkah yang akan diambil oleh PAS untuk mencapai tujuan-tujuan parti. Di antara usaha-usaha utama PAS ialah untuk mendakwah kepada semua “umat manusia” (dengan menitikberatkan bukan Muslim), menjadikan Islam “sebagai panduan berpolitik dan bernegara”, dan “memperkenalkan nilai-nilai keIslaman” dalam usaha menegakkan keadilan dan membawa kemajuan ke dalam semua bidang termasuk “pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, sosial, serta pelajaran dan pendidikan”.

NONEMenurut Fasal 7 yang berhubung Hukum dan Kekuasaan pula, hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran dan Sunnah, dan kekuasaan PAS yang dipegang oleh muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut.

Secara ringkasnya, kesemua yang disebutkan di atas merupakan rangka dan rancangan-rancangan penting dalam membentuk sebuah negara Islam.

Jalan untuk meminda atau membatalkan dasar, tujuan-tujuan dan usaha-usaha PAS bukanlah mudah.

Menurut Fasal 86, cadangan pindaan perlu dikemukakan oleh ahli parti kepada setiausaha agung parti, dan jika terima, persetujuan dua pertiga (66.7%) suara yang hadir di dalam muktamar tahunan PAS diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan.

NONEHasrat mana-mana ahli profesional jawatankuasa kerja pusat untuk membatalkan mana-mana fasal perlembagaan PAS yang berkenaan dengan Islam pasti akan dimatikan oleh perwakilan PAS. Tambahan, masa depan politik ahli profesional itu bersama-sama dengan puak profesional secara amnya juga mungkin terkubur.

B. Majlis syura ulama lebih berkuasa daripada jawatankuasa kerja pusat

Majlis syura ulama PAS ialah badan yang tertinggi di dalam hierarki kuasa PAS. Jawatankuasa kerja pusat, termasuk presiden dan timbalan presidennya, terletak pada peringkat yang kedua. Pada peringkat seterusnya ialah Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (wanita).

NONEBerbeza daripada jawatankuasa kerja pusat, majlis syura lazimnya diwakili 100% oleh para ulama (Fasal 8(3)). Puak profesional tidak berpeluang untuk menguasai badan ini, apatah lagi menganggotainya.

Ahli-ahli majlis syura dipilih dan dilantik tidak lebih daripada lima orang oleh majlis syura ulama sendiri; empat orang oleh jawatankuasa kerja ulama pusat; empat lagi oleh jawatankuasa kerja pusat; dan dua masing-masing oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS (Fasal 8(4)).

Perhatikan bahawa pemilihan ahli-ahli majlis syura bukan melalui pertandingan demokratik sepertimana ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih oleh ahli-ahli PAS di muktamar. Namun majlis syuralah yang mengawal halatuju jawatankuasa kerja pusat dan PAS seluruhnya.

Juga, lebih daripada 50% daripada ulama di dalam majlis syura dipilih oleh golongan ulama sendiri (sembilan ahli daripada 17 ahlinya dipilih oleh majlis syura dan jawatankuasa ulama pusat). Dominasi golongan ulama cukup kuat di dalam PAS walaupun jika jawatankuasa kerja PAS pusat dikuasai 100% oleh puak profesional.

Penguasaan kepimpinan ulama diperkukuhkan lagi oleh peranan majlis syura. Antara tugas utama majlis syura ulama ialah untuk 'menjamin' kekuasaan PAS tidak terkeluar daripada mematuhi hukum tertinggi iaitu Al-Quran dan Sunnah, dan muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum itu (Fasal 8(1a)).

NONEMajlis syura juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah supaya dasar Islam PAS dan peruntukan yang berkenaan dengannya (seperti tujuan-tujuan dan usaha-usaha parti) “dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS”, dan majlis syura perlu 'mengawasi' supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam perlembagaan “dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS” (Fasal 8(1b)).

Dalam erti kata lain, majlis syura tidak akan membenarkan jawatankuasa kerja pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu.

Mampukah Datuk Nik Aziz Nik Mat menutup mata kepada peminggiran matlamat negara Islam? Tidak mungkin. Menurut perlembagaan PAS Fasal 9(1c), tugas Mursyidul Am ialah untuk “mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

NONEApakah pendirian Mat Sabu – yang memenangi kerusi timbalan presiden PAS baru-baru ini – mengenai hal ini?

Mengikut temuramah akhbar, beliau “terus mendokong konsep kepimpinan ulama” dan berpendapat bahawa “Majlis syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam”. Jelas bahawa Mat Sabu bukan ancaman kepada aspirasi negara Islam.

C. Kesimpulan

  • Nik Aziz, Ppresiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presidennya Mat Sabu atau mana-mana ahli jawatankuasa kerja PAS pusat tidak pernah menolak atau menafikan harapan PAS untuk menubuhkan satu negara Islam suatu hari kelak.
  • Konsep 'negara berkebajikan' yang diwar-warkan PAS ialah satu dasar sosio-ekonomi semata-mata yang tidak bercanggah dengan ataupun membatalkan matlamat utama mewujudkan sebuah negara Islam.
  • perkasa first agm 270310 keris 03Ibrahim Ali, Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak perlu gelisah tentang halatuju PAS. Ini selagi majlis syura PAS yang menjadi nadi cita-cita negara Islam masih wujud dan tidak dibubarkan. Jawatankuasa kerja pusat hanya melaksanakan kehendak parti dan wajib mematuhi semangat perlembagaan parti.
  • Konsep 'negara berkebajikan' dan pemilihan puak profesional ke dalam jawatankuasa kerja pusat lebih merupakan satu strategi PAS untuk memancing undi kelompok bukan Muslim dan Muslim golongan sederhana yang was-was terhadap 'pengIslaman' Malaysia yang radikal atau menyeluruh.
  • PAS amat sedar bahawa negara Islam perlu dilaksanakan dengan lembut dan perlahan agar tidak ditentang masyarakat Malaysia yang tidak mendokong sebuah negara Malaysia yang berlandaskan Islam teokratik (yang tidak sejajar dengan semangat perlembagaan persekutuan Malaysia).
  • NONETidak ada konflik langsung di antara golongan profesional dengan fahaman 'kepimpinan ulama'. Bezanya hanya dari segi pendekatan, iaitu sebahagian daripada golongan ulama lebih cenderung berpakat dengan Umno untuk mendapatkan kuasa manakala puak profesional berpegang bahawa PAS perlu menolak pinangan Umno dan mengalahkan Umno untuk merampas tampuk kuasa.
  • Para pemimpin Umno yang kononnya melahirkan rasa dukacita terhadap slogan 'negara berkebajikan' PAS sebenarnya takut dengan pendekatan golongan profesional yang lebih agresif dan menolak usaha 'perpaduan' Melayu-Islam yang dipelopori Umno. Mereka berasa bimbang hilang undi jika penyokong Melayu atau bumiputera Umno lebih teruja dengan PAS yang 'berimej lembut' dan Pakatan Rakyat secara amnya.
Pak Sako adalah nama samaran seorang pemerhati politik.Ulasan ini adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan sidang pengarang Malaysiakini


http://malaysiakini.com/news/166720
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...