Saturday, November 5, 2011

POLIS HARAMKAN SEKSUALITI MERDEKA

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 3RD, 2011

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar petang ini mengumumkan bahawa semua acara dianjurkan sempena Seksualiti Merdeka diharamkan. Beliau berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program berkenaan dan akan memanggil semua penganjur termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga, memberi keterangan secepat mungkin.Program itu diadakan bermula pada 1 November sehingga 13 November bertempat di Galeri Annexxe, di sini.

Pelancaran program tersebut sepatutnya disempurnakan oleh Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreevenasan pada 9 November ini dilokasi yang sama.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung di festival tersebut ialah pameran poster, pengakuan kabaret, mini konsert Rainbow Massacre, pelancaran buku, perbicaraan olok-olok, bengkel dan banyak lagi.

Pameran poster yang berkonsepkan mesra LGBT itu akan memaparkan beberapa poster bermotifkan persamaan hak asasi golongan ‘luar tabii’ tersebut, hasil karya artis seperti Fahmi Reza, Shahril Nizam, Donald Abraham, Sheiko, Bibi Chun dan ramai lagi.

Penglibatan umat Islam di dalam program Seksualiti Merdeka 2011 adalah haram dari segi hukum dan wajib dielakkan.

Pengerusi Majlis Ulamak Ikatan Muslimin Malaysia (Muis), Dr. Aznan Hasan berkata, pihaknya berpandangan demikian kerana program itu dikhuatiri menularkan fahaman liberal dan songsang di kalangan masyarakat Islam.

“Penglibatan umat Islam di dalam festival ini adalah haram hukumnya dan sewajibnya dielakkan.

“Hak asasi manusia diiktiraf oleh Islam tetapi ia mesti tidak menyanggah prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai moral, budaya, etika dan adab sopan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Aznan seterusnya berkata, sebarang aktiviti songsang bukan sahaja menyentuh sensiviti umat Islam malah boleh dianggap satu usaha ke arah mencabar kedaulatan negara yang berpaksikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Malah, katanya, seluruh umat Islam wajib berganding bahu memikul tanggungjawab membangunkan umat, menyuburkan akhlak terpuji dan memandu masyarakat ke arah menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, katanya, Muis menyarankan pihak kerajaan selaku agen penguatkuasa menghalang aktiviti seperti itu dan sentiasa peka terhadap aktiviti songsang yang menyelinap masuk ke dalam masyarakat umat Islam dan bertujuan melenyapkan identiti dan jati diri anak bangsa dan negara.

http://www.kl-today.com/2011/11/polis-haramkan-seksualiti-merdeka/

NIK AZIZ TOLAK SEKSUALITI MERDEKA

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 3RD, 2011

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam sehingga 13 November ini.Menteri Besar Kelantan itu meminta pihak kerajaan dan berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program itu yang jelas boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.

“Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu.

“Kerajaan… kalau boleh halanglah, dan ambillah tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan The Red Warriors di Kota Bharu hari ini.

Penganjuran program itu dipromosikan melalui lamanweb www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu adalah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Nik Aziz berkata soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan.

“Kebebasan secara mutlak sememangnya tidak ada dan saya khuatir tidak lama lagi akan ada yang menyebut tentang soal kebebasan merompak dan menyamun atas nama kebebasan,” katanya.

Katanya sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi yang diciptakan Allah SWT kerana sebarang aktiviti yang bertentangan dengannya akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia.

“Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan daripada mana-mana pihak,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/11/nik-aziz-tolak-seksualiti-merdeka/

ROS LULUSKAN PENDAFTARAN AMANAH

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), pertubuhan diketuai veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah yang dilancarkan empat bulan lalu, telah menerima kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memutuskan untuk menggerakkan secara aktif agenda perjuangannya. Susulan mesyuarat formal majlis eksekutif Amanah Isnin lalu sejak memperoleh kelulusan RoS, Tengku Razaeligh dijangka mengumumkan pelan isu-isu fokus pertubuhan itu awal minggu depan, selepas sambutan Aidiladha.

“Pada mesyuarat pertama majlis (Isnin lalu) kami telah menyenaraikan isu-isu yang akan menjadi fokus buat masa sekarang dan isu-isu yang akan dibawa kemudian,” kata Naib Presiden Amanah, Wan Saiful Wan Jan.

Bagaimanapun Wan Saiful enggan berkongsi isu-isu yang menjadi keutamaan mereka buat masa sekarang atas alasan mahu ia diumumkan oleh Tengku Razaleigh sendiri.

“Tidak adil bagi saya mengatakan mengenainya. Kita tunggu pengumuman Tengku (Razaleigh),” katanya lagi.

Amanah memperoleh kelulusan awal bulan lepas, kata Wan Saiful lagi yang menyifatkan ia detik penting bagi mengembalikan keyakinan dan harapan orang ramai ke atas pertubuhan tersebut.

“Selepas laluan yang sukar, akhirnya Amanah telah menerima kelulusan. Perkembangan ini penting bagi kami bergerak dengan aktif selepas banyak pihak menganggap seolah-olah Amanah sudah hilang semangat dalam waktu yang singkat selepas Amanah dilancarkan Julai lalu,” kata Wan Saiful.

Sambil menekankan tanggapan sedemikian tidak tepat, Wan Saiful berkata, sebenarnya Amanah tidak dapat menggerakkan aktiviti dan isu mereka sebelum ini sebab masih menunggu menerima kelulusan RoS.

“Memang tanggapan sedemikian juga wujud di kalangan beberapa pemimpin dalam jawatankuasa eksekutif Amanah sendiri, tetapi sekarang semua sudah selesai.

“Perbincangan semalam sangat penting, membawa hasil perbincangan yang sungguh baik. Kami telah menggariskan banyak isu, ia akan dilaksanakan selepas ini,” kata beliau yang turut mengakui perkembangan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan digunakan dengan baik untuk menggerakkan aktiviti dan matlamat penubuhan Amanah.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang telah melancarkan Amanah, sebuah badan bukan kerajaan bagi membawa suara rakyat menuntut kebenaran dan keadilan dalam menangani masalah rasuah, kronisme dan perpaduan antara kaum di Malaysia pada 29 Julai lalu.

“Amanah bukan sebuah parti pertubuhan politik tetapi mempunyai visi untuk membawa keadilan, kesaksamaan, kemajuan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berdasarkan kepada semangat perlembagaan Malaysia,” kata Tengku Razaleigh ketika melancarkannya.

Tengku Razaleigh, selaku Presiden Amanah berkata, barisan anggota utama jawatankuasa sementara Amanah terdiri daripada nama yang terkenal daripada beberapa parti politik dan pertubuhan sosial di Malaysia.

Enam Timbalan Presiden Amanah terdiri daripada bekas menteri penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Bujang Ulis dan Datuk Seri Daniel Tajem.

Selain Wan Saiful, naib-naib presiden Amanah terdiri daripada Datuk Mohd Azmi Razak, Tan Sri Simon Sipaun, Ragunath Kesavan, Mohd Lukhman Ghani, Ong Hock Siew dan Dr Patau Rubis.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Gua Musang memberitahu sebelum ini pernah berkata Amanah akan merealisasikan misinya untuk menangani rasuah, krosnisme, perkauman, sikap pelampau individu sehingga menimbulkan huru-hara dan pembaziran melibatkan perbelanjaan kerajaan.

http://www.kl-today.com/2011/11/ros-luluskan-pendaftaran-amanah/

PENGANJUR SM AKAN DIKENALPASTI POLIS

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Polis akan memanggil penganjur Program Seksualiti Merdeka 2011 termasuk bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program itu.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27A(1)(C) Akta Polis berhubung penganjuran program itu dan memanggil mereka bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil penganjur. Kertas siasatan itu nanti akan diputuskan Peguam Negara sama ada untuk mengenakan dakwaan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 67 ekor lembu korban bagi kawasan Parlimen Sembrong, di Kluang, semalam.

Penganjuran program itu bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang gay, lesbian, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendirian penganjuran program itu bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang negara tetapi juga agama, adat resam dan budaya yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Katanya, penganjuran program berkenaan terbukti telah mendapat kecaman daripada segenap lapisan masyarakat dan majoriti masyarakat yang selama ini membisu diyakini akan bangkit menentang sekiranya program berkenaan diteruskan.

“Yang penting adalah suara orang ramai. Alhamdulillah, ramai sudah suarakan rasa tidak puas hati. Dalam memastikan ekonomi yang kukuh, menghadapi isu kos kenaikan barangan, mengapa isu sebegini dibangkitkan…orang ramai boleh menilai sendiri apa sebenarnya tujuan dan matlamat mereka (penganjur),” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar menyatakan PDRM mengharamkan semua bentuk aktiviti dan promosi program yang berunsurkan seks bebas berkuat kuasa hari ini dan mengarahkan program itu yang dijadualkan berlangsung dari 1 Nov hingga 13 Nov dihentikan serta merta.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu golongan gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dibantu kembali ke pangkal jalan secara program kesedaran dan bukan membuka ruang kepada mereka meneruskan gaya hidup songsang seperti Program Seksualiti Merdeka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Razali Shahabudin berkata sekiranya semua pihak serius mahu membantu, program yang dianjurkan perlu bersandar pada kaedah dapat menyedarkan mereka tentang kerosakan akhlak akibat amalan tidak sihat itu.

“Semua agensi berkaitan perlu memperkenalkan program khas kepada golongan LGBT dan bukannya memberi keistimewaan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Razali berkata perkara ini sudah diperincikan melalui buku Manual Islam dan HIV Aids dikeluarkan oleh Jakim pada 2009 untuk memberi bimbingan bersepadu kepada golongan itu memberi peluang kepada mereka menjalani gaya hidup sihat selari dengan kehendak syarak.

Beliau menegaskan, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, rujukan sepenuhnya tidak seharusnya dibuat kepada persetiaan dan konvensyen hak asasi manusia negara barat kerana acuan barat meletakkan hak asasi manusia melebihi undang-undang tuhan.

Sebaliknya Jakim berpandangan, Malaysia perlu merujuk persetiaan dan konvensyen yang dibuat oleh negara-negara Islam seperti Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam yang disokong oleh 57 buah negara lain, katanya.

http://www.kl-today.com/2011/11/penganjur-sm-akan-dikenalpasti-polis/

SEKSUALITI MERDEKA: JAWI SIASAT UMAT ISLAM

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat penyertaan umat Islam dalam penganjuran program “Seksualiti Merdeka” bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997. Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya akan mengkajinya berdasarkan seksyen 25 (kesalahan liwat), seksyen 26 (musahaqah atau lesbian) dan seksyen 35 (menggalakkan maksiat). Siasatan itu dibuat ekoran memorandum yang diserahkannya oleh kumpulan pendesak Melayu PERKASA selepas perhimpunan di Masjid Negara awal petang tadi.
“Saya lihat apa yang disediakan kepada saya… Seksyen berkenaan adalah untuk menyelidiki dan mengkaji bagi tindakan lanjut di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Sebelum itu, sekumpulan umat Islam mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur bagi menyatakan perasaan tidak senang terhadap usaha penganjuran program kontroversi “Seksualiti Merdeka”.

Seksyen 25 dan 26 memperuntukkan mana-mana lelaki yang melakukan liwat atau mana-mana perempuan yang melakukan aktiviti musahaqah dikira melakukan suatu kesalahan.

Kedua-dua seksyen itu, jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun, disebat tidak lebih enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Manakala seksyen 35 pula memperuntukkan mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksualiti Merdeka merupakan festival tahunan meraikan hak asasi pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina anjuran sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan dijangka dirasmikan oleh Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Setelah dibantah banyak pihak, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar senalan mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti yang dijadualkan pada 9 hingga 13 November ini.

Kira-kira 20 hingga 30 anggota polis bertindak menghentikan satu ceramah malam tadi di Kuala Lumpur, yang diadakan sempena festival Seksualiti Merdeka yang telah diharamkan.

Penyelaras Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik berkata mereka tiba di Galeri Annexe Seni Pasar pada kira-kira jam 7.30 malam.

“Ketika kami hendak tutup pintu pada jam 8 malam, polis tiba dan berkata ini adalah suatu tempat awam dan minta kami bersurai. Kami bersurai,” kata Pang.

Menurutnya, anggota polis datang dengan baik dan tidak merampas apa-apa bahan.

Pang enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai status program Seksualiti Merdeka dari 9 hingga 13 November, yang dijadual diadakan di Galeri Annexe.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan pengharaman program Seksualiti Merdeka.

Program itu telah diadakan sejak tahun 2008 untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai masyarakat gay, lesbian, biseksual dan transgender di negara ini dan untuk mereka menghormati hak-hak mereka.

Dalam reaksinya selepas pengumuman pengharaman itu dibuat, Pang menyifatkan ia sebagai “hari yang tragik bagi Malaysia”.

Walaupun beberapa pihak telah menyuarakan bantahan mereka terhadap Program Seksualiti Merdeka, beberapa badan seperti Majlis Peguam, Suaram dan Sisters in Islam menyuarakan rasa kesal mereka dengan tindakan polis mengharamkan program tersebut.

http://www.kl-today.com/2011/11/jawi-siasat-seksualiti-merdeka/

KENAPA SEKARANG BARU HARAMKAN SM?

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempersoal pihak polis yang baru tahun ini bertindak mengharamkan Festival Seksualiti Merdeka sedangkan ia sudah wujud sejak 2008 lagi.Meskipun menyambut baik pengharaman tersebut, Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, polis hanya bertindak apabila rakyat bangkit membantah walaupun jelas program tersebut seolah-olah menghina kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Persoalannya, mengapa baru tahun ini pihak berkuasa menyedari adanya acara ini? Bolehkah kita simpulkan bahawa PDRM dan pihak-pihak berkuasa yang lain selama tiga tahun yang lepas gagal menjalankan tugas mereka?

“Apakah sudah menjadi budaya Pentadbiran Umno BN yang akan hanya bertindak bila rakyat kebanyakan mula menunjukkan bantahan atau lebih malang jika ianya membabitkan individu atau pihak yang tidak seiringan dengan Umno BN?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata polis dan Umno BN seolah-olah mengambil kesempatan untuk menunjukkan penetangan mereka kepada individu-individu tertentu.

Ini kerana Pengerusi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreevanisan merupakan salah seorang penyokong program yang berlangsung di Annex Gallery bermula 1 November.

“Kesempatan ini diambil untuk melegitimasikan penentangan mereka kepada individu atau pihak-pihak berkenaan dan bukannya tindakan tegas yang bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab, kesedaran dan amanah kepada tugas serta kehidupan beragama masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bukan langkah terbaik menyelelesaikan sesuatu isu namun harus dimulakan dengan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat.

Semua pihak khususnya pihak polis tidak harus bertindak seperti melepaskan batuk di tangga namun isu ini harus dilihat secara menyeluruh.

“Menyelesaikan masalah ini sewajarnya bermula daripada pendidikan, keprihatinan dan penetapan prinsip hidup serta prinsip pembinaan masyarakat yang secara jelas mesti bertunjangkan kepada keimanan yang benar serta kehidupan beragama dan kehidupan berTuhan,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak harus menitik beratkan pendidikan anak-anak dan pembangunan sesebuah institusi keluarga sehinggalah kepada pembinaan sebuah pentadbiran yang baik – ”good governance”, dengan meletakkan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik di pihak pemerintah dan setiap individu kepimpinan negara.

Sekumpulan umat Islam mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur bagi menyatakan perasaan tidak senang terhadap usaha penganjuran program kontroversi “Seksualiti Merdeka”.

Bagaimanapun, jumlah kehadirannya tidak memberangkangkan apabila hanya kira-kira 30 orang hadir dalam perhimpunan ringkas 10 minit di perkarangan Masjid Negara.

Mereka mengangkat poster bantahan bertulis “Semua Agama Tolak Seks Sejenis”, “Haramkan Sahaja Majlis Peguam” dan “Jabatan Agama Islam Perlu Bertindak Tegas”.

Selesai berhimpun, kumpulan itu berjalan ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdekatan masjid itu bagi menyerahkan memorandum menggesa tindakan mahkamah diambil untuk menyekat program sebegitu daripada berulang.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar kepada Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali di pejabatnya kira-kira jam 2 petang ini.

http://www.kl-today.com/2011/11/kenapa-sekarang-baru-haramkan-sm/

AZIZ: KERAJAAN KENA AKUR MAHKAMAH

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Kerajaan perlu menterjemah keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Akta Universiti dan Kolej (Auku) bertentangan dengan perlembagaan.Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, justeru itu kerajaan perlu memansuhkan akta tersebut yang bersifat zalim dan mengongkong sepertimana akta hasutan, akta mesin cetak dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).“Ia merupakan satu keputusan yang berani oleh para hakim. Saya melihat perlunya komitmen kerajaan sedia ada untuk memansuhkan Auku ini yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan dunia akademik itu sendiri.

“Saya juga melihat tidak perlu untuk kerajaan menggantikan Auku ini dengan akta yang baru kerana seperti yang kita ketahui Auku ini wujud pada era tahun 1970 dan pada ketika itu universiti sudahpun wujud di Malaysia, ” katanya lapor Tv Selangor.

Dr Aziz Bari juga berkata jika kerajaan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut, ia menunjukkan kerajaan sedia ada tiada kesungguhan untuk mengembalikan hak kebebasan mahasiswa dan akademik di Malaysia.

Pada 31 Oktober lalu, mahkamah rayuan memutuskan seksyen 15 (5) dalam Auku yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya yang terlibat dalam parti politik sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Keputusan itu dibuat secara majoriti apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Hulu Selangor April 2010.

Sementara itu Kabinet hari ini membenarkan Kementerian Pendidikan Tinggi membuat rayuan terhadap penghakiman mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) adalah tidak sah dan dan mencabul kebebasan bersuara.

Lamanweb sebuah akhbar bahasa Cina, yang memetik sumber-sumber kabinet itu berkata keputusan itu dibuat kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu dianggap “bercanggah dengan semangat pemisahan kuasa”.

http://www.kl-today.com/2011/11/aziz-kerajaan-kena-akur-mahkamah/

PPSMI IS AN OPTION FOR THOSE ALREADY IN IT

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Those already in the PPSMI system will be allowed to continue learning Maths and Science in English until they complete their studies in Form 5, Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin said.He said this when announcing the soft landing approach to the shift away from PPSMI (Teaching of Science and Maths in English).

Below are highlights of his announcement:

> All Year 2 to Form 5 students who do their Maths and Science in English this year will be allowed to finish their studies in those subjects in English.

> Next year’s national school students of Year 3 to Year 6 would be allowed to continue their studies in both subjects in English, Bahasa Malaysia or both.

> Those who have been studying those subjects in Bahasa Malaysia, or both languages, would be allowed to continue studying entirely in Bahasa Malaysia.

> Teaching and learning of both subjects will be done entirely in Bahasa Malaysia in 2016 for primary schools.

> For secondary schools both subjects would be taught fully in Bahasa Malaysia in 2021.

But Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin stressed that it did not mean the government was making a U-turn in its decision to scrap the policy.

“With this decision, the abolition of PPSMI stays. The government does not plan to reintroduce the policy, as requested by several parties,” he told a press conference today.

Muhyiddin continued to defend the scrapping of PPSMI, saying it does not mean the government was neglecting the importance of mastering the English language.

He said the ministry was introducing new initiatives aimed at improving students’ English language skills like increasing contact hours for the subject, training teachers, improving the English curriculum under the ‘Primary School Curriculum Standards’ initiative, providing better quality reading materials and digital learning equipment in classrooms.

“The ministry is also studying several new initiatives to implement programmes like Oracy Skills (OPS-ENG), which aims to improve the students’ oratory skills,” he said.

Muhyiddin added a study by his ministry had found that at present, less than five per cent of 7,495 primary schools and under nine per cent of 2,192 secondary schools use English completely in the learning of mathematics and science.

He said the schools could continue to decide what medium of instruction to offer their students in school but the MBMMI policy must be used for those beginning Year Two in 2012.

English lobby group Parent Action Group for Education (PAGE) and opposition parties have been demanding the Education Ministry stick to PPSMI and allow students the flexibility to choose between the languages, saying it would help the country to retain its best talents.

The growing row over the education policy has split the country along racial, political lines ahead of national polls likely to be called early next year.

Vocal fundamental groups are using the issue to champion their version of nationalism.

Several non-partisan civil societies have recently banded together to counter this tide but the powerful Malay-dominant political parties appear to be reluctant to commit to this hot potato issue ahead of the 13th general election.

http://www.kl-today.com/2011/11/ppsmi-option-for-those-already-in-it/

ISLAM DAN HOMOSEKSUALITI

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Afiq M. Noor

“Maka menerusi belas kasihan Tuhanlah kamu [Wahai Rasul] berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu. Maka maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan bagi mereka; dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan awam…..” [3:159]Perbahasan mengenai homoseksualiti dan Islam bukanlah perkara asing dan taboo bagi para pengkaji dan pemikir. Daripada aspek hukum sehingga bagaimana masyarakat sewajarnya menyantuni isu ini telah dibahaskan dengan begitu panjang lebar oleh para sarjana.

Sayangnya, sikap masyarakat Islam yang tidak berupaya mencedok dan menghadam perbahasan tersebut dengan berhati-hati telah menjejaskan imej yang ingin kita potretkan kepada Islam.

Islam bukanlah agama hukuman sebagaimana yang difahami oleh kebanyakkan Muslim. Bahkan ia adalah agama yang penuh dengan kasih sayang dan mempromosikan keamanan sesuai dengan maknanya – sejahtera. Trend beragama di Malaysia sangat membimbangkan, kita terlalu rigid dan menyempitkan agama di dalam perkarangan masjid dan surau sahaja.

Kita mudah untuk mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambilkira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ianya haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita.

Apabila timbul isu Elton John dan Seksualiti Merdeka, ramai Muslim termasuk NGO yang membawa jenama Islam melenting dan menunjukan reaksi yang tidak wajar. Alasan mereka mudah, perkara seperti ini mempromosikan cara hidup yang tidak Islamik.

Kononnya ramai anak muda Islam yang akan terpengaruh dengan cara hidup yang berkiblatkan barat. Seperti biasa, Perkasa adalah antara yang terawal membuat laporan polis diikuti dengan badan-badan lain dan individu yang kononya risau dan khuatir dengan perkembangan ini.

Saya tidak bercadang untuk memanjangkan perbahasan tentang hukum homoseksualiti dari sudut agama, kerana ianya jelas. Mahu atau tidak kita mengakui homoseksualiti merupakan suatu dosa dan bertentangan dengan norma – norma agama. Namun sekiranya inilah yang menjadi kegusaran Perkasa serta NGO dan individu Muslim yang lain, kegusaran ini tidak berasas.

Ketirisan dalam pentadbiran kerajaan merupakan satu dosa, rasuah juga merupakan satu dosa, penganiayaan terhadap buruh juga merupakan satu dosa, membolot kekayaan negara untuk kroni dan keluarga juga merupakan satu dosa. Bahkan ianya lebih besar dan wajar untuk kita ambil peduli kerana ia melibatkan harta rakyat dan negara. Ia bukan maksiat peribadi.

Islam hormati hak individu

Islam tidak pernah bersetuju dengan homoseksualiti tetapi Islam adalah agama yang sangat menghormati hak peribadi individu sehingga Allah menegaskan di dalam Surah Al – Hujarat ayat 12:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”

Tidak menjadi tugas dan kewajipan pemerintah Islam untuk mengintip dan mencari-cari kesalahan dan maksiat individu yang dilakukan secara tertutup dan tersembunyi. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa Muawwiyah mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda:

“Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka”

Samada kita suka atau tidak, homoseksualiti merupakan satu realiti yang mesti kita terima. Pergilah ke ceruk mana sekalipun kita tidak dapat lari dari realiti ini. Bahkan sekiranya kita membuka teks – teks klasik fiqh, kita pasti akan bertemu dengan perbahasan mengenai ‘Ma’boon’, iaitu lelaki yang mempunyai perasaan terhadap lelaki lain. Para sarjana mazhab Maliki menyatakan sah hukumnya berimamkan seorang ‘Ma’boon’.

Pilih kasih

Saya merasakan kita sewajarnya mengambil langkah yang lebih realistik dalam menyantuni isu ini. Banyak persoalan yang lebih utama untuk kita bangkitkan. Penindasan dan sikap pilih kasih masyarakat terhadap golongan LGBT ini merupakan sesuatu yang amat membimbangkan.

Baca sahaja laporan media dan internet, berapa ramai remaja yang kehilangan nyawanya setiap hari hanya kerana dia seorang homoseksual? Apakah jiwa mereka tidak bernilai pada mata kalian? Adakah ini yang Allah perintahkan?

Adakah kerana mereka homoseksual maka darah mereka halal untuk dikorbankan ? Maruah mereka boleh dipermainkan? Mereka boleh didiskriminasikan dan diperlakukan sesuka hati? Jika jawapannya ya. Maka kita bukan sahaja tidak layak menjadi seorang Muslim bahkan tidak layak langsung menjadi manusia. Allah berfirman:

“…Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia keseluruhannya” [5:32]

Kita bebas untuk tidak bersetuju dengan perbuatan mereka. Tetapi sebagai manusia, mereka wajar dihormati dan diperlakukan selayaknya. Tindakan singkat akal yang dilakukan atas nama Islam dalam isu ini telah mencacatkan wajah Islam sebagai agama yang toleran dan penuh dengan kasih sayang. Kenapa Muslim senang sekali menjauhkan manusia lain dari Tuhannya?

Tuhan tidak pernah berjenaka apabila Dia mengatakan:

“Belas kasihku meliputi segala benda….” [7:156]

Ya Allah sesungguhnya hamba-Mu telah menyampaikan!

Afiq M Noor adalah ahli Lawyers For Liberty

http://www.kl-today.com/2011/11/islam-dan-homoseksualiti/

AKHBAR AUSSIE TARIK BALIK BERITA ANAK NAJIB

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 4TH, 2011

Akhbar Australia The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar. “The West Australiansedar perkara ini tidak benar dan anak perempuan Najib tidak berada di Perth pada waktu itu,” ralat yang diterbitkan hari ini dipetik. Perdana menteri semalam menjelaskan perkara yang sama di Twitter dan berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan itu.

Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Laporan bertajuk “Delegates go shopping and sightseeing” (perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar) dipetik meluas di blog dan Facebook, termasuk dalam akhbar web rasmi PKR Keadilandaily.

Akhbar itu melaporkan, peniaga membuat keuntungan besar apabila “seorang wanita pertama” membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala ‘anak gadis Najib’ dilapor membelanjakan A$60,000.

Ia memetik pengarah negeri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Richard Muirhead sebagai berkata, aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah itu diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat yang ketat.

Semalam, Konsul besar Malaysia ke Perth, Hamidah Ashari dalam sepucuk surat kepada akhbar The New Straits Times pada hari Selasa, menafikan bahawa anak perempuan Perdana Menteri itu berada di sana sewaktu mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa anak perempuan perdana menteri bukan sebahagian daripada delegasi yang menghadiri CHOGM atau dia berada di Perth pada masa itu.

Oleh itu, katanya, dakwaan bahawa anak perempuan perdana menteri membuat pembelian di sana adalah tidak benar.

NST juga memetik setiausaha politik Najib, Datuk Fatmi Che Salleh sebagai menafikan bahawa anak perempuan Najib berada di Perth.

Portal pembangkang itu juga mendakwa bahawa peniaga membuat keuntungan yang besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala ‘anak gadis Najib’ membelanjakan A$60,000.

http://www.kl-today.com/2011/11/akhbar-australia-tarik-balik-berita-anak-najib/

KG BARU: MB SELANGOR TIADA KUASA

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Menteri Besar Selangor tidak punya kuasa merombak kepimpinan tertinggi Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baharu. Katanya, MAS tidak berada dalam bidang kuasa kerajaan Selangor kerana pengerusinya sekarang adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kuasa merombak keanggotaan lembaga tersebut terletak di bawah kerajaan Persekutuan.Raja Nong Chik berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baharu, Ahmad Zambri As’ad Khuzami yang mahu merombak MAS dengan menggunakan kuasa Menteri Besar Selangor.

“Saranan kepada kerajaan Selangor majukanlah kawasan Melayu di negeri itu sebab banyak lagi kawasan yang mundur serta perlu diperjuangkan. Tidak payahlah kacau kerajaan pusat dan kelirukan rakyat di Kampung Baharu.

“Dalam soal Kampung Baharu ini, kerajaan Barisan Nasional tiada agenda politik kerana niat kita bangunkan Kampung Baharu untuk orang Melayu dan berharap kerajaan Selangor tidak masukkan isu politik kerana apa yang penting sama ada kawasan itu akan dibangunkan atau tidak,” katanya.

Sementara itu Raja Nong Chik berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas sebagai persiapan menghadapi banjir di sekitar Kuala Lumpur menjelang ketibaan musim tengkujuh hujung tahun ini.

Katanya, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Alam yang dikendalikan DBKL kini diletakkan dalam keadaan siap sedia menggerakkan bantuan bagi menyelamat orang awam sekiranya banjir berlaku.

“Disebabkan hujan yang kita terima tahun ini melebihi 30 peratus berbanding tahun lepas dan keadaan cuaca yang sukar diramalkan, persiapan bantuan telah dibuat menghadapi bencana ini.

“Jawatankuasa ini sedia memberi bantuan kepada negeri lain yang terlibat dengan banjir sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lembu korban dan sumbangan kewangan masjid serta surau di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai menyumbang 70 ekor lembu untuk diagihkan bagi melaksanakan ibadah kurban di masjid dan surau sekitar Parlimen Lembah Pantai.

Selain lembu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM121,000 kepada masjid dan surau untuk kegunaan qariah setempat menjalankan ibadah itu serta sambutan Aidil Adha.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM3,000 masing-masing disumbangkan kepada setiap masjid utama dan lima buah surau diberi tauliah menjalankan sembahyang Jumaat, manakala RM2,000 tiap satu diberikan kepada 44 buah surau lain.

http://www.kl-today.com/2011/11/kg-baru-mb-selangor-tiada-kuasa/

PEMIMPIN LEMAH PUNCA KETIRISAN KEWANGAN

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengambil perhatian terhadap Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini terutamanya yang menyentuh soal amanah.Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemimpin seharusnya memelihara amanah atau kepercayaan yang diberikan kepada mereka.Katanya, Laporan Ketua Audit Negara merupakan semakan kepada amanah yang diserahkan kepada pemerintah, penjawat awam dan mereka yang berurusan dengan mereka.

Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda supaya laporan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen.

Katanya, Ikram begitu prihatin terhadap dapatan-dapatan yang dilaporkan berhubung kelemahan pengurusan kewangan kementerian/jabatan, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang berkenaan seperti berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan, pembelian harga barangan dan perkhidmatan yang berganda-ganda lebih tinggi daripada harga pasaran dan lain-lain bentuk ketirisan kewangan yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

“Ikram berpandangan punca utama ketirisan kewangan ialah kurangnya penghayatan terhadap sifat amanah yang dituntut untuk dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya kepada Harkahdaily.

Begitu juga, katanya kelemahan-kelemahan yang sama dilaporkan masih berlaku seolah-olah tiada kesedaran dan tindakan proaktif yang bersungguh-sungguh di pihak yang berkenaan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan agar lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

Salah satu persoalan yang ditimbulkan, ujarnya ialah pembelian 257 buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan yang didakwa harganya 6 kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran di mana Kementerian Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.

Ini, ujarnya adalah sebagaimana soalan yang ditimbulkan oleh salah seorang Ahli Parlimen kepada Menteri Pertahanan di sidang Parlimen baru-baru ini.

“Namun agak menghairankan apabila Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang hal ini sedangkan beliau sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011 lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Ikram mencadangkan penambahbaikan dan peningkatan kawalan dalaman terhadap urustadbir dan pengurusan kewangan negara ke arah yang lebih baik seperti berikut:

1. Menghayati dan mengamalkan sifat amanah dalam setiap urusan kewangan negara dan kerajaan

2. Mengamalkan sikap telus dan bertanggungjawab dengan menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan secara tertutup sebaliknya mengamalkan sistem pembelian dan pemerolehan secara terbuka

3. Menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan melalui agen atau orang tengah sebaliknya membuat urusan secara terus dengan pembekal atau pengilang

4. Mengambilkira pandangan pakar dalam proses pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan yang khusus seperti peralatan kejuruteraan tinggi (high precision engineering), peralatan perubatan, robotik dan sebagainya bagi mengelakkan pembaziran melalui pembelian yang tidak perlu

5. Mengambil tindakan untuk melaporkan atau merujuk kes-kes penyelewengan kuasa dan kelemahan-kelemahan yang ketara dalam urustadbir dan pengurusan kewangan yang melibatkan kerugian kewangan seperti mana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan

6. Memperkasakan SPRM sebagai satu badan yang bebas dengan memperuntukkan kuasa pendakwaan turut diberikan kepada mereka dan bukan hanya kepada Pejabat Peguam Negara

7. Mempertingkatkan kemampuan anggota penyiasatan yakni SPRM dan pihak polis di dalam menjalankan siasatan berhubung salah laku pengurusan kewangan dengan menguasai teknik-teknik terbaru sepertiforensic auditing atau forensic accounting.

8. Memperkenalkan polisi whistle-blowing dan menggalakkan samada anggota pekerja sektor awam atau swasta maju ke hadapan melaporkan kepincangan dan penyelewengan dalam urusan kewangan yang berlaku kepada pihak berkuasa di mana mereka ini dilindungi oleh satu undang-undang khas serta diberikan ganjaran yang setimpal hasil daripada maklumat yang diberikan.

Beliau berkata, Ikram percaya dengan sifat amanah yang diterapkan dan langkah-langkah penambahbaikan yang dicadangkan di atas diharapkan kelemahan-kelemahan yang sama yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam laporan tahunannya akan dapat diminimumkan seterusnya menyumbang ke arah urustadbir kewangan negara yang lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

http://www.kl-today.com/2011/11/pemimpin-lemah-punca-ketirisan-kewangan/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...