Monday, October 18, 2010

15 batu misteri diterima keluarga Siti Balqis ghaib

2010/10/18

 WANITA UMNO DUN Jabi mengadakan majlis membaca surah Yasin beramai-ramai di rumah keluarga Siti Balqis.
WANITA UMNO DUN Jabi mengadakan majlis membaca surah Yasin beramai-ramai di rumah keluarga Siti Balqis.
JERTIH: Kegembiraan keluarga gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, mendapat 15 batu bernilai tinggi sejak Rabu lalu berakhir apabila batuan berkenaan didapati hilang semalam, selepas empat hari disimpan dalam bekas khas berisi air zamzam.

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata 14 daripada 15 batu bernilai antaranya zamrud, delima dan nilam sebesar duit syiling 20 sen tiba-tiba ghaib pagi semalam walaupun ia dikawal ketat oleh anak saudaranya, Mohd Zainuddin Mohamad, 42.

Katanya, sebiji lagi batu bernilai diberikan kepada penasihat agama program Alam Ghaib TV3, Sharhan Shafie untuk membuat analisis terhadap penemuan batu berkenaan yang disifatkan kejadian aneh berlaku dalam rumah berkenaan.

“Saya menyedari kehilangan batuan itu kira-kira jam 4 pagi tadi apabila melihat tempat menyimpan batu itu kosong. Makcik (Norizan) menugaskan saya menjaga batu-batu itu, tetapi terkejut ia hilang kerana tiada siapa yang boleh masuk ke dalam bilik itu kerana berkunci.

“Mustahil batu bernilai tinggi itu dicuri manusia biasa kerana rumah ini turut dikawal ketat anggota polis peronda dari daerah ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Sharhan ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, tidak terkejut dengan berita kehilangan 14 batuan mahal yang disimpan di rumah Siti Balqis, malah mengakui sebutir batu dalam simpanannya turut berdepan cubaan dilarikan jin pada malam sama.

“Batu yang saya simpan juga hampir dighaibkan oleh jin pada malam sama, tetapi ia gagal dilarikan kerana saya sudah ‘memagar’ tempat simpanan batu permata dengan ayat suci al-Quran,” katanya.
“Saya sudah syak batu permata dalam simpanan keluarga itu akan hilang kerana jin yang menjaga Siti Balqis didakwa berdendam disebabkan gagal untuk melarikan Siti Balqis selepas kawasan rumahnya dipagar menggunakan garam dan ayat suci al-Quran,” katanya.

Sharhan mendakwa, beliau sendiri turut ternampak tangan jin berbulu sedang menarik bekas yang menyimpan batu di rumahnya, tetapi gagal.

Taktik tak jadi

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/10/18

Sindiket tampal pelekat Jabatan Imigresen pada bas, van untuk seludup 87 warga Indonesia tumpas

KOTA TINGGI: Taktik sekumpulan empat rakyat tempatan menampal pelekat Jabatan Imigresen pada sebuah bas dan van untuk menyeludup 87 warga Indonesia, tidak menjadi apabila kenderaan itu ditahan dalam serbuan di persimpangan Air Tawar Lima di sini, malam kelmarin.

Empat rakyat tempatan dan semua warga Indonesia berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Imigresen Johor hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hamzani Abdul Jalil, berkata siasatan awal mendapati semua warga asing berkenaan termasuk 47 lelaki dan 40 wanita, memasuki negara ini melalui ‘laluan tikus’ di Tanjung Pengelih di Pengerang dekat sini.

“Mereka dipercayai dari Batam dan diseludup masuk ke negara ini dengan bantuan empat rakyat tempatan itu yang juga ejen kepada satu sindiket penyeludupan manusia.

“Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, sebahagian daripada warga asing itu akan dibawa ke Johor Bahru manakala yang selebihnya ke Kuala Lumpur," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Hamzani berkata, tindakan berani ejen berkenaan menampal pelekat Jabatan Imigresen pada bas dan van itu membuktikan mereka sanggup berbuat apa saja bagi meraih keuntungan cara mudah.
“Kita akan siasat sama ada pelekat yang digunakan itu palsu atau tulen. Keempat-empat ejen terbabit akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(L) dan Seksyen 56(1)(A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, semua warga asing berkenaan pula dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas di Pontian.


'Pengkhianat' punca PATI bolos

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/10/18

Syor jawatankuasa khas siasat dakwaan, hadapkan ke muka pengadilan

PADANG BESAR: Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin yakin kewujudan ‘pengkhianat’ di kalangan anggota penguat kuasa menjadi antara punca pendatang asing tanpa izin (PATI) mudah menyusup masuk ke negara ini, walaupun sempadan dikawal rapi.

Justeru, beliau mahu satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan kadar segera untuk menyiasat dakwaan itu, sekali gus memastikan setiap anggota penguat kuasa yang dikesan terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya tidak nafikan ada kemungkinan anggota penguat kuasa mempunyai hubungan dengan ejen yang bertanggungjawab membawa masuk PATI ke negara ini.

“Justeru, kita mahu jawatankuasa khas itu menyiasat perkara ini sebaik mungkin untuk membolehkan tindakan pemulihan diambil,” katanya mengulas kes penyusupan PATI dan pemerdagangan orang yang dikesan semakin berleluasa di sempadan negara, di sini.

Kelmarin, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis menahan 25 PATI terdiri daripada 16 warga Bangladesh dan sembilan Myanmar dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang di sekitar Chuping, selepas dikesan menyusup masuk ke negara ini secara haram melalui pagar keselamatan, di sini.

Difahamkan, semua warga asing terbabit membelanjakan hampir RM20,000 setiap seorang untuk masuk ke negara ini, bagaimanapun dipercayai ditipu sindiket terbabit sebelum ditinggalkan di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.
Mengulas mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa itu, Ghazali berkata motif utama penubuhannya adalah untuk memantau aktiviti penyusupan PATI dan aktiviti pemerdagangan orang terutama di sempadan negara.

Beliau berkata, polis mahu dapatkan gambaran sebenar mengenai kegiatan itu, terutama modus operandi digunakan sindiket berkenaan yang dilihat begitu mudah menjadikan pagar keselamatan sebagai laluan utama aktiviti haram mereka.

"Jika keadaan infrastruktur seperti pagar yang rosak menjadi punca, kita akan ambil tindakan untuk baik pulih. Namun, sekiranya siasatan membuktikan ada anggota dan pegawai bertugas yang memainkan peranan di sebalik kegiatan itu, maka tindakan tegas akan diambil ke atas mereka," katanya.

Beliau berkata, amaran tegas itu ini bukan saja ditujukan kepada anggota polis, terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal laluan keselamatan semata-mata, malah turut membabitkan semua penguat kuasa lain di sekitar sempadan.

Gempa 5.0 magnitud landa barat daya China

2010/10/18

BEIJING: Gempa sederhana berukuran 5.0 magnitud melanda barat daya China, awal pagi tadi berhampiran Wilayah Shchuan yang dilanda gempa kuat pada 2008 lalu.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa melanda kawasan sempadan antara Sichuan, Yunnan dan Guizhou pada jam 5.49 pagi waktu tempatan (21:49 GMT) di kedalaman 13.5 kilometer.

Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan.

Pada Mei 2008, gempa kuat 8.0 magnitud melanda Sichuan dengan mengorbankan lebih 87,000 penduduk. - AFP

100,000 mangsa dipindah, banjir besar landa Hainan

2010/10/18

BEIJING: Lebih 100,000 penduduk terpaksa diselamatkan selepas hujan lebat melanda Hainan yang menyebabkan banjir besar melanda untuk kali kedua, bulan ini.

Agensi berita Xinhua yang memetik Timbalan Pengarah Jabatan Bantuan Bencana dan Perkhidmatan Awam, Sun Wei, berkata lebih 200 perkampungan dilanda banjir selepas kadar purata hujan meningkat kepada 200 milimeter sejak Jumaat lalu.

Lebih 440,000 orang kini dipindahkan selepas kadar hujan tertinggi dicatatkan dalam tempoh sedekad lalu.

Bencana banjir menyebabkan lebih 90 peratus wilayah kepulauan itu lumpuh dan merosakkan jalan raya, sekolah dan kemudahan asas lain.

Hainan diramal akan dilanda hujan lebih tinggi apabila ribut Megi dijadual membadai wilayah itu hujung minggu ini. - AFP

Saham PLUS Expressway turun

2010/10/18

KUALA LUMPUR: Saham pengendali lebuh raya bertol, PLUS Expressway Bhd di Bursa Malaysia susut selepas dagangan disambung semula hari ini.

Ia dibuka dua sen lebih tinggi pada RM4.48 tetapi 45 minit kemudiannya susut dua sen kepada RM4.44. Harga terendahnya sehingga kini pada RM4.40.

Saham syarikat itu digantung selama dua hari mulai Khamis minggu lalu bagi jangkaan rancangan untuk menswastakan PLUS Expressways Bhd.

Pada petang Jumaat, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat tawaran tunai bagi aset dan liabiliti pemegang konsesi lebuh raya itu pada RM23 bilion atau RM4.60 sesaham bagi PLUS.

Menggunakan perantara pelaburan bersama di mana unit milik penuh Khazanah, UEM Group, akan memiliki 51 peratus dan selebihnya oleh KWSP, tawaran berkenaan tertakluk kepada kejayaan penstrukturan semula perjanjian konsesi dengan terma yang dipersetujui.

Cadangan urusniaga berkenaan dikatakan penggabungan dan pemerolehan terbesar di Malaysia sehingga kini dan berkait dengan pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat yang tiada kenaikan dalam kadar tol bagi lebuh raya milik PLUS untuk lima tahun akan datang berkuat kuasa serta merta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, OSK Research berkata harga tawaran pada RM4.60 itu mewakili hanya sebahagian kecil 3.1 peratus premium kepada harga dagangan akhir pada RM4.46.
Tambahan pula, harga tawaran pada diskaun lima peratus kepada harga sasaran asas OSK pada RM4.84.

"Oleh itu pada pendapat kami, harga tawaran berkenaan seharusnya lebih baik. Memandangkan keadaan defensif PLUS disertai oleh dividennya yang konsisten, harga tawaran akan kelihatan di bawah nilai PLUS," katanya.

OSK Research juga percaya tawaran, dengan "premium kawalan" di atas harga sasarannya dalam jajaran RM4.80-RM5.00 akan diterima dengan lebih baik oleh pemegang saham. - BERNAMA

Taufan Megi landa Filipina

2010/10/18

MANILA: Taufan Megi melanda daratan sepanjang pantai timur laut Filipina dengan angin selaju 225 kilometer sejam, ribut terkuat yang melanda negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Ribuan penduduk mencari perlindungan manakala pihak berkuasa memberi amaran kepada jutaan penduduk dan pesawah di sepanjang laluan taufan itu supaya berwaspada terhadap kerosakan tanaman, kediaman dan kabel kuasa elektrik.

Ahli kaji cuaca, Robert Sawi, berkata pusat taufan itu menghempas daratan tengahari tadi di Teluk Palanan di negeri Isabela.

Katanya, banjir dan tanah runtuh mungkin berlaku ketika ribut itu melalui Pulau Luzon. - AP

Suri rumah ditahan khalwat terkejut kekasih suami orang

ALOR SETAR: Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang sanggup menyewa sebuah bilik motel di Jalan Pegawai, di sini, kelmarin semata-mata untuk memuaskan nafsu seksnya dengan seorang lelaki yang baru dikenali empat hari lalu.

Suri rumah berusia 26 tahun itu dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya dan mempunyai seorang anak tetapi berani berduaan-duaan dengan lelaki lain di sebuah bilik motel.


Mereka akhirnya dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam serbuan kira-kira jam 3 petang.


Wanita itu dikatakan terkejut apabila mengetahui pasangannya berusia 46 tahun dari Sungai Petani juga adalah suami orang dan mempunyai lima anak kerana sebelum ini, lelaki itu mendakwa masih bujang.


Wanita itu hanya mengetahui perkara itu ketika anggota penguat kuasa menyoal siasat mereka di pejabat agama sejurus selepas tangkapan.


Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, berdasarkan maklumat diterima, anggotanya bergegas ke motel terbabit dan mendapati sebuah bilik berkunci serta tertutup rapat.


Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka seorang lelaki yang mendakwa menyewa bersama `isterinya’.


“Selepas menyoal siasat pasangan itu, mereka akhirnya mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan apabila wanita terbabit mendakwa baru mengenali lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu empat hari lalu manakala lelaki itu juga mengaku sudah berkeluarga.


“Ketika ditahan, wanita itu hanya sempat memakai tuala kerana terkejut apabila pintu bilik diketuk berkali-kali oleh anggota penguat kuasa dan tidak sempat memakai baju manakala keadaan katil pula berselerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali.

“Kami akan melakukan pemeriksaan lebih kerap dalam usaha mencegah maksiat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018013433/Article/index_html

Remaja terkejut bawa pulang beg plastik berisi janin

KOTA KINABALU: Sangka seorang remaja beg plastik yang dibawa pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di pekan lama Inanam, di sini, kelmarin, mengandungi sesuatu yang berharga ternyata silap kerana ia sebenarnya berisi janin bayi dipercayai dibuang sepasang kekasih terlanjur.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Mohd Kharul Nizam Abdul Razak, 15, pada awalnya mengorek lubang di sebuah kawasan tanah lapang tidak jauh dari rumahnya selepas curiga dengan kelibat seorang wanita dan lelaki itu. “Pada mulanya saya ke tanah lapang itu menunggu kawan pulang dari kerja, namun tidak lama kemudian saya ternampak seorang wanita dan lelaki menaiki motosikal melintasi kawasan itu dalam keadaan tergesa-gesa sambil membawa satu bungkusan plastik.


“Saya sangka mereka hanya melalui kawasan itu tetapi mula pelik apabila lelaki terbabit memberhentikan motosikalnya sebelum melihat temannya duduk mencangkung menggali tanah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, kelmarin.


Khairul berkata, dia menyangka pasangan terbabit menanam sesuatu berharga dan selepas beberapa minit, mereka terus beredar.


“Selepas mereka beredar, saya ke tempat itu dan melihat kesan tanah seperti baru digali lalu menggali hingga menemui beg plastik hitam.


“Saya membawa pulang bungkusan itu ke rumah terletak kira-kira 100 meter dari kawasan lapang terbabit,” katanya.


Katanya, sebaik tiba berhampiran rumah, dia membuka plastik itu dan terkejut menemui ketulan daging kemerah-merahan seakan daging haiwan lalu memanggil kakak dan adiknya.


“Kakak saya yang memeriksa ‘daging’ berkenaan mengesahkan ia adalah janin manusia dan segera memberitahu ayah sebelum melaporkan kepada polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018013618/Article/index_html

Wanita hilang ditemui rakan berkeliaran

BUTTERWORTH: Seorang wanita, Siti Nor Paraf Ismail, 22, yang dilaporkan hilang sejak 25 September lalu ditemui lapan rakannya yang juga pekerja industri, berkeliaran tanpa tujuan dipercayai dipukau di Bayan Lepas, Rabu lalu.

Siti Nor Paraf kemudian dihantar rakannya ke pangkuan keluarga di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang.


Majlis akad nikah wanita itu dengan pasangannya dari Kampung Paya Keladi Hujung di Masjid Lahar Kepar sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober lalu terpaksa dibatalkan berikutan Siti Nor Paraf gagal ditemui keluarga dan rakannya.


Bapanya, Ismail Abdullah, 52, berkata anak ketiga daripada 10 beradik itu diserahkan rakannya dalam keadaan dipercayai dipukau selepas keluarga dan rakannya bertanyakan sesuatu mengenai kehilangannya.


Menurutnya, Siti Nor Paraf tidak mengetahui kejadian yang menimpa dirinya sejak 19 hari lalu termasuk menunjukkan gambar dan berita yang tersiar menerusi media cetak.


Katanya, dia kemudian membuat laporan mengenai kepulangan anaknya di Balai Polis Kepala Batas, Rabu lalu.


“Saya bersyukur kerana anak saya sudah kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018013644/Article/index_html

Lubuk maksiat

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sama ada suka atau tidak, Putrajaya antara ‘lubuk’ perlakuan maksiat sama ada membabitkan pasangan suami dan isteri orang yang berstatus kakitangan awam atau atau pasangan remaja yang kemaruk melakukan maksiat.

Kegiatan itu semakin menjadi-jadi berikutan sikap kebanyakan penghuni Islam di kuarters kerajaan dikenal pasti menggunakan pendekatan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ sehingga memudahkan perlakuan maksiat berleluasa.


Pengerusi Komuniti Presint 11, Carlos Basri, berkata dia pernah ditanya rakan dari luar Putrajaya yang mahu mengetahui tempat menarik di Putrajaya untuk melakukan maksiat bersama pasangan mereka.


Tanpa berselindung, Carlos mengakui terkejut apabila mereka beranggapan Putrajaya lokasi paling sesuai untuk melakukan maksiat.


“Kenyataan ini sukar diterima, tetapi hakikatnya perlakuan maksiat termasuk membabitkan suami dan isteri orang berstatus kakitangan kerajaan banyak dan kerap berlaku.


“Malah, lebih mengukuhkan dakwaan itu apabila beberapa pasangan berstatus kakitangan awam dicekup kerana berkhalwat di kuarters kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Carlos yang mendiami Presint 11, kira-kira 10 tahun lalu, berkata dia yakin kegiatan maksiat itu dilakukan kakitangan kerajaan yang mempunyai masalah psikologi dan terbawa-bawa ke pejabat sehingga menimbulkan masalah kepada orang lain.


Oleh itu, katanya, tidak hairan jika kakitangan terbabit dikesan turut menghadapi masalah moral termasuk melakukan maksiat dengan pasangan yang juga kakitangan kerajaan.


Tanpa berselindung, Carlos mengakui sedih dengan sikap penghuni Putrajaya yang tidak mengenali jiran sehingga mengundang kegiatan tidak bermoral di rumah jiran mereka.


Menurutnya, kebanyakan tangkapan khalwat dilakukan selepas pihak berkuasa agama memperoleh maklumat pihak ketiga dan bukan daripada jiran di kawasan berkenaan.


“Sikap ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak sihat kepada suasana bermasyarakat di kawasan berkenaan sehingga ‘orang luar’ menganggap Putrajaya tempat melakukan maksiat.

“Jadi, bukan satu yang pelik apabila wujudnya gejala maksiat termasuk khalwat membabitkan suami dan isteri orang yang semakin membimbangkan walaupun penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menjalankan operasi membanteras gejala itu,” katanya.


Carlos berkata, walaupun hampir 99 peratus penghuni di Putrajaya beragama Islam, mereka tidak memiliki semangat kejiranan yang kukuh bagi membantu penguat kuasa Jawi menangani gejala tidak bermoral terbabit.


Malah, katanya, sikap itu semakin memburukkan keadaan apabila premis milik kerajaan itu digunakan pemiliknya untuk melakukan maksiat.


Tanpa berselindung, Carlos berkata, walaupun pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan, tetapi kehadiran penghuni amat mengecewakan seolah-olah mereka bukan penghuni di kawasan itu.


“Bukan itu saja, penghuni juga tidak menggunakan surau untuk mengeratkan silaturrahim, tetapi lebih selesa ‘menyembunyikan’ diri di dalam rumah dan tidak mempedulikan jiran berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018014453/Article/index_html

'Jangan aniaya kami'

BANTAH...sebahagian daripada 24 keluarga di  Ladang Coalfield tuntut pampasan.
BANTAH...sebahagian daripada 24 keluarga di Ladang Coalfield tuntut pampasan.

KUALA SELANGOR: “Kami sudah tiga generasi tinggal di estet ini. Kami desak supaya diberi pampasan sewajarnya dan jangan aniaya kami sebegini,” kata R Lobat, 42, wakil penduduk di Ladang Coalfield, Sungai Buloh, Ijok, dekat sini, semalam.

Lobat mendakwa, seramai 24 keluarga yang mendiami perumahan di situ diberhentikan kerja awal tahun lalu selepas majikan menukar operasi ladang kepada kawasan perumahan menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan tetap dan lebih memilukan mereka diarahkan berpindah.


Katanya, penduduk di situ diberikan pilihan dengan membeli rumah kos rendah dengan harga RM42,000 dan diberi sejumlah pampasan, bagaimanapun mereka gagal mendapatkan pinjaman bank berikutan faktor usia dan tiada pendapatan tetap.


“Kami dijanjikan akan diberi rumah teres yang akan dibina di atas tanah seluas empat hektar dan wang pampasan RM30,000.


“Jadi, kami mahu tawaran itu, bukan diberi pilihan beli rumah kos rendah. Lagi pun mana kami nak cari duit untuk bayar dengan hanya bekerja sebagai pengutip bunga, buruh kasar, pencari besi buruk dan kelindan lori,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Difahamkan kira-kira 100 penghuni di situ turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) Dr Xavier Jayakumar, namun mereka masih gagal mendapatkan hak sewajarnya.


Penduduk turut membawa kes itu ke mahkamah melalui kesatuan pekerja ladang bagi menuntut hak mereka.


Lobat berkata, pihaknya terkejut selepas membaca laporan akhbar baru-baru ini yang dibuat Xavier mendakwa masalah mereka selesai, tetapi sebaliknya berlaku.


“Kenyataan itu mengelirukan. Kami tidak menerima sebarang jawapan pihak majikan mengenai pampasan yang dijanjikan itu dan kenyataan Xavier mengelirukan kami.


“Kami dianiaya. Kebanyakan penduduk di sini tidak tahu membaca dan menulis dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk aniaya kami,” katanya.


Penduduk, M Susila Kumary, 54, berkata dia mempunyai 10 anak dan menaruh harapan supaya diberikan hak sewajarnya.

“Saya tak tahu nak mengadu di mana, ada wakil rakyat, tetapi dia tak boleh membela nasib kami,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018014531/Article/index_html

Kereta melayang rempuh rumah



RUNTUH...kereta dipandu pelajar berusia 15 tahun menghempap dinding rumah.
RUNTUH...kereta dipandu pelajar berusia 15 tahun menghempap dinding rumah.

GEORGETOWN: “Saya nampak kereta itu tiba-tiba melayang dari arah jalan bertentangan sebelum merempuh tiang pembahagi antara rumah saya dan jiran,” kata pemandu lori, Khoo Beng Aik, 58, yang terkejut selepas rumahnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Jelutong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang remaja berusia 15 tahun merempuh tiang rumah milik Khoo dan jirannya menyebabkan sebahagian dinding rumah mereka runtuh dan menghempap kereta dinaiki remaja berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana remaja berkenaan sempat keluar dari kereta sebelum dinding rumah runtuh dan keluarga Khoo serta jirannya juga terselamat dalam kejadian itu.

Khoo berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menonton televisyen sebelum terkejut apabila kereta terbabit tiba-tiba merempuh dinding rumahnya menyebabkan gegaran kuat.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dinding tingkat atas rumah runtuh dan menghempap kereta berkenaan serta motosikal Khoo diletakkan di depan rumah berkenaan.

“Kami bernasib baik kerana hanya dinding di bahagian depan runtuh dan pemandu kereta berkenaan yang masih di bawah umur juga terselamat, namun kami masih lagi trauma dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, remaja terbabit yang berpakaian seperti pelajar sekolah agama juga dalam keadaan terkejut sebaik keluar dari kereta. Dia dipercayai gagal mengawal kenderaan itu akibat keadaan jalan licin selepas hujan.

Katanya, kereta berkenaan dipercayai dari Jelutong menghala ke pusat bandar raya dan selepas hilang kawalan, kereta berkenaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dinding rumahnya.

Sementara itu, jiran Khoo, seorang warga emas, Annie Lim, 72, berkata dia menyangka berlaku gempa bumi kerana gegarannya begitu kuat selepas kereta terbabit melanggar tiang rumah jiran sebelum keluar untuk meninjau.

Menurutnya, dia melihat pemandu muda itu menunggu di tepi jalan berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mohd Nor Md Sirat, berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.09 petang dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.


http://www.hmetro.com.my/articles/20101018013328/Article

'Abang datang cepat, saya takut'


Oleh Suhaidi Mohamed Amin
am@hmetro.com.my




HILANG...Sabariah  menunjukkan gambar anaknya, Rozaliya yang hilang  sejak 13 Oktober lalu.
HILANG...Sabariah menunjukkan gambar anaknya, Rozaliya yang hilang sejak 13 Oktober lalu.

KEMAMAN: “Sebelum itu mereka berdua sering berhubung melalui SMS dan ketika berada di Kuantan, Rozaliya ada menghantar dua SMS kepada tunangnya berbunyi ‘ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’,” kata Sabariah Mansor, 42, menceritakan kehilangan anaknya ketika membeli barangan persiapan perkahwinan bersama tunangnya, pada 13 Oktober lalu.

Pasangan itu dijangka berkahwin pada 12 November depan.

Gadis terbabit, Rozaliya Mat Lazim, 20, sebelum itu dikatakan keluar dari rumahnya di No 21, Peringkat Satu, Bandar Ceneh Baru di sini, bersama tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, untuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan mereka kira-kira jam 11 pagi Rabu lalu.

Sabariah ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, berkata pada hari itu anak gadisnya yang memakai blaus hitam dan jeans gelap, menaiki kereta tunangnya untuk ke bandar Kuantan.

Katanya, selepas membeli-belah di kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan, Mohd Helmi meminta kebenaran Rozaliya untuk pulang ke pejabat seketika kerana ada urusan penting untuk diselesaikan.

Sabariah berkata, Mohd Helmi meminta Rozaliya menunggunya di sebuah pasar raya besar berhampiran tempat mereka membeli-belah dan akan menjemputnya sekembali dari pejabat kira-kira jam 3 petang hari itu.

Dia berkata, mereka berbalas SMS dan dua SMS terakhir kepada tunangnya berbunyi ‘ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’.

Katanya, selepas itu Rozaliya tidak dapat dihubungi dan tunangnya berusaha mencarinya di beberapa kedai berhampiran termasuk di pasar raya tempat mereka membeli-belah sebelum itu sehingga jam 6 petang.

“Helmi menghubungi kami memaklumkan kehilangan Rozaliya dan kami sekeluarga bergegas ke bandar Kuantan untuk mencari Rozaliya tetapi sehingga jam 11 malam masih juga gagal menemuinya,” katanya.

Menurut Sabariah, mereka mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam hari sama.

Sehubungan itu, Sabariah merayu orang ramai mengenali atau mengetahui di mana Rozaliya berada segera menghubunginya di talian 019-9418016 atau 019-9178016 atau mana-mana balai polis berdekatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/20101018013739/Article

Terbayang maut ditikam perompak


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my




BERLUBANG...Noraini menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil perompak, semalam.
BERLUBANG...Noraini menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil perompak, semalam.


DISELONGKAR...kabinet televisyen diselongkar perompak terbabit.
DISELONGKAR...kabinet televisyen diselongkar perompak terbabit.

KUANTAN: “Ketika perompak itu berdiri di hujung katil, saya hanya terbayang akan ditikam, mati atau dirogol,” kata Nurul Asmidah Takuki, 20, menceritakan saat mencemaskan apabila rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Balok Pine, di sini, dimasuki lima perompak, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang daripada lima perompak terbabit dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan sebilah pisau mengopak pintu belakang rumah mangsa sebelum masuk ke satu daripada bilik dalam rumah berkenaan.



Nurul Asmidah berkata, sebelum kejadian, dia tidur lena dalam bilik sebelum terjaga dan terlihat kelibat mencurigakan berdiri di hujung katil.



Menurutnya, sebaik membuka mata, perompak terbabit yang tidak bertopeng menunjukkan pisau sambil memberi isyarat memintanya mendiamkan diri.



Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketakutan melihat wajah bengis perompak terbabit, dia menjerit memanggil ibunya, Noraini Aziz, 44, yang tidur bersama dua lagi adiknya berusia 11 dan 17 tahun di bilik bersebelahan.



“Perompak itu yang terkejut selepas mendengar suara ibu yang menjawab jeritan saya melarikan diri melalui pintu belakang.



“Selepas membuat pemeriksaan, saya mendapati tiga telefon bimbit bersama wang tunai RM20 dan dokumen penting hilang dipercayai dilarikan perompak terbabit mengakibatkan jumlah kerugian semuanya kira-kira RM400,” katanya di sini, semalam.



Menurutnya, dia tidak pasti bilangan sebenar perompak terbabit dan kenderaan yang dinaiki, tetapi yang jelas hanya seorang masuk ke dalam bilik tidurnya tanpa menutup muka sebelum lintang-pukang melarikan diri ketika ibunya datang ke biliknya.



Nurul Asmidah berkata, dia juga tidak pasti sama ada lima perompak yang ditembak mati polis berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota, di sini, pagi semalam mempunyai kaitan dengan kejadian samun di rumahnya.



Bagaimanapun, katanya, seorang pegawai polis datang ke rumahnya dengan menunjukkan gambar seorang daripada perompak terbabit dan dia mendapati wajahnya sama dengan perompak yang masuk ke bilik tidurnya.



“Saya mendapati pintu belakang dikopak perompak terbabit selain hanya memikirkan soal mati atau dirogol ketika berdepan perompak terbabit,” kata anak kedua daripada empat beradik.




Bagaimanapun, dia bersyukur tidak dicederakan perompak terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.



Sementara itu, difahamkan kira-kira jam 3 pagi selepas menyamun rumah berkenaan, kelima-lima penyamun dipercayai warga Indonesia itu ditembak mati polis selepas dikejar kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa.


http://www.hmetro.com.my/articles/20101018014209/Article

Malek Noor Imbas Lari Pakai Cawat

Isnin Oktober 18, 2010

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. - Foto oleh M AZHAR ARIF

JAGUH bina badan negara, Datuk Malek Noor,53, benar-benar berubah selepas meninggalkan bidang sukan yang telah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.

Sejak tahun 2002, Malek mula menyedari hidupnya selama ini banyak menyimpang dan dia sering terleka dengan segala keseronokan yang tiada penghujungnya.

Tapi lelaki ini merasakan dirinya amat bertuah kerana selepas meninggalkan dunia sukan, dia mendapat petunjuk untuk menjadi seorang manusia yang lebih berguna kepada agama dan dirinya sendiri.

Bersyukur kerana pada usia 46 tahun, Tuhan masih lagi menyayanginya, Malek menghabiskan masa dengan menguruskan lima buah syarikat yang antaranya ialah Sportec’s Divemate Sdn. Bhd., KK Design dan Universal Fitness and Leisure (UFL).

“Sekarang saya dah dapat merasai betapa bersihnya jiwa selepas meninggalkan dunia hidup saya yang penuh kemilau suatu ketika dahulu.

“Saya masih teringat peristiwa ketika saya mahu berubah, saya mengadakan pertunjukan bina badan di Hong Kong dengan memakai cawat. Ketika itu saya benar-benar rasa bersalah terhadap diri sendiri.

Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

“Apabila menang dalam pertandingan itu dan orang mahu ambil gambar, saya cepat-cepat lari masuk ke bilik,” katanya mengimbas kenangan silam.

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

Ujar Malek, tidak kiralah seseorang itu apa juga agamanya, bukanlah mudah untuk berubah kalau tidak ada kekuatan dan semangat terhadap agama dan Tuhan masing-masing.

Malah akui Malek dia juga amat sukar untuk menjauhkan diri dengan tempat maksiat sehinggalah dia cuba untuk tidak bergaul dengan orang yang selalu mengajaknya untuk berada di tempat-tempat itu.

Menurut Malek, selepas insaf dengan keseronokan dunia yang dilaluinya barulah dia terasa banyak perkara yang ingin dilakukannya tidak kesampaian lebih-lebih lagi hajatnya seperti mahu mencium arwah ibunya sepuas-puas hati.

Dalam pada itu, Malek juga enggan mengejar harta yang dianggapnya tidak dapat dibawa ke mana-mana kerana dia berpendapat harta juga boleh mengubah seseorang menjadi tamak dan bangga diri.

“Dulu pernah sekali saya membeli jam tangan berharga RM140,000 ketika mahu pergi bersyarah di sebuah tempat di Kedah. Bila saya pergi ke tandas, ia tercicir dan saya hanya sedar ketika mahu pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya tak kesal jam itu hilang kerana saya anggap ia mungkin bukan rezeki saya. Siapa yang jumpa itu, rezeki dialah,” katanya yang pernah membintangi filem Juara dan Ujangsebagai pelakon utama tidak lama dulu.

Sementara itu, walaupun sudah dua kali bercerai, Malek masih lagi mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan sebagai isterinya.

Bagaimanapun segala-galanya diserahkan kepada Tuhan untuk menentukan jodohnya itu.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/18/mstar_hiburan/20101017160457&sec=mstar_hiburan

Bakal Pengantin Dicekup Kerana Samun Bersenjata

Ahad Oktober 17, 2010

ALOR SETAR: Seorang bakal pengantin dicekup kerana dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata ke atas beberapa stesen minyak di sekitar Kota Setar, Jitra dan Kangar.

Suspek yang berumur 22 tahun itu dicekup di Gunung Keriang pada 8 Okt lalu, iaitu dua hari sebelum dia akan berkahwin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata bakal pengantin tersebut turut dikehendaki berhubung satu kes rogol di Kuala Nerang dua tahun lalu.

Sehari sebelum suspek ditahan, seorang rakan suspek yang berumur 25 tahun turut ditahan di Pokok Sena.

Beliau berkata kedua-dua suspek aktif menyamun sejak April lalu dan sehingga Oktober lepas, sebanyak 19 buah stesen minyak dan sebuah kedai serbaneka di Pokok Sena telah mereka samun yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM35,000.

Mereka didapati menggunakan senjata seperti parang, pisau dan pistol tiruan dan pernah menikam seorang juruwang sebuah stesen minyak tersebut.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mereka akan meninjau terlebih dahulu stesen-stesen minyak. Sekiranya tidak ada pelanggan ketika itu, mereka akan masuk ke dalam stesen minyak dan menyamun wang di kaunter juruwang.

"Seorang akan masuk ke dalam stesen minyak dengan memakai topi kaledar dan seorang lagi akan menunggu dengan motosikal di luar stesen minyak," kata Abdul Ghafar.Selepas menyamun, mereka akan menukar nombor plat motosikal mereka, katanya.

Polis turut merampas tiga buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk menyamun, dua pucuk pistol tiruan dan sebilah pisau daripada kedua-duanya.

Mereka kini ditahan reman sehingga 25 Okt ini.-BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/17/mstar_jenayah/20101017195203&sec=mstar_jenayah

Parlimen – Guan Eng Gesa Kerajaan Kaji Semula Kenaikan Elaun JKKK

Published: Isnin Oktober 18, 2010 MYT 2:14:00 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pembinaan projek mega namun tiada pemberian bonus kepada kakitangan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keputusan kerajaan menaikkan elaun JKKK namun tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat di negara ini.

“Kita mendapat maklum balas yang negatif daripada rakyat kerana mereka rasa kurang senang hati dengan Belanjawan 2011.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan boleh menaikkan elaun JKKK daripada RM450 kepada RM800 sedangkan mereka tidak mampu membayar bonus kepada kakitangan awam.

“Bukan itu sahaja, kerajaan mahu membina bangunan Warisan Merdeka berharga RM5 bilion. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Kalau elaun dinaikkan ia perlu diberikan kepada semua. Kalau tak ada tak perlu beri,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan kenaikan elaun bulanan Pengerusi JKKK dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Bukan itu sahaja, kerajaan turut meluluskan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka itu dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara termasuk pembinaan sebuah menara 100 tingkat di Malaysia.

Malah Setiuasaha Agung DAP itu juga menyelar tindakan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

“Kenaikan cukai ini akan hanya membebankan golongan miskin kerana mereka tidak mampu untuk menampung kenaikan kos perkhidmatan tersebut.

“Ini adalah bentuk hiburan kepada orang miskin. Kita harap ia boleh dikaji semula, kerana ini akan menembahkan beban kepada rakyat Malaysia sebanyak RM597 juta dengan kenaikan cukai perkhidmatan ini,” katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/18/mstar_berita/20101018141117&sec=mstar_berita

Gempa Bumi Lemah Dikesan Di Tawau Awal Pagi Tadi

Isnin Oktober 18, 2010

TAWAU: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Tawau kira-kira jam 4.37 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi di sini menyebut bahawa pusat gegaran itu dikesan di latitud 4.4 Utara dan longitud 118.1 Timur iaitu lapan kilometer dari barat laut Tawau.

Menurut kenyataan itu, gegaran lemah dapat dirasai di sekitar Tawau dan jabatan itu sedang memantau perkembangan berkenaan dan akan memaklumkan orang ramai jika ada perkembangan terbaru. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/18/mstar_berita/20101018120848&sec=mstar_berita


'Diracik, dimandi dan dikebumi'




EMPAT tahun lalu, Rahmat Mahdan, 52, sedih apabila melihat taburan kertas yang tertera ayat-ayat suci al-Quran di sebuah pusat pengumpulan barang kitar semula.

Perasaan sayu itu lantas membuatkannya terdetik untuk melakukan sesuatu.

Demi mengelakkan keadaan tersebut daripada terus berulang, dia berazam untuk mendapatkan ruang sempurna bagi mengurus dan menyelamatkan wahyu Allah itu daripada dibiarkan sebegitu.

Nalurinya ternyata gusar apabila memikirkan tentang sikap tidak peduli segelintir umat Islam mengenai perkara itu.

Memang adakalanya, ayat- ayat al-Quran yang sudah terkoyak daripada kitabnya atau daripada petikan bahan bacaan ilmiah lain tidak lagi boleh disimpan atau dimanfaatkan. Namun, membuang dengan sesuka hati bukanlah jawapannya.

“Masyarakat pada hari ini mudah menyerahkan segala urusan kitar semula menggunakan khidmat pengumpul surat khabar lama yang selalu datang ke kawasan kediaman dengan lori.

“Lebih menyayat hati apabila bahan bacaan yang hendak dilupus itu terkandung ayat-ayat suci al-Quran.

“Adakah mereka terfikir tentang ‘nasib’ kesucian wahyu Allah itu?” keluh pemilik dan peneraju syarikat Percetakan Saufi Sdn. Bhd. tersebut.

Dia bagaimanapun tidak menafikan faktor kesibukan urusan kerja menjadikan segolongan orang terlupa akan hal itu.

Rahmat mula berfikir panjang untuk berbakti atas matlamat melindungi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah.


LAMBAKAN al-Quran dan buku ilmiah menunggu waktu dilupuskan.


Sebagai langkah awal, Rahmat mengumpulkan pandangan daripada beberapa orang tokoh agama seperti Imam Satu masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Moghni Israri dan Pengetua Darul Quran Selangor, Ustaz Azahari Othman.

Malah, kunjungan tenaga pengajar dari Masjidil Haram, Mekah, Dr. Syeikh Md. Idrees Al-Mashrafe ke Malaysia juga menjadi peluang buat Rahmat merujuk kepadanya mengenai hal tersebut.

Selanjutnya, Rahmat mengambil inisiatif dengan melihat sendiri cara terbaik pelupusan al-Quran di beberapa buah negara terpilih.

“Tiga tahun lalu saya berkesempatan ke beberapa lokasi seperti Hanoi, Singapura, Indonesia dan Syria untuk menimba pengalaman kerana saya sangat berhajat untuk membuka tapak khas bagi pengurusan pelupusan ayat-ayat suci.

Memelihara dan melupus

“Ayat suci al-Quran ini tidak akan dicampurkan dengan sebarang bahan bacaan lain. Saya mahu memeliharanya sebaik mungkin dan melupuskannya dengan cara betul,” terangnya.

Rahmat juga memberitahu, kebiasaannya sesetengah orang Islam memilih untuk membakar dan menanam ayat-ayat suci itu.

Bagaimanapun, jika diamati, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya apabila ia dibakar dengan cara biasa.

Malah ketika dibakar, serpihan itu mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat yang masih tertera. Jadi, proses itu tidak mampu melupuskannya dengan sempurna.

“Ramai yang pilih untuk membuat cara begitu, kemudian ditanam. Tetapi jika ia ditanam di kawasan yang cenderung menjadi laluan orang ramai, ia tetap meragukan kerana kalimah al-Quran tidak boleh dilangkah,” jelasnya yang antara lain mengingatkan orang ramai tentang ‘nasib’ potongan ayat al-Quran yang turut terdapat dalam sesetengah kad jemputan perkahwinan.

Hajat terlaksana

Berkat kesungguhan mengejar matlamatnya, Rahmat kini mampu menarik nafas lega kerana dikurniakan rezeki untuk menyediakan sebidang tanah sebagai tapak pelupusan al-Quran.

Terletak di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor, lokasi itu menempatkan sebuah gudang yang dipenuhi timbunan al-Quran lama, hadis dan buku pembelajaran agama.

Di situ, kelihatan dua orang pekerja wanita tekun mengoyakkan helaian buku satu persatu.


INSINERATOR rekaan Rahmat perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum proses pelupusan dimulakan.


“Kertas-kertas itu diasingkan mengikut kategori. Helaian al-Quran tidak dicampur dengan helaian bahan bacaan lain. Proses itu perlu dipastikan dahulu sebelum ia dimasukkan ke dalam mesin peracik khas,” ujarnya yang ketika ini menghadapi cabaran mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi.

“Saya kadangkala terpaksa menolak jika ada pihak yang mahu menghantar bahan untuk dilupuskan dalam kuantiti yang banyak. Bukannya tidak mahu terima tetapi kapasiti gudang dan tenaga kerja saya belum mengizinkan.

“Tetapi kalau setakat sekotak dua, saya masih terima,” ujar Rahmat yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam bidang percetakan.

Sementara itu, sebuah mesin pembakar khas (insinerator) ditemui krew Kosmo! di luar gudang tersebut. Diperbuat daripada keluli tahan karat, rekaannya mendapat sentuhan idea Rahmat sendiri dan ditempah khas setelah menimba pengetahuan sepanjang lawatannya ke beberapa buah negara sebelum ini.

“Maaf, kos mesin ini tidak boleh saya dedahkan. Yang pasti, apabila kita mereka sendiri, ia lebih murah. Nilainya tidak penting, paling utama saya mahu mendapat sokongan masyarakat untuk sama-sama berkongsi menyelamatkan al-Quran,” katanya.

Suhu 700 darjah Celsius

Proses pembakaran dilakukan secara berkala iaitu dua kali seminggu. Setiap kali sesi membakar, mesin itu dipanaskan terlebih dahulu dan ia mengambil masa selama enam jam.

Tempoh itu diperlukan bagi mencapai tahap suhu sehingga 700 darjah Celsius dan ketika itu barulah kertas-kertas dimasukkan dan dapat dibakar sepenuhnya sehingga hancur. Untuk proses pembakaran yang selesai dalam masa 30 minit itu sahaja, sebanyak empat tong gas diperlukan.

“Hasil daripada pembakaran itu, bahan bakar itu menjadi abu yang kemudian terkumpul di bahagian bawah dan belakang mesin pembakar itu,” terang Rahmat yang lazimnya akan menyudahkan sendiri proses tersebut.


SEORANG petugas sedang meracik helaian kertas yang sudah diasingkan mengikut kategori.


Menurutnya, pendekatan seperti membuang abu ke laut tidak digunakan kerana ia mungkin berhadapan dengan masalah. Antaranya adalah abu tersebut tidak tenggelam atau mengalir dengan teratur.

“Faktor cuaca seperti angin juga boleh menolak haluan abu tersebut. Silap perhitungan, habis muka dan badan melekat dengan abu itu,” selorohnya sambil tergelak kecil.

Maka, langkah seterusnya adalah dengan meletakkan abu tersebut di dalam bekas dan ‘dimandikan’. Abu terbabit digaul rata dengan air untuk memudahkannya dimasukkan ke dalam tong.

Tanpa perlu tong-tong itu dibawa jauh, Rahmat telah pun menyediakan telaga khas di kawasan yang sama. Dibina sedalam 3.5 meter, telaga itulah tempat ‘persemadian’ akhir bagi abu tersebut.

“Kita akan ‘kebumikan’ abu tadi ke dalam telaga ini. Proses ini menjimatkan masa, tenaga dan pengangkutan kerana pengurusan satu tan abu boleh disiapkan dalam masa 20 minit,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...