Thursday, April 29, 2010

'Saya sudah dicerai'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

2010/04/29

KUALA LUMPUR: “Biarlah mahkamah dan undang-undang tentukan sama ada saya bersalah atau tidak kerana berkahwin lain walaupun suami mengatakan saya masih lagi isterinya yang sah,” kata wanita yang dilapor ‘memadukan’ suaminya.

Suaminya seorang pemandu teksi, Azman Ahmad, 49, mendakwa dia berkahwin lain sedangkan masih bergelar isteri yang sah.


Wanita terbabit yang tidak mahu dikenali berkata, dia tidak tahu motif sebenar lelaki itu mengatakan mereka masih suami isteri sedangkan suaminya sudah melafazkan talak kepada dia di depan dua ahli keluarganya dan bukan secara terpaksa seperti didakwa.


Menurutnya, dia juga agak terkejut dengan pendedahan suaminya itu kerana mereka sebelum ini tiada sebarang masalah dan selalu berhubung antara satu sama lain, sekalipun sudah hidup berasingan.


“Dia tahu saya tinggal dan bekerja di mana serta sering berhubung melalui telefon. Saya tidak faham kenapa dia buat macam ini dan saya serahkan kepada pihak berkuasa tentukan kedudukan kami yang sebenar.


“Mungkin ada sedikit kekeliruan dan salah faham berhubung kes kami ini, saya juga tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal itu cuma berharap ia dapat diselesaikan dengan cara baik dan segera,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya lagi, memang betul dia tinggalkan suami dan rumah, namun itupun selepas suaminya berkahwin lagi satu dan dia mendapatkan kebenaran tinggal berasingan.


“Mana mungkin saya boleh tinggal satu bumbung dengan ‘madu’ saya dan berkongsi kasih, saya ambil keputusan untuk tinggal di rumah lain selepas berbincang dan mendapat persetujuan suami,” katanya.

Menurut wanita itu lagi, dia memang sudah berkahwin lagi dan suami barunya itu tahu mengenai kedudukannya serta hubungan mereka masih baik sekalipun selepas membaca dakwaan suami lama. “Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkahwinan saya itu, biar masa dan keadaan yang tentukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayasudahdicerai/Article

Penyamun hotel

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Memperkenalkan diri sebagai anggota polis, enam individu dikenali sebagai ‘Geng Kecik’ dikesan melakukan samun terhadap mangsa terutamanya yang menginap di hotel bajet atau mana-mana lokasi terpencil sekitar Brickfields, di sini.

Difahamkan kumpulan terbabit dipercayai meneruskan kegiatan jenayah tanpa dibimbing ketua mereka yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan bunuh.


Orang kanan kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Moon, berusia lingkungan 20-an dipercayai menjadi peneraju utama kumpulan penjenayah itu berikutan ketiadaan ketua kumpulan mereka.


Ketua Polis Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia 27 tahun yang menginap di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Sambanthan menjadi mangsa kumpulan terbabit.


“Dalam kejadian kira-kira jam enam pagi itu, bilik yang disewa diketuk bertalu-talu sebelum mangsa membuka pintu dan mendapati lima suspek berdiri di luar dan berpakaian biasa.


“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis sebelum mangsa kmembenarkan mereka memasuki bilik yang disewa bersama pasangannya itu,”
katanya di sini, semalam Sebaik memasuki bilik berkenaan, katanya penjenayah mengugut pasangan berkenaan supaya menyerahkan telefon bimbit dan barangan berharga lain termasuk wang tunai, malah sempat merakamkan gambar mangsa dan pasangannya dipercayai bagi tujuan jahat.


Sejurus kejadian mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.


Berikutan laporan itu polis menahan lima lelaki terbabit bersama seorang lagi rakan mereka di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, di sini awal pagi kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyamunhotel/Article

Dibelasah separuh mati

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin menjadi hero bagi mempertahankan maruah kekasih Melayunya daripada diusik sekumpulan penyangak miang, seorang pelajar Nigeria parah dibelasah lebih 10 lelaki tempatan yang ‘naik hantu’.

Difahamkan mangsa yang berusia 20-an dipukul beramai-ramai oleh samseng bersenjatakan botol arak, besi dan topi keledar ketika menyerang mangsa di hadapan sebuah restoran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar kolej singgah di sebuah restoran di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, untuk menjamu selera.


Menurutnya, mangsa ditemani seorang lagi rakan lelakinya warga Afrika berusia 20 tahun ketika keluar bersama teman wanitanya itu.


“Namun ketika sedang berbual dengan kekasihnya, seorang lelaki tempatan yang duduk tidak jauh dari meja makan mangsa bertindak nakal mengusik gadis itu tanpa menghiraukan kehadiran lelaki Afrika berkenaan.


“Tindakan berulang kali suspek menyebabkan lelaki Afrika itu bangkit sebelum menegur perbuatan kumpulan lelaki berkenaan mengganggu teman wanitanya,”
katanya.


Namun, teguran mangsa menyebabkan seorang daripada suspek berang sebelum meluru lalu menghentam kepala mangsa dengan botol arak sekuat hati hingga pecah.


“Pada masa sama, beberapa rakan semeja suspek juga meluru sebelum membelasah mangsa dan rakan lelakinya beramai-ramai di hadapan teman wanita mangsa. “Ketika itu, gadis terbabit hanya mampu menjerit ketakutan dan meminta tolong, namun beberapa pelanggan lain yang berada berhampiran restoran itu tetapi enggan menghulurkan bantuan,” katanya.


Menurutnya, tidak berapa lama kemudian muncul lima motosikal model Honda EX5 dinaiki lima lagi rakan suspek yang turut sama membelasah dua pelajar Afrika berkenaan.

“Berdasarkan laporan, seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau menikam perut seorang mangsa selain mencederakan muka pelajar berkenaan yang dibelasah separuh mati.


“Difahamkan, seorang mangsa cuba lari sebelum dikejar kumpulan suspek. Mangsa bagaimanapun terjatuh di kawasan meletak kereta berhampiran sebelum dibelasah sekali lagi dengan besi dan topi keledar,”
katanya.


Menurutnya, suspek yang puas membelasah mangsa sehingga cedera parah kemudian melarikan diri dengan meninggalkan mangsa dalam keadaan pengsan.


“Pada masa sama seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian menghubungi pusat kawalan polis Kuala Lumpur memaklumkan kejadian itu sebelum polis bergegas ke sana.

“Susulan itu, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.


Berdasarkan laporan polis, seorang mangsa yang berjaya lari menaiki kereta pulang ke rumahnya di Ampang. Mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital oleh pengawal keselamatan di pangsapurinya.


“Suspek juga melarikan barang berharga mangsa antaranya pasport, dompet duit, telefon bimbit dan jam tangan yang semuanya bernilai RM2,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dibelasahseparuhmati/Article

Baling batu larikan beg

2010/04/29

SHAH ALAM: “Ketika berlaku tarik menarik, lelaki itu membaling objek dipercayai batu ke arah saya sebelum melarikan beg tangan dan lari bersama seorang lagi rakannya,” kata Nor Aida Muhamad, 37, mangsa ragut di hadapan rumahnya di Jalan Platinum 7/44, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, ahli perniagaan itu mahu masuk ke dalam kereta jenis Toyota Alphard, selepas menyerahkan dokumen kepada suaminya yang berada di dalam satu lagi kenderaan.


Sejurus kemudian seorang lelaki berusia awal 30-an memakai topi keledar bertutup penuh tiba-tiba muncul dan membuka pintu kenderaan sebelum menyambar beg tangan mangsa dan melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama rakannya.


Selepas melarikan diri, suami mangsa yang memandu Mini Cooper mengejar suspek hampir 200 meter sebelum melanggar belakang motosikal itu di simpang Jalan Platinum menyebabkan penjenayah dan motosikalnya terjatuh.


Kebetulan ketika kejadian, beberapa anggota polis dalam perjalanan ke sebuah kedai berhampiran untuk bersarapan melihat kejadian itu, dan dengan bantuan beberapa orang awam, mereka berjaya mengejar suspek dan menahan seorang daripada mereka.


Menceritakan kejadian itu, Nor Aida berkata, dia mahu ke Seksyen 6, di sini untuk membasuh kereta manakala suaminya hendak ke tempat kerja.


“Saya belum lagi pegang stereng kereta apabila tiba-tiba lelaki itu muncul dan berlaku tarik-menarik hampir seminit menyebabkan saya menjerit sekuat hati.


“Ekoran kejadian ini, bahu saya sakit, tapi bersyukur saya dan suami tak cedera dan beg tangan ditemui kembali,”
katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 7, di sini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Balingbatularikanbeg/Article

Serbu, gigit, samun

Oleh Sarah Zulkifli

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Taktik seorang penyamun wanita dipercayai terdesak agak pelik apabila sanggup bertindak nekad menggigit tangan mangsa dengan kuat terlebih dulu sebelum menyamunnya.

Difahamkan, taktik itu menyebabkan mangsa kesakitan dan kehairanan sebelum disamun wanita terbabit dengan merampas dompet dan membiarkan mangsa di tempat kejadian terpinga-pinga seorang diri.


Dalam kes kira-kira jam 6 pagi semalam, seorang wanita pekerja kilang 20-an disamun wanita terbabit berhampiran Jalan Pudu di sini.


Menurut sumber, ketika kejadian mangsa sedang berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri seorang wanita tidak dikenali berusia lingkungan 30-an.


“Mangsa bagaimanapun terkejut apabila wanita terbabit tiba-tiba menerkam ke arahnya dari belakang menyebabkan dia terpinga-pinga dengan tujuan wanita berkenaan. “Pada masa sama, penjenayah berkenaan yang tidak membawa senjata itu, sebaliknya nekad menggigit tangan mangsa,” katanya semalam.


Mangsa dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kesakitan akibat digigit di tangan selain kehairanan dengan kejadian menimpanya.


Sumber itu berkata, wanita terbabit kemudian mengambil beg duit yang diletakkan di poket seluar mangsa. “Penjenayah yang memperoleh dompet, termasuk wang berjumlah kira-kira RM100 dan dokumen perjalanan milik mangsa kemudian melarikan diri menyebabkan mangsa terkial-kial tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya.


Susulan kejadian itu, mangsa segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Serbu_gigit_samun/Article

e-mel anda: Nasib malang wanita

2010/04/26

MALANG sungguh bagi kaum wanita di negara ini apabila berlaku sesuatu musibah atau teraniaya selalunya mereka ini dipersalahkan dan jarang mendapat pembelaan, malah dituduh dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa terutama masyarakat sekeliling.

Kaum hawa ini selalu menjadi alat memuaskan hawa nafsu lelaki berhidung belang hanya dengan diumpan pujuk rayu atau wang ringgit serta kadangkala dalam paksaan.


Apabila tertipu dan menyerahkan segala-galanya, lelaki itu akan menghilangkan diri dan tinggallah wanita terbabit terkontang-kanting dan yang hanya ditinggalkan ialah benih zuriat dan wanita berkenaan mengusung kandungan anak luar nikah ke hulu ke hilir.


Dalam keadaan perut membusung selain dihantui perasaan bersalah, pelbagai tanggapan bermain di benak. Antaranya takutkan hukuman jika rahsia bocor, dimalukan masyarakat, tidak mampu menyara bayi dan kesukaran menamakan anak di Jabatan Pendaftaran Negara.


Maka, ada yang mencari jalan singkat menghapuskan bayi tidak berdosa itu lalu dibuangkan ke merata tempat seperti di tong sampah atau jika bernasib baik ditinggalkan di pintu masjid.


Itulah senario yang berlaku boleh dikatakan setiap bulan dengan puluhan bayi menjadi mangsa di atas kezaliman ibu kandungnya sendiri.


Wanita tempatan juga mudah terpedaya sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan mereka ‘keldai’ membawa dadah dalam beg pakaian atau bungkusan untuk pasaran luar negara.


Golongan ini selalunya teraniaya dan apabila tertangkap di lapangan terbang di luar negara, barulah tahu mereka tertipu dan terpaksa meringkuk dalam penjara atau dihukum gantung mengikut undang-undang negara berkenaan.


Pembekal atau pemilik dadah pula terlepas tanpa ada sebarang tindakan. Berdasarkan laporan media, ketika ini, ratusan wanita kita tertangkap dan dikenakan hukuman di luar negara kerana dadah.

Ramai wanita kita juga menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi terutama daripada suami sendiri tanpa mendapat pembelaan sewajarnya, malah mereka dipersalahkan masyarakat kerana menganggap wanita itulah yang bersalah dituduh tidak tahu menjaga suami dan keluarga.


Apabila sudah jemu dibiarkan tanpa pembelaan yang akhirnya berlakulah perceraian dan kadangkala si suami menghilangkan diri dan si isteri pula terbiar tergantung tidak bertali.


Paling malang apabila mereka ini ditinggalkan tanpa sesen pun dengan anak yang masih kecil. Apabila dibawa ke mahkamah syariah kadangkala bertahun pula untuk mendapatkan penyelesaian disebabkan pembicaraan yang berlanjutan.


Wanita Melayu yang berstatus janda sukar pula berkahwin semula kerana terkongkong dengan adat resam, tetapi berlainan pula dengan lelaki paling mudah bernikah dengan sesiapa dan pada bila-bila masa saja. Selain itu, wanita kita juga mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki Lombok, Indonesia yang melarikan mereka balik ke Lombok dan apabila kehidupan serba serbi susah di sana, barulah meminta bantuan untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Wanita Melayu terutama remaja perlu bimbingan dan hendaklah diberikan penerangan masalah di luar sana supaya mereka lebih berwaspada dengan tipu muslihat dan pujuk rayu sindiket yang cuba mencari keuntungan atau mengambil kesempatan ke atas mereka.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Nasibmalangwanita/Article/index_html

Penangan ‘Tuan Haji’

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/04/26

KUALA LUMPUR: Cukup licik apabila seorang lelaki berusia lewat 40-an dikesan menggunakan perwatakan alim dan kebijaksanaannya dalam bidang agama untuk meyakinkan mangsa supaya melabur dalam bidang perniagaan batu permata bersamanya sebelum menghilangkan diri.

Difahamkan, lelaki yang popular dengan panggilan Tuan Haji itu mensasarkan ahli perniagaan untuk dijadikan mangsanya.


Malah, kesabaran dan kelicikan suspek dalam mengatur perangkap dengan mengambil sedikit masa bagi mengenali mangsa dikatakan satu helah yang cukup ampuh.


Tidak cukup dengan itu, Tuan Haji terbabit turut memukau mangsanya dengan menunjukkan beberapa butir batu permata miliknya berharga puluhan ribu ringgit ketika cuba meyakinkan mereka.


Selepas itu, lelaki terbabit berpura-pura menawarkan peluang menjadi rakan kongsinya, selain menjanjikan pulangan berlipat ganda kepada mangsa sekiranya bersetuju menyertainya.


Itulah taktik dilakukan lelaki terbabit untuk menipu puluhan ahli perniagaan sebelum melarikan ratusan ringgit wang yang dilaburkan mangsa.


Dalam kejadian terbaru, seorang ahli perniagaan berusia 40-an mendakwa kerugian lebih RM200,000 apabila wang pelaburannya dilarikan lelaki durjana itu.


Menurut sumber, mangsa dikatakan mula mengenali lelaki berkenaan pada September tahun lalu apabila lelaki memperkenalkan diri sebagai Tuan Haji itu menghubunginya sebelum mengaturkan pertemuan untuk membincangkan mengenai perniagaan batu permata.


“Ahli perniagaan yang berminat bersetuju bertemu lelaki terbabit di sebuah hotel di Ampang sebelum perbincangan dilakukan.

“Ketika itu, lelaki terbabit meminta mangsa supaya melabur sejumlah wang bagi perniagaan itu sebelum suspek turut berjanji wang berkenaan dipulangkan semula, termasuk dengan untung yang dibahagi dua,” katanya.


Ahli perniagaan yang masih berasa ragu dengan pelaburan itu ditunjukkan sebutir batu permata yang dikatakan bernilai dan bermutu seberat kira-kira 100 kilogram. Disebabkan percaya dan terpedaya dengan janji manis ditabur Tuan Haji itu, lelaki berkenaan bersetuju membuat pelaburan.


Sumber itu berkata, mangsa diarahkan memasukkan wang pelaburan seperti dipersetujui secara berperingkat ke dalam akaun bank dipercayai milik suspek berjumlah lebih RM200,000.


“Selepas memasukkan wang, mangsa dikatakan menunggu wang keuntungan perniagaan berkenaan seperti didakwa suspek.

“Namun, apabila tiba hari dijanjikan, Tuan Haji berkenaan tidak menghubunginya menyebabkan mangsa menjadi risau dia berkemungkinan menjadi mangsa tipu,” katanya.


Telahan hatinya ternyata benar apabila dia cuba menghubungi Tuan Haji berkenaan, namun gagal menyebabkan dia yang rasa tertipu kemudian membuat laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penangan__8216_TuanHaji__8217_/Article/index_html

'Saya hanya jawab soalan berpolitik dalam masjid'

2010/04/26

KOTA BHARU: “Saya tidak tahu langsung, dia (wartawan) tanya pun tak terbabit dengan Sultan. Seorang wartawan tanya saya bagaimana masalah politik dalam masjid...itu saja,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengakui hanya menjawab pertanyaan wartawan berhubung pendapatnya mengenai berpolitik di masjid dan tidak tahu soalan itu berkaitan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


“Saya dukacita yang amat sangat atas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa sudah melanggar titah Sultan Selangor.


“Saya langsung tidak terfikir untuk melanggar titah...seorang wartawan tanya saya bagaimana politik dalam masjid.


“Saya jawab, kita ada dua perkara, yang pertama politik dan yang kedua parti...politik di mana-mana boleh sebut..masjid tempat politik...azan dilaung oleh bilal, ini politik, panggil orang ramai (sembahyang),” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, semalam.


Sebelum itu, beliau berada di Hulu Selangor bagi membantu kempen calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayahanyajawabsoalanberpolitikdalammasjid/Article/index_html

Minda: Mana pergi undi Ah Lan?

2010/04/27

DI mana Alan dan Ah Lan? Ketika Kamal memberikan hentakan kuat dan Nathan mula berpaling memberikan sokongan, kelibat Alan dan Ah Lan tampak masih meragukan.

Malah, ketiadaan satu lagi watak daripada gabungan nama Ahli Parlimen baru Hulu Selangor, P Kamalanathan itu menimbulkan suasana sedikit gusar di pekarangan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru iaitu lokasi pusat penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil kawasan itu, malam kelmarin.


Pada awal sesi penjumlahan undi kira-kira jam 6 petang Ahad, undi pos memberikan calon Barisan Nasional (BN) itu majoriti 647 undi berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.


Menerusi dua skrin putih di pekarangan dewan itu, orang ramai dan wakil media dapat melihat perkembangan pengiraan undi, tetapi keselesaan BN tidak bertahan lama apabila peti undi dari dewan mengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina dibawa masuk.


Bermula peti undi kelapan daripada keseluruhan 137 peti undi, Zaid memintas dan mendahului dengan majoriti 23 undi apabila mengumpul 1,439 manakala Kamalanathan (1,416 undi) dan sejak itu, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu terus mendahului termasuk memiliki majoriti sehingga 1,532 undi pada peti undi ke-61.


Ketika itu, sudah timbul tanda tanya mengenai peluang BN merampas kembali kerusi Hulu Selangor daripada PKR dan paparan demi paparan pada papan putih disambut dengan laungan penyokong PKR, yang berkubu di kawasan masjid, tidak jauh dari dewan berkenaan.


Namun kemunculan peti undi dari kawasan didominasi masyarakat Melayu termasuk tanah rancangan Felda dan dibantu pula undi masyarakat India mula mengurangkan jurang majoriti Zaid dan ketika peti undi ke-101, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan hanya memiliki majoriti 119 undi saja.


Peralihan dan penguasaan semula itu menjelmakan kelegaan kepada BN sebelum kemunculan Kamalanathan dan isteri, S Shobana serta rombongan ke pintu masuk dewan berkenaan kira-kira jam 8.25 malam, menguatkan telahan pada BN sudah menang.


Kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga ‘panglima perang’ bagi pilihan raya Hulu Selangor, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan dewan kira-kira lima minit kemudian mengesahkan bahawa BN sudah merampas kerusi itu diikuti ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kira-kira jam 9 malam.

Pada papan skrin pula, penguasaan Kamalanathan semakin ketara dan pada peti undi ke-121, dia mendahului majoriti 1,035 undi sebelum peti undi terakhir iaitu ke-137, mengesahkannya sebagai Ahli Parlimen baru dengan 24,997 manakala Zahid (23,272) iaitu majoriti 1,725 undi atau 3.57 peratus.


Sebelum 48,945 atau 75.87 peratus penduduk Hulu Selangor keluar mengundi, Muhyiddin menjangkakan BN mampu menang dengan majoriti lebih besar, tetapi sudah pasti, ketiadaan sokongan Alan dan Ah Lan hampir meranapkan impian berkenan.


Mujur jentera BN bertindak bijak dan tepat dua hari sebelum hari pengundian iaitu menyelesaikan masalah pembayaran pampasan tanah bekas peneroka Felda Sungai Buaya dan kesediaan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bergabung kepakaran membina persimpangan bertingkat di Sungai Buaya.


Masalah pembayaran tanah itu berlanjutan sejak 1994 apabila 363 peneroka diarah berpindah untuk pembangunan, tetapi ia tergendala. Patuh kepada arahan Najib, Ketua Putera Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim bertindak menjadi orang tengah dan membawa syarikat Idiqa Holding Sdn Bhd membeli tanah seluas 1,621 ekar (648 hektar) itu.

Secara serta-merta, seramai 100 peneroka menerima RM1,000 wang tunai dan draf bank RM49,000 sebagai pendahuluan. Seramai 90 orang menerima bayaran pendahuluan itu di majlis penuh makna itu, manakala jentera BN menyentuh hati masyarakat dengan mengunjungi rumah 10 lagi peneroka yang sudah uzur untuk menyampaikan wang tunai dan draf bank berkenaan.


Tidak hairanlah, penduduk Kampung Sungai Buaya dan Bandar Baru Sungai Buaya menghadiahkan 1,013 undi majoriti atau 37 peratus daripada undi majoriti dikumpul Kamalanathan.


Reaksi masyarakat Sungai Buaya itu melengkapkan kerja keras seluruh jentera BN menjelajah setiap pelosok daerah sama ada Felda atau estet, kawasan pedalaman, bandar atau bandar baru dengan prinsip bahawa setiap pengundi adalah penting dan pengundi adalah raja.


Pada sidang media selepas itu, Najib menyifatkan kejayaan BN merampas semula kerusi berkenaan sebagai peralihan besar sokongan rakyat kepada BN dan kemenangan itu membawa erti amat besar kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.


Ketika ditanya mengenai kebanyakan peti undi di kawasan Cina yang tidak menyokong BN, Najib berkata, beliau akan membuat analisis mengenai keputusan berkenaan dan enggan membuat kesimpulan dengan cepat.


“Kita kena kaji dengan lebih mendalam walaupun kebanyakan peti undi di kawasan Cina kita (BN) kalah, tetapi berdasarkan kepada permulaan kempen sehingga hari penghabisan, saya percaya sudah berlaku peningkatan.


“Saya cukup puas hati dengan prestasi kali ini, saya percaya dalam pilihan raya akan datang majoriti kita akan bertambah, yang penting bagi saya bukan kemenangan saja, tetapi kelangsungan kawasan ini terus kekal dalam tangan BN,”
katanya.


Komposisi kaum di Hulu Selangor sendiri melambangkan 1Malaysia dengan mempunyai 53 peratus kaum Melayu, 26 peratus kaum Cina dan 19 peratus kaum India.


Di pihak pembangkang pula, Zaid tertekan dengan isu peribadinya sejak peringkat awal kempen, umpamanya dakwaan dirinya seorang kaki botol dan pengakuannya memiliki seekor kuda lumba yang diberi nama Kelantan iaitu negeri kelahirannya.


Malah, ketika masyarakat sekitar Sungai Buaya menunaikan solat Jumaat bersama pemimpin negara sebelum soal tanah dan pembinaan persimpangan bertingkat itu diselesaikan, berlaku kejadian ‘aneh’ di sebuah masjid di Bukit Sentosa.


Akibat terlalu asyik menyampaikan khutbah berbaur politik, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali terlupa membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w iaitu rukun khutbah menyebabkan jemaah terpaksa melakukan solat Zuhur.


Manakala keesokannya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan menyanggah arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik atau tempat mengadakan demonstrasi negatif.


Amat tidak wajar orang luar mempertikaikan arahan institusi kesultanan Selangor dan sudah pasti, ramai pengundi terutama kelompok atas pagar yang juga anak watan, terguris dengan kenyataan Nik Aziz itu.


Justeru, semalam muncul dengan gelombang baru rakyat Hulu Selangor, BN mula meneruskan misi mengotakan janji pilihan raya dan kempen mereka.


Biarpun penat berperang, Kamalanathan dan Azeez muncul di sebuah pejabat di Jalan Besar Sungai Buaya, tengah hari semalam untuk melunaskan bayaran pendahuluan berjumlah RM50,000 seorang kepada baki 263 pemilik dan waris bekas peneroka Sungai Buaya itu.


Selepas ini, Kamalanathan yang memilih Sungai Buaya sebagai kampung angkatnya, akan bertemu pengundi di beberapa kawasan lain untuk mengumpul maklumat mengenai janji dan projek pilihan raya sebelum menjadi orang tengah supaya ia dipercepatkan kerana kini masanya untuk dia bekerja memikul amanah dan kepercayaan masyarakat.


Namun, amat rugi bagi mereka yang tidak keluar mengundi atau belum mendaftar sebagai pemilih walaupun sudah layak, kerana mereka umpama warga asing yang tidak dapat menunaikan hak di sebuah negara merdeka ini.


Atau mungkin mereka boleh diumpamakan sebagai orang tidak berpuasa yang tiada langsung kenikmatan dan keghairahan menanti hadirnya waktu Maghrib yakni berbuka puasa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_ManapergiundiAhLan_/Article/index_html

Mengemis urus jenazah

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin

2010/04/29

MUAR: Siapa sangka, tragedi mengorbankan dua beradik Muhammad Fadzly, 15 dan Muhamad Syafiq Razak, 11, pada Isnin lalu akhirnya membongkar episod duka kehidupan sebuah keluarga yang hidup daif sejak 20 tahun lalu serta terpinggir daripada bantuan kerajaan.

Malah, pasangan suami isteri, Razak Manap, 52 dan Zuliha Yahya, 42, terpaksa mengemis dan mengharap belas ihsan adik-beradik mereka bagi menguruskan pengebumian dua jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, semalam. Kehadiran wartawan Harian Metro, semalam antara saat dinantikan keluarga terbabit kerana selain sedih kehilangan dua anak, mereka mempunyai kisah duka yang ingin dikongsi bersama.


Ketika mula-mula ditanyakan perasaannya, Zuliha hanya menjawab ringkas: “Ibu mana yang tidak sedih kehilangan anak?” Kemudian bermulalah episod pembongkaran kisah hidup menyayat hati sembilan sekeluarga yang sebenarnya jauh lebih menyedihkan daripada tragedi terbaru kehilangan dua beradik itu.


Zuliha berkata, kedua-dua Allahyarham pelajar cemerlang dan pintar di dalam kelas, namun Muhammad Fadzly berhenti sekolah bermula tahun ini kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran persekolahan.


Menurutnya, sejak berhenti bersekolah, Allahyarham Muhammd Fadzly membantu menguruskan hal dua adik lain yang masih bersekolah dan dia tidak pernah merungut walaupun sedar masa depannya mungkin lebih suram apabila tiada pendidikan formal.


“Arwah dua beradik itu rapat dan juga pelajar pintar dalam pelajaran masing-masing. Sebenarnya mereka harapan keluarga kami, namun saya reda Allah lebih sayangkan mereka. “Jika diikutkan hati, mahu saya meraung sekuat hati menangis dan meratap pemergian mereka. Malangnya, kami sudah lali dengan kehidupan daif dan pelbagai dugaan selama ini mengajar apa itu erti kesabaran,” kata ibu kepada tujuh anak itu.


Menurutnya, disebabkan tidak mendapat sebarang bantuan, tiga daripada tujuh anaknya berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.


Katanya, disebabkan suaminya, Razak bekas penagih dadah, mereka seperti dihukum seumur hidup pemimpin masyarakat serta dinafikan pelbagai bantuan termasuk rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).


Malah, ketika tinjauan dilakukan di rumah pasangan itu di Tanjong Agas, tiada kenduri tahlil diadakan berikutan keluarga allahyarham tiada duit membeli kuih bagi menjamu tetamu.

Lebih menyedihkan majlis bacaan surah Yasin yang diadakan antara keluarga tidak dilawati masyarakat setempat termasuk ketua kampung mahupun pemimpin politik kawasan.


Sementara itu, Razak mengaku dia pernah melakukan kesilapan, namun tetap dipinggirkan masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengemisurusjenazah/Article

Suami bingung isteri keluar rumah

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bingung apabila isteri dikahwininya tujuh tahun lalu menghilangkan diri sejak Jumaat lalu tanpa meninggalkan sebarang pesan.

Bapa kepada dua anak itu, Mohamad Izlan Sah Abdullah, 40, berkata, walaupun berlaku perselisihan faham antara mereka berdua, namun dia tidak menyangka isterinya, Noor Maziah Saidin (gambar), 26, sanggup keluar rumah.


“Sepanjang berkahwin, setiap kali berselisih faham, isteri saya tidak pernah meninggikan suara apatah lagi melarikan diri dengan meninggalkan dua anak berusia 5 dan 6 kerana mereka sangat rapat.


“Saya sangkakan dia cuma merajuk sehari dua dan pulang ke rumah, namun selepas lima hari, tiada sebarang berita daripadanya apatah lagi dia keluar tanpa membawa telefon bimbit,”
katanya.


Izlan berkata, pada hari kejadian mereka sepatutnya bercuti ke Langkawi, namun berlaku perselisihan faham menyebabkan isterinya merajuk.


“Enggan memanjangkan pergaduhan serta kesuntukan masa ke lapangan terbang, saya meninggalkan isteri di rumah bersama adik ipar supaya dapat menenangkan diri, namun sebaik tiba di Langkawi, saya diberitahu dia keluar dari rumah di Taman Selasih, Batu Caves dengan membawa beg pakaian serta buku simpanan wang.Beliau meminta orang ramai yang mengetahuinya supaya menghubungi di talian 012-2339982.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamibingungisterikeluarrumah/Article

'Sudah nasibmu'

Oleh Nazri Abu Bakar

2010/04/29

MELAKA: Seorang anggota tentera di Taman Tanjung Minyak Utama, Sahrol Isam Alias, 37, merayu orang ramai menghulurkan sumbangan bagi menampung kos ubatan dan harian anaknya sulungnya, Siti Norsyafiqah 13, yang menderita penyakit ketumbuhan otak lebih setahun lalu.

Sahrol Isam berkata, beliau berdepan masalah kewangan apabila menanggung kos susu khas anaknya RM4,200 sebulan tidak termasuk lampin pakai buang, selain perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak yang lain hingga menyebabkan dia menjual dua motosikal bagi menampung kos berkenaan.


Menurutnya, sejak anaknya disahkan menghidap penyakit yang dikesan pada 2 Januari 2009, kehidupan mereka sekeluarga menjadi sukar, malah anaknya itu menjalani sembilan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Katanya, anaknya itu rebah di sekolah kebangsaan Tanjung Minyak selepas kali pertama di serang penyakit berkenaan hingga terpaksa dirujuk ke HKL.


Katanya, anaknya itu koma selama tiga bulan selepas pembedahan, namun kembali sedar tetapi malangnya dia tidak mampu bercakap.


“Hanya sesekali dia merintih kesakitan dan memanggil ayah dan ibu, namun selebihnya hidup sehariannya diuruskan kami anak-beranak termasuk menyedia dan menyuapkan susu khas bagi menggantikan nasi.


“Dia tinggal di HKL selama setahun dan menjalani pembedahan kesembilan pada 18 Jun tahun lalu. Dia dibawa balik ke rumah dan terlantar di atas tilam di ruang tamu, tanpa mampu bergerak,”
katanya.


Sahrol Isam berkata, akibat penyakit itu, anaknya gagal meneruskan sesi persekolahan dan tidak mampu menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan terlantar di hospital.


Beliau berkata, anaknya pelajar yang aktif dan pernah dilantik menjadi bendahari koperasi dan aktif bermain badminton.

Berikutan beban yang terpaksa ditanggungnya, Sahrol Isam berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya.


Katanya, anaknya menjalani rawatan susulan di HKL berikutan sampel tisu anaknya diambil pada 13 April lalu dengan keputusan dijangka pada 30 April ini. Orang ramai yang mahu menghulur sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank isteri beliau, Ruzainawati Aziz 15410109403 atau menghubunginya di talian 017-6544616.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sudahnasibmu/Article

'Kami lega'

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Pengguna komuter terutama wanita boleh menarik nafas lega berikutan pelaksanaan sebuah gerabak dikhaskan untuk golongan itu mula beroperasi, semalam.

SELAMAT...penumpang wanita kini tidak perlu bimbang gangguan seksual melalui pengasingan gerabak khas komuter untuk mereka.
SELAMAT...penumpang wanita kini tidak perlu bimbang gangguan seksual melalui pengasingan gerabak khas komuter untuk mereka.
Kebanyakan pengguna memberi reaksi positif dengan pendekatan itu dan menyifatkan ia tepat pada masanya.


Penumpang, Shahirah Mohd Shariff, 24, berkata pengasingan gerabak boleh mengelak berlaku gangguan seksual terhadap penumpang wanita terutama dalam keadaan sesak pada waktu puncak.


“Sebelum ini, rakan baik saya pernah diraba seorang lelaki ketika berhimpit-himpit dalam tren dan pengalaman ngerinya itu membuatkan saya trauma menggunakan perkhidmatan ini.


“Bagaimanapun, saya lega kerana gerabak khas wanita disediakan dan kini saya boleh ke tempat kerja tanpa perlu berasa bimbang kejadian sama berlaku,”
katanya.


Bagi Aishah Omar, 42, dengan adanya gerabak yang khusus untuk kaum wanita, peluang warga emas, wanita mengandung dan yang membawa anak kecil mendapat tempat duduk lebih cerah.


“Pendekatan KTM ini sangat bertepatan berikutan ramai rakan wanita yang merungut tidak selesa kerana terpaksa bersentuhan dengan lelaki jika tren terlalu sesak selain pengalaman melihat sendiri seorang gadis diraba warga asing,” katanya.


Pekerja swasta, Ruby Hanim Sohana Ariffin, 45, pula menyifatkan pengasingan itu memberi kemudahan kepadanya malah dia kini tidak perlu berebut dan berdiri lama dalam tren berikutan bilangan penumpang berkurangan kerana gerabak itu tidak mempunyai penumpang lelaki.


Bagi seorang penumpang, Nor Amirruddin Nordin, 24, pengasingan gerabak itu langkah tepat bagi mengurangkan risiko wanita menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku.

“Ia memberi kelebihan kepada wanita kerana mereka tidak perlu bimbang bersentuhan dengan berlainan jantina. Begitu juga lelaki kerana tak semua antara kami selesa jika terpaksa berhimpit dengan wanita,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff@Othman, berkata gerabak khas itu boleh dikenal pasti melalui pelekat merah jambu ditampal di setiap cermin tingkapnya dan kain rentang dipasang di setiap platform selain pengumuman mengenai pengasingan itu dibuat di beberapa stesen.


“Bagaimanapun beberapa penumpang lelaki agak keliru dan ada masih menggunakan gerabak khas itu hari ini (semalam),” katanya mengiringi wartawan membuat tinjauan, semalam.


Mohd Hider berkata, ia akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk melatih orang ramai mematuhi arahan kerana pihaknya akan selaraskan peraturan baru itu dimulai laluan dari stesen Sentul ke Port Klang dahulu.

Katanya, tempoh percubaan akan dilakukan selama seminggu untuk mendapatkan reaksi orang ramai mengenai pengasingan gerabak itu manakala operasi gerabak wanita bagi laluan Rawang ke Seremban dijangka dilaksanakan 15 Mei ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamilega/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...