am@hmetro.com.my
2010/05/07
HULU TERENGGANU: “Saya tidak menyesal dan berjanji akan memberi sepenuh kasih sayang serta membesarkan bayi ini walaupun tidak pernah memiliki pengalaman sebagai ibu,” kata pelajar berusia 16 tahun yang melahirkan anak kelmarin, hasil hubungan sulit dengan rakan sekolahnya di sini.
Menurutnya, walaupun memiliki tanggungjawab baru sebagai ibu, dia tidak berhasrat meninggalkan alam persekolahan sebaliknya akan meneruskan tanggungjawab sebagai pelajar selepas habis tempoh pantang demi masa depannya dan anak lelaki yang sehingga kini masih belum diberi nama.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, bayi berkenaan hasil hubungan terlarang dengan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dikenalinya sejak kecil dan menuntut di sekolah sama.
Menceritakan semula perhubungan sulit mereka, gadis bersikap pendiam itu memberitahu dia melakukan seks bersama remaja lelaki terbabit selepas pasangannya yang juga tinggal di Felda Jerangau memasuki biliknya melalui tingkap tanpa disedari keluarga kira-kira jam 9 malam tahun lalu.
“Antara kami tidak ada hubungan cinta dan melakukan seks atas dasar suka sama suka selain menganggap lelaki berkenaan sebagai kawan biasa. Saya boleh memaafkan dia tetapi enggan bertemu lagi dengannya selepas ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, semalam.
Dia berkata, disebabkan tidak mengetahui apa-apa mengenai seks, dia akhirnya menurut saja permintaan remaja lelaki berkenaan apabila pasangan itu menyuarakan keinginan untuk melakukannya.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai seks dan ketika melakukan persetubuhan saya hanya mengikut saja ‘arahan’ diberikan lelaki itu sebelum mengulangi perbuatan sama selepas sebulan kemudian,” katanya.
Gadis berkenaan mendakwa selepas dua kali melakukan hubungan seks, dia tidak berasa apa-apa tetapi cemas apabila menyedari berlaku perubahan pada pusingan haid sebelum mengesyaki dirinya hamil, Januari lalu.
Katanya, sejak itu, perjalanan hidupnya berubah dan murung apabila memikirkan perubahan diri berikutan kandungannya yang semakin membesar.
“Bimbang dimarahi keluarga menyebabkan saya nekad merahsiakan kejadian menimpa diri dan semakin hari jiwa saya semakin tertekan serta bingung apabila tidak tahu kepada siapa hendak mengadu,” katanya.
Kelmarin, gadis berkenaan memberitahu ibunya dia sakit perut dan dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Jerangau sebelum melahirkan bayi berkenaan dalam tandas klinik berkenaan tanpa pengetahuan ibu yang menemaninya ketika ke klinik berkenaan.
>Air berdarah bongkar rahsia
KUALA TERENGGANU: Air bercampur darah yang mengalir dari tandas Klinik Kesihatan Felda Jerangau, Dungun, di sini, membongkar rahsia kelahiran bayi lelaki oleh pelajar perempuan berusia 16 tahun, pagi kelmarin.
Mengesyaki sesuatu berlaku dalam tandas berkenaan, orang ramai di klinik berkenaan kemudian membuka pintu tidak berkunci menyebabkan remaja yang sudah dua jam dalam tandas itu terkejut.
Bagi menyembunyikan kelahirannya, pelajar terbabit yang berada dalam keadaan mencangkung di atas mangkuk tandas dikatakan memasukkan bayi berkenaan dalam lubang tandas, bagaimanapun usahanya itu gagal apabila tindakan itu disedari orang ramai.
Untuk menyelamatkan bayi hampir lemas dan ibu muda yang kehilangan banyak darah itu, orang ramai segera meminta bantuan kakitangan klinik sebelum menghantar kedua-duanya ke Hospital Hulu Terengganu (HHT), kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata pelajar terbabit dan bayinya dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di HHT.
Beliau berkata, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Ajil yang pendek akal itu terpaksa bertindak sedemikian kerana bimbang dimarahi ibunya selepas mengadakan hubungan terlarang dengan seorang pelajar lelaki sekolahnya.