Saturday, June 13, 2009

Lagi serangan berani mati di Pakistan

LAHORE - Skuad penyerang berani mati menyerang sebuah masjid dan sebuah madrasah selang beberapa minit di dua buah bandar di Paksitan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk seorang ulama terkenal.

Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan dua kejadian tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, Pakistan dikejutkan dengan beberapa siri kejadian pengeboman berani mati dan lain-lain serangan yang dipercayai satu tindakan balas dendam terhadap operasi ketenteraan terhadap kedudukan kumpulan Taliban di Lembah Swat.

Di timur Pakistan, madrasah Jamia Naeemia di Lahore dikejutkan dengan satu letupan bom sejurus selesai solat Jumaat sekali gus menyebabkan dua orang terbunuh manakala enam lagi cedera, kata seorang pegawai polis, Sohail Sukhera.

Pengasas madrasah yang menjadi sasaran serangan, Sarfraz Naeemi meninggal dunia ketika dihantar ke sebuah hospital berdekatan, kata anak Sarfraz, Waqar.

Saluran televisyen Geo TV menunjukkan mayat Sarfraz terbaring di atas pengusung dengan jambang dan rambutnya dipenuhi habuk manakala darah mengalir dari hidung. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Obama guna pengalaman hidup baiki imej AS

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini mendapat banyak pujian kerana ucapannya mengenai dunia Islam.

Ucapan yang dibuat oleh Obama di Kaherah, Mesir pada minggu lalu itu turut mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin dan golongan intelektual.

Ketika berucap di Kaherah, Obama cuba mengikis tanggapan buruk terhadap Islam yang kerap dikaitkan dengan keganasan.

Ketika berucap di hadapan 4,000 orang, Obama menyatakan Amerika dan Islam berkongsi prinsip keadilan dan kemajuan, toleransi serta maruah manusia.

Obama berkata: "Saya bersimpati tetapi sehingga negara-negara Islam boleh bertoleransi berhubung kewujudan kitab Injil atau pemakaian lambang salib oleh seorang paderi tentera dalam sempadan mereka, kita tidak berkongsi prinsip yang sama itu."

Ada pihak berpendapat George W. Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq tidak akan berucap dengan nada serupa seperti Obama.

Sebelum ini ketika AS diperintah oleh Bush selama dua penggal, penduduk Islam di seluruh dunia berasa terhina apabila agama mereka dikaitkan dengan keganasan.

Cara penganut Islam diperiksa di lapangan terbang di Barat dan AS turut mengaibkan mereka selain dipandang serong selepas serangan pengganas 11 September 2001 di New York, AS.

Namun, apakah yang menyebabkan Obama boleh membuat ucapan sedemikian rupa?

Latar belakang hidup Obama dan Bush sebenarnya jauh berbeza.

Obama pernah hidup di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia.

Presiden AS itu turut mempunyai saudara-maranya yang beragama Islam di Afrika.

Justeru Obama yang dilayan baik ketika beliau hidup di Indonesia yang menjadi lokasi serangan pengganas pada 2002 di Bali lebih banyak mengetahui mengenai Islam berbanding Bush.

Buat masa ini, Presiden AS itu menjadi kebanggaan sebahagian penganut Islam kerana usahanya yang mahu membaiki hubungan AS dengan dunia Islam.

Pastinya, pengalaman hidup Obama di Indonesia menyebabkan beliau berani menongkah arus Bush yang popular kerana dasar luarnya mencetuskan banyak kontroversi terutamanya melibatkan dunia Islam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

40 dara kawal Gaddafi di Rom


GAMBAR menunjukkan Gaddafi (tengah) dikawal oleh seorang pengawal peribadi wanitanya ketika beliau disambut oleh Berlusconi (kiri) di Rom, Itali pada Rabu lalu.


ROM - Kunjungan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Itali mendapat liputan meluas media apabila beliau membawa ratusan pengiring termasuk 40 pengawal peribadi wanita yang masih dara, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemimpin berkenaan mencipta kejutan apabila tiba di sini pada Isnin lepas dengan diiringi 300 kakitangan yang menaiki tiga pesawat Airbus dan disambut penuh istiadat oleh Presiden Silvio Berlusconi.

Seperti biasa, Gaddafi membawa bersama sebuah khemah besar yang didirikan di sebuah taman di sini untuk dijadikan tempat tinggalnya sepanjang lawatan itu.

Setiap anggota pasukan pengawal peribadi wanita Gaddafi memakai pakaian seragam dan membawa raifal separa automatik tetapi pada masa sama mereka tidak melupakan ciri-ciri kewanitaan dengan memakai mekap, gincu dan pewarna kuku.

Pemimpin berusia 67 tahun itu merupakan antara diktator paling taksub di dunia dan beliau tidak suka kalah kepada sesiapa kecuali kepada pasukan 40 pengawal wanita itu yang rela berkorban untuknya pada bila-bila masa.

Semua pengawal wanita Gaddafi perlu mengangkat sumpah taat setia dan mereka tidak sesekali akan meninggalkan beliau bersendirian dan wanita berstatus dara sahaja akan diterima menyertai pasukan elit itu.

Mereka menerima latihan di sebuah kolej khas dan perlu lulus ujian fizikal ketat selain mahir membunuh, menggunakan senjata api dan pakar dalam seni mempertahankan diri.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Berjuta rakyat Iran mengundi


BEBERAPA wanita berbaris menunggu giliran mengundi di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


TEHERAN - Berjuta-juta penduduk Iran memenuhi pusat-pusat membuang undi semalam dengan calon reformasi, Mir Hossein Mousavi (gambar) dijangka memperoleh kelebihan undi berbanding Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Orang ramai keluar mengundi sejak awal pagi malah di beberapa pusat pengundian, ramai yang terpaksa beratur panjang sebelum dapat membuang undi.

"Saya berhadap Mahmoud dapat dikalahkan," kata seorang pengundi, Mahnaz Mottaghi, 23, selepas membuang undi di sebuah masjid di tengah Teheran.

Di luar pusat pengundian sama, seorang peniaga, Abbas Rezai, 29, berkata, dia, isteri dan adik iparnya mengundi Mahmoud.

"Kami memilih Mahmoud untuk menjadi presiden untuk empat tahun lagi," katanya.


MAHMOUD dikelilingi penyokongnya di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


Ceramah, slogan, kempen Internet dan debat televisyen menyemarakan lagi pilihan raya presiden kali ini.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri yang menyelia proses pengundian mengharamkan perhimpunan sehingga keputusan rasmi diumumkan hari ini.

Keputusan pemilihan kali ini dijangka tidak mengubah dasar utama Iran atau keputusan peringkat tertinggi seperti kemungkinan perbincangan dengan Washington berhubung beberapa isu.

Dasar-dasar itu dikawal langsung oleh ulama yang diketuai pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Mir Houssein berharap untuk memperkenalkan sistem media liberal dan cuba berdialog dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama selepas hampir 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terhenti.

Beliau lebih berminat terhadap perbincangan dengan kuasa utama dunia dalam menyelesaikan isu reaktor tenaga nuklear yang dianggap Barat sebagai usaha menghasilkan bom nuklear.




Selain di Iran, warganya di seluruh dunia turut membuang undi di bangunan kedutaan.

Di Dubai, jalan-jalan berhampiran bangunan konsulat dipenuhi warga Iran yang cenderung memberi sokongan terhadap Mir Hossein.

"Dia ialah Obama kami," kata seorang ahli perniagaan, Maliki Zadehamid, 39.

Jumlah pengundi kali ini boleh mengatasi rekod 80 peratus keluar mengundi 12 tahun lalu yang menyaksikan Presiden Mohammad Khatami menang.

Mohammad menjangkakan Mir Hossein yang pernah menjadi perdana menteri pada 1980-an akan dipilih menggantikan Mahmoud.

"Semua penunjuk menunjukkan Mir Hossein akan menang," kata Mohammad.

Mir Hossein mengecam Mahmoud kerana salah urus ekonomi yang menyebabkan inflasi naik sehingga dua digit serta menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi walaupun negara itu dilimpahi rizab gas dan minyak mentah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

MAS rugi RM138 juta suku pertama 2009


KERUGIAN MAS disebabkan kelembapan ekonomi global. – Gambar hiasan.


PETALING JAYA – Malaysian Airline System Bhd., (MAS), mencatat kerugian pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2009 berdasarkan tiga faktor iaitu lebihan kapasiti, turun naik bahan bakar yang luar biasa serta kelembapan global yang menjejaskan permintaan penumpang dan kargo.

“MAS mencatatkan kerugian operasi suku pertama 2009 sebanyak RM138 juta, kerugian operasi pertama bagi syarikat penerbangan itu sejak suku ketiga 2006, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala, semasa mengumumkan keputusan kewangan suku pertama syarikat itu di sini semalam.

MAS juga mencatat kerugian dalam lindung nilai bahan bakar berjumlah RM557 juta.

Pendapatan turun kepada RM2.7 bilion ketika ia berdepan dengan kemelesetan global paling buruk dalam tempoh 70 tahun dengan faktor tempat duduk jatuh 13.1 mata peratusan, katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Gagal samun ATM ceroboh restoran


DUA anggota polis memeriksa mesin ATM yang diumpil
di Pertama Kompleks di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kejahilan dua pengawal keselamatan warga Nepal mengenai kecanggihan sistem keselamatan mesin pengeluar wang automatik (ATM) menghampakan niat mereka melarikan wang berjumlah RM320,000 dari sebuah mesin ATM di Pertama Kompleks Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang bertugas syif malam bermula pada pukul 8 malam di sebuah premis perniagaan di situ dikatakan telah cuba mengumpil mesin tersebut menggunakan empat peralatan iaitu tukul, batang besi, pengumpil dan ragum.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana mesin ATM milik sebuah bank itu tidak mudah dipecah.

Enggan berputih mata, kedua-dua suspek itu kemudian menceroboh pula sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan mesin ATM tersebut.

Di restoran itu, kedua-dua suspek telah memecahkan peti simpanan dan melarikan wang berjumlah RM1,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata, cubaan memecah mesin ATM itu disedari oleh dua pengawal keselamatan lain juga warga Nepal yang mahu memulakan syif pagi pada pukul 8 pagi.

"Semasa memulakan kerja mereka nampak ada percubaan memecahkan mesin ATM tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, polis yang menyiasat kejadian itu mengesahkan terdapat cubaan menyamun wang dalam mesin ATM itu tetapi gagal.

"Kira-kira dua jam meninggalkan premis itu, kami menerima panggilan dari restoran yang memaklumkan peti besi restoran itu telah diumpil," kata beliau.

Kata beliau, polis yang menyiasat kedua-dua kejadian itu percaya suspek sama terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Muhammad Sabtu memberitahu, pihaknya turut menjumpai beberapa peralatan memecah kedai yang ditinggalkan di restoran tersebut.

"Kita sedang mencari dua pengawal keselamatan itu yang telah menghilangkan diri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Tiga ahli Geng Mamak tumpas


KERATAN Kosmo! 3 September 2008.


KUALA LUMPUR – Tiga ahli Geng Mamak termasuk dua beradik yang sering terbabit dengan jenayah besar termasuk aktif menyamun kereta mewah ditahan semalam.

Tangkapan ketiga-tiga suspek itu adalah hasil siasatan dan risikan terhadap dua kejadian kereta mewah hilang beberapa hari lalu.

Sebuah membabitkan kereta BMW yang hilang di Damansara Selasa lalu manakala sebuah lagi membabitkan kereta Toyota Camry yang hilang di Batu 9, Kajang baru-baru ini.

Satu sumber berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 2 petang di sebuah restoran 24 jam di Kota Kemuning, Shah Alam.

Suspek yang ditangkap di restoran itu popular dengan panggilan ‘Joe Mamak’.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Rebut 50,000 jawatan kosong sektor awam

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha untuk memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

H1N1 – Langkah drastik jika ada kes tempatan

PUTRAJAYA – Tindakan menutup sekolah dan membatalkan perhimpunan awam akan dilaksanakan jika wujud kes jangkitan influenza A (H1N1) yang membabitkan penularan tempatan.

Setakat ini, kesemua 11 mangsa wabak itu mendapat jangkitan semasa berada di luar negara.

Tujuh daripada mereka telah dibenarkan keluar hospital manakala empat lagi masih menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pihaknya akan meningkatkan aktiviti pemantauan, pencegahan dan kawalan seiring dengan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan paras amaran wabak itu ke tahap tertinggi kelmarin.

Menurutnya, kementerian telah membuat persiapan termasuk latihan dan menyimpan ubat dan alat perlindungan diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Pengguna diminta jimat air, ingat krisis 1998

KUALA LUMPUR – Ancaman musim kemarau ekoran fenomena El-Nino mulai Ogos ini sudah meletakkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam keadaan berwaspada dengan peringatan bahawa trend kenaikan dalam kadar penggunaan air di Lembah Klang perlu dihentikan.

Kajian Syabas pada Januari lalu mendapati kadar penggunaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Januari ialah 80 juta meter padu (m3) sebelum meningkat kepada 82.1 juta m3 pada bulan lepas.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, peningkatan penggunaan air berpunca pertambahan aktiviti seperti mandi, membasuh, menyiram pokok dan sebagainya akibat cuaca panas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...