Tuesday, August 4, 2009

Salahkah berhimpun?

Selasa Ogos 4, 2009

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia masih memandang serong pada perhimpunan aman. Kononnya, ia dilihat sebagai budaya rakyat Malaysia yang emosional dan berfikir pendek.

Pada asasnya, saya berpendirian menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Anarki. Tiada kompromi.Namun, benarkah berhimpun sebagaimana semalam boleh membawa Malaysia ke arah sebuah negara Anarki – negara yang kacau bilau dan tidak berperaturan. Kononnya, pelabur tidak akan datang, FDI akan jatuh, peluang pekerjaan akan berkurangan dan ekonomi negara akan merudum. (Frasa dan ayat-ayat ini biasa dimomokkan dalam kursus BTN.)

Sejujurnya, saya bukanlah orang yang berminat dengan perhimpunan atau ‘Demonstrasi’. Selalu juga disindir oleh teman-teman sewaktu menjadi pimpinan pelajar dulu kerana jarang turun berhimpun atau berdemonstrasi. Walaupun kurang berminat, saya tidak menafikan perlunya berhimpun.

Kita harus jujur dalam membuat penilaian.Salahkah berhimpun? Pendek akalkah orang-orang yang berhimpun sebagaimana prasangka kita?

Benar, kita boleh menyalahkan mereka yang berhimpun jika ia dilakukan terlaku kerap.Setiap bulan misalnya. Tidak dinafikan, kesesakan jalanraya akan berlaku, perniagaan ada yang terpaksa ditutup dan sudah tentu keheningan hujung minggu juga terganggu. Namun mereka berhimpun sekadardua tiga kali setahun. Besar sangatkah impak kepada aktiviti ekonominegara jika 2 atau 3 hari daripada 365 hari digunakan oleh segelintirrakyat untuk berhimpun menyatakan sesuatu kepada kerajaan?

Mereka yang berhimpun bukanlah untuk suka-suka atau mahu menghuru-harakan negara. Janganlah disamakan rakyat Malaysia pada masa ini dengan rakyat Malaysia pada 40 tahun lalu dalam Tragedi 1969, ataupun rakyat Singapura/Malaysia yang terlibat dalam Rusuhan Natrah pada 1950. Rakyat Malaysia pada masa ini sudah ramai berpendidikan tinggi dan cerdik-cerdik. Zaman telah banyak berubah,saya yakin tiada siapa yang tidak sayangkan nyawa. Memang bodoh bagi sesiapa yang berhimpun untuk kehilangan nyawa. Mereka sudah tentu berhimpun kerana bersebab. Jika tidak, lebih baik bersantai di rumah bersama keluarga.

Pengalaman menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI dulu cukup mengharukan. Polis terbukti menjadi punca perhimpunan bertukar ganas. Mereka melepaskan gas pemedih mata dengan membabi buta. Apa salahnya dibiarkan peserta berhimpun dan menuju ke Istana Negara? Saya tidak nampak sebarang senjata yang mereka bawa dan aliran trafik pun tidak tersekat walaupun sedikit terganggu. Namun tindakan polis(FRU) langsung tidak berperikemanusian. Mereka langsung seperti alat kerajaan yang tidak mampu berfikir. Merekalah punca kekasaran fizikal dan gangguan trafik yang parah.

Kebiasaannya, perhimpunan yang dilakukan bukanlah langkah pertama atau usaha awal dalam perjuangkan sesuatu. Ia adalah jalan terakhir. ISA telah dikecam sejak 49 tahun sejak ia digubal pada 1960. Pelbagai wacana akademik, penulisan, disertasi,tesis, memorandum, referandum dan sebagainya yang berkaitan ISA dibuat semata-mata untuk membantah perlaksanaannya di Malaysia. Namun adakah ia berkesan?

Kerajaan masih juga tanpa segan silu menyalahgunakan ISA.

Kita akui bahawa ISA mampu menyelesaikan beberapa ancaman berkaitan keselamatan negara dan kita memang memerlukan akta yang berupaya mencegah ancaman dalaman. Namun, kerajaan Barisan Nasional/Perikatan semenjak 1960 tanpa pernah rasa bersalah telah menggunakan ISA untuk menahan ahli-ahli politik khususnya pembangkang, aktivis masyarakat dan juga orang awam yang tidak berkaitan.

Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Halim Arshat, Karpal Singh, Maximus Ongkilli, Teresa Kok adalah antara ahli politik dan aktivis masyarakat yang pernah merengkok. Berbahayakah mereka? Apa ancaman mereka kepada keselamatan negara?

Banyak cadangan yang lebih waras untuk diambil dalam membantah ISA. Namun, akan pedulikah kerajaan?

Kerajaan khabarnya akan mengkaji semula ISA. Ia satu permulaan yang baik jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu berubah.

Membantah ISA bukan bermaksud kita tidak mahu akta pencegahan yang mampu menjaga keselamatan dalaman negara kita. Namun, bantahan ini diharapkan agar mampu mendesak kerajaan supaya sekurang-kurangnya meminda peruntukan tertentu yang membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Membantah ISA juga bukan bermaksud kita membenci apatah lagi mahu menyusahkan kerajaan. Sebaliknya kita mahu supaya suara insan yang menderita akibat ISA didengari dengan lebih kuat oleh pemimpin kerajaan yang kita kasihi itu.

Kita tidak merasa menderita kerana kita tidak berada di tempat orang-orang yang sedang menderita itu. Cubalah memahami.

http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2009/8/4/mstar_rencana/20090803154438&sec=mstar_rencana

Pukul kekasih hingga pengsan sebelum rogol

SUBANG JAYA: Hanya kerana ingin mendapatkan kepastian mengenai hubungan sulit teman lelakinya dengan wanita lain, seorang gadis dibelasah kekasihnya itu hingga pengsan sebelum diperkosa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, mangsa sebelum ini menghidu tindakan curang kekasihnya selepas menemui rakaman gambar seorang wanita tidak dikenali selain khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersimpan dalam telefon bimbit teman lelakinya itu.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 malam, akhir bulan lalu ketika mangsa yang berusia 20-an, bertemu kekasihnya berhampiran sebuah rumah di Puchong, di sini.


Menurutnya, mangsa yang sebelum itu menemui bukti hubungan sulit teman lelakinya bertanya dan ingin mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.

“Malangnya teman lelaki mangsa menafikan kewujudan wanita terbabit sebelum ia berlanjutan kepada perang mulut.

“Lelaki itu yang berusia 20-an memukul gadis berkenaan di muka dan di tubuh hingga menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.

Difahamkan, mangsa diperkosa teman lelakinya itu walaupun ketika itu dia sedang ‘datang bulan’.

“Mangsa hanya terjaga dari pengsan beberapa jam kemudian dan terkejut apabila berada dalam keadaan separuh bogel.

“Mangsa yang mengesyaki dia diperkosa teman lelakinya membuat laporan di balai polis berhampiran. Bagaimanapun, lelaki berkenaan menghilangkan diri sejurus kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera di muka dan belakang tubuh diarah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor di hospital.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan sebelum memberkas suspek semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapat perintah tahanan reman.

“Polis menyiasat lelaki itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan selain Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, kerana mendatangkan kecederaan,’ katanya.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam kejadian berasingan, dua lelaki yang menaiki motosikal melarikan diri selepas terserempak kereta peronda polis berhampiran Sungei Way, di sini.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 7.50 pagi itu anggota kereta peronda polis terbabit mengejar sebelum memintas dan menahan motosikal ditunggang suspek.

Pisau lekat di tengkuk

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


BENTONG: Kejam apabila seorang penyamun wanita sanggup menikam tengkuk golongan sejenisnya yang juga pelancong dari Singapura ketika cuba merentap beg tangannya menyebabkan mangsa koma dan terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak Khamis lalu.

Silap pelancong asing berusia 56 tahun itu hanyalah kerana dia cuba melawan penyamun terbabit dalam usaha menghalangnya melarikan beg digalasnya itu.

Dalam kejadian jam 7 pagi, mangsa disamun ketika berjalan seorang diri menuju ke bilik penginapannya di sebuah hotel di sini, sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata mangsa yang juga ibu tunggal dua anak berada di negara ini kerana menghabiskan percutian seminggu berhibur di sebuah pusat peranginan terkenal di negeri ini.

Menurutnya, mangsa yang dirawat di HKL sedar dari koma kelmarin, sebelum keterangannya diambil bagi membantu siasatan dan keadaannya kini stabil.

“Polis menahan suspek hasil maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel terbabit. Suspek ialah seorang wanita berusia 42 tahun dari ibu negara yang turut menginap di hotel sama.

“Dia ditahan jam 1.30 tengah hari kejadian ketika cuba bersembunyi dalam bilik penginapan hotel itu,”
katanya ketika dihubungi, semalam.


Rosli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengekori mangsa dan mengeluarkan sebilah pisau untuk mengugut mangsa menyerahkan begnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa menyerahkan beg miliknya menyebabkan berlaku tarik menarik sebelum suspek yang berang menikam tengkuk mangsa.

“Suspek yang panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah segera melarikan diri ke hotel untuk bersembunyi dan tidak sempat mengambil beg mangsa.

“Polis sudah merekodkan keterangan mangsa berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090804074504/Article/index_html

Tikam kekasih kerana cemburu


MANGSA sedang dirawat di HKL selepas ditikam oleh teman lelakinya ketika bertengkar di sebuah bilik sewa di Jalan Sentul kelmarin.


KUALA LUMPUR - Akibat hilang pertimbangan, seorang lelaki menikam perut kekasihnya dan membiarkan wanita itu menahan kesakitan selama setengah jam sebelum menghantarnya ke hospital.

Sebelum kejadian pada pukul 1 pagi di Jalan Sentul di sini kelmarin, pasangan yang baru dua bulan bercinta bertengkar di bilik sewa lelaki itu gara-gara cemburu.

Perbincangan yang pada mulanya berjalan baik bertukar tegang selepas lelaki berusia 26 tahun dan pekerja sebuah restoran tidak berpuas hati dengan kekasihnya yang didakwa berubah hati.

Dalam pertengkaran itu, jurucakap polis berkata, lelaki itu bertindak menampar, menendang dan menumbuk muka kekasihnya tanpa belas kasihan walaupun wanita itu merayu supaya dia tidak diperlakukan sedemikian.

"Lelaki itu yang semakin hilang pertimbangan tiba-tiba mengeluarkan pisau lalu menikam perut kekasihnya," kata beliau di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Mayat bayi dalam tandas - Pengawal sekolah ditahan


KERATAN Kosmo! semalam.



Mohd. Hashim


GURUN - Teka-teki siapakah ibu kepada bayi perempuan yang ditemui mati dalam mangkuk tandas guru di Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun di sini kelmarin hampir terjawab.

Biarpun pelbagai andaian dibuat dengan mengesyaki wanita yang melahirkan bayi malang itu ialah seorang guru, pelajar atau kakitangan asrama puteri, namun wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu ialah seorang pengawal keselamatan sekolah itu.

Tidak ada kakitangan atau penyelia asrama sekolah itu yang dimasukkan ke Hospital Yan kerana keguguran bayi.

Penahanan pengawal keselamatan berusia 30-an itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Mohd. Hashim Ali ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, wanita itu ditahan pada pukul 11.30 malam kelmarin di sebuah rumah di Gurun setelah penyiasatan menyeluruh dijalankan terhadap semua kakitangan dan pelajar sekolah itu.

Bagaimanapun katanya, polis perlu menunggu laporan doktor untuk mengesahkan perempuan itu ialah ibu kepada bayi berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm


KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Johor Bahru melakukan pemeriksaan di Sekolah Kebangsaan Seri Kenanga, Tampoi, Johor Bahru semalam.





KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila ia meragut dua lagi nyawa iaitu masing-masing satu di Hospital Miri dan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban semalam.

Dalam kes di Miri, ia membabitkan seorang ibu muda berusia 23 tahun yang baru melahirkan anak di Hospital Miri.

Mangsa menjadi kes kematian ketujuh telah disahkan mendapat jangkitan H1N1 pada 23 Julai dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi semalam disebabkan komplikasi pada paru-paru.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pada mulanya mangsa telah bersalin di hospital berkenaan pada 21 Julai dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sehari selepas itu.

"Selepas bersalin, mangsa didapati mengidap pneumonia yang teruk dan menunjukkan simptom demam serta batuk empat hari sebelum bersalin.

"Kematian mangsa direkodkan sebagai pneumonia akibat jangkitan H1N1," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, bayi mangsa selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan H1N1.

Mangsa kelapan pula membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang berasal dari Kuala Selangor yang disahkan meninggal dunia di HTJ malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi berkata, wanita itu dimasukkan ke HTJ pada hari kejadian dan meninggal dunia kira-kira pukul 11.50 malam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...