Monday, April 19, 2010

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Isnin April 19, 2010

PUTRAJAYA: Sejumlah 39 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu setakat ini sebanyak 13,127 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican bagaimanapun berkata tiada kematian baru dilaporkan, serta tiada kemasukan baru ke Unit Rawatan Rapi menjadikan kes yang dirawat di unit itu kekal 12 orang.

"Jumlah kes Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 534 kes. Daripada jumlah itu, 70 kes atau 13.1 peratus disahkan positif A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga jam 8 pagi ini, kementerian menerima enam laporan kejadian kluster ILI daripada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Perak dan Perlis.

Beliau berkata ia termasuk Tadika Sri Merdeka, Taman Merdeka, Batu Pahat, Johor, Klinik Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Indera Pahlawan, Jengka 6 Maran, Pahang dan Kuarters Imigresen, Padang Besar, Perlis.

Dr Mohd Ismail berkata orang awam perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan sepertimana yang telah dihebahkan sebelum ini dan golongan berisiko tinggi termasuk ibu hamil dan penghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, buah pinggang dan jantung harus segera mendapatkan pelalian vaksin A (H1N1) di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara.

Beliau berkata hasil pemantauan pemberian vaksinasi itu mendapati ia adalah selamat tanpa sebarang kesan sampingan yang serius.

Maklumat lanjut berkenaan Influenza A (H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang kementerian di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300, katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/19/mstar_berita/20100418140221&sec=mstar_berita

Usah contohi wanita tuntut cerai kerana lelaki Afrika

2010/04/19

KUALA LUMPUR: “Kes seperti ini terpencil dan saya percaya untuk tempoh 10 tahun akan datang pun tidak akan menandingi kes suami curang,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pensyarah Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbuatan isteri yang menuntut cerai suami semata-mata mahu ‘mendekati’ lelaki tak dikenali keikhlasannya tidak wajar dicontohi.


Katanya, ia diibaratkan ‘mengharap guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’ apabila kita terlalu mengimpikan keuntungan besar yang belum pasti, tetapi dalam masa sama sudah melepaskan apa yang dimilikinya.


“Saya andaikan wanita ini mempunyai impian tinggi untuk hidup bahagia, mempunyai suami sempurna dan boleh memberi segala-galanya termasuk kasih sayang dan belaian, tapi malangnya ia tak diperoleh.


“Bila dia tidak dapat apa yang diharapkan menyebabkan dia mencari keseronokan di luar. Akhirnya, apabila perkara terbongkar, barulah tersedar impian yang dimahukan bukan seperti diharapkan.


“Saya tak nafikan perkara seperti ini berlaku dalam perkahwinan masa kini, isteri yang kecewa akan rasa seolah-olah tidak bahagia dan pergaduhan kerap berlaku. Itulah dia cinta membuat kita tidak rasional,” katanya ketika dihubungi semalam ketika mengulas laporan Metro Ahad mengenai seorang wanita yang sudah bercucu bukan saja lebur lebih RM600,000, malah tergamak mengheret suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar ke mahkamah untuk menuntut cerai selepas angau dek panahan cinta palsu playboy warga Afrika.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UsahcontohiwanitatuntutceraikeranalelakiAfrika/Article

Minta isteri, anak tonton Gah 1 di TV2


TASYA bersama anaknya, Putri Salfiah menyiram air mawar di pusara Achik di Makam Tuan Haji Said, Seremban semalam.


SEREMBAN - "Achik beria-ia berpesan supaya saya dan anak-anak menonton program Gah 1 di TV2 yang ditayangkan pada pukul 4 petang kerana dia akan menyanyi secara langsung."

Itulah luahan sebak, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, balu kepada penyanyi, Abdillah Murad Md. Shari, 27, atau Achik Spin yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban petang kelmarin.

Dalam program itu, Achik bersama rakan duetnya, Siti Nordiana Alias menyanyikan lagu Mencari Ketenangan sebelum mendendangkan lagu Engkau Yang Ku Cinta secara solo.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, Achik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda jalan.

Ketika kejadian, vokalis kumpulan Spin itu bersama seorang rakannya, Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Seremban dari Kuala Lumpur.

"Permintaan terakhir arwah itu seperti ada makna tersirat kerana itulah kali terakhir kami melihat arwah masih hidup," kata Rose Zaitul.

Dia yang lebih dikenali sebagai Tasya berkata, dalam perjalanan pulang, Achik menghubunginya. Achik meminta dia serta anak-anak bersiap kerana hendak membawa mereka makan malam di luar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Seminggu di rumah baru

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
2010/04/19

SEREMBAN: “Arwah hubungi melalui telefon menyuruh saya bersama anak bersiap untuk keluar kerana dia akan sampai tidak lama lagi,” kata isteri kepada Achik Spin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, petang kelmarin.

HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, berkata tidak lama selepas itu, dia dikejutkan dengan panggilan rakan memberitahu kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu.


“Beberapa jam sebelum itu, dia beberapa kali menghubungi dan mengingatkan saya dan anak supaya menonton wajahnya dalam siaran langsung RTM.


“Saya juga ada perasan perubahan agak ketara pada dirinya, bertukar daripada seorang periang menjadi pendiam sejak beberapa hari lalu,”
katanya ditemui di rumahnya di Taman Desa Ros, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, 27, maut di tempat kejadian selepas Toyota Estima yang dipandunya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda.


Difahamkan hasil bedah siasat mendapati beliau meninggal dunia akibat perdarahan dalaman.


Rakan penyanyi itu, Mohd Solihin Shah Mohd Saleh, 29, yang patah kaki kanan dan tangan kiri kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).


Sementara itu, HM Rose Zaitul Suriani berkata, suaminya bersungguh-sungguh mahu berpindah ke sebelah rumah ibunya sebelum ini.


“Saya tidak sangka ia mungkin petanda yang dia akan pergi dan mahu saya sentiasa dekat dengan ibu.

“Kami berpindah ke rumah teres setingkat yang berkembar dengan rumah ibu saya minggu lalu. Suami sangat gembira dan membersihkan rumah itu setiap hari termasuk mengecat semula dan berjanji mengemaskan dengan sempurna semalam,” katanya sambil menahan sebak.


Menurutnya, sebelum ini Achik begitu sibuk dan sepatutnya semalam mula bercuti untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga serta mengemaskan rumah.


“Dia turut memberitahu selepas ini saya mesti akan gembira kerana tinggal dekat dengan ibu dan dia juga akan selalu berada di Seremban, tidak seperti sebelum ini kerana sering berulang-alik ke Johor atas urusan perniagaan,” katanya.


Menurutnya, dia tidak sangka semua perubahan yang ditunjukkan itu adalah petanda suaminya akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Seminggudirumahbaru/Article

Tenungan RM200,000

Oleh Gaddafi Musli
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/04/19

KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.

Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.


“Ustaz itu kata saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian Metro.


Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun lalu.


“Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji keluar makan selepas dua minggu berkenalan,” katanya.


Menurut mangsa, suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.


“Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.


Sebulan selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30,000 yang dipegangnya dirompak.


Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek .

“Saya betul-betul tidak sedar setiap perbuatan saya ketika bersama dengannya, dia seolah-olah mengawal setiap perbuatan dan tingkah laku saya termasuk memegang kad ATM dan buku bank,” katanya.


Mangsa turut diminta membuat pinjaman RM60,000 kononnya untuk membiayai kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.


Tanpa diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.


Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.

Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.


“Saya harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek kerana saya khuatir orang lain menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TenunganRM200_000/Article

Mohon maaf sihat untuk kesihatan

NEW YORK - Memohon maaf mungkin perkara paling sukar dilakukan tetapi sekumpulan saintis mendakwa ia adalah antara amalan paling sihat, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan penyelidik di Amerika Syarikat (AS) menyatakan, wanita yang menerima permohonan maaf untuk perbuatan buruk kurang mengalami tekanan atau risiko kerosakan jantung berbanding mereka yang tidak menerima permohonan maaf.

Penyelidikan itu melibatkan beberapa saintis merekodkan tekanan darah diastolik terhadap 29 lelaki dan 59 wanita dalam satu eksperimen dan mereka mendapati denyutan jantung wanita kembali normal 20 peratus lebih cepat setelah menerima permohonan maaf.

Tekanan darah diastolik mengukur tekanan dalam salur darah setiap kali jantung berdenyut dengan bacaan yang tinggi meningkatkan risiko serangan strok dan sakit jantung.

Dalam eksperimen itu, responden diletakkan dalam situasi yang boleh menimbulkan kemarahan dan mereka memohon maaf kepada separuh lelaki dan wanita berkenaan.

Namun, kajian sama menyatakan, denyutan jantung lelaki mengambil masa lebih lama untuk pulih selepas sesuatu permohonan maaf sekali gus membayangkan bahawa lelaki sakit hati apabila mendengar pengakuan bersalah daripada seseorang. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...