Monday, April 26, 2010

Penjual diperangkap

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/04/26

GOMBAK: Hasrat menghadiahkan telefon bimbit baru kepada isteri dan ibu mentua sebagai tanda kasih sayang tidak disambut gembira, malah melukakan hati seorang kontraktor yang tersedar dia ditipu Geng Sabah yang dikesan aktif melakukan penipuan menerusi penjualan telefon tiruan atau jenis cap ayam kepada mangsa.

pix_middle
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, 36, berkata kegiatan penipuan licik terbabit berlaku ketika dia berhenti untuk mengisi minyak di stesen Petronas tidak jauh dari Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Karak, dekat sini.


Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, dia dihampiri seorang lelaki berusia awal 20-an yang menyapanya sambil menunjukkan telefon bimbit Nokia model N97.


“Lelaki terbabit menawarkan telefon itu pada harga RM600 berbanding harga pasaran mencecah RM1,500.


“Dia mendakwa memperoleh bekalan telefon itu daripada hasil rampasan Kastam Diraja Malaysia (KDRM),” katanya ketika ditemui di sini.


Menurut Nizam, dia membelek telefon bimbit berkenaan dan yakin ia model tulen berdasarkan keadaan luarannya selain turut berfungsi seakan-akan model asli.


“Selepas berunding dan tawar-menawar hampir 10 minit, lelaki terbabit bersetuju menjual telefon bimbit Nokia N97 dengan harga RM600 manakala model N95 dengan harga RM250.


“Saya yang tertarik harga ditawarkan itu bersetuju membeli dua N97 dan dan dua N95 dengan membayar tunai RM1,700,”
katanya.


Menurutnya, dia berniat membeli empat telefon berkenaan untuk dihadiahkan kepada isteri dan ibu mentuanya.

“Lebih meyakinkan apabila selepas dibelek berulang kali, telefon bimbit terbabit mempunyai aplikasi dan paparan tidak ubah seperti telefon asli hingga menyebabkan saya sukar membezakan antara produk palsu dan tulen.


“Namun, selepas selesai membuat pembelian, saya singgah di sebuah kedai telekomunikasi di sebuah pasar raya besar di Gombak untuk memeriksa telefon itu,” katanya.


Nizam berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan pekerja kedai berkenaan empat telefon yang dibelinya itu tiruan dan mudah rosak.


“Malah telefon bimbit ‘tipu’ berkenaan tidak berfungsi seperti didakwa apabila aplikasi kamera, ‘bluetooth’ dan perisian lain termasuk WiFi tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, dia yang berang berusaha menjejaki suspek, namun lelaki terbabit tiada di stesen minyak berkenaan.


“Dengan bantuan rakan saya merancang untuk memerangkap suspek dengan menghubungi telefon bimbitnya seolah-olah mahu membuat lebih banyak tempahan telefon palsu itu.


“Selepas beberapa hari mencuba, suspek membalas SMS saya dan bersetuju menjual telefon bimbit BlackBerry dan Nokia N97 dengan harga beberapa ratus saja,”
katanya.


Nizam berkata, selepas rancangan diatur, dia bersama beberapa rakan berjumpa suspek di stesen minyak Petronas berhampiran Plaza Tol Gombak kira-kira jam 1 tengah hari semalam.


“Sebaik melihat kelibat suspek, kami menangkapnya sebelum memaksa pemuda terbabit mendedahkan kegiatan dilakukan. Dia mengaku bekerja untuk seorang lelaki Sabah yang membekalkan telefon palsu terbabit.


“Suspek berasal dari Kelantan dan dikenali sebagai Raja itu mendakwa menerima upah lumayan bagi setiap telefon bimbit yang dijual kepada mangsa. Berikutan itu kami memaksanya memulangkan semula wang ditipu sebanyak RM1,700 jika tidak mahu diheret ke balai polis,”
katanya yang sempat merakam wajah suspek yang menipunya.


Menurutnya, pemuda terbabit yang didesak menghubungi ‘bos’ yang melindunginya bagi meminta wang terbabit dihantar segera.


“Tidak sampai 15 minit kemudian seorang lelaki muncul membawa sampul kertas berisi wang sebelum menyerahkannya kepada kami. Sejurus itu kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan lokasi.


“Mereka menyasar mangsa di kalangan pemandu kereta terutama yang berhenti mengisi minyak. Mereka sentiasa berpindah bagi mengelak jejak mereka dikesan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjualdiperangkap/Article

Tiada tempat lepas tekanan faktor emosi terganggu

2010/04/26

KUALA LUMPUR: Remaja yang tiada tempat melepaskan perasaan ketika menghadapi tekanan jika tidak ditangani lebih awal, boleh menyebabkan gangguan emosi akhirnya dibimbangi mengambil jalan singkat hingga sanggup melakukan cubaan membunuh diri.

Penolong Profesor Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis berkata, remaja yang menghadapi masalah tekanan perlu ada tempat untuk melepaskan perasaan mereka.


Katanya, kebiasaannya remaja apabila menghadapi tekanan tiada tempat sokongan sama ada ibu bapa atau orang disayangi bagi mencurahkan perasaan itu.


Menurutnya, apabila berada di peringkat gangguan emosi dan perasaan itu tidak dilepaskan mereka boleh berhalusinasi mendengar suara halus sehingga sanggup bertindak terjun bangunan untuk membunuh diri.


“Gangguan emosi ada peringkat, semuanya berlaku kerana perasaan dan tekanan yang dihadapi tidak dapat dilepaskan berikutan tiada sokongan atau orang disayangi untuk mencurahkan perasaan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan Harian Metro Sabtu lalu, yang melaporkan bahana tertekan diejek rakan kerana cinta ditolak dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kangar Perlis, cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah itu.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pelajar lelaki yang baru kematian bapa sebulan lalu bertindak nekad keluar dari bilik darjah dengan memecah cermin tingkap dan berdiri di hujung koridor bangunan setinggi sembilan meter. Dia bertindak demikian selepas tidak tahan diejek rakan sekelas dan aksi dramatiknya menyebabkan pelajar dan guru sekolah kelam-kabut. Tambahan pula ketika itu pelajar bersiap untuk pulang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadatempatlepastekananfaktoremositerganggu/Article

Murid cuba bunuh diri

Oleh Rosliza Mohamed

2010/04/26

KOTA BHARU: Akibat tertekan dengan masalah keluarga, seorang murid perempuan tahun lima dipercayai cuba membunuh diri selepas naik ke tingkat empat bangunan di sekolahnya dekat Kandis, Bachok, pagi semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, murid itu berjaya diselamatkan selepas dipujuk seorang guru kaunseling dan dibantu seorang lagi guru termasuk penyelia asrama. Sebelum kejadian, murid terbabit dikatakan naik ke tingkat empat melalui stor bilik dan dipercayai memanjat pintu jeriji sebelum duduk dengan kaki berjuntai ke bawah di penjuru bangunan berkenaan.


Difahamkan, kejadian hanya disedari ketika guru kaunseling terbabit yang berusia lingkungan 30-an apabila lalu di kawasan sekitar sekolah berkenaan.


Sejurus kemudian, guru terbabit nekad naik ke tingkat empat bangunan berkenaan dan terkejut apabila melihat seorang muridnya duduk di situ.


Ketika itu, guru kaunseling sempat memujuk murid terbabit beberapa minit, sebelum segera memegang mangsa untuk menyelamatkannya daripada terjatuh.


Selepas membawa murid itu turun, dia menceritakan kejadian itu dipercayai daripada masalah keluarga.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bahri Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.05 pagi.


Menurutnya, dia bersama seorang lagi anggota bergegas ke sekolah berkenaan dan sebaik sampai murid terbabit sudah pun diselamatkan dengan bantuan guru.


“Saya difahamkan murid terbabit cuba membunuh diri dengan memberanikan diri naik ke tingkat empat bangunan sekolah berkenaan.

“Bagaimanapun, dengan bantuan guru sekolah itu, dia akhirnya berjaya diselamatkan. Saya juga terharu dengan dengan sikap keberanian guru sekolah berkenaan kerana bertindak dengan cepat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muridcubabunuhdiri/Article

'Arwah pernah beritahu mahu mohon cerai'

2010/04/26

JOHOR BAHRU: Mangsa tikam yang ditemui maut di dapur rumahnya di tingkat 12, Flet Larkin di sini, awal pagi kelmarin, pernah menyatakan hasrat untuk memohon cerai kepada ibunya selepas dikatakan tidak dapat lagi hidup bersama suaminya yang juga pembuat roti canai di Kota Tinggi.

Allahyarham Ahzila Mohamad Sufian, 23, dikatakan mempunyai masalah rumah tangga dan meminta cerai daripada suaminya berusia 30 tahun, sebelum bertengkar dan disyaki ditikam suaminya, awal pagi kelmarin.


Ibu Allahyarham, Zainon Abdul Kadir, 59, berkata Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk bercerai dengan suaminya kerana mendakwa mereka mempunyai masalah rumah tangga. Menurut Zainon, sebelum ini pasangan berkenaan tidak mempunyai masalah, namun sebagai orang luar mereka tidak tahu apa-apa dan enggan campur tangan dalam urusan keluarga anak perempuannya itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Arwahpernahberitahumahumohoncerai/Article

Terpikat godaan ‘janda’ asing

Oleh Shamsul Munir Safini

2010/04/26


KUALA LUMPUR: Sekumpulan wanita warga asing yang berlakon sebagai janda yang kematian suami bergiat aktif menipu lelaki terutama yang sudah berkeluarga bagi menyara kehidupan mereka di sini serta keluarga di kampung halaman.

Kumpulan yang menipu menggunakan pujuk rayu bagi menagih simpati dengan menjaja cerita sedih mereka sebagai janda, mengharapkan golongan suami berkenaan ‘lentok’ di pangkuan mereka.


Tindakan licik dengan modus operandi mereka yang meminta wang dalam jumlah tertentu dipindahkan terus ke dalam akaun melalui Internet, ternyata memudahkan mereka melarikan diri tanpa dikesan.


Penipuan mereka bagaimanapun disedari dua isteri yang mendapati suami mereka menjadi mangsa kumpulan wanita rakus itu sebelum seorang daripada mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


Seorang dari mereka ialah ibu enam orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Salihah, 52.


Salihah berkata, sudah lima tahun dia diherdik dan diganggu kumpulan mengaku janda terbabit. Katanya, walaupun perkara itu sudah lama berlarutan, suami mereka tidak pernah serik walaupun sedar ditipu puluhan ribu ringgit.


Ketika ditemui di sini, dia berkata, pada awalnya aktiviti wanita mengaku janda itu tidak disedarinya walaupun suaminya jarang pulang ke rumah.


Bukan itu saja, katanya, suaminya juga sering tidak mempunyai wang apabila diminta sebaliknya meminta wang darinya.


Kata Salihah, perkara itu terbongkar selepas diberitahu rakannya bahawa suaminya selalu dilihat bersama seorang perempuan dari negara jiran di sebuah kedai makan di Pekan Subang di sini.

“Sejak terkena penangan janda ini, suami saya sentiasa panas baran, pantang ditanya, dia akan melenting malah melontarkan kata-kata kesat, malah pernah mencabar maruah saya dengan mempelawa rakannya untuk berasmara dengan saya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terpikatgodaan__8216_janda__8217_asing/Article

Gempita tsunami udara

Letusan gunung berapi yang dilitupi ais di Iceland telah menyebabkan negara-negara Eropah diselubungi debu hitam minggu ini.




“IA sangat aneh, hanya satu kejadian gunung berapi seluruh Eropah terjejas,” kata Claire Maertens, 49, seorang pelancong Belgium yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand kerana penerbangan ke kampung halamannya di barat laut Eropah dibatalkan ekoran fenomena letusan gunung berapi di bawah glasier di Iceland.

Hakikatnya memang begitu. Kepulan debu hitam daripada letusan Gunung Berapi Eyjafjallakokull, Iceland minggu lalu itu telah meliputi seluruh langit Eropah.

Ia menyebabkan 100,000 penerbangan yang merentasi ruang angkasa benua itu dibatalkan dan syarikat penerbangan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) iaitu yang terburuk dalam sejarah.

Seramai 1.2 juta penumpang terkandas setiap hari telah mencorakkan pelbagai ragam dan huru-hara. Tidak kurang yang naik angin apabila bercerita terlepas urusan perniagaan, temu janji dan majlis perkahwinan.

Anak Malaysia yang menetap di Dublin, Ireland, Hazman Abdul Hamid, 37, merasa tempiasnya akibat letusan itu.


KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.


Tertangguh

Sebagai Pengurus Sumber di sebuah syarikat rekaan dalaman, Brian S. Nolan resah kerana barang yang ditempah masih belum tiba biarpun pesanan dibuat sebelum beliau bercuti Spring Week lagi.

“Saya masih menunggu ketibaan barang-barang yang telah dipesan dari United Kingdom, Eropah dan beberapa bahagian dunia yang lain.


KIRA-KIRA 700 penduduk di sekitar Eyjafjallakokull diarah meninggalkan kediaman masing-masing.


“Sepatutnya semua barang itu tiba sebaik saya pulang daripada bercuti tetapi nampaknya kerja terpaksa ditangguhkan dan saya perlu terus menunggu sehingga laluan udara dibuka dan kesemua barang yang dipesan tiba,” kata Hazman.

Ketika dunia sedang panik berdepan dengan kesan letusan gunung berapi itu, chef tersohor negara dan diiktiraf dunia, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 52, sedang terkandas di London.

“Saya sedang bingung sekarang. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terkandas di sini.

“Dua, tiga malam sejak kebelakangan ini memang saya tidak nyenyak tidur kerana saya sepatutnya sudah terbang pulang ke Malaysia pada 19 April lalu untuk memenuhi beberapa undangan,” ujarnya ketika dihubungi Rabu lalu.


TERKANDAS di lapangan terbang ialah antara kesan yang jelas kelihatan susulan dari musibah letusan Eyjafjallakokull.


Sepatutnya, jika merujuk jadual yang telah diatur, Chef Wan sedang berucap dalam sebuah seminar di Petronas Melaka pada hari itu.

Pada 25 April pula, beliau bertanggungjawab membuat demonstrasi pada Pesta Makanan Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Terbang langsung ke London dari Pulau Mauritius lima hari sebelum itu, Chef Wan berada London bagi membuat rakaman televisyen sebagai tetamu siri The Market Kitchen untuk saluran UK Food Network.

“Pada masa yang sama saya memenuhi undangan untuk membuat persembahan masakan di World Gourmand Cookbook Celebrity Chef Performance Theater sempena Pesta Buku London,” kongsinya.

Pemandangan kelam-kabut di kaunter tiket kereta api dan feri di mana kesemua tiket untuk dua minggu habis ditempah juga tidak membantu mententeramkan perasaannya. Sedangkan cuaca di London pada ketika itu, kata Chef Wan, masih cerah.

“Orang ramai sudah mula bimbang kalau-kalau letusan gunung berapi itu bertambah serius. Kalau ia terjadi, bencana alam besar menanti.

“Terfikir juga, kalau ditakdirkan saya meninggal dunia kerana bencana itu, biarlah di tanah air sendiri, bukan di negara orang,” luahnya yang mendapat berita tentang letusan itu melalui jurukamera ketika membuat rakaman. Melihat paparan klip rakaman letusan itu di televisyen juga sudah menakutkannya.

“Suasana di sini menjadi kelam-kabut. Saya menjadi takut ketika melihat laporan berita bahawa orang ramai sehinggakan bertumbuk di lapangan terbang kerana hilang sabar berebut hendak menuju ke destinasi masing-masing.

“Dalam fikiran saya tanda-tanda kecil kiamat sudah bermula kerana mengenangkan ceramah ulama yang sempat saya dengar, manusia digambarkan menunjukkan perangai buruk mereka dalam keadaan seperti ini ketika menghampiri kiamat,” luah Chef Wan.

Rancang Chef Wan, beliau mahu cuba menaiki feri ke Perancis pada keesokan harinya.

Jalan pulang

“Mana tahu ada feri tambahan ke Perancis. Sampai di Perancis saya akan cuba dapatkan feri ke Sepanyol dan selepas itu ke Casablanca, Maghribi. Dari sana, saya akan naik kapal terbang ke Dubai dan balik ke Malaysia,” cerita bapa kepada aktres Serena Redzuawan itu.

Berita baiknya, Chef Wan dilaporkan berjaya pulang pada Jumaat lalu melalui penerbangan langsung dari London ke Malaysia.

Berbalik kepada kejadian gunung berapi di Iceland, panggilan telefon daripada seorang pegawai perlindungan sivil pada pukul 2 pagi 15 April 2010 menjadi amaran pertama buat penduduk ladang Thorvaldseyri bahawa gunung berapi yang dilitupi ais, Eyjafjallajokull, yang berada berdekatan kediaman mereka akan meletus dalam 20 minit.

Jika mereka terus tinggal di ladang tenusu itu mereka mungkin akan dihanyutkan cairan salji akibat pembebasan tenaga yang sudah bermula di dalam gunung berapi yang terletak enam kilometer dari situ.

Itulah letusan besar-besaran kali pertama gunung berapi itu sejak tahun 1821. Selama ini ia diam sahaja dan tidak dikenali dunia.

Namun, pada hari itu, nama gunung berapi yang sukar untuk disebut itu mengisi muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa setelah menjadi penyebab ruang udara barat Eropah dan Scandinavia diselubungi debu.




Kira-kira 700 penduduk diarah meninggalkan kawasan itu. Sedangkan, lembu tenusu dan kesemua harta mereka masih di ladang itu.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, berdasarkan abu hitam yang meletus keluar daripada gunung berapi itu, maka boleh disifatkan satu letupan yang amat dalam di dalam perut bumi telah berlaku.

Terburuk

“Ia memang suatu bencana yang dahsyat. Bahkan, ada pihak yang menyifatkan ia sebagai bencana terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Ia seperti mencetuskan tsunami di udara.

“Debu kehitaman yang keluar menandakan telah berlaku letupan atau perlanggaran plat yang begitu dalam iaitu di teras bumi. Abu hitam mengandungi kandungan teras bumi seperti nikel dan besi.

“Berbanding gunung berapi yang biasa di Asia Tenggara mengeluarkan abu yang berwarna putih kerana letupan berlaku di kawasan kerak bumi,” katanya.


HASIL ternakan dan tanaman terpaksa ditinggalkan semasa kecemasan akibat bencana itu.


Jelas Mohamad Ali, keadaan gunung di Iceland yang dilitupi glasier (ais kekal) memungkinkan letusan yang datang jauh lebih dalam kerana apabila tekanan yang melibatkan permukaan berais akan menyebabkan kesan yang lebih kuat.

Letusan yang lebih kuat dan dalam menyebabkan abu naik menjulang tinggi ke langit berbanding letusan yang kurang kuat yang mengeluarkan lahar yang lebih banyak.

Mohamad Ali berkata, saintis kini percaya berdasarkan kajian dan sejarah bahawa satu lagi letusan gunung berapi akan berlaku pada kembar Eyjafjallakokull iaitu Katla dan ia 10 kali ganda lebih besar.


RISIKO pesawat yang terbang dalam kepulan asap letusan gunung berapi ialah kerosakan enjin yang membolehkannya terhempas.


Bukan itu sahaja, tidak mustahil bencana gunung berapi akan berlaku di benua-benua yang lain kerana perlanggaran plat telah berlaku. Debu hitam yang berterbangan ditiup angin juga boleh menuju ke atmosfera benua lain.

“Waktu berlaku letusan gunung berapi sukar untuk diramal. Kemungkinan juga terdapat implikasi-implikasi lain daripada letusan seperti kesihatan, perubahan iklim dan pemakanan dunia. Kalau masalah jerebu di negara kita, ia mungkin boleh terpadam dengan hujan.

“Tapi di kawasan benua yang kurang menerima hujan, ia mungkin lebih sukar untuk hilang. Saintis perlu melakukan sesuatu misalnya pembenihan hujan,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Cicak berkepala dua ditemui


GAMBAR menunjukkan seekor cicak yang berkepala dua di Henley Brook, Australia.


PERTH - Seekor cicak berkepala dua ditemui di Coogee, New South Wales, Australia oleh beberapa pekerja taman reptilia, lapor sebuah akhbar semalam.

Reptilia dari spesies yang dikenali sebagai Shingleback itu kini ditempatkan di sebuah taman reptilia di Henley Brook, di sini.

Cicak itu bukan sahaja mempunyai dua kepala tetapi juga mempunyai dua pasang kaki depan di sisi setiap kepalanya.

Pergerakan cicak itu tidak lincah kerana ia mempunyai dua kepala dan kedua-dua mulutnya boleh memakan makanan.

Salah satu kepala itu didapati lebih besar.

Keadaan itu menyebabkan cicak yang mempunyai kepala lebih besar suka menyerang kepala 'kembarnya' yang lebih kecil. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Sekolah tahfiz 'sejukkan' selekoh maut

Laluan berliku ke Sungai Congkak dan Sungai Gabai di Hulu Langat, Selangor terselit insiden aneh.


LALUAN di Kampung Sungai Perdek dikatakan pernah mencatat kejadian pelik.


"BIAR dengar, jangan jumpa," ungkap Norehan Kudrat, 45, memulakan bicara mengenai entiti paranormal yang acapkali ditemui melintas di beberapa kawasan sepanjang Jalan Hulu Langat, khususnya dari Batu 14 hingga Kampung Pansoon dekat Empangan Sungai Langat, Selangor.

Tidak sukar untuk Norehan memulakan cerita kerana dia sendiri pernah mengalami 'lintasan makhluk halus' seperti yang kerap diceritakan oleh penduduk setempat.

Jalan yang bengkang-bengkok dan merentasi tanah perkuburan, bukit, anak sungai dan hutan itu merupakan laluan utama penduduk dan didakwa 'meriah' dengan peristiwa yang sukar dijelaskan menerusi sains moden.




"Fenomena yang selalu berlaku ialah hujan panas terutama di beberapa kawasan selekoh.

"Peliknya, hujan itu cuma turun di permulaan selekoh namun jalan di hujung selekoh kering dan tidak hujan, begitu juga sebaliknya.

"Biasanya, kalau ada orang yang melalui selekoh itu semasa hujan panas tersebut, pasti mereka terlihat atau mengalami sesuatu," cerita Norehan.

Ujarnya lagi, kebanyakan penduduk tempatan pernah mengalami kejadian yang mampu menaikkan bulu roma itu sekurang-kurangnya sekali dan lokasinya ialah di selekoh tersebut.

"Kejadian yang paling popular ialah ada penduduk yang menemui beberapa ekor kuda hitam setinggi manusia berjalan di kawasan selekoh. Apabila hendak ditengok semula melalui cermin sisi kereta, kuda tersebut hilang begitu saja.

"Padahal kebanyakan kejadian terjumpa kuda itu berlaku pada waktu siang," kata Norehan yang merupakan anak jati Kampung Lubuk Kelubi, Batu 19 itu.

Bukan sekadar orang biasa, imam masjid turut disakat oleh makhluk halus itu.

"Pernah dulu, salah seorang imam di sini terjumpa pocong selepas menunaikan solat Subuh. Memang kecohlah sekejap tapi benda itu tidak mengganggu. Ia sekadar menampakkan dirinya," jelas Norehan.

Dalam pada itu, bekas Ketua Kampung Lubuk Kelubi, Kudrat Mohd. Rashid, 80, menyifatkan segala kejadian aneh di kawasan tersebut terutama di selekoh berbukit itu sebagai perkara biasa.

Malah, pengalaman seorang anaknya yang tergilis ekor ular sawa ketika memandu bersamanya tidak dapat dilupakan sehingga kini.

"Daripada cermin pandang belakang kereta, kami nampak ular sawa sebesar batang kelapa itu berdiri tegak sebaik saja kami melepasinya.

"Beberapa saat kemudian ular sawa itu terus hilang," ungkap Kudrat yang berketurunan Minang.

Mengikut logik, hanya ular tedung selar yang mampu berdiri begitu namun apabila melihat sendiri ular sawa tersebut, memang sukar untuk dijelaskan.


KEMALANGAN secara tiba-tiba melibatkan motosikal sering berlaku di selekoh berbukit di sepanjang jalan menuju ke Kampung Pansoon.


Tambahnya, kawasan yang agak 'keras' ialah di selekoh Bukit Alai kerana pada zaman dahulu banyak kejadian pelik dan menyeramkan berlaku di situ.

Bukan sahaja entiti paranormal malah insiden berjumpa dengan kelibat beruk besar atau khinzir turut menjadi sebahagian kisah jalan tersebut.

Cumanya, terang Kudrat, kejadian gangguan tersebut semakin berkurangan semenjak sebuah sekolah tahfiz dibina di situ beberapa tahun lepas.

"Mungkin tempat itu dah 'sejuk' dengan bacaan al-Quran oleh pelajar tahfiz itu. Kisah kemalangan pelik juga sudah jarang berlaku," katanya.

Bagi Kudrat, semenjak menjadi sebahagian keluarga peneroka terawal kawasan tersebut iaitu sekitar 1930-an, pengalaman berjumpa, terlihat atau merasai gangguan ketika melalui selekoh-selekoh di situ diumpamakan sebagai rezeki.

"Bukan untuk menakutkan tetapi lebih kepada peringatan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana selekoh di situ agak bahaya," katanya yang menjadi penghulu di kampung tersebut dari tahun 1968 hingga 1980.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm

Tewas dicumbu abang kandung

Selain dara Lydia diragut abang sendiri, dia turut dibaham 10 lelaki dalam satu malam.




“SAYA tidak sangka sepupu yang selama ini (saya anggap) kekasih sebenarnya abang kandung sendiri. Lebih malang lagi, saya sering melakukan hubungan seks dengannya.”

Itu pengakuan jujur seorang remaja berusia 13 tahun, Lydia (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal di sebuah pusat pemulihan di Selangor baru-baru ini.

Sejak kecil hidup Lydia diselubungi rahsia. Dia dipelihara datuknya sejak berusia tiga bulan.

Status Lydia hanya terbongkar selepas dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya tahun lalu.

Menurut cerita Lydia, datuknya mendakwa ibu bapa kandungnya ialah mak cik dan pak ciknya iaitu ibu bapa kepada sepupunya.

Tidak beragama

Lydia selesa untuk bercinta dengan sepupu sendiri (abang kandungnya), Rashid (bukan nama sebenar) walaupun dia ketika itu baru berusia 10 tahun.

Hakikatnya, remaja itu bukan sahaja ditipu oleh datuk dan keluarganya, malah Lydia dibiarkan terkapai-kapai tanpa didikan agama.

“Saya tidak pernah mengenal erti solat dan menunaikan amalan wajib yang ditetapkan agama Islam sehingga pada usia saya sekarang. Itupun saya belajar di pusat pemulihan.

“Malah, saya tidak beragama walaupun keluarga saya beragama Islam kerana mereka tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Agama Islam hanya sekadar warisan semata-mata,” katanya sedih.

Keadaan itu menyebabkan Lydia bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya termasuk menjadi minah rempit, menghidu gam dan merokok.

Hakikatnya, antara sebab dia bercinta dengan Rashid adalah kerana mereka berkongsi minat yang sama.

“Rashid juga seorang mat rempit walaupun bersekolah agama. Jarak sekolahnya hampir dengan rumah datuk menyebabkan dia sering bermalam.

“Kami sering minum (di restoran) dan menonton wayang bersama-sama. Rashid sering memberikan hadiah seperti jam tangan, rantai, cincin dan telefon bimbit kepada saya. Setelah sekian lama bercinta kami akhirnya melakukan hubungan seks.


LYDIA rela tubuhnya dijamah kerana cinta dan terpedaya pujuk rayu.


Rumah datuk lokasi seks

“Lokasi perbuatan terkutuk itu tentulah di rumah datuk, terutama ketika dia tiada di rumah. Kami melakukan aktiviti itu selepas menghidu gam.

“Jiran-jiran pula tidak mengesyaki apa-apa kerana hubungan persaudaraan kami,” katanya.

Lydia bernasib baik kerana tidak mengandung kerana dia mengambil pil perancang kehamilan.

Cinta Rashid sebenarnya palsu malah dia mempunyai agenda tersendiri untuk memusnahkan hidup Lydia.

Rashid tidak mencintai Lydia, sebaliknya dia berhasrat untuk menjadikan remaja itu sebagai objek taruhan merempit.

“Saya tidak menyedari perkara itu pada awalnya tetapi rahsia itu terbongkar setelah dia kalah dalam perlumbaan.

“Rashid meminta saya mengikut sekumpulan mat rempit. Saya kemudian dibawa ke sebuah rumah dan di sana saya dipaksa melakukan hubungan seks dengan 10 lelaki dalam satu malam.

“Sakit rasanya, tetapi kerana cinta pada Rashid saya pendam sahaja. Keesokannya saya dihantar pulang.

Abang pandai pujuk

“Saya geram dengan sikap Rashid tetapi akhirnya cair kerana Rashid memang seorang yang pandai memujuk,” ujar Lydia.

Selepas itu, dia terus menjadi umpan taruhan Rashid apabila lelaki itu merempit. Lydia akhirnya rela menjadi pemuas nafsu mat rempit.

“Saya tidak kisah (terhadap) pandangan masyarakat. Mereka kata, saya bohsia, pelacur dan sebagainya (tetapi) saya tidak kisah kerana realitinya (saya) memang begitu.


SEKUMPULAN remaja bermotosikal beraksi di sebatang jalan di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan


“Saya juga sering melawan cakap datuk malah sanggup memakinya dengan kata-kata kesat jika kehendak saya tidak dipenuhi,” katanya.

Pecah tembelang

Namun, peristiwa kemalangan jalan raya pada tahun lalu mengubah perjalanan hidup Lydia kerana kejadian itu mendedahkan tembelang Rashid.

“Peristiwa (kemalangan) itu berlaku di Puchong semasa saya bersiar-siar bersama seorang kakak angkat. Saya dilanggar oleh sebuah kereta semasa ingin memasuki simpang di satu selekoh.

“Saya kemudiannya dimasukkan ke sebuah hospital dan koma selama seminggu.

“Sebaik sedar, datuk memberitahu saya sebenarnya bercinta dengan abang sendiri. Datuk mengatakan individu yang selama ini saya anggap sebagai bapa dan ibu saudara sebenarnya ibu dan ayah kandung saya sendiri,” ujarnya.

Lydia tidak dapat menerima hakikat itu pada mulanya kerana dia menganggap hubungan seks dengan abang sendiri merupakan perkara paling jijik pernah dilakukannya.

“Selepas sembuh, saya menjadi tidak keruan dan berkurung dalam bilik. Saya pernah cuba membunuh diri.Saya bernasib baik kerana keluarga menghantar saya ke pusat pemulihan untuk menjalani rawatan.

“Rashid juga menghilangkan diri. Syukur kini saya telah kenal erti solat dan bertaubat. Saya berharap Allah dapat ampunkan dosa saya,” ujarnya pilu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...