Sunday, January 23, 2011

Penduduk berdemo gesa Nik Aziz baiki jalan

Jan 22, 11 4:05pm

Penduduk di lima buah kampung di Kota Bharu, hari ini mengadakan perhimpunan secara aman mendesak ADUN Cempaka yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.

NONEDemonstrasi secara aman yang disertai 50 orang wakil penduduk kampung itu berlangsung kira-kira 20 minit di Kampung Pantai Sabak iaitu kawasan yang terletak dalam DUN berkenaan.

Dakwa penduduk, mereka kini tiada daya kerana masalah kerosakan jalan telah berlanjutan hampir tujuh tahun dengan pelbagai aduan telah dipanjangkan kepada pihak terbabit namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

"Setiap kali aduan dibuat kepada kerajaan negeri, mereka akan datang dan tabur pelbagai janji kemudian terus senyap... apa lagi yang boleh kami buat kerana kami hanya penduduk kampung yang mengharapkan kebajikan kami dibela,” kata Syukri Mokhtar, 50, seorang penduduk Kampung Pantai Sabak.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154142

Demo 10 orang petanda p’raya umum sudah dekat

Salmah Mat Husain

PENGKALAN CHEPA, 23 Jan: Demonstrasi yang hanya dihadiri oleh 10 orang masyarakat kampung termasuk beberapa orang luar dari Kampung Sabak berhubung kerosakan jalan di situ petanda pilihan raya umum tidak lama lagi.

Pegawai Khas Adun Chempaka, Hassan Mamat, ketika dihubungi memberitahu, perhimpunan aman yang berlaku di kampung berkenaan juga bertujuan untuk memburukkan imej Adun Chempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Hasan berkata, demonstrasi aman yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar harian hari ini berhubung kerosakan jalan berkenaan hanya berunsur fitnah.

“Jalannya tidak rosak teruk sebagaimana yang digambarkan oleh media, sebaliknya hanya berlaku kerosakan kecil sepanjang 500 meter.

“Ianya juga berlaku akibat kenderaan berat yang membawa cerucuk besi keluar masuk untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah,” ujarnya.

Katanya, jalan berkenaan tidak seteruk sebagaimana yang digambarkan, memandangkan ianya telah dibaiki awal tahun lalu.

Pada masa yang sama, menurutnya saluran air paip AKSB rosak menyebabkan jalan turut terjejas.

Beliau juga turut menafikan beberapa buah laporan akhbar harian hari ini yang mendakwa demonstrasi aman itu ada yang dihadiri 50 orang atau 2,000 malah 10,000 orang.

Tegasnya lagi, bagaimana kehadiran peserta demonstrasi sehingga 10,000 sedangkan pengundi hanya 1,000 sahaja.

Beliau juga tidak menolak demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk memburukkan imej Tuan Guru.

Katanya, beliau sendiri telah meninjau perkembangan jalan terbabit bersama Setiausaha Sulit Menteri Besar, Rosdi Abdullah.

Hassan bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada pihak Jabatan Kerja Raya kerana telah membaiki jalan di Pulau Gajah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30498:demo-10-orang-petanda-praya-umum-sudah-dekat&catid=1:utama&Itemid=50

Sekitar Proses Penamaan Calon PRK Tenang

Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria

12.10 pm: Penyokong bersurai kira-kira jam 12 tengah hari.

11.40 am:
Calon kini bergerak keluar dari pusat penamaan menuju ke kawasan penyokong berhimpuan di luar dewan.

11.30 am: Normala pada sidang medianya memberitahu, sekurang kurangnya tiga fokus utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Pertama, beliau akan menyuarakan masalah rakyat Dun Tenang, kedua- menyuarakan masalah kaum hawa di sini dan mewakili suara majoriti guru di Labis.

Tambahnya lagi, beliau yakin pengundi Tenang akan berani membuat perubahan dengan memilih calon PAS sebagai wakil rakyat mereka.



11.20 am: Setelah tempoh bantahan ditutup, SPR memberitahu menerima bantahan tetapi selepas meneliti, tiada pencalonan yang ditolak.

SPR mengumumkan pertandingan dua penjuru iaitu antara Normala Sudirman yang mewakili PAS dan Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN.

10.55 am: Ketua Pembangkang Dun Johor Dr Boo Cheng Hau, dari DAP berkata "Kami tunggu kehadiran Cikgu Mala bersama kami di Dun Johor".

10.40 am:
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, PKR akan menghantar sekurang-kurangnya 1,000 petugas bantu kempen calon PAS.




10.10 am: Calon PAS Normala Sudirman menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

10.05 am:
Hanya dua borang pencalonan dipamer iaitu masing-masing dari calon PAS dan calon BN.

10.00 am: Pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan waktu penyerahan borang pencalonan ditutup dan kini dipamer dan dibuka untuk bantahan sehingga jam 11 pagi.

9.50 am:
Presiden PAS ketika ditemui berkata, beliau optimis PAS mampu memenangi PRK Tenang berdasarkan kepada beberapa faktor.

Ianya termasuk perubahan pengundi muda terutama generasi kedua Felda, calon PAS yang yang dekat dengan masyarakat dan sokongan rakyat pada PRU 2008 yang menyaksikan PAS menang di dua Dun Johor.

Adapun Felda katanya, bukan lagi talian hayat Umno kerana masyarakat Felda sudah mula berubah.

Sekurang-kurangnya PAS akan mengurangkan majoriti BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

9.12 am:
Petugas mengawal keadaan penyokong PR yang semakin ramai dengan mengarahkan mereka bergerak ke tepi padang.

9.07 am: Calon PAS masuk ke dewan penamaan calon bersama pencadang dan penyokong.

Calon BN sudah masuk ke dewan penamaan jam 9 pagi tadi.

9.05 am: SPR mengumumkan masa menghantar borang penamaan dibuka jam 9 pagi tadi.

9.02 am:
Calon PAS, Normala Sudirman kini masuk ke pusat penamaan, kini sedang berada di khemah calon PAS yg disediakan SPR.

Mengiringi calon ke dewan penamaan calon, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, MB Selangor, Ketua Muslimat PAS, Datuk Chua Jui Meng dan lain-lain.



8.55 am: Penyokong PR kini mencecah 20 ribu orang berada di hadapan pusat penamaan. Sementara pimpinan PAS sedang berbincang dengan pihak keselamatan.

8.54 am:
Perarakan kini tiba di sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.50 am: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Peserta perarakan kini mencecah 15 ribu orang.

8.47 am:
Perarakan kini berada hampir 500 meter dari sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.45 am: Peserta perarakan kini mencecah 13 ribu orang.





8.40 am:
Antara pimpinan utama yg hadir, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Azmin Ali, dan Tan Seng Giaw.


8.30 am: Pimpinan dan calon PAS kini tenggelam dalam lautan penyokong yang berarak. Jumlah penyokong kini mencecah 8000 orang.

8.28 am:
Penyokong semakin ramai apabila mula bercantum dengan kumpulan kecil di sepanjang jalan.

8.23 am:
Perarakan dimulakan. Lebih 5000 mengikuti perarakan, ribuan lagi sedang menunggu di sepanjang jalan ke pusat penamaan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30482:sekitar-proses-penamaan-calon-prk-tenang&catid=1:utama&Itemid=50





8.20 am: Pihak polis menutup jalan 2 km dari kedua-dua arah menuju ke pusat penamaan sejak malam tadi.

8.15 am:
Jarak ke pusat penamaan calon kira-kira 2 km. Masih menunggu beberapa kepimpinan utama sampai ke tempat himpunan.

8.06 am:
Perarakan akan bermula bila-bila masa bermula di hadapan bilik gerakan utama PAS, bersebelahan dataran wayang pacak, Labis.

8.02 am:
Penyokong dan Pimpinan PAS siap sedia berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis.

Barisan kepimpinan utama PAS dan PR baru sahaja selesai solat hajat.


Pengasas Umno kecewa dengan Umno

Khairil Abdul Rahim

ROMPIN, 22 Jan: "Saya ni pengasas Umno Rompin, saya bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan tapi dalam hati dan jiwa saya kini sudah tidak ada lagi Umno.

“Perit kami berjuang untuk menuntut kemerdekaan demi maruah bangsa, tapi hari ini saya sedih melihat pemimpin Umno sekarang ini berjuang hanya untuk kaya dan memewahkan diri sendiri.”

Demikianlah luah pengasas Umno Rompin, Tuan Haji Nik Ahmad Bin Nik Hassan, 81, kepada Naib Ketua Pemuda PAS Pahang Fadzli Ramly ketika menziarahi tokoh tersebut bersama Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPN) PAS Pahang, Abdul Majid Hassan, di rumahnya di Kampung Pulau Helang dekat sini baru-baru ini.

"Fadzli teruskanlah perjuangan demi anak bangsa dan agama," katanya kepada Fadzli yang juga bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pesara guru yang mesra dengan panggilan Cikgu Nik itu merupakan pejuang awal kemerdekaan dari Rompin sejak menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (STIC) bersama dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Sebaik pulang dan berkhidmat di Rompin, beliau telah menubuhkan Umno Kuala Rompin dan rapat dengan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Razak Hussein.

Ketika perisytiharan darurat pada 1948, beliau sendiri berkawal di bandar Kuala Rompin.

Kini Cikgu Nik sudah tidak kuat lagi kudratnya dan terpaksa bertongkat akibat kaki yang agak lemah kerana diabetes.

Namun dalam kelemahan fizikalnya beliau tetap mengikuti perkembangan politik tanah air. Paling membimbangkannya ialah penghakisan tanah rizab Melayu serta ramainya bangsa Melayu yang terjebak dengan gejala sosial.

Difahamkan, ahli Umno sendiri kurang menziarah Tokoh Guru dan isterinya yang juga sedang sakit itu menyebabkan beliau merasa terpinggir dan berkecil hati.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30492:pengasas-umno-kecewa-dengan-umno&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

Wanita lumpuh selepas kena 'ciuman cinta' di leher

AUCKLAND - Seorang wanita berusia 44 tahun lumpuh buat seketika selepas dia dicium pasangannya di bahagian leher, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia lumpuh di bahagian lengan kiri semasa menonton televisyen.

Doktor-doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca dia diserang strok sehinggalah mereka mendapati terdapat tanda ciuman cinta di bahagian lehernya sekali gus meleraikan misteri serangan strok itu.

Wanita itu kemudian memberitahu doktor bahawa dia dicium beberapa hari sebelum diserang strok.

Seorang doktor, Teddy Wu dari Hospital Middlemore di Auckland berkata: "Disebabkan ia merupakan ciuman cinta, terdapat sedutan yang kuat.

Menurutnya, terdapat darah beku di dalam arteri di tempat sedutan itu dibuat.

Dia berkata, darah beku tersebut tidak dapat bergerak menyebabkan strok itu berlaku. Wanita itu pulih selepas dirawat dengan ubat antibekuan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Buaya trauma setelah tertelan telefon bimbit


BUAYA Gena berendam dalam sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk, Ukraine kelmarin.


KIEV, Ukraine - Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.

Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.

"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.

Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.

Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.

Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.

Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...