Thursday, January 15, 2009

Gadis lelong dara dedah tawaran pembida


GAMBAR laman web Natalie yang melelong dara di Internet.
--------------------------------------------------------------------------------


SAN DIEGO - Seorang gadis berumur 22 tahun yang melelong dara di Internet sehingga bidaannya mencecah setinggi AS$3.8 juta (RM13.6 juta) mendedahkan beberapa tawaran yang diperolehnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita yang menggunakan nama samaran Natalie Dylan itu berkata, lelaki yang menawarkannya AS$3.8 juta (RM13.6 juta) itu menetapkan syarat agar aksi seks mereka dirakamkan.

Natalie turut mendedahkan seorang penjaga zoo mahu memperoleh dara Dylan dengan menawarkan seekor harimau kepadanya.

"Saya masih menerima tawaran tetapi tidak semestinya harga tertinggi akan memiliki dara saya," katanya.

Natalie berkata, pengalamannya ketika menjual dara itu akan menjadi bahan dalam buku yang sedang ditulisnya manakala tarikh akhir lelongan itu masih belum berakhir.

"Saya berjaya mengekalkan dara sehingga berumur 22 tahun. Saya masih boleh bersabar untuk menunggu beberapa bulan lagi," katanya.

Sebelum ini, Natalie menyatakan lelongan dara itu dilakukan bagi memperoleh wang untuk membiayai pengajiannya di peringkat sarjana dalam kursus keluarga dan perkahwinan.

Dia juga menyatakan mendapat ilham untuk menjual dara selepas mendapati kakaknya yang berumur 23 tahun memperoleh pendapatan tinggi bagi membiayai pengajian di universiti dengan menjadi pelacur selama tiga minggu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

Terkejut jumpa kaki dalam otak


TIFFNIE mendukung anaknya, Sam yang berumur tiga bulan.
--------------------------------------------------------------------------------


COLORADO SPRINGS - Sekumpulan pakar bedah di sini terkejut apabila menemui satu kaki kecil dengan beberapa bahagian badan lain di dalam otak seorang bayi, lapor sebuah akhbar semalam.

Pakar bedah itu menemui kaki tersebut ketika melakukan pembedahan untuk membuang apa yang dipercayai pada mulanya sebagai tumor.

Bayi itu, Sam Esquibel yang berumur tiga bulan, digelar bayi ajaib kerana masih hidup selepas pembedahan dilakukan oleh sekumpulan doktor di Hospital Memorial Colorado Springs.


GAMBAr X-ray menunjukkan kaki dalam otak bayi.
--------------------------------------------------------------------------------


Mereka mula mengesan tumor pada otaknya dengan menggunakan mesin pengimbas ultrasound ketika ibu Sam, Tiffnie Esquibel sedang hamil.

"Saya terpaksa berhenti seketika selepas melihat kaki itu tiba-tiba keluar dari ketumbuhan tersebut kerana saya tidak pernah melihat kaki berada dalam otak," kata pakar bedah saraf, Dr Paul Grabb.

Pakar itu akhirnya membuang semua ketumbuhan itu yang turut mengandungi satu paha dan tangan.

Pakar-pakar percaya bahawa kaki itu merupakan teratoma iaitu tumor yang mengandungi beberapa tubuh badan yang tidak sempurna. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Fatwa haram beli produk Israel

TEHERAN – Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengeluarkan fatwa yang mengharamkan umat Islam membeli barangan atau berurusan dengan syarikat milik Israel.

Beliau juga menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya menjauhi daripada membeli barangan yang boleh memberi keuntungan kepada Israel.

Pengharaman tersebut juga termasuk berurusan dengan syarikat antarabangsa yang beroperasi di dalam atau luar Iran di mana pemegang sahamnya adalah rakyat Israel. – AP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Hamas sudah beri jawapan


KAHERAH – Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit menyatakan kerajaan Hamas sudah memberi jawapan kepada perantara Mesir mengenai usul gencatan senjata di Gaza.

Beliau memberitahu, jawapan tersebut akan disampaikan kepada pihak Israel hari ini.

Pelan gencatan senjata itu menuntut supaya satu gencatan senjata segera berkuatkuasa di Gaza manakala Israel mengundurkan tenteranya dari wilayah itu. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Israel bedil pula selatan Lebanon


ASAP putih menjulang ketika tentera Israel membedil sebuah lokasi di utara Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BEIRUT - Meriam-meriam tentera Israel membedil selatan Lebanon semalam sebagai membalas satu serangan roket ke wilayah Yahudi, kata beberapa pegawai keselamatan Lebanon.

Mereka berkata, askar-askar negara itu turut memusnahkan sejumlah roket yang sedia ditembak ke dalam wilayah Yahudi.

Insiden berbalas tembakan itu merupakan yang kedua sejak Israel menyerang kerajaan Gaza pada 27 Disember lalu dan mengancam mencetuskan perang baru antara negara Yahudi itu dengan Lebanon.

Polis Israel berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas tiga roket dari selatan Lebanon mengenai kawasan terbuka berhampiran bandar Kiryat Shemona tetapi penduduk sekitar diarahkan berlindung dalam pusat perlindungan bom.

Tentera Lebanon juga menyatakan tidak ada kecederaan berlaku di pihak mereka.

Sementara itu, kerajaan Lebanon mengutuk serangan roket ke Israel.

Menteri Penerangan, Tarek Mitri berkata, serangan seperti itu mengancam kepentingan negara dan memberikan alasan kepada Israel untuk menyerang Lebanon. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Mayat Palestin berterbangan


SATU letupan berlaku dekat sebuah masjid di Bandar Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


GAZA - Sebuah jet Israel mengebom satu tanah perkuburan di Gaza semalam menyebabkan sejumlah anggota badan manusia berterbangan ke kediaman penduduk berhampiran.

Selepas serangan itu, beberapa penduduk mengutip bahagian badan manusia yang bertaburan sebelum meletakkan ke dalam sebuah lubang besar yang terbentuk akibat letupan bom tersebut.

"Keseluruhan Gaza kini menjadi tanah perkuburan," kata seorang penggali kubur, Salman Omar.

SEBAHAGIAN penduduk melihat kawah yang terbentuk akibat dibom jet Israel di kawasan perkuburan Sheikh Radwan, Bandar Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Seorang penduduk berkata, kawasan itu kini berbau busuk yang berpunca daripada mayat yang reput dan hangus terbakar.

"Daging serta organ dalaman manusia bertaburan di atas bumbung dan kami meletakkan ia ke dalam beg plastik," kata seorang penduduk, Ahmad Abu Jarbou.

Ahmad memberitahu bahawa seorang jirannya menemui tangan seorang wanita yang telah mati bertahun-tahun dahulu di kediamannya.

"Jiran saya juga terpijak cebisan daging manusia ketika dia keluar untuk melihat apa yang berlaku," jelasnya.


--------------------------------------------------------------------------------


Tentera Israel berkata, pihaknya mengebom sebuah tempat simpanan senjata yang terletak berhampiran dengan tanah perkuburan tersebut.

Menurutnya, satu lagi serangan berhampiran menyasarkan satu lokasi yang digunakan oleh pejuang Hamas untuk melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.

Serangan tentera Israel masih diteruskan semalam dengan angka kematian melepasi 1,000 orang. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

4 pos kastam dibom di Golok


Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


GOLOK (Selatan Thailand) - Orang ramai yang berurusan di pintu sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Jambatan Muhibah, Sungai Golok di sini dikejutkan dengan letupan dua butir bom di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Thailand yang sedang dalam pembinaan semalam.

Letupan pertama pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan (7.30 pagi waktu Malaysia) itu merosakkan empat pos pemeriksaan kastam di CIQ baru berharga RM16 juta yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan CIQ lama negara jiran itu. Kedudukan CIQ Malaysia dengan lokasi letupan pula kira-kira 200 meter.

Dalam masa kira-kira 10 minit, pos pemeriksaan itu digegarkan dengan letupan kedua.

Kedua-dua letupan itu menyebabkan laluan untuk memasuki atau keluar dari kedua-dua negara terpaksa ditutup selama dua jam.

Bagaimanapun, tiada mangsa cedera kerana pekerja di Kompleks CIQ yang dalam pembinaan itu belum sampai untuk bekerja.

Kompleks tersebut dijangka siap dalam tempoh lima bulan lagi.

Tinjauan Kosmo! mendapati anggota polis dan tentera mengetatkan kawalan dan pemeriksaan di tempat kejadian selepas letupan itu.

Jambatan Muhibah dibuka untuk laluan bermula pada pukul 6 pagi dan ditutup pada 10 malam setiap hari.

Timbalan Konsul Besar Thailand di Malaysia, Niran Boonjit berkata, pihak keselamatan Thailand belum mengenal pasti kumpulan yang memasang dan meletupkan bangunan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

'Geng Tukang' berkubur

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my



Sebahagian barangan samun Geng Tukang yang dirampas polis Ampang Khamis lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


AMPANG JAYA - Enam lelaki termasuk seorang warga Thailand yang pakar dalam membaiki rumah, telefon dan mesin kilang kertas menukar profesion masing-masing menjadi penyamun yang digelar 'Geng Tukang'.

Difahamkan, penubuhan kumpulan itu adalah ilham daripada pemerhatian mereka terhadap penghuni rumah yang mudah terpedaya, lebih-lebih lagi apabila didatangi anggota penguat kuasa.

Ahli kumpulan itu selalunya bergerak antara empat dan lima orang semasa merancang melakukan samun.

Kawasan yang selalu menjadi sasaran pula ialah Ampang dan Cheras.

Sebaik memasuki rumah mangsa, suspek-suspek yang biasa menaiki kereta atau motosikal akan menunjukkan gari dan buku saku yang mempunyai logo polis bagi memperdaya mangsa.

Alasan mereka ke rumah mangsa adalah untuk membuat pemeriksaan di dalam rumah kerana disyaki menyimpan barang curi.

Sebaik dibenar masuk, suspek terus mengeluarkan parang sebelum mangsa diikat dan suspek-suspek kemudian menggeledah seluruh rumah.

Bagaimanapun, kegiatan 'Geng Tukang' yang bermula pertengahan tahun lalu terbongkar pukul 3 pagi Khamis lalu apabila polis menyerbu sebuah apartmen di Pandan Perdana di sini yang dijadikan stor menyimpan barang samun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota 'Geng Tukang'.

"Suspek kemudian membawa polis ke dua rumah lagi di Jalan Pudu Ulu dan Kampung Cheras Baru di Jalan Kuari dan menahan lima lagi lelaki termasuk seorang warga Thailand.

Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barang curi termasuk komputer riba (3), parang (5), jam tangan (30), telefon bimbit (22), minuman keras (8), gari (1), sebuah buku saku Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebuah kereta Nissan Sentra curi.

Kesemua barang rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM100,000.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Harga ayam turun minggu depan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA - Orang ramai bakal menikmati harga borong dan runcit ayam pelbagai gred yang lebih murah sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 19 Januari hingga 2 Februari ini.

Untuk tempoh itu, harga siling ayam standard ditetapkan kepada RM6.90 sekilogram berbanding RM7 pada musim perayaan Aidilfitri dan Deepavali lalu manakala ayam super daripada RM7.85 kepada RM7.70.

Ketika mengumumkannya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, keadaan itu didorong lebihan bekalan sejak Disember lalu.

"Di samping itu, berlaku penurunan kos pengeluaran kerana kejatuhan harga makanan ternakan terutama jagung dan minyak sawit mentah," kata Shahrir.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Pendatang mula angkat kaki

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA, JUNHAIRI ALYASA dan SAIFUL AFFENDY SAPRAN
berita@kosmo.com.my



LADANG getah bukan lagi syurga bagi warga asing di Malaysia ekoran harga komoditi itu yang merudum. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Tempias kegawatan ekonomi dunia mula dirasai terutama dalam sektor pengeluaran dan perladangan apabila ramai pekerja asing kini tersepit dan tidak lagi menganggap Malaysia sebagai 'syurga rezeki'.

Malah, kejadian sekumpulan 40 warga Indonesia yang karam di perairan Pulau Putri, Batam Ahad lalu mungkin terdiri daripada mereka yang sudah 'perit' untuk terus mencari rezeki di negara ini.

Ia juga dikatakan permulaan pergerakan beramai-ramai pulang ke kampung masing-masing.

Dianggarkan 60 hingga 70 peratus daripada dua juta pekerja asing yang bekerja di negara ini bakal kehilangan pekerjaan dalam kedua-dua sektor tersebut pada tahun ini gara-gara kegawatan ekonomi.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Samsuddin Bardan, ketika ini pun, sudah ramai pekerja asing di negara ini yang telah diberhentikan kerja.

"Proses pemberhentian ini sebenarnya telah berlaku sejak kenaikan harga minyak tahun lalu sehingga memaksa banyak syarikat mengurangkan pekerja,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Ekoran ketiadaan kerja itu, beliau tidak menolak kemungkinan ramai pekerja asing yang sebelum ini menjadikan negara ini sebagai lubuk rezeki akan 'angkat kaki' dari negara ini.

"Saya menjangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga pertengahan tahun 2009,'' jelasnya.

Sebelum ini, jelas beliau, sektor perladangan dikuasai hampir 70 peratus pekerja asing, perkilangan 35 peratus, sektor perkhidmatan 20 peratus dan sektor pembinaan sekitar 90 peratus.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

'Kami tak mahu pulang'

junhairi.alyasa@kosmo.com.my



SEBAHAGIAN warga Aceh mangsa tsunami yang tinggal di Kampung Padang Balang, Gombak yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Walaupun tempoh perlindungan bagi warga Aceh yang menjadi mangsa tsunami pada Disember 2004 di negara ini tamat pada 5 Januari lalu, namun ada di kalangan mereka masih terus tinggal di negara ini.

Rata-rata yang ditemui memberi alasan faktor kewangan menjadi penyebab mengapa masih ramai warga Aceh masih tinggal di sini dan enggan pulang.

Malah, ada antara mereka kononnya telah dimaklumkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan Malaysia akan menyambung tempoh perlindungan terhadap mereka.

Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! di beberapa penempatan warga Aceh di ibu kota seperti Kampung Padang Balang dan sekitar Plaza Safuan, Chow Kit mendapati bilangan mereka sudah berkurangan berbanding sebelum ini.

Berdasarkan anggaran Jabatan Imigresen sebelum ini terdapat kira-kira 20 peratus atau 5,119 warga Aceh yang menjadi mangsa tsunami masih tinggal di negara ini dan kerajaan akan melakukan operasi 'membersih' secepat mungkin untuk menghantar mereka pulang.



KAD IMM13 yang dikeluarkan untuk warga Aceh.
--------------------------------------------------------------------------------


Kebanyakan warga Aceh itu tinggal di kawasan seperti Ampang, Gombak, Klang, Sepang dan Semenyih dan beberapa negeri lain di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

Warga Aceh itu menjalani kehidupan seharian sebagai buruh binaan atau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Ekoran bencana tsunami yang melanda wilayah tersebut pada Disember 2004, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas Untuk Etnik Aceh (IMM13) kepada 25,593 orang yang tamat tempoh pada 2007.

Bagaimanapun, selepas tempoh tersebut tamat, ia dilanjutkan selama setahun bagi membolehkan warga Aceh menguruskan perjalanan pulang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Malaysia alami kelembapan: KDNK 0.5 berbanding unjuran awal 3.1


''Kelembapan teknikal hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan sahaja pada tahun ini" Citi Investment


14 Jan 2009 12:01PM

KL: Citi Investment Research (Citi Investment), di bawah kumpulan perbankan terkenal, Citibank, menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini kepada 0.5 peratus berbanding sasaran awalnya pada 3.1 peratus.
Pengarah Ketua Kajian Malaysia, Kajian Ekuiti Asia Pasifik, Citi Investment, Choong Wai Kee berkata, unjuran itu berdasarkan impak krisis kewangan global semasa yang semakin dirasai oleh negara khususnya dalam pertumbuhan eksport yang mengalami aliran menurun.

Ini dapat dilihat daripada prestasi eksport pada bulan November tahun lalu yang menurun sejak dua bulan berturut-turut sebanyak 4.9 peratus.

Faktor-faktor lain yang menunjukkan negara mula mengalami perubahan daripada krisis kewangan global itu ialah jumlah pekerja yang diberhentikan oleh data Bank Negara Malaysia adalah 11,560 orang pada suku tahun ketiga 2008.

Permohonan pinjaman pengguna dan kelulusan juga menurun, perbelanjaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perlahan manakala terdapat lebih banyak penyusutan dalam pendapatan syarikat korporat.

Wai Kee berkata, bagi prestasi suku ke suku untuk tahun ini pula, Malaysia dijangka mencatat kemelesetan teknikal bagi suku pertama pada -0.9 peratus, diikuti dengan sifar peratus masing-masing bagi suku kedua dan ketiga manakala pertumbuhan ekonomi pulih kepada dua peratus pada tahun suku keempat.

''Kelembapan teknikal hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan sahaja pada tahun ini tetapi ia tidak bermakna Malaysia akan mencatat kemelesetan teknikal untuk keseluruhan tahun 2009.

''Bagaimanapun ekonomi akan pulih sedikit pada suku keempat bergantung kepada usaha proaktif kerajaan yang memperkenalkan beberapa pakej rangsangan untuk menjana perkembangan ekonomi,'' katanya pada sidang akhbar tentang hala tuju negara dalam mendepani perkembangan bagi tahun 2009 di sini.

Kerajaan mengunjurkan KDNK 3.5 peratus pada tahun ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan walaupun kegawatan kewangan global memberi kesan yang buruk ke atas ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah.

Citi Investment, bagaimanapun menyasarkan pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi lebih baik menjelang tahun 2010 iaitu pada kadar 4.2 peratus.

Selain itu, Wai Kee berkata, dalam menghadapi senario berkenaan, pakej rangsangan ekonomi kerajaan dengan peruntukan RM7 bilion merupakan langkah paling praktikal kerana negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada eksport.

Katanya, negara akan menghadapi risiko yang tinggi jika terus bergantung kepada pendapatan daripada eksport ekoran semua ekonomi di seluruh dunia tidak membeli lagi di pasaran antarabangsa.

''Bagaimanapun, bagi kami pakej rangsangan bernilai RM7 bilion itu tidak mencukupi untuk menghadapi kemelut kewangan tersebut dan terdapat keperluan bagi kerajaan untuk berbelanja lebih daripada jumlah tersebut.

''Meskipun kami tidak dapat memberi sebarang nilai unjuran yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan (bagi pakej rangsangan) tetapi jumlah unjuran RM30 bilion yang pernah dilaporkan sebelum ini oleh syarikat swasta adalah suatu jumlah yang munasabah.

''Tetapi kerajaan perlu mengimbanginya kerana bajet defisit negara adalah 4.8 peratus, jumlah itu akan menjadi lebih besar jika kerajaan berbelanja lebih,'' terangnya.

Namun beliau berharap kerajaan menumpukan usaha kepada mempercepatkan lagi sebahagian daripada projek yang telah dirancangkan sebelum ini.

Katanya, banyak projek pembangunan yang diumumkan oleh kerajaan dan terdapat ruang bagi kerajaan untuk menyegerakan kerja berkenaan serta dalam masa yang sama memastikan perlaksanaannya berjalan lancar.

Ditanya mengenai pakej rangsangan kedua, Wai Kee berkata, peruntukan itu dijangka lebih RM7 bilion.

''Kami tidak membuat sebarang unjuran jumlah yang akan diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua itu, tetapi berdasarkan kepada penanda aras negara jiran di rantau ini dan kadar KDNK, maka belanjanya dijangka lebih besar melebihi RM7 bilion,'' ujarnya.

http://www.klpos.com/news/2009/01/14/1.html

Siapa Ezam? - Anwar


Satu pun saya tidak layan

13 Jan 2009 11:05AM

"EZAM who?" begitulah reaksi awal Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diminta mengulas kenyataan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor yang akan mendedahkan "surat damai" Penasihat Parti Keadilan Rakyat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 September 1998.

Surat itu dakwa Ezam yang pernah jadi Setiausaha Politik kepada Anwar akan membuktikan bagaimana sikap hipokritnya kerana pada waktu yang sama mengutuk mantan Perdana Menteri selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar dengan stailnya yang bersahaja sebaliknya memperlekehkan kenyataan Ezam nak dedahkan surat itu menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu Sabtu ini.

Kalangan yang cukup arif dengan stail Anwar mendakwa beliau selalu mengambil taktik mengelak untuk melayan cabaran Ezam kerana sedar bekas orang kanannya itu ' tahu banyak'.

Kata Anwar sejak pilihanraya umum tahun lalu, sebanyak 101 tuduhan dilemparkan oleh Ezam terhadapnya.

“Tetapi satupun saya tidak layan. Yang ini juga saya tidak mahu layan kerana jika saya berbuat begitu, ia seolah-olah saya memberikannya pengiktirafan," katanya menjawab soalan para wartawan mengenainya di bangunan Parlimen petang Isnin.

Apabila ditanya sama ada surat yang disebut oleh Ezam itu wujud atau tidak, Anwar sekali lagi memberikan jawapan yang hampir sama, dan bertanya semula kepada wartawan, ""Surat itu bertarikh 10 tahun lalu ya?"

Apabila diajukan sama ada beliau tidak mengiyakan atau menafikan tuduhan itu, Anwar pula berkata, "macam awak cakap, surat itu bertarikah 1998. Benda itu dah lama bukan," kenyataan yang membuat wartawan kebingungan.

Anwar kemudian mengatakan apa-apa sahaja yang didakwa oleh Ezam tidak akan menjejaskan peluang kepada PR memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Ezam, ketika memberi ceramah di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad mendedahkan dia memiliki surat bertulis tangan oleh Anwar yang mengajak Dr Mahathir berdamai.

Kata Ezam bahawa Anwar telah memanggilnya dan meminta beliau sampaikan surat berkenaan kepada Dr Mahathir.

Menurut Ezam Anwar begitu marah ketika Dr Mahathir memecatnya, tapi kandungan surat itu amat berlainan dengan sikap Anwar.

Ezam turut mengumumkan akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini.

Ketika diminta mengulas pendapat pemerhati politik atau media yang memberikan peluang 50-50 kepada BN dan PAS dalam pilihanraya kecil Terengganu, Anwar berkata, anggapan itu sudah dianggap cukup baik bagi pembangkang.

"Peluang 50-50 sudah boleh dianggap paling selamat memandangkan kita berdepan dengan "media yang serong" dan wang berjutaan Ringgit. Sesetengah media pula membuat laporan seolah-olah hanya satu parti yang bertanding.

Menyentuh ramalan keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu bakal ditentukan oleh undi kaum Cina, Anwar berkata, walaupun kecil, undi kaum itu dan juga India sudah pasti akan membantu.

"Kami tidak memandang rendah sesiapa. Baik Undi Melayu, Cina atau India, semuanya sama penting. Insyalah kita akan menang jika kita kerja kuat," katanya. / Agendadaily

http://www.klpos.com/news/2009/01/13/3.html

"Lelaki yang jiwanya tidak puas dengan satu"



Rabu Januari 14, 2009

Oleh WAHIDA ASRANI


"ORANG lelaki kadang-kala jiwanya tidak puas dengan satu. Mungkin Norman adalah jenis lelaki yang 'tewas' dengan perempuan," luah perunding motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad mengenai kontroversi yang melanda aktor popular, Norman Hakim dan bintang muda, Suhaiza Suhaimi atau Memey.


Tengku Asmadi yang ditemui ketika hadir sebagai tetamu undangan program Wanita Hari Ini (WHI) di Sri Pentas, semalam bersama Memey sendiri bagi membincangkan isu 'hangat' dua pelakon itu berkata, keretakan rumahtangga Norman dan bekas isterinya, Abby Abadi serta insiden ditangkap khalwat dengan Memey sebenarnya berpunca daripada 'kesilapan' langkah Norman sendiri.


"Ada pelbagai jenis suami; ada yang mithali yang mana dia akan sentiasa menjaga isteri dan anak-anaknya dengan baik, tetapi ada juga suami yang jiwanya sentiasa 'bergelora' walaupun sudah berkahwin.


"Mungkin di awal-awal perkahwinan, dia tidak tunjuk sangat. Tetapi setelah bertahun-tahun, dia mula berubah. Dalam kes ini, mungkin keprihatinan dan masa yang banyak diluangkan bersama Memey akhirnya telah membuahkan perasaan cinta.


Dr. Tengku Asmadi menyifatkan apa yang berlaku sebenarnya berpunca daripada 'kesilapan' langkah Norman sendiri

"Apabila perhatian dan harapan diberikan kepada perempuan, pastinya si perempuan itu akan rasa dihargai dan dia akan beri reaksi yang sama. Tetapi perlu diingat, bila berlakunya perkara ini, adakalanya barulah si suami akan nampak sikap sebenar isteri yang sebelum ini tidak pernah dilihatnya.


"Sebagai contoh, bila berlakunya kontroversi seperti ini, barulah si suami sedar bahawa isterinya boleh mengamuk dan menyerangnya. Ini membuatkan suami itu akan tersepit dan tidak tahu untuk menyelesaikannya.


"Mungkin bagi Norman sendiri, dia tidak jangka api kemarahan Abby boleh jadi sebesar itu,"
katanya.


Menurut Tengku Asmadi lagi mengenai kes yang melanda Norman, Abby dan Memey ini, Norman sepatutnya mengambil langkah dengan cuba sedaya-upaya memujuk Abby jika benar-benar masih menyayangi isterinya itu dan ingin berpoligami.


"Dia kena betul-betul yakinkan isterinya. Dia yang mulakan, jadi dia perlu fikir cara untuk selesaikan. Dia sama sekali tidak boleh memburuk-burukkan isteri di hadapan perempuan lain semata-mata untuk tagih perhatian perempuan itu.


"Abby mungkin amat tertekan dan merasakan masyarakat menganggap dia adalah isteri yang bermasalah dan tidak pandai jaga suami. Disebabkan itu dia akhirnya menuntut cerai,"
jelasnya yang mengikuti kes ini sejak dari awal tercetusnya kontroversi tersebut.


Katanya lagi, Norman sepatutnya perlu sensitif dengan perasaan isterinya tatkala insiden tangkap khalwat bersama Memey telah membuatkan rumahtangganya bergolak.


"Norman pernah bercakap di dalam akhbar bahawa dia juga perlu menjaga hati pihak Memey yang mana perkara itu sebenarnya telah membangkitkan kemarahan Abby. Perkara ini sebenarnya cukup sensitif bagi mana-mana isteri sebenarnya.


"Bila masalah menjadi semakin besar seperti ini, ia sukar untuk diselesaikan. Dan Memey juga akan turut menjadi mangsa keadaan dan sememangnya dia juga tersepit dalam hal ini," kata Tengku Asmadi.


Namun begitu, kata perunding motivasi ini lagi, dia yakin beberapa tahun dari sekarang, Norman mahupun Abby akan melihat masalah yang melanda mereka ketika ini dari sudut atau perspektif yang lain pula.


"Cara Norman menilai kehidupan barunya nanti akan berbeza. Andai kata Norman tidak berkahwin lain dalam masa beberapa tahun ini, tidak mustahil jika dia akan merujuk semula setelah meneliti semula masalah mereka dari sudut lain, sebagai contoh faktor anak-anak.


"Begitu juga dengan Abby. Banyak kes cerai yang berlaku di mana pasangan itu kemudiannya akan merujuk semula setelah beberapa tahun. Itu kemungkinan yang boleh terjadi,"
kata Tengku Asmadi.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/14/mstar_hiburan/20090113213812&sec=mstar_hiburan

Karpal: DAP keluar Pakatan jika hudud dilaksana



Rabu Januari 14, 2009

KUALA LUMPUR: DAP mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya PAS masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.


Pengerusi DAP Karpal Singh ketika menyatakan perkara itu mengulangi pendirian bahawa hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar DAP dan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.


"Sewajarnya PAS mengambil kira pandangan DAP sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian kami," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Istana Negara di sini hari ini.


Terdahulu beliau menyerahkan surat untuk Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Surat itu diterima oleh Setiausaha Istana Negara Zainab Muhammad di luar pagar pintu belakang Istana Negara.


Pada 21 Dis lepas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/14/mstar_berita/20090114143846&sec=mstar_berita

Misi PBSM bantu Palestin tiba di Rafah


Rabu Januari 14, 2009

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang menghantar misi perubatan pertamanya ke Semenanjung Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan tentera Israel akan memasuki Rafah di sempadan Mesir-Palestin hari ini.


Pasukan dua anggota terdiri Dr Yahaya Abu Ahmad dan pegawai logistik, Nasir Khan Abdul Rahman, sampai ke Kaherah Sabtu lalu bagi memulakan perjalanan sejauh 300 kilometer untuk sampai ke sempadan Rafah.


Nasir Khan ketika dihubungi berkata, mereka berdua bergerak dengan menaiki sebuah van dengan membawa lima kotak ubatubatan dan memasuki Rafah tengah hari ini.


"Perjalanan mengambil masa empat jam dan kita telah berhubung dengan Persatuan Palang Merah Palestin yang menunggu kita di sempadan Rafah dan mengiringi kenderaan kita," katanya.


Beliau berkata PBSM mendapat kerjasama baik daripada Persatuan Palang Merah Mesir dan Palestin, dan mereka tidak menghadapi masalah memasuki sempadan Rafah.


Nasir Khan berkata bahawa selepas penyerahan ubat-ubatan kepada wakil Persatuan Palang Merah Palestin, beliau dan Dr Yahaya akan bergerak ke sebuah hospital di ElAirsh, 40 kilometer dari Rafah.


"Kita difahamkan terdapat ramai mangsa di sana terutama kanakkanak dan wanita. Dr Yahya akan memberi bantuan perubatan," katanya.


Sebelum itu, beliau dan Dr Yahaya melawat Hospital Mahad AlNaser di Kaherah, di mana terdapat 35 rakyat Palestin yang menerima rawatan.


"Mereka adalah mangsa hari pertama serangan iaitu pada 27 Dis lalu," kata Nasir Khan.


Pengurus Komunikasi PBSM, Suhana Mohamed Salleh berkata selain memberi bantuan perubatan, misi pertama itu akan berada di Palestin selama 10 hingga 14 hari dan akan membuat pemantauan bagi mengetahui permintaan dan keperluan perubatan di sana.


"Daripada penilaian yang dibuat itu, barulah kita akan hantar jenis ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan di sana serta pasukan perubatan seterusnya," katanya.


PBSM juga menubuhkan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin bagi membantu rakyat negara itu.


Sehingga kini ia telah menerima kirakira RM30,000 yang akan digunakan untuk membiayai kos pembelian ubat, alat bantuan sokongan serta bantuan pemulihan rakyat Palestin.


Orang ramai boleh menghantar sumbangan melalui akaun Maybank bernombor 5144 2210 2657 atau sumbangan cek atas nama 'Tabung Bantuan Antarabangsa PBSM' dengan menulis 'Gaza City' di belakang cek terbabit. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/14/mstar_berita/20090114151759&sec=mstar_berita

Enam sebatan umat Islam minum arak dianggap berat


Rabu Januari 14, 2009

TAWAU: Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) Datuk Syed Abas Syed Ali berkata hukuman enam kali sebatan rotan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang terhadap seorang lelaki dan seorang wanita Islam di negeri itu kerana meminum arak adalah terlalu berat.


Sambil menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak berkesan untuk mencegah umat Islam daripada minum arak, beliau sebaliknya mencadangkan supaya pendekatan pemulihan digunakan untuk mendidik umat Islam supaya tidak mendekati tabiat haram itu.


"Itu (sebatan) bukan caranya. Lebih baik umat Islam yang ditangkap meminum arak dihantar menjalani proses pemulihan untuk membolehkan mereka meningggalkan tabiat itu.


"Penagih arak bukan mudah untuk meninggalkan tabiat berkenaan. Ia seperti perokok yang sukar meninggalkan tabiat merokok,"
katanya di sini hari ini.


Syed Abas yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Balung berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di Pahang yang mengenakan hukuman enam kali sebatan rotan terhadap Mohamad Nasir Mohamad, 38, dan Noorazah Baharuddin,22, seorang pelayan, kerana didapati bersalah meminum arak di sebuah pub di Pahang tahun lalu. Selain hukuman rotan, Mohamad Nasir dan Noorazah juga masingmasing dikenakan denda.


Syed Abas berkata menggunakan pendekatan hukuman berat seperti itu bukan sahaja tidak berkesan dalam mendidik umat Islam supaya menjauhi perbuatan haram itu, malah ia tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.


"Jika inilah pendekatan yang diambil, lebih baik umat Islam diharamkan sama sekali daripada memasuki kelab malam atau pub kerana majoriti mereka yang mengunjungi tempat-tempat tersebut akan minum arak.


"Kalau tidak, beribu-ribu umat Islam akan disebat kerana meminum arak. Lebih baik mereka yang ditangkap minum arak ditahan seketika untuk membantu mereka meninggalkan tabiat berkenaan," katanya.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/14/mstar_berita/20090114164043&sec=mstar_berita

Makin ramai gemuk


KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti adalah trend yang amat membimbangkan di Malaysia pada masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

Beliau berkata, melakukan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan masih belum mencukupi untuk meningkatkan tahap kesihatan di negara ini.

“Malahan kita perlu melakukan perubahan drastik dan menggunakan pendekatan baru dalam pembangunan kesihatan dan dasar kesihatan,” katanya di sini.

Dr Ismail berkata, masalah utama dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan kesihatan awam berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit di negara ini ialah perubahan sikap.

“Bagaimana kita nak mengubah masyarakat supaya berminat dan komited untuk berubah sikap,” soalnya.

“Kita telah sebarkan pelbagai maklumat melalui media, seminar dan perbincangan, tetapi masih lagi belum berjaya.”

Beliau menggesa pakar Kesihatan Awam agar menjalankan penyelidikan dan menjalin rangkaian dengan rakan mereka dalam sektor dan bidang lain di dalam negara dan antarabangsa untuk merumuskan strategi inovasi untuk menangani cabaran berkenaan.

Dr Ismail berkata, juga wujud kebimbangan awam mengenai isu seperti keselamatan makanan, pencemaran alam sekitar akibat agen kimia dan kesan perubahan iklim terhadap kesihatan.

“Impak perubahan iklim mempunyai kaitan langsung dengan penyakit bawaan vektor, bawaan air dan bawaan makanan yang menjejaskan pembiakan, pembangunan dan survival mikrob dan vektor, yang akan menjejaskan tahap dan masa penularan wabak penyakit.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjangkakan dan mengambil langkah untuk merumuskan strategi inovasi untuk mengurangkan ancaman itu,”
tegasnya.

Beliau menggesa mereka untuk mula memikirkan strategi itu sekarang daripada menunggu pihak lain untuk mempelawa mereka agar mula memikirkan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091025/Article/index_html

Bahana merokok


Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


PERIKSA...Dr Zaininah (kanan) melihat pesakit menjalani
rawatan.


KUALA LUMPUR: Laungan berhenti merokok kerajaan menerusi kempen berterusan dipercayai masih gagal memberi impak berikutan peningkatan pesakit kanser paru-paru terutama di kalangan wanita tempatan.

Meskipun kanser paru-paru cenderung dihidapi lelaki dengan 90 peratus daripada mereka disebabkan perbuatan merokok, situasi kelihatan berubah apabila kaum Hawa mula mengamalkan cara hidup kurang sihat sama seperti lelaki.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zain, berkata kajian dijalankan pihaknya mengesan tiga kanser utama semakin mengalami peningkatan dari segi jumlah penghidap iaitu barah paru-paru, payudara dan kolon.

“Memang tiga kanser ini mengalami peningkatan dari tahun ke tahun dan atas sebab itu kami menjalankan kajian untuk mengenal pasti apa punca ia berlaku apatah lagi keadaan tidak begitu ketara pada kanser lain, malah kanser servik mengalami penurunan.

“Sukar disimpulkan kerana tiada kajian menyeluruh ke atasnya, tetapi kesimpulan awal dibuat ialah sama ada peningkatan disebabkan pertambahan pesakit kanser sendiri atau kerana kesedaran makin menipis menyebabkan pesakit datang saat akhir.

“Kita tidak mahu penghidap kanser mendapatkan rawatan apabila masuk peringkat tiga atau empat yakni fasa akhir kanser sebab itu orang ramai perlu buat pemeriksaan awal untuk pencegahan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kanser HKL di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kempen Kesedaran Kanser, Dr Zabedah Othman juga Pakar Perunding Onkologi dan Pengarah Institut Perubatan Respiratori, HKL, Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091713/Article/index_html

Presiden PTVM saman TV3 RM10j


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 (defendan) selepas mendakwa rancangan Melodi terbitan syarikat itu menyiarkan kandungan palsu dan tidak benar mengenai dirinya.

Jurey Latiff Mohd Rosli (plaintif) yang juga penerbit televisyen memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini semalam melalui Tetuan Shaharudin Sham Sunder & Partners.

Jurey Latiff yang juga Pengarah Urusan World Eolution Brain (M) Sdn Bhd mendakwa pada 21 September 2008, rancangan Melodi melalui pengacaranya menyiarkan fitnah mengenainya yang berniat jahat.

Dia mendakwa penyiaran fitnah itu yang membawa maksud plaintif seorang individu yang tidak bermoral, tidak jujur serta sebagai suami dan bapa yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan isteri dan anak.

Jurey mendakwa pertuduhan itu serius, palsu dan mencela reputasi sebagai individu, suami, bapa dan profesionalnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091802/Article/index_html

Naik 100 peratus


Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Meningkat, namun masih terkawal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, mengulas mengenai peningkatan kegiatan jenayah siber di negara ini.

Katanya, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan itu fenomena biasa berikutan perkembangan mendadak pengguna Internet setiap tahun.

“Tahun lalu, kami menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007. Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907 kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).

“Kes jenayah siber serius hanya membabitkan jumlah kecil dan berdasarkan penilaian profesional ia masih dapat dikawal. Peningkatan jumlah ini fenomena biasa berikutan penambahan pangkalan Internet,” katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Seminar Pertama Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-CERT) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut serta Ketua Teknologi Maklumat, Sekretariat Umum OIC, Mohamed Abdulrahman Elbusefi.

Mengulas lanjut, Husin berkata, banyak penyebab yang menjadi pendorong segelintir individu sehingga terjebak ke dalam kancah jenayah terbabit.

“Antaranya desakan kewangan akibat kesan kemerosotan ekonomi dunia. Bagaimanapun, apa yang penting, pemantauan secara berterusan bagi memastikan jenayah berkenaan tidak terus meningkat di luar kawalan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hanan dalam ucapannya berkata, negara anggota OIC yang menyertai pasukan berkenaan yang baru diwujudkan, boleh mengambil Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) sebagai contoh bagi merangka dan melaksanakan pelan untuk OIC-CERT.

“Malaysia yang mempunyai pengalaman menerusi NCSP sejak 2006, boleh membantu OIC-CERT untuk melaksanakan polisi atau idea sama lebih-lebih lagi membabitkan langkah pengawalan keselamatan dunia siber yang kini melampaui sempadan agama, budaya dan negara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091927/Article/index_html

Nafi cuba bunuh isteri

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my



TERTUDUH...Md Zammri (kiri) dibawa keluar dari
Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.


KUANTAN: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan cuba membunuh isteri keduanya dengan menolak wanita berkenaan ke dalam sungai, awal Januari lalu.

Tertuduh, Md Zammri Yaakob Musa, 42, dari Kampung Peramu, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Nordiana Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Zammri didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan kematian mangsa di Jambatan Sungai Bukit Rangin, di sini, jam 12.25 tengah malam, 6 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda.

Nordiana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan dua penjamin selepas Md Zammri merayu jaminan dikurangkan dan menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam rayuannya, Md Zammri berkata, dia terpaksa menanggung isteri pertama dan dua anak termasuk yang bersekolah dalam tingkatan lima manakala isteri pertamanya juga tidak bekerja.

Nordiana turut mengenakan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dalam sebarang bentuk komunikasi sepanjang tempoh jaminan itu.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Muhammed Zakaria.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai apabila ditolak lelaki terbabit yang juga suaminya di atas Jambatan Bukit Rangin selepas mereka bertengkar.

Dua pemancing yang melihat kejadian itu memaklumkan polis sebelum gerakan mencari mangsa dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat (JBP) serta polis marin.

Mangsa ditemui berpaut pada pokok bakau hampir tiga jam sebelum diselamatkan, kira-kira jam 3.15 pagi dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk menerima rawatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114092350/Article/index_html

Amuk kejar ayah


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



PEKAN: Seorang peneroka warga emas terpaksa lari lintang-pukang menyelamatkan diri dari rumahnya di Felda Chini Satu, di sini, untuk meminta bantuan selepas dikejar anak lelakinya yang juga bekas banduan mengejarnya dengan spanar selepas enggan memberikan wang untuk membeli dadah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 27 tahun yang baru dua minggu dibebaskan dari Penjara Penor kerana kesalahan dadah, pada mulanya menghampiri bapanya berusia 53 tahun untuk meminta wang.

Bagaimanapun, mangsa yang mengetahui wang itu akan digunakan untuk membeli dadah enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua beranak berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata suspek yang dipercayai ketagihan dikatakan terus naik minyak dan mengambil spanar di luar rumah sebelum mengacukan kepada bapanya sambil mengugut mahu memukul mangsa menggunakan alat itu jika kemahuannya tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa tetap enggan menyerahkan wang menyebabkan suspek bertindak ganas apabila membaling spanar ke arah bapanya.

“Namun, mangsa sempat mengelak sebelum melarikan diri dari rumah untuk mendapatkan bantuan jiran yang menghubungi Balai Polis Chini,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan dan menahan suspek di rumah berkenaan.

“Suspek mulanya cuba melarikan diri tetapi gagal apabila dikepung sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menemui spanar yang digunakan suspek untuk mengugut bapanya,”
katanya.

Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114092724/Article/index_html

Hati-hati meniti hidup


BINCANG...pengacara Wanita Hari Ini, Azura Azizul Azman (kiri) dan
Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan menunjukkan keratan muka depan
Harian Metro yang melaporkan mengenai Memey, semalam.


KUALA LUMPUR: Pakar Motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamed mengingatkan Suhaiza Suhaimi, 20 atau Memey supaya berhati-hati meniti arus kehidupan kerana dia belum ada pengalaman.

Justeru, beliau berkata, ruang berkenaan membuka peluang lelaki mendekatinya.

Menurut Asmadi, dalam kes Memey, sepatutnya Norman Hakim bertanggungjawab menyelesaikannya kerana dia yang cuba bermain api dan memberi harapan kepada pihak perempuan.

“Jadi dia perlu selesaikan perkara itu dengan baik. Norman sebenarnya dalam keadaan tersepit dan apabila timbul masalah, baru dia tahu sikap isterinya sebenar.

“Ketika itu, dia tidak boleh berundur lagi dan tersepit antara isteri dan perempuan lain,” katanya selepas menjadi tetamu program Wanita Hari Ini di TV3, Sri Pentas, semalam.

Beliau berkata, sikap lelaki apabila berjumpa perempuan lain mula memburukkan isteri.

“Kepada semua suami jangan buat macam itu. Mengaku saja segalanya berpunca daripada diri sendiri yang gatal dan teringin hendak kahwin lagi.

“Lelaki kena selalu memperbetulkan keadaan dan mesti balik rumah serta memberi nafkah kepada keluarga,”
katanya.

Beliau berakta, sekarang Abby tengah marah dan mungkin tiga tahun lagi baru dia dapat memikirkan masalah yang berlaku hari ini.

“Siapa tahu mereka akan berbaik semula demi anak. Biasa berlaku selepas beristeri muda, si suami akan berbaik semula dengan isteri tua,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114093358/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...