Showing posts with label Ex-Lovers and Problems. Show all posts
Showing posts with label Ex-Lovers and Problems. Show all posts

Saturday, February 5, 2011

Isteri ikut kekasih

Isteri ikut kekasih

Oleh Idris Musa dan Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pertemuan semula dengan kekasih lama yang dijejak melalui laman sosial facebook menyebabkan seorang isteri hilang pedoman apabila lari meninggalkan suaminya untuk tinggal bersekedudukan dengan bekas teman lelakinya itu.

Lebih mengaibkan, wanita berusia 30-an itu yang membawa bersama anaknya berusia lebih setahun turut menuntut supaya suaminya menceraikannya.


Bertindak atas laporan suaminya, wanita itu bersama bekas teman lelakinya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Rabu lalu.

Sumber Jais berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, pasangan kekasih terbabit gagal membuktikan mereka mempunyai ikatan sah mengikut hukum syarak apabila disoal siasat.


“Mereka dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut dan sebelum dibebaskan dengan jaminan mulut,” kata sumber itu.


Menurutnya, siasatan awal Jais mendapati suami wanita terbabit membuat laporan mengenai kecurangan isterinya, selain mendakwa isterinya melarikan anak mereka.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid mengesahkan serbuan dan tangkapan dilakukan pihaknya terhadap wanita terbabit bersama bekas teman lelakinya.


“Kami sudah menyoal siasat pasangan terbabit dan mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada Jun depan atas kesalahan berkhalwat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya bersalah pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun, mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

http://www.hmetro.com.my/articles/Isteriikutkekasih/Article

Saturday, January 22, 2011

Konstabel didakwa bakar kekasih


Nur Rashidah menunjukkan tangan kiri dan mukanya yang melecur dibakar teman lelakinya di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis. Gambar kiri Nur Rashidah ketika sihat.


KANGAR – Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar semalam atas tuduhan membakar teman wanitanya kerana berselisih faham di Kuala Perlis minggu lalu.

Konstabel Ahmad Faiz Ramli, 24, didakwa membakar teman wanitanya, Nur Rashidah Rashid, 18, dengan pemetik api setelah menyimbah gadis terbabit dengan petrol di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada pukul 9 malam 12 Januari lalu.

Ahmad Faiz bertindak demikian selepas gagal mengawal emosinya ketika berlaku perselisihan faham dan pergelutan dengan Nur Rashidah ketika mereka menghabiskan masa di kawasan terbabit.

Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis tersebut mengalami cedera parah apabila melecur di muka, leher dan juga lengan kiri.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Ahmad Faiz dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan boleh dihukum sehingga 20

tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Anggota polis didakwa di mahkamah sebabkan kekasihnya melecur

KANGAR: Seorang anggota polis hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kekasihnya yang tinggal sekampung dengannya melecur dan cedera parah di atas jambatan di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada Rabu lalu.

Ahmad Faiz Ramli, 24 yang ditahan kerja akibat kes lain dan menetap di Kampung Baru, Kuala Perlis serta tidak diwakili peguam, tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu dan meminta dibicarakan.


Dia dituduh dengan sengaja menggunakan api terhadap kekasihnya itu seorang remaja berumur 17 tahun hingga menyebabkan mangsa cedera parah dan melecur di bahagian muka, leher dan lengan kiri di atas jambatan di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada jam 9.30 malam hari berkenaan.

Tertuduh yang pernah berkhidmat di Pulau Pinang sebelum ditahan kerja pada penghujung 2008 didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda serta sebat.


Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 8 Mac ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Anggotapolisdidakwadimahkamahsebabkankekasihnyamelecur/Article

Friday, December 17, 2010

Tikam kekasih

Tikam kekasih

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

KUANTAN: Berang selepas gagal mendapatkan nombor telefon baru bekas kekasihnya, seorang lelaki bertindak kejam apabila menikam lengan dan paha kiri gadis berkenaan sebelum melarikan motosikal mangsa dalam satu kejadian di Bandar Jengka, Maran, kelmarin.

Tindakan gila buruh berusia 28 tahun itu tidak berakhir di situ apabila dia meninggalkan mangsa yang berusia 23 tahun di tepi jalan mengerang kesakitan sebelum diselamatkan orang ramai yang menghantarnya ke hospital untuk menerima rawatan.

Difahamkan, pasangan kekasih berkenaan baru memutuskan ikatan cinta mereka kira-kira seminggu lalu membuatkan suspek yang masih tergila-gilakan mangsa hilang pertimbangan seakan-akan ‘gila talak’.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Syamsuri berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa baru keluar dari sebuah kedai makan menuju ke motosikalnya sebelum terserempak dengan bekas teman lelakinya.

Katanya, suspek terus mengekori mangsa hingga ke tempat letak motosikal di depan kedai makan berkenaan sebelum meminta nombor telefon barunya.

“Gadis yang bekerja sebagai jurujual enggan melayan pertanyaan itu terus meninggalkan suspek.

“Suspek mengejar mangsa dan mengarahkannya memberhentikan motosikal ketika tiba di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, suspek berkali-kali meminta gadis berkenaan memberitahu nombor telefon barunya, namun mangsa tetap berkeras enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Berang selepas permintaannya ditolak, secara tiba-tiba suspek mengeluarkan pisau dan menikam lengan dan paha kiri bekas kekasihnya itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian merayu meminta pertolongan lelaki berkenaan menghantarnya ke hospital mendapatkan rawatan dan suspek bersetuju menghantar bekas kekasihnya itu menaiki motosikal gadis itu.

“Ketika dalam perjalanan mangsa menyedari suspek tidak membawanya ke hospital sebaliknya ke destinasi lain menyebabkan gadis berkenaan terjun dari motosikal diboncengnya

“Menyedari keadaan berkenaan, suspek bertindak memecut motosikal milik bekas kekasihnya itu dan meninggalkan gadis terbabit mengerang kesakitan di tepi jalan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, polis sedang giat memburu suspek dan identitinya sudah dikenal pasti.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tikamkekasih/Article

Thursday, December 16, 2010

Wanita Cedera Ditikam Selepas Enggan Beri Nombor Telefon Bimbit

Khamis Disember 16, 2010

KUANTAN: Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Asisten Supritendan (ASP) Noor Asyikin Shamsuri berkata ketika kejadian 9.30 pagi semalam itu,suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan.

"Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa.

"Mangsa enggan memberi dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri.

Noor Asyikin berkata mangsa kemudiannya meminta suspek membawanya ke hospital.

"Suspek kemudiannya membawa mangsa ke hospital, namun wanita berkenaan menyedari suspek cuba melencong ke tempat lain dan bertindak terjun dari motosikal berkenaan sebelum suspek lari meninggalkan mangsa," katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/12/16/mstar_jenayah/20101216134731&sec=mstar_jenayah

Friday, October 1, 2010

'Kamu sangat liar'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
2010/10/01

SHAH ALAM: “Sekiranya kes berjalan penuh dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan fakta kes, mana-mana hakim tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman mati.

“Ini kerana fakta kes menunjukkan kamu sangat liar dan betapa seksanya mangsa sebelum menemui ajal,” kata Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap juruelektrik, G Selvaraaj, 26, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian teman wanitanya, di Klang, dekat sini, dua tahun lalu.

Sebelum ini, dia berdepan dengan hukuman mati mandatori apabila dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh wanita itu. Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, tertuduh adalah orang amat berbahaya dan perlu diasingkan daripada masyarakat untuk tempoh lama.

“Daripada kecederaan, jelas kamu mempunyai niat untuk membunuh,” katanya. Mengikut pertuduhan, Selvaraaj didakwa menyebabkan kematian M Indra Devi di Taman Kapar Indah, di Klang, dekat sini, antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi, 6 Januari 2008 di rumah nombor 47, Jalan Sungai Kapar Indah 9, Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela K Renuka Devi ketika mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan kerana anak guamnya melakukan perbuatan itu dalam keadaan mabuk selepas mengambil minuman keras. Katanya, anak guamnya pergi ke rumah gadis itu untuk berbincang, tetapi tercetus pertengkaran selepas mangsa menyatakan mahu memutuskan hubungan cinta mereka.

Berdasarkan fakta kes, Selvaraaj yang baru mengambil minuman keras pergi ke rumah teman wanitanya itu berkeseorangan. Dia kemudian cuba memasuki rumah Indra Devi dengan memecahkan tingkap menyebabkan mangsa ketakutan lalu menghubungi talian kecemasan.

Pada masa sama, jiran yang terdengar bunyi tingkap pecah keluar dan menasihati lelaki itu, tetapi tindakannya hanya mengundang kata-kata cacian daripada tertuduh. Lelaki itu bertindak memecahkan tingkap depan rumah dan memasukkan tangannya untuk membuka pintu dari dalam. Dia berjaya memasuki kediaman itu dengan mengumpil dan mengangkat pintu jeriji sebelum meloloskan badannya.

Teman wanitanya lari dan mengunci pintu bilik di tingkat atas. Namun tertuduh memanjat dinding bilik bersebelahan dan memasuki bilik gadis itu menerusi siling. Mangsa kemudian berlari ke tingkat bawah, namun ditikam berkali-kali oleh tertuduh menggunakan pisau yang diambil dari dapur.

Ketika ditikam, jiran mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan. Jiran mangsa yang datang ke tempat kejadian kerana mendengar jeritan mangsa melihat Selvaraaj sedang menangis dalam keadaan memangku mangsa yang terbaring.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamusangatliar/Article

Tetak bekas buah hati ada lelaki lain

2010/10/01

SUBANG JAYA: Seorang lelaki berusia awal 20-an sanggup membelasah dan menetak bekas teman wanitanya berusia 18 tahun dengan parang hingga parah hanya kerana cemburu, semalam.

Difahamkan, suspek berang apabila mengetahui bekas kekasihnya itu mula menjalinkan hubungan percintaan dengan lelaki lain walaupun baru beberapa hari menamatkan hubungan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah asrama sebuah kolej swasta, di sini, suspek pergi ke kawasan berkenaan kononnya mahu menunjukkan seorang wanita yang baru menjadi pasangannya dipercayai bertujuan membuatkan mangsa cemburu.

Menurut sumber, sebaik tiba di asrama itu, suspek dengan bersahaja meminta keizinan daripada pengawal keselamatan untuk bertemu mangsa.

“Pengawal keselamatan yang tidak curiga dengan kehadiran suspek memanggil mangsa yang tidur di biliknya,” katanya.

Sumber berkata, sebaik mangsa bertemu bekas teman lelakinya itu, suspek mula mempersoalkan perbuatan mangsa meninggalkannya kerana lelaki lain.

“Suspek mula memarahi mangsa dengan kata-kata kesat menyebabkan berlaku pertengkaran. “Keadaan mula menjadi tegang apabila suspek mula bertindak agresif dengan memukul mangsa menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

Difahamkan, wanita berusia 20-an yang dibawa suspek untuk ditunjukkan kepada mangsa pula hanya mendiamkan diri.

Katanya, akibat tidak berpuas hati kerana mangsa melawannya, suspek pergi ke keretanya mengambil sebilah parang.

“Tersentak dengan itu, mangsa cuba melarikan diri, namun gagal menyebabkan dia cedera di bahagian belakang dan kepala.

“Mangsa bernasib baik apabila kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang kemudian menenangkan suspek sebelum merampas parang dipegangnya,”
katanya.

Suspek yang bimbang dicekup melarikan diri.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami pendarahan teruk akibat tetakan itu dihantar ke sebuah hospital swasta berhampiran dan keadaannya kini dilaporkan masih kritikal.

“Doktor merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, di sini, mengenai kejadian itu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, sehingga jam 4 petang semalam, suspek yang menyerang mangsa belum ditangkap polis dan usaha memburunya giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tetakbekasbuahhatiadalelakilain/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...