Thursday, December 30, 2010

Badi 14 tahun berakhir



Pemain Malaysia, Safee Sali (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan (tengah) dan Safiq Rahim selepas menjaringkan gol sewaktu menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, malam tadi. – REUTERS


JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

‘Gol Safee meyakinkan saya’


Malaysia berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi. – utusan/Shahril Azman Zain


JAKARTA – Pengendali skuad negara, K. Rajagobal mengakui dia sudah terbayang kejuaraan selepas jaringan gol yang dilakukan oleh Safee Sali pada minit ke-53 kerana amat sukar buat Indonesia bangkit mendapatkan lima jaringan dalam tempoh baki perlawanan yang tinggal di separuh masa kedua.

Katanya, selain memberikan kelebihan gol di tempat lawan, ia mengundang rasa keyakinan buat pemain pertahanan mudanya untuk bertahan membendung asakan bertali arus tuan rumah.

‘‘Walaupun Indonesia cuba bangkit selepas mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-71, saya masih menaruhkan kepercayaan kepada para pemain untuk mempertahankan kelebihan yang kita ada.

‘‘Selepas gol kedua Indonesia, saya sedar masa sudah semakin suntuk buat mereka dan kejuaraan hampir pasti dirangkul oleh kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Tambah Rajagobal, dia sedar Indonesia akan mempamerkan perwatakan agresif sebaik wisel perlawanan dimulakan dan memberitahu pemainnya supaya memberi lebih perhatian ketika bertahan pada awal 45 minit separuh masa pertama.

‘‘Saya berpesan kepada pemain, sekiranya mereka kehilangan bola, mereka mesti cepat merampas kembali dan bekerja secara berpasukan.

‘‘Kami dapat bertahan dengan baik dan berharap melakukan serang balas untuk melakukan jaringan.

‘‘Sekiranya penalti pada minit ke-18 dapat disempurnakan oleh Indonesia, saya rasa ia mungkin memberikan semangat buat tuan rumah untuk mendapatkan gol namun saya puji semangat yang dipamerkan oleh pemain-pemain muda saya,” katanya.

Media Indonesia juga sempat bertanyakan apakah formula kejayaan yang dilakukan olehnya selepas kalah besar 1-5 pada perlawanan pertama.

Tanpa berselindung, Rajagobal berkata rahsia kejayaannya kerana memberikan kepercayaan kepada pemain mudanya dan menganggap kekalahan pertama itu sebagai proses kematangan. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Kedutaan Malaysia jadi stadium kedua

JAKARTA - Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia 'menonton dalam protes' perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia berkata, kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.

Mereka juga diletakkan di tengah-tengah para penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

"Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami telah dianaktirikan, kami disisihkan dan tidak diberikan keadilan sewajarnya.

"Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan anggota rombongan, kita telah mengambil keputusan untuk menonton perlawanan ini dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia di sini," katanya kepadaBernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Mohd. Nasir berkata rombongan itu terdiri daripada kira-kira 60 orang yang datang dari Malaysia dan protes mereka turut disertai para penyokong Malaysia yang berada di Jakarta.

"Kumpulan kami tidak ramai bilangannya, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP. Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memperuntukkan jumlah tempat duduk VIP yang agak besar kepada penyokong Indonesia yang datang dari Jakarta," katanya. - bernama

Mohd. Nasir berkata, rombongan penyokong Malaysia tiba di Jakarta semalam dan agak terperanjat bila mengetahui PSSI masih tidak dapat memastikan jumlah peruntukan tiket yang boleh diberikan kepada penyokong Malaysia sehingga mereka diberitahu pada pukul 2.30 petang ini bahawa tiket mereka di tempat duduk belakang gawang gol, melalui pintu dua, di tengah-tengah penyokong Indonesia.

Alasan yang diberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa hanya tempat duduk kawasan itu sahaja yang berbaki tidak dapat diterima, katanya. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm

5 kereta perisai lindungi pemain Malaysia

JAKARTA - Pemain negara jelas berdepan dugaan yang hebat sebelum sepak mula yang dijadualkan pada pukul 7 petang (8 malam waktu Malaysia) apabila lima kereta perisai yang dikenali sebagai Barakuda terpaksa melindungi mereka dalam perjalanan ke Stadium Gelora Bung Karno.

Mereka yang keluar dari Hotel Sultan tepat pukul 4.50 petang pada waktu di sini terpaksa melalui ratusan ribu penyokong Indonesia di pintu timur stadium sambil menaiki kereta perisai berkenaan supaya boleh memasuki dengan selamat ke dalam stadium.

Namun, terdapat segelintir penyokong Indonesia menyedari kedatangan pemain negara lalu mengetuk kereta perisai terbabit sambil menunjukkan isyarat lucah.

Biarpun tiada insiden buruk berlaku tetapi perlindungan maksimum yang diberikan kepada pemain Malaysia terpaksa dilakukan ekoran pelbagai kontroversi dilemparkan media tempatan. yang membakar emosi penyokong Indonesia.

Antara provokasi terang-terangan yang dilakukan oleh media di sini ialah mengenai penggunaan laser dan dakwaan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid bahawa pemainnya dianayai dengan serbuk gatal ketika menjalani latihan di Malaysia. - Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm

Di mana silap kami: Raja

Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
smriduan@nstp.com.my
2010/12/30

PEMAIN Malaysia sekadar dapat menjalani latihan di pinggir kolam renang sambil diberi kawalan pihak keselamatan di Jakarta, kelmarin.
PEMAIN Malaysia sekadar dapat menjalani latihan di pinggir kolam renang sambil diberi kawalan pihak keselamatan di Jakarta, kelmarin.
Malaysia kecewa layanan tuan rumah terhadap pasukan kebangsaan kita

MEMANG 'unik' layanan tuan rumah, Indonesia kepada skuad kendalian K Rajagobal yang bertandang ke Jakarta sehari sebelum perlawanan final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno yang berlangsung malam tadi.

“Saya tidak tahu apa salah kami sehingga dilayan begini,” kata Rajagobal.
“Ketika Indonesia berkunjung ke Kuala Lumpur, kami melayan mereka dengan baik dan memastikan semua persiapan berjalan lancar. Bagaimanapun saya menerima keadaan ini dan tetap akan bermain dengan semangat tinggi.”

Komen itu berikutan ragam segelintir penyokong tempatan mengibarkan kain rentang menghina Rajagobal dan skuad negara ketika berlatih di hotel penginapan, kelmarin.

Pada awalnya penganjur menyediakan padang latihan yang sering digunakan pasukan kebangsaan Indonesia untuk skuad Rajagobal, tetapi kerana terlalu ramai penyokong tempatan menanti pada hari terakhir sebelum perlawanan sebenar itu, lokasi latihan ditukar ke gelanggang lain.

Gelanggang alternatif itu terletak di Lebak Bulus, Jakarta Barat yang mengambil masa lebih sejam untuk sampai sekiranya jalan sesak. Dalam perjalanan ke sana, lalu lintas terlalu sesak dan bas skuad negara terpaksa berpatah balik.
Harimau Malaya turun menghadapi final kedua tanpa latihan sebenar, sebaliknya hanya memanaskan badan dan berlatih ringan di kawasan berumput kecil di tepi kolam.

Najib Umum 31 Disember Cuti Umum Bagi Meraikan Kejayaan Skuad Harimau Rangkul Piala Suzuki AFF

Published: Khamis Disember 30, 2010 MYT 11:28:00 PM
Updated: Rabu Disember 29, 2010 MYT 11:34:40 PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Rabu mengisytiharkan hari Jumaat, 31 Disember 2010, sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki malam tadi.

-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/30/mstar_berita/20101229232608&sec=mstar_berita

Kelantan terkilan cuti hari Jumaat

Rizal Tahir

KOTA BAHRU, 30 Dis: Kelantan melahirkan rasa terkilan berikutan kerajaan pusat memutuskan esok, (Jumaat) sebagai cuti umum berikutan pasukan bolasepak Malaysia berjaya merangkul Piala AFF Suzuki 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan DakwahNegeri, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, berkata tindakan kerajaan berkenaan akan merugikan beberapa buah negeri yang telah bercuti hari Jumaat.

“Mereka juga ingin merayakan skuad negara yang menang pada perlawananitu, apa lagi pemain pasukan negara juga ada orang Kelantan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung keputusan Kerajaan Pusat yang mengisytiharkan hari Jumaat iaitu esok sebagai cuti umum.

Menurutnya lagi, sepatutnya kerajaan pusat pertimbangkan untuk mengistiharkan cuti umum pada hari-hari lain.

“Kelantan tidak boleh membawa ke hadapan cuti umum berkenaan keranaianya jatuh pada hari Jumaat.

“Lainlah andainya ia jatuh pada hari Sabtu, boleh dibawa pada hariesoknya,” ujarnya lagi.

Malam tadi Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki buat pertama kalinya setelah berjaya menewaskan Indonesia walaupun perlawanan akhir kedua malam tadi, Indonesia berjaya mengalahkan 'Harimau Malaya' 2-1.

Bagaimanapun Malaysia berjaya menggungguli kejuaraan edisi ke-14, dengan agregat 4-2.

Dalam perlawanan akhir pertama Malaysia berjaya membelasah Indonesia 3-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember lalu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30095:kelantan-terkilan-cuti-hari-jumaat&catid=1:utama&Itemid=50

Kedah umum cuti Ahad ini

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 30 Dis: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengisytiharkan Ahad, 2 Januari 2011 nanti sebagai hari cuti umum bagi negeri itu ekoran kejayaan skuad bolasepak negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 yang dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Indonesia, malam tadi.

Azizan membuat pengumuman itu ketika berucap di hadapan kakitangan Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, dekat sini, pagi tadi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pemain dan pegawai-pegawai pasukan yang bertungkus lumus menjulang nama negara.

Perlawanan akhir kedua malam tadi yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen di seluruh negara menyaksikan Malaysia berjaya mengekang kemaraan Indonesia untuk menang dengan aggregat 4-2.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang piala tersebut selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Jumaat ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30098:kedah-umum-cuti-ahad-ini&catid=1:utama&Itemid=50

Mahfuz, Anwar puji corak permainan Harimau Malaya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Para pemimpin Pakatan Rakyat turut mengambil peluang mengucapkan tahniah dan syabas buat pasukan bola sepak negara yang akhirnya mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Malaysia, walaupun tewas 2-1 di gelanggang lawan semalam namun berjaya merangkul kejuaraan selepas mengatasi Skuad Garuda Indonesia dengan agregat 4-2.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang teruja dengan kemenangan itu terus menghadiahkan sebuah ‘pantun’ beliau kepada skuad bola sepak negara semasa dihubungi Harakahdaily.

“Kita kalah bermaruah, menang tanpa rasuah… sehinggakan keputusan tidak dapat dicatur penjudi-penjudi bola,” katanya sambil menambah bahawa kehebatan skuad negara terbukti apabila pihak lawan Indonesia gagal menjaringkan gol di Bukit Jalil, akan tetapi mereka dapat menjaringkan gol di tempat lawan.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54 saingan separuh masa kedua, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil rembatan Mohammad Nasuha (m-72) dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad (m-88).

Paling menarik, sepakan penalti Firman Utina berjaya dinafikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Terdahulu pada aksi peringkat pertama perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia menang 3-0.

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, beliau yang kini di luar negara berkata beliau hanya mampu mengikuti perkembangan perlawanan akhir AFF di Twitter, yang dikatakannya sungguh meriah.

“Di sebalik acara padat, saya sebolehnya cuba ikuti juga perkembangan perlawanan lewat Twitter yang nyata meriah sekali. Tahniah atas sokongan padu rakyat Malaysia yang tak putus-putus memberi semangat.

Ternyata K. Rajagobal telah meletakkan prestasi pasukan Harimau Malaya ke satu tahap yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Semoga ianya membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011,” ujarnya selepas mendapat berita kemenangan skuad negara.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30089:mahfuz-anwar-puji-corak-permainan-harimau-malaya&catid=1:utama&Itemid=50

Penyokong geram

KECEWA dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia menonton dalam protes final kedua Piala Suzuki AFF di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor, Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong negara yang tidak ramai jumlahnya sudah menempah tiket di tempat duduk VIP, tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu II.


Mereka juga diletakkan di tengah-tengah penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

“Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami dianak tiri, disisih dan tidak diberikan keadilan sewajarnya. Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan anggota rombongan, kami mengambil keputusan menonton perlawanan itu dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia.


Mohd Nasir berkata rombongan itu membabitkan kira-kira 60 penyokong yang datang dari Malaysia dan protes mereka itu turut disertai penyokong negara yang berada di Jakarta.


“Kumpulan kami tidak ramai, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyokonggeram/Article/index_html

'Kekecewaan kami ditebus'

Oleh Saiful Affendy Sapran

ASAK...penyerang negara, Safee Sali (depan) dihadang barisan pertahanan Indonesia, malam tadi.
ASAK...penyerang negara, Safee Sali (depan) dihadang barisan pertahanan Indonesia, malam tadi.

AKHIRNYA kekecewaan skuad 1996 berjaya ditebus.

Demikian ungkapan pertama bekas penjaga gol negara, Khairul Azman Mohamed selepas anak buah K Rajagobal berjaya menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi, apabila menundukkan Indonesia menerusi agregat 4-2.


Bagi bekas pemain yang pernah menjaga gawang negara pada aksi final 1996 di kejohanan sama sebelum tewas 0-1 kepada Thailand itu, kemenangan itu juga membuka era baru dalam landskap bola sepak negara.

“Tahniah dan terima kasih kepada skuad negara atas kemenangan ini kerana ia secara tidak langsung menebus kekecewaan skuad 1996. Bukan mudah untuk mencapai tahap seperti ini.


“Cuma ingatan saya selepas ini jangan mula lupa diri, sebaliknya teruskan kecemerlangan ini untuk tempoh yang lebih lama kerana peluang barisan muda yang ada ketika ini cukup cerah pada masa depan.


“Kemenangan ini juga membuka lembaran baru dalam era bola sepak moden negara dan seperti yang saya katakan sebelum ini, harap barisan sedia ada ini terus dikekalkan,” katanya.

Khairul Azman juga pantas menghamburkan pujian terutama kepada barisan pemain pertahanan serta penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi final kedua malam tadi yang disifatkannya cukup hebat.


“Khairul Fahmi mungkin melakukan sedikit kesilapan, tapi secara keseluruhan dia sudah mempamerkan aksi terpuji manakala barisan pertahanan, tengah dan jentera serangan juga layak diberi pujian.

Pada aksi final 1996, skuad negara yang ketika itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan kecewa kerana tidak dapat menjulang piala berkenaan selepas tewas menerusi jaringan tunggal penyerang Thailand, Kiatisuk Senamuang.

http://www.hmetro.com.my/articles/Kekecewaankamiditebus/Article

Kumango kecutkan fibroid


KHASIAT air kumango telah diuji oleh pakar tempatan.


KOORDINATOR klinikal dan pensyarah kejururawatan di Kolej Lincoln, Petaling Jaya, Selangor, Noor Shakinah Hassan Basri, 43, pernah disangka hamil kerana perutnya yang buncit.

Malah, gaya beliau berjalan juga sering menimbulkan tanda tanya mereka yang memerhati.

“Saya disahkan mempunyai ketumbuhan fibroid berdiameter empat sentimeter pada kedua-dua belah ovari pada tahun 2000.

“Setiap kali datang haid, saya akan mengalami pendarahan yang teruk. Darah yang keluar berketul-ketul dan saya perlu menukar tuala wanita hampir setiap lima minit.

“Insiden darah terkena pakaian juga terlalu lazim, biarpun sudah masuk hari ketiga haid. Malah, setiap kali datang haid, saya tidak akan duduk kerana risau akan ‘kebocoran’.

“Sakit akibat senggugut juga mengganda menyebabkan saya kerap ambil cuti sakit, hilang mood ketika mengajar dan perlu makan ubat penahan sakit.

“Hendak berjalan pun dirasakan sukar,” dedahnya yang pada waktu itu akan mengalami haid sehingga sembilan hari.

Tatkala didatangi haid juga Shakinah akan tidur berasingan daripada suami di atas tikar getah di lantai bilik tidur.

Biarpun sering memakai baju dan seluar yang besar serta longgar bagi mengelakkan perut buncit itu kelihatan terlalu jelas, Shakinah tidak dapat berbuat apa-apa dengan caranya berjalan.

“Ketumbuhan itu menyebabkan pembengkakan pada bahagian bawah perut. Jadi setiap kali berjalan, saya merasakan geselan pada bahagian itu. Ia bukan saja tidak selesa, tetapi juga menyakitkan,” kongsi Shakinah.

Keguguran

Sebelum itu, pada tahun 1996, Shakinah disahkan menghidap endometriosis, iaitu keadaan yang berlaku apabila tisu endometrium tumbuh di luar rahim. Akibatnya, Shakinah mengalami keguguran sehingga dua kali.

Rentetan daripada itu, Shakinah menjalani pembedahan untuk mengikis dinding rahim, membuang fibroid dan mengambil suntikan untuk menghentikan haid sehingga enam bulan.

“Ubat herba Cina yang paling pahit pun saya makan tetapi fibroid tumbuh lagi di tempat yang sama selepas itu,” katanya yang berkahwin pada tahun 2006.

Secara kebetulan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Lincoln, Prof. Datuk Dr. Ir. Badaruddin Nordin sedang membuat kajian tentang khasiat buah kumango atau Star Apple.


NOOR SHAKINAH disahkan menghidap fibroid pada tahun 2000.


Kajian yang dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu mendapati buah tersebut mengandungi elemen terapi yang baik untuk mengekalkan kesihatan tubuh.

“Saya orang pertama mencuba air buah itu. Disebabkan ia dihasilkan daripada buah dan tidak dicampur sebarang bahan kimia, saya berani mencubanya.

“Hanya selepas seminggu mengambil air buah itu, saya tidak lagi mengalami pendarahan haid yang melampau.

“Untuk mengesahkan keadaan fibroid dan endometriosis di dalam rahim saya itu, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk melakukan imbasan bunyi.

“Doktor itu mengatakan saiz fibroid saya yang asalnya ialah tiga sentimeter sudah mengecut kepada satu sentimeter,” kenang Shakinah.

“Perut saya juga semakin kempis dan sekarang saya boleh menyarungkan baju kebaya dan berkasut tumit tinggi. Saya juga semakin yakin dengan diri sendiri,” tambahnya.

Malah, tiga bulan selepas mencuba air buah kumango yang dipopularkan sebagai Bio-99 itu, Shakinah disahkan hamil.

Malangnya Shakinah keguguran sekali lagi semasa kandungan mencecah usia empat bulan akibat terjatuh dari tangga kapal terbang.

“Sekurang-kurangnya usia kandungan sudah mencecah empat bulan. Itu tempoh paling lama saya hamil berbanding sebelum ini di mana saya gugur belum pun usia kandungan mencecah tiga bulan,” ujarnya positif.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

A.Aida Tuntut Nafkah Anak Daripada Ameng RM85,000

Published: Khamis Disember 30, 2010 MYT 11:09:00 AM
Updated: Khamis Disember 30, 2010 MYT 2:13:19 PM

KUALA LUMPUR: Produser dan dramatis 90-an, A. Aida memfailkan permohonan bagi menuntut tunggakan nafkah dua orang anak bernilai RM85,000 daripada bekas suaminya, Ameng yang merupakan vokalis kumpulan Spring.

A. Aida atau nama sebenarnya Zaida Awang, 40, mendakwa Ameng gagal menjelaskan nafkah anak selama 85 bulan, iaitu sejak mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 17 Disember 2003.

Pasangan tersebut berkahwin pada 1994 di Terengganu.

Semasa bercerai, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, bersetuju untuk membayar RM1,000 sebulan sebagai nafkah anak, Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu dijelaskan pada minggu pertama setiap bulan.

Produser drama Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tersebut pada 21 Disember lalu menerusi peguam-peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli.

Kes disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bertanyakan mengapa permohonan itu lewat difailkan, iaitu telah melebihi tempoh enam tahun.

“Plaintif (Aida) cuba untuk memberi peluang kepada defendan (Ameng). Bagaimanapun, nafkah tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata Nor Azmi.

Abdul Walid kemudiannya bertanyakan kerja defendan (yang tidak dinyatakan pada dokumen) dan Nor Azmi memaklumkan Ameng adalah seorang artis.

Selepas meneliti dokumen yang berkaitan, Abdul Walid membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Ameng mengenai kegagalannya membayar nafkah.

Prosiding kes tersebut akan berjalan di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan tarikhnya akan dimaklumkan pada masa akan datang.

Aida yang mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman hadir berseorangan di mahkamah.

“Saya dah banyak kali minta (nafkah anak) daripada Ameng, tapi dia suruh saya minta dengan lelaki lain,” katanya kepada media di luar mahkamah.

Pada 1 November lalu, Ameng dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.

Dia semasa membela diri atas tuduhan itu mendakwa pertuduhan tersebut adalah konspirasi antara Aida dan Suffian untuk memalukan dirinya.

Ameng telah berkahwin lain pada 2004 dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal yang kini bersusia tiga tahun.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/12/30/mstar_hiburan/20101230110757&sec=mstar_hiburan

Suami isteri dihukum gantung edar dadah

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri semalam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki sejumlah 165.62 gram dadah jenis heroin dan morfin dua tahun lepas.

Hakim Nurmala Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didapati memiliki dadah berkenaan dalam sebuah rumah pangsapuri beralamat di Block 5-6-18 Desa Riang Batu Uban pada pukul 3.45 petang 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika bersabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Cekup kaki temberang

KUANTAN: Kegiatan licik seorang lelaki yang bijak menyamar serta menipu golongan wanita terutama warga emas berakhir apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di Felda Sungai Koyan 1, dekat Kuala Lipis, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa dia dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub datang ke rumah mangsa di Kampung Sungai Pasu, dekat Raub untuk membuat taksiran mengenai bantuan yang perlu dihulurkan.


Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam berada dalam rumah mangsa, kaki temberang terbabit kemudian meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM1,150 untuk tujuan kos penghantaran barang bantuan kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, selepas meyakinkan mangsa berusia 60 tahun itu, lelaki terbabit menerima wang pendahuluan sambil disaksikan suami dan anak perempuan mangsa yang kebetulan berada di rumah.


Menurutnya, bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian berjanji akan datang semula ke rumah mangsa dengan seorang jurugambar untuk merakamkan gambar bersama barang bantuan dijanjikan kepada mangsa.


Katanya, bagaimanapun, selepas seharian menunggu, mangsa bersama suaminya kemudian menyedari dirinya tertipu sebelum anak perempuan mangsa menghubungi JKM untuk membuat pengesahan bantuan itu.

Laporan berhubung kejadian terbabit dibuat mangsa bersama suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Raub, kelmarin.


“Sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu berjaya mengesan suspek terbabit Felda Sungai Koyan 1 di Lipis pada jam 6.30 petang, kelmarin sebelum dibawa ke IPD Raub untuk siasatan.

“Susulan tertangkapnya lelaki terbabit, polis yakin dapat menyelesaikan tiga kes jenayah membabitkan penipuan di daerah ini sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tidak lebih 10 tahun penjara, sebat atau denda atau kedua-duanya sekali.


Wan Samsuddin berkata, polis menasihatkan orang awam terutama warga emas tidak mudah terpedaya pujukan segelintir individu tidak dikenali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cekupkakitemberang/Article/index_html

Dua wanita hamil berdepan hukuman gantung

MELAKA: Dua wanita masing-masing mengandung lapan dan empat bulan berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dan methamphetamine bersama-sama empat lelaki lain di Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Mereka, Nurriza Zainal, 27, dari Taman Bachang Baru yang juga tertuduh keempat dan Nur Asikin Abd Rahman, 24, dari Tangga Batu Tanjung Minyak, tertuduh kelima.


Turut didakwat ertuduh pertama, Mohd Shafie Salleh, 24, dari Padang Temu, dekat sini; Mohd Rizal Ismail, 31, (kedua) dari Jalan Penghulu Ismail (kedua), Parit Muar, Johor; adik Nurriza iaitu Noorfazry,19, (ketiga) dari Pangsapuri Mutiara Melaka Baru dan Mohd Fazrin Muslin Md Ghazali, 22, (keenam) dari Jalan Molek 1, Taman Ayer Molek.

Kecuali Mohd Fazrin Muslin (pekerja kedai telefon), lima lain tidak bekerja dan semua mereka ditangkap bersama pada 17 Disember lalu.


Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama pada 17 Disember lalu, kira-kira 9 malam di rumah No 214 Lorong Singa 6, Taman Sin Hoe, Bukit Baru, mengedar dadah jenis kanabis seberat 202.7 gram.


Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 66.7 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama iaitu membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.


Sejurus dibacakan pertuduhan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah, semua mereka mengangguk faham tetapi tiada pengakuan direkodkan Majistret Mohd Fairuz Johari.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam menghadapi satu lagi pertuduhan lain, memiliki dadah berbahaya nimetazepam seberat 16 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duawanitahamilberdepanhukumangantung/Article/index_html

Azam besarkan sendiri anak

KUALA LUMPUR: “Terima kasih atas bantuan yang dihulurkan. Saya tidak akan serahkan anak dalam kandungan ini dan berazam untuk membesarkan mereka dengan baik dan memulakan kehidupan baru bersama keluarga,” kata Aishah Ismail, ibu empat anak yang ingin menyerahkan anaknya kepada orang lain kerana kesempitan hidup.

Katanya, dia bersyukur atas segala bantuan yang diterima daripada orang ramai selepas kisah dia dan suaminya mahu anak dalam kandungan diserahkan kepada orang lain disiarkan akhbar ini, kelmarin.


Menurutnya, dia hanya mahukan anaknya mengecapi hidup dan bersekolah seperti kanak-kanak lain kerana selama ini kehidupan mereka dihimpit masalah kewangan.

“Sebagai ibu, saya ingin melihat anak saya mempunyai pelajaran dan hidup seperti rakan seusia dengannya yang lebih bernasib baik. Sekurang-kurangnya, dia dapat bermain dan tinggal di rumah yang selesa berbanding bilik kecil sekarang.


“Saya tidak akan membiarkan hidup kami sekeluarga terumbang-ambing lagi. Saya sudah berbincang dengan suami untuk menguruskan kewangan dengan baik dan menjalani hidup seperti biasa ditambah dengan kehadiran orang baru yang bakal lahir Julai nanti,” katanya ketika ditemui semalam.


Aishah berkata, kedaifan hidupnya sekeluarga sebelum ini mengajarnya supaya bersabar dan tabah walaupun ada ketikanya dia seperti hilang pertimbangan dan berputus asa dengan kehidupan keluarganya.

“Alhamdulillah, tekanan itu mula hilang dan saya lebih yakin untuk menempuhi hidup bersama suami dan anak-anak. Yang penting, anak-anak dapat merasai hidup seperti yang sepatutnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Azambesarkansendirianak/Article/index_html

Hargai anugerah Tuhan

KUALA LUMPUR: “Anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai, tidak boleh ditukar ganti atau diserahkan kepada orang lain di dunia ini atas apa jua alasan dan ibu bapa sewajarnya menjaga mereka dengan sebaiknya,” kata pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (gambar).

Katanya, walaupun dihimpit masalah kewangan, ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga anak-anak dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang kerana itu amanah Allah kepada semua makhluk di dunia ini.

“Rezeki Allah ini datang dalam pelbagai bentuk, ada yang diberi kesenangan, tidak kurang yang dikurniakan keluarga bahagia, malah ada juga yang dianugerahkan anak sebagai rezeki biarpun hidup dalam serba kekurangan. Apapun, kita perlu bersyukur,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar ini berhubung hasrat seorang bapa yang mahu menyerahkan anaknya kepada orang lain akibat kesempitan hidup, Selasa lalu.

Katanya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan membantu keluarga berkenaan keluar daripada belenggu masalah yang dihadapi dan bukannya memandang negatif tindakan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HargaianugerahTuhan/Article/index_html

Presiden baru MTUC menang 42 undi

PETALING JAYA: Selepas enam tahun atau dua penggal menerajui tampuk kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud terpaksa melepaskan jawatan Presiden yang disandangnya kepada pesaingnya, Mohd Khalid Atan apabila kalah dalam pemilihan, semalam.

Persaingan sengit dua penjuru itu menyaksikan Mohd Khalid yang juga bekas Timbalan Presiden MTUC penggal lalu yang mendapat 255 undi menang dengan kelebihan 42 undi berbanding Syed Shahrir yang hanya mengumpul 213 undi.


Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Mohd Jafar Abd Majid dengan 170 undi manakala Abdul Halim Mansor (bekas Timbalan Setiausaha Agung) dipilih menjawat Setiausaha Agung MTUC mengatasi dua calon lain selepas mendapat 188 undian. Keputusan pemilihan dibacakan Ketua Pemeriksa Undi, N Rajamorganan pada jam 8.10 malam selepas lebih lima jam menunggu kiraan undi selesai.

Seramai 475 perwakilan daripada 119 kesatuan membuang undi sejak jam 9 pagi, berbanding 552 perwakilan yang direkodkan layak untuk mengundi.


Mohd Khalid berkata, fokus dan langkah utama akan dilakukannya adalah menyatupadukan kembali semua kesatuan pekerja yang ada di negara ini sekali gus meneruskan kegemilangan pentadbiran terdahulu.


“Saya anggap ini mandat penting diberi kepada saya dan selepas kejayaan menyatupadukan ahli, kita akan fikirkan langkah seterusnya.

“Ia tentulah tertumpu kepada masalah ahli dan beberapa isu lain yang harus diketengah dan kita akan fikirkan pendekatan terbaik membela nasib mereka.

BDB jumpa MB bincang Isu Mahfuz letak jawatan

Fadzly Esa
Dis 30, 10
4:42pm

Satu perbincangan dijangka diadakan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak malam ini berhubung isu peletakan jawatan pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd, Datuk Mahfuz Omar ekoran pemberian tender yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Ahli lembaga pengarah eksekutif bebas Bina Darulaman Berhad (BDB) Senator Ir. Zamri Yusuf berkata perbincangan itu melibatkan beberapa pegawai dilantik dibawah pentadbiran kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkaitan anak syarikat. BDB merupakan syarikat induk kepada Kedah Sato.

"Mungkin mereka akan meneliti dan menyemak semula surat peletakan jawatan Datuk Mahfuz bersama menteri besar untuk menyelesaikan isu berkenaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan pegawai dan menteri besar sahaja tanpa kehadiran Mahfuz, yang juga merupakan ahli parlimen Pokok Sena.

Mengulas lanjut, Zamri tidak menolak berlaku berlaku salah faham mengenai maklumat berhubung pemberian tender oleh Kedah Sato kepada IJM Berhad.

Menurutnya, tender itu adalah untuk pembinaan Kolej Universiti Insaniah berjumlah kira-kira RM180 juta.

"Rugi kalau kita kehilangan orang seperti beliau (Mahfuz) - seorang yang berprinsip," katanya.

"Saya berharap pihak pengurusan peringkat tertinggi dan kumpulan berbincang bersama Mahfuz bagi menyelesaikan isu tersebut.

Semalam, Mahfuz yang juga naib presiden PAS, mengesahkan telah meletak jawatan tetapi enggan mengulas sebab-sebab beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, sejak kelmarin, tersebar berita di internet bahawa ia berkaitan dengan pemberian tender oleh syarikat itu yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Difahamkan Mahfuz meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penganugerahan projek kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender.

http://malaysiakini.com/news/152019

MAIS pertahan tindakan Khusrin

Dis 29, 10 7:06pm

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertahankan tindakan setiausahanya Datuk Mohd Khusrin Munawi dalam beberapa isu kontroversi, antaranya pengendalian isu pentauliahan dan larangan berpolitik dalam masjid di negeri itu.

NONETimbalan setiausahanya Abdul Halem Hapiz Salihin berkata, setiausaha majlis yang juga pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya menjalankan dasar dan ketetapan majlis, sejajar degan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam masa yang sama, tambahnya, segala dasar dan ketetapan yang dibuat adalah melalui mesyuarat majlis yang keanggotaannya diperkenan oleh Sultan Selangor atau jawatankuasa tetap yang dilantik.

"Selaku setiausaha MAIS, beliau (Mohd Khusrin) bertanggungjawab menjalankan segala dasar dan ketetapan yang telah diputuskan," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Halem Hapiz menjelaskan, isu berkaitan penarikan balik tauliah kepada ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad diputuskan oleh jawatankuasa tauliah negeri Selangor.

Manakala dalam isu larangan berpolitik di masjid-masjid pula dibuat dan disahkan dalam Mesyuarat MAIS pada 4 Mei lalu ekoran titah Sultan Selangor yang melarang berpolitik di masjid-masjid seluruh negeri.

Agensi pelaksanan

"Bagi kedua-dua isu ini, setiausaha MAIS selaku ketua pegawai eksekutif majlis bertanggungjawab memaklumkan kepada masyarakat umum melalui media mengenai keputusan yang telah diambil.

NONE"Setiausaha MAIS selaku pengarah JAIS juga memastikan dasar dan ketetapan ini dipatuhi oleh masyarakat umum melalui penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh JAIS selaku agensi pelaksana," katanya lagi.

Nama Mohd Khusrin menjadi terkenal selepas JAIS menahan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 1 November 2009 atas alasan mengajar tanpa tauliah.

Mohd Khusrin juga terus menerima kritikan daripada pelbagai sudut dalam isu'upacara telan air ludah ustaz' dan isu ahli parlimen DAP Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang.

Terbaru, JAIS sedang menguruskan kes kontroversi melibatkan tangkapan besar-besaran pengamal Syiah pada 15 Disember lalulalu.

Antara peristiwa itu dijadikan alasan untuk mempertikaikan kelayakan beliau menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang mencetuskan kontroversi baru.

http://malaysiakini.com/news/151941

LKS: Lantikan SUK cabul semangat undang-undang

Dis 30, 10 1:16pm

Pemimpin polular DAP Lim Kit Siang menyifatkan pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri tanpa mendapat persetujuan daripada menteri besar sebagai mencabul semangat dan peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri.

teoh beng hock memorial night 160710 kit siangLim (kiri) yang juga ahli parlimen Ipoh Timur berkata, hujah yang mengatakan bahawa persetujuan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak diperlukan dalam pelantikan itu adalah dangkal dan tidak dapat diterima.

"Putrajaya tidak patut melibatkan Sultan dalam pelantikan SUK kerana undang-undang tubuh negeri juga tidak menyebut Sultan mesti dimaklumkan dahulu dan perkenan Baginda diperlukan," kata Lim.

"(Amalan) konvensyen dalam undang-undang tubuh seakan membawa maksud, rundingan dengan menteri besar, dan lantikan Sultan untuk jawatan tinggi dibuat untuk mengukuhkan integriti undang-undang tubuh negeri dan bagi menggalas mandat orang ramai yang diberikan kepada Pakatan Rakyat."

NONE Pandangan itu dilihat senada dengan pendirian peguam Derek Fernandez kepada Malaysiakini semalam bahawa menurut amalan konvensyen, menteri besar patut dimaklumkan terlebih dahulu.

Isnin lalu, nama Khusrin diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan menggantikan Ramli Mahmud.

Tindakan itu mendapat respons negatif daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah menyenaraipendek tiga nama - tidak termasuk Khusrin - dan berpendapat 'lantikan' itu tidak muktamad.

Menurut Lim, walaupun undang-undang tubuh Selangor tidak menyebut tentang peranan menteri besar dalam pelantikan SUK, ia juga tidak menyatakan peranan Sultan dalam hal yang sama.

http://malaysiakini.com/news/151990

K'jaan: Tak logik harga makanan naik 10%

NONE





Dis 30, 10 4:16pm

Pengusaha restoran tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 10 peratus meskipun berlaku kenaikan harga gula dan bahan api berkuatkuasa 4 Disember lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Daud Tahir berkata simulasi harga yang dibuat baru-baru ini juga menunjukkan perubahan harga makanan dan minuman adalah minimum iaitu kenaikan antara 0.1 sen dan tiga sen sahaja.

"Kita sudah buat simulasi dengan kerjasama konsultan (untuk melihat) berapa kenaikan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan harga gula dan bahan api baru-baru ini dan tak munasabah jika mereka nak naikkan harga makanan dan minuman," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Daud berkata simulasi harga itu melibatkan 64 jenis makanan dan minuman antaranya teh tarik iaitu perubahan harga sebanyak 0.8 peratus kepada RM1.21 berbanding RM1.20 ketika ini manakala harga teh hanya meningkat 1 sen kepada RM1.01 sen.

Simulasi itu juga menunjukkan harga bagi pelbagai jenis roti termasuk roti canai kosong, roti jala dan roti telur, pula mengalami kenaikan antara 0.2 dan 0.3 sen sahaja.

Rundingan dengan pengusaha restoran

Ditanya sama ada pengusaha restoran bersetuju dengan harga simulasi itu, Daud berkata kementerian akan memaklumkan mengenainya dalam satu perjumpaan pada awal Januari ini.

"Kita akan memaklumkan mengenai kita punya pengiraan dan alasan kepada mereka kenapa simulasi itu dibuat dan tidak logik untuk menaikkan 10 peratus harga makanan dan minuman," katanya.

Daud berkata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) baru-baru ini juga menafikan berlaku kenaikan harga itu seperti dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata bekalan minyak masak adalah stabil di seluruh negara kecuali terdapat kekurangan di sesetengah tempat serta kekurangan jenama-jenama tertentu di pasaran.

"Keadaan ini adalah tidak serius. Spekulasi mengenai kenaikan harga adalah tidak benar dan pengguna dan peniaga diminta tidak membeli dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan harian," katanya.

Daud berkata spekulasi kenaikan harga minyak itu timbul akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran global yang mencecah sehingga RM3,800 setiap tan metrik sehingga menyebabkan berlaku pembelian panik oleh pengguna dan peniaga kecil di beberapa kawasan.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/152012

Mahfuz letak jawatan pengerusi GLC Kedah

Mahfuz letak jawatan pengerusi GLC Kedah
Fadzly Esa
Dis 29, 10
6:02pm

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi syarikat kaitan kerajaan negeri (GLC), Kedah Sato Sdn Bhd, berkuatkuasa serta merta.

mahfuz omar utusan malaysia lawsuit 231208 01Sumber-sumber yang rapat dengan ahli parlimen Pokok Sena itu mengesahkan surat peletakan jawatan beliau telahpun dihantar kepada pihak pengurusan syarikat tersebut.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan menjelas sebab Mahfuz (kiri) meletak jawatan, tetapi sejak semalam lagi, tersebar berita di internet bahawa ia berkaitan dengan pemberian tender oleh syarikat itu yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Apabila didesak untuk menyatakan sebabkan peletakan jawatan Mahfuz, sumber-sumber berkata: "Pihak pengurusan dan lembaga pengarah Sato perlu beri penjelasan mengenai perkara itu."

Malaysiakini difahamkan, Mahfuz meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penganugerahan projek kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender.

http://malaysiakini.com/news/151932

Kisah bank paling murah hati di dunia

Dis 29, 10 12:05pm

Siapa pernah mendengar adanya bank yang sanggup meminjamkan lebih AS$10 bilion kepada golongan miskin tanpa cagaran, malahan kadar bayaran balik pula mencapai 98 peratus? Bagi mereka yang masih belum mendengar kisah Bank Grameen, pertubuhan kredit mikro pertama di dunia, ia sesuatu yang luar biasa.

Walaupun operasinya bercanggah dengan kesemua peraturan perbankan konvensional, Bank Grameen berjaya membebaskan ramai rakyat Bangladesh daripada kancah kemiskinan. Lebih mengagumkan lagi, ia sehinggakan memperbaharui pembangunan sosial dan ekonomi bukan sahaja dalam negara malah merentasi dunia.

Orang yang muncul di sebalik idea bank ini, yang juga pemenang hadiah Nobel, ialah Profesor Dr Muhammad Yunus, pengasas dan Pengarah Urusan Bank Grameen, yang mengasaskan bank itu pada 1970-an semasa rakyat negara itu mengalami kebuluran.

Dan inspirasi itu muncul pada satu pagi tahun 1976, semasa beliau berjalan melalui sebuah kampung untuk ke universiti di mana beliau adalah profesor ekonomi.

"Saya didatangi seorang wanita miskin yang memberitahu bahawa beliau hanya mampu meraih keuntungan dua sen (AS) sahaja dalam sehari bagi sebuah kerusi buluh yang dihasilkannya, kerana beliau berhutang dengan peminjam wang. Peminjam wang itu memaksa beliau menjual barangannya pada harga yang begitu rendah sehingga beliau hanya mampu menikmati keuntungan dua sen (AS) sahaja setiap hari".

Muhammad berkata, pada masa itu, beliau hanya perlu membayar peminjam wang berkenaan AS$1 untuk melangsaikan hutang dan membebaskan wanita itu daripada kitaran kemiskinan. Dan beliau lakukannya.

Kegembiraan dan kelegaan yang dirasai oleh wanita miskin itu memberi inspirasi kepada Muhammad untuk mencari lagi mereka yang lain, yang masih berhutang dengan peminjam wang berkenaan.

Beliau menemui 42 orang lagi dan hanya perlu membayar AS$27 sahaja untuk melangsaikan hutang di samping dijadikan modal untuk membeli bahan mentah.

Dengan jumlah wang itu, akhirnya mereka berjaya membebaskan diri daripada cengkaman hutang dan pada masa yang sama dapat menjual hasil produk kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi. Ini telah membawa penambahbaikan ke atas status ekonomi mereka.

Dalam berbuat demikian, beliau telah membantu wanita pertama itu mengecapi keuntungan AS$1.25 sehari, di sebalik hanya dua sen (AS) sebelum ini. Di sinilah bermulanya laluan Muhammad untuk menubuhkan Bank Grameen yang menamatkan kitaran "pendapatan rendah, simpanan rendah dan pelaburan rendah".

Muhammad berkongsi sejarah penuh inspirasi bank ini semasa satu majlis makan tengah hari di Malaysia baru-baru ini, sementara menyampaikan ucaptama bertema "Perniagaan Sosial dan Pengurangan Kemiskinan". Majlis makan tengah hari khas ini dianjurkan oleh Khazanah Malaysia dan Akademi Pengarah Malaysia (Minda).

Grameen bermakna "luar bandar" atau "kampung" dalam bahasa Bangla. Slogannya adalah "Bank bagi Miskin". Ia menawarkan kredit mikro kepada penduduk miskin luar bandar di Bangladesh, supaya mereka boleh memulakan atau membiayai perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Muhammad berkata bank ini memberi pinjaman dalam jumlah kecil AS$200 setiap orang kepada 8.3 juta peminjam di seluruh Bangladesh dan pinjaman itu dibayar dalam bentuk ansuran bulanan. Apa yang mengagumkan, walaupun bank ini meminjam kepada mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan, ia berjaya mendapatkan semula sehingga 98 peratus daripada pinjamannya.

Profesor ekonomi ini berkata prinsip asas bank ini sejak ditubuhkan ialah bank harus sampai kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

"Kita menemui kesemua 8.3 juta peminjam ini di pintu mereka. Mereka tidak perlu ke mana-mana. Kami bertemu dengan mereka setiap minggu dan menjalankan urusan perbankan di kediaman mereka.

"Ia satu tugas yang besar. Tetapi ia satu-satunya cara kita boleh menggalakkan mereka menjalankan urusan perbankan dengan kami, memandangkan lebih 97 peratus daripada peminjam kami adalah wanita. Jika anda meminta mereka datang ke pejabat kami, itu tidak akan berlaku. Lelaki akan ambilalih tugas itu memandangkan merekalah yang selalu keluar. Wanita lazimnya tinggal di rumah menguruskan keluarga", jelas beliau.

Timbul pula persoalan yang tidak dapat dielakkan: mengapa Bank Grameen lebih suka memberi pinjaman kepada wanita? Jawapannya terdapat di laman web bank itu seperti yang tertera di bawah:

"Wanita di Bangladesh diabaikan oleh masyarakat. Melalui peluang untuk bekerja sendiri serta akses kepada wang, Grameen Bank membantu memperkasa wanita. Selain daripada itu, kajian menunjukkan bahawa output keseluruhan pembangunan adalah lebih ketara apabila pinjaman diberikan kepada wanita dan bukannya lelaki, memandangkan wanita lebih kemungkinan untuk menggunakan hasil yang mereka peroleh untuk menambahbaik keadaan hidup mereka dan mendidik anak-anak mereka".

Hari ini Grameen Bank dimiliki oleh golongan miskin luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatannya. Peminjam-peminjam bank itu memiliki 90 peratus daripada sahamnya, sementara baki 10 peratus dimiliki kerajaan.

Semasa menyaksikan kejayaan Bank Grameen dalam meningkatkan taraf hidup peminjam-peminjamnya, satu lagi persoalan timbul di minda Muhammad: apa pula masa depan keluarga-keluarga ini?

Ia bukan satu soalan yang ganjil, memandangkan kebanyakan ibu bapa buta huruf. Ini boleh dikatakan menjamin kesinambungan kitaran tradisional kemiskinan, masalah kesihatan dan sosial yang mengiringinya.

"Kami memutuskan bahawa kami mesti memberi jaminan kepada kanak-kanak daripada keluarga ini supaya meneruskan persekolahan untuk melepaskan diri daripada kitaran kemiskinan dan beralih ke peringkat baru kehidupan", katanya.

Jadi rancangan itu dimulakan.

Kemudian sesuatu yang begitu hebat dan menarik berlaku. Kanak-kanak ini bukan sahaja ke sekolah malah mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mereka.

Mereka menyambung pendidikan ke sekolah menengah dan seterusnya ke kolej.

"Terdapat beribu-ribu orang seperti mereka, yang mencapai kecemerlangan di sekolah-sekolah. Kami langsung tidak menjangka ini kerana untuk mereka ke sekolah rendah sahaja satu pencapaian terbaik yang boleh kita harapkan bagi kanak-kanak luar bandar ini. Tetapi realitinya lebih baik daripada apa yang kami jangka", kata beliau.

Tetapi kemudian satu lagi masalah timbul. Sementara ibu bapa gembira yang anak mereka berjaya dari segi akademik, kos pendidikan pula tinggi jauh melampaui kemampuan mereka.

"Jadi kami mempunyai ramai kanak-kanak yang cemerlang daripada segi akademik tetapi tidak mampu meneruskan dengan pendidikan mereka. Kami berdebat dengan Bank Grameen mengenai cara terbaik untuk memastikan mereka meneruskan pengajian dan kami muncul dengan penyelesaian ini - untuk memperkenalkan pinjaman pendidikan. Kini, tiada siapa yang ketinggalan".

Susulan itu, kini terdapat lebih 50,000 pelajar yang menerima manfaat daripada pinjaman pendidikan Grameen di sekolah-sekolah perubatan dan kejuruteraan merentasi seluruh Bangladesh.

Muhammad percaya kanak-kanak dari keluarga yang kaya tidak lain daripada yang miskin. Bagaimanapun, daripada segi peluang, terdapat perbezaan yang besar.

"Dan inilah yang membawa perbezaan besar dalam kehidupan mereka.

"Jika kanak-kanak miskin ke sekolah-sekolah terbaik di dunia dan bersaing menggunakan bakat terbaik yang ada pada mereka, mereka pasti berupaya dan berbakat seperti mana orang lain".

Penuntut Grameen di Malaysia


Muhammad jelas dilihat bercakap mesra mengenai Malaysia dan hubungan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar. Muhammad telah banyak kali melawat Malaysia, walaupun sebelum idea Grameen bermula di luar Bangladesh.

"Malaysia bagaikan kediaman kedua saya. Sebenarnya, kali pertama idea Grameen diperkenalkan di luar Bangladesh ia adalah di Malaysia, dengan yang pertama di Pulau Pinang", jelas beliau.

Pada 1994, Muhammad menerima anugerah Tun Abdul Razak sebagai menghargai sumbangan beliau kepada dunia. Sejak Bank Grameen diperkenalkan pada 1976, beliau mengasaskan 25 syarikat yang kesemuanya bertujuan menambahbaik taraf hidup golongan miskin.

Selepas mendengar sentimen Muhammad terhadap pendidikan, Azman dengan segera muncul dengan idea menyediakan biasiswa bagi pelajar Grameen untuk belajar di Malaysia.

Hari ini, Yayasan Khazanah menaja 10 penuntut yang adalah anak-anak kakitangan Bank Grameen di universiti-universiti terpilih di Malaysia melalui Biasiswa Khazanah Asia. Yayasan ini juga setiap tahun memilih lima pelajar daripada keluarga miskin yang menggunakan khidmat Bank Grameen untuk menerima biasiswanya.

Hari ini, bank ini merupakan sumber inspirasi dan model bagi banyak institusi dalam bidang kredit mikro.

Tetapi di Bangladesh, ia lebih daripada itu. Ia mengenai masa depan peminjam generasi kedua, kata Muhammad.

"Ke mana mereka boleh pergi, apa yang mereka boleh buat. Mereka tidak lagi perlu balik ke kitaran kemiskinan. Mereka boleh mengharapkan masa depan lebih baik".

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/151891

KPKT: Rumah terbengkalai, rujuk pada HBA

KPKT: Rumah terbengkalai, rujuk pada HBA
Dis 28, 10 4:09pm

Persatuan Pemilik Hartanah Terbengkalai Malaysia (PPHTM) diminta merujuk kepada Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berhubung isu perumahan terbengkalai yang diketengahkan mereka.

NONEMenurut kenyataan daripada Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Malaysiakini hari ini, ini kerana, HBA telah diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang bertindak mewakili pembeli-pembeli rumah dalam industri hartanah.

"Oleh yang demikian, ahli-ahli PPHTM boleh menyuarakan pandangan dan cadangan berkaitan isu projek perumahan terbengkalai melalui HBA," kata kenyataan itu lagi.

Berikut kenyataan penuh kementerian berkenaan:

Merujuk kepada artikel seperti tajuk dan tarikh diatas ('Tarik balik surat dan nasihatmu, KPKT') yang disiarkan di laman Malaysiakini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyemak dan meneliti isu yang diketengahkan.

abandoned property owners malaysia victims housing project protestUntuk makluman, KPKT menyedari bahawa dari segi undang-undang, pihak pencadang berhak menubuhkan Persatuan Pemilik Hartanah Terbengkalai Malaysia (PPHTM) dan permohonan pendaftaran PPHTM adalah tidak melibatkan isu undang-undang dibawah bidang kuasa
kementerian, sebaliknya ia melibatkan perkara-perkara dasar kementerian.

Isu yang perlu dipertimbangkan adalah keperluan untuk menubuhkan satu lagi persatuan memandangkan setakat ini KPKT telah mengiktiraf Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) sebagai sebuah organisasi yang bertindak mewakili pembeli-pembeli rumah dalam industri hartanah.

abandoned property owners malaysia victims housing project protestBagaimanapun, isu dan masalah berkaitan projek perumahan terbengkalai sedang diberikan perhatian yang serius dan merupakan sebahagian daripada KPI YB Menteri dan Yang Bhg Dato' KSU KPKT.

Oleh yang demikian, ahli-ahli PPHTM boleh menyuarakan pandangan dan cadangan berkaitan isu projek perumahan terbengkalai melalui HBA.

Hal ini adalah kerana, pada masa kini, HBA sebagai sebuah NGO telah bertindak secara aktif mewakili pembeli-pembeli rumah dalam industri perumahan termasuk mempertahankan kepentingan pembeli-pembeli rumah terbengkalai.

HBA merupakan ahli Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai yang ditubuhkan bagi menangani masalah projek perumahan terbengkalai yang mana jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Yang Bhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara sendiri.

http://malaysiakini.com/news/151833

Pembunuhan kejam, ganas hangatkan 2010

Dis 28, 10 12:59pm

Pembunuhan kejam dan ganas yang melangkaui pemikiran waras manusia normal hangat diperkatakan sepanjang tahun ini.

Berikut adalah antara episod tragis yang juga dianggap antara perlakuan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara.

Pembunuhan Sosilawati Lawiya

* 30 Ogos - Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi terdiri daripada pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang selepas ke Banting, Selangor atas urusan pembelian tanah.

azlan* 9 dan 10 September - Polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun termasuk dua peguam adik beradik dan pekerja Ladang Gadong, Jalan Tanjung Sepat, Morib.

* 12 September - Polis mengesahkan Sosilawati dan tiga yang lain menjadi mangsa pembunuhan kejam di Ladang Gadong. Siasatan lanjut mendapati selepas dibunuh, mayat mereka dibakar manakala abu dibuang ke sebatang sungai berhampiran.

* 15 Oktober - Dua daripada suspek dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok atas tuduhan melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu keempat-empat mangsa.

Pembunuhan di Gemencheh

* 5 Januari - Rasidi Ismail, 34, membunuh adik perempuan, bapa, datuk dan neneknya di kediaman keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan.

- Mayat Atan Daud, 90, dan isterinya Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan
Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui sama ada dipenggal, ditikam atau anggota mereka putus dalam serangan ganas menggunakan parang.

- Rasidi memenggal kepala Ismail sebelum menanamnya di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

* 7 September - Rasidi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya setelah didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu.

Dera kanak-kanak sehingga mati

* 25 Februari - Syafiah Humaira Sahari, 3, didera dengan tendangan dan pijakan menggunakan kasut bola oleh teman lelaki ibunya Mohd Fazli Azri Jamil sehingga menyebabkan kematiannya di Ulu Yam Lama, Batang Kali.

- Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek.

* 22 September - Mohd Fazli dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

* 4 Mac - K Haresvarran, 18 bulan, dipijak yang menyebabkan tulang rusuknya retak selain hatinya pecah ketika berada di taman permainan di Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya.

- Kanak-kanak malang itu dipercayai didera oleh suami kepada bekas penjaganya yang merupakan seorang kelindan lori berusia 33 tahun di sebuah taman permainan di Pangsapuri Seri Ara, Damansara.

Pembunuhan Siti Mazni Abdul Rahman

* 17 Disember - seorang gadis tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah, Siti Mazni Abdul Rahman,14, ditemui mati di ladang kelapa sawit yang terletak 150 meter dari rumahnya di Batu Pahat, Johor.

- Mayatnya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disorok di bawah timbunan daun-daun kelapa sawit di ladang berkenaan.

- Siti Mazni dilaporkan hilang dua hari sebelum itu apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, yang dia keluar untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

* 19 Disember - Lima orang termasuk empat pelajar ditahan berkaitan kejadian itu.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/151810
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...