KUALA LUMPUR: Beberapa pengurusan masjid mengakui didatangi kumpulan dan individu yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengutip derma dan menipu orang ramai.
Bagaimanapun, kumpulan pengemis profesional itu tidak hanya membabitkan pelarian Rohingya, malah warga tempatan yang kononnya mewakili rumah anak yatim dan sekolah agama.
Difahamkan, terdapat juga golongan mualaf yang turut memungut derma di masjid di sekitar Kuala Lumpur dengan mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak berkuasa agama.
Menurut Imam Masjid Amaniah Kepong, Mohd Izuan Hussin, kehadiran kumpulan pengemis itu dikesan sejak awal tahun lalu ketika mereka datang untuk meminta kebenaran mengutip derma.
“Pihak masjid memaklumkan bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum mengutip derma daripada jemaah.
“Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan tidak mahu mematuhi arahan, malah ada yang sanggup menunggu di pintu kereta jemaah.
“Pelbagai alasan diberikan untuk menagih simpati seperti ahli keluarga sakit, malah saya pernah didatangi seorang lelaki yang mahu membunuh diri kononnya tidak tahan dengan masalah kewangan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, dia pernah terserempak dengan pengemis sama di dua masjid berbeza yang sebelum itu datang berjumpanya untuk mengutip derma.
“Saya mengesyaki sesuatu dan terus memaklumkan kepada rakan imam di masjid berkenaan supaya berhati-hati bagi mengelak ditipu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu di sini, Abdul Latif Abdullah berkata, kumpulan pengemis itu bukan saja terdiri daripada warga tempatan, malah dari negara Timur Tengah yang sedang bergolak seperti Pakistan dan Afghanistan.
“Mereka menggunakan krisis di sana sebagai alasan meraih simpati jemaah dengan menyertakan gambar rakyat yang kebuluran dan keadaan tempat tinggal yang begitu daif,” katanya.
“Jemaah yang terpengaruh dengan rintihan pengemis ini akan mudah memberikan derma,” katanya.
Tambahnya, kumpulan itu juga memohon sumbangan untuk membantu anak yatim dari Maahad Tahfiz di negara mereka dengan menunjukkan dokumen kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tetapi selepas diteliti, semua dokumen itu palsu.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Zaid Bin Haritsah, Abdul Aziz Mohd Amin, berkata pengemis pelbagai bangsa dan negara akan berada di masjid setiap kali waktu sembahyang kerana ia waktu paling sesuai untuk meraih simpati.
“Biasanya mereka akan datang ke masjid pada waktu Maghrib dan Isyak sebelum merayu jemaah menderma.
“Mereka juga sering menggunakan kesempatan pada solat Jumaat kerana ramai jemaah pada waktu itu,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan kegiatan satu sindiket meraih ratusan ribu ringgit dengan memperdaya pengurusan masjid dan surau di seluruh negara.
Kegiatan itu dikesan Pertubuhan Hak Asasi untuk Rohingya (HURAR) selepas mendapat aduan daripada orang ramai khususnya pegawai masjid dan ahli jawatankuasa surau yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelbagaitaktik/Article/index_html