Monday, March 21, 2011

Pengguna panik beli ayam

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

HABIS...Gopal menunjukkan bekalan ayam yang kehabisan.
HABIS...Gopal menunjukkan bekalan ayam yang kehabisan.

KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga ayam di pasaran yang mencecah RM8.50 hingga RM9.90 sekilogram tidak menjejaskan permintaan makanan itu apabila bekalan ayam di kebanyakan pasar basah dan kedai runcit habis seawal jam 12 tengah hari.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar basah, pasar raya dan kedai runcit sekitar ibu kota mendapati kebanyakan pengguna terburu-buru dengan membeli bekalan ayam dalam kuantiti banyak ekoran kebimbangan harga itu akan terus meningkat.


Suri rumah, Saodah Abdullah, 50, berkata pengguna tidak mempunyai pilihan selain membeli ayam walaupun menyedari harga di pasaran terlalu mahal dan membebankan.

“Saya berkeluarga besar yang memerlukan penggunaan ayam yang lebih sebagai bahan masakan.

“Suami dan anak-anak lebih gemar ayam berbanding ikan atau daging menyebabkan saya membelinya dalam kuantiti banyak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Saodah berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah yang terpaksa berbelanja lebih setiap hari terutama sepanjang seminggu cuti persekolahan selain faktor kenduri kahwin.


Pengguna, Ahmad Bohari Mohd Nor, 46, berkata kenaikan harga ayam secara mendadak iaitu kira-kira RM1.50 itu memberi kesan kepada perbelanjaan hariannya.

“Saya harap pihak terbabit memantau harga ayam terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan kerana ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga terlalu tinggi,” katanya.

Peniaga pasar basah, R Gopal, 31, berkata peniaga terpaksa menaikkan harga kerana pembekal menjual ayam kepada mereka dengan harga tinggi RM8 sekilogram.

Katanya, peniaga memperoleh untung kecil selain perlu menampung beberapa kos penyelenggaraan termasuk bayaran pekerja dan perkhidmatan yang disediakan pasar itu.


“Minggu lalu, kami menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram, tetapi naik sedikit demi sedikit hingga sekarang dengan harga RM8.50 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata masalah kenaikan harga ayam secara mendadak ini berpunca daripada harga tinggi bekalan makanan ayam yang diimport dari negara luar.

Mohd Yusuf berkata, kebanyakan negara pengimport kini mengalami bencana alam yang menyebabkan bekalan produk dijual dengan harga mahal dan senario ini memberi kesan kepada harga barangan terutama bekalan ayam di pasaran.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penggunapanikbeliayam/Article/index_html

Libya dihujani peluru berpandu

MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.
MISI SELESAI...jet Tornado milik Britain mendarat di pangkalan tentera di Marham, selatan England, selepas menyertai operasi ke atas Libya, semalam.

TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, semalam, dalam campur tangan terbesar Barat di dunia Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.

Televisyen Libya berkata, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu. Stesen penyiaran CBS dalam laman sesawangnya melaporkan, tiga pesawat pengebom Stealth B-2 AS menggugurkan kira-kira 40 bom di sebuah lapangan terbang utama Libya. Bagaimanapun, lapangan terbang berkenaan tidak dinamakan dalam laporan itu.


Pesawat tentera Perancis melancarkan serangan pertama pada awal pagi dalam kempen memaksa tentera Gaddafi menghentikan serangan terhadap orang awam. Serangan itu memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai berhampiran Benghazi, kubu kuat pemberontak.

  • Foto

    EJEN GADDAFI...mayat remaja Afrika yang menjadi tentera kerajaan ditendang pemberontak selepas dibunuh di al-Wayfiyah, 35 kilometer di barat Benghazi.

  • Foto

    PUAS HATI...pemberontak melihat kenderaan milik rejim Gaddafi yang terbakar selepas dibom AS dan sekutunya di Benghazi, semalam.

  • Foto

    SERANGAN BERMULA...dua kapal laut AS melancarkan Tomahawk bagi melumpuhkan sistem pertahanan Libya.

Pegawai tentera AS berkata, AS dan Britain melancarkan lebih 110 peluru berpandu sepanjang malam dengan menjadikan sistem pertahanan udara di sekitar Tripoli dan Misrata di barat Libya sebagai sasaran.


Menurutnya, AS bekerjasama dengan Britain, Perancis, Kanada dan Itali dalam operasi Odyssey Dawn.

Denmark pula berkata, empat jet pengebomnya bersedia menyertai serangan dan menanti arahan daripada AS.


Sementara itu, Gaddafi menyifatkan serangan itu sebagai ‘penjajahan dan Perang Salib.’

“Kini tiba masanya untuk membuka simpanan dan melengkapkan rakyat dengan semua jenis senjata bagi mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan kehormatan Libya,” katanya dalam mesej disiarkan menerusi televisyen, beberapa jam selepas serangan bermula.

China dan Russia - yang berkecuali dalam pengundian Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan serangan berkenaan - menyuarakan rasa kesal terhadap operasi ketenteraan itu.


Kementerian Luar China berkata, Beijing berharap konflik itu tidak menyebabkan kematian lebih ramai orang awam.

Ketika letupan dan bunyi tembakan antipesawat menggegarkan Tripoli pada awal pagi semalam, ia disusuli laungan takbir yang bergema di sekitar pusat bandar raya itu.


Penduduk Tripoli berkata, mereka mendengar letupan kuat di daerah Tajoura sementara di Misrata, serangan itu mensasarkan sebuah pangkalan tentera udara digunakan tentera Gaddafi.


Seorang saksi di Benghazi melaporkan, empat letupan kuat kedengaran berserta dengan tembakan meriam antipesawat pada sebelah malam tetapi tidak pasti siapa melepaskannya.


Katanya, serangan itu disambut baik penduduk daerah itu.


“Ini akan menamatkan pemerintahan Gaddafi.

“Libya tidak akan melupakan bantuan Perancis. Jika tidak kerana serangan itu, Benghazi pasti ditawan oleh Gaddafi.” katanya.


Khalid al-GGurfaly, 38, berkata mereka terhutang budi kepada Perancis, Britain dan AS serta negara Arab kerana menyokong rakyat Libya.

“Kami menjangka Gaddafi akan melepaskan kemarahannya terhadap orang awam. Justeru, Barat perlu menyerangnya habis-habisan,” katanya.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata negara terbabit bersetuju menggunakan semua semua cara yang ada, khususnya tentera, untuk menguatkuasakan ketetapan Majlis Keselamatan PBB. - Reuters


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Libyadihujanipeluruberpandu/Article/index_html

Libya sedia tumpas 'pakatan salib'

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, rakyatnya sudah bersiap untuk menghadapi perang yang berpanjangan dan akan menumpaskan negara Barat yang mula melancarkan serangan terhadap tenteranya, semalam.

Gaddafi yang berkuasa sejak empat dekad lalu, juga mengulangi, beliau tidak akan dapat ditumbangkan oleh ‘pakatan salib’ yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.


“Ini ialah perang salib terhadap orang Islam, khususnya rakyat Libya. Mereka percaya kononnya rakyat Libya akan takut. Ini hanya satu keganasan dan tentera kita akan berjaya menghadapinya. “Mereka sudah pasti akan ditumpaskan. Mereka tidak akan dapat memaksa rakyat Libya menyerah kalah. Semua rakyat negara ini kini dilengkapi senjata. Kami akan menentang anda jika keganasan terhadap kami berterusan,” kata Gaddafi dalam ucapan audio yang disiarkan menerusi televisyen negara itu.

“Anda adalah pengganas. Anda memerangi orang yang tidak menjemput anda. Libya akan menjadi neraka bagi musuhnya. Ini adalah keganasan yang tidak wajar. Kami tidak akan meninggalkan bumi kami dan akan membebaskannya. Kami tidak akan membenarkan Amerika, Perancis dan Britain menikmati minyak kami.


“Seluruh bandar raya Libya akan memberontak dan kami akan memusnahkan semua pembelot yang bekerjasama dengan Amerika,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Libyasediatumpaspakatansalib/Article/index_html

Loji nuklear akan ditutup

OSAKA: Jurucakap kanan kerajaan Jepun berkata loji nuklear yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami negara itu akan ditutup.

Kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu adalah yang pertama daripada pegawai kerajaan mengenai penutupan loji nuklear Dai-ichi Fukushima sebaik pemanasan reaktornya berjaya dikawal.


Langkah menutupnya tidak boleh dielakkan memandang air laut yang digunakan untuk menyejukkan reaktor itu boleh menyebabkan karat sekali gus menjadikan bahagian pentingnya tidak boleh digunakan. Menurut Edano, keadaan loji itu kemungkinannya tidak boleh dibuka semula. - AP


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lojinuklearakanditutup/Article/index_html

Liga Arab bantah serangan

KAHERAH: Pemimpin Liga Arab semalam berkata, pihaknya membantah serangan tentera Barat ke atas orang awam Libya walaupun pertubuhan itu menyokong pelaksanaan zon larangan terbang di negara itu.

Dalam kenyataan disiarkan agensi berita rasmi Mesir, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, berkata dia memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi terkini di rantau berkenaan.


“Apa yang berlaku di Libya berbeza daripada matlamat pelaksanaan zon larangan terbang.

“Kami mahukan perlindungan terhadap orang awam dan bukan pengeboman lebih ramai rakyat tidak berdosa,” katanya.


Amr berkata, dia menuntut laporan rasmi mengenai apa yang berlaku di Libya sehingga ramai orang awam negara itu terbunuh.


“Saya mahukan data sepenuhnya untuk mengetahui apa berlaku,” katanya.

Sementara itu, di Limassol, Cyprus, kerajaan negara itu menentang sebarang penggunaan pangkalan tentera Britain di situ untuk melaksanakan larangan terbang di Libya.


Bagaimanapun, kerajaan berkata, mereka tidak berkuasa menghalang pembabitan Britain.

Ketika ini Britain memiliki dua pangkalan tentera di Cyprus.


Sebuah pusat kawalan bagi menyelaras operasi Britain di Libya dibuka di Akrotiri, selatan Cyprus. - Reuters


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LigaArabbantahserangan/Article/index_html

Kelengkapan perang Gaddafi musnah dibom

BENGHAZI: Deretan kereta kebal dan kenderaan lain tentera Libya yang musnah dibom kelihatan tersadai di sebatang jalan strategik di timur negara itu, semalam, selepas Barat melancarkan serangan udara ke negara itu.

Kelengkapan yang musnah itu dipercayai digerakkan kerajaan Libya bagi menggempur pemberontak yang kini berkubu di Benghazi.


Pada masa sama, tentera pemberontak yang terpaksa berundur akibat menghadapi serangan udara, laut dan darat sejak dua minggu lalu, kembali mara menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju bandar Ajdabiyah yang cuba ditawan sebelum ini.

Bandar itu dianggap kubu penting untuk pemberontak mengukuhkan kedudukannya menghadapi rejim Muammar Gaddafi.


Menurut saksi, sekurang-kurangnya 14 mayat terbiar di jalan dilalui pemberontak itu walaupun serangan udara dilancarkan AS dan sekutunya sepatutnya menyebabkan mayat sukar dikenal pasti.


Seorang pejuang pemberontak mengalu-alukan keadaan itu dan menganggap laluan mereka menggulingkan rejim Gaddafi semakin mudah.

Rakannya pula berkata, serangan dilakukan mereka sebelum ini turut membantu tentera Barat memerangi angkatan tentera Libya.


Kira-kira 14 kereta kebal, 20 kenderaan pengangkut tentera, dua lori bersama pelancar roket serta berpuluh-puluh pikap musnah dan dapat dilihat di sepanjang laluan berkenaan.

Kelengkapan itu juga membayangkan kesungguhan Gaddafi mahu merampas semula Benghazi daripada pemberontak. - Reuters


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KelengkapanperangGaddafimusnahdibom/Article/index_html

Orang kanan Muammar Gaddafi

SAIF al-Islam Gaddafi: Dilahirkan pada 1972, paling terkenal di antara anak Muammar Gaddafi sebaia pemimpin sayap permodenan dalam keluarganya. Pada asalnya mengikuti kursus kejuruteraan tetapi menulis tesis untuk ijazah falsafahnya di London School of Economics mengenai Peranan Masyarakat Dalam Pendemokrasian.

SAADI Gaddafi: Dilahirkan pada 1973, Pernah terkenal sebagai pemain bola sepak profesional di Malta dan Itali tetapi muncul semula sebagai ketua sebuah pasukan khas tentera Libya. Juga memainkan peranan utama dalam mematahkan kebangkitan rakyat negara itu.


MUTTASIM Gaddafi: Dilahirkan pada 1977, Mutassim ialah anak keempat Gaddafi tetapi mungkin yang paling berpengaruh. Bekas pegawai tentera, dia kini menjadi Penasihat Keselamatan Kebangsaan bapanya.


KHAMIS Gaddafi: Umur tidak diketahui. Menjalani latihan di Russia, Khamis dipercayai oleh bapanya untuk mengetuai pasukan elit tentera Libya, Briged Khamis yang menjadi barisan depan dalam serangan terhadap kebanyakan kawasan yang dikuasai pemberontak.

MOUSA Kusa, 62: Dia adalah penasihat utama Gaddafi mengenai hubungan luar. Bekas duta ke London dan ketua perisikan asing, Moussa kini ialah Menteri Luar, yang dilihat sebagai penurunan pangkat.


ABDULLAH al-Senussi, 61: Ketua Keselamatan Dalam Negeri yang sering dianggap sebagai sekutu paling rapat Gaddafi serta adik iparnya. Kedudukan dan peranannya ketika ini tidak ketahui. Ada laporan yang mendakwa dia dipecat dan ditembak mati.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/OrangkananMuammarGaddafi/Article/index_html

Sanggup mati demi Gaddafi

TRIPOLI: Beratus-ratus rakyat Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi berkumpul di depan ibu pejabatnya di Bab al-Aziziyah dan lapangan terbang antarabangsa ketika Perancis melancarkan serangan udara terhadap negara itu.

Sementara itu, 50 wartawan asing dibawa melawat Bab al-Aziziyah, di selatan Tripoli.


“Rakyat di sekitar kawasan itu menjadi sasaran Perancis,” lapor televisyen Libya, sambil menunjukkan gambar orang ramai mengibarkan bendera di depan pejabat Gaddafi dan lapangan terbang berkenaan.

Kira-kira 1,000 orang mengibar bendera hijau, simbol revolusi yang membawa Gaddafi ke puncak kuasa lebih empat dekad lalu juga memenuhi kawasan sekitar ibu pejabat pemimpin Libya itu.


Turut bersama mereka ialah anak perempuannya, Aisha yang menyertai orang ramai melaungkan slogan memuji bapanya.


Perhimpunan itu yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak mengekori kata-kata yang memuji Gaddafi.

Pekarangan ibu pejabat itu dikelilingi trak yang lengkap dengan meriam antipesawat.


Seorang anak angkat Gaddafi terbunuh pada 1986 apabila Amerika Syarikat mengebom Libya. Turut menjadi sasaran ketika itu ialah Bab al-Aziziyah.

Ketika penyokong Gaddafi itu berkumpul, Perancis melancarkan serangan udara, memulakan kempen antarabangsa untuk menghalang pemimpin Libya itu daripada menumpaskan kebangkitan yang bermula sebulan lalu.


“Ada 5,000 suku kaum yang bersedia untuk datang ke sini dan berjuang untuk Gaddafi. Lebih baik bagi Barat supaya tidak cuba menyerang negara kami,” kata Mahmoud el-Mansouri yang turut serta dalam perhimpunan itu. - Reuters


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SanggupmatidemiGaddafi/Article/index_html

Qatar pertahan tindakan sertai serangan

DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani semalam mempertahankan penyertaan negaranya dalam operasi ketenteraan di Libya dengan berkata, ia bertujuan menghentikan pertumpahan darah di negara itu.

Satu pakatan antarabangsa melancarkan serangan terhadap Libya dengan menggunakan jet pengebom dan peluru berpandu semalam, untuk menghentikan tindakan Gaddafi menyekat revolusi menentang pemerintahannya sejak 15 Februari lalu.


“Qatar menyertai tindakan ketenteraan itu kerana ia satu keperluan bagi negara Arab mengambil bahagian,” kata Sheikh Hamad yang juga Menteri Luar, kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

“Keadaan di Libya sudah tidak terkawal. Sengketa yang berlaku di negara itu bukan membabitkan tunjuk perasaan dan polis. Ia perang terbuka yang disertai oleh tentera upahan dan ia mesti dihentikan secepat mungkin,” kata Sheikh Hamad.


Bagaimanapun, menurutnya, operasi ketenteraan itu tidak disasarkan terhadap rakyat Libya, mahupun terhadap Gaddafi dan anaknya. Apa yang penting ialah menghentikan pertumpahan darah.” Qatar ialah satu-satunya negara Arab yang berjanji untuk menyertai serangan di Libya pada mesyuarat tergempar di Paris. - AFP


AS, Eropah Bergabung Serang Libya

Penunjuk perasaan anti-perang berdemonstrasi di Los Angeles, California sempena ulangtahun kelapan pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan menuntut supaya perang ke atas Libya dihentikan. - AFP



Published: Ahad Mac 20, 2011 MYT 12:54:00 PM
Updated: Ahad Mac 20, 2011 MYT 1:21:49 PM

BENGHAZI, Libya: Amerika Syarikat (AS) dan Eropah membentuk gabungan bagi melakukan serangan ke atas pertahanan Presiden Muammar Gaddafi dan pasukan udaranya dengan peluru berpandu dan serangan udara pada Sabtu, melancarkan tindakan ketenteraan antarabangsa terbesar sejak perang Iraq.

Pemimpin Libya sejak sekian lama itu bersumpah untuk mempertahankan negaranya daripada apa yang digelarkan "pencerobohan salibi" dan memberi amaran bahawa penglibatan kuasa antarabangsa akan mendedahkan rantau Mediterranean dan Afrika Utara kepada bahaya dan meletakkan nyawa orang awam dalam risiko.

Pasukan tentera AS berkata, 112 peluru berpandu Tomahawk dilepaskan daripada kapal laut dan kapal selam Amerika dan British ke atas lebih 20 sasaran di persisiran pantai bagi memberi laluan kepada peronda udara menghalang pasukan udara Libya daripada melakukan penerbangan.

Jet pejuang Perancis melepaskan tembakan serentak pertama, diikuti beberapa serangan di kawasan pemberontak di Timur.

Presiden Barack Obama berkata, tindakan ketenteraan itu bukan pilihan pertamanya dan mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar tentera darat AS ke Libya.

"Ini bukan hasil rundingan yang AS atau mana-mana rakan sekutu kami inginkan," kata Obama dari Brazil, di mana beliau memulakan lawatan selama lima hari ke Amerika Latin. "Kita tidak boleh berdiam diri apabila si penzalim memberitahu rakyatnya tidak akan ada belas kasihan."

Ribuan penyokong rejim berpusu-pusu memenuhi kem tentera Bab al-Aziziya di Tripoli di mana Gaddafi menetap untuk berlindung. Senjata pemusnah pesawat dapat didengari melakukan serangan sepanjang malam di Tripoli.

Serangan tersebut yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang oleh PBB, merupakan rentetan akibat usaha pihak antarabangsa untuk menghalang Gaddafi selepas beberapa minggu rayuan oleh puak pemberontak yang mendapati kerugian besar apabila rejim itu melepaskan serangan besar-besaran menggunakan kehebatan serangan udara dan senjatanya.

Sementara pihak berkuasa pertahanan AS memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan akibat serangan hebat itu, namun ketepatan sasaran peluru berpandu kapal laut itu dijangka mampu memberi kemusnahan besar ke atas pertahanan udara Libya.

Gaddafi yang mentadbir Libya selama 41 tahun, ketika dalam temubual telefon bersama stesen televisyen Libya berkata, beliau membuka depoh senjata untuk membenarkan rakyatnya melindungi diri mereka. Beliau berkata, tindakan antarabangsa ke atas tenteranya tidak ada justifikasi, menggelarnya 'pencerobohan kolonial yang boleh mencetuskan peperangan berskala besar".

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab untuk "menghalang serangan terang-terangan yang tidak adil ke atas negara berdaulat itu serta-merta".

Rejim beliau turut bertindak pantas dalam serangan balas itu dengan menghantar pesawat pejuang, kereta kebal dan pasukan tentera ke Benghazi, pusat pemberontak dan bandar pertama yang jatuh akibat pemberontakan yang bermula 15 Februari lalu. Tidak lama kemudian serangan kerajaan berhenti.

Gabungan serangan yang digelar Operasi Odyssey Down, ditubuhkan ekoran persidangan tergempar di Paris di mana 22 pegawai kanan dan pemimpin tertinggi bersetuju melakukan tindakan sewajarnya agar Gaddafi menghormati resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, yang mengarahkan zon larangan terbang dan menuntut gencatan senjata, kata Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.

"Konsensus kami kukuh dan azam kami jelas. Rakyat Libya harus dilindungi dan dengan kesukaran menamatkan keganasan terhadap orang awam dengan pantas, gabungan ini sudah bersedia untuk bertindak pada kadar segera," kata Obama sebelum itu. - AP


http://www.mstar.com.my/berita/luar_negara/cerita.asp?file=/2011/3/20/mstar_luar_negara/20110320125035&sec=mstar_luar_negara

Irma Hasmie Nekad Bertudung Selepas Pulang Umrah

Ahad Mac 20, 2011

Irma manis menggayakan pakaian rekaan Zery Zamry di majlis makan malam anjuran Rafflesia & Mandalay di Hotel Le Meridien, Jumaat. - Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Pengalaman mengerja umrah selama dua minggu di Mekah pada bulan Februari lalu membuatkan pelakon Irma Hasmie tertarik untuk terus bertudung litup.

Bekas kekasih Nabil Raja Lawak ini pergi ke sana dengan ditemani ibunya. Seperti orang lain, dia juga berniat untuk menjadi seorang insan yang lebih baik selepas pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci.

Menyentuh tentang karier lakonannya selepas ini, Irma masih terbuka menerima apa sahaja watak yang diberikan asalkan dia dibenarkan bertudung dan menutup aurat.

“Alhamdulillah, walaupun bertudung saya masih ditawarkan berlakon dalam beberapa drama dan tidak menganggap perubahan ini akan menutup rezeki saya.

“Saya tidak kisah dengan watak yang diberikan asalkan tidak melanggar keperibadian saya sekarang,” katanya dalam satu temubual.

Seminggu selepas pulang dari umrah, terus Irma menerima tawaran berlakon telefilemMencari Bidadari untuk RTM. Kebetulan karakter dalam telefilem itu merupakan seorang wanita bertudung.

Selain itu, dia turut menerima tawaran beberapa drama lain termasuk untuk TV9 dan drama Kelab Wau.

Irma akui ramai peminat yang memberikan reaksi positif kepadanya selepas tiga minggu mengenakan penampilan muslimahnya itu.

“Saya buat perkara elok, jadi sudah tentu ramai yang gembira. Saya minta Allah memberkati peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaan saya.

“Saya menolak perkara negatif yang mungkin akan berlaku selepas ini. Perubahan ini dilakukan untuk mencapai kesempurnaan dan merupakan perkara yang dituntut dalam agama.

“Jika kita ingat Allah, jadi Dia juga akan dekat dengan kita,” ujarnya yang turut pernah ditawarkan menjadi model tudung.

Bagaimanapun dia terpaksa menolak tawaran tersebut sebelum ini atas sebab masih terlalu awal dan belum bersedia.


http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/20/mstar_hiburan/20110319135149&sec=mstar_hiburan

Empat pelatih masih di ICU

KUALA LUMPUR: Empat pelatih inspektor dan konstabel Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) yang terkena jangkitan Adenovirus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 21 lagi di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh sehingga petang, semalam.

Seramai 12 pelatih dirawat di HKL manakala 13 di Hospital Sungai Buloh.
Mereka yang dirawat di ICU adalah seorang pelatih konstabel, seorang pelatih inspektor lelaki dan dua lagi pelatih inspektor wanita.


Komandan Pulapol KL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula 336 berbanding 389 kelmarin.

Daripada jumlah pengasingan terbabit, 117 pelatih inspektor wanita, 180 pelatih inspektor lelaki dan 33 konstabel selain enam kakitangan Pulapol.

Akhbar ini melaporkan dua pelatih Pulapol maut akibat jangkitan terbabit.

Mangsa, Mohd Riduan Ishak, 26, meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi, 17 Mac lalu dan seorang lagi pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, meninggal dunia 8 Mac lalu.



Berikut adalah pelatih yang ditempatkan di HKL dan Hospital Sungai Buloh:

Pelatih inspektor lelaki (seorang di ICU) - Mohd Muharram Mohd Ariffin, G Gopinath A/L Govindran, Noor Azlan Zaidi, Zarul Shahrin Mohd Mustafa, Izsrole Al Halmy Mohd Ismail, Simon A/L Vadelu, Muhammad Azizi A Rahman, Kalidasan A/L Rajakumar, Mohd Izat Ab Rahaman.

Pelatih inspektor wanita (dua di ICU) - Nor Hafizah Ilias, Nur Asyikin Othman, Saidatul Akmar Shariffuddin, Shanthanamary A/P Shunmigan, Nadhrah Hazwani Taufik, Nadia Mohd Husin, Nurul Shazrina Nazri, Nor Amanina Mohd Yusob, Nurol Akmal Abdullah, Parameswary A/P Sinasamy, Shazrin Irda Ezanee, Roshila Harun.

Pelatih konstabel lelaki (seorang di ICU) - Mohammad Siman, Ahmad Taufiq Abd Halim, Wan Azman Wan Ismail, Muhamad Najihin Musa.

Ahli keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas, Pulapol KL untuk maklumat lanjut.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/EmpatpelatihmasihdiICU/Article/artikelMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...