Tuesday, August 25, 2009

Sindir PM, majalah humor dirampas




Sindir PM, majalah humor dirampas
Salhan K Ahmad
Ogos 25, 09
11:05am

Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun hari ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir perdana menteri.

Lapan pegawai itu berada sejam di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Ketua pengarangnya Zunar berkata rampasan itu bermotif politik kerana pihaknya telah mendapat kelulusan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.

Ditemui Malaysiakini di pejabatnya sewaktu serbuan itu, beliau mencetak majalah tersebut tanpa mendapat surat kelulusan untuk mengelakkan karenah birokrasi.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi," katanya ketika ditemui di pejabat penerbit itu hari ini.

“Masalahnya tidak ada surat. Sepatutnya mereka keluarkanlah surat, selesailah masalah,” katanya lagi.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin Umno, majalah setebal 68 halaman itu turut memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis (foto kanan).

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), turut menyumbang rencana.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan".

Majalah pimpinan kartunis politik terkemuka tanah air Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque, menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA (foto kiri).

Dihubungi selepas serbuan itu, pemangku pengarah penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN cawangan Selangor menjelaskan penerbit masih tidak berhak menerbitkan majalah sekalipun telah mendapat nombor rujukan permit penerbitan (PP).

"Ini bukan sebab formaliti. Kalau tidak ada surat, janganlah dia terbitkan dulu.

"Bila dah dapat nombor dan ada kelulusan rasmi, barulah boleh cetak,"
kata Zainal Abidin Osman, yang turut mengesahkan operasi berkenaan yang turut melibatkan pegawai-pegawainya.

"(Surat rasmi) ini macam kita ambil ujian memandulah. Kalau kita dah lulus semua dan diberitahu sudah lulus, kita masih tidak boleh memandu selagi belum dapat lesen," katanya kepada Malaysiakini.

http://www1.malaysiakini.com/news/111321

Pegawai masjid S'gor boleh tangkap pesalah serta-merta


Jimadie Shah Othman
Ogos 25, 09
1:55pm

Penguatkuasaan enakmen syariah di Selangor melalui dasar baru membenarkan pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa "boleh dimulakan pada bila-bila masa" selepas menerima kad kuasa jabatan agama.

Seorang imam yang diberikan kuasa itu berkata, taklimat berkaitan prosedur dan kaedah penahanan pelaku kedua-dua kesalahan tersebut diadakan semalam.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, imam 2 Masjid Jalan Kebun, Klang, Mohd Hafiz Mohd Hussain berkata, dalam taklimat sehari di Masjid Negeri di Shah Alam, kesemua imam dimaklumkan mengenai pendekatan baru itu.

"Kita juga diberitahu, kad kuasa telah siap dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.

Exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mengumumkan nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di negeri berkenaan diberikan surat kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Surat kuasa itu dilaporkan telah diberikan dua minggu lepas.

Kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadhan ini antaranya makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai - kesalahan bawah Seksyen 19 enakmen tersebut.

Dr Hasan dipetik berkata pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada pegawai penguatkuasa agama untuk tindakan lanjut.

Pegawai masjid juga boleh menangkap orang Islam yang meminum arak tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama.

http://www1.malaysiakini.com/news/111339

Sebat: Najib harap Kartika merayu

Ogos 25, 09 2:30pm
Datuk Seri Najib Razak berkata Kartika Sari Dewi Shukarno - yang akan dihukum sebat enam rotan selepas Ramadhan atas kesalahan mengambil alkohol - boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Perdana menteri dilaporkan menjelaskan pendirian kerajaan pusat ialah ia tidak boleh mempertikaikan soal agama dan, tambahnya, soal agama terletak di bawah pihak berkuasa Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Kartika Sari mempunyai ruang untuk merayu,Bernama memetiknya sebagai berkata.

Kartika Sari, 32, seorang model dilaporkan enggan merayu di atas hukumannya itu dan bersedia untuk menerima hukuman itu.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan antara Indonesia dan Semenanjung Malaysia seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Najib berkata ia merupakan inisiatif swasta setakat ini.

Kerajaan pusat akan mengkaji perkara itu sekiranya terdapat cadangan tetapi setakat ini belum ada cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan pusat, katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/111343

Sebat: Islam junjung tinggi keadilan



Sebat: Islam junjung tinggi keadilan
Dr Mahathir Mohamad
Ogos 25, 09
12:59pm

Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum bir.

Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.


Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.

Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah.

Jika kerajaan tidak memperkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Apakah ada larangan dalam Islam untuk memperkanunkan undang-undang syariah?

Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini.

Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.

Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan: "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".

Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keislaman.

Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.

Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum bir (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.


Artikel pendek ini diterbitkan semula, sepenuhnya, daripada blog peribadi beliau Che Det.

http://www1.malaysiakini.com/news/111332

Imej agama apa yang kita mahu?



Imej agama apa yang kita mahu?
Norhayati Kaprawi
Ogos 25, 09
12:50pm

Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam 'hududi'?

Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.


Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto)tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam.

Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu.

Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian.

Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal.

Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?


Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.


Lupakah mereka tentang pesanan Allah: "Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maaidah: 39)

Malah, banyak lagi ayat Al-Qur'an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An'aam: 54, dan An Nahl: 125.

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?

Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?


Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI).

http://www1.malaysiakini.com/news/111330

Arak: Tidak jadi sebat model



Arak: Tidak jadi sebat model
Ogos 24, 09 3:34pm
Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan, demikian dinyatakan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memutus untuk menangguhkan sementara hukuman sebat itu atas nasihat Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.

"Hukuman (sebat) bagaimanapun kekal, dia akan menjalani hukuman selepas bulan Ramadhan," katanya di Kuantan hari ini.

Pagi tadi tiga pegawai penguatkuasa JAIP dipercayai telah pergi ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak, untuk membawanya ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat itu.

Namun, mereka kembali semula 30 minit kemudian selepas dikatakan menerima arahan untuk melepaskan sementara ibu kepada dua anak itu.

Pada 20 Julai lepas, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pada 18 Ogos lepas, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika ditahan berkuatkuasa hari ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.

Kartika merupakan wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.

Di Perak, Kartika membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar pada 12.30 tengah hari untuk mengelak daripada dituduh melarikan diri daripada hukuman kerana tidak dibawa ke Penjara Kajang.

Bapanya Shukarno Abdul Muttalib, berkata tiga pegawai JAIP menjemput Kartika dari rumahnya di Sungai Siput pagi tadi tetapi menghantarnya semula setengah jam kemudian dengan alasan hukuman sebat tidak dapat dijalankan pada masa ini.

Shukarno berkata beliau tidak faham tentang apa yang berlaku dan
menasihatkan Kartika membuat laporan kerana bimbang kemungkinan polis akan menuduh anaknya melarikan diri daripada hukuman.BERNAMA
http://www1.malaysiakini.com/news/111278

Majalah baru Zunar usik PM


Jimadie Shah Othman
Ogos 24, 09
11:18am

Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Haque akhirnya kembali bergelumang bersama dunia kreatif melalui majalahGedung Kartun setelah meninggalkan organ PKR Suara Keadilanbeberapa bulan lalu.

Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung dwibulanan itu memaparkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara (foto kiri).

Edisi awal September kini sudah berada di pasaran.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menyumbang rencana dalam Gedung Kartun.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kanan).

Edisi sulung ini menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

"Kita juga akan muatkan kartun istimewa karya Dr Farish A Noor," kata Zulkiflee atau lebih popular dikenali Zunar, tanpa mendedahkan karya pengamat politik itu.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, kartunis terkemuka itu berazam menerokai pasaran genre berkenaan dengan tema "kartun alternatif" kerana, menurutnya, ia mempunyai pasaran yang besar.

"Ini yang pasaran mahukan. Kita lihat di Internet dan blog, banyak kartun berbentuk humor sebegitu.

"Ia bentuk yang orang suka, cuma tidak ada orang buat," katanya, yang bertindak sebagai ketua pengarang, yang terkenal dengan "kartun hidung besar" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya perbezaan menguruskan sebuah akhbar politik dan majalah kartun, Zunar berkata: "Tukar medium sahaja".

Menurutnya, idea menerbitkan majalah kartun dengan konsep sebegitu telah lama dirancang tetapi baru menjadi kenyataan kerana kesuntukan masa.

Dengan cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut akan berada di pasaran dua kali sebulan – pada 10 dan 20 hari bulan.

Majalah 68 halaman, terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd itu dijual di seluruh Malaysia dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar, yang turut menyumbang karyanya kepada Malaysiakini, meninggalkan Suara Keadilan pada Mei lalu setelah empat tahun bertugas - dipercayai mangsa politik dalaman elit PKR.

http://www1.malaysiakini.com/news/111251
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...